Anda di halaman 1dari 10

1

Soalan Tugasan
Tugasan B: Tuliskan satu esei mengenai satu tajuk guru dan cabaran semasa seperti
berikut:
3. Muat turunkan laporan media dan jurnal berkaitan dengan kes stres dalam kalangan
guru sekolah. Beri pendapat dan hujah anda mengenai kes berkenaan berdasarkan
pengetahuan anda mengenai isu stres.















2

1.0 Pengenalan
Tekanan atau stres mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ke-
empat ialah keadaan resah, cemas dan tegang disebabkan akibat tekanan mental
atau fizikal. Stres berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu stress. Smither
(1994), menyatakan bahawa stress adalah satu bentuk tindak balas fisiologikal dan
psikologikal terhadap permintaan ke atas seseorang. Kenyataan ini turut disokong
oleh Haatta Sidi & Mohamed Hatta (2005) yang menyatakan bahawa stress adalah
tindak balas minda dan fizikal daripada permintaan mengikut keadaan atau tempat.
Hal ini bermaksud fikiran dan fizikal individu yang mengalami tekanan bertindak
balas mengikut tahap dan keadaan tekanan tersebut. Sebagai contoh, jika tahap
tekanan yang melanda individu tersebut adalah tinggi, maka tindak balas individu
tersebut dari aspek fizikal dan fikiran juga adalah tinggi dan besar.
Pada zaman arus globalisasi ini, setiap insan pasti merasakan akan stres
atau tekanan. Hal ini tidak terkecuali kepada profesion perguruan. Profesion
perguruan yang lebih menjurus kepada konteks pendidikan memainkan peranan
yang besar dalam pembangunan sesebuah negara. Pendidikan yang berkualiti
menyumbang kepada lahirnya generasi yang cemerlang dan terbilang. Oleh itu,
seorang pendidik merupakan aset yang penting dalam memastikan kualiti pendidikan
yang diberikan adalah unggul dan terbaik. Kualiti pendidikan merujuk kepada sejauh
mana pencapaian individu untuk mencapai sesuatu objektif yang diletakkan
menggunakan pedagogi yang berkesan.
Jika dilihat pada zaman penuh cabaran ini, guru tidak terkecuali daripada
terkena tempias tekanan ini. Hal ini dapat dilihat daripada permintaan pendidikan
yang semakin tinggi dengan arus peredaran zaman. Perbandingan permintaan
pendidikan pada zaman dahulu dan zaman sekarang adalah sangat berbeza.
Seorang guru yang mendidik individu pada zaman dahulu tidak menitikberatkan
3

aspek strategi pengajaran yang pelbagai dalam menyampaikan pengajaran. Namun,
hal ini dilihat berbeza apabila guru pada masa kini seharusnya meningkatkan kualiti
pengajaran bagi memastikan individu yang dihasilkan adalah seimbang, produktif
dan proaktif selain mampu bersaing untuk mencapai kejayaan. Azizi Yahaya (2008),
menyatakan tugas, tanggungjawab dan peranan guru di Malaysia hari ini bukan
sahaja banyak berbeza dari masa lalu, tetapi juga lebih berat dan kompleks.
Menurut Norliza Othman (2008), para pendidik mempunyai status yang tinggi
dalam hierarki hidup masyarakat dahulu tetapi sekarang tidak lagi. Kebanyakan guru
sekarang merasakan persekitaran dunia pendidikan tanah air tidak lagi seperti
dahulu. Hal ini menyebabkan guru mengalami tekanan pada tahap yang tinggi.
Fontana (1989) juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu bentuk permintaan
yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan fizikal serta
seterusnya menjelaskan sekiranya seseorag itu mampu menerima dan menangani
permintaan tersebut. Jika dilihat dari perspektif seorang guru, cara guru tersebut
menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda serta fiikal guru
tersebut menerima tekanan yang datang. Oleh itu, seorang guru yang berkualiti
seharusnya mampu menyesuaikan diri dengan tekanan yang dilanda baik dari segi
minda dan fizikal.
Namun, sejak akhir-akhir ini, terdapat pelbagai laporan dan liputan yang
menghubungkan guru dan stres. Profesion perguruan merupakan antara profesion
yang diberi perhatian oleh masyarakat. Oleh itu, apa-apa berita dan cerita mengenai
profesion perguruan ini adalah santapan utama pada mulut masyarakat di Malaysia.



4

2.0 Punca dan Implikasi Stres
Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan guru berada dalam keadaan stres
iaitu faktor dalaman guru dan juga faktor luaran guru. Faktor dalaman guru merujuk kepada
isu-isu kesihatan mental dan fizikal serta emosi manakala faktor luaran pula merujuk kepada
tugas-tugas serta tanggungjawab yang dipikul oleh guru dan hubungan sosial mereka
dengan masyarakat luar. Kekuatan dalaman seorang guru menjadi penentu kepada sejauh
mana kejayaan guru tersebut berjaya menangani stres yang melanda daripada faktor luaran.
Guru yang mempunyai kesihatan mental, fizikal dan emosi yang baik mampu berhadapan
dengan tekanan yang menimpa dengan tenang dan professional.
Di dalam kajian faktor-faktor yang menyebabkan stres dalam kalangan guru Sains
dan Matematik di sekolah menengah daerah Johor Bahru, Azizi Yahaya & Norliza Othman
(2008) telah mencadangkan lima faktor yang menyumbang kepada stres dalam kalangan
guru. Kelima-lima faktor stress ini akan diulas dengan lebih lanjut di bawah.
2.1 Masalah Disiplin Pelajar
Hasil kajian yang dilakukan oleh mereka mendapati bahawa faktor masalah disiplin
pelajar merupakan faktor utama kepada berlakunya tekanan dalam kalangan guru. Hal ini
dpat dilihat daripada nilai min yang tinggi diperoleh daripada kajian yang dijalankan iaitu
3.83. Masalah disiplin pelajar merujuk kepada tingkah laku negatif yang dilakukan oleh
pelajar sepanjang berada di kawasan sekolah termasuk di dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran. Antara contoh masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar ialah membuat
bising di dalam kelas, tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, bersikap biadap terhadap
guru, masuk lewat ke kelas dan juga mengganggu rakan lain semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran berlangsung. Tingkah laku negatif seperti ini sering mengundang kemarahan
guru. Kegagalan mengawal emosi marah menyebabkan guru sering mengambil keputusan
drastik untuk menghukum pelajar tersebut. Tindakan tidak professional guru secara tindakan
5

drastik ini adalah kerana kelemahan kekuatan dalaman guru yang menyebakan emosi
menguasai akal fikiran yang waras.
Pelbagai laporan yang boleh diperoleh apabila membincangkan tindakan guru yang
melanggar etika kerja dan tanggungjawab ini yang berkaitan dengan masalah disiplin
pelajar. Antaranya ialah situasi di mana 200 orang pelajar wanita Sekolah Menengah
Kebangsaan Bawang Assan, Sarawak yang telah dihukum dengan berendam di dalam
kolam ikan yang kotor selama sejam oleh warden asrama kerana masalah disiplin yang
hanya dilakukan oleh seorang pelajar (Utusan Malaysia, 28 Julai 2007). Selain itu, akhbar
Berita Harian bertarikh 23 Julai 2007 memaparkan kes dakwaan 22 murid Tahun 4 Sekolah
Kebangsan Gayang, Tuaran ditampar guru besar kerana tidak menyiapkan kerja rumah
yang diberikan.
Contoh-contoh tindakan guru yang diambil semasa keadaan sebegini jelas
menunjukkan stres dalam kalangan guru kian ketara akibat perlakuan negatif pelajar.
Sebagai satu pekerjaan yang professional, seorang guru seharusnya mampu mengawal
emosi dan dapat mengambil tindakan berasaskan fikiran yang waras.
2.2 Bebanan Kerja
Faktor bebanan kerja juga merupakan antara penyumbang utama kepada stress
dalam kalangan guru. Kajian Noornazifah (2008), menunjukkan bahawa punca utama guru
stress adalah kerana beban tugas, Donald Meichenbaum dan matt E. Jaremho (1983).
Muhammad Sukri (1998) dalam kajiannya mendapati purata guru bekerja dalam sehari ialah
sekitar 13.61 jam. Hal ini akan menyebabkan guru tidak dapat memberi tumpuan
sepenuhnya kepada perlakuan mengajar yang sebenar kerana fokus dengan bebanan tugas
yang berlebihan.
Bebanan kerja yang ditanggung guru kini tidak dapat dielakkan lagi. Antara kerja
yang dipikul oleh sorang guru ialah pengurus pembelajaran pelajar, pengajar, pelaksana
aktiviti sekolah, menjadi penasihat kelab dan persatuan, menyediakan dan menyemak
6

kertas ujian selain kerja-kerja sampingan yang diberikan oleh pihak sekolah. Perkara
sebegini nampak mudah pada mata masyarakat, namun, bebanan tugas sebegini banyak
hanya difahami apabila mereka bergelar guru. Mereka perlu menyelaras aspek akademik,
kokurikulum, pentadbiran, pentaksiran dan sebagainya. Tambahan pula, guru perlu hadir
pada hari Sabtu untuk menyiapkan kerja yang melibatkan permintaan pentadbiran. Ada di
antara guru juga yang datang menyiapkan kerja mereka yang tidak selesai pada hari Ahad.
Hal ini jelas membuktikan penyataan Mohamad Abdillah Royo & Woo Sew Fun di dalam
kajian mereka, golongan guru sentiasa dibebani tugas-tugas yang berkaitan dan tidak
berkaitan dengan bidang tugasnya, Daeng Ramli (1993).
Bebanan kerja yang melampau memberikan implikasi yang besar kepada jiwa
seorang pendidik. Guru yang gagal mengawal dan mengatasi bebanan ini akan mengambil
keputusan untuk memberontak. Antaranya ialah tidak menghadirkan diri ke sekolah dan lari
daripada diberi apa-apa tugasan yang berkaitan tugasnya. Memetik keratin satu laporan
akhbar yang mendedahkan isu seorang guru di Perak tidak menghadirkan diri selama
sebulan ke sekolah tanpa memberi sebarang alasan yang kukuh, (Berita Harian, 27 Mac
2008). Implikasi sebegini bukan sahaja akan memberi kesan kepada kerjayanya sebagai
seorang guru malah ia turut memberi kesan kepada pelajar di mana proses pembelajaran
mereka akan terbantut. Hal ini tidak dapat ditoleransi di dalam bidang pendidikan kerana
proses pembelajaran sempurna kepada pelajar adalah aspek utama kepada seorang
pendidik. Pendidikan yang tidak sempurna akan melahirkan generasi yang tidak
berpengetahuan dan berdaya saing pada masa hadapan.
2.3 Reformasi Pendidikan
Reformasi pendidikan merujuk kepada perlaksanaan pelbagai dasar dalam sistem
pendidikan negara. Pelbagai dasar yang dibawa kerajaan dalam membangunkan
pendidikan negara semestinya telah dikaji dan terbukti berkesan. Namun, perlaksanaan
pelbagai dasar dalam masa yang singkat menyebabkan guru berasa tidak selesa dan tidak
7

mampu menguasai dasar-dasar yang dibawa itu. Antaranya ialah kurikulum pendidikan yang
kerap berubah iaitu daripada Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) kepada Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
dalam jangka masa yang singkat. Hal ini memberi kesan kepada guru kerana dalam proses
guru memahirkan diri dalam sesuatu kurikulum, kurikulum baru diperkenalkan dan guru
perlu menyesuaikan diri dengan kurikulum baru tersebut. Walaupun pertukaran kurikulum
adalah untuk kepentingan pendidikan, ia merupakan beban kepada guru di mana mereka
perlu hadir ke kursus dan seminar untuk mendapat pendedahan mengenai perlaksanaan
kurikulum baru itu.
Tuntutan yang tinggi dalam dunia pendidikan menyebabkan guru berasa tertekan
dengan perlaksanaan pelbagai reformasi yang berkaitan sistem pendidikan negara. Kajian
Azizi Yahaya & Norliza Othman (2008), juga mendapati faktor reformasi pendidikan menjadi
antara faktor utama stress dalam kalangan guru. Antara dasar-dasar yang diperkenalkan
oleh kerajaan ialah 1 Bestari Net, Frog VLE, program I-Think dalam talian (KiDT), mengajar
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Mohd Nor Izzat Mohd Johari, seorang aktivis pendidikan negara menyatakan bahawa pelan-
pelan sebegini sebenarnya menyusahkan bukannya memudahkan guru seperti tujuan asal
ia diperkenalkan.
Ada di antara guru yang perlu bangun pada awal pagi untuk menyelesaikan dasar
seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Implikasi daripada tindakan sebegini
menjadikan guru letih pada waktu persekolahan dan tidak dapat menumpukan perhatian
kepada pengajaran. Hal ini merencatkan sesi pengajaran dan pembelajaran seterusnya
pembelajaran optimum bagi pelajar tidak dapat dicapai. Kerja-kerja lain berkaitan tugas
seorang guru juga tidak dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Hal ini menjadikan
pelