Anda di halaman 1dari 13

PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

1.1 KONSEP PENGUJIAN, PENGUKURAN DAN PENILAIAN



Sebagai insan yang hidup di muka bumi ini, kita tidak lari dalam membuat keputusan. Dalam
membuat sebarang keputusan tersebut sama ada mudah atau sukar, penilaian wajar dilakukan
terlebih dahulu. Dalam konteks ini penilaian yang dijalankan melibatkan penentuan objektif,
mendapat maklumat, memproses maklumat dan membuat kesimpulan serta keputusan. Apabila
proses yang dijalankan itu dijalankan secara sistematik dan saintifik, maka keputusan yang
diperolehi lebih tepat dan seterusnya tindakan yang diambil benar-benar bersesuaian.

Sebenarnya aktiviti penilaian dalam bidang sain perlakuan, sains kemasyarakatan bermula
dengan percubaan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet dengan mengukur kebolehan
individu. Bermula dengan kajian tersebut, konsep penilaian telah berkembang sehingga
muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti pengukuran (measurement), penilaian
(evaluation) dan pentaksiran (assessment). Dalam pengukuran, individu didedahkan kepada
pemboleh ubah yang sama dalam keadaan terkawal. Sebagai contoh pengukuran yang
dijalankan bagi menguji kecerdasan kanak-kanak melalui ujian oleh Stanford-Binet, Raven-
Matrices, Weschler dan A.C.E.R.

Apabila sesuatu penilaian ingin dijalankan, sekurang-kurangnya dua keputusan yang
utama perlu diambil. Pertama, berkaitan dengan sebab ataupun tujuan penilaian dijalankan.
Misalnya ingin taraf bacaan murid di sekolah rendah dengan berpendapat taraf bacaan itu
sudah tidak memuaskan dan satu tindakan yang baru perlu diambil. Kedua, berkait dengan
pemilihan model, alat-alat prosedur menjalankan dan cara penganalisisan. Seseorang penilai
akan memilih model yang dirasai dapat memberikan maklumat yang lengkap kepadanya.

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan
kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian akan
membolehkan anggaran dapat dibuat sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai
atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara mendapatkan bukti yang
tepat tentang sesuatu. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sebarang
masalah yang timbul. Misalnya dalam pendidikan, masalah yang dapat diselesaikan ialah
pencapaian sesuatu matlamat yang ditetapkan seperti menguasai kemahiran membaca,
menulis dan mengira (3M) kepada murid sekolah rendah.

Dalam membuat penilaian anda mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah.
Misalnya tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang mencukupi atau
bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan
sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian anda akan
dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan
maklumat yang tepat.

Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang
lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggar sebagai proses penyerahan set soalan
yang standard yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau satu prosedur yang
sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau
pelajar.

Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk
memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan
bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor
seperti angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan
80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh
sistem berkategori pula seperti ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti, atau rabun
warna bagi ujian penglihatan.

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang
dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji
Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:

Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang
diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan.
Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat
penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)

Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut
sebagai markat akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan
keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.

Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan,
diikuti pelaksanaan (pentadbiran ujian) dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan.
Melalui proses pengujian inilah seseorang guru dapat mengetahui sama ada pelajar-
pelajarnya telah menguasai sebanyak mana kemahiran yang telah dipelajari.

Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding dengan pengujian. Pengukuran
membawa definisi sebagai suatu proses mendapatkan penjelasan secara numerik atau melalui
angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan
menggunakan instrumen. Atau dalam erti kata lain langkah menentukan tahap sejauh mana
seseorang individu memiliki sifat-sifat tertentu.

Biasanya kita mewakilkan sesuatu indeks berbentuk angka kepada prestasi seseorang
individu supaya status individu berkenaan lebih tepat dan dapat mewakili sifat tertentu.
Misalnya, Ramli mendapat markah 60 peratus dalam ujian Matematik. Kita tidak menyatakan
prestasi Ramli berkenaan sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita hanya mengukur
tanpa menentukan nilai. Justeru, pengukuran adalah hanya penentuan status atau tahap.

