Anda di halaman 1dari 12

1

Pendahuluan

Saya telah memilih artikel yang bertajuk Guru sudah jadi kerani yang telah diakses
pada 11 Ogos 2014 daripada laman sesawang internet. Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar
Harian Metro pada 26 September 2010 yang lalu. Secara keseluruhannya, artikel ini
membincangkan tentang beban tugas yang dihadapi oleh para guru dan cabaran yang dihadapi
oleh mereka dalam melaksanakan tugas sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Artikel ini
turut mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan beban guru agar
perkhidmatan yang diberikan oleh guru-guru di Malaysia berkualiti dan efisien.
Bebanan tugas dapat didefinisikan sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan
kepada guru sama ada dilakukan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah dan bertujuan
untuk menyelesaikan kerja-kerja berkaitan dengan sekolah (Shukri, 1998). Ia dapat diukur
dengan melihat kepada tugas masa yang diperuntukkan dalam seminggu kepada guru. Melihat
kepada takrifan beban tugas ini dapat disimpulkan bahawa tugas yang diberikan kepada guru
mampu memberi tekanan apatah lagi jika tugas tersebut diberi secara berlebihan. Tugas yang
dibebankan kepada guru perlulah mengambil kira prioriti tanggungjawab guru tersebut.
Seiring dengan perkembangan dunia pendidikan, pengalaman guru juga bertambah.
Walau bagaimanapun, kemampuan guru untuk menghadapi beban tugas yang diberikan
bergantung kepada individu. Beban tugas yang terlalu besar akan mengganggu emosi dan
seterusnya memberi kesan kepada kualiti pengajaran guru tersebut (Fitri, 2006).












2



Sinopsis Artikel

Artikel ini membincangkan tentang beban tugas guru yang semakin mencabar kini.
Cabaran utama guru bukan sahaja menyalurkan ilmu kepada pelajar sebaliknya turut mendidik
masyarakat melalui peranan di luar waktu persekolahan sekaligus member bebanan dalam
melaksanakan tumpuan dan tanggungjawab sebenar.

Selain ibu bapa di rumah, guru adalah insan yang bertanggungjawab membentuk jiwa
dan mencanai sahsiah bagi menentukan jatuh bangunnya generasi akan datang. Oleh yang
demikian guru harus memainkan tanggungjawabnya untuk mendidik dengan penuh
kesungguhan dan rasa tanggungjawab. Seandainya guru lalai dalam melaksanakan
amanahnya, maka besarlah kemungkinan untuk melihat generasi akan datang hidup dalam
kepincangan jiwa dan kerendahan sahsiah (Shukri, 1998). Berpaksikan perkara ini jelaslah
betapa besarnya peranan guru dalam menjadikan negara diisi oleh rakyat yang bukan sahaja
berilmu malah mempunyai jiwa dan sahsiah yang cemerlang.

Sistem pendidikan dan matlamat pendidikan negara yang telah dirangka dilihat begitu
murni matlamatnya. Namun begitu guru sebagai pelaksana perlu mempunyai prestasi kualiti
yang baik untuk memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan.
Namun begitu tekanan dan bebanan kerja akan mempengaruhi kualiti pengajaran guru dan
seterusnya mempengaruhi prestasi dan kecekapan guru (Sazali, 1997). Keadaan ini diburukkan
lagi dengan tekanan daripada masyarakat dan jangkaan yang tinggi di berikan kepada para
guru (Soh, 1987).

Dewasa ini tugas guru bukan hanya di dalam bilik darjah tetapi melibatkan juga kerja-
kerja pengkeranian (Saudi, 1998). Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Salwa (1996),
purata waktu bekerja seorang guru adalah 65.77 jam seminggu. Daripada jumlah itu 37.67 jam
digunakan untuk menguruskan dan menjalankan hal ehwal akademik manakala baki 28.10 jam
pula digunakan untuk tugas bukan akademik. Tugas ini dtambah lagi dengan tugasan jawatan
yang dipegang oleh guru. Secara purata seorang guru memegang enam jawatan yang
mencakupi tugas sebagai guru kelas, tugas berkaitan dengan aktiviti ko-kurikulum dan tugas-
3

tugas khas yang diberikan. Hasil kajian ini juga menunjukkan guru secara umumnya
menyatakan beban tugas yang digalas adalah berat.

