Anda di halaman 1dari 8

PENGENALAN

Agama berperanan besar dalam membentuk insan bermoral. Selain itu, agama juga
berperanan dalam membentuk aliran pemikiran moral seseorang individu. Agama utama di
Malaysia yang akan dikaitkan dengan pembentukan insan bermoral ialah Islam, Buddha dan
Hindu. Ini sejajar dengan konsep masyarakat majmuk yang terdapat di negara ini.
Sementara itu, aliran pemikiran moral individu yang dimaksudkan ialah pemikiran naturalis,
pemikiran emotivis, pemikiran instuisionis dan pemikiran rasonalis.
Isu yang akan dikupas bagi tugasan projek ini adalah kadar penceraian yang tinggi di
Malaysia. Isu semasa ini kini menjadi duri dalam daging yang perlu ditangani sewajarnya.
Perceraian didefinisikan sebagai perpisahan di antara suami dengan seorang isteri yang
diiktiraf oleh undang-undang. Penceraian menyebabkan seseorang bekas suami atau isteri
itu boleh berkahwin dengan seseorang perempuan atau lelaki yang lain. Menurut Dr. Asyraf
Wajdi Dasuki (Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia), setiap bulan purata
antara 2000 hingga 2500 kadar penceraian berlaku. Ini memperlihatkan angka yang sangat
besar dan harus ditangani dengan segera.
Menurut Diladellila di www.virtualfriends.net, penceraian di kalangan penganut
agama Islam lebih tinggi berbanding penganut agama Buddha dan Hindu. Pendapat ini
diperkuatkan lagi dengan adanya statistik yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia di akhbar Harian Metro pada 2012. Statistik menunjukkan kadar
perceraian di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Statistik ini amat
membimbangkan kerana jumlah perceraian secara puratanya bagi tempoh sehari ialah
56 penceraian berbanding 359 perkahwinan yang berlangsung. Menurut Datuk Dr .
Mashitah Ibrahim, kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri di Malaysia
berlaku dalam tempoh setiap 15 minit.
Statistik penceraian dari Januari sehingga Jun 2013, mencatatkan sejumlah 22,162
kes manakala jumlah pasangan bercerai tahun 2012 adalah sebanyak 47,779 kes.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abd
Karim, kadar penceraian pasangan bukan Islam pula lebih rendah dengan 1,062 kes pada
tahun 2012. Manakala hanya 141 kes dari Januari hingga 2013.
Berdasarkan statistik penceraian yang dinyatakan terbukti bahawa kadar penceraian
di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan. Bukan orang biasa sahaja yang
terlibat dalam penceraian malah selebriti terkenal di Malaysia. Terkini, dilaporkan oleh
akhbar Berita Harian dalam artikel bertarikh 9 Mac 2014 pelakon Shaharuddin Thamby
bercerai dengan isterinya walaupun telah berkahwin sejak 1978 dan dikurniakan tiga orang
anak. Terdapat juga desas desus yang mengatakan pelakon Sari Yanti telah bercerai
dengan suaminya, Mohd. Eddy Casmady Che Hussin (Pancaindera, 9 Mac 2014).
Perkahwinan merupakan satu ikatan yang suci antara suami dan isteri. Bukan
sahaja agama Islam memandang tinggi terhadap institusi perkahwinan. Malah agama
lain juga mengiktiraf perkahwinan. Menurut ajaran Buddhisme, perkahwinan adalah
suatu ikatan zahir dan batin antara seorang lelaki dan seorang wanita sebagai suami isteri
dengan tujuan membentuk keluarga (rumah tangga) yang bahagia sesuai dengan
Dhamma. Ajaran Buddha tidak menyatakan sokongan terhadap penceraian malah tidak
juga membantahnya. Sekiranya suami isteri tidak lagi mempunyai persefahaman, mereka
mempunyai kebebasan untuk berpisah. Perpisahan adalah lebih baik untuk mengelakkan
kehidupan keluarga yang sengsara bagi jangka masa panjang. Namun berbeza pula dengan
ajaran Hindu kerana Hinduisme menentang penceraian. Isteri tidak dibenarkan meminta
cerai kerana kedudukan wanita lebih rendah berbanding lelaki. Penceraian tidak dibenarkan
kecuali suami atau isteri tidak setia. Misalnya, di Bali penceraian merupakan langkah
terakhir yang akan diambil apabila tiada lagi jalan untuk perdamaian.
Sememangnya, agama sangat berperanan dalam membentuk insan bermoral serta
aliran pemikiran moral seseorang individu melalui ajaran dan nilai yang terdapat padanya.
Sekiranya ajaran dan nilai itu diamalkan sepenuhnya, sudah tentulah kadar penceraian di
Malaysia dapat dikurangkan. Menurut ajaran Islam, penceraian diharuskan dalam
sesetengah keadaan. Namun, semua penganut agama Islam disarankan untuk
mempertahankan ikatan perkahwinan daripada hancur. Apabila umat Islam berkahwin,
mereka berjanji untuk menerima pasangannya dengan nama Allah, memelihara diri daripada
zina, menjaga kebajikan pasangan dan berusaha mempertahankan ikatan perkahwinan
dengan sedaya upaya.






PERANAN AGAMA-AGAMA UTAMA DI MALAYSIA DALAM MEMBENTUK
INSAN BERMORAL
Prinsip Rukun Negara yang pertama adalah Kepercayaan kepada Tuhan. Mengapa
kepercayaan kepada Tuhan menjadi tunggak kepada Rukun Negara?. Jelaslah ia
membuktikan agama itu penting dalam pembentukan insan bermoral. Sebagai contoh,
agama Islam mengajarkan penganutnya agar membuat pertimbangan rasional selagi tidak
melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Ajaran Islam ini dalam masa yang sama
dapat membentuk aliran pemikiran rasional dan bermoral. Contohnya, seorang guru melihat
anak muridnya berpakaian lusuh ke sekolah. Pemikiran rasional guru ini menyatakan anak
muridnya mungkin berpakaian sebegitu kerana tidak mempunyai wang untuk membeli
pakaian sekolah yang baru. Guru itu akan mula berempati, menyiasat keadaan anak
muridnya dan bersedia untuk membantu.
Mengikut ajaran Buddha terdapat Jalan Mulia Lapan Lapis. Jalan Mulia Lapan
Lapis ini pula merangkumi Sila (kebaikan akhlak dan moral), Samadhi (Perkembangan
Mental) dan Panna (Kebijaksanaan). Penganut agama Buddha perlu menitikberatkan panca
sila. Panca sila mengandungi lima perkara utama yang menjadi asas kepada perbuatan
seseorang. Lima perkara tersebut ialah larangan membunuh, bersifat jujur, larangan
berzina, larangan meminum arak dan tidak mengkhianati antara satu sama lain. Ajaran
Buddha ini dapat membentuk insan bermoral yang bersifat penyayang dan berbelas kasihan
dengan adanya larangan terhadap penganutnya agar tidak membunuh makhluk hidup.
Ajaran Buddha juga membentuk insan bermoral dengan menjaga aspek keturunan. Ini
berlaku dengan adanya larangan terhadap penganutnya agar tidak melakukan hubungan
sulit antara lelaki dan perempuan (berzina).
Ajaran Hindu menganjurkan kepercayaan kepada hukum karma. Karma bermaksud
perbuatan baik dibalas baik, perbuatan jahat dibalas jahat. Kepercayaan ini dapat
membantu pembentukan insan bermoral. Manusia akan lebih takut berbuat dosa kerana
dikhuatiri akan mendapat balasan yang jahat. Penganut agama Hindu dianjurkan untuk
patuh kepada ajaran Veda. Upanishad merupakan salah satu bahagian di dalam veda.
Terdapat nilai-nilai moral di dalam Upanishad. Antaranya ialah jangan inginkan benda yang
dimiliki oleh orang lain. Nilai moral ini dapat membantu membentuk insan yang tidak
melakukan kegiatan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri jika penganutnya
mengamalkan nilai tersebut.
Ajaran Hindu juga menyarankan penganutnya agar menghormati ibu bapa, guru dan
tetamu. Jika penganutnya mengamalkan nilai ini, maka tiadalah lagi isu ibu bapa yang
sudah tua dihantar ke rumah kebajikan orang tua kerana anak tidak mahu menjaga mereka.
Nilai-nilai yang terdapat dalam ajaran Hindu sememangnya dapat membentuk insan
bermoral.
PERANAN AGAMA DALAM MEMBENTUK ALIRAN PEMIKIRAN MORAL INDIVIDU
Aliran pemikiran moral terbahagi kepada pemikiran naturalis, pemikiran emotivis,
pemikiran intuisionis dan pemikiran rasionalis. Pemikiran naturalis adalah aliran pemikiran
yang menggambarkan sesuatu dalam keadaannya yang sebenar. Manusia dikatakan
bersifat rasional secara semulajadi. Oleh itu, manusia yang berpemikiran naturalis akan
mementingkan keluarga dan seharusnya kadar penceraian dapat dikurangkan. Aliran
pemikiran ini juga tidak menerima kelakuan tidak bermoral seperti hubungan zina atau
hubungan seks sebelum berkahwin. Ajaran agama Islam dan Buddha juga menegah zina.
Ini dapat membantu pembentukan aliran pemikiran naturalis.
Aliran pemikiran emotivis pula merujuk kepada pertimbangan moral yang dibuat
mengikut emosi, sikap atau perasaan. Oleh itu, menurut aliran pemikiran ini sekiranya
manusia berdendam dengan seseorang manusia lain maka, dia boleh berbuat sesuka hati
kepada manusia tersebut. Contohnya membunuh. Pada keadaan ini, agama dapat
memainkan peranan menegah perbuatan ini. Contohnya, ajaran Hindu menganjurkan
penganutnya agar menghindari perasaan benci serta mementingkan diri sendiri. Ajaran
Islam juga sama sekali menegah perbuatan membunuh. Perkara yang terkandung dalam
Panca Sila atau asas moral agama Buddha juga melarang manusia daripada membunuh.
Aliran pemikiran intuisionis merupakan pemikiran yang berlandaskan intuisi atau
gerak hati. Individu yang berpemikiran intuisionis ini boleh mempercayai individu lain
walaupun pertama kali bertemu. Ajaran agama Islam yang menyarankan penganutnya
bersangka baik dengan manusia dapat membantu membentuk pemikiran intuisionis. Ajaran
agama Buddha pula menyarankan agar penganutnya bersifat jujur. Kejujuran mengukuhkan
aliran pemikiran intuisionis. Ajaran Hindu juga membantu pembentukan aliran pemikiran
intuisionis. Manusia disarankan agar menghindari perasaan benci. Oleh itu, manusia yang
mempunyai aliran pemikiran intuisionis boleh mempercayai manusia lain.
Aliran pemikiran rasionalis pula mengatakan segala perlakuan manusia memerlukan
asas pemikiran rasional yang waras dan logik. Jika manusia berpemikiran rasional mereka
tidak akan melakukan sesuatu yang negatif seperti bunuh diri dan vandalisme. Ajaran
agama dapat membantu pembentukan aliran pemikiran ini. Ajaran agama Islam
mengamalkan prinsip memelihara nyawa. Oleh itu, penganutnya ditegah untuk membunuh
diri. Membunuh orang lain juga tidak dibenarkan sama sekali. Nyawa adalah hak Tuhan.
Oleh itu, manusia tidak berhak terhadap nyawanya sendiri.
Sememangnya, agama berperanan dalam membentuk aliran pemikiran moral
individu. Baik agama Islam, Buddha mahupun Hindu.
PUNCA, IMPLIKASI DAN CARA MENGATASI KADAR PENCERAIAN TINGGI
Penceraian bukan sahaja melibatkan penganut agama Islam malah agama Buddha
dan Hindu. Namun, apa yang membimbangkan kadar penceraian penganut Islam lebih
tinggi berbanding penganut agama lain. Terdapat pelbagai punca yang menyumbang
kepada penceraian. Antaranya ialah masalah kewangan yang kronik.
Masalah kewangan yang kronik ini biasanya berpunca daripada penggunaan kad
kredit yang tidak terkawal. Pada masa kini, penggunaan kad kredit seperti satu kemestian
bagi memperlihatkan status dan gaya hidup moden. Menurut artikel terbitan Persatuan
Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) dengan kerjasama KPDNKK, jumlah
individu yang muflis kerana hutang kad kredit pada tahun 2013 adalah 1873 orang. Apabila
individu dibebani dengan masalah hutang, maka kemampuan dan kesanggupan individu itu
untuk menanggung nafkah keluarga menjadi rendah. Apabila tidak mempunyai cukup wang,
suami atau isteri akan berasa tidak tenang, berserabut dan akhirnya bertengkar dengan
pasangan mereka. Menurut hadis Riwayat Muslim, Tidak dibenarkan bagi seorang Muslim
untuk meninggalkan saudaranya (tidak mahu bercakap dengannya kerana benci) lebih tiga
hari. Namun, berbeza pula dengan aliran pemikiran emotivis. Aliran pemikiran ini merujuk
kepada sikap manusia yang bertindak mengikut perasaan atau emosi. Aliran pemikiran ini
juga berpendapat, pertimbangan moral adalah mengikut emosi, sikap atau perasaan. Oleh
itu, pergaduhan suami isteri dibenarkan bagi menyatakan emosi dan ketidakpuasan hati
mereka. Di sinilah peranan agama dalam membantu suami isteri membuat pertimbangan
apabila berlaku pergaduhan. Berdasarkan ajaran Islam, para isteri perlu taat kepada suami.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Mana-mana perempuan yang
meninggal dunia dalam keadaan suaminya reda kepadanya, dia akan masuk syurga.
Seharusnya, pasangan suami atau isteri bersedia untuk hidup senang serta susah
bersama-sama sebagaimana diikrarkan ketika majlis akad nikah mereka. Sekiranya
hubungan suami isteri semakin meruncing dan tidak dapat diselamatkan, maka jalan
penceraian diambil sebagai alternatif terakhir. Apabila penceraian berlaku, hubungan
kekeluargaan antara menantu dan mertua serta ipar duai mungkin terputus. Ini bertentangan
dengan ajaran Islam. Firman Allah SWT Maka apakah kiranya, jika kamu sekalian
berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan
silaturahim? Mereka itulah orang yang dilaknat Allah dan dipekakkan telinga mereka dan
dibutakan penglihatan mereka. (Surah Muhammad, ayat 22-23). Oleh itu, jelas terbukti
Allah tidak menyukai orang yang memutuskan silaturahim. Oleh itu, penceraian haruslah
dielakkan.
Kadar penceraian di Malaysia yang tinggi juga disebabkan oleh masalah ego suami
atau isteri. Senario pada masa kini adalah isteri lebih berkerjaya dan mempunyai
pendapatan lebih berbanding suami. Ini merupakan salah satu punca yang menyebabkan
ego isteri melebihi suami. Apabila terjadi pergaduhan, isteri tidak mahu beralah. Terdapat
juga keadaan apabila suami ego dan berasakan dia sahaja yang betul. Ini bertentangan
dengan sunnah Nabi Muhammad SAW. Menurut Dr Fauzi Deraman dalam artikel akhbar
bertajuk Rasulullah model terbaik, Baginda menghormati pandangan semua pihak
termasuklah wanita. Isteri Rasulullah, Ummu Salamah telah mencadangkan kepada
Baginda supaya bercukur dahulu agar sahabat-sahabat Baginda bersetuju untuk mencukur
rambut (bertahalul) apabila tidak dibenarkan menunaikan umrah oleh Quraisy Makkah.
Akhirnya, sahabat-sahabat berebut-rebut untuk mengikut tindakan Rasulullah. Peristiwa ini
berlaku ketika Perjanjian Hudaibiyah antara rombongan Islam dari Madinah dengan
Musyrikkin Makkah. Musyrikkin Makkah tidak membenarkan umat Islam menunaikan umrah
walaupun ketika itu mereka sudah berniat ihram. Suami atau isteri seharusnya mencontohi
sikap Nabi Muhammad SAW. Sekiranya pandangan atau pendapat suami atau isteri
diterima maka ruang untuk pergaduhan dapat dielakkan. Ini dapat membantu
mengurangkan kebarangkalian pasangan suami isteri bercerai serta membentuk aliran
pemikiran rasionalis. Jika mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW ini, manusia akan
bertindak waras dan rasional apabila berhubungan dengan suami atau isteri.
Masalah kecurangan juga boleh menyebabkan penceraian. Kecurangan boleh
berlaku daripada pihak suami atau isteri. Masalah kecurangan bukan sahaja berlaku kepada
pasangan biasa di Malaysia malah selebriti terkenal di luar negara. Contohnya menurut
artikel di Berita Harian bertarikh 20 Mac 2014, rumah tangga Robin Thicke dan isteri
dilaporkan di ambang kehancuran kerana sikapnya yang curang. Terdapat juga artikel di
akhbar yang melaporkan penglibatan selebriti Malaysia dalam skandal kecurangan.
Kontroversi yang melanda pelakon Hanez Suraya dapat dijadikan contoh. Menurut artikel di
Berita Harian bertarikh 10 Mac 2014, Hanez Suraya dikatakan bercinta dengan Romie Razin
Adilha yang masih bergelar suami orang.
Pada zaman kecanggihan teknologi maklumat ini, pelbagai medium dapat
menjuruskan pasangan suami isteri ke dalam masalah kecurangan. Medium elektronik dan
internet menggalakkan masalah ini membiak bagai cendawan selepas hujan. Terdapat
laporan yang mengatakan media sosial Facebook mempunyai 1.23 bilion pengguna aktif
bulanan sehingga akhir tahun 2013 (Berita Harian, 3 Februari 2014). Oleh itu, tidak
hairanlah media seperti WhatsApp, Twitter, Facebook serta laman sosial lain membuka
ruang ke arah kecurangan. Rakan baru, bekas teman wanita dan bekas teman lelaki sangat
mudah dikesan dan dihubungi semula melalui medium tersebut. Bermula dengan bertanya
khabar sehingga ke fasa yang lebih rapat. Akhirnya berlaku kecurangan. Apabila berlaku
kecurangan, suami atau isteri yang tidak dapat menerima keadaan ini memfailkan
penceraian. Kebiasaannya, isteri bertindak memfailkan penceraian kerana tidak rela
dimadukan. Terdapat juga isteri yang bertindak mengugut bunuh diri jika suaminya
berkahwin lain.
Ajaran Buddha menasihati penganutnya agar mempunyai seorang isteri sahaja dan
jangan bernafsu serta cuba memikat wanita lain. Ini kerana Buddha berpendapat salah satu
punca utama kejatuhan lelaki adalah penglibatannya dengan wanita lain (kitab Parabhava
Sutta). Buddha juga menasihatkan penganutnya agar menghindarkan diri daripada
melakukan perbuatan zina serta persetubuhan yang tidak sah.
Ketagihan dan kelekaan terhadap medium seperti WhatsApp, Twitter dan Facebook
juga menyebabkan suami atau isteri mengabaikan pasangan dan anak-anak. Masa banyak
dihabiskan dengan melayari media sosial sehingga mengabaikan tanggung jawab terhadap
keluarga. Apabila penceraian berlaku, anak-anak berasa tertekan. Anak-anak pula mula
mengabaikan pelajaran dan mencari keseronokan bersama-sama rakan-rakan. Jika tersilap
langkah, anak-anak akan terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti seks bebas sebelum
kahwin, penagihan dadah dan pil khayal.
Terdapat kajian menunjukkan anak yang lahir dari rumah tangga bahagia
mempunyai kecenderungan kepada hubungan perkahwinan yang bahagia di kemudian hari.
Manakala anak yang mempunyai ibu bapa tidak bahagia dan bercerai akan cenderung
mengikut jejak langkah ibu bapanya (Berita Harian, 20 Mac 2014). Menurut pengkaji
kekeluargaan Dr Patrick F Fagan, anak-anak yang datang daripada keluarga yang bercerai
berai akan menjadi murung dan mudah berputus asa. Anak-anak ini juga kerap mengalami
tekanan emosi, kesihatan badan tidak kuat dan tidak berminat dengan ilmu serta kerjaya.
Penceraian juga boleh disebabkan oleh campur tangan ahli keluarga seperti mertua,
ipar duai dan adik beradik. Kadang kala kerana campur tangan mereka suami isteri boleh
bergaduh sehingga mengakibatkan penceraian. Seharusnya, ahli keluarga perlu
mendamaikan suami isteri ini. Ini bertepatan dengan ajaran Hindu yang menyarankan agar
manusia jangan mementingkan diri serta memikirkan kebajikan orang lain.
Isu kahwin muda juga boleh menyebabkan penceraian. Individu antara umur 20-an
dan awal 30-an dilaporkan mengalami perkahwinan singkat, maksimum 5 tahun. Penceraian
berlaku kerana kurang mahir ilmu berumahtangga dan tidak matang. Walaupun kahwin
muda bukan merupakan faktor utama namun, perkara ini harus dibendung dengan segera.
Menurut ajaran Hindu, jangan sombong dan angkuh. Penganutnya juga disarankan agar
jangan menganggap diri sangat baik dan pandai. Oleh itu, jika tidak mahir ilmu
berumahtangga, belajarlah. Jangan kerana masalah yang boleh diselesaikan dengan
mudah, pasangan suami isteri mengakhiri perkahwinan mereka dengan penceraian.