Pengukuran boleh dilaksanakan tanpa pengujian. Sebagai contoh, proses mendapatkan
maklumat berbentuk kuantitatif menggunakan proses pencerapan atau penggunaan skala
pemeringkatan. Berbeza dengan pengujian yang ingin mendapatkan maklumat sebanyak mana
prestasi yang diperolehi, pengukuran pula menjurus kepada banyak mana skor atau markat
yang diperolehi dengan menggunakan proses tertentu.

Seperti pengujian, pengukuran juga tidak bersifat mutlak. Pengukuran ketinggian mental
seseorang individu sudah tentu lebih sukar dan tidak dapat dilakukan dengan tepat berbanding
pengukuran ketinggian fizikal seseorang individu menggunakan alat ukur yang tepat seperti
penggunaan pembaris. Misalnya, seseorang murid yang mendapat skor 90 tidak boleh
dianggap mengetahui dua kali ganda murid yang mendapat skor 45 walaupun skor 90 itu dua
kali angka 45. Manakala seseorang yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh dianggap
sebagai tidak mempelajari sebarang perkara atau tidak memahami sebarang perkara tentang
sesuatu pelajaran yang dilalui. Ini jelas menunjukkan pengukuran aspek berkenaan bukanlah
petunjuk yang tepat sebagaimana mengukur ketinggian murid menggunakan kayu ukur atau
pembaris.

Dengan itu, seseorang guru harus menggunakan instrumen yang tepat bagi menghasilkan
keputusan yang tepat. Jika instrumen yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah
pastilah hasil yang diperolehi daripada ukuran yang dijalankan itu juga tidak tepat.

Penilaian ada suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan banyak cara. Menilai boleh
dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam memberikan
nilai mutu, kualiti, harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al. (1971:xxv)
menyatakan penilaian sebagai the process of delineating, obtaining, and providing useful
information for judging decision alternatives. Definisi ini menjangkau melepasi daripada
maksud pengujian dan pengukuran.

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa
mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah
ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat
pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Ini berbeza
dengan pengukuran yang melibatkan pemberian nombor-nombor (numeric) tertentu yang lebih
bersifat kuantitatif.

Terdahulu daripada itu, Popham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah
mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara
menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program
pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan. Dalam sesuatu bilik darjah,
apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau
guru menilai pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa guru
sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan
yang dilakukan guru dengan menggunakan keputusan ujian itu berserta maklumat lain yang
berkaitan untuk menilai prestasi murid berkenaan. Dalam sesetengah keadaan penilaian dibuat
tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan
pertimbangan nilai semata-mata.

Dengan itu menunjukkan bahawa penilaian boleh dijalankan dengan menggunakan maklumat
atau data yang berbentuk kuantitatif atau data berbentuk kualitatif atau melibatkan kedua-
duanya sekali. Secara kuantitatif, maklumat yang diperolehi melalui penilaian dinyatakan dalam
bentuk angka dan maklumat ini boleh disusun, dikemaskinikan serta diringkaskan dalam
kaedah yang lebih mudah difahami. Manakala secara kualitatif pula, maklumat yang dapat
dinyatakan atau dihuraikan tanpa menggunakan nombor-nombor. Misalnya Ali menyelesaikan
tugas yang diberikan oleh guru dengan bersih.

Secara ringkasnya, prosedur penilaian penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran,
penganalisisan serta merumuskan data yang diperolehi. Prosedur penilaian boleh dilaksanakan
dalam limaperingkat seperti dalam rajah di bawah:



Dalam konteks sekarang istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat penilaian.
Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan silih
berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan
berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian
daripada proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai
suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod,
memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi
sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan
dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada
murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan
dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen
pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan penguasaan guru
terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.







