Nama : Mohamad Nazrin Bin Abdullah Angka Giliran : 2011201340041 No. Kad Pengenalan : 911227-01-5993 Kumpulan : PISMP 8.03 Ambilan Jan. 2014 Nama Pensyarah : Puan Siti Norkiah binti Dolah Tarikh Hantar : 8 September 2014
PENGHARGAAN
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM
Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Allah juga yang dipuji dengan lidah dan hati, kerana dengan rahmat kasih sayang-Nya membolehkan saya menempuhi subjek EDU 3083 : Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru pada semester terakhir (lapan) ini dengan lancar dan penuh bermakna.
Sepanjang melaksanakan tugasan projek ini, ramai insan yang luhur budinya telah menyumbang bakti dan memberikan bimbingan kepada saya. Sehubungan itu, saya mengambil ruang dan kesempatan di sini untuk mencoretkan sedikit ucapan penghargaan kepada insan-insan budiman ini. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Pensyarah Pembimbing EDU 3083 bagi kuliah PISMP 8.03 iaitu Puan Siti Norkiah binti Dolah. Beliau telah memberikan tunjuk ajar dan berkongsi ilmu serta pengalaman yang luas kepada saya semasa sesi interaksi di kelas. Beliau telah memberikan pencerahan dan pemahaman yang sangat membantu saya untuk menghasilkan tugasan yang berkualiti tinggi. Tidak seharusnya saya lupakan juga ialah pensyarah-pensyarah dari Jabatan Ilmu Pendidikan yang lain. Mereka telah banyak berkongsi ilmu pengetahuan dan pemahaman berkaitan ilmu pendidikan, kepimpinan dan profesionalisme keguruan kepada saya. Saya tidak boleh melupakan segala bentuk penghargaan dan sokongan yang diberikan oleh warga pensyarah JIP sejak saya melangkah ke bumi IPG Kampus Pendidikan Islam pada tahun 2009. Mereka sentiasa memimpin saya untuk menjadi seorang pendidik yang terbaik. Segala nasihat dan perkongsian ilmu daripada kesemua pensyarah JIP yang terlibat dalam subjek EDU 3083 ini akan terus diingati dan dihargai. Terima kasih.
Selanjutnya, ucapan terima kasih ini saya tujukan khas buat sahabat-sahabat sekuliah PISMP 8.03. Saya dapat berkolaborasi dan bekerjasama dengan mereka untuk menyempurnakan tugasan projek ini dengan baik. Seterusnya, ribuan terima kasih kepada rakan-rakan batch PISMP Semester 8 Ambilan Januari 2011 yang telah banyak memberikan tunjuk ajar dan menjawab segala persoalan yang bermain di minda saya. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan tugasan ini. Hanya Allah Taala yang mampu membalasnya. Maka, terimalah Tugasan Projek EDU 3083 saya ini. Moga bermanfaat untuk semua. ISI KANDUNGAN
Muka Surat Penghargaan i Isi Kandungan ii
1.0 Laporan Pemerhatian : Isu Guru Mengabaikan Kelas Pengajaran 1 Sendiri Demi Kepentingan Peribadi 1.1 Faktor-faktor Isu Berlaku 4 1.2 Impak Isu Terhadap Pihak yang Terlibat 8 1.3 Integriti Guru dalam Membentuk Profesionalisme Guru 9 1.4 Kesimpulan 12
2.0 Refleksi 13
Rujukan Lampiran a. Peta-peta Pemikiran (i-THINK) b. Kompilasi Refleksi Mingguan Internship
1.0 LAPORAN PEMERHATIAN : ISU GURU MENGABAIKAN KELAS PENGAJARAN SENDIRI DEMI KEPENTINGAN PERIBADI
Pada 7 Julai 8 Ogos 2014 yang lalu, saya telah menjalankan internship di Sekolah Kebangsaan Kampong Endah (SKKE), Banting, Selangor. Sesungguhnya banyak kisah suka dan duka, pengalaman bermakna, dan ilmu pengetahuan yang telah saya pelajari khususnya berkaitan kepemimpinan dan etika profesionalisme seorang guru sepanjang empat minggu berada di SKKE. Dalam pada itu, saya telah memilih satu isu yang timbul akibat daripada pendekatan kepimpinan guru terbabit semasa melaksanakan internship di sana. Untuk makluman, isu berkaitan pendekatan kepimpinan guru tersebut telah dipilih berdasarkan kompilasi refleksi mingguan internship yang telah saya hasilkan.
Isu tersebut berkisarkan tentang cerita seorang guru lelaki Bahasa Inggeris (BI) telah meminta saya memasuki kelas 2 Jujur pada 17 Julai 2014 (Khamis), jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari (1 jam) untuk menggantikan kelas pengajarannya. Beliau memberikan alasan bahawa beliau mempunyai kerja lain yang perlu diselesaikan. Memandangkan saya free pada hari tersebut dan gemar memasuki kelas ganti, maka saya pun masuk ke kelas tersebut dan menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Pengajaran yang saya jalankan itu hanya dijalankan secara ringkas dan melibatkan penyampaian isi pelajaran yang mudah sahaja. Tujuannya bagi memastikan agar murid-murid 2 Jujur memperoleh sesuatu yang bermanfaat daripada saya. Saya tidak mahu murid 2 Jujur membuat bising, bermain- main, berkejar-kejaran, dan tidak mendapat apa-apa apabila saya masuk ke kelas mereka. Tambahan pula, kelas 2 Jujur terdiri daripada murid-murid yang beraras rendah dan seringkali menimbulkan masalah tingkah laku. Justeru, saya tidak boleh mengajar banyak-banyak, takut-takut timbul rasa bosan dan berat terhadap isi pelajaran yang disampaikan.
