Anda di halaman 1dari 8

PENDIDIKAN DAN MASYARAKAT CINA DI MALAYSIA

Pendidikan merupakan satu aspek yang amat dititikberatkan dalam masyarakat Cina. Ia selaras
dengan prinsip dalam ajaran Confucius yanag menekankan kepentingan pendidikan dalam
melahirkan insan yang bermoral. Di mana dalam ajarannya yang terkandung dalam kitab klasik
‘Analect’, Confucius berpendapat prinsip-prinsip moral yang tinggi iaitu perikemanusiaan (ren),
kesusilaan ( li ) dan hormat ibu bapa ( xio ) dapat dibentuk melalui pendidikan.

Lantaran itu, masyarakat Cina melihat pendidikan sebagai satu elemen yang penting
dalam menentukan kelangsungan kebudayaan masyarakat Cina. Di mana melalui pendidikan,
bahasa, cara hidup serta falsafah serta identiti masyarakat tersebut dapat diteruskan dan diwarisi
dari satu generasi ke generasi yang lain. Dalam membicarakan perkembangan pendidikan Cina
di negara kita, ia dapat dibahagikan kepada beberapa tahap perkembangan yang berbeza. Tahap
pertama sebelum tahun 1920an. Sekolah-sekolah Cina bebas berkembang tanpa sebarang
sekatan. Komuniti Cina telah banyak membina sekolah Cina di bandar-bandar besar dan
kewujudan sekolah Cina tersebut bersifat vernakular dan perkembangannya dilihat lebih
cenderung ke arah negara Cina. Di mana sukatan, buku teks serta gurunya dibawa dari China dan
pada masa yang sama, bahasa penghantar yang digunakan berbeza-beza mengikut dialek masing-
masing seperti kantonis, hakka dan hokien. Namun begitu, menjelang awal abad ke-20, bahasa
Mandarin menjadi bahasa penghantar yang tunggal bagi semua sekolah Cina di Tanah Melayu.

Perkembangan pendidikan Cina tahap kedua pula bermula selepas tahun 1920. Di mana
penubuhan sekolah Cina mula dikawal menerusi Enakmen Pendaftaran Sekolah yang bertujuan
untuk menyekat penularan pengaruh komunis yang menyusup masuk ke sekolah-sekolah Cina.
Semua sekolah yang beroperasi perlu didaftar dan British bertindak menyelia serta mengawal
segala aktiviti serta sukatan pelajaran di sekolah Cina dan ia telah dijadikan syarat bagi
menyalurkan bantuan kewangan ke sekolah aliran tersebut.

Tahap ketiga pula menyaksikan bermulanya krisis dalam pendidikan Cina di Tanah
Melayu. Penstrukturan semula pendidikan dalam usaha menjadikannya sebagai medium
perpaduan telah mengancam kedudukan sekolah-sekolah vernakular yang sedia ada termasuklah
sekolah aliran Cina. British yang menyedari kewujudan satu sistem pendidikan yang bercorak
kebangsaan perlu dalam usaha mewujudkan satu negara yang bersatu. Usaha ke arah itu bermula

1
dalam Rancangan Chessmen yang mencadangkan sekolah Inggeris sebagai asas penyatuan dalam
pendidikan. Ia kemudiannya disusuli dengan penubuhan satu jawatankuasa pendidikan yang
diketuai oleh L.J Barnes pada Ogos 1950 yang bertujuan untuk mengkaji masa hadapan
pendidikan di Tanah Melayu. Penyata Barnes telah dibentangkan pada tahun 1951 dan beberapa
syor dalam penyata tersebut telah mendapat reaksi negatif komuniti Cina. Laporan Barnes
mencadangkan agar semua sekolah vernakular digantikan dengan sekolah kebangsaan. Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar di semua sekolah kebangsaan. Ia jelas
menafikan peranan sekolah Cina.