1.2 ARAS UKURAN

Secara umumnya, terdapat pelbagai bentuk system pengukuran yang berbeza. Misalnya,
pengukuran yang digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza
dengan pengukuran yang digunakan untuk mengetahui tahap apresiasi agama pelajar. Begitu
juga membuat pengelasan darjah motivasi sebagai bermotivasi tinggi, sederhana atau rendah
tidaklah setepat dengan pengukuran yang menggunakan skor sebenar motivasi pelajar.
Penyataan dan pengkelasan kuantitatif pemboleh ubah ini melibatkan system dan proses
pengukuran yang menggunakan skala tertentu. Pada umumnya terdapat dua jenis pemboleh
ubah asas dalam pengukuran iaitu: (i) Jenis kuantitatif dan (ii) Jenis kategori. Kedua-dua jenis
tersebut boleh diukur dengan menggunakan empat jenis skala yang biasa digunakan, iaitu
skala nominal, ordinal, sela dan nisbah.

1.2.1 Skala Nominal

Skala nominal ialah skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai ketepatan yang paling
rendah sebagai bentuk pengukuran. Skala ini mengkategorikan pemboleh ubah
berdasarkan persamaan dan seterusnya memberikan nama kepada pemboleh ubah
berkenaan. Misalnya, guru ingin mengelaskan kategori murid-murid mengikut kumpulan etnik
atau mengelompokkan murid mengikut kumpulan jantina. Guru berkenaan perlu meletakkan
nilai tertentu kepada setiap pemboleh ubah tersebut sebagai mewakili kumpulan berkenaan.
Misalnya, etnik Melayu diwakili nombor 1, Cina diwakili nombor 2,India nombor 3 dan nombor 4
bagi etnik yang lain. Nombor I dalam sistem ini tidaklah menunjukkan bilangan yang kecil jika
dibandingkan dengan nombor 2,3 dan 4. kita boleh menukargantikan nombor berkenaan
kepada kategori yang lain. Misalnya, 4 untuk Melayu, 3 untuk Cina, 2 untuk India dan 1 untuk
lain-lain etnik.

Nombor yang diberikan itu hanyalah mewakili atau melambangkan sesuatu pemboleh ubah
yang dinyatakan. Apabila nombor yang digunakan untuk melambangkan orang atau objek dan
nombor ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang hubungan dalaman antara satu sama lain
dari segi nilai. Ini disebut sebagai skala nominal.

Tiga ciri utama skala nominal, iaitu:

i. setiap data hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja. Individu yang berada dalam
kelompok Melayu tidak boleh menjadi individu dalam kelompok betnik yang lain.
ii. Kategori atau nombor yang mewakili setiap data tidak mempunyai susunan
pemeringkatan data tetapi dianggap sebagai setara.
iii. Perubahan data asal kepada data nominal atau kategori bersifat satu sama satu.

1.2.2 Skala Ordinal

Pengukuran bersifat ordinal pula ialah data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Data
disusun sama ada daripada yang rendah kepada yang tinggi atau daripada yang lemah
kepada yang cemerlang. Nombor atau kategori yang digunakan menggambarkan maklumat
asal pemboleh ubah yang menunjukkan susunan daripada kecil kepada yang besar atau
daripada kategori yang baik kepada kategori yang lebih baik. Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4 yang
menunjukkan pangkatan atau kedudukan pelajar dalam bilik darjah adalah contoh skala ordinal.
Pelajar yang mendapat markat keseluruhan yang tinggi diberikan nombor 1, diikuti norbor 2, 3,
4 dan seterusnya. Ini menunjukkan nombor 1 adalah lebih baik daripada nombor 2, 3 4 dan
berikutnya. Pada umumnya skala ordinal hanya mampu membezakan kategori dan nilai
susunan secara pemeringkatan. Contoh lain skala ordinal seperti skala Likert.

Ciri-ciri utama skala ordinal seperti berikut:

i. kategori yang digunakan bagi mengelaskan data bersifat saling eksklusif.
ii. Data yang digunakan menunjukkan pemeringkatan secara logik.
iii. Data mempunyai pemberat. Setiap kategori mempunyai pemberatan yang lebih
berbanding kategori yang lain.

