Anda di halaman 1dari 16

EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

1

1.0 PENDAHULUAN
Mengikut Kamus Dewan Edisi Kedua, profesion bermaksud pekerjaan terutamanya
yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang
undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. Keguruan pula
didefinisikan sebagai tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru. Kepimpinan pula
merujuk kepada keupayaan serta kebijaksanaan seseorang ketua dalam menguruskan
kakitangan bawahannya dan sumber yang ada.

Elemen kepemimpinan dan aspek perkembangan keguruan memainkan peranan
penting dalam dunia pendidikan masa kini. Guru merupakan tonggak utama dalam
memberikan panduan pengajaran kepada anak murid. Dengan itu, guru semestinya
menjadi individu yang dipandang mulia oleh masyarakat. Dengan label positif yang
dipegang oleh guru, maka sesuatu yang memalukan sekiranya guru terlibat dengan isu-
isu negatif yang membolehkan profesion perguruan dipandang rendah. Oleh yang
demikian, Mahathir (2001) mengemukakan pandangan bahawa guru-guru dituntut
mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh diteladani oleh murid dan masyarakat.

Menurut Ornstein dan Levine ( 1993 ), konsep professional merujuk kepada ciri-ciri
yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri-ciri yang telah dinyatakan
adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi
dan adanya kod etika yang mengawal tingkah laku ahli. Demikian itu, guru merupakan
seseorang yang professional. Ini juga bermakna guru adalah salah satu kerjaya yang
telah mendapat latihan khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang
diceburi serta mempunyai kod etika yang tersendiri.

Namun, terdapat pelbagai isu yang timbul dan melanggar etika profesion perguruan.
Merujuk kepada ciri-ciri yang dinyatakan, profesion perguruan pada hari ini dilihat
semakin goyah kerana terdapat segelintir guru yang sanggup melanggar kod etika
keguruan yang telah sedia termaktub. Ini terbukti apabila semakin banyak isu mengenai
salah laku guru tersiar di internet ataupun dada-dada akhbar. Ini sudah tentu akan
mengganggu gugat martabat profesion keguruan sebagai suatu profesion yang mulia
dan suci.



EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

2

2.0 ISU DAN SEBAB BERLAKUNYA KETIDAKPATUHAN DALAM KOD ETIKA
PERGURUAN
Isu utama berkaitan dengan Masalah Penyalahgunaan Masa sebagai suatu isu yang
melanggar etika profesion perguruan kerana masalah ini kerap terjadi di kalangan guru.
Isu penyalahgunaan ini jarang tersiar di media massa kerana ianya lebih menjurus
kepada hal ehwal dalaman sekolah, tetapi langkah pencegahan seharusnya diambil
untuk membendung isu ini daripada terus menular.

Antara contoh penyalahgunaan masa di sekolah adalah guru tidak menepati masa
memasuki kelas, guru tidak menyampaikan isi pengajaran dengan bersungguh-sungguh,
guru mengajar tidak mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian,
guru tidak menepati masa keluar daripada kelas, guru menggunakan masa di sekolah
dengan melakukan kerja yang tidak berkaitan dengan pendidikan misalnya melayari
facebook, bergosip, melepak di kantin, guru melakukan kerja sambilan di malam hari,
misalnya mengajar tuisyen, berniaga di pasar malam, mengajar dan membuat
persembahan tarian sehingga menjejaskan produktivitinya dalam menyampaikan
pengajaran dan pembelajaran di siang hari. Merujuk kepada peraturan-peraturan yang
perlu dipatuhi guru ketika berada dalam perkhidmatan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas
Bil. 2/81 yang bertarikh 12 September 1981, semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan,
kakitangan sekolah dan para pelajar dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya
lima minit sebelum sekolah bermula. Surat ini juga memberi penekanan terhadap
tanggungjawab guru untuk mengamalkan ketepatan masa sepanjang waktu bertugas di
sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah, ketika memasuki bilik darjah untuk
mengajar dan semasa menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah seperti kegiatan
kokurikulum. Maksud ketepatan masa juga merangkumi keperluan guru untuk mengikut
jadual pengajaran dan tidak dibenarkan meninggalkan kelas ataupun kawasan sekolah
semasa tempoh persekolahan.

Oleh yang demikian, merujuk kepada permasalahan yang dinyatakan, terdapat dua
punca utama yang menjurus kepada permasalahan ini iaitu individu dan pentadbir.
Pertama, individu dalam konteks ini iaitu guru mempunyai sikap malas dan tidak ambil
peduli, kurang komitmen dalam bekerja, kurang nilai dalam kehidupan, dan etika kerja
yang lemah. Apabila sikap ini wujud, maka individu tersebut mengambil ringan tugas
yang telah diamanahkan sehinggalah tiada lagi rasa tanggungjawab untuk bersungguh-
sungguh dalam mendidik anak bangsa dan apa yang penting bagi mereka hanyalah gaji
yang bakal diterima pada setiap bulan.
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

3

Punca seterusnya adalah daripada pihak pentadbir. Penguatkuasaan yang lemah
dan kurangnya pemantauan yang dilakukan telah mendorong kepada berlakunya
permasalahan ini. Apabila tiada pemantauan dan penguatkuasaan juga lemah, maka
guru-guru menjadi lebih berani untuk menyalahgunakan masa kerana mereka tidak perlu
risau akan akibat daripada tindakan mereka.

