Anda di halaman 1dari 18

JUSTIFIKASI APLIKASI BAHAN SUMBER, KAEDAH & TEKNIK DALAM RPH

Rancangan Pengajaran Harian (RPH) merupakan rangka kerja aktiviti


pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh guru sebagai salah satu panduan
dalam pelaksanaan penyampaian maklumat dan ilmu kepada para pelajar. RPH
biasanya terdiri daripada tiga peringkat iaitu peringkat perancangan sebelum
pengajaran, peringkat pelaksanaan pengajaran dan peringkat penilaian.

Beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh guru dalam merancang dan
melaksanakan pengajarannya adalah mengkaji dan mentafsir dokumen standard
kandungan dan dokumen standard pembelajaran secara mendalam. Guru juga perlu
memilih kemahiran-kemahiran dan isi pelajaran yang sesuai dan mengikut hierarki
kebolehan pelajarnya. Seterusnya guru boleh merancang dan menentukan pendekatan,
strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang ingin digunakan. Bahan bantu mengajar
pula merupakan salah satu alat yang dapat membantu proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Akhir sekali, guru perlu menyediakan penilaian sama ada
dalam bentuk formatif mahupun sumatif untuk menguji sejauh mana kefahaman pelajar
terhadap pengajaran yang telah disampaikan oleh guru.

Bagi tugasan ini, RPH yang dihasilkan adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang
telah disebutkan di atas. RPH ini dihasilkan berpandukan Dokumen Standard
Kandungan dan Dokumen Standard Pembelajaran Matematik Tahun 1. Tajuk atau topik
pengajaran yang dipilih adalah di bawah bidang pembelajaran Sukatan dan Geometri,
iaitu Masa dan Waktu. Tempoh pengajarannya adalah selama dua waktu, iaitu 60 minit.

Standard kandungan yang dipilih adalah murid dibimbing untuk menamakan hari
dan bulan dan menerangkan aktiviti sejajar dengan hari persekolahan. Manakala
standard pembelajarannya pula adalah di akhir pengajaran dan pembelajaran, murid
seharusnya berupaya untuk menyatakan waktu dalam sehari, iaitu pagi, tengahari,
petang dan juga malam.

Pengetahuan sedia ada murid merupakan salah satu kriteria penting yang perlu
diambil kira oleh guru dalam merancang pengajaran. Bagi topik ini, murid tahu
membaca dan menulis. Mereka dapat membezakan siang dan malam serta telah
didedahkan dengan pelbagai aktiviti. Murid juga berupaya untuk menyatakan beberapa
aktiviti harian secara ringkas.

Bahan sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan adalah lagu, kad
masa, kad waktu, kad gambar dan papan cerita Upin Ipin. RPH ini melibatkan proses
berkomunikasi, menaakul dan membuat perkaitan. Murid perlu saling berbincang
mengenai pembelajaran mereka serta bersama-sama membuat perkaitan melalui
aktiviti pembelajaran yang dilalui. Kemahiran yang ingin ditekankan pula adalah
kemahiran berkomunikasi antara murid dengan guru dan juga sesama murid itu sendiri.
Penekanan turut diberikan terhadap kemahiran murid menjana idea di samping
menggunakan laras bahasa matematik yang betul.

Seterusnya, sikap dan nilai yang ingin dipupuk kepada murid melalui pengajaran
tajuk Masa dan Waktu ini adalah nilai peribadi iaitu berkeyakinan dan dapat mengurus
masa dengan baik. Selain itu, nilai interaksi antara murid seperti semasa dalam
perbincangan dan perkongsian idea juga turut diberi perhatian. Elemen merentas
kurikulum yang dilibatkan adalah kreativiti iaitu murid berupaya untuk membuat
penggabung jalinan kemahiran matematik dengan disiplin ilmu yang lain.

Berdasarkan format RPH Matematik, terdapat lima fasa pengajaran dan
pembelajaran iaitu dimulai dengan fasa persediaan, diikuti fasa imaginasi,
perkembangan, tindakan dan diakhiri dengan penutup.

Bagi fasa pertama, iaitu fasa persediaan mengambil masa lebih kurang 10
minit. Fasa ini memfokuskan kepada pemerhatian dan analisis serta bertujuan sebagai
pengenalan kepada murid mengenai pelajaran yang akan mereka pelajari pada hari
tersebut. Fasa persediaan amatlah penting kerana di samping memberi pengenalan
kepada murid, melalui fasa ini juga guru dapat memaklumkan kepada mereka
mengenai standard pembelajaran yang harus dicapai pada akhir pembelajaran.

Bagi fasa persediaan ini, aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang
adalah nyanyian lagu Waktu dalam Sehari. Aktiviti ini dilaksanakan secara beramai-
ramai dalam satu kelas. Guru akan mengedarkan lirik dan menyanyikan lagu ini.
Kemudian, murid akan turut menyanyikan lagu ini dengan bimbingan guru.