1.2.3 Skala Sela

skala ketiga ialah skala jenis sela. Data jenis ini mempunyai urutan atau pangkat serta
anggapan bahawa perbezaan antara sela wujud. Setiap skala berkenaan mempunyai jarak
yang sama. Skala ini berupaya menunjukkan perbezaan antara beberapa kategori dan ia
boleh menunjukkan kesamaan dalam unit pengukuran yang digunakan. Contoh pengukuran
skala sela ialah pengukuran suhu. Misalnya perbezaan darjah suhu antara 25C dengan
35C adalah sama dengan perbezaan darjah suhu antara 15C hingga 25C. Kedua-dua
perbezaan berkenaan menunjukkan perbezaan 10.

Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin yang sewenang-wenangnya. Ini
bermaksud skala sela mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek
pangkatan. Jarak numerik yang sama di atas skala sela menggambarkan jarak yang sama pada
ciri-ciri yang diukur.

Contoh lain, andai kata terdapat enam orang pelajar yang diukur pencapaiannya pada skala
sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar A dengan C adalah sama dengan F dan D.
walau bagaimanapun kita tidak boleh menyatakan pencapaian F dua kali lebih baik daripada D.
hal ini disebabkan bukan kuantiti yang ditambah atau ditolak, tetapi perkiraan adalah
berdasarkan selak atau jarak tersebut.

Dalam skala sela, nilai kosong (O) atau sifar adalah merupakan suatu nilai. Nilai O adalah suatu
yang arbitrari dan tidak menggambarkan bahawa ciri kuantiti sebagai kosong atau tidak ada
nilai secara mutlak. Misalnya, suhu OC mempunyai nilai permulaan sistem pengukuran suhu.
Suhu O C di sini masih membawa makna suhu masih boleh turun di bawah takat tersebut dan
bukan bermakna tidak ada darjah kepanasan.

Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut:

i. kategori yang digunakan bagi mengelaskan data sela bersifat saling eksklusif.
ii. Data yang digunakan menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.
iii. Nilai atau skor yang digunakan mempunyai pemberat. Satu nilai dikatakan lebih
besar atau lebih kecil daripada lainnya.
iv. Nilai dalam skala sela adalah arbitrari. Nilai O adalah satu bentuk nilai dalam skala
jenis ini.
v. Persamaan perbezaan digambarkan dalam nilai nombor yang digunakan bagi
menggambarkan perbezaan.

1.2.4 Skala Nisbah

Skala keempat ialah skala nisbah. Skala ini mempunyai semua sifat jenis sela dan mempunyai
mutlak nilai kosong. Dalam skala nisbah nilai kosong tidak bersifat arbitrari. Misalnya
perbezaan antara 30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90. malah kita
boleh mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45 (2 X 45 = 90). Nombor dalam skala nisbah ini
menunjukkan jumlah atau ciri sebenar yang diukur. Contoh skala nisbah seperti umur,
ketinggian dan jarak.

Jadual di bawah menunjukkan sifat keempat-empat skala pengukuran berkenaan.



Pengukuran tingkah laku dalam bidang psikologi kadang kala agak sukar dibuat garisan
antara data jenis ordinal dan sela. Misalnya dalam ukuran data yang menggunakan skala
Likert, anggapan yang keterlaluan ialah data ini tergolong dalam data jenis ordinal. Apabila
hanya menganggap skala ini terhad kepada berbentuk ordinal akan menyebabkan pengehadan
kepada analisis data yang dapat dibuat. Analisis data begini tidak dapat menggunakan analisis
varians bagi membandingkan nilai min kumpulan.

Kesimpulannya, setiap jenis skala mempunyai maklumat yang berbeza. Skala nisbah
memberikan sejumlah maklumat yang lebih banyak daripada skala sela. Skala sela pula dapat
memberikan maklumat yang lebih daripada skala ordinal. Begitu juga dengan skala ordinal lebih
memberikan maklumat daripada skala nominal. Penyusunan data akan mempengaruhi jenis
analisis statistik yang bakal dijalankan. Perhubungan atau hierarki keempat-empat skala
ukuran dapat ditunjukkan dalam rajah di bawah.