Beban guru adalah pelbagai. Malah pada masa kini banyak kerja-kerja pengkeranian
yang terpaksa dilakukan oleh guru. Hal ini ditambah lagi dengan soal disiplin murid, pengurusan
bilik darjah, jadual waktu dan penyediaan rancangan dan bahan pengajaran (Lim, 1995). Oleh
yang demikian sering berlaku kerja-kerja guru dibawa pulang ke rumah. Secara tidak langsung
waktu kerja guru sebenarnya melebihi waktu kerja pemegang jawatan yang lain.

Tugas guru pada hari ini amat penting kerana guru adalah sebahagian daripada
subjek penting bagi melakar potret kejayaan negara. Beban yang terlalu besar yang diletakkan
di bahu para guru mampu menyebabkan para guru tersasar di landasan untuk mencipta murid
yang cemerlang. Hal ini kerana tugas utama untuk mendidik tidak dapat dilakukan dengan
sebaik mungkin (Saudi, 1998). Justeru itu adalah begitu wajar sekiranya pihak-pihak yang
berkenaan dapat mengkaji semula dengan lebih teliti berkaitan isu ini. Hal ini bertujuan untuk
mengelakkan guru berasa tertekan dengan bebanan tugas yang tidak sepatutnya. Dikhuatiri
tekanan yang dialami oleh guru ini akan mempengaruhi kualiti penyampaian ilmu seorang guru
itu. Tidak dapat dinafikan bebanan guru itu bergerak seiring dengan impian negara bagi
mencapai status negara maju namun begitu perlu menjadi keutamaan untuk melahirkan modal
insan yang berkualiti dan usaha ini perlu bermula daripada sekolah. Adalah satu kerugian
kepada negara jika usaha ini terencat dan terganggu sejak dari awalnya.










4

Ulasan Kritis
Motif Pelan Pembangunan Pendidikan ialah berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan
teras pendidikan bagi menentukan kejayaaan sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan
iaitu dari aspek akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Tindakan bagi merealisasikan
lima teras berkenaan adalah penting, dan tidak ada inisiatif dalam teras berkenaan yang boleh
dilaksanakan secara berasingan, malah perlu disepadukan dan digerakkan secara bersama.

i. Akses
Setiap kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi
membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian perlu memastikan kadar
akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat
menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020. Usaha daripada pihak Kementerian
Malaysia mewajibkan semua kanak-kanak bermula daripada prasekolah untuk menuntut ilmu
sehinggalah ke tingkatan 5.

Dalam menyediakan suatu akses pendidikan yang adil kepada murid, banyak cabaran yang
dihadapi di negara kita. Beban tugas guru yang mencabar sedikit sebanyak menjadi halangan
dalam menyediakan suatu sistem pendidikan yang sejagat bagi semua murid. Guru-guru perlu
sedar tanggungjawab yang dipikul oleh mereka dan tidak boleh menjadikan isu beban kerja
guru ini untuk tidak memberikan perkhidmatan yang terbaik. Mereka harus menjadikan cabaran
tersebut sebagai suatu dorongan untuk menjadi seorang guru yang ikhlas dalam mendidik
masyarakat.

Namun, pihak jabatan pelajaran pula perlu mengambil inisiatif untuk mengatasi
masalah beban kerja guru ini bagi memastikan guru mampu memberi perkhidmatan terbaik dan
mencapai kepuasan kerja.. Kebiasaannya, di bandar saiz sesuatu kelas agak besar. Hal ini
memberi cabaran kepada guru untuk memberi tumpuan kepada semua murid di dalam kelas.
Salwa (1996) mencadangkan saiz kelas dikecilkan kepada 35 orang untuk satu kelas. Selain
itu, beliau juga mencadangkan tugasan akademik perlu dihadkan kepada 39.80 jam seminggu
dan tugas bukan akademik dikecilkan kepada 4.23 jam seminggu. Waktu yang disyorkan ini
menunjukkan perbezaan yang ketara berbanding 66 jam waktu bertugas (dengan
menggabungkan tugasan akademik dan bukan akademik) seperti yang dilaporkan oleh
Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Guru.
5


