Anda di halaman 1dari 6

Setiap tahun menjelang tarikh keramat 16 Mei, sambutan Hari Guru diadakan

di seluruh negara. Apa yang penting adalah mengisi dan memenuhi hasrat tema
berkaitan dengan sambutan Hari Guru. Bagaimanapun, setiap guru sewajarnya
berhasrat menjadi guru profesional dalam abad yang serba mencabar ini. Bidang
dan tugas guru juga semakin luas dan mencabar.
Terdapat tiga jenis tugas guru yakni dalam bidang profesion keguruan,
kemanusiaan dan kemasyarakatan. Justeru, guru adalah satu profesion yang
membawa erti pekerjaan yang memerlukan keahlian khusus sebagai guru.
Jenis pekerjaan itu semestinya tidak dapat dilakukan sebarangan orang di
luar bidang pendidikan. Jelaslah tugas guru penting untuk membentuk manusia ke
arah kebaikan meliputi mendidik, mengajar dan melatih. Dalam hal ini, mendidik
bererti meneruskan dan mengembangkan nilai hidup. Mengajar bererti meneruskan
dan mengembangkan ilmu pengetahuan dan teknologi. Sementara melatih bererti
mengembangkan keterampilan kepada pelajar.
Tugas guru dalam bidang kemanusiaan meliputi tugas menjadikan dirinya
sebagai ibu bapa kedua hingga menjadi idola kepada pelajarnya. Pengajaran dan
pembelajarannya menarik dan mudah difahami. Guru sentiasa menggunakan
pendekatan kasih sayang, mesra, prihatin bagi mendekati, memahami keinginan dan
kehendak pelajar.
Masyarakat menempatkan guru pada tempat yang lebih terhormat dari
lingkungannya kerana daripada seorang guru, masyarakat memperoleh ilmu
pengetahuan ke arah pembentukan sesebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Pada zaman ini, guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi pengganti ibu bapa,
kaunselor, pembimbing dan rakan. Guru mestilah mempunyai jiwa cekal dan
semangat kental ke arah mendidik pelajar yang cemerlang akal budinya dalam dunia
tanpa sempadan.
Hamka pernah berkata: Seorang guru, baik guru mengaji atau guru di
sekolah atau seorang guru yang hanya sekali kita temui tetapi kita beroleh pelajaran
daripadanya, semuanya adalah jasa tidak dapat dibalas dengan harta benda.
Demikianlah tinggi dan mulianya martabat guru kepada setiap manusia.
Seseorang guru hendaklah mempunyai kepimpinan bermoral seperti jujur dan
amanah, bersikap proaktif dan berilmu serta berkemahiran, sekali gus intipati
penting dalam pembangunan dan kemajuan pelajar di sesebuah sekolah. Setiap
guru tunjang penting negara dalam melahirkan modal insan yang mampu memacu
pembangunan yang lebih pesat. Oleh itu, setiap guru perlu mempunyai semangat
tinggi untuk terus mencipta kecemerlangan akademik dan kokurikulum kepada
setiap pelajarnya.
Guru yang penyayang akan mengambil tahu masalah muridnya serta sedia
mendengar dan memberi perhatian kepada muridnya. Murid yang lemah dikasihani,
yang silap ditegur dengan baik. Kecemerlangan pelajar adalah kejayaannya.
Sebarang bantuan diperlukan oleh pelajar akan dibantu guru. Itulah guru yang
penyayang.
Hasil jalinan kasih sayang ini, sekolah akan menjadi model pendidikan yang
terbaik. Kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum akan dapat dicipta oleh
sekolah tersebut hasil kerjasama erat. Undang-undang dan peraturan sekolah akan
sentiasa dipatuhi bukan kerana takut, tetapi sayang dan hormat kepada guru.
Pelajar akan berasa malu dan tidak akan melanggar disiplin sekolah kerana sikap
guru yang terlalu baik kepadanya.
Sesungguhnya, guru yang bersahsiah tinggi bukan sahaja dapat
menyampaikan pelajaran berkesan, tetapi memikat hati pelajarnya. Guru akan
menjadi penasihat berkesan, sahabat baik dan menjadi contoh baik kepada
pelajarnya. Walaupun pada masa kini setiap guru akan menjadi profesional tetapi
nilai yang baik itu tetap menjadi tunjang kepada seseorang guru.
Kementerian Pelajaran sentiasa berusaha menjaga kebajikan guru dengan
perumahan yang selesa, memberi elaun khusus dan menyediakan pelbagai peluang
kenaikan pangkat. Jumlah elaun sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk
memastikan sesuai dengan tanggungjawab yang disandang.
Tugas guru lebih mencabar kini untuk membangunkan murid yang bersedia
menghadapi cabaran global masa akan datang, selaras dengan Aspirasi Murid
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Sukar mencari kata-kata yang dapat menggambarkan pengorbanan dan rasa
dalam hati setiap pelajar terhadap guru mereka yang banyak berjasa membentuk
dan mendidik mereka daripada tidak mengenal huruf hingga menjadi bijak pandai.
Walaupun kerajaan sentiasa menjaga kebajikan guru, peranan pelajar adalah
sangat penting dalam memberi apresiasi kepada guru. Sebagai pelajar, banyak
perkara yang dapat dibuat untuk mengganti jasa baik guru. Bagi pelajar yang masih
bersekolah, guru boleh disifatkan sebagai ibu bapa kedua kerana mereka bukan
saja mendidik pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah turut memupuk
nilai murni rohani dan jasmani, kasih sayang, akhlak mulia serta menghindari segala
keburukan agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara seperti
yang diimpikan setiap ibu bapa.
Sebab itulah pelajar harus menghormati guru dan patuh kepada segala tunjuk
ajar dan nasihat guru seperti mana mereka mentaati ibu bapa, selagi ia tidak
bertentangan dengan jalan kebaikan. Jarang berlaku dalam sejarah peradaban
manusia, guru menyuruh anak didiknya melakukan sesuatu yang bertentangan,
walaupun guru terpaksa menghukum pelajarnya sendiri, tetapi ia adalah semata-
mata demi kebaikan.
Bagi mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan, jasa bekas guru
tidak harus dilupa kerana hasil daripada didikan gurulah telah meletakkan diri
mereka pada kedudukan di mana mereka berada sekarang. Kejayaan mereka
adalah kerana hasil didikan guru dan jika mereka gagal sekalipun, adalah kerana
salah diri sendiri yang tidak mengikut nasihat guru. Setiap insan tentunya mahu
mengecapi kesenangan dalam kehidupan. Kegagalan akan membuatkan kita insaf
dan menyesal kerana tidak memberi tumpuan kepada pelajaran serta mengikuti
pesanan guru sewaktu berada di bangku sekolah suatu ketika dahulu.
Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa
lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula
daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis. Inilah
ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa
tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang
menyinari kehidupan insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam
mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu
dipertikaikan. Tanpa usaha dan pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar mencapai
kejayaan yang cemerlang. Oleh itu, cara-cara menghargai jasa guru yang mewarnai
fokus perbincangan akan dihuraikan dan dipericikan untuk kepentingan bersama.