Tentangan serta bantahan masyarakat Cina terhadap Laporan Barnes telah membawa
kepada penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji kedudukan sekolah Cina.
Jawatankuasa yang diketuai oleh dua tokoh akademik berbangsa Cina Dr. Fenn-Wu telah
ditubuhkan. Laporan Fenn-Wu telah mengenepikan pandangan dalam Laporan Barnes dan ia
mengesyorkan sekolah berbentuk vernakular termasuklah sekolah Cina perlu dikekalkan dengan
beberapa penyesuaian dilakukan. Ia mencadangkan sekolah Cina perlu diteruskan tetapi
kurikulumnya perlulah berorentasikan Tanah Melayu. Pada masa yang sama, bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris perlu diajar di semua sekolah.

Walaupun mendapat sokongan daripada Laporan Fenn-Wu, masyarakat Cina gagal


mempertahankan kedudukan sekolah Cina apabila Ordinan Pendidikan 1952 yang diumumkan
mengenepikan pandangan dalam Laporan Fenn-Wu sebaliknya menerima sebahagian besar syor
Barnes. Ordinan Pendidikan 1952 telah menetapkan penubuhan dua jenis sekolah yang
menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sekolah Cina dan Tamil tidak diiktiraf
sebagai sekolah kebangsaan dan akan diserapkan ke dalam sekolah kebangsaan. Selain itu,
bantuan kewangan terhadap sekolah vernakular yang gagal berbuat demikian akan dihentikan.
Ordinan Pendidikan 1952 telah mencetuskan bantahan besar-besaran persatuan Cina dan aktivis
pendidikan Cina. Surat bantahan serta petisyen telah dihantar bagi mendesak British untuk
mengkaji semula ordianan tersebut. Antara memorandum yang dihantar termasuklah dari
gabungan Persatuan Dewan Perniagaan Cina ( ACCC ) dan persatuan guru Cina yang
melahirkan kekecewaan serta bantahan mereka terhadap Laporan Barnes yang menjadi asas
kepada Ordinan Pendidikan 1952.

Memorandum tersebut menolak Laporan Barnes kerana berpendapat:


2
“ The Barnes Committee propose that Chinese and Indians should eventually abandon
their own languages and culture and accept instead those of the English and
Malays. Such action is considered to be ‘Malayanisation’, without which there is no
national unity. But true, Malayanisation…is dominant in Malaya, namely, Western,
Muslim, Indian and Chinese and to favour only two and ignore the others is basically
unjust, and will undoubtedly create a sense of fear and suspicion in the minds of those
thus neglected, which might easily cause resentment and opposition” ( Heng, 1999: 193 ).

Bantahan terhadap Ordianan Pelajaran 1952 turut dilakukan oleh United Chinese School
Teachers Association ( UCSTA ) yang ditubuhkan pada 25 Ogos 1952. Ia telah menghantar surat
bantahan kepada Presiden MCA, Tan Cheng Lock dan menegaskan “ Chinese here on becoming
of Malaya will do their their duties and demonstrate their loyalty, but will never give up their
mother tongue and culture. If Chinese education is not recognised as part of the educational
system, then the Chinese are looked upon as conquered slaves and will never submit to the rule
( Heng, 1988: 195). Dalam mengulas kontroversi yang melanda pendidikan Cina, Tan Cheng
Lock, Presiden MCA telah menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan yang bertujuan menolak
Ordinan Pendidikan 1952. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa ‘ peranan MCA bukan
sekadar dalam melindungi kepentingan politik orang Cina tetapi ia turut merangkumi
kepentingan ekonomi, kebudayaan dan pendidikan kopmuniti tersebut.Ia penting dalam
memelihara jati diri etnik Cina dan menepati prinsip perjuangan parti tersebut yang berusaha
untuk melahirkan orang Cina yang berkualiti dan menegakkan kebudayaan serta kecemerlangan
Cina di samping bekerjasama dengan kaum lain ( Heng, 1988: 197-198).

MCA telah mengemukakan satu memorandum pendidikan pada tahun 1954 bagi
mewakili bantahan masyarakat Cina terhadap Ordinan Pendidikan 1952. Ia mempertikaikan
Laporan Barnes yang menjadi asas pembentukan Ordinan Pendidikan 1952 kerana bercanggah
dengan Laporan Jawatankuasa Khas Pendidikan 1952 yang menyokong kewujudan sekolah
vernakukar dan sekolah Inggeris di samping sekolah kebangsaan kerana masing-masing mampu
menyumbang ke arah pendidikan negara. Ini kerana MCA yakin kewujudan sekolah Cina
mampu menyumbang ke arah proses pembentukan bangsa Malayan memandangkan
ketamadunan China yang telah berusia ribuan tahun bakal memperkayakan lagi kebudayaan
negara ( SP 3/B/75: Memorandum Of Chinese Education In The Federation Of Malaya).

