Anda di halaman 1dari 5

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

(PPPM) 2013-2025: Transformasi


Profesion Perguruan Negara
Ditulis oleh Nor Hartini binti Saari. Posted in Berita Harian
Bidang pendidikan mencatat lagi sejarah. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada pertengahan September lalu telah membuka
lembaran baru buat sistem pendidikan dalam negara.

Transformasi pendidikan ini melibatkan tiga gelombang atau fasa yang mengambil masa tiga belas tahun
bermula tahun 2013-2025. Proses transformasi yang terancang ini memberi satu lagi cabaran
kontemporari buat dunia profesion perguruan dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi
menghadapi cabaran abad ke-21.

Berdasarkan perancangan yang digariskan itu maka besarlah harapan untuk meningkatkan sistem
pendidikan negara kita setanding negara-negara maju. Apatah lagi di dalam bajet 2013 baru-baru ini turut
memperuntukkan sebanyak 15 peratus daripada peruntukan bajet keseluruhan atau sebanyak 38.7 bilion
kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam memastikan pengurusan sektor pendidikan negara
membangun secara holistik terutama aspek memperkasakan kualiti guru.

Ini memandangkan 60 peratus guru yang ada sekarang dijangka kekal dalam perkhidmatan selama
hampir 20 tahun lagi. Maka usaha meningkatkan kemahiran dan kemampuan mereka adalah amat
penting dan perlu dititikberatkan.


Keseriusan dalam membangunkan aspek pendidikan negara ini mencerminkan bahawa betapa aspek
profesion perguruan dalam sistem pendidikan negara bertindak sebagai nadi utama dalam pembangunan
terutama dalam memastikan mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun
2020.

Kita tidak mahu apa yang dirancang dalam tempoh masa tiga belas tahun ini hanya cantik di atas kertas
sahaja tetapi apa yang kita mahukan adalah komitmen daripada semua pihak dalam memajukan
transformasi sektor pendidikan ini berjalan dengan lancar.

Dalam memenuhi aspirasi tinggi negara ini, kita tidak boleh berdiam diri dalam persekitaran global yang
semakin kompetitif. Perubahan yang berlaku bukan sekadar menambah kakitangan guru dan
menambahbaik kemudahan yang sedia ada tetapi perlu memahami dinamik proses pengajaran dan
pembelajaran (P&P). Di sinilah peranan guru yang paling utama dalam memberikan input kepada
pelajarnya.

Gelombang pertama (2013-2015) yang melihat kepada pemerkasaan guru ini amatlah signifikan. Islam
turut memandang tinggi profesion perguruan sebagai pendidik dalam pembangunan ilmu, kemahiran dan
sahsiah pelajar.

Untuk mengetahui sejauhmana pentingnya profesion perguruan dalam Islam, Al-Quran dan hadis ada
menjelaskan antaranya, Allah s.w.t berfirman: "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah
kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik". (Surah an-Nahl: 125). Dan Rasulullah s.a.w bersabda:
"Bahawasanya jika kamu mengajar seseorang, lalu dia mendapat kebajikan yang lebih berharga daripada
dunia dan segala isinya".

Jika diteliti maksud ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang diutarakan ini, jelas menunjukkan
akan keutamaan-keutamaan mengajar khususnya dalam profesion perguruan.

Seorang pendidik mestilah menyedari akan hakikat bahawa pengajaran itu merupakan tanggungjawab
dan amanah yang mesti dilaksanakan. Ini kerana kecemerlangan pendidikan banyak bergantung kepada
kualiti dan kepakaran guru. Oleh itu, guru berkualiti merupakan faktor penentu kepada peningkatan
prestasi sekolah dan pencapaian murid.

Justeru, peluang untuk para guru menjalani latihan kemahiran berterusan serta laluan kerjaya yang lebih
luas perlu diberikan perhatian selain dapat meningkatkan lagi mutu P&P dalam perkhidmatan seorang
guru. Apabila prestasi guru meningkat secara tidak langsung ia akan memberi kesan positif kepada
prestasi pelajarnya.