Memetik kata-kata daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishamuddin Hussein yang menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati
guru bermula dari rumah dan mengharapkan ibu bapa menggalakkan anak-anak
mereka menghargai jasa guru. Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah adab
menghormati guru merupakan elemen penting dalam memupuk budi bahasa dan
adab sopan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab
ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru.
Para pelajar perlulah sentiasa bermanis muka sambil mengucapkan selamat
sejahtera atau memberikan salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru
tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru
tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan perlu dielakkan. Dalam
konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya
semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang
tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu
menjaga tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan
dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya,
berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai
guru yang mengajar serta mendidik kita.

Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara
yang tidak boleh dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak
mulianya. Antara ciri pelajar yang berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke
sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme
mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan
kemas dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin
pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh
pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk
mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa
bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, membuktikan
kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan
pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah,
mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.

Bagi menjadikan setiap guru insan profesional, pembangunan pendidikan
2001-2010 memberi tumpuan kepada pendidikan prasekolah dan rendah,
pendidikan menengah, pendidikan tertiari, program sokongan, pembiayaan
pendidikan pengurusan dan ICT dalam pendidikan. Ini bertujuan untuk melahirkan
rakyat yang berketrampilan dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang sains dan
teknologi. Hakikatnya, seorang guru akan dipanggil guru selama-lamanya. Kata
panggilan mesra kepada seorang guru adalah cikgu. Meskipun seseorang guru itu
sudah bersara, panggilan cikgu akan tetap kekal digunakan kenalan sebagai jasa
martabat pendidik sepanjang hayatnya.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.









Aminudin Mansor (2008). Minda : Jasa guru tidak terbalas
http://www.pinah.com/career/selamat-hari-guru/ dilayari pada 2 September
2014
(-) 2014 Jasa guru tiada tandingnya
http://www.hmetro.com.my/articles/Jasagurutiadatandingnya/Article dilayari
pada 2 September 2014
Zainor Said (2009) Respons: Kenang jasa dan pengorbanan guru sepanjang hayat
http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2009/05/respons-kenang-jasa-
dan-pengorbanan.html dilayari pada 2 September 2014
Subbash Ekambaram 2013 CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU
http://jpnterengganu.moe.gov.my/bm/hebahan/hariguru/PERUTUSAN%20PE
NGARAH%202014.pdf dilayari pada 2 September 2014

Anda mungkin juga menyukai