3
Lantaran itu, MCA mengesa Ordinan Pendidikan 1952 dikaji semula kerana ia dilihat sebagai
satu usaha untuk asimilasikan kebudayaan China dan India yang telah wujud sekian lama. MCA
berharap sekolah vernakular akan diteruskan di samping sekolah bercorak kebangsaan.
Cadangan Fenn-Wu dalam penerapan unsur tempatan di samping penyelarasan dari aspek
sukatan pelajaran diterima baik oleh MCA dan ia dicadangkan oleh parti tersebut dalam
penambahbaikan Ordinan Pendidikan 1952.

Perkembangan pendidikan Cina terus bergolak walaupun Ordinan Pendidikan 1952 dikaji
semula selepas Pilihan Raya Umum 1955. Jawatankuasa Razak telah dibentuk dalam usaha
melahirkan satu aliran pendidikan bercorak kebangsaan. Ia bertujuan untuk mengkaji semula
dasar pendidikan yang sedia ada dengan melakukan penambahbaikan ke atas dasar pendidikan
negara. Di samping itu, jawatankuasa itu juga bertujuan untuk memperkasakan kedudukan
bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama memberi ruang yang
sewajarnya bagi bahasa ibunda yang lain digunakan serta dipelajari tanpa sebarang kekangan.

Jawatankuasa Razak diketuai Tun Abdul Razak dan dianggotai oleh perwakilan dari Parti
Perikatan termasuklah dari MCA yang diwakili oleh Too Joon Hing, Leung Cheung Ling, Lim
Chong Eu, Goh Chee Yan dan Lee Thean Hin ( Tan Liok Ee, 1997: 166 ). Hasil daripada laporan
pendidikan ini dilihat sebagai kayu pengukur dalam melihat keberkesanan kerjasama UMNO
dengan komuniti Cina menjelang kemerdekaan negara. Di mana menjelang Pilihan Raya 1955,
satu rundingan telah diadakan pada Januari 1955 dan melibatkan parti UMNO dengan United
Chinese School Teacher’s Association ( UCSTA ) di Melaka ( Tan Liok Ee, 1997: 165). Di mana
pada dasarnya, UMNO bersedia untuk memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap
cadangan serta rayuan persatuan Cina tentang masa hadapan sekolah Cina selepas kemerdekaan.

Laporan Razak yang dibentangkan pada tahun 1957 gagal memenuhi kehendak
masyarakat Cina kerana ia dilihat tidak banyak berbeza dengan Ordinan Pendidikan 1952.
Laporan Razak 1957 menggariskan kewujudan dua jenis sekolah rendah iaitu ‘sekolah umum’
dan ‘sekolah jenis umum’. Walaupun kedudukan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina ( SJKC )
terjamin tetapi nasib sekolah menengah jenis kebangsaan Cina ( SMJK ) menjadi tanda tanda. Ini
kerana kedudukan sekolah menengah jenis kebangsaan tidak dinyatakan dengan jelas. Lantaran

4
itu, timbulnya andaian bahawa kerajaan cuba untuk menghapuskan sekolah Cina secara
beransur-ansur. Di mana Laporan Razak telah mengemukakan dua puluh syarat bagi menerima
sekolah menengah jenis kebangsaan sebagai sebahagian sekolah aliran kebangsaan. Antara
syarat utamanya ialah semua sekolah bantuan penuh kerajaan wajib menyediakan pelajarnya
untuk menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education ( LCE ) dan Malayan Certificate
of Education ( MCE ) ( Tan Liok Ee, 1997: 246) .