Masalah ini jika tidak dibendung akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada
banyak pihak terutamanya kepada guru sebagai ahli professional dan murid-murid.
Antara kesan yang boleh dilihat daripada permasalahan ini adalah merosotnya prestasi
kerja guru dan pencapaian pelajar di sekolah. Masyarakat juga akan memandang sinis
terhadap profesion perguruan dan tidak yakin dengan kebolehan guru dalam mendidik
anak-anak mereka. Menyedari akan kesan yang akan menimpa jika permasalahan ini
tidak dibendung, maka semua pihak termasuk pihak pentadbir, rakan sejawat, dan
individu itu sendiri perlu memainkan peranan bagi memastikan permasalahan ini tidak
terus menular dan menjadi semakin parah dan teruk.

Isu yang kedua pula ialah mengenai penyalahgunaan wang dalam kalangan guru. Isu
ini menjadi semakin hangat dibicarakan dari hari ke hari di mana guru menyeleweng
wang yang sepatutnya diberikan kepada murid. Pengurusan kewangan merupakan satu
aspek yang penting di sekolah. Aspek pengurusan kewangan merupakan satu tugas
mencabar yang perlu dikendalikan dengan sistematik dan berkesan. Sekiranya aspek ini
gagal dilaksanakan dengan baik, maka kredibiliti guru sebagai pendidik anak bangsa
semakin terhakis di mata masyarakat sekeliling.

Antara punca utama berlakunya masalah ini adalah disebabkan guru tidak dapat
menghayati kod etika profesion yang menggariskan batas-batas tatacara pengurusan
kerjayanya. Berdasarkan piagam pelanggan, guru tidak seharusnya bertingkah laku
yang boleh menjatuhkan maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan aspek
kewangan. Selain itu etika dalam profesion yang lemah juga telah menyebabkan
berlakunya masalah pengagihan wang yang tidak adil kepada murid yang tidak layak.
Sebagai contoh, terdapat sekolah yang mengisi Borang Rumusan terlebih dahulu untuk
dihantar kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), seterusnya meminta murid
melengkapkan borang permohonan. Tindakan ini tidak mengikut prosedur yang betul
dan sangat jelas menunjukkan sikap dan tindakan guru ini yang membuat kerja mudah
dalam melaksanakan tugasan diamanahkan.

EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

4

Selain itu juga, masalah penyalahgunaan dan penyelewengan wang ini berlaku
kerana sikap pihak pentadbir yang tidak menguatkuasakan pemantauan terhadap
pengurusan wang di sekolah. Pihak pentadbir ini adalah seperti Guru Besar, pihak PPD,
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sebagainya yang terbabit dengan pengurusan
wang di sekolah. Jika dilihat berdasarkan laporan yang dibuat, Guru Besar sendiri telah
melakukan penyelewengan terhadap bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin
(KWAPM). Oleh yang demikian, pihak atasan seperti PPD haruslah sentiasa membuat
pemantauan terhadap pengurusan kewangan di sekolah. Apabila kurangnya
pemantauan daripada pihak atasan, maka pihak yang bertanggungjawab ini semakin
berani untuk menggelapkan wang sekolah kerana yakin bahawa pihak atasan tidak akan
membuat pemantauan. Namun, individu yang tidak bertanggungjawab ini tetap
melakukan kesalahan etika seorang penjawat awam dan pengurus kewangan di
sekolah.

Isu yang seterusnya adalah isu yang terkini iaitu permasalahan gangguan seksual di
sekolah. Gangguan seksual yang dilakukan oleh para pendidik ini menunjukkan mereka
tidak bertanggungjawab dalam melindungi anak murid di bawah jagaan mereka. Situasi
ini boleh diibaratkan seperti Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi. Sering kali kita
mendengar tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru sama ada guru. Ini
memberikan gambaran dan persepsi jelas bahawa sekolah bukan lagi institusi yang
selamat dari masalah ini jika hal ini dilakukan sendiri oleh guru. Sebagai contoh, sebuah
artikel bertarikh Ogos 2009, (Kosmo! Online) berjudul Rogol, cabul murid dalam
makmal yang dikarang oleh Adham Shadan telah dimuat turun dari laman web Kosmo
Online telah menjadikan isu ini semakin hangat diperkatakan di segenap lapisan
masyarakat. Berdasarkan isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru berumur 29
tahun yang tergamak melakukan perbuatan tersebut menunjukkan bahawa guru tersebut
telah melanggar kod etika perguruan. Isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru ini
semakin berleluasa dari hari ke hari.