1.3 TUJUAN PENILAIAN DI BILIK DARJAH

Penilaian dan pengujian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah sama
pentingnya dengan proses pengajaran. Matlamat utama penilaian dijalankan ialah untuk
meningkatkan atau memperbaiki pembelajaran. Sekiranya ditinjau dari aspek yang lebih luas,
penilaian yang dijalankan memberi manfaat besar kepada guru pelajar serta ibu
bapa malah kepada pihak sekolah serta kementerian sendiri apabila memberikan maklumat
yang tepat dan berkesan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat
dijadikan asa kepada guru untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau akan menggunakan
maklumat yang diperolehi bagi membuat keputusan yang perlu bagi meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi memudahkan pemahaman anda, tujuan atau kepentingan penilaian dalam pendidikan
khususnya dalam bilik darjah ini dijelaskan kepada beberapa tujuan seperti untuk tujuan
diagnosis, melihat pencapaian, membuat pemilihan, menempatkan serta memberikan
bimbingan kaunseling kepada pelajar.

1.3.1 Diagnosis

Pengujian dan penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan
maklum balas kepada guru berhubung tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu kemahiran
yang telah disentuh dalam bilik darjah serta meninjau masalah yang timbul dalam sesi
pengajaran pembelajaran yang berlangsung. Dengan itu guru dapat mengenal pasti tahap
kemajuan seseorang murid dalam bilik darjah tersebut sama ada pada tahap yang sangat
memuaskan, sederhana, lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung. Daripada
penilaian yang dijalankan juga guru dapat mengenal pasti murid yang cergas, yang
memerlukan aktiviti pengayaan dan murid yang lemah yang memerlukan aktiviti pengayaan.
Guru juga akan membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran agar lebih
bersesuaian dengan keperluan murid atau mengulang menggunakan strategi sama dan
sebagainya.

Penilaian dan pengujian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran yang
berlangsung akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan
tahap kemajuan yang berterusan ini akan memungkinkan guru mengetahui masalah yang
dihadapi oleh pelajar. Adakah murid mempunyai masalah dalam mempelajari dan menguasai
sesuatu kemahiran yang telah diajar dalam bilik darjah? Sekiranya menghadapi masalah, guru
akan menyelidiki aspek atau kemahiran yang menimbulkan masalah kepada murid-murid dan
mengenal pasti punca masalah tersebut berlaku. Maklumat berkenaan amat perlu kepada
guru bagi menyediakan latihan yang khusus atau pemerhatian yang lebih kepada murid-murid
berkenaan supaya kelemahan atau masalah yang dihadapi dapat diatasi. Tanpa penilaian dan
pengujian yang dijalankan, murid-murid yang menghadapi masalah sukar dibantu dan
akibatnya mereka akan terus ketinggalan dari arus perdana persekolahan.

1.3.2 Pencapaian

Proses penilaian dan pengujian yang dijalankan pada peringkat akhir sesi pengajaran dan
pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang setakat mana penguasaan murid-murid
tentang sesuatu kemahiran yang telah diajar. Selain penilaian yang dijalankan pada akhir sesi
pengajaran dan pembelajaran, proses penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu tempoh
pengajian yang ditetapkan, misalnya pada akhir tahun sesi persekolahan atau kepada pelajar
Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM) adalah bertujuan
untuk menentukan gred yang memperlihatkan tahap pencapaian secara keseluruhan yang
telah murid-murid atau pelajar-pelajar kuasai. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal
dengan memfokuskan kepada pemberian sijil atau anugerah atau pengiktirafan kepada pelajar
hasil daripada pencapaian yang ditunjukkan oleh mereka dalam peperiksaan.

