Anda di halaman 1dari 3

Bidang Bimbingan dan Kaunseling semakin berkembang di seluruh Negara.

Perkataan Bimbingan dan Kaunseling merupakan terjemahan dari istilah guidance


and counseling. Terdapat beberapa pengertian yang diberikan kepada dua istilah
ini. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan bimbingan
didefinisikan sebagai pemberian petunjuk dan huraian. Menurut Haji Abdul Latiff
Mohd. Ali, (1995) dalam buku Bimbingan dan Kaunseling Dalam Pendidikan
bimbingan bermaksud satu proses pendidikan yang berlanjutan, tersusun dan
bersistem yang boleh membantu individu melalui daya usahanya sendiri untuk
menemukan dan mengembangkan kemampuannya agar memperoleh kesejahteraan
dalam hidup dan dapat menyesuaikan diri dengan kehendak masyarakat. Menurut
Crow dan Crow (1983) dalam Mok Soon Sang (2010), bimbingan dalam aspek
pendidikan merujuk kepada pertolongan atau bantuan yang diberikan dengan
kaedah yang betul kepada murid yang berkenaan. Abd Rahman Khalid (2005) pula
mendefinisikan bimbingan sebagai satu konsep pendidikan yang melibatkan
pengalaman yang membantu setiap murid untuk memahami, menerima dirinya dan
dapat menyesuaikan diri secara efektif dalam masyarakat. Selain itu, bimbangan
adalah satu proses untuk membantu individu memahami diri dan dunia di
sekelilingnya supaya boleh menggunakan kebolehan, keupayaan dan bakat yang
ada dengan sepenuhnya. Maka dapat disimpulkan bahawa bimbingan merupakan
suatu kewajipan yang harus diberikan oleh para pendidik untuk mendidik,
membimbing, menasihati dan merancang masa depan pelajar ke arah kehidupan
yang sihat dan positif.
Manakala, mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan
kaunseling pula didefinisikan sebagai proses teratur yang melibatkan perbincangan
yang rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan usaha mengatasi atau
menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat. Menurut Haji Abdul Latiff Mohd.
Ali, (1995) kaunseling atau rundingcara bermaksud satu proses hubungan
bersemuka yang bertujuan membantu klien (orang yang dirundingcara) membuat
penyesuaian dan keputusan yang berkesan dalam menggunakan sumber- sumber
yang ada padanya untuk membantu dirinya sendiri. Shertzer dan Stone (1968)
dalam Mok Soon Sang (2010) berpendapat, kaunseling adalah proses yang
membolehkan individu memahami diri dan situasinya melalui interaksi. Kenyataan ini
disokong oleh Arbuckle (1965) dalam Mok Soon Sang (2010) yang menyatakan
bahawa kaunseling bertujuan untuk menolong klien memahami kelebihan,
kelemahan, potensi dan keupayaannya. Selain itu, kaunseling adalah satu proses
perhubungan menolong secara profesional berdasarkan prinsip- prinsip psikologi
yang dilaksanakan oleh Kaunselor mengikut Kod Etika Kaunselor (Peraturan-
peraturan Kaunselor- Kelakuan Dan Tatatertib 1999 dan Akta Kaunselor 1998) untuk
membantu klien meneroka, menganalisis, memahami diri dan mampu membuat
keputusan sendiri. Dengan ini, dapat dirumuskan kaunseling sebagai proses
komunikasi antara seorang kaunselor terlatih dengan seorang individu atau
kelompok kecil yang bertujuan untuk mengatasi masalah serta kecelaruan yang
dihadapi.
Kementerian Pelajaran Malaysia, (1984) menetapkan beberapa prinsip
penting dalam Bimbingan dan Kaunseling Kanak- kanak dimana ia dijalankan secara
individu ataupun berkelompok. Antara prinsipnya ialah bimbingan dan kaunseling
merupakan proses pendidikan yang dirancang dan berterusan untuk semua pelajar
tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan kepercayaan. Setiap pelajar
mempunyai hak untuk mendapatkan pertolongan apabila perlu bagi perkembangan
potensi dan kebolehan diri. Selain itu, bimbingan dan kaunseling juga berniat untuk
menolong pelajar memahami diri sendiri dan orang lain secara mendalam,
menjelajah tujuan hidup dan menolong memilih serta merancang hidupnya dengan
berkesan. Perkara ini menolong pelajar menyedari kelemahan diri sendiri dan
memberi fokus kepada kekuatannya. Di samping memerlukan pemahaman yang
mendalam dan menyeluruh mengenai pelajar, bimbingan dan kaunseling juga
hendaklah dijalankan mengikut etika kaunseling agar kebajikan murid sentiasa
terpelihara. Tambahan, bimbingan dan kaunseling adalah tanggungjawab bersama
dan mestilah berorientasikan masa kini dan masa depan. Kita juga harus sedar
bahawa setiap individu mempunyai sifat yang berbeza dalam gaya, ketangkasan
dan dorongan untuk belajar dimana pembentukan individu dipengaruhi oleh
keseluruhan pengalamannya.
Jenis bantuan yang diberikan oleh kaunselor kepada kanak- kanak berbeza
mengikut teori kaunseling yang digunakan. Teori- teori ini pada asasnya merupakan
suatu cara mengurus dan menggunakan maklumat dengan efektif. Teori Berpusat
Klien, Terapi Tingkah Laku dan Terapi Rasional- Emotif adalah antara tiga teori
penting dalam bimbingan dan kaunseling. Teori Berpusat Klien yang dipelopori oleh
Carl Rogers memfokuskan pengalaman klien terhadap diri mereka sendiri. Terapi
Tingkah Laku pula melihat kecelaruan psikologi sebagai akibat ketidakbolehan
membuat pengubahsuaian selepas pembelajaran. Manakala, Terapi Rasional-Emotif
adalah berdasarkan kepercayaan bahawa manusia perlu mengubah cara berfikir
supaya membetulkan fikiran yang tidak rasional.
Jika bimbingan dan kaunseling diberikan dengan menggunakan terapi yang
bersesuaian dengan keupayaan pelajar sudah tentu objektif bimbingan dapat dicapai
dengan mudah.

Anda mungkin juga menyukai