Anda di halaman 1dari 11

MAQAM MAQAM ROH - DARI KITAB AL-TIBB AL-RUHI AS-SUFI

Assalamualaikum..Segala Puji-puji bagi ALLAH S.W.T Selawat dan Salam bagi Junjungan kita
Nabi Agung Muhammad s.a.w serta Sahabat dan Keluarga Baginda. Dengan daya dan izin
ALLAH jua dapatlah saya menyalin sebahagian bab dari terjemahan sebuah buku yang berjudul
The Book of Sufi Healing (kitab al-Tibb al-Ruhi as-Sufi) karangan Syeikh Hakim Abu Abdullah
Ghulam Moinuddin.

Dengan sedikit olahan dari gaya bahasa serta perumpamaan-perumpamaan. Pada pendapat
saya karangan ini sangat baik untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan bagi pembaca-
pembaca sekelian umumnya.

Akhir kata saya memohon ampun kepada ALLAH S.W.T jika ada kesilapan didalam salinan saya
dan sama-samalah kita membetulkannya. Dan kepada ALLAH saya berserah diri.
Wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh"

MAQAM AN-NAFS

Dalam perjalanan hidup di dunia ini,fizikal kita melalui peringkat-peringkat atau maqam-maqam
iaitu peringkat bayi, peringkat kanak-kanak, peringkat muda dan peringkat tua. Demikian juga
roh itu melalui peringkat-peringkat evolusi atau maqam yang tertentu.

Perkataan Arab bagi maqam itu ialah maqam (banyak: maqamat) yang bererti tempat berhenti
dan berehat sebentar, tempat kediaman, wisma, tinggal, kehormatan, jabatan, keadaan, nada
muzik dan soalan. Sebenarnya pendudukan maqam oleh roh adalah semuanya itu dan kadang-
kadang lebih daripada itu.

Maqam roh itu dimasuki pada waktu lahir lagi, dan seluruh hayat ini menduduki satu daripada
maqam-maqam tersebut, miskipun ada peralihan dari satu maqam ke maqam yang lain.
Susunan itu dari bawah keatas adalah seperti berikut:

Maqam an-nafs = Maqam egotisma ( maqam nafsu )
Maqam al-qalb = Maqam hati
Maqam al-roh = Maqam roh
Maqam as-Sirr = Maqam rahsia (ketuhanan)
Maqam al-Qurb = Maqam kehampiran (dengan ALLAH)
Maqam al-Wisal = Maqam kesatuan (dengan ALLAH)

Dari semenjak lahir kita sentiasa berjuang dan berusaha memajukan roh. Kemajuan dalam
usaha ini boleh ditanda dan diukur dengan merujuk kepada maqamat (maqam-maqam)
tersebut. Memang bukan semua orang mencapai maqam itu. Dan bukanlah badan yang
mengembara disitu tetapi roh.

Roh itu juga bermaksud nafas ALLAH, malaikat Jibril, Al-Quran, Wahyu dan kenabian. Menurut
orang sufi, roh itu adalah zat hidup, bukan badan atau otak dengan fikiran dan ingatannya,
bukan juga proses-proses hayat ini. Roh mempunyai wujud tersendiri yang datang dari ALLAH
dan milik ALLAH semata-mata.

Apabila kita bertanya apakah rasanya buah delima, maka jawabnya ialah rasanya seperti
rasanya juga. Jawapan itu tidak cukup untuk memuaskan hati, tetapi kerana keunikan dan
tersendiri keadaannya, rasanya juga tidak dapat untuk diumpamakan dengan rasa-rasa yang
lain. Demikian juga dengan roh.

Roh atau zat itu dapat dibuktikan wujudnya melalui penzahiran atau manifestasinya. Kita ambil
contoh iaitu tarian. Tarian wujudnya tidak secara konkrit (dapat dilihat, disentuh, dan
sebagainya). Ia lahir dalam bentuk rentak, tempo, corak, gerak-geri dan sebagainya. Begitulah
perumpamaan tarian dan penarinya. Roh dan jasad. Roh manusia memerlukan penzahiran
(rentak dan corak) untuk terzahir dalam alam fizikal (jasmaniah). Roh itu berbeza dari nafas.
Nafas ialah tenaga ketuhanan yang menggiat atau mengerakkan fenomena atau kejadian
jasmaniah dalam badan termasuk proses mental. Roh itu lebih tinggi darjatnya dari nafas dan
lebih dekat dirasai.

Matahari, batu api, mancis dan sebagainya ada zat api padanya. Semuanya ada zat yang sama,
tetapi bentuk fizikalnya berbeza-beza, dan setiap satu terletak di peringkat evolusi berbeza iaitu
maqam yang berbeza. Hakikat zat api itu ialah sebahagian dari Nur ALLAH (cahaya ALLAH)

Setiap manusia ada roh, tetapi roh seseorang itu tidak sama dengan roh seorang yang lain.
Seorang yang kufur tidak sama dengan seorang Waliyullah. Ada roh yang lebih suci daripada roh
yang lain.

