Anda di halaman 1dari 2

Konsep Asas Teori Pembelajaran Kognitif

Teori Pembelajaran tingkah laku yang diutarakan oleh mazhab behavioris tidak dapat digunakan
untuk menerangkan semua jenis pembelajaran yang berlaku dalam situasi yang berlainan.
Umpamanya, walaupun kita kerap menggunakan telefon untuk menelefon kawan, kita sentiasa
perlu merujuk buku panduan telefon untuk mendapatkan nombor.

Sukar bagi kita untuk mengingati nombor yang kurang memberi makna dalam hidup kita.
Walaubagaimanapun, kita sentiasa mengingati peristiwa yang telah kita alami suatu masa dahulu.
Ini kerana peristiwa itu merupakan suatu pengalaman yang bermakna kepada kita.

Sehubungan dengan itu, mazhab kognitif menyarankan bahawa pembelajaran berlaku apabila
kita cuba mencari maksud berkaitan dengan sesuatu perkara.

Kita menggunakan pemikiran dan otak untuk belajar. Di samping itu, kepercayaan , harapan dan
perasaan juga mempengaruhi pembelajaran kita. Dalam situasi bilik darjah murid belajar dengan
memperolehi dan mengelolakan pengetahuan. Murid sentiasa mengelolakan pengalaman yang
sedia ada untuk membina struktur kognitif supaya memperolehipengetahuan yang baru.

Setiap kali murid belajar mereka akan mengelolakan dan menyimpan pengalaman dalam ingatan.
Bahkan mereka akan menghayati maksud perkara yang baru mereka pelajari. Pengalaman yang
bertindih juga dapat membantu murid menyelesaikan sesuatu masalah yang mereka hadapi
dalam kehidupan seharian mereka.

Mengikut mazhab ini, manusia mempunyai struktur kognitif dan apabila seseorang belajar dia
akan menyusun segala maklumat dalam ingatannya. Mazhab kognitif berpendapat bahawa setiap
manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola dan menyusun serta mengeluarkan
semula segala pengalaman untuk membolehkannya memerhati pertalian di antara pengalaman
tersimpan dengan masalah yang dihadapi.

Mengikut pandangan kognitif, proses pembelajaran dapat disifatkan sebagai pengumpulan,
penyusunan dan penggunaan pengetahuan yang dikeluarkan untuk penyelesaian masalah.
Pembelajaran kognitif melibatkan dua proses mental yang disebut pengamatan dan penguasaan
konsep (penanggapan).

Teori kognitif juga menganggap pembelajaran sebagai satu proses yang aktif. Setiap pelajar
mempunyai kebolehan mental untuk mengelola, menyimpan dan mengeluarkan semula segala
pengalamannya untuk memperoleh maksud baru dalam pembelajaran lanjutan atau untuk
menyelesaikan masalah.

Seseorang itu tidak belajar secara positif hanya melalui kaedah cuba ralat dalam persekitaran.
Murid boleh memilih, membuat keputusan, mempraktik dan mencuba untuk mencapai sesuatu
matlamat. Oleh itu, pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada sentiasa menentukan apa yang
akan dipelajari, diingati atau dilupakan.

Ahli-ahli psikologi pendidikan yang terkemuka dan berpengaruh terhadap teori pembelajaran
kognitif ialah Kohler, Bruner, Gagne, dan Ausubel.