Dua puluh syarat yang dikenakan ke atas sekolah menengah jenis kebangsaan ( SMJK )
telah ditolak oleh Malayan Chinese Education Central Committee ( MCACECC ) kerana ia
dapatmenjadikan faktor bantuan kewangan sebagai tekanan ke atas sekolah aliran Cina
menengah. Kesannya dapat dilihat menjelang Jun 1956 apabila Sekolah Menengah Chung Lian
bersetuju untuk menukar statusnya kepada sekolah kebangsaan bagi mendapatkan bantuan penuh
kerajaan. Ianya diikuti oleh dua buah sekolah menengah Cina yang lain iaitu Chan Wa High
School Seremban dan Chinese High School Segamat pada bulan Oktober 1957. Alasan yang
diberikan oleh ketiga-tiga buah sekolah berkenaan ialah langkah drastik tersebut adalah demi
kebaikan pelajar dan juga menstabilkan tanggungan kewangan sekolah. Pada masa yang sama, ia
dapat meringankan bebanan penjaga (Tan Liok Ee, 1997: 245) . Perkembangan tersebut jelas
satu tamparan hebat kepada masyarakat Cina dan Malayan Chinese Education Central
Committee ( MCACECC ).

Walaupun begitu, perjuangan sekolah Cina dalam mengekalkan identitinya tetap


diteruskan di seluruh negara. Ia dapat dilihat dalam tindakan Jawatankuasa Pendidikan Cina
Melaka yang mengumumkan semua sekolah Cina di Melaka menolak langkah pertukaran status
bagi mendapatkan bantuan kewangan kerajaan. Ia kemudiannya diikuti dengan keputusan
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Foon Yew, Johor yang mengisytiharkan dirinya bakal
menolak semua jenis bantuan kerajaan menjelang tahun 1958 bagi mengekalkan status aslant dan
meneruskan perjuangan sekolah aliran Cina di negara kita. Pada masa yang sama ia turut
meneruskan dasarnya yang menerima pelajar yang menjangkaui umur belajar yang ditetapkan
serta sanggup menerima pelajar yang gagal memenuhi syarat kelayakan sekolah menengah
( MSSEE ) yang ditetapkan dalam Laporan Razak.

Ketetapan bahawa bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib
di semua aliran sekolah dalam usaha melahirkan perpaduan negara yang disyorkan dalam
5
Laporan Razak turut tidak disenangi oleh masyarakat Cina. Ia dilihat sebagai satu bebanan
kepada pelajar Cina serta ia bakal mengurangkan penggunaan bahasa Cina serta menghapuskan
secara beransur-ansur ( Siew, 2004: 25). Dua lagi permasalahan yang dihadapi oleh sekolah
aliran Cina hasil daripada Laporan Razak ialah penetapan had umur bagi semua pelajar di
sekolah dan juga panduan dalam membentuk ahli lembaga sekolah ( dongshi ). Mulai tahun
1957, semua pelajar di sekolah rendah perlu berusia dibawah 17 tahun manakala pelajar sekolah
menengah pula berusia dibawah 23 tahun. Ini jelas menjelaskan peluang pendidikan ramai
pelajar Cina di mana menurut United Chinese School Teacher’s Association ( UCSTA ) seramai
6121 pelajar Cina terpaksa berhenti sekolah menjelang tahun 1958-1960 ( Tan Liok Ee, 1997:
244) . Lantaran itu, dasar itu dianggap kurang bermunasabah kerana menafikan peluang
pendidikan ramai pelajar. Dalam melihat cadangan penubuhan jawatankuasa lembaga sekolah,
kementerian pelajaran mencadangkan ahli lembaga perlu terdiri daripada wakil kerajaan, bekas
pelajar dan mana-mana organisasi yang mempunyai kepentingan di sekolah tersebut. Cadangan
ini menimbulkan kerisauan UCSTA dan juga Malayan Chinese Education Central Committee
( MCACECC ) kerana sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan maka peranan serta kuasa
pertubuhan Cina dan terjejas. Ini kerana ia melibatkan campur tangan daripada kerajaan secara
langsung dalam pengurusan serta pentadbiran sekolah aliran Cina.