Setiap orang lahir dalam maqam nafsu dan inilah maqam yang pertama dalam hidup di dunia
ini. Bayi yang hanya hendak memenuhi keperluan jasmaniahnya semata-mata. Dan
memerlukan makanan dan minuman, perlu digendung. Dia akan menangis untuk menyatakan
kehendaknya. Dia tidak tahu akibat perbuatannya. Bayi memecahkan sesuatu benda yang
dianggap sangat bernilai oleh orang dewasa dan dia ketawa melihat keadaan itu.

Seseorang dalam pertumbuhan awal hanya semata-mata mementingkan hawa nafsu
kehaiwanannya, makan minuman dan segala jenis ransangan nafsu. Semua ini adalah keadaan
yang dikurniakan ALLAH yang diperlukan oleh mereka. Bayi dan kanak-kanak di pasaraya
dengan sengaja memecahkan barangan yang dipamerkan di situ, orang tidak marah. Tetapi
sekiranya orang dewasa yang melakukan dengan sengaja perbuatan yang sedemikian pastilah
tindakan akan diambil keatasnya.

Dalam maqam nafsu, daya pertimbangan akan dan pemikiran belum maju lagi. Daya ini datang
kemudian. Dalam proses pertumbuhan anak itu, ibu bapanya atau masyarakat sekeliling
biasanya memberi pengaruh kepada perangainya. Dengan kata lain, anak itu berlajar mengikut
sifat-sifat yang tertentu. Siapa yang menyimpang daripada jurusan itu akan ditentang dengan
pelbagai halangan yang menyusahkan.

Adalah perkara biasa dan memang difahami bahawa kana-kanak memang berada dalam
peringkat maqam nafsu ini. Sebagai mana kanak-kanak itu membesar dan merangkak, badan
bertambah matang, tindakan fizikal bertambah licin, maka bergitu jugalah kita mengharapkan
rohnya berkembang maju dan meningkat ke atas melebihi maqam nafsu itu.

Al-Quran menerangkan cara-cara bagaimana memajukan dan mempertingkatkan roh. Cara
hidup yang ditonjolkan oleh Al-Quran itu digelar As-Sirat al-Mustaqim (jalan yang lurus)

Bagi orang sufi, tujuan hidup ini ialah mengembara menuju kepada ALLAH. Untuk berbuat
demikian hendaklah dengan cara yang munasabah dan boleh membawa kejayaan dan juga
yang paling cepat sampai. Oleh itu, jalan lurus adalah jalan yang paling dekat antara dua
tempat- maqam an-nafs dengan maqam al-Wissal (iaitu maqam kesatuan dengan ALLAH).
Paling dekat dan paling cepat sampai.

Ramai orang yang telah dewasa dan tua bangka tetapi rohnya masih diperingkat maqam an-
nafs. Orang seperti ini tidak pernah merasa puas dan tidak pernah merasa kenyang untuk
memenuhi kehendak nafsu. Jika manusia berapa terlalu lama dalam peringkat ini, ia boleh
menimbulkan banyak penyakit emosi dan fizikal yang teruk. Ketakutan, keresahan batin,
keraguan pada diri sendiri, mementingkan diri sendiri, akal tidak siuman, menangis tanpa
sebab, putus asa, penyakit saraf, penyakit jantina, membunuh diri semuanya penyakit emisi
yang berkaitan dengan maam an-nafs, jika seorang itu berada terlalu lama dalam maqam ini
hingga ke tua.

Penyakit fizikal yang bersangkutan dengan maqam an-nafs kadang-kadang berlaku serentak
dengan penyakit-penyakit emosi dan psikologi. Tetapi bagi badan akibat terlalu lama dalam
peringkat ini akhirnya boleh menimbulkan penyalahgunaan dadah, ketagihan arak, jenayah,
terlalu gemuk, hypoglycemia, buta dan penyakit mata, demam kuning, penyakit jantung,
penyakit kelamin dan kanser. Keadaan ini akibat daripada kegagalan mengawal dengan
sempurna satu atau lebih fungsi-fungsi nafs badaniah. Mungkin orang tidak percaya dan
berkata bahawa dia mengenali seorang yang sangat baik akhlaknya tetapi mengidap penyakit
lemah jantung. Dengan mengetahui maqam-maqam selanjutnya berkenaan evolusi roh
(perjalanan roh) akan menjelaskan perkara ini sepenuhnya.

Cara untuk melepaskan diri dari maqam an-nafs dan maju lagi ketingkat yang lebih atas ialah
mendisiplinkan dan melatih egi diri dan nafsu. Ini bererti mempertingkatkan kuasa iradat,
tanggungjawab, pertimbangan akal, belas kasihan dan sopan santun, dan lain-lain sifat yang
baik. Apabila seseorang itu mendapat mengawal nafsu dan meniggalkan peringkat maqam itu,
ia akan sampai ke maqam al-qalb atau maqam hati.