Shukor (1998) menyatakan bahawa ciri-ciri guru yang berkesan adalah seperti bersikap profesional, bermoral teguh, bertindak atas landasan etika dan tatasusila kerja, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran, prihatin terhadap murid, menampilkan watak terpuji, memastikan situasi guru mengajar murid belajar, serta menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah. Namun, ciri-ciri tersebut tidak dapat dipenuhi oleh guru ini. Sebenarnya apa yang telah berlaku? Apakah masalah etika yang guru ini timbulkan? Ceritanya begini, saya telah mendapati bahawa guru BI ini selalu bermain layang-layang gergasi di padang sekolah dan gemar menyuruh rakan-rakan
internship saya yang lain untuk memasuki kelas pengajarannya. Di sini, secara jelas beliau telah memperlihatkan ciri gaya kepemimpinan autokratik kerana beliau memberikan arahan terus kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk menggantikan kelasnya tanpa bertanyakan tentang kesibukan kami menjalankan projek internship yang lain. Sejujurnya, saya tidak kisah. Namun, rakan-rakan saya sama sekali tidak berpuas hati dengan hal yang berlaku ini.
Ismail dan Subki (2013) mengemukakan bahawa kepemimpinan autokratik ini menunjukkan bahawa guru ingin bersifat berkuasa, orang lain tiada kebebasan memutuskan sesuatu perkara, lalu menimbulkan rasa negatif terhadap orang yang dipimpin. Tambahnya lagi, gaya sebegini sesuai bagi pekerja yang menghadapi krisis, tidak bermotivasi, dan lebih sesuai untuk pengikut yang malas membuat kerja. Timbul persoalan, adakah kami merupakan guru pelatih yang malas? Pada masa yang sama, guru ini ada menunjukkan ciri gaya kepimpinan Laissez-Faire juga kerana beliau memberikan saya kebebasan untuk menguruskan murid-murid 2 Jujur tanpa memberikan homework, lembaran kerja, mahupun topik pengajaran yang harus diajar. Beliau berkata kepada saya, suka hati kau lah Rin kau nak buat apa kat kelas tu, pandai-pandailah kawal budak. Hal ini begitu selari sekali dengan pandangan Keith & Girling (1991) yang mengatakan bahawa gaya kepimpinan ini membiarkan setiap individu dalam organisasi membuat kerjanya sendiri, pemimpin sebegini tidak mempunyai matlamat kerja yang jelas dan tidak mempunyai perancangan.
Maka, atas dasar keprihatinan inilah, saya telah bertanyakan kepada murid- murid 2 Jujur tentang topik pelajaran yang belum mereka pelajari untuk saya ajarkan. Alhamdulillah, mereka berasa teruja, seronok, bersemangat untuk belajar, dan dapat mengawal disiplin diri setelah saya menyatakan bahawa saya yang mengajar English pada hari ini, menggantikan waktu cikgu BI mereka. Padahal, kelas 2 Jujur ini begitu popular sekali di SKKE sebagai kumpulan murid yang ganas, sukar dikawal, dan menyakitkan jiwa guru-guru. Namun, kondisi kelas agak terkawal mungkin disebabkan gaya kepimpinan kontingensi yang saya aplikasikan pada ketika itu. Saya mengamati keadaan murid-murid 2 Jujur yang sangat memerlu dan mengharapkan saya untuk mengajar mereka, tidak kiralah dalam mata pelajaran apa sekali pun. Penerimaan yang mereka tunjukkan kepada saya amat positif. Maka saya harus mengambil kesempatan
ini untuk menyampaikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat di samping mengeratkan perhubungan mesra dan ramah dengan mereka.
Amir (2006) sendiri mengatakan bahawa gaya kepimpinan kontingensi ini mengikut keadaan atau keperluan yang wujud dan dapat dilihat pada guru apabila melihat situasi yang memerlukan guru membuat keputusan atau bertindak, serta dipengaruhi oleh faktor perubahan situasi pada masyarakat. Apabila terdapat beberapa orang murid 2 Jujur bersembang-sembang dan tidak menumpukan perhatian kepada pengajaran saya di hadapan, saya terus menegur perbuatannnya dan menasihatinya agar menjaga adab dengan guru. Secara tidak langsung, gaya kepimpinan bercorak islamik dapat saya terapkan bagi membentuk peribadi luhur murid-murid 2 Jujur.
Isu etika ini tidak terhenti di sini sahaja, malah saya telah melihat guru ini membuat perniagaan di sekolah dengan menjual layang-layang kepada murid-murid khususnya tahap 1 dengan harga RM5 RM10 (satu), bergantung kepada saiz layang- layang itu sendiri. Saya mengetahui tentang harga tersebut setelah menemu bual murid- murid yang membelinya. Saya seringkali memerhatikan beliau bermain dan menjual layang-layang, sama ada semasa waktu persekolahan mahupun selepas habis waktu persekolahan. Bukankah perkara ini bertentangan dengan etika dan mencalarkan akauntabiliti seorang guru? Tindakan sedemikian telah menyebabkan beliau mengabaikan tanggungjawabnya terhadap murid, profesion dan sekolah. Guru sepatutnya melunaskan tanggungjawab sebagai pendidik murid di dalam bilik darjah, bukannya meniaga di sekolah. Apa yang dapat saya lihat lagi ialah guru ini ada kalanya menjual layang-layang itu dari boot kereta. Perbuatan ini secara terang lagi bersuluh telah melanggar etika perkhidmatan awam. Amalan perniagaan di sekolah dilihat akan memberikan impak yang serius, apatah lagi ia dilihat seperti menjadi satu penularan budaya di sekolah.
Dalam tempoh minggu kedua internship juga, saya dapat mengesan masalah lain yang terdapat pada guru ini iaitu tidak mengisi data atau rekod murid yang diminta oleh Guru Penolong Kanan 1 (GPK 1), dan memakai pakaian yang tidak menunjukkan penampilan dan profesionalisme seorang guru. Bahkan, saya juga ada mendengar yang beliau tidak sabar-sabar mahu pencen awal kerana sudah penat dengan rutin kerja seharian di sekolah. Saya pernah mendengar beliau berkata sebegini di pejabat
sekolah, aku nak pencen awal lah, aku dah penat. Sebenarnya, GPK 1 sudah beberapa kali memberikan teguran dan nasihat kepada guru ini, namun guru ini seolah- olah tidak mengambil endah, dan tidak memperlihatkan perubahan positif dalam dirinya.