Antara punca tingkah laku negatif yang dilakukan guru bagi kes gangguan seksual
ialah kurang memahami etika keguruan. Guru yang memahami etika keguruan tidak
akan tergamak melakukan perkara sedemikian terhadap anak muridnya sendiri.
Sebaliknya, guru tersebut telah melanggar kod etika guru yang telah digariskan. Ini
membuktikan bahawa guru tersebut tidak mengerti, menghayati dan memahami apa
yang terkandung dalam kod etika guru. Berdasarkan kod etika perguruan, sewajarnya
setiap ahli profesion iaitu guru sudah sedia maklum tentang perkara yang boleh
dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan.
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

5

Di samping itu juga, antara punca penyumbang kepada tingkah laku negatif yang
dilakukan oleh guru tersebut ialah pengaruh media massa seperti media cetak dan
media elektronik. Mengikut kajian yang dilakukan, pengaruh media elektronik seperti
telefon bimbit dan komputer lebih banyak kesannya berbanding media massa kerana
media elektronik mudah didapati dengan meluas tanpa sekatan. Pengaruh ini akhirnya
mendorong guru tersebut melakukan perkara seumpama itu terhadap anak muridnya.
Pengaruh media massa contohnya seperti media cetak membolehkan guru tersebut
mendapatkan bahan lucah melalui buku, majalah dan sebagainya dengan mudah
seterusnya membuat gangguan seksual kepada anak muridnya.

Tiada kesedaran dan tuntutan agama juga adalah implikasi negatif kepada tingkah
laku guru tersebut. Kesedaran agama yang kurang terutamanya tentang hukum halal
dan haram menyebabkan seseorang guru tersebut sanggup melakukan perkara terkutuk
itu demi kepuasan mereka sendiri. Sehubungan dengan itu juga, kesedaran agama yang
kurang dengan tidak menggunakan ilmu yang dipelajari dengan sebaik mungkin
menyebabkan guru tersebut tidak dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.

Sebagai tambahan, isu yang paling mencuri tumpuan ketika ini ialah kes kebocoran
soalan Ujian Pendidikan Sekolah Rendah (UPSR) yang menyebabkan integriti
pendidikan negara tercalar di mata masyarakat. Hal ini bukanlah masalah yang boleh
dipandang ringan kerana permasalahan sebegini semestinya menimbulkan pelbagai
masalah khususnya kepada murid-murid yang terpaksa menunggu untuk menghabiskan
peperiksaan. Apabila masalah ini berkaitan dengan pendidikan, semestinya pihak guru
juga tidak dapat lari daripada menjadi mangsa keadaan semua pihak. Sekiranya benar,
integriti keguruan akan menjadi lebih buruk dan mencabar untuk mendapat semula
kepercayaan masyarakat. Walau apa pun yang terjadi, seharusnya perkara sebegini
tidak boleh berulang lagi. Setiap pihak yang terlibat dalam institusi pendidikan
seharusnya mengetahui kod etika dan tatasusila keguruan dalam menyampai dan
menyimpan pelbagai maklumat agar setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan
lancar. Sikap mementingkan diri sendiri juga harus dihakis oleh pihak terlibat kerana
sikap negatif sebegini hanyalah mendatangkan keburukan kepada semua pihak.





EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

6

3.0 KEMUNGKINAN YANG BERLAKU PADA SESEORANG GURU YANG GAGAL
MEMATUHI ETIKA, AKAUNTABILITI DAN INTEGRITI PROFESION PERGURUAN

Setiap pelaku yang membuat kesalahan pasti akan dihukum. Begitu juga dengan
perilaku guru yang terlibat dengan gejala yang tidak bermoral seperti gagal mematuhi
etika, akauntabiliti dan integriti profesion perguruan. Hukuman yang diterima adalah
setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan ianya bukanlah secara bebas dihukum
tetapi mempunyai garis panduan yang harus dipatuhi sebelum menjatuhkan sesuatu
hukuman.

Antara kemungkinan yang akan berlaku kepada guru yang gagal mematuhi peraturan
etika perguruan, khususnya kesalahan yang serius seperti kesalahan merogol atau
mencabul akan mengakibatkan sahsiahnya kelihatan rendah di mata masyarakat.
Pembangunan sahsiah guru terbabit juga akan dikategorikan sebagai sahsiah yang
negatif walaupun dia seorang guru yang berkaliber dan berjasa. Moralnya akan menjadi
persoalan dan akan diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat serta mendapat
cemuhan.

Kemungkinan yang seterusnya berlaku kepada guru yang terlibat dengan
permasalahan ini adalah ianya akan mencemarkan nama baik dan maruah individu lain.
Sebagai contoh, seorang guru yang terlibat dengan gejala negatif ini pasti akan
menyebabkan status guru-guru lain juga akan tercalit dengan reputasi buruk serta
profesion keguruan dipandang hina oleh masyarakat walaupun terdapat juga segelintir
guru yang sangat menjaga adab dan etika keguruan mereka. Ianya boleh diibaratkan
seperti pepatah melayu Disebabkan Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga.