Selepas menyanyikan lagu, guru akan membuat sesi soal jawab, perbincangan
dan perkongsian idea bersama murid mengenai pendapat mereka tentang lagu yang
telah dinyanyikan. Guru akan membimbing murid untuk membuat perkaitan lagu
tersebut dengan waktu-waktu dalam sehari, iaitu pagi, tengahari, petang dan malam.

Isi pelajaran yang difokuskan dalam RPH ini adalah berpandukan kepada
standard pembelajaran yang telah dinyatakan. Murid diajar supaya dapat menyebut
terminologi waktu dalam sehari dengan menggunakan laras bahasa yang betul. Apabila
guru bertanya mengenai waktu dalam sehari, murid dapat memberikan jawapan yang
dikehendaki. Sebagai contoh, guru boleh mengutarakan soalan seperti Ada berapa
waktu dalam sehari?, Apakah waktu-waktu yang ada dalam sehari?, manakala murid
seharusnya dapat menjawab dengan tepat, iaitu Ada empat waktu dalam sehari dan
Pagi, tengahari, petang dan malam. Perkataan empat, waktu, pagi, tengahari,
petang, malam dan sebagainya menunjukkan bahawa murid dapat menggunakan
laras bahasa Matematik dengan betul.

Kebanyakan murid berpendapat bahawa Matematik merupakan satu mata
pelajaran yang sukar difahami dan dikuasai. Pembelajaran Matematik yang abstrak
menyukarkan lagi proses pemahaman mereka terhadap mata pelajaran ini. Namun,
melalui fasa persediaan yang dirancang dengan baik dan menarik dapat membantu
meningkatkan perasaan ingin tahu murid dalam pelajaran Matematik. Fasa ini turut
membantu meningkatkan domain kognitif dan afektif dalam diri pelajar sekiranya guru
menggunakan bahan sumber yang mampu merangsang minda dan emosi mereka.

Fasa kedua adalah fasa imaginasi yang melibatkan penjanaan idea dan sintesis
idea. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang bagi fasa ini adalah selama
10 minit. Guru akan memperkenalkan masa dan waktu dengan memaparkan beberapa
kad-kad gambar aktiviti dalam sehari seperti bangun pagi, makan, bermain, tidur, dan
meminta murid untuk menyatakan waktu yang bersesuaian dengan gambar. Setelah itu,
guru akan memaparkan pula kad-kad masa seperti 6.00 pagi, 12.00 tengahari, 5.00
petang dan 10.00 malam. Murid perlu menyatakan aktiviti-aktiviti yang mungkin
dilakukan pada masa-masa tersebut. Guru boleh menggunakan teknik penyoalan untuk
membantu murid mengaitkan pembelajaran dengan aktiviti atau rutin harian mereka.

Sebagai contoh, sekiranya guru menunjukkan kad masa 6.00 pagi, murid dapat
memberitahu bahawa perkara yang mungkin mereka lakukan pada masa tersebut
adalah bangun daripada tidur. Begitu juga jika kad masa yang ditunjukkan adalah pukul
5.00 petang, sesetengah murid mungkin akan mengatakan aktiviti yang mereka lakukan
pada waktu tersebut adalah bermain, manakala sesetengah murid lain pula membuat
kerja sekolah, menonton televisyen dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa
mereka dapat menjana idea dan membuat imaginasi serta mengaitkan masa dan waktu
dengan aktiviti yang mungkin dilakukan dalam kehidupan seharian mereka.

Fasa berikutnya adalah fasa perkembangan selama 15 minit yang melibatkan
penambahbaikan dan menilai. Fasa ini memerlukan perancangan pengajaran yang
sangat teliti dan tersusun. Pembelajaran yang bermakna perlu dilaksanakan agar murid
dapat memahami dan menguasai segala ilmu yang diajar oleh guru serta berupaya
mengaplikasikannya dalam kehidupan harian mereka.

Dalam fasa ini, setiap murid akan diberi sekeping kad gambar tidak berwarna.
Setiap murid akan mendapat kad-kad gambar yang berbeza dan perlu mewarnakannya
dalam tempoh masa yang ditetapkan. Kemudian, secara berpasangan dengan rakan
bersebelahan, murid perlu berbincang mengenai masa dan waktu yang bersesuaian
dengan kad gambar masing-masing. Guru akan memilih beberapa pasangan untuk
mempersembahkan hasil kerja dan perbincangan mereka. Secara tidak langsung,
integrasi elemen seni dalam fasa ini dapat membantu meningkatkan lagi pemahaman
dan pengekalan ingatan murid terhadap pembelajaran mereka.

Fasa keempat adalah fasa tindakan iaitu pelaksanaan amalan berterusan. Guru
akan membahagikan murid-murid kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan akan
diberikan sekeping papan cerita Upin Ipin yang dibahagikan kepada empat ruangan
waktu, iaitu pagi, tengahari, petang dan malam. Setiap kumpulan juga akan diberikan
satu sampul yang di dalamnya mengandungi 12 keping kad gambar. Murid perlu
berbincang dan melekatkan kad-kad gambar tersebut pada ruangan waktu yang
bersesuaian. Kemudian, setiap kumpulan perlu mempersembahkan hasil kerja mereka
di hadapan kelas dan nyatakan secara lisan mengapa kad-kad gambar dilekatkan pada
ruangan waktu tersebut. Anggaran masa keseluruhan bagi fasa ini adalah 20 minit.
Melalui fasa tindakan ini juga, guru dapat membuat pemerhatian dan penilaian
secara terus kerana ketika inilah murid akan mengeluarkan maklumat-maklumat yang
telah dipelajarinya ke dalam hasil kerja mereka. Input yang diberi oleh guru akan
dikeluarkan sebagai output berdasarkan kefahaman masing-masing terhadap
pembelajaran yang dilalui. Aktiviti berkumpulan membolehkan murid berinteraksi antara
satu sama lain dan saling berkongsi idea. Di samping itu, melalui persembahan hasil
kerja, murid dapat dilatih untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Mereka perlu tahu untuk
menyatakan secara lisan mengapa kad gambar diletakkan pada ruang waktu tertentu.

Fasa yang terakhir adalah fasa penutup yang mengambil masa lebih kurang 5
minit daripada masa keseluruhan pengajaran dan pembelajaran. Refleksi akan
dilaksanakan dan beberapa orang pelajar perlu membuat rumusan atau kesimpulan
mengenai pembelajaran mereka pada hari tersebut. Di samping itu, guru akan memberi
peneguhan atau teguran secara langsung terhadap sikap dan nilai yang telah
diamalkan oleh pelajar sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.

Pentaksiran RPH ini dibuat berdasarkan kepada keupayaan murid untuk
menyatakan secara lisan dan bertulis berkaitan masa dan waktu dalam sehari serta
membuat urutan aktiviti berpandukan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran.
Kebolehan mereka melaksanakan aktiviti pembelajaran turut diambil kira bagi
membuktikan bahawa murid dapat membuat perkaitan mengenai waktu dengan aktiviti-
aktiviti dalam kehidupan seharian mereka.

Melalui pentaksiran, guru dapat mengenalpasti kelompok pelajar yang
cemerlang, sederhana dan lemah dalam sesuatu tajuk pembelajaran. Murid yang
cemerlang akan dapat menyelesaikan tugasan dengan cepat dan mampu memberi
refleksi dengan baik kerana kefahaman mereka yang mendalam mengenai tajuk
tersebut. Walau bagaimanapun, bagi kelompok murid yang sederhana atau lemah,
mereka mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan tugasan yang
diberi. Maka, guru perlu mengambil inisiatif yang sewajarnya terhadap mereka.

Dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, guru boleh memilih
strategi, pendekatan pembelajaran dan menggabungkan beberapa kaedah serta teknik
yang bersesuaian untuk digunakan di dalam kelas. Strategi, pendekatan, kaedah dan
teknik yang dipilih haruslah mengikut tahap dan kebolehan murid. Keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran guru bergantung kepada pengolahan teknik dan
penggunaan bahan bantu belajar yang dapat menggalakkan murid untuk berfikir secara
kreatif, kritis dan inovatif.

Strategi pengajaran boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-
pendekatan dan kaedah-kaedah bagi mencapai sesuatu matlamat pengajaran dan
pembelajaran. Pendekatan pula biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala tuju
yang diambil untuk menuju sesuatu sasaran. Pendekatan-pendekatan yang dipilih
biasanya berdasarkan strategi, teori-teori atau generalisasi yang tertentu. Dalam setiap
pendekatan, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk menghasilkan
perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang. Dalam hal ini,
perubahan tingkah laku tersebut bermakna pemerolehan ilmu pengetahuan oleh murid
daripada pengajaran yang disampaikan guru. Manakala teknik-teknik pengajaran
adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah.

RPH ini menggunakan strategi pemusatan murid dan pemusatan bahan
Pendekatan yang digunakan pula adalah pendekatan induktif dan komunikatif. Terdapat
beberapa kaedah pembelajaran yang digunakan, antaranya adalah kaedah
pembelajaran kontekstual, pembelajaran koperatif, penyoalan, perbincangan dan
demonstrasi. Teknik yang digunapakai pula adalah teknik sumbang saran,
perbincangan, penyoalan, latih tubi dan persembahan hasil kerja. Strategi, pendekatan,
kaedah dan teknik ini saling berkait antara satu sama lain dan hanya dapat digunakan
dengan berkesan sekiranya guru sedar tentang peranannya serta peranan murid dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.

Strategi pemusatan murid merupakan strategi yang mementingkan peranan
murid dalam pembelajaran. Strategi ini bertujuan mewujudkan pengalaman
pembelajaran yang dapat menarik minat murid serta mampu menggalakkan penglibatan
mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru dan murid saling
berkomunikasi dan kepimpinan guru adalah secara demokratik. Murid digalakkan untuk
berbincang, memberi pendapat, sumbang saran dan melibatkan diri mereka dalam
aktiviti-aktiviti pembelajaran.

Berdasarkan strategi ini, terdapat beberapa kaedah dan teknik pembelajaran
yang boleh digunakan seperti kerja projek, perbincangan, penyoalan, penyelesaian
masalah, sumbang saran, kumpulan kecil dan sebagainya. RPH ini sememangnya
menggunakan beberapa kaedah dan teknik yang dinyatakan. Sebagai contoh,
kumpulan kecil dalam fasa tindakan merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang
berpusatkan kepada murid. Murid saling berinteraksi antara satu sama lain, manakala
guru bertindak sebagai fasilitator dan pembimbing mereka. Contoh lain adalah melalui
kaedah dan teknik penyoalan di dalam kelas. Guru mengajukan soalan-soalan kepada
murid bagi mengetahui dan menguji tahap kefahaman mereka. Penyoalan juga
membolehkan murid untuk membuat perkaitan tentang topik pembelajaran mereka.

Strategi pemusatan bahan pula adalah strategi yang berkait rapat dengan
strategi pemusatan murid. Bahan sumber memainkan peranan yang sangat penting
dalam memastikan penglibatan murid dalam pembelajaran. Ia juga membantu guru
untuk menyampaikan pengajarannya dengan lebih mudah, menarik dan berkesan.
Murid boleh memahami pembelajaran dengan lebih bermakna sama ada secara
individu, berpasangan mahupun berkumpulan. Walau tanpa kehadiran guru sekalipun,
sesuatu bahan sumber berpotensi untuk membolehkan objektif pembelajaran tercapai.

Dalam RPH yang dibina, antara bahan sumber yang digunakan adalah lagu, kad
waktu, kad masa, kad gambar dan papan cerita Upin Ipin. Bahan sumber sampingan
lain adalah seperti komputer riba, audio bagi lagu, projektor LCD dan lembaran kerja.
Bahan-bahan ini menjadi pemudahcara bagi guru untuk menyampaikan isi kandungan
pelajaran. Komunikasi dan interaksi bukan sahaja boleh berlaku antara guru dengan
murid, dan sesama murid itu sendiri, bahkan juga antara murid dengan bahan. Dengan
adanya bahan sumber, ilmu pengetahuan yang abstrak dapat dikaitkan dengan situasi
konkrit. Hal ini juga membantu meningkatkan tahap kognitif murid-murid.

Pendekatan induktif merujuk kepada pendekatan yang berubah daripada
spesifik kepada khusus. Guru akan memulakan pengajaran dengan memberikan
contoh-contoh yang sesuai untuk murid membuat rumusan. Murid dibimbing melalui
aktiviti penyoalan agar mereka dapat membuat kesimpulan sendiri. Bahan sumber
boleh digunakan bagi tujuan memudahkan pemahaman murid.

Pendekatan ini digunakan dalam fasa imaginasi. Guru memaparkan kad-kad
gambar terlebih dahulu, kemudian bersoal jawab dengan murid mengenai kad gambar
tersebut. Gambar apakah ini?, Adakah kamu lakukan aktiviti seperti di dalam
gambar?, Pada pendapat kamu, waktu apakah yang sesuai untuk lakukan aktiviti ini?.
Dengan memberikan pelbagai contoh gambar, akhirnya murid dapat membuat
kesimpulan sendiri mengenai aktiviti-aktiviti yang sesuai dilakukan pada waktu pagi,
tengahari, petang dan juga malam. Antaranya seperti aktiviti waktu pagi adalah bangun
tidur dan pergi sekolah, waktu tengahari pulang dari sekolah dan makan, manakala
waktu petang adalah untuk bermain dan berkebun, waktu malam pula buat kerja
sekolah dan tidur.
Dalam fasa tersebut juga, guru ada memaparkan kad-kad waktu. Murid akan
menjana idea dan sumbang saran berdasarkan kad tersebut. Sekiranya kad yang
dipaparkan adalah pukul 8.00 pagi, maka murid akan memberi jawapan bahawa ketika
itu mereka berada di sekolah untuk belajar. Jika kad menunjukkan pukul 3.00 petang
pula, ada murid yang akan mengatakan bahawa pada waktu tersebut aktiviti yang
dilakukan adalah tidur, makan, atau membuat kerja sekolah. Secara tidak langsung,
murid dapat membuat generalisasi mengenai masa, waktu dan aktiviti yang dilakukan.

Pendekatan komunikatif secara umumnya memberikan fokus khusus kepada
murid. Hal ini kerana manusia perlu berkomunikasi sama ada secara intrapersonal
mahupun interpersonal bagi tujuan memenuhi keperluan dan kehendaknya. Prinsip
asas pendekatan ini adalah murid tahu dan faham tujuan melaksanakan aktiviti tertentu
dalam proses pembelajarannya. Dalam masa yang sama juga melalui pendekatan
komunikatif dapat membolehkan guru membimbing murid untuk menggunakan laras
bahasa Matematik dan menyebut istilah atau terminologi Matematik dengan betul.

Setiap fasa dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan pendekatan
komunikatif ini. Murid perlu sentiasa berkomunikasi sama ada dengan diri sendiri,
dengan rakan, guru mahupun bahan sumber. Setiap aktiviti pembelajaran yang
dijalankan memerlukan murid untuk berkomunikasi. Dalam fasa persediaan contohnya,
terdapat sesi soal jawab antara guru dengan murid mengenai lagu yang dinyanyikan.
Begitu juga dengan fasa imaginasi yang melibatkan sumbang saran daripada murid-
murid. Kedua-dua fasa ini melibatkan interaksi antara murid dengan guru. Bagi fasa
perkembangan pula, murid akan berkomunikasi dengan rakan pasangan mereka
berkaitan kad gambar yang diberi. Manakala fasa tindakan melibatkan interaksi dan
komunikasi yang lebih meluas lagi, iaitu penyoalan, perbincangan dan latih tubi dalam
kumpulan kecil. Mereka turut perlu mempersembahkan hasil kerja tersebut.

Kaedah pembelajaran kontekstual terdiri daripada lima elemen penting, iaitu
menghubung kait (Relating), mengalami (Experiencing), aplikasi (Applying),
bekerjasama (Cooperating) dan pemindahan (Transferring) atau juga dikenali dengan
akronim REACT. Kaedah ini merupakan kaedah pembelajaran yang menggabungkan
isi kandungan dengan pengalaman harian pelajar serta menyediakan pembelajaran
secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Dengan cara ini, murid
dapat memproses maklumat atau pengetahuan baru dengan cara yang bermakna
dalam rangka minda mereka. Guru juga dapat mewujudkan kepelbagaian persekitaran
pembelajaran untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan.

Kaedah pembelajaran secara kontekstual dalam Matematik bermakna
pembelajaran haruslah berdasarkan konteks aktiviti dan rutin harian murid. Konsep-
konsep Matematik perlu dikaitkan dengan kehidupan mereka secara eksplisit. Maka,
setiap elemen dalam kaedah ini seharusnya dirancang oleh guru dengan sebaiknya.
Sebagai contoh, dalam fasa imaginasi iaitu melalui aktiviti soal jawab kad gambar dan
kad waktu, guru membantu murid-murid untuk membuat perkaitan tentang topik
pembelajaran dengan kehidupan harian mereka. Melalui soalan-soalan seperti Apa
yang kamu lakukan setiap hari?, Bilakah waktu kamu bermain bola?, Pukul berapa
kamu tidur?, dan sebagainya mampu membuka minda murid untuk mengimbas
kembali rutin atau aktiviti harian mereka. Hal ini memudahkan murid bertindak balas
dengan memberikan jawapan yang dikehendaki mengikut skemata minda mereka.

Pembelajaran koperatif adalah kaedah pembelajaran yang melibatkan murid
untuk belajar dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri. Murid
perlu berinteraksi dan berhubungan secara positif bagi membolehkan pelaksanaan
tugasan yang diberi. Selain saling berkomunikasi, murid juga harus bekerjasama untuk
mencapai matlamat tugasan. Guru hanya sebagai fasilitator dan pembimbing yang
memantau pergerakan, perbincangan dan penyelesaian masalah oleh murid.

Sikap bertolak ansur, saling membantu, hormat-menghormati dan bekerjasama
dapat dipupuk melalui aktiviti sama ada berpasangan mahupun berkumpulan. Hal ini
turut melatih kemahiran sosial dan memupuk konsep kendiri murid untuk mencapai
matlamat dan objektif yang ditetapkan. Dalam aktiviti melekatkan gambar pada papan
cerita Upin Ipin, murid perlu berbincang dalam kumpulan mereka terlebih dahulu.
Soalan demi soalan diajukan antara satu sama lain bagi mendapatkan jawapan di
ruangan manakah gambar tersebut perlu dilekatkan. Demi memastikan tugasan mereka
diselesaikan, murid akan sama-sama berusaha dan bekerjasama memberi idea dan
pendapat berkaitan waktu yang sesuai dengan gambar.

Secara tidak langsung, pembelajaran koperatif turut melibatkan kaedah
perbincangan antara murid. Namun, perbincangan ini boleh berlaku bukan sahaja
dalam aktiviti berkumpulan atau berpasangan, bahkan semasa sepanjang proses
pengajaran dan pembelajaran. Guru dan murid akan sama-sama berbincang jika ada
bahagian pelajaran yang sukar difahami oleh murid. Perbincangan merupakan kaedah
dan teknik pembelajaran yang sememangnya wujud di dalam kelas.

Perbincangan dapat mengembangkan kemahiran diri murid untuk
mengemukakan permasalahan, menyoal dan menyelesaikan masalah. Melalui
perbincangan, murid dapat mengenalpasti, menganalisis dan menyelesaikan masalah
secara koperatif. Misalnya selepas aktiviti mewarna, murid secara berpasangan akan
bersoal jawab dan berbincang mengenai kad gambar masing-masing. Mereka akan
bertukar pendapat dan idea berkaitan gambar. Murid boleh mengutarakan pendapat
mereka yang tersendiri. Bagi gambar yang menunjukkan orang pergi ke masjid,
permasalahan yang dihadapi adalah murid boleh memberikan banyak jawapan. Pagi
untuk solat subuh, tengahari untuk solat zuhur, petang untuk solat asar, dan malam
untuk solat maghrib juga isyak. Walau bagaimanapun, jika dalam gambar tersebut
berlatar belakang gelap atau ada bulan dan bintang, maka penyelesaiannya murid
boleh membuat kesimpulan bahawa itu adalah pada waktu malam.
Melalui kaedah penyoalan merupakan satu kaedah yang seringkali digunapakai
dalam pengajaran guru. Murid akan diberi peluang untuk mengemukakan pendapat
mereka. Guru mendapatkan maklum balas daripada murid mengenai kefahaman
terhadap pelajaran yang disampaikan oleh guru. Hal ini penting kerana Matematik
adalah satu mata pelajaran yang memerlukan murid membuat aktiviti hands-on dan
minds-on bagi menguasai kemahiran yang disampaikan. Menurut Abu Hassan (2006),
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang, guru perlu melibatkan
pelajar secara aktif untuk menggalakkan pembentukan pemikiran kritis, analitis dan
inovatif.

Misalnya, dalam fasa persediaan iaitu selepas murid menyanyikan lagu Waktu
dalam Sehari, guru akan membuat sesi soal jawab dengan murid-murid mengenai
topik pembelajaran mereka pada hari tersebut. Guru akan membantu murid untuk
mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan harian mereka. Antara soalan yang boleh
diajukan adalah seperti, Siapa tahu apa yang kita nak belajar hari ini?, Ada berapa
waktu dalam sehari?, Bilakah waktu kamu menggosok gigi?, Pada waktu petang,
apakah aktiviti yang kamu lakukan? dan Setiap hari, kamu pergi ke sekolah pada
pukul berapa?. Soalan-soalan tersebut boleh membantu murid membuat perkaitan dan
menjana idea mereka. Murid akan lebih memahami sesuatu pelajaran jika dikaitkan
dengan pengetahuan sedia ada dan pengalaman mereka.

Tambahan pula, sesi soal jawab akan menimbulkan suasana pengajaran dan
pembelajaran Matematik yang aktif dan ceria. Komunikasi dan interaksi dua hala jelas
berlaku antara murid dengan guru. Guru perlu menggunakan teknik penyoalan yang
berkesan bagi membimbing murid-muridnya berfikir dan bertindak balas memberikan
jawapan yang sepatutnya. Maka, guru seharusnya bijak dalam menyoal murid dengan
soalan-soalan yang dapat merangsang minda mereka untuk meneroka Matematik
dengan lebih mendalam. Dalam masa yang sama juga, guru dapat mengembangkan
bakat murid dan menggalakkan pemikiran yang kreatif dan inovatif.
Kaedah demonstrasi adalah salah satu kaedah penting dalam pengajaran
Matematik. Guru perlu menunjukkan langkah-langkah atau cara untuk memudahkan
pemahaman murid dalam pembelajaran. Melalui demonstrasi yang ditunjukkan, murid
akan mendapat gambaran untuk melaksanakan tugasan atau membuat penyelesaian
masalah yang diberi. Kaedah ini sangat membantu jika guru tahu peranan dan had
dalam membuat tunjuk cara kepada murid.