MAQAM AL-QALB

Perkataan Arab bagi hati ialah QALB. Perkataan ini mempunyai maksud yang luas dan mulia
iaitu hati, fikiran (minda) roh, kefahaman, akal (intelek), intisari, tulang sumsum, tengah,
bahagian yang paling baik dipilih, teras, tulin dan suci. Qalb itu juga membawa makna susunan,
menukar keadaan atau menjadi. Bagi orang sufi, hati itu adalah alat atau cara di mana
mlaluinya semua perubahan itu terjadi.

Mereka yang menduduki (maqam hati) memiliki kebaikan. Mereka berasa baik tentang diri dan
alam ini. Orang dalam maqam ini akan berkata, Aku hendak membuat yang baik-baik saja
dalam dunia ini. Aku mencintai alam semula jadi dan akan menerima semua orang. Alagkah
indahnya kehidupan ini !

Memandangkan sikap yang baik terhadap hidup ini, mungkin kita menganggap orang dalam
maqam al-qalb ini tidak ditimpa penyakit. Tetapi sebaliknya yang terjadi. Orang dalam
maqam ini masih boleh diserang oleh ketidak seimbangan emosi dan fizikal dan juga spiritual
(kerohanian). Penyakit emosi dan roh ini termasuklah tidak boleh menumpukan fikiran
(kosentrasi), lupa, takut gagal, kemunafikan jenis tertentu, emosi yang melampau seperti
ekstasi (tidak sedar diri), perasan putus asa, seronok dan marah yang melampau, sombong dan
tidak perduli perasaan orang lain.

Miskipun adanya aspek yang positif dalam maqam ini, namun ia masih dalam maqam kedua
dalam perjalanan roh. Peringkat ini menimbulkan pergolakan emosi yang hebat, seperti
perceraian antara suami isteri atau masalah perhubungan dengan orang lain, dan juga
kesukaran dari segi kewangan. Ini disebabkan orang itu merasai tekanan ekstasi (dzauk) iaitu
perasaan keghairahan baru yang menguasai kehidupan seseorang itu. Ramai rakan yang baik
dengan orang itu sebelum ini tidak lagi setuju dengan pendapatnya dan bertambah
rengganglah persahabatan mereka kerana timbul berbagai-bagai perselisihan faham dan
sebagainya, setelah dia sampai ke maqam hati ini. Ramailah saudara dan kenalannya yang tidak
mahu bercampur dengannya lagi.

Ada juga terjadi masalah fizikal pada orang-orang dalam peringkat ini. Penyakit dalam peringkat
ini sangat teruk, kerana badan sedang melalui proses pembersihan dan dalam proses
membuang racun dan benda-benda yang tidak berguna yang terkumpul dalam peringkat
sebelumnya. Oleh itu penyakit orang dalam maqam al-qalb ini ialah sakit kepala, rasa hendak
muntah, sakit-sakit dan lenguh seluruh badan, keracunan badan (pecah-pecah kulit, penyakit
kulit kepala), demam, sakit pada pundit hempedu dan sakit buah pinggang.

Penyakit dalam maqam an-nafs biasanya sangat teruk dan selalunya tidak dapat disembuhkan,
tetapi dalam maqam al-qalb, badan itu sendiri merawat dan menyembuhkan penyakit itu.
Hamper semua adalah tanda-tanda satu atu lebih jenis krisis penyembuhan yang dilalui oleh
badan dalam menyembuhkan dirinya sendiri. Proses ini mungkin tidak digemari tetapi
faedahnya besar.

Adalah sukar mengembara terus ke maqam-maqam yang lebih tinggi lagi jika tidak ada guru
yang benar-benar mursyid. Di bawah pimpinan guru, kita boleh bergerak terus keperingkat
yang atas lagi iaitu maqam ar-roh (maqam roh), dengan mengikut pelbagai amalan untuk
memajukan sifat-sifat kasih sayang, pertimbangan dan disiplin diri hingga ketahap
kesempurnaan.

MAQAM AL-ROH

Tidak syak lagi maqam al-roh ini ialah peringkat yang diberkati, dan orang yang menduduki
peringkat ini dilihat oleh orang lain sebagai orang yang berwatak cinta dan bersifat ketuhanan,
tetapi masih ada lagi ketidak seimbangan fizikal dan emosi, yang mana adalah sebahagian
daripada alat atau mekanisma yang dengannya seseorang itu sampai kepada ALLAH. Keadaan
ini mendalamkan iman. Persoalan emosi maqam ar-roh termasuklah sombong, megah kurang
konsentrasi, pening-pening, sikap tidak bersungguh-sungguh dan kadang-kadang menghina
orang lain. Inilah penyakita-penyakit dalam maqam ini tetapi bukanlah perangai orang yang
seimbang dalam maqam ini. Ketidakseimbangan ini boleh terjadi apabila orang itu belum lagi
sampai ketahap yang seluruhnya bebas dari kehendak-kehendak nafsu.