Selain itu, kemungkinan lain yang akan terjadi kepada guru yang gagal mematuhi
etika perguruan adalah ianya mampu melumpuhkan usaha seseorang guru itu untuk
melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan. Apabila guru gagal membina reputasi
diri yang baik dan bersih, sudah pasti ianya akan menimbulkan kepincangan dalam
kemajuan pendidikan seorang guru. Bagaimana seseorang guru ingin melangkah lebih
jauh sekiranya kredibiliti yang dibina bersifat negatif di mata umum. Saban tahun, guru
seharusnya mempertingkatkan kualiti perguruan mereka dari masa ke semasa. Tetapi,
sekiranya etika perguruan dipinggirkan dalam diri seorang guru demi mencapai
kepentingan peribadinya, maka kemajuan yang ingin diperoleh sudah tentu gagal
direalisasikan dan usaha itu akan menjadi sia-sia. Kesan jangka panjang adalah lebih
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

7

buruk di mana kualiti perguruan akan terus berada di takuk lama walaupun selepas
dirinya bersara kelak.

Kemungkinan seterusnya adalah hubungan dengan majikan dan rakan sekerja akan
bertambah merosot. Setiap majikan mengimpikan pekerja-pekerja yang berdedikasi,
berkualiti dan berdisiplin dalam menjalankan tugas supaya matlamat untuk membina
institusi pendidikan yang berjaya memerlukan kerjasama erat antara semua pihak.
Tetapi sekiranya terdapat pekerja yang ingkar dalam mematuhi kod etika perguruan,
maka dengan itu, hasrat yang ingin dicapai akan terbantut dan menimbulkan hubungan
kerja yang dingin antara majikan dan pekerjanya. Selain itu, hubungan antara sesama
pekerja juga boleh menjadi dingin sekiranya salah seorang pihak gagal menunjukkan
hasil kerja yang memuaskan. Hasil kerja yang berkualiti akan hadir sekiranya guru
menjadikan kod etika perguruan sebagai batu loncatan untuk memajukan diri. Tetapi
sekiranya diri seseorang guru tiada lagi nilai etika dan akauntabiliti profesion perguruan,
maka sudah pasti ramai guru yang tidak mahu bekerjasama dengan guru bermasalah
kecuali guru yang mempunyai tingkah laku yang sama seperti beliau.

Isu hubungan dingin tidak terbatas kepada sesama guru dan majikan sahaja,
malahan boleh terjadi antara guru dan anak muridnya. Sekiranya guru tidak
menunjukkan contoh dan teladan terbaik kepada anak murid, sudah tentu hubungan
yang terbina akan menjadi lebih renggang dan keadaan akan menjadi lebih teruk apabila
murid tidak lagi mempercayai kemampuan gurunya sendiri. Apabila murid berada di
sekolah, insan yang paling dipercayai adalah gurunya sendiri yang diibaratkan sebagai
ibu bapa mereka semasa di sekolah. Akan tetapi, apabila guru tidak lagi mempunyai
kesedaran dalam mematuhi etika perguruan, maka mereka tidak akan menghargai
kepercayaan dan harapan yang diltekkan kepada mereka. Kesalahan dan sikap negatif
yang ditunjukkan di hadapan murid seperti lewat masuk ke kelas, merokok di hadapan
murid, melepak di kantin serta gejala negatif yang lain akan menimbulkan persepsi buruk
dalam kalangan murid. Murid pasti akan berasa takut dan khuatir dengan sikap guru
sedemikian dan secara tidak langsung, murid akan berasa terancam sekiranya berada di
sekolah serta berhadapan dengan guru terbabit.

Kemungkinan yang terakhir adalah dibuang dari perkhidmatan atau digantung kerja.
Tindakan ini selalunya hanya melibatkan kesalahan-kesalahan yang besar seperti
membunuh dan sebagainya. Tindakan ini adalah yang terakhir dikenakan terhadap guru
yang bersalah dan terlibat dalam kesalahan besar seperti yang telah dinyatakan
sebentar tadi.
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

8

Kesimpulannya, setiap pekerjaan mempunyai kod etika masing-masing yang harus
dipatuhi. Sebagai warga pendidik, seharusnya guru mematuhi kod etika perguruan agar
usaha untuk melahirkan sistem pendidikan yang berjaya dapat dilaksanakan demi
kebaikan semua pihak.

4.0 HUBUNGKAIT TEORI KEPIMPINAN GURU DALAM MEMBANTU GURU MENJADI
PEMIMPIN YANG BERKESAN

4.1 Teori Trait
Thomas Carlyle (1795-1881) mengemukakan the Great Man Theory yang
menganggap pembangunan di dunia adalah hasil pencapaian orang-orang masyhur di
dunia. Gordon Willard Allport (Nov. 11, 1897-Oct. 9, 1967) pula adalah antara pemikir
terawal yang mengutarakan Teori Trait.