Oleh itu, dalam mengatasi masalah beban kerja guru ini, bilangan guru perlu ditambah
dan dipastikan mencukupi untuk setiap sekolah agar beban kerja guru dapat dikurangkan.
Selain itu, kemudahan yang sesuai mengikut spesifikasi penjawat awam yang lain juga perlu
disediakan di sekolah.

ii. Kualiti

Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapatkan pendidikan cemerlang berdasarkan
keunikan sistem pendidikan di Malaysia dan setanding dengan sistem pendidikan
antarabangsa. Sistem pendidikan di Malaysia menetapkan aspirasi untuk meletakkan Malaysia
dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran
TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang. TIMSS dan PISA menguji tahap
Bacaan, Matematik dan Sains sahaja. Kementerian sentiasa berusaha dengan sebaik mungkin
untuk memantapkan lagi institusi pendidikan di Malaysia kerana pihak kerajaan sangat
berhasrat untuk mewujudkan modal insan yang terbentuk dari segi intelek, akhlak, sosial dan
sebagainya.

Untuk merelisasikan aspirasi ini, adalah begitu wajar sekiranya pihak-pihak yang
berkenaan dapat mengkaji semula dengan lebih teliti berkaitan isu ini. Hal ini bertujuan untuk
mengelakkan guru berasa tertekan dengan bebanan tugas yang tidak sepatutnya. Dikhuatiri
tekanan yang dialami oleh guru ini akan mempengaruhi kualiti penyampaian ilmu seorang guru
itu. Tidak dapat dinafikan bebanan guru itu bergerak seiring dengan impian negara bagi
mencapai status negara maju namun begitu perlu menjadi keutamaan untuk melahirkan modal
insan yang berkualiti dan usaha ini perlu bermula daripada sekolah. Adalah satu kerugian
kepada negara jika usaha ini terencat dan terganggu sejak dari awalnya.

Untuk mengatasi masalah guru yang tertekan dengan bebanan kerja di sekolah, saya
merasakan adalah wajar sekiranya diwujudkan cuti rehat khas untuk guru yang stress dan
terbeban dengan kerja di sekolah untuk mengatasi tekanan yang dihadapi agar guru dapat
mampu memberikan prestasi yang terbaik.
Utama

6

iii. Ekuiti
Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan berkualiti kepada setiap
kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, jantina atau latar belakang sosioekonomi.
Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dan luar
bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara jantina sehingga 50% menjelang tahun
2020. Hasrat kerajaan Malaysia untuk mewujudkan konsep kesamarataan dalam bidang
pendidikan antara murid bandar dan luar bandar sememangnya agak sukar untuk dilaksanakan.
Akan tetapi usaha murni ini wajar dilaksanakan dan diusahakan dengan gigih agar semua murid
dapat menuntut ilmu dengan baik dan bersungguh-sungguh.

Dalam memberikan pendikan yang adil kepada semua murid, guru-guru perlu bersedia
untuk bekerja lebih keras untuk memastikan tiada murid yang terabai dan terpinggir daam
pelajaran. Guru tidak seharusnya meminggirkan murid lemah dan hanya memfokuskan kepada
murid pandai di dalam kelas. Sekiranya guru dapat mengesan kelemahan dalam pelajaran di
kalangan muridnya, tanpa perlu mengira latar belakang murid, adalah menjadi tanggungjawab
guru untuk menjalankan kelas bimbingan agar tiada murid yang ketinggalan di dalam kelas.

Namun, guru-guru kini terbeban bukan sahaja dengan tugas mengajar, namun tugas-
tugas pengkeranian yang memaksa guru bekerja lebih masa. Oleh itu, pihak berwajib perlu
memastikan tugas-tugas pengkeranian ini tidak mengganggu tugas utama guru sebagar
penyapai ilmu kepada murid. Shukri (1998) yang mencadangkan perlu diwujudkan kakitangan
sokongan untuk membantu kerja-kerja pengkeranian guru dan perlunya diberi elaun kepada
guru untuk melakukan kerja-kerja lebih masa. Tambahnya lagi tugas yang diberikan kepada
guru perlu bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran yang ada pada guru tersebut dan
tidak mengakibatkan guru tersebut terbeban.

iv. Uniti
Sekolah berperanan untuk mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan murid. Melalui
interaksi bersama murid lain dari pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, dan
belajar untuk memahami, menerima serta menghayati perbezaan, suatu perkongsian
pengalaman dan aspirasi dapat dibentuk. Konsep perpaduan yang hendak diwujudkan oleh
pihak kerajaan sememangnya merupakan satu usaha yang patut disanjung tinggi. Maka,
7

pengetahuan yang berkisar tentang suku kaum dan adat resam kaum tersebut perlulah
diterapkan kepada setiap kanak-kanak semasa mereka berada di peringkat sekolah lagi.