Suatu ketika apabila seorang ahli sufi yang sangat terkenal pada zamannya iaitu Syeikh Abdul
Qadir Jilani r.a telah dianggap orang sebagai syeikh kerohanian yang besar, didatangi suatu
lembaga yang mahu merosakkan akidah beliau dengan memberitahu yang beliau ( Syeikh Abdul
Qadir Jilani ) sekarang tidak perlu lagi bersolat kerana beliau telah mencapai maqam yang
tinggi. Tetapi dengan pimpinan ALLAH S.W.T dan ketinggian ilmu beliau. Syeikh Abdul Qadir
Jilani telah membaca sepotong ayang Al-Quran yang menunjukkan bahawa lembaga itu
sebenarnya syaitan. Ini menunjukkan bahawa makin jauh seseorang itu mengembara dalam
jalan tareqat kerohanian maka makin banyak dia digangu oleh syaitan.

Setengah dari ketidakseimbangan dalam maqam ini mudah dikawal, tetapi setengahnya tidak.
Satu daripada sifat yang paling sukar dan bahaya ialah sombong atau bongkak. Inilah sikap yang
suka memuji diri sendiri. Dia akan berkata, Aku lebih baik daripada orang lain. Aku solat
sepanjang hari, aku berpuasa, aku takafur. Aku melihat semua orang seperti sampah. Mereka
semuanya berdosa. Tetapi sikap ini bahaya, kerana ini mengotorkan kesucian kerohaniannya.
Perlu diingati setiap orang maju kesatu tahap tertentu dalam perjalanan kerohanian dengan izin
ALLAH. TIDAK KIRA BAGAIMANA TENGGELAMNYA SESEORANG ITU DALAM KEHIDUPAN DUNIA
INI NAMUN DIDALAM JIWA MEREKA MASIH TETAP ADA PANCARAN KETUHANAN. Mereka juga
boleh maju. Orang-orang dijalan lurus yang tulin tidak akan mencaci orang lain. Sepatutnya
mereka yang belum sedar itu dipimpin keluar dari jalan yang sesat masuk ke jalan yang benar
dan lurus.

Ada sedikit masalah jasmaniah (fizikal) yang berkaitan dengan maqam roh ini, termasuklah
mabuk sendiri (akibat malas bernafas yang keterlaluan), beberapa jenis ransangan urat saraf,
keletihan, selera tidak normal dan juga demam.

Ada dua bentuk demam: pertama , terjadi dalam maqam nafsu. Hati jasmani itu panas yang
ditimbulkan oleh badan kerana menapis dan memproses kotoran yang berlebihan. Demam
jenis yang kedua terjadi dalam maqam yang diatas lagi dan ini merupakan pembersihan rohani
yang dalam yang menyebabkan sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w Dosa itu jatuh
berguguran seperti daun yang gugur dari pokok. Demam ini membakar kotoran do peringkat
roh. Bahkan sebahagian daripada nabi-nabi pun tertakluk pada demam-demam. Orang soleh
yang mengalami demam pada peringkat ini bukanlah sedang dirawat kerana perbuatan dosa
mereka. Seorang ahli sufi pernah berkata , Pada awalnya anda taubat daripada lupa kepada
ALLAH walaupun satu saat. Keadaan inilah yang dirawat dalam maqam ar-roh.

Ada juga terjadi orang dalam maqam ini menjadi gila jika ia tiada guru. Mereka mungkin jatuh
ke jurang khayal sendirian. Wahai orang-orang yang mencari, janganlah kamu hanya rehat di
satu-satu maqam saja atau menyangka kamu tidak akan jatuh balik ke maqam yang di bawah.

Apabila tabib kerohanian merawat seseorang pesakit maka jelaslah bahawa beliau memberi
rawatan yang berbeza. Waliyullah dirawat dengan cara yang lain dan orang biasa dirawat
dengan cara yang lain, walaupun mereka mengatakan mereka mempunyai penyakit yang sama.
Demam contohnya.

Persoalan yang mungkin timbul adakah seseorang itu boleh bertindih atau beselisih maqam. Ini
tidak berlaku. Maqam itu ialah tempat berhenti rehat. Oleh itu, apabila seseorang itu masuk ke
satu maqam, ia akan berada di situ hingga meninggal dunia atau hingga naik ke maqam atas lagi
atau undur balik ke maqam yang dibawah. Walau bagaimanapun ada banyak keadaan tau hal
yang terjadi dalam sesuatu maqam. Hal bermaksud pertukaran dan dikaitkan juga perkataan
ini melalui bunyi kepada hal yang bererti melepas ikatan atau melarutkan. Dalam pengertian
ini, seseorang itu hilang pengaruh deria seperti dzauk semasa mereka berzikir hingga kadang-
kadang mereka jatuh tidak sedar diri dan dapat memandang seketika kealam hakikat dan
makrifat.