Teori ini menyatakan bahawa pemimpin dikenal pasti mengikut tret-tret yang
dimilikinya. Teori ini juga mengandaikan bahawa manusia yang memiliki ciri-ciri atau tret-
tret tertentu sahaja sesuai untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan. Contohnya,
guru yang memiliki tret-tret yang positif dilihat mempunyai kelebihan untuk berjaya
berbanding guru-guru yang lain. Antara contoh tret tersebut adalah seperti dapat
menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi, peka kepada persekitaran sosial, mudah
memberikan kerjasama, bertenaga dalam menjalankan kerja harian, mempunyai daya
tahan tinggi terhadap tekanan pekerjaan, rela menerima tanggungjawab, boleh membuat
keputusan, sukar berputus asa dan bercita-cita tinggi untuk terus maju ke hadapan. Ciri-
ciri ini merupakan antara ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin dan ciri-ciri
ini jugalah yang membezakan pemimpin dan guru-guru biasa yang lain. Guru-guru yang
mempunyai tret seperti ini diyakini berpotensi besar untuk menjadi pemimpin yang
berkesan dalam organisasi pendidikan serta menjadi role model terbaik untuk anak
murid dan rakan sekerjanya pada masa akan datang.

4.2 Teori X dan Y
Teori ini telah diasaskan oleh Douglas Mcgregor (1960) yang membuat dua set
andaian terhadap manusia iaitu Teori X dan Teori Y ialah pendekatan carrot and stick
(Razali Mat Zin, 1966). Teori X mengandaikan bahawa pekerja semula jadinya malas
dan akan mengelak daripada bekerja kecuali dipaksa, pekerja tidak mempunyai motivasi
untuk menjayakan matlamat organisasi dan pekerja hanya mahu bekerja kerana
dirangsang oleh keperluan psikologi dan keperluan keselamatan mereka sahaja. Teori
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

9

ini lebih bersifat autokratik, bertindak mengarah dan mengawal sepenuhnya dalam
proses bekerja.

Teori Y pula lebih bercirikan motivasi dan pengiktirafan. Teori ini mengandaikan
bahawa kerja sebagai satu perkara semula jadi iaitu suatu perkara biasa sama seperti
bermain, bersukaria dan lain-lain jika keadaan kerja itu baik, tetapi mereka akan
menganggap kerja sebagai beban jika pengalaman bekerjanya pada masa lepas tidak
menyenangkan. Pekerja sememangnya mencari dan mahukan tanggungjawab kerana
sifat itu membawa kepuasan dalam diri.

Sebagai contoh, guru yang memiliki sikap seperti yang dinyatakan dalam teori X
merupakan seorang guru yang tidak mempunyai semangat dan cita-cita yang tinggi
dalam profesion pekerjaanya. Beliau hanya hanya menganggap kerja hanyalah sebagai
suatu cara untuk menyara hidup sahaja tanpa memahami dan menghayati profesion
yang diceburi. Oleh itu, beliau akan cuba mengelak daripada melakukan pekerjaan
kecuali dipaksa ataupun mendapat perintah daripada Guru Besar. Jika tidak mendapat
perintah, beliau tidak akan membuat pekerjaan lain selain daripada kerjanya sendiri. Hal
ini berbeza dengan guru yang mempunyai sikap seperti dalam Teori Y di mana guru
sebegini merupakan seorang guru yang ingin bekerja dan memajukan diri serta
menganggap elemen pekerjaan sebagai suatu perkara semula jadi yang harus
dilaksanakan. Guru seperti ini tidak perlu menunggu arahan daripada pihak atasan untuk
melakukan kerja-kerja lain selain berpendapat bahawa pekerjaan itu membawa
pulangan yang berbaloi dari aspek kepuasan diri sendiri. Oleh itu, guru yang bercirikan
sikap di dalam Teori Y lebih menjurus ke arah seorang guru dan pemimpin yang
berkesan untuk kemajuan pendidikan negara kerana beliau sudah mengetahui tugas
dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan tanpa menunggu perintah dan hal ini sama
sekali berbeza dengan guru yang mempunyai sikap di dalam Teori X.

4.3 Teori Perhubungan Manusia
Teori ini menjelaskan bahawa perhubungan manusia boleh mempengaruhi kelakuan
dan perlakuan antara kedua-duanya. Perlakuan pemimpin terutamanya boleh memberi
kesan terhadap kepuasan hati pengikut dalam melaksanakan tugas. Kajian telah dibuat
oleh pelopor-pelopor teori ini untuk mengenalpasti perlakuan-perlakuan dan didapati
terdapat dua corak perlakuan pemimpin yang disukai orang-orang bawahan iaitu yang
pertama, perhatian dan penekanan terhadap tugas untuk mencapai matlamat organisasi
(task-orientation) dan yang kedua, perhatian dan penekanan terhadap perhubungan baik
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

10

antara pemimpin dengan orang bawahan (human relations orientation). Kajian-kajian ini
membawa kepada kesimpulan bahawa pemimpin yang memberi perhatian berat kepada
tugas dan orang bawahannya boleh membawa kejayaan kepada organisasinya. Dalam
erti kata lain, pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mengambil berat tentang
tugas dan yang menjaga hubungan baik dengan pengikutnya.