Semasa saya menggantikan kelas pengajarannya, rupa-rupanya beliau bukan sedang membuat kerja rasmi seperti yang dikatakan, tetapi bermain layang-layang di padang dan melepak dengan pekebun sekolah sambil merokok di garaj basikal berhampiran padang sekolah. Isu merokok ini ada ditimbulkan oleh rakan-rakan internship saya semasa berborak-borak kosong di bilik guru. Menurut rakan saya, guru ini beberapa kali merokok di hadapan murid-murid lantas mengundang rasa marah dalam kalangan kami. Perkara ini seperti disenyapkan oleh guru-guru lain, seolah-olah tidak nampak perbuatannya ataupun sudah masak dengan sikapnya itu. Saya tidak pasti sama ada pihak pentadbir sekolah tahu tentang kes ini dan mengambil tindakan ke atas dirinya ataupun tidak.
1.1 Faktor-faktor Isu Berlaku
Isu sebegini timbul dan berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah, faktor usia guru yang agak tua iaitu sudah mencecah 50-an, perasaan obses dan minat yang tinggi terhadap permainan layang-layang berbanding mengajar di dalam kelas, minat berniaga di sekolah, niat memberi peluang kepada muka-muka baru (guru pelatih) untuk menambah pengalaman menguruskan murid di kelas, dan mengambil kesempatan ke atas guru pelatih yang memiliki lebih banyak waktu lapang daripada waktu mengajar. Faktor-faktor dominan lain yang saya fikirkan ialah kurang motivasi dalam diri sendiri, kurang kesedaran tentang tanggungjawab terhadap murid dan profesion keguruan, kurang pemupukan integriti guru dalam diri sendiri. Faktor penyumbang lain seperti gangguan emosi, tekanan beban kerja, kelemahan dalam hubungan interpersonal, dan kurang pemantauan daripada pentadbir juga perlu saya ambil kira untuk dikaitkan dengan etika guru yang sewajarnya dimiliki oleh setiap insan bergelar cikgu.
Pertama, faktor kurang motivasi dalam diri. Hal ini berkait rapat dengan rasa beban guru terhadap persekitarannya yang menyebabkannya rasa dibelenggu, lemah
semangat, stres kerana lambakan tugas dan peranan, lantas kurang minat untuk mengajar. Kajian yang dijalankan oleh Ammar Othman yang bertajuk Motivasi Guru Penyumbang Kemenjadian Pelajar merangkumkan terminologi motivasi, impak guru yang bermotivasi terhadap murid, faktor kebangkitan motivasi guru, dan tugas utama guru di sekolah. Di situ beliau menjelaskan bahawa motivasi guru sering dikaitkan dengan sikapnya terhadap kerjaya yang meliputi kesungguhan ataupun keinginan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dalam lingkungan persekitaran sekolah. Justeru bolehlah saya katakan di sini bahawa guru seharusnya menjadi agen motivasi yang utama dalam memajukan murid-muridnya. Jika guru sendiri tidak bermotivasi dan tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengajar, bagaimana murid ingin berjaya dalam pelajaran? Bagaimana guru ingin dihormati, disanjungi dan diteladani oleh murid-murid seandainya guru sendiri membuat kerja bagaikan melepaskan batuk di tangga dan harapkan pagar, pagar makan padi. Hal ini selaras dengan Kod Etika Keguruan Malaysia iaitu tanggungjawab utama guru adalah terhadap anak muridnya, kepentingan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian. Oleh itu, kita sebagai guru sepatutnya melindungi dan menjaga kepentingan pelajar terutamanya ketika di sekolah. Sewaktu guru sedang menjalankan tugas, perkara lain harus diketepikan buat sementara waktu agar guru dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajar.
Kedua, faktor kurang kesedaran kendiri tentang tanggungjawab terhadap murid dan profesion. Saya menyedari bahawa tanggungjawab berat ini harus dipikul di semua bahu guru, bertepatan dengan salah satu intipati Kod Etika Keguruan. Adalah menjadi suatu tanggungjawab kepada seorang guru untuk menyampaikan pelbagai ilmu pengetahuan yang bermanfaat bagi perkembangan mental murid-murid, di samping membentuk peribadi mereka supaya menjadi insan yang berilmu, berakhlak terpuji, dan berguna. Lantaran itu, guru sewajarnya mempunyai akauntabiliti terhadap pencapaian dan kemajuan murid-murid dalam bidang pelajaran dan juga dari segi akhlaknya. Saya memetik kata-kata daripada rencana Majalah The Teacher, Daripada Guru Untuk Guru (Julai 2009) untuk dihayati bersama : guru yang dekat di hati pelajar adalah guru yang sentiasa ada bila diperlukan, dan guru yang dekat di hati pelajar sentiasa berlaku adil. Jelas, guru sepatutnya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab untuk memelihara imej dan tingkah laku diri sendiri. Itu yang lebih penting kerana teladan yang baik kepada murid-murid perlu dipersembahkan untuk dicontohi oleh mereka. Jika cikgu suka
bermain layang-layang di sekolah, maka tidak mustahil murid-murid juga akan meniru perkara yang sama, lalu lalai dan leka terhadap tanggungjawab sebagai murid dalam erti kata yang sebenar.