MAQAM AS-SIRR

Maqam keempat ialah maqam as-sirr. Inilah maqam rahsia-rahsia Ketuhanan. Perkataan sirr
(banyak: asrar) adalah berkenaan dengan rahsia paling besar, yang tidak dapat difikirkan, dan
apabila dialami sukar dipercayai. Perkataan ini juga mempunyai maksud yang lain, misalnya
bersatu, bahagian tengah atau paling baik pada sesuatu, tanah paling kaya, akar, asal dan
pusara.

Inilah maqam yang dimaksudkan oleh ALLAH dalam firman-Nya , Ada hamba-hamba-Ku yang
tertentu yang tidak berhenti-henti berusaha menghampiri-Ku dengan ibadat-ibadat sunat
sehingga Aku menjadi mulut yang dengannya mereka berkata-kata, mata yang dengannya
mereka melihat, telinga yang dengannya mereka mendengar, tangan yang dengannya mereka
memegang dan kaki yang dengannya mereka melangkah. Mereka yang bernasib baik dalam
maqam ini diletakkan di tempatnya masing-masing. Mereka diberi kuasa pendengaran batin
iaitu daya luar biasa pendengaran dan dapat membaca fikiran orang lain. Malaikat datang
kepada mereka dengan perkhabaran-perkhabaran dari alam ghaib.

Suatu hari orang bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Untuk apakah alam semesta raya ini
dijadikan ALLAH? Bagaimanakan ia wujud?.
Nabi menjawab, Aku tidak tahu jawapannya. Aku akan bertanya dulu kepada Malaikat Jibril.
Nabi pun bertanya kepada Jibril yang memberi jawapan demikian, Aku tidak tahu, aku akan
bertanya kepada ALLAH.
Lalu Jibril pun bertanya kepada ALLAH S.W.T. kemudian ia kembali membawa firman ALLAH.
Kami ciptakan langit hanya untuk memberi pemandangan yang indah-indah dan untuk hiburan
bagi makhluk, dan untuk mempamirkan keagungan dan kekuasaan Kami dan diciptakan
bintang-bintang yang berkelipan untuk mempertingkatkan jiwa makhluk dan mengembirakan
mereka dan menyebabkan mereka kagum dan terpesona dengan ciptaan ALLAH S.W.T.

Apabila ALLAH ditanya bagaimana Dia membuat semua ini, Jibril melaporkan bahawa ALLAH
berfirman, Aku tidak jadikan manusia itu berupaya untuk mengetahui bagaimana Aku buat
semua itu. Walau Aku beritahu kepadamu, kamu tidak akan faham tetapi tatkala bercerai
nyawa dengan badan, tatkala itu hijab telah tersingkap, kamu akan melihat bagaimana ia dibuat
dan kamu akan hairan dan takjub dengan kebijaksanaan-Ku. Akulah pencipta yang paling baik.
Sebagaimana Aku jadikan langit itu dengan rumit dan komplek sekali, maka bergitu jugalah Aku
menjadikan diri manusia itu lebih hebat dan rumit lagi.

Nabi Muhammad s.a.w yang sudah pasti berada di maqam yang paling tinggi dapat menerima
perkhabaran sedemikian. Peringkat yang tinggi dan anugerah ini tidak dicapai oleh orang biasa.

Orang yang masuk ke maqam as-sirr telah lulus ujian yang paling sukar dan mereka tidak lagi
mencari aspek kehidupan yang ditunggangi oleh hawa nafsu. Mereka tidak lagi berusaha
mencari kemasyuran, kekayaan atau keghairahan perasaan. Mereka hidup kerana ALLAH dan
untuk ALLAH. Mereka berhubung rapat dan mesra dengan ALLAH dan dengan penghuni langit.
Namun mereka tetap manusia biasa. Beberapa kejadian fizikal dan emosi memang ada terjadi
pada peringkat ini. Tidaklah benar mengatakan kejadian-kejadian ini sebagai penyakit tetapi
adalah ketidakseimbangan atau sampingan yang menyebabkan seseorang turun dari peringkat
ini atau menjadi lemah dalam maqam ini dan tidak berterusan lagi untuk mencapai tujuan atau
matlamat iaitu ALLAH S.W.T. Ketidak seimbangan utama maqam as-sirr ini termasuklah
penafsiran palsu tentang fenomena (kejadian luar biasa) Ketuhanan, tidak rasional, kurang
minat dengan kehidupan duniawi, sakit hati dan jasmani serta rasa membara hati jasmani.

Seseorang yang berada dalam maqam di bawah tidak boleh biasanya melompat beberapa
maqam diatasnya. Diumpamakan seorang kanak-kanak boleh memandu basikal tetapi tentu
tidak mampu memandu kapal terbang. Ini bukan bererti hendak merendah-rendahkan kanak-
kanak itu dan mengagung-agungkan juruterbang itu. Tetapi seseorang yang telah mencapai
maqam tertentu boleh berfungsi dalam maqam-maqam dibawahnya dan memahami maqam-
maqam itu. Seperti juga seorang juruterbang yang boleh menunggang basikal diwaktu kanak-
kanak boleh untuk terus menunggang basikal pada waktu dewasanya.