Teori ini mempunyai perkaitan dengan seseorang guru sekiranya guru itu ingin
menjadi pemimpin yang berkesan dalam organisasi pendidikan. Hal ini kerana guru yang
mempunyai sikap peka terhadap keadaan sekelilingnya, mengambil berat terhadap
masalah yang dihadapi, serta mempunyai hubungan sosial yang baik terutamanya
kepada rakan sekerja akan menjadikan dirinya teladan terbaik, seterusnya membuatkan
dirinya senang untuk didekati, diikuti dan dibawa berbincang. Ciri-ciri ini sangat dituntut
dan harus dimiliki dalam diri seorang pemimpin agar mampu meninggalkan kesan yang
positif kepada orang-orang bawahannya.

4.4 Teori Kepimpinan Mengikut Situasi (Situational Leadership Theories)
Dalam Teori Kepimpinan Mengikut Situasi menjelaskan bahawa kepimpinan yang
berkesan tidak semestinya sesuatu yang nyata dan boleh wujud tersendiri dengan
bentuk yang sama, tetapi bergantung kepada beberapa faktor lain berupa manusia dan
persekitaran yang saling berinteraksi dan saling mempengaruhi. Kesimpulannya,
pertama, teori ini mengandaikan bahawa cara memimpin yang berbeza boleh berkesan,
bergantung kepada kematangan orang-orang bawahan; mereka yang matang kurang
memerlukan penyeliaan, manakala mereka yang kurang matang memerlukan arahan
dari ketua. Selain itu, kesimpulan kedua ialah cara memimpin yang berbeza sesuai
dalam keadaan yang berbeza; cara paling baik hendaklah mengambil kira faktor-faktor
penting sebelum sesuatu keputusan dibuat. Kesimpulan ketiga berdasarkan teori ini
adalah keberkesanan seorang pemimpin bergantung kepada persekitaran yang berupa
manusia dan keadaan. Yang terakhir adalah pemimpin yang berkesan adalah mereka
yang mendorong dan menunjukkan jalan kepada orang bawahan untuk menghasilkan
sesuatu yang paling baik.

Perkaitan teori ini dengan kemampuan guru untuk menjadi pemimpin yang berkesan
adalah teori ini menekankan bahawa ciri-ciri pemimpin yang baik adalah pemimpin yang
mampu menyesuaikan diri dalam keadaan yang berbeza. Dalam erti kata lain,
seseorang guru tidak mudah gelisah dan cemas walaupun keadaan yang dihadapi
berubah dalam sekelip mata. Guru yang mempunyai sikap sebegini mampu menjadi
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

11

panduan kepada guru lain agar sentiasa bersedia dalam apa jua situasi. Selain itu,
seseorang guru juga perlulah mengambil kira pelbagai faktor yang memberi kesan
terhadap sebarang masalah sebelum membuat keputusan. Hal ini diyakini mampu
menimbulkan rasa kepercayaan dan keadilan orang sekeliling terhadap diri guru
tersebut. Teori ini juga ada menyatakan bahawa ciri pemimpin yang baik adalah
pemimpin yang membantu mencari jalan terbaik terhadap orang bawahannya. Oleh itu,
sikap tidak lokek ilmu dan pengetahuan haruslah disemai dalam diri setiap guru supaya
idea yang dimiliki mampu dikongsi bersama individu-individu lain. Keberkesanan
seorang pemimpin dinilai daripada aspek pengurusan dan kemahiran sosial bersama
masyarakat sekeliling.

Tuntasnya, teori-teori yang telah dibincangkan ini merupakan teori-teori terbaik dan
mempunyai perkaitan dengan kerjaya guru untuk menjadi pemimpin yang berkesan
dalam organisasi pendidikan.

5.0 RUMUSAN
Sekolah merupakan institusi sosial yang memainkan peranan amat penting dalam
usaha mengubah kehidupan masyarakat. Sekolah adalah watak utama pembuka minda
dan sekolah adalah penentu kepada budaya serta pembangunan sesebuah negara. Di
sinilah tempat kita menuju kecemerlangan seiring menjayakan wawasan 2020. Di sini
jugalah tempat kita membina bangsa kita. Dengan yang demikian tidak hairanlah jika isu
pendidikan tetap dibincangkan oleh masyarakat walau apa pun bentuk dan taraf sesuatu
masyarakat itu. Negara tidak akan maju tanpa sistem pendidikan yang berkesan. Oleh
yang demikian untuk menzahirkan wawasan pendidikan negara, seluruh pihak yang
memikul tugas dan tanggungjawab perlu menerima tugas dengan penuh amanah dan
ikhlas. Terutama sekali sebagai seorang Guru Besar yang bertanggungjawab secara
langsung sebagai pemimpin di sekolahnya. Tidak ketinggalan adalah guru yang menjadi
insan terpenting menjayakan matlamat yang ditetapkan.