Dalam mewujudkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan murid, guru perlu
bekerjasama dengan komuniti dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Penglibatan komuniti dan
PIBG ini secara tidak langsung mampu membantu dan mengurangkan beban tugas guru di
sekolah. Guru perlu bekerjasama dengan semua pihak untuk mencapai hasrat kerajaan untuk
mewujudkan bangsa 1 Malaysia. Murid-murid perlu diterapkan bahawa perpaduan adalah
sumber kekuatan Negara untuk mencapai satu Negara Malaysia yang harmoni.

v. Efisien
Sistem pendidikan Malaysia telah menerima peruntukan yang tinggi, namun peningkatan
keberhasilan murid masih tidak setanding dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam
sistem. Kerajaan telah berusaha untuk memantapkan lagi bidang pendidikan ini sebagai usaha
untuk mewujudkan pelajar yang cemerlang dari segenap aspek seperti intelek, akhlak dan
sebagainya.

Oleh itu, untuk mencapai aspirasi ini, perlu dipastikan agar kerja-kerja yang dibebankan
kepada guru bersesusian dan mampu memberikan hasil yang maksimum. Guru perlu bersedia
untuk menjadi seorang guru yang cekalnuntuk menghadapi beban tugas guru ang mencabar
kini bagi memastikan keberhasilan murid di masa akan datang. Untuk mengasilkan guru-guru
yang mampu manghadapi apa jua cabaran, latihan guru perlu dimantapkan.



8

Penutup
Isu beban tugas guru bukan lagi isu baru. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan isu ini
sudah menjadi isu lapuk yang seperti tiada penghujungnya. Saban tahun guru akan terus
mengeluh dengan bebanan kerja yang dialami sehingga mengganggu tanggungjawab utama
untuk mendidik.

Penyelesaian isu ini tidak dapat dilakukan dengan penglibatan satu pihak sahaja.
Turutan penyelesaian perlu bermula daripada penggubal dasar (kerajaan) sehingga pelaksana
dasar (guru). Oleh yang demikian pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu mengkaji
semula tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada guru. Pelaksanaan tugasan yang tidak
terurus akan menimbulkan masalah kepada guru dan murid juga menerima impaknya.

Seterusnya, kurikulum yang telah digubal tidak perlu terlalu kerap diubah. Hal ini akan
menyebabkan guru tidak bersedia dengan kemahiran disamping kurikulum yang baru itu
menuntut pelbagai urusan untuk disesuaikan dengan infrastruktur yang tersedia di sekolah.
Keadaan ini ditambah lagi dengan tekanan daripada pihak ibu bapa yang sentiasa mahukan
keputusan yang cemerlang tanpa mengira apa yang dialami oleh guru. Walhal jika diteliti semua
pihak bersetuju keputusan pepriksaan bukanlah menjadi penentu kejayaan (Sazali, 1997).














9



































Aspirasi
Pendidikan
Malaysia
Akses
inisiatif perlu diambil untuk
mengatasi masalah beban
kerja guru ini bagi memastikan
guru mampu memberi
perkhidmatan terbaik.
Tambah bilangan guru
Kecilkan saiz kelas ( Tambah
bilangan kelas)
Kualiti
elak guru bekerja dalam
tekanan
wujudkan cuti khas untuk guru
yang terbeban untuk
mengatasi masalah tekanan
agar mereka dapat
memberikan prestasi yang
terbaik.
Ekuiti
Memastikan tiada murid
terpinggir tanpa mngira latar
belakang
Guru perlu memberi
bimbingan kepada murid
lemah.
Pembantu kerani perlu
diwujudkan bagi membantu
kerja-kerja pengkeranian guru.
Uniti
Guru perlu bekerjasama
dengan komuniti dan PIBG
bagi mengurangkan beban
guru.
Guru perlu bekerjasama
dengan semua pihak untuk
mewujudkan perpaduan
dalam kalangan murid