Penipuan diri sendiri yang dimaksudkan dalam maqam ini adalah keadaan (hal) maqam ini.
Tetapi hal adalah ragam (mode) iaitu penipuan diri sendiri ini menzahirkan bentuknya. Perlu
diingat, bukan setiap orang dalam maqam ini dan lain-lain maqam akan mengalami semua
fenomena yang mungkin berlaku dalam sesuatu maqam itu.

Kejadian fizikal yang berlaku dalam maqam as-sirr ini ialah demam, perasaan susah bernafas
dan kadang-kadang rasa lemas. Ini terjadi kerana untuk sampai keperingkat ini memerlukan
bertahun-tahun lamanya menjalankan amalan bernafas. Ketidak seimbangan boleh terjadi jika
amalan ini dibuat secara tidak betul atau terlalu banyak. Tambahan pula bukanlah perkara yang
luar biasa di peringkat ini seseorang itu diganggu oleh kejadian-kejadian alam ghaib. Gangguan
jin adalah satu contoh. Jin boleh mengganggu manusia di mana-mana pereingkat, bahkan bayi
yang baru lahir sekalipun. Dalam keadaan demikian, pelbagai jenis amalan rohaniah yang
melibatkan pernafasan digunakan sebagai penawarnya.

Sumber penting amalan bernafas ini ialah Al-Quran. Pelbagai permulaan dan perhentian nafas
terdapat dalam Al-Quran dan pembacaannya pun berperingkat hingga ke sebelas peringkat.
Vokal (huruf saksi) atau denyutan yang biasa dalam pembacaan. Miskipun hanya beberapa
orang yang pada amalinya boleh membaca diperingkat yang tinggi . kita boleh mendengar
pembacaan sampai dua minit dengan satu nafas dan gerak melalui 4 atau 5 deretan oktaf iaitu
enam nada bunyi.

MAQAM AL-QURB

Di atas maqam as-sirr ialah maqam al-qurb. Erti qurb ialah kehampiran dan juga
membawa pengertian datang hamper, menuju, kejiranan, persaudaraan dan pertalian. Orang
dimaqam ini sesungguhnya menikmati kehampiran dengan ALLAH yang Maha Tinggi. Di situlah
langit yang paling tinggi, mengandungi Arasy atau siggahsana ALLAH S.W.T Orang yang
menduduki maqam ini mempunyai pandangan yang tinggi dan nampak sekalian alam makhluk
dan juga memandang kea lam akhirat dan alam tempat bentuk-bentuk makhluk yang lain
tinggal.

Di peringkat ini sangat sedikit ketidakseimbangan atau kesusahan dari segi kesihatan dan dari
segi penyakit. Namun ketidakseimbangan yang sedikit itu mungkin jadi amat teruk. Satu dari hal
dalam maqam ini ialah dzauk yang melampau. Orang yang dikuasai oleh hal ini digelar majdhub.
Orang seperti ini hamper semua minat atau perhubungan dengan dunia ini. Mereka dalam
keadaan gembira sepanjang masa ( gembira yang tidak dapat ditafsirkan oleh orang biasa ).
Mereka tidak perduli sama ada mereka tidur,makan atau berpakaian. Mereka mabuk dengan
ALLAH dan terserap dalam Yang Dikasihi (iaitu ALLAH).

Bergitu ganjil keadaan mereka yang berada di maqam berhampiran itu. Mereka melihat realiti
dari peringkat yang lain dan jauh berbeza dari orang biasa. Keadaan ini sangat mengasyikkan
dan sangat indah dalam cara dan tingkatnya sendiri tetapi ia bukan tujuan atau matlamatnya.
Sebenarnya tidak perlu berada terus selama-lamanya diperingkat itu.

Ada orang dalam maqam ini tidak bercakap lebih 20 tahun lamanya. Mereka tenggelam dalam
keadaan atau hal itu hingga tidak ada selera bendak berkata-kata taupun tidak mampu
berhubung dengan orang lain. Lain-lain ketidakseimbangan dalam maqam ini ialah mereka
dikuasai oleh perasaan lupa dan kadang-kadang seperti orang gila atau kurang siuman. Ia lupa
apa yang dikatakannya sebentar tadi. Sebahagian daripada amalan peringkat ini ialah tafakur
nafas dan mental. Hal seperti ini mungkin melampau dan keterlaluan hingga dia hilang ingatan
lansung. Walau bagaimana pun jarang-jarang berlaku.

Banyak persamaan diperhatikan antara orang dalam peringkat kerohanian ini dengan orang
yang berpenyakit mental. Orang mungkin menganggap mereka gila belaka. Kita perlu ambil kira
tentang ketidakseimbangan roh jika hendak menganalisa keadaan mereka itu.