Walaupun terdapat pelbagai elemen yang berkaitan dengan perkembangan
pendidikan seeorang pelajar, tetapi jika semua pihak mengetahui dan mengambil cakna
tentang tugas dan tanggungjawabnya, Falsafah Pendidikan Negara akan terlaksana dan
kita akan dapat menuju ke satu era kecemerlangan ilmu dan pembangunan negara akan
berlaku secara seimbang. Peranan dan fungsi pengurus yang memimpin adalah
mencetuskan usaha-usaha peningkatan proses pengajaran pembelajaran dengan
sentiasa melakukan inovasi dan sekaligus menghargai inovasi tenaga kerja
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

12

(Sokarno,1994). Seorang pemimpin hendaklah mempunyai cita-cita dan sentiasa
mencari idea-idea baru untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran
dengan lebih berkesan. Sekolah memerlukan seorang pemimpin yang berjiwa besar,
semangat dan bercita-cita tinggi kerana kepimpinan sekolah adalah begitu kompleks.
Sebahagian besar inputnya adalah manusia. Manakala outputnya juga adalah manusia,
tidak seperti firma atau kilang-kilang yang mengeluarkan produk yang berupa barangan.
Pemimpin akan berhadapan dengan orang-orang di bawah pimpinannya dan pelajar-
pelajar sebagai sasarannya. Di sekelilingnya adalah masyarakat yang sentiasa melihat
perkembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu, melalui anak-anaknya.
Bimbingan guru yang efisyen dan pemimpin yang berkesan mampu membantu anak
murid ke arah hala tuju yang betul dan berjaya.


























EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

13

6.0 PENULISAN REFLEKTIF
Bersyukur kepada Allah kerana dengan kasih dan rahmat-Nya, saya dapat
melaksanakan kerja kursus ini dengan jayanya. Kerja kursus bagi EDU 3083 Asas
Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru ini merupakan tugasan yang
dijalankan secara individu dan ianya menuntut saya untuk menjelaskan sebab-sebab
berlakunya ketidakpatuhan dalam kod etika perguruan di negara ini, mengemukakan
kemungkinan yang akan terjadi kepada seseorang guru yang gagal mematuhi etika,
akauntabiliti dan integriti dalam profesion perguruan, menghubungkaitkan Teori
Kepimpinan Guru yang telah dipelajari dapat membantu seorang guru menjadi pemimpin
yang berkesan dalam organisasi pendidikan berdasarkan pelbagai sumber rujukan serta
yang terakhir ialah penulisan refleksi.

Penerimaan tugasan ini dilakukan pada 11 Ogos 2014. Selepas menerima tugasan
ini, saya mengambil langkah pertama untuk membina jadual pelaksanaan tugasan bagi
memudahkan saya melakukan tugasan ini dengan sempurna. Walaupun pada awalnya,
saya menghadapi masalah dalam menentukan masa yang sesuai untuk melaksanakan
tugasan ini kerana disebabkan kekangan masa yang tidak dapat dielakkan dan aktiviti
yang dijalankan, namun ianya tidak menghalang saya untuk menentukan hari serta
masa yang sesuai untuk melaksanakan tugasan ini. Oleh itu, saya telah membina
sebuah jadual yang terancang untuk dijadikan panduan kepada saya dalam menyiapkan
tugasan ini.

Sepanjang melaksanakan tugasan ini, saya menghadapi beberapa masalah dalam
menganalisis maklumat yang pelbagai. Pada awalnya saya menghadapi masalah dalam
memahami kehendak tugasan yang mengkehendaki saya untuk melaksanakan empat
tugasan yang berlainan. Saya mengambil masa yang agak lama dalam memahami tajuk
tugasan kedua dan ketiga iaitu mengemukakan kemungkinan yang akan terjadi kepada
seseorang guru yang gagal mematuhi etika, akauntabiliti dan integriti dalam profesion
perguruan, dan soalan ketiga iaitu menghubungkaitkan Teori Kepimpinan Guru yang
telah dipelajari. Hal ini kerana, saya belum dapat menguasai tajuk dan kemahiran ini
serta teori-teori yang sememangnya mengambil masa yang agak panjang untuk
difahami seterusnya menyebabkan masalah ini timbul. Namun begitu, saya tidak
berputus asa untuk terus bertanya dan memahami kehendak tugasan ini sehingga saya
dapat melaksana dan memahami kehendak tugasan ini dengan baik. Dalam mengatasi
masalah ini, saya telah menjalankan perbincangan dengan rakan-rakan lain dan individu
yang mahir untuk membantu saya dalam memahami kehendak tugasan ini dengan lebih
EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

14

berkesan. Akhirnya, saya dapat membuat tugasan kedua seterusnya yang ketiga
mengikut pengisian yang diinginkan dengan bantuan rakan dan sumber rujukan yang
telah dipilih. Melalui perkara ini, saya sedar bahawa penguasaan bahan tugasan seperti
yang dikehendaki amatlah penting untuk saya pelajari dalam menyediakan diri saya
daripada segi pemerolehan ilmu sebelum menjadi seorang pendidik kelak.