Ketiga, faktor kurang penghayatan terhadap integriti guru. Menurut Institut Integriti Malaysia (2004), integriti ditakwilkan sebagai kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Maka, bolehlah saya katakan di sini bahawa integriti begitu sinonim sekali dengan etika. Sebagai seorang penjawat awam yang berintegriti dan berkualiti, guru seharusnya melaksanakan amanah dan tugas yang telah dipertanggungjawabkan demi kepentingan umum. Seseorang pendidik tidak sewajarnya menyalahgunakan kuasa demi kepentingan sendiri dan peribadi. Bukan itu sahaja, guru perlu telus dan tulus terhadap murid-muridnya atas rasional untuk melahirkan generasi yang berguna kepada masyarakat dan negara. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran pula, guru perlu memberikan yang terbaik buat pelajarnya dengan ikhlas demi menghasilkan murid berminda kelas pertama. Murid boleh diibaratkan seperti pokok yang ditanam, perlu disirami dan dibajai dengan kasih sayang. Sebelum menghasilkan kemenjadian murid, guru terlebih dahulu perlu mempunyai sahsiah yang baik sebagai role model kepada pelajar. Hal ini disokong dengan kata-kata Kamal (1998) yang menjelaskan bahawa contoh teladan guru inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka seharusnya terlebih dahulu dilengkapi dengan ciri akhlak mulia, walaupun ada segelintir masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur ini.
Keempat, faktor gangguan emosi. Guru yang menimbulkan permasalahan ini boleh berpunca daripada masalah peribadi, tekanan kerja, lambakan tugas di sekolah, rutin harian yang sama, dan kondisi masalah kesihatan. Sikap murid 2 Jujur yang nakal dan sering menimbulkan masalah di kelas juga boleh menyebabkan guru berasa stres dan kecewa. Lantas, beliau mencari kecenderungan lain yang boleh memenuhi kehendak jiwanya. Arus pendidikan hari ini juga mendesak golongan guru untuk membanting tulang dengan kerja lebih masa demi mencapai permintaan yang tinggi dalam bidang pendidikan. Contohnya, dengan adanya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan pelbagai data online yang perlu diisi menambah beban kerja guru di sekolah. Hal ini diperkukuhkan lagi menerusi kata-kata Faridah dan Zubaidah (1998) yang menjelaskan bahawa guru mempunyai tugas harian, mingguan dan tahunan yang penuh
mencabar dan profesion perguruan ini sebenarnya sukar, meletihkan dan membosankan. Akhirnya, tanpa disedari para guru mengalami tekanan yang dianggap memberi impak kepada kelancaran operasi pendidikan. Tuntasnya, simptom ketegangan dalam kalangan guru ini adalah suatu fitrah semulajadi kemanusiaan yang perlu ditangani dengan bijaksana agar etika keguruan tidak dipinggir sepi tetapi disanjung tinggi.
Kelima, faktor kelemahan tindakan daripada pihak pentadbir. Saya tidak dapat melihat guru yang menimbulkan isu tersebut dikenakan tindakan tegas dan undang- undang. Hanya sekali dua sahaja saya ada melihat Guru Penolong Kanan 1 menegur dan memberikan nasihat kepada guru itu. Apabila tiada tindakan tegas daripada pihak pentadbir dan pemantauan berterusan, maka guru mula besar kepala dan mengambil ringan tentang tanggungjawab memanusiakan murid di sekolah. Sepatutnya pihak pentadbir sekolah atau wakil pegawai pelajaran bolehlah kerap turun padang untuk membuat pemantauan terhadap guru-guru di sekolah agar dapat memastikan para guru menjalankan tugas yang selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengikut kod etika keguruan yang ada digariskan di halaman depan buku rekod persediaan mengajar guru. Cadangan ini bukan bermaksud untuk mencampuri urusan guru berkenaan, tetapi lebih kepada mengelakkan masalah guru menjadi lebih berat sehingga boleh mengganggu tugas-tugas mereka di sekolah. Justeru, Peraturan 3C berkenaan kawalan dan pengawasan perlu dihayati, diselusuri dan dipraktikkan oleh pentadbir sekolah agar tidak timbul lagi isu sebegini pada masa akan datang.
Keenam, kelemahan hubungan interpersonal yang melibatkan diri guru itu sendiri dengan pihak pentadbir, Ketua Panitia Bahasa Inggeris, dan boleh jadi dengan murid- murid juga. Kajian yang telah dilakukan oleh Profesor Albert Mehrabian menurut Bert Decker (1993) menyatakan bahawa perhubungan antara tiga elemen asas semasa pertuturan ialah lisan, suara dan penglihatan. Beliau mengukur perbezaan kepercayaan antara elemen lisan, suara dan penglihatan dalam mesej kita. Hasil kajiannya membuktikan bahawa tahap ketidakselarasan antara tiga elemen ini menyebabkan mesej yang cuba disampaikan tidak konsisten dan menyebabkan kurang kepercayaan. Ironinya, apabila rakan sejawat atau ketua panitia sendiri tidak memberikan nasihat atau teguran dengan berkesan, maka guru tersebut sehingga pencen pun tidak akan sedar
tentang tanggungjawabnya di sekolah, khususnya terhadap tugas mendidik murid-murid di samping mengubah dirinya ke arah yang lebih baik.
1.2 Impak Isu Terhadap Pihak yang Terlibat
Impak daripada isu ini berlaku terhadap pihak-pihak yang terlibat seperti murid-murid, rakan sejawat, pihak pentadbir, ibu bapa, dan sekolah. Pertama, murid-murid akan memandang negatif kepada guru mereka yang mengabaikan kelas pengajaran, dan lebih mengutamakan aktiviti lain yang tiada kaitan dengan tanggungjawab guru di sekolah. Apabila guru tidak mengajar di kelas, maka murid-murid akan tercicir dalam pelajaran. Mereka perlu menguasai pelajaran dengan mendapat bimbingan daripada gurunya yang sebenar agar dapat diaplikasikan semasa menjawab soalan-soalan ujian dan peperiksaan. Jika tidak, murid-murid akan berterusan mengalami masalah pembelajaran di sekolah, lebih-lebih lagi kepada murid yang memiliki prestasi akademik yang rendah. Sidek Baba (2009) menyatakan bahawa qudwah (ikutan) merupakan faktor penting yang boleh memberi kesan teradap pembentukan minda dan sahsiah pelajar. Maka tidak hairanlah jika ada murid yang meniru perbuatan gurunya yang negatif seperti bermain layang-layang, sibuk berjual beli, dan mengabaikan tanggungjawab diri sendiri di sekolah. Tidak mustahil juga mereka berpandangan bahawa sekiranya guru boleh bermain layang-layang dan berjual beli di sekolah, mengapa mereka tidak boleh melakukan perkara yang sama juga. Tuntasnya, guru adalah cerminan kemenjadian murid di sekolah.
Menurut Mortimore (1995, seperti dinyatakan dalam Zabidi, 2006), sekolah yang berkesan memiliki 11 ciri penting. Antaranya ialah kepimpinan yang profesional, kewujudan budaya pembelajaran, penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran, pengajaran yang bermatlamat, hak dan tanggungjawab murid, serta permuafakatan antara rumah, sekolah, dan organisasi yang dinamik. Kedua, apabila hak murid tidak dipenuhi kesan daripada masalah yang ditimbulkan oleh guru, maka secara langsung ia mendatangkan implikasi kepada sekolah. Misalnya, prestasi mata pelajaran mengalami kemerosotan dan masalah tingkah laku murid pula menjadi-jadi. Hal ini menyebabkan pihak sekolah perlu menjawab dengan pihak pegawai pelajaran tentang punca masalah
ini. Natijahnya, sekolah akan dilabelkan sebagai sekolah berprestasi rendah. Hal ini sudah pasti akan mencalarkan imej sekolah dan pihak pentadbirnya.
Ketiga, isu yang dicetuskan oleh guru akan mencemarkan imej profesion perguruan itu sendiri. Maka, benarlah pepatah Melayu ada mengatakan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Perlu diberikan perhatian bahawa masyarakat sekeliling sekolah lebih cenderung untuk melihat dan menilai sesuatu yang negatif berbanding perkara positif. Dalam konteks isu yang saya kemukakan, ibu bapa kepada murid-murid SK Kampong Endah akan memandang sinis terhadap profesion perguruan kerana asyik melihat hobi gurunya yang gemar bermain layang-layang di padang dan melakukan perniagaan di sekolah. Murid pula akan mengadu kepada ibu bapa tentang isu guru tidak masuk ke kelas untuk mengajarnya. Impaknya, ibu bapa akan berasa ragu-ragu dengan kebolehan dan kebertanggungjawaban guru-guru dalam mendidik anak mereka di sekolah. Perkara sebegini sepatutnya dijauhi bukan dicari.
Keempat, pihak ibu bapa turut menerima impaknya iaitu berasa kecewa apabila mendapat tahu anak mereka gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Sudah tentu, pihak sekolah akan dipersalahkan juga. Sesungguhnya, mereka telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada para guru di sekolah, dan kerelaan membelanjakan banyak wang demi memastikan agar anak-anak mereka berjaya menimba ilmu pengetahuan dan menjadi manusia yang berguna. Namun, keadaan pasti berubah seandainya mendapat tahu bahawa guru di sekolah tidak dapat melunaskan tanggungjawab mendidik anak mereka dengan sepenuh hati.
1.3 Integriti Guru dalam Membentuk Profesionalisme Guru
Dalam meniti dunia pendidikan yang kian mencabar, golongan guru seharusnya menyanjung tinggi integriti agar dapat mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah yang melanggar etika, seterusnya mencemarkan imej profesion perguruan. Menurut Kamus Oxford, integriti bermaksud quality of being honest and having strong moral principles, the state of being whole and undivided. M.S.Sang (1996) pula meringkaskan bahawa profesionalisme sebagai suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup
bermutu, bersikap jujur, dedikasi, berakauntabiliti dan bermoral tinggi, mempunyai autonomi bertugas dan mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya. Dalam konteks ini, nilai kesempurnaan, kejujuran, keikhlasan, amanah, dan bertanggungjawab seharusnya sebati di dalam diri guru agar dapat memastikan agar etika keguruan sentiasa terpelihara dan proses kemenjadian murid terus dijaga.
Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2014 oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi begitu selaras sekali dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi budi pekerti yang luhur. Sehubungan itu, PIN telah menetapkan sasaran yang boleh menjadi penentu kejayaan usaha memupuk integriti nasional. Antaranya ialah mengurangkan penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan. Dalam hal ini, setiap guru harus menjalankan amanah dan kuasa yang telah dipertanggungjawabkan. Mereka tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, malah perlu telus, tulus dan bertanggungjawab terhadap ketuanya (guru besar), orang bawahannya (murid-murid), dan pihak lain (rakan sejawat, ibu bapa, sekolah, dan masyarakat). Misalnya, kemahiran profesional guru seperti menguruskan bilik darjah, mengutip yuran, memotivasikan murid, dan mengajar secara efektif perlulah dipelihara. Guru juga perlu patuh kepada arahan guru besar, dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa dan masyarakat sekitar. Sehubungan itu, warga guru dituntut untuk mengamalkan etika profesion dan piagam pelanggan demi mewujudkan budaya kerja yang sistematik. Apabila nilai ini menjadi pegangan, maka tidak timbullah isu-isu pelanggaran etika kerja yang boleh mencalarkan imej profesion guru itu sendiri.
Sasaran PIN yang lain ialah meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam. Dalam konteks profesion keguruan, guru yang profesional haruslah mempunyai tiga ciri kemahiran profesional guru iaitu mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, bertanggungjawab dan memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi, serta terlatih dan mahir dalam tugas-tugas mengajar dan membimbing murid-murid. Guru yang mengamalkan integriti akan sentiasa memikirkan masa depan murid, mempunyai kesabaran yang tinggi, penyayang, mampu mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan, memupuk sahsiah terpuji,
mempunyai kapasiti untuk mengubah murid menjadi yang terbaik, dan banyak lagi (Ismail dan Subki, 2013). Kesemua elemen ini perlu direalisasikan bagi menzahirkan keupayaan warga guru dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama dan kemenjadian murid. Apabila guru bekerja dengan ikhlas, amanah dan penyayang terhadap murid-murid, sudah tentu mereka akan memperoleh didikan yang terbaik dan dapat mencontohi perwatakan guru mereka. Sesungguhnya guru kencing berdiri, murid kencing berlari, dan bagaimana acuan, begitulah kuihnya menjadi peribahasa relevan yang boleh dikaitkan dengan tanggungjawab guru terhadap pelajar.
Sekarang, saya akan mengaitkan pula nilai integriti dengan ciri-ciri guru yang profesional. Menurut Shukor (1998), guru yang profesional menunjukkan sikap terbuka, kaya dengan ilmu, bertindak atas landasan etika dan tatasusila kerja, bermoral teguh, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran, prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa, dan berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid. Tambahnya lagi, guru berkesan akan menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, memastikan situasi guru mengajar murid belajar wujud, taat setia kepada profesionnya, membentuk perwatakan murid, menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan banyak lagi. Rangkuman ciri ini sememangnya sangat bertepatan dengan integriti seorang guru. Apabila warga guru menyuburkan nilai integriti ke dalam diri, maka secara tidak langsung dia menyumbang ke arah pembentukan profesionalisme seorang guru. Akhirnya, tidak timbullah isu guru bermasalah, guru biadap, dan guru makan gaji buta.
Dalam nada yang serupa, integriti guru berlandaskan etika dalam tindakan sehari-hari. Ini bermaksud, guru perlu melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Guru seharusnya mengamalkan Kod Etika Profesion dan Piagam Pelanggan demi mewujudkan budaya kerja organisasi yang bersistem. Kod Etika bertujuan untuk memastikan agar semua guru dapat mematuhi dan menjaga imej profesion keguruan, serta menjadi pedoman dalam melaksanakan tugasan seharian. Justeru, warga guru perlulah menjaga tatasusila bagi menyempurnakan profesion ke tahap yang tertinggi dengan menunaikan tanggungjawab terhadap pelajar, ibu bapa, masyarakat dan negara, serta rakan sejawat dan profesion keguruan. Noriati et al. (2010) memberikan contoh tanggungjawab terhadap pelajar adalah seperti mengutamakan kebajikannya, membimbing dan mengajar tanpa bayaran,
memberikan contoh teladan yang baik kepadanya dan sebagainya. Apabila kesemua tanggungjawab dapat dipikul dan digalas dengan sebaik mungkin, secara tidak langsung dia telah membentuk nilai bitara yang tinggi dalam dirinya, sehinggakan sukar untuk terjebak ke dalam permasalahan etika kerja. Mudah-mudahan, isu guru mengabaikan kelas pengajarannya demi kepentingan peribadi seperti yang saya ceritakan sebelum ini memberikan kita iktibar untuk kita sama-sama merenung dan memuhasabah diri, serta memilih corak kepimpinan yang bersesuaian untuk dipraktikkan ketika berada di sekolah nanti.
1.4 Kesimpulan
Sebagai konklusi, isu yang telah saya kemukakan berkaitan pengabaian tanggungjawab guru terhadap murid tersebut telah berlaku disebabkan oleh beberapa faktor luaran dan dalaman oleh guru terbabit. Sekiranya guru berupaya mencorakkan kepimpinan yang relevan mengikut situasi dan disenangi, maka pengikutnya yang terdiri daripada murid- murid akan menerima impak yang positif. Dalam pada itu, gurulah yang sewajarnya memiliki akauntabiliti yang tinggi terhadap profesionnya agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan itu sendiri. Seandainya guru dapat memahami dan memahami nilai integriti, maka warga guru akan dapat melunaskan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh komitmen dan berdedikasi, tanpa melanggar mana-mana perkara yang termaktub dalam Kod Etika Keguruan.
Saya sangat bersetuju dengan kata-kata Robiah (2002) iaitu guru seharusnya mempunyai enam konsep berikut iaitu berkemampuan terhadap amalan profesionalisme di dalam bilik darjah, melaksanakan amalan profesional di sekolah, bertingkahlaku secara profesional di dalam bilik darjah dan sekolah, bertanggungjawab untuk meningkatkan profesion, menerima latihan dan pendidikan pembangunan yang profesional dan bertanggungjawab sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Sekiranya, guru tidak dapat memikul amalan profesional ini, sudah tentu peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam aspek pengurusan dan pentadbiran pendidikan tidak dapat dijayakan. Namun, Marzano (2005) telah mengkaji bahawa kepemimpinan sekolah dan pencapaian pelajar terbukti tidak terdapat satu model yang menjadi dominan dalam menentukan kepemimpinan. Izharnya, para pendidik perlu bijak
memimpin pengikutnya mengikut arus perubahan, situasi dan fenomena yang wujud di institusi sekolah. Pada masa yang sama, guru sememangnya tidak boleh lekang daripada mematuhi kod etika keguruan demi menjaga imej profesion. Isu seperti guru mengabai tanggungjawab mengajar di kelas dan berniaga di sekolah adalah perkara yang tidak sewajarnya diamalkan di sekolah dan ia sama sekali bertentangan dengan etika keguruan. Akhir kalam, marilah sama-sama kita menjadi seorang guru yang memiliki ciri kepemimpinan yang bijaksana, bertanggungjawab, dan berintegriti agar profesion perguruan terus disanjung tinggi, tanpa kita lupa untuk mencontohi kepimpinan teragung Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam, pendidik terulung sepanjang zaman. Sesungguhnya, guru-guru harus merenungkan kenyataan yang diungkapkan oleh Imam Ghazali di dalam karya Ihya Ulumiddin yang berbunyi rosaklah pemimpin kerana guru yang jahat. Oleh itu, marilah kita menjadi sebenar-benar guru dan pemimpin.
2.0 REFLEKSI
Berwibawa berintegriti, Keunggulan peribadi, Beteraskan keimanan mendidik anak bangsa, Kami bangga menjadi guru, kerjaya dihormati, Penyayang, berakhlak mulia, Mendukung visi misi IPG..
Begitulah sebahagian bait lagu Institut Pendidikan Guru yang acapkali dinyanyikan setiap kali perhimpunan mingguan. Sungguh mendalam maknanya. Menjadi pembakar semangat dan motivasi kepada diri untuk memimpin anak-anak didik saya ke arah keseimbangan jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sahsiah di sekolah nanti. Etika dihayati, integriti disanjungi. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah Taala kerana dengan keizinan-Nya membolehkan saya menyempurnakan tugasan projek EDU 3083 ini dengan baik. Sesungguhnya, banyak pengalaman bermakna yang telah saya lalui sepanjang menjalankan tugasan projek Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesionalisme Guru ini. Benarlah ada mutiara kata yang berbunyi saya percaya, esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh
mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok. Ini menunjukkan bahawa segala pengalaman yang saya tempuhi ini sudah tentu akan memantapkan kualiti diri sebagai pemimpin cemerlang bermula pada saat ini, bukan hanya di sekolah sahaja, malah di mana-mana sahaja saya berada nanti.
Semasa timbulnya isu kepemimpinan guru di sekolah, saya telah berupaya menggunakan ilmu dan kemahiran keguruan di sekolah dan persekitaran. Sebagai seorang guru yang profesional dan berkesan, saya mampu memenuhi keperluan murid dalam aspek pengajaran dan pembelajaran dan sahsiah. Memandangkan guru tidak masuk ke kelas untuk mengajar, saya yang menggantikannya untuk meneruskan proses PdP Bahasa Inggeris, di samping menerapkan nilai adab-adab murid dengan guru pada ketika itu. Saya sedar bahawa saya bukanlah seorang yang pandai subjek English, tetapi setidak-tidaknya saya dapat menzahirkan nilai ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, serta memiliki sikap membantu dalam menyampaikan ilmu kepada murid- murid. Lantas, saya dapat bertindak sebagai pengamal budaya ilmu kerana menurut Profesor Syed Muhammad al-Altas, ilmu merupakan suatu yang bermakna dan membawa penyuburan semangat kepada jiwa manusia. Kesannya, generasi murid yang mencintai ilmu pengetahuan dapat dilahirkan.
Selain itu, saya dapat mengamalkan nilai profesionalisme, sikap dan etika dalam profesion keguruan. Tugasan projek ini banyak memandu saya untuk belajar dan menghayati ciri-ciri profesional seorang guru dan pemimpin, intipati Kod Etika Keguruan yang perlu dipatuhi, dan sikap tanggungjawab seorang guru yang harus dilunaskan. Misalnya, saya perlu menjadi seorang guru ataupun pemimpin yang mempunyai kemahiran merancang PdP yang efektif, menguruskan bilik darjah, membentuk nilai keperibadian murid, menjadi role model, peka terhadap perkembangan pendidikan, bijak mengendalikan tekanan emosi, dan rasa takut untuk melakukan perbuatan yang salah. Dalam pada itu, saya dapat menilai bahawa etika perguruan yang digariskan bukanlah untuk membebankan, tetapi membantu guru untuk lebih komited dan memupuk akauntabiliti dalam menjalankan tugas di sekolah. Secara keseluruhannya, saya dapat memahami bahawa etika perguruan ini memerlukan guru bertindak atas pengetahuan dan kemahiran agar dia tidak mencemarkan imej profesionnya, malah dapat memimpin, mendidik dan mengambil tindakan secara adil, serta menjalankan tanggungjawab
terhadap diri, murid, rakan sejawat, sekolah dan masyarakatnya dengan penuh ketulusan.
Di samping itu, saya dapat mempamerkan kemahiran pengurusan dan keusahawanan serta bertindak balas terhadap keperluan perubahan semasa. Hal ini dapat dibuktikan apabila saya dapat mengambil tindakan yang sewajarnya ketika berhadapan dengan isu pengabaian guru terhadap kelas pengajaran tersebut. Saya menyedari dan dapat menunjukkan ciri-ciri kepemimpinan yang berkesan. Contohnya, saya telah mempraktikkan gaya kepimpinan kontingensi oleh Fred Fiedlier semasa mengendalikan murid-murid 2 Jujur. Teori kepimpinan ini menganggap bahawa keadaan yang berbeza memerlukan cara memimpin yang berbeza jika keberkesanan ingin diwujudkan (Ismail dan Subki, 2013). Pada masa yang sama, saya dapat menggunakan sedikit elemen kepimpinan demokratik, autokratik dan islamik demi menjaga kepentingan bersama, menggalakkan penglibatan murid dalam PdP, menyampaikan ilmu pengetahuan, menjaga adab, serta mengawal tingkah laku mereka di dalam kelas. Namun, yang lebih penting lagi, setelah mempelajari subjek bab 1,2 dan 6 dalam EDU 3083 ini, saya sudah mampu mengenalpasti ciri-ciri kepimpinan yang ada pada guru di sekolah tersebut, dan ciri-ciri bagaimanakah yang dapat mewujudkan kerja berpasukan, kebolehan berkomunikasi serta bertanggungjawab. Sejajar dengan itu, saya berpandanngan kepemimpinan instruksional begitu signifikan sekali untuk diamalkan untuk menghasilkan kemenjadian murid di sekolah.
Adalah menjadi tanggungjawab seorang guru untuk menentukan kemenjadian murid dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiahnya. Tugas utama seseorang pemimpin instruksional ialah memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah terjamin dan dipertingkatan secara berterusan. Menurut Brooke Willaims (seperti yang dinyatakan di laman blog yang bertajuk Kepemimpinan Instruksional Sekolah-sekolah Malaysia, 2012), seorang pemimpin instruksional yang berkesan perlulah mempunyai ciri-ciri seperti menilai pengajaran guru dan memberi maklum balas yang jujur supaya PdP dapat dipertingkatkan, berpengetahuan tinggi tentang keperluan pembelajaran murid-murid, berkemahiran interpersonal yang tinggi untuk mewujudkan kerja sepasukan, serta mempunyai visi dan matlamat yang jelas untuk dikongsikan bersama pengikutnya. Michael Fullan, seorang pendidik terkenal di Kanada telah mengatakan bahawa penekanan pada peranan
pemimpin sekolah sebagai pemimpin instruksional ialah faktor utama yang meningkatkan kadar pembelajaran murid-murid sekolah (Fullan, 2002). Dalam erti kata yang lain, sekolah yang berkualiti dari segi pengajaran dan pembelajarannya dipimpin oleh pemimpin instruksional yang berkesan.
Sementara itu, saya dapat mengetahui bahawa pemimpin sekolah yang mengambil tahu tentang pengajaran guru dan pembelajaran murid akan sentiasa membina suasana dan iklim pembelajaran yang kondusif untuk mencapai kecemerlangan. Harris dan Lambert (2003), konsep kepemimpinan guru boleh dijelaskan sebagai salah satu model kepemimpinan yang melibatkan guru dalam P&P untuk memimpin. Oleh itu, saya dapat melihat bahawa kepemimpinan instruksional seorang guru yang cemerlang ini akan memperkembangkan potensi murid ke tahap tertinggi dalam proses PdP, memimpin tugas kurikulum dan kokurikulum, menjadi pakar rujuk kepada rakan sejawat dan murid, membuat penyelidikan dan penemuan baru, serta melaksanakan tugasan mengikut arahan pegawai atasan. Saya sedar bahawa apabila kepemimpinan guru sedemikian dapat diwujudkan, maka proses kemenjadian murid dan modal insan cemerlang di sekolah mampu direalisasikan dengan jayanya.
RUJUKAN
Abdul Shukor Abdullah. (1998). Ucap Utama (1) Sekolah Berkesan. Prosiding Seminar Pendidikan Guru Untuk Sekolah Berkesan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Ahmad Zabidi Abdul Razak (2006). Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran. Amir Hasan Dawi. (2006). Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Edisi Ketiga. Perak: Quantum Books. Faridah Karim, Zubaidah Aman. (1998). Implikasi Burnout di Kalangan Guru Terhadap Sistem Pendidikan. Prosiding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. November 26 27. Malaysia: Universiti Kebangsaan Malaysia, 317-333 Harris, A. & Lambert, L. (2003), Building Leadership Capacity For School Improvement, Buckingham: Open University Press. Institut Integriti Negara. (2004). Pelan Integriti Negara. Kuala Lumpur: Kementerian Jabatan Perdana Menteri. Keith,S & Girling, R.H. (1991). Education And Management And Participant: New Direction In Educational Administration. Boston: Allyn And Bacon Kirby, P.C (1991, April). Share DM: Moving From Concern About Rest Room To Concern About Classroom. American Educational Research Association: Chicago Marzano, R., Waters, T., & McNulty, B. (2005). School leadership that works. Alexandria, VA: ASCD. Mohd Kamal Hasan. (1998). Pendidikan dan Pembangunan : Satu Perspektif Bersepadu. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. Mok Soon Sang. (1996). Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd. Noriati A.R., B. Pong Ying, W. Kiet Wah. (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Robiah Sidin. (2002). Konsep Guru Profesional. Dalam Prosiding Seminar Kebangsaan Profesion Perguruan. Bangi: Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Syed Ismail Syed Mustapa, Ahmad Subki Miskon (2013). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesionalisme Guru. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Melayari laman web pada 27 Ogos 2014 di alamat : http://annlma1011.blogspot.com/2012/08/salah-laku-guru-mencalar- kewibawaan.html Melayari laman web pada 27 Ogos 2014 di alamat : http://belajardalambelajar.blogspot.com/2012/08/kriteria-seorang-guru.html Melayari laman web pada 27 Ogos 2014 di alamat : http://cikgukami.blogspot.com/2012/09/ulasan-artikel-profesionalisme-guru.html Melayari laman web pada 27 Ogos 2014 di alamat : http://duniaparasarjana.blogspot.com/2012/02/stres-dalam-kalangan-guru- sekolah.html Melayari laman web pada 27 Ogos 2014 di alamat : http://groupmimi.blogspot.com/2012/09/motivasi-guru-penyumbang- kemenjadian_3648.html Melayari laman web pada 28 Ogos 2014 di alamat : http://kamigurumalay.blogspot.com/2012_08_01_archive.html Melayari laman web pada 28 Ogos 2014 di alamat : http://kulanzsalleh.com/edidik/2013/02/komunikasi-interpersonal-dan- intrapersonal-i/ Melayari laman web pada 28 Ogos 2014 di alamat : http://moshar2000.blogspot.com/2009/08/10-tips-guru-dekati-hati-pelajar.html Melayari laman web pada 28 Ogos 2014 di alamat : http://pendidikangurubaru.blogspot.com/2012/02/kod-etika-perguruan- malaysia.html Melayari laman web pada 28 Ogos 2014 di alamat : http://rusmiza-rusle.blogspot.com/2011/06/nilai-bitara-pembangunan-sahsiah- guru.html Melayari laman web pada 28 Ogos 2014 di alamat : http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/12/mudarris.html Melayari laman web pada 28 Ogos 2014 di alamat : http://www.scribd.com/doc/233740900/22-Kepemimpinan-Guru-Pendidikan- Islam-Di-Sekolah Melayari laman web pada 6 September 2014 di alamat : http://kepemimpinaninstruksional.blogspot.com/