Satu persoalan yang belum disebut lagi tetapi terjadi dalam semua maqa ( lebih bahaya
diperingkat maqam kehampiran ) ialah MENTUHANKAN DIRI SENDIRI, mengatakan diri sendiri
ialah ALLAH. Naquzu-biLlah. Satu lagi ketidak seimbangan yang terjadi di dalam maqam ini
ialah TIDAK PERCAYA KEPADA ALLAH.

Semakin tinggi dan semakin jauh seseorang itu naik dalam evolusi rohaniah ini, maka makin
banyak ujian dan cubaan. Orang di peringkat ini telah lama memendamkan kehendak-kehendak
nafsu badaniah dan mereka berjaya membimbing orang lain kejalan yang benar dan betul, dan
oleh itu tentu sekali hebat diganggu syaitan, jin dan iblis.

Ada orang mengaku bahawa dia bercakap-cakap dengan ALLAH dan menerima bimbingan
secara lansung daripada ALLAH. Sepatutnyalah kita sedar ALLAH berhubung dengan insan
melalui malaikat Jibril, kecuali nabi Musa a.s. banyak amaran oleh mereka-mereka yang arif dan
terdahulu merempuhi batasan ini tentang bahaya menganggap diri sendiri telah cukup kuat
menentang tipu daya iblis dan syaitan atau manusia yang berwatak iblis. Syeikh Junaid r.a
pernah berkata, Orang yang mengambil dirinya sebagai guru adalah mengambil syaitan
sebagai gurunya.


MAQAM AL-WISAL

Ada satu maqam lagi iaitu yang terakhir ialah maqam al-wisal iaitu bersatu dengan ALLAH.
Disini ALLAH dengannya ibarat yang mengasihi dan yang dikasihi. Bersatu dan berpadu dalam
satu wujud sepanjang masa. Maqam ini tidak mampu dicapai dengan usaha dan amalan apa
sekalipun. Ianya hanyalah hadiah dari ALLAH semata2. aLLAH yang menentukan dan memilih
siapa yang dikehendaki-Nya, untuk mencapai maqam ini. Diriwayatkan oleh Ibn Masud r.a
bahawa Nabi pernah bersabda:

Di kalangan hamba-hamba Allah, ada 300 orang yang mempunyai pertalian dan perkaitan yang
khusus dengan Allah dan hati mereka serupa dengan hati Nabi Adam a.s. 7 orang dengan hati
yang serupa dengan hati Nabi Ibrahim a.s. 5 orang dengan hati yang serupa dengan hati
malaikat Jibril a.s. 3 orang dengan hati yang serupa dengan malaikat Mikail. Seorang dengan
hati yang serupa dengan hati malaikat Israfil. Apabila yang seorang itu meninggal dunia,
seorang daripada yang lima itu akan menggantikan tempatnya. Apabila seorang dari yang 5 itu
itu mati, seorang dari yangpada yang 7 orang itu akan menggantikan tempatnya. Apabila
seorang daripada yang 7 itu meninggal dunia, seorang daripada yang 40 orang itu mengantikan
tempatnya. Apabila seorang daripada yang 40 orang itu meninggal dunia, seorang daripada
yang 300 orang itu akan mengambil tempatnya. Apabila seorang daripada yang 300 orang itu
meniggal dunia, seorang daripada manusia umumnya menggantikan tempatnya. Oleh itu, demi
mereka, ALLAH Taala mentadbir hidup, mati, turun hujan, menjadikan dan menghindarkan
manusia dari malapetaka

Tiga ratus orang itu tersenyum sepanjang masa dan tidak ada kaitan dengan hal-hal keduniaan.
Mereka tidak perlu makan, minum tau tidur. Mereka telah melampaui batas-batas manusia
biasa dan mereka boleh mengembara kemana sahaja di muka bumi dan di langit. Dalam sejarah
manusia di muka bumi ini hanya beberapa orang sahaja yang telah sampai ketaraf atau tingkat
ini. Sukar hendak diperihalkan dengan perkataan. Itulah matlamat ujud ini. Ini menyentuh janji
yang kita buat dengan ALLAH sebelum kita dilahirkan kedunia nyata ini.

Orang-orang yang digelar Wali yang bererti rakan ALLAH yang dikasihi-Nya. Merekalah yang
sebenarnya Khalifah ALLAH di muka bumi ini. Biasanya mereka tidak dikenal umum. Mereka ini
diberi pengetahuan tentang hakikat kejadian alam semesta raya dan hal ehwal kemanusiaan.
Merekalah yang ALLAH gunakan untuk menzahirkan Perencanaan Ketuhanan di muka bumi
ini. Alat yang mereka gunakan ialah marifatullah (mengenal dan mengetahui ALLAH).

Hanya sesiapa yang tergolong dalam bilangan 300 orang tersebut sahaja yang boleh dianggap
sebagai ahli sufi yang tulen. Bagi yang lainnya itu barulah diperingkat peminat Kesufian sahaja.