Selain daripada menghadapi kesukaran dalam melaksanakan tugasan ini, saya juga
memperoleh pelbagai input yang berguna dan mampu mendatangkan manfaat dalam
diri saya sebagai seorang bakal pendidik. Antaranya ialah, saya dapat memberikan
huraian dan penerangan dengan lebih lengkap tentang sebab berlakunya isu
ketidakpatuhan dalam kod etika perguruan serta kemungkinan-kemungkinan yang akan
berlaku terhadap guru yang didapati bersalah dalam profesion perguruan semasa
membuat persediaan menyiapkan tugasan ini. Melalui perkara ini, saya dapat
meningkatkan dan meluaskan pengetahuan saya dengan lebih mendalam lagi mengenai
kesemua aspek yang terkandung dalam tugasan ini. Hal ini kerana, melalui tugasan ini
saya akan sentiasa menganalisis kesemua perkara yang berkaitan dengan kehendak
tugasan dan hasilnya, saya dapat mengukuhkan lagi pengetahuan dan ianya bagaikan
proses mengulangkaji yang berlaku dalam diri saya. Sebagai seorang bakal pendidik,
saya seharusnya berusaha untuk sentiasa meningkatkan dan mempelajari sesuatu ilmu
yang baharu bagi memudahkan saya menjadi seorang pendidik kelak. Walaupun
perkara tersebut selalunya diajar di dalam bilik kuliah, namun tidak menjadi halangan
bagi saya untuk sentiasa mempelajari kesemua ilmu tersebut dalam situasi di luar bilik
kuliah.

Melalui tugasan ini juga, saya berjaya memahami dan mengenal pasti dengan lebih
jelas mengenai teori-teori yang terdapat dalam tajuk ini daripada pelbagai sumber
seperti laman sesawang dan juga buku-buku ilmiah. Di samping itu, penulisan reflektif
yang disediakan juga tidak mendatangkan masalah yang besar kepada saya semasa
menyiapkan tugasan ini. Secara tidak langsung, ianya membantu meningkatkan tahap
penguasaan am saya berkaitan isu semasa yang terjadi khususnya dalam dunia
pendidikan masa kini.






EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

15

Secara keseluruhannya, pelaksanaan tugasan ini telah berjaya membuka minda dan
meningkatkan pengetahuan saya mengenai etika profesional perguruan yang berkaitan
dengan subjek EDU 3083 serta juga permasalahan yang sering kali berlaku dalam
kalangan pendidik dan pihak lain yang terlibat dalam dunia pendidikan. Tambahan lagi,
saya mendapat gambaran serba sedikit mengenai teori-teori yang sesuai untuk
digunakan dalam usaha membantu guru menjadi seorang pemimpin yang berkesan
dalam organisasi pendidikan. Pelaksanaan tugasan ini bagaikan proses mengulangkaji
bagi diri saya dan secara tidak langsung, membantu saya sebagai bakal pendidik untuk
memahami serta menghayati kod etika profesion perguruan.




























EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU 2014

16

7.0 RUJUKAN
Buku Ilmiah
Institut Tadbiran Awam Negara (1994). Citra Karya: Falsafah, Nilai dan Etika Dalam
Perkhidmatan Awam. INTAN. Kuala Lumpur.

Noriati A. Rashid et al. (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru.
Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Syed Ismail Bin Syed Mustapa, Ahmad Subki Bin Miskon (2010), Asas Kepimpinan &
Perkembangan Profesional, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Laman Sesawang
http://gemeangel889.blogspot.com/2012/09/isu-penyalahgunaan-masa-di-
kalangan-guru.html
Diakses pada 16 Ogos 2014

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0127&pub=Kosmo&se
c=Negara&pg=ne_05.htm
Diakses pada 18 Ogos 2014

http://www.scribd.com/doc/61774241/Cadangkan-Kemungkinan-Yang-Berlaku-
Pada-Seorang-Guru-Yang#download
Diakses pada 18 Ogos 2014

http://www.slideshare.net/zaedi_sksd/edu3108-tajuk-3-isuisu-etika-guru-nota
Diakses pada 18 Ogos 2014

http://www.scribd.com/doc/61771831/TEORI-TEORI-KEPIMPINAN#download
Diakses pada 6 September 2014

http://www.amaljaya.com/guru/pismp/edu-3108
Diakses pada 6 September 2014