Hasil penilaian yang dijalankan akan memperlihatkan pencapaian pelajar mengikut gred yang
telah ditetapkan sama ada cemerlang, sederhana atau gagal. Guru akan dapat membezakan
murid-murid yang cemerlang, sederhana dan lemah berdasarkan keseluruhan prestasi
pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki.

1.3.3 Pemilihan dan Penempatan

Penilaian dan pengujian penting bermula sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran.
Sebelum guru memulakan pengajarannya dalam bilik darjah, perlu baginya mengadakan
penilaian dan menguji murid-muridnya bagi meninjau sejauh manakah murid-muridnya telah
menguasai sesuatu kemahiran atau ingin mendapatkan aspek-aspek yang akan dipelajari.
Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar kepada penutur bukan asli
bahasa Melayu, guru perlu mengetahui aspek kemahiran manakah yang telah dikuasai oleh
pelajar dari aspek tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting bagi
guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan
pengajaran.

Di samping itu, guru juga dapat menentukan adakah semua murid dapat dipilih serta
dikelompokkan dalam satu kumpulan yang besar berasaskan tahap penguasaan yang berbeza
atau di kelompokan dalam kumpulan yang sama. Dalam suasana penguasaan yang berbeza,
wajar bagi guru menempatkan murid mengikut tahap penguasaan masing-masing dan
menumpukan pengajaran mengikut keperluan murid yang berbeza-beza. Keadaan ini
menunjukkan tujuan penilaian dan pengujian yang dijalankan adalah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut tahap penguasaan sesuatu kemahiran.
Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang
dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut
kecenderungan seseorang murid berkenaan.

1.3.4 Bimbingan dan kaunseling

Hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan juga dapat digunakan bagi keperluan bimbingan
dan kaunseling kepada pelajar yang berkaitan. Setiap pelajar mempunyai motivasi
untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik. Yakni datang dari dalam diri pelajar itu sendiri.
Contohnya, mereka yang belajar disebabkan rasa ingin mengetahui tentang sesuatu dengan
mendalam akan memperolehi keputusan pencapaian yang baik, melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi dan sebagainya. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat
pula motivasi yang bercorak ekstrinsik yang datang daripada pengaruh luar. Misalnya, galakan
dan dorongan ibu bapa, dorongan rakan sebaya, nasihat daripada guru-guru dan lain-lain.

Langkah mengadakan penilaian ini dapat meningkatkan motivasi untuk murid belajar. Murid
yang mendapat keputusan yang cemerlang akan terus berusaha untuk mengekalkan
pencapaian dengan semangat yang tinggi. Sebaliknya murid-murid yang lemah dapat mengenal
pasti aspek kelemahannya dan membaiki kelemahan tersebut untuk penilaian pada
masa akan datang agar mencapai keputusan yang lebih baik. Malah guru juga dapat
membimbing dan menunjuk ajar kepada pelajar yang bermasalah tentang cara menangani
masalah murid-murid berkenaan.

1.3.5 Tujuan-tujuan lain

Selain tujuan yang dinyatakan di atas, penilaian dan pengujian juga penting dalam menentukan
kesediaan murid untuk mempelajari sesuatu kemahiran. Ia dijalankan oleh guru sebelum
memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Penilaian jenis ini dibuat oleh guru melalui
pemerhatian kesediaan fizikal murid seperti tangan, mata, jari-jemari dan penumpuan pelajar
terhadap guru. Melalui reaksi yang ditunjukkan, guru dapat menelah kesediaan pelajar untuk
menerima pengajaran atau sebaliknya. Memulakan pengajaran mengikut kesediaan murid
amat penting bagi memastikan murid mempunyai keyakinan mengikuti sesi pengajaran dan
seterusnya membolehkan mereka menguasai kemahiran yang dipelajari.

Hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan oleh guru juga dapat memberikan input kepada
guru tentang keberkesanan pengajarannya. Melalui maklum balas yang ditunjukkan oleh murid
guru dapat menilai sama ada pengajarannya berkesan atau sebaliknya. Sekiranya, rata-rata
pelajar tidak dapat menguasai sesuatu yang diajar; maka jelas menunjukkan strategi
pengajarannya kurang berkesan dan memerlukan pengubahsuaian segera bagi
memperbetulkan keadaan. Kepada pelajar pula, maklumat penilaian ini menunjukkan tahap
penguasaan mereka terhadap sesuatu topik pengajaran. Seandainya mereka lemah dalam
sesuatu topik, maka mereka akan mengetahui dan memberikan tumpuan kepada aspek yang
kurang dikuasai oleh mereka.

Kepada ibu bapa, penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat memberikan maklum balas
terhadap kemajuan dan pencapaian anak-anak mereka dalam bilik darjah. Ibu bapa dapat
mengambil tindakan sewajarnya seperti menghantar tuisyen atau memberikan tumpuan yang
lebih kepada anak-anak mereka demi meningkatkan pencapaian dan membantu meningkatkan
penguasaan anak sebaik yang boleh.

Penilaian yang dijalankan juga dapat memberikan maklumat yang jelas kepada pihak
penggubal dasar khususnya penggubal kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia tentang
kurikulum yang dipelajari di sekolah- sekolah di seluruh negara. Pihak kementerian mendapat
maklum balas yang tepat tentang pencapaian objektif sukatan pelajaran yang telah digubal
sama ada telah dapat dicapai dengan jaya atau sebaliknya. Sekiranya maklum balas yang
diperolehi tersebut menunjukkan masih terdapat kekurangan yang ketara dalam mencapai
objektif yang ditentukan, maka pengubahsuaian akan dilakukan. Kelangsungan daripada ini
pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran berkenaan akan dapat dirangka dengan
lebih baik dan mantap serta sistematik.

Secara umumnya penilaian yang dijalankan di bilk darjah dapat dibuat melalui tiga bentuk, iaitu
: (i) Pemerhatian, (ii) Lisan dan (iii) Penulisan. Ketiga-tiga bentuk penilaian ini bertujuan
mengesan pelajar secara serta-merta, mengesan kemajuan dan mengesan pencapaian. Secara
mudah, jadual di bawah menunjukkan bentuk-bentuk penilaian berkenaan.





Ringkasan:
Pengujian: Satu prosedur yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku. Tujuan ialah
menentukan pencapaian murid dalam sesuatu pembelajaran. Boleh dalam bentuk
pemerhatian, ujian lisan mahupun bertulis.
Pengukuran: Satu prosedur dalam menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan di antara
murid. Tujuan ialah membuat perbandingan pencapaian kedudukan di antara murid
dalam menguasai pembelajaran. Berbentuk ujian bertulis dengan skor dan gred.
Penilaian: Satu proses membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran. Bertujuan
memberikan maklumat tentang pencapaian murid, objektif pelajaran, kaedah
mengajar dan kurikulum.
Pentaksiran: Satu proses mendapatkan maklumat untuk membuat pertimbangan tentang
produk sesuatu proses pendidikan.
Skala nominal: Data yang bersifat kualitatif dan dikelaskan mengikut kategori. Contoh jantina.
Skala ordinal: Data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Tidak dapat menjelaskan
perbezaan secara mutlak. Contoh skala Likert.
Skala sela: Data mempunyai urutan atau pangkat serta anggapan bahawa perbezaan antara
sela wujud. Contoh ujian I.Q.
Skala nisbah: Mempunyai semua sifat skala sela dan mempunyai mutlak kosong. Contoh
seperti ukuran ketinggian, umur, jarak.

Tujuan penilaian:
i) mengumpul maklumat pencapaian murid selepas aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.
ii) Menentukan kekuatan dan kelemahan murid dalam sesuatu pelajaran.
iii) Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam sesuatu kemahiran yang
dipelajari.
iv) Mendapatkan maklumat keberkesanan pengajaran guru.
v) Merekod keputusan penilaian untuk tujuan rujukan.
vi) Menilai keberkesanan kurikulum.