Hal ini diperkukuhkan lagi berdasarkan kajian yang dijalankan di Tennessee, Amerika Syarikat pada
pertengahan tahun 1990-an yang menunjukkan relatif guru berpendidikan tinggi dapat meningkatkan
pencapaian murid sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga tahun berbanding guru berprestasi rendah.

Di samping itu, peranan guru dalam proses penggerak P&P yang berkualiti dan efektif turut sama
meningkatkan pembangunan pendidikan sekolah. Keadaan ini secara berterusan dapat dapat
merangsangkan pelajar untuk belajar dengan lebih seronok sesuai dengan alam pendidikan di peringkat
rendah sehingga peringkat atas. Sebaliknya, pengajaran tidak akan menjadi menarik minat pelajar
apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan berbentuk pasif dalam menyampaikan
kandungan mata pelajaran mereka.

Oleh itu, aspek kreativiti serta inovasi P&P daripada seorang guru perlu diterokai bagi melihat apa yang
ingin mereka sampaikan menarik minat pelajarnya. Segala bentuk proses pembelajaran berbentuk formal
dan tidak formal bergantung kepada kreativiti dan peranan utama terletak pada tanggungjawab guru.
Inilah transformasi negara yang kita kehendaki yang dapat dimanfaatkan dalam sistem pendidikan
negara.

Dalam memperkukuhkan aspek kemahiran guru ini adalah digalakkan agar para guru terus
memperkukuhkan latihan dalam perkhidmatan. Sebagai contoh, guru-guru yang telah lama berkhidmat
hendaklah terus diberi pendedahan khusus tentang sahsiah guru sebagai murabbi, dengan pendekatan
dan kaedah pengajaran terkini.

Sebagai murabbi, guru bukan sahaja bertindak untuk mengajar beberapa subjek mengikut sukatan
pelajaran tertentu tetapi mereka turut berperanan untuk sama-sama mendidik, memelihara, mengasuh,
mentarbiyyah anak didik mereka menjadi manusia yang berilmu, bertakwa dan beramal soleh serta
mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran atau melaksanakan konsep amar ma'ruf dan
nahi munkar yang dapat melahirkan pelajar yang memiliki keperibadian yang luhur.

Dalam merencanakan profesion guru cemerlang ini juga dalam abad ke-21 penyediaan geran
penyelidikan juga adalah penting untuk membantu menaiktarafkan profesionalisme guru dalam kemajuan
kerjaya mereka. Kemudahan geran penyelidikan misalnya turut memberi laluan kepada para guru untuk
meningkatkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi adalah terbuka luas.

Di samping dapat melahirkan sebilangan besar guru yang lebih berkemahiran berfikir aras tinggi
seterusnya dapat membantu melahirkan masyarakat yang juga dapat berfikir (thinking society) secara
kritis, kreatif dan inovatif. Proses melahirkan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi ini
merupakan sebahagian pelaburan besar pendidikan untuk menjamin kemajuan ekonomi dan
kesejahteraan negara.

Bagi mencapai matlamat dan usaha murni ini, marilah kita semua bersatu dan mengambil tanggungjawab
sebagai guru bagi menyokong setiap aktiviti dan program pendidikan terutama kepada maklum balas di
dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan dimuktamadkan Disember
depan.

Ingatlah apabila negara mempunyai masyarakat yang berpendidikan tinggi maka kemajuan ekonomi juga
akan meningkat. Jika ini tercapai maka kita akan melihat Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan negara maju menjelang tahun 2020.






























Transformasi Kurikulum

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah
Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha
penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu
dilaksanakan supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan
datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu kajian dan
mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi kurikulum sekolah rendah.

Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum
persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan
pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran
abad ke-21. Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada kemahiran membaca,
menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi,
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan.

Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah melakukan penandaarasan
dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan
yang dibangunkan setanding dengan pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input
daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu
bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum persekolahan rendah berasaskan
standard dibangunkan.

Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah mendapat kelulusan Mesyuarat
Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut
melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis
telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.





Hasrat KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif,
kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan
estetika, keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar
Pendidikan Kebangsaan. KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan
teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar
untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup
bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).

Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
- Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
- Warganegara yang bertanggungjawab
- Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)
- Pekerja berilmu

Anda mungkin juga menyukai