Kaedah demonstrasi dapat dilihat pada fasa persediaan iaitu guru
memperkenalkan lagu Waktu dalam Sehari. Guru akan menyanyikan lagu tersebut
dahulu kepada murid-murid. Hal ini secara tidak langsung merupakan satu demonstrasi
kepada murid-murid bagaimana cara untuk menyanyikan lagu tersebut mengikut irama
dan nada yang betul. Dalam fasa tindakan juga, guru menunjuk cara untuk melekatkan
kad gambar pada papan cerita Upin Ipin. Demonstrasi atau tunjuk amatlah wajar
digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dengan syarat tidak
berlebihan dalam membuat demonstrasi. Jika berlebihan akan menyebabkan murid
tidak perlu berfikir bagi menyelesaikan tugasan atau permasalahan yang diberi kerana
segalanya telah ditunjuk oleh guru.

Penggunaan bahan-bahan sumber seperti kad gambar, kad masa, kad waktu
dan lagu amatlah digalakkan untuk digunapakai oleh guru dalam pengajarannya. Hal ini
kerana penggunaan bahan sumber memberi sumbangan yang sangat besar dalam
membantu mencapai objektif pembelajaran. Antara kelebihannya adalah memastikan
pembelajaran bermakna, meningkatkan motivasi, pembelajaran berpusatkan murid,
mengeratkan hubungan sosial dan memaksimumkan penggunaan otak kiri dan kanan.
Penggunaan bahan bantu mengajar turut disokong oleh Ahmad Hozi (2001), iaitu guru
perlu menggunakan objek sebenar atau konkrit dalam pengajaran dan pembelajaran
untuk memberikan pengalaman dan membantu pelajar membina idea-idea abstrak dan
pengetahuan baru.

Perancangan pengajaran dan pembelajaran guru seharusnya menuju ke arah
pembelajaran yang bermakna. Pembelajaran bermakna boleh didefinisikan sebagai
perubahan tingkah laku yang berupa pengetahuan, sikap dan keterampilan. David
Ausubel (1963), seorang ahli psikologi pendidikan menyatakan bahawa bahan
pelajaran yang dipelajari harus bermakna (meaningfull). Aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang melibatkan murid memudahkan mereka untuk mengaitkan informasi
baru dengan konsep-konsep relevan yang terdapat dalam struktur kognitif mereka.
Seterusnya mereka dapat memahami dan berupaya mengaplikasikan pembelajaran
yang telah dilalui.

Sebagai contoh, dalam fasa tindakan, pembelajaran yang melibatkan interaksi
dan perbincangan dalam kumpulan membantu murid untuk lebih mengingati sesuatu
pelajaran yang dipelajari. Berbanding dengan hafalan fakta, berbincang, bergerak dan
membuat aktiviti sambil belajar lebih menyeronokkan pembelajaran yang dialami.
Informasi yang diperolehi secara bermakna dapat diingati dengan lebih lama
berbanding informasi yang diperolehi dengan cara hafalan semata-mata.

Pengajaran yang dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti adalah sangat berbeza
jika hendak dibandingkan dengan kaedah pengajaran turun-temurun yang
berkonsepkan kapur dan papan tulis atau lebih dikenali sebagai chalk and talk.
Penyampaian maklumat melalui seni muzik seperti nyanyian dapat menjadikan diri
murid berasa lebih seronok untuk belajar dan menyediakan emosi mereka untuk lebih
positif bagi meneruskan pembelajaran.

Jika dahulu, pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas adalah bersifat linear,
tradisional dan berpusatkan kepada guru. Murid hanya menerima dan terus menerima
maklumat, tiada interaksi dua hala yang berlaku sama ada antara guru dengan murid
mahupun sesama murid. Pembelajaran tidak bersifat dinamik dan pengajaran guru
hanya tertumpu kepada satu-satu pendekatan, strategi, kaedah dan teknik sahaja. Hal
tersebut menyebabkan penyimpanan maklumat dalam minda murid hanyalah bersifat
sementara atau lebih dikenali sebagai memori jangka pendek (short term memory).

Professor Dr. Mel Silberman dari Temple University pernah berkata, Hanya
pembelajaran yang bersifat aktif sahaja yang akan menghasilkan pengalaman
pembelajaran yang berkesan. Maka, guru perlu sentiasa berusaha menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran lebih bersifat aktif dan berpusatkan kepada murid.
Pelbagai aktiviti pembelajaran yang menarik dan melibatkan murid perlu disediakan.

Sebagai contoh, dalam RPH yang telah dirancang, iaitu aktiviti mewarna dan
berbincang mengenai kad gambar dalam fasa perkembangan dimasukkan bertujuan
untuk melibatkan murid secara aktif dalam pembelajaran. Aktiviti ini akan memberi
impak positif terhadap domain psikomotor, kognitif, sosial dan afektif mereka.

Dari segi aspek domain psikomotor, murid mewarna kad gambar yang diberi dan
secara tidak langsung berlakunya koordinasi antara mata dan tangan. Aspek kognitif
pula, murid akan berfikir waktu apakah yang bersesuaian dengan kad gambar mereka.
Neuron-neuron akan bertindak lebih pantas semasa perbincangan murid dengan rakan.
Aspek sosial dan afektif pula saling berkait antara satu sama lain. Hal ini kerana melalui
aktiviti yang menarik, hubungan sosial positif dapat dipupuk seterusnya menjadikan
emosi dan dalaman diri murid turut berada pada tahap positif dan membolehkan objektif
pembelajaran dicapai dengan jayanya.

Seterusnya melalui bahan sumber yang digunakan juga dapat meningkatkan
motivasi diri pelajar dalam mata pelajaran Matematik. Belajar dengan adanya
kepelbagaian aktiviti dan bahan dapat membuat pelajar berasa lebih seronok dan teruja
untuk belajar. Lumrah dan fitrah semula jadi bagi kanak-kanak untuk bermain dan
berseronok. Maka, penggunaan bahan sumber dalam proses pengajaran dan
pembelajaran adalah amat digalakkan bagi meningkatkan semangat mereka untuk
terus belajar. Secara tidak langsung, tumpuan pelajar terhadap topik yang diajari oleh
guru juga dapat dikekalkan.

Penggunaan bahan sumber turut dapat mengeratkan dan mengukuhkan
hubungan antara guru dengan murid dan sesama murid. Murid merupakan pemerhati
yang pasif. Mereka sentiasa menilai pengajaran guru walaupun tidak dapat
diterjemahkan dalam bentuk verbal. Guru yang sentiasa berusaha untuk menjadikan
pengajarannya menarik dan bermakna akan memberikan satu pandangan positif dalam
diri murid-muridnya. Melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan, guru
dapat berkomunikasi dengan murid dan secara tidak langsung mengeratkan lagi
hubungan sosial mereka. Murid juga dapat berkomunikasi dengan rakan-rakan melalui
penggunaan bahan dalam aktiviti pembelajaran yang dijalankan.

Sebagai contoh, dalam fasa persediaan memerlukan guru untuk menyanyi dan
membimbing murid untuk menyanyikan lagu Waktu dalam Sehari. Melalui aktiviti
nyanyian ini secara tidak langsung dapat membantu murid untuk berasa selesa dan
mesra bersama guru serta rakan-rakan sekelas yang lain. Selain dapat membantu
hubungan antara mereka terjalin dengan baik, guru dan murid-murid itu sendiri akan
berasa gembira dan tidak kekok untuk menyanyi. Hubungan mesra yang terjalin hasil
daripada aktiviti yang dilakukan bersama-sama mampu mewujudkan suasana
pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan ceria. Hal ini turut membantu
menyemai nilai-nilai murni dalam diri mereka seperti bekerjasama, mematuhi arahan,
hormat-menghormati dan berdisiplin. Nyanyian lagu ini juga membantu murid menyebut
terminologi waktu yang betul iaitu pagi, tengahari, petang dan malam.

Melalui pengajaran dan pembelajaran Matematik yang menarik dan
menyeronokkan, pelajar dapat menggunakan kedua-dua otak kanan dan kiri mereka
secara maksimum. Menurut De Porter dan Hernacki (1992), otak kanan adalah untuk
pembelajaran holistik, subjektif, estetik, kreatif dan berbentuk naluri. Manakala otak kiri
pula lebih kepada pembelajaran objektif dan akademik. Ini selaras dengan ciri-ciri
kurikulum abad ke-21 yang mengandungi elemen kemahiran berfikir secara kreatif,
kritis dan inovatif. Hal ini kerana melalui pembelajaran menyeronokkan, pelajar akan
mengalami pembelajaran menyeluruh atau holistik yang melibatkan aspek jasmani,
emosi, rohani dan intelek (JERI) dan dalam masa yang sama berusaha untuk mencapai
standard pembelajaran yang ditetapkan. Pelajar juga akan berasa gembira untuk
belajar dan lebih menghargai mata pelajaran Matematik itu sendiri.

Kesimpulannya, guru Matematik haruslah sentiasa berfikiran dan berpandangan
jauh ke hadapan demi mengubah persepsi negatif murid-murid mengenai Matematik.
Melalui perancangan RPH yang menarik dan tersusun serta mengandungi pelbagai
aktiviti pembelajaran, murid akan lebih menghargai Matematik dan seronok untuk
belajar. Guru juga perlu sentiasa berusaha menjadikan diri kreatif, kritis dan inovatif.
Segala ilmu yang ingin diajarkan haruslah dikuasai sepenuhnya terlebih dahulu bagi
mengelakkan sebarang salah faham konsep dalam pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan bahan sumber pembelajaran pula amatlah digalakkan untuk digunapakai
dalam pengajaran Matematik. Hal ini kerana bahan sumber dapat membantu guru
menyampaikan pengajaran di samping melibatkan murid dalam pembelajaran.