Efisien
Guru yang cekal perlu
diwujudkan bagi menghadapi
cabaran bebanan kerja guru.
Latihan guru perlu
dimantapkan.
10

Refleksi

Syukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapatlah saya
menyiapkan tugasan EDU 3093 Guru Dan Cabaran Semasa. Ucapan terima kasih ditujukan
kepada Tuan Haji Md Nordin Bin Monel selaku Pensyarah penasihat merangkap pensyarah
saya bagi subjek ini. Tidak dilupakan juga kepada sahabat handal yang turut sama membantu
dalam melaksanakan tugasan ini. Tugasan ini memerlukan saya untuk mencari artikel yang
berkait rapat dengan guru dan cabaran semasa. Setelah itu, saya perlu menyediakan ulasan
kritis kepada artikel dalam bentuk penulisan esei dan juga dalam bentuk thinkings maps.
Alhamdulillah, sepanjang pelaksanaan tugasan ini, banyak pengalaman yang telah saya
peroleh. Antara pengalaman yang boleh saya nyatakan di sini ialah pengalaman semasa
mencari bahan bacaan yang berkaitan dengan tugasan yang diberikan. Saya dikehendaki
membuat bacaan daripada pelbagai sumber untuk memperoleh pengetahuan berkaitan tajuk
guru dan cabaran semasa ini. Banyak ilmu dan pengetahuan yang telah dapat saya timba
dalam menyiapkan tugasan ini dan ilimu tersebut dapat saya manfaatkan untuk menjadi
seorang guru kelak.
Saya juga telah berkesempatan untuk menemebual beberapa orang guru di sekolah
sepanjang menjalankan internship di SK Tanjung Gelam. Mereka telah berkongsi tentang
pengalaman mereka sebagai seorang guru dan cabaran serta bebanan yang dihadapi.
Pengalaman yang dikongsi tersebut akan saya manfaatkan dan saya pelu bersedia untuk turut
mnghadapi cabaran yang sama apabila masuk alam sebenar bidang pergruruan nanti.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa setiap kerja buat saya sepanjang melaksanakan
tugasan ini sentiasa diselangi dengan masalah. Antara masalah yang sentiasa bermain di
fikiran saya pada permulaan membuat tugasan ialah kesukaran mencari bahan rujukan melalui
buku rujukan. Selain itu, rujukan melalui internet juga menemui jalan buntu kerana tajuk yang
diberikan memerlukan saya untuk mengaitkan fakta sebuah artikel dengan aspirasi pendidikan
Malaysia.
Setelah saya membuat sedikit pencarian, saya mendapati bahawa guru perlulah
sentiasa proaktif dengan perkembangan semasa. Sikap sambil lewa tidak patut dijadikan tabiat
bagi setiap guru kerana tanggungjawab mereka sebagai pendidik itu sangat berat dan wajar
diambil peranan dengan baik.
11

Oleh itu, guru perlulah lebih cakna dengan isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan
supaya sikap guru tersebut mampu merealisasikan lima aspirasi pendidikan iaitu Akses, Kualiti,
Ekuiti, Uniti dan Efisien. Diharap tugasan ini mampu member banyak manfaat kepada saya dan
rakan dalam persediaan bergelar guru.






























12

RUJUKAN


KAMUS DEWAN EDISI BAHARU (1989), KUALA LUMPUR:DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA.

Muhammad Fuad Razali (2010), Beban Tugas Guru Cahaya Menanti di Hujung
Terowong, Pendidik Jun 2010.

Muhammad Fuad Razali (2010), Tugas Rencam Bebankan Guru, Pendidik Jun
2010.

Muhammad Fuad Razali (2010), Kemahiran Pengurusan Maklumat Bantu Kurang
Beban Guru, Pendidik Jun 2010.

Muhammad Fuad Razali (2010), Susun Semula Tugas Perkeranian, Pendidik
Jun 2010.

Koleksi Artikel, Guru Sudah Jadi Kerani,
http://mrbdeenarticle.blogspot.com/2010/09/guru-sudah-jadi-kerani.html

Utusan Malaysia (2012), 14 Isu Beban Guru Ditangani,
http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Neg
eri&pg=dn_02.htm

Utusan Malaysia (2008), Beban Kerja Guru Kini Semakin Berat,
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muk
a_Hadapan&pg=mh_09.htm