Dalam melihat kontroversi yang melanda pendidikan Cina, ia dilihat sebagai satu
pertembungan aliran kemajmukan budaya dan asimilasi budaya yang masing-masing diwakili
oleh multilingualisme dan monolingualisme ( Thock, 2005 : 101-102). Ia jelas menjelang
kemerdekaan negara apabila para pemimpin Melayu mendesak supaya dasar satu bahasa dan satu
kebudayaan diterima oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ( Haris 1990:67 ). Usaha tersebut
dijelmakan dalam Laporan Razak yang memperakukan ‘matlamat terakhir’ sistem pendidikan
Malaysia bertujuan melahirkan dasar pelajaran kebangsaan melalui penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantar tunggal di semua sekolah.

Kewujudan sekolah aliran Cina mahupun sekolah aliran vernakular sering dilihat sebagai
satu perkembangan yang melawan arus perdana. Kehadirannya dalam sistem pendidikan negara
dianggap sebagai kekangan dalam mewujudkan perpaduan negara di samping menghalang usaha
ke arah memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Oleh yang demikian, ada
yang berpendapat sekolah sekolah aliran vernakular Cina dan Tamil perlu ditutup dan diserapkan

6
dalam satu sistem persekolahan yang sama kerana ia merupakan jalan terbaik dalam
mewujudkan perpaduan nasional dan bertepatan dengan konsep Satu Malaysia ( Berita Harian,
23.10.2009 ).

Menurut Prof Dr Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun
Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia sejak awal 1990an, lebih 90% anak orang Cina
belajar di SJKC dan dasar tidak serius di sekolah Cina terhadap bahasa Melayu yang hanya
melihatnya sebagai satu syarat lulus peperiksaan menyebabkan begitu ramai pelajar Cina yang
tidak mahir berbahasa Melayu. Ini menyebabkan minda mereka sukar menerima perpaduan yang
dilaungkan ( Berita Harian. 20.10.2009 ). Walaupun demikian, beliau mengakui agak sukar
untuk merealisasikan konsep satu sistem persekolahan yang sama di negara kita. Lantaran itu,
penggunaan bahasa Melayu di SJKC perlu diperluaskan dan melibatkan mata pelajaran bukan
teras seperti Pendidikan Seni, Sivik dan Jasmani. Ia dilihat sebagai langkah terbaik memantapkan
penguasaan bahasa Malaysia di SJKC dan ia tidak seharusnya dipolitikkan kerana tidak ada
negara di dunia yang amalkan sistem seperti negara kita yang mempunyai beberapa sistem
persekolahan.

Pandangan Prof Teo Kok Seong turut dikongsi oleh Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim
yang berpendapat bahawa masyarakat Cina perlu lebih banyak berkorban demi perpaduan negara
dengan menerima satu sistem persekolahan yang sama memandangkan dasar-dasar yang tidak
serius di SJKC dalam memartabatkan bahasa Malaysia. Beliau sedar wujudnya keinginan yang
kuat oleh masyarakat Cina dan India dalam pertahankan budaya mereka tetapi pada masa yang
sama mereka telah menghadkan kebolehan berbahasa dan menyebabkan kesan yang negatif
untuk masa hadapan anak mereka terutamanya menghadapi alam pekerjaan dan mewujudkan
jurang besar dalam perpaduan. ( Berita Harian, 23.10.2009 ).

Dalam mengulas pendapat Prof Teo dan Prof Khoo Kay Kim, Ong Chiaw Chuan selaku
Pengerusi Jiao Zong enggan beranjak dengan sistem yang sedia ada. Beliau bertegas SJKC
mahupun SJKT berhak terus menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar dan ia
penting bagi kedua-dua masyarakat tersebut. Malahan baliau turut menolak pandangan Dr Teo
dan Dr Khoo kerana beranggapan pandangan mereka tidak mengambil kira pandangan majoriti
7
orang Cina kerana mereka tidak memahami budaya masyarakat tersebut secara total. Pengekalan
identiti SJKC dan SJKT dilihat amat penting serta diberi tumpuan oleh masyarakat berkenaan
kerana ia dilihat sebagai ejen yang akan memastikan kelangsungan serta kesuburan identiti,
bahasa dan kebudayaan bangsa. Lantaran itu, sebarang usaha untuk menyerapkan SJKC
mahupun SJKT ke dalam satu sistem persekolahan yang sama atas dasar perpaduan mahupun
memartabatkan bahasa Kebangsaan bukanlah sesuatu yang mudah.

Anda mungkin juga menyukai