Apabila sampai ke maqam ini tiadak ada lagi sakit fizikal (badan). Hanya satu kejadian fizikal
sahaja yang tinggal iaitu cara meninggal dunia. Biasanya orang di peringkat ini bukan meninggal
dunia kerana penyakit. Mereka diberitahu masa yang tepat untuk meninggalkan dunia ini dan
dengan itu bolehlah membuat persediaan menghadapi maut. Sunggup pun dia mengetahui
masa untuk meninggal dunia tetapi beliau tetap membuat kerja-kerja harian seperti biasa
sahaja dengan penuh kesedaran hinggalah tiba waktunya dia menggadap yang Maha Pencipta.

Bagi orang seperti ini, saat-saat meninggal dunia itu adalah saat-saat yang ditunggu-tunggu dan
dirindui, bahkan seperti hari keraian kerana mereka telah melepaskan hubungan dengan dunia
ini melalui dzauk dan perasaan mereka. Mereka telah mengembara kealam kerohanian dengan
roh mereka. Badan di bumi tetapi roh mereka menjelajah kea lam-alam lain. Tidak ada sesiapa
yang boleh mengganggu dan menentang mereka. Orang seperti ini bebas daripada kesulitan
dan permasalahan duniawi.

Kesimpulannya ialah. Ketaatan dan kehendak ALLAH jualah roh itu maju dari maqam permulaan
(maqam an-nafs) hingga kemaqam akhir (maqam al-wisal). Cara untuk melangkah dari
tingkatan rendah ke tingkatan tinggi itu ialah dengan melawan dan mengawal hawa nafsu.
Dalam usaha ini ada amalan tertentu yang diaturkan oleh ALLAH S.W.T untuk menghasilkan
kesan yang paling tepat , cepat dan cemerlang.

Banyak halangan dan rintangan dalam usaha kita hendak berjalan dalam perjalanan ini. Ego
atau diri kita itulah ujian yang paling besar. Diri itulah percubaan yang paling besar. Mungkin
kita bangun daripada tidur dengan keazaman hendak menumpukan hati (konsenterasi) kepada
fikiran-fikiran yang paling suci, paling diberkati dan paling tinggi. Tetapi apa yang berlaku ialah
kita mendapat panggilan telifon dari tempat kerja yang mengatakan kita telah hidalang
pekerjaan, atau salah seorang pekerja di perusahan kita memberitahu yang kita telah
mengalami kerugian beribu-ribu ringgit dan sebagainya. Kita pun hilang konsenterasi. Hanya
pada malamnya kita kembali teringat pada keazaman kita tadi paginya.

Oleh yang demikian, kita mistilah selalu mengingati semula dan mengatakan niat kita itu. Pada
mulanya memang sukar tetapi lama-kelamaan, lebih mudah dari yang kita bayangkan. Dan
ianya menjadi kebiasaan kepada kita, kebiasaan yang paling positif. Akhirnya kita tidak akan
mudah terlalai lagi dari keazaman untuk satu penhijrahan yang terbaik itu.

Seseorang itu tidak boleh melakukan amalan-amalan kerohanian ini bersendirian atau menurut
logik akal fikiran sendiri sahaja. Bahayanya banyak. Inilah sebabnya kenapa memerlukan guru
yang hidup untuk membimbing sepanjang masa.

Perihal maqam-maqam roh yang di tulis di sini hanyalah ringkasan sahaja. Sebenarnya hasil
yang berkesan hanyalah dating dari ilmu,amal yang istiqomah dan mujahadah yang bertahun-
tahun lamanya. Oleh itu mereka yang sampai ke terakhir - iaitu bersatu dengan ALLAH adalah
orang-orang pilihan ALLAH. Merekalah Wali ALLAH. Pada pandangan ALLAH mereka adalah
kekasih, tetapi tidaklah melebihi para-para nabi itu. Dan mereka sendiri tidap pernah mengaku
menjadi nabi atau setaraf dengannya. Mereka berdiri sebagai taulan bagi mereka yang berjalan
menuju ALLAH dan sumber inspirasi bagi mereka yang ingin mendaki kepuncak kerohanian
insan.

Bagi mereka yang ingin mencapai tujuan tersebut patuhilan seikhlas-ikhlasnya nasihat dan
pimpinan kasih sayang dari Yang Maha Agung. Maha Terpuji, Maha Besar, Maha Mulia, Tuhan
bagi malaikat dan roh, Maha Tinggi Kemuliaannya iaitu ALLAH S.W.T/ Al-hamdu Lillahi Tabbil
Alamin.

Akhir kata saya bertaubat kepada Allah Yang Maha Pengampun jika terdapat kesalahan dan
kesilapan dari salinan dan olahan saya, sehingga menyebabkan salah tafsiran bagi pembaca
sekelian.

Anda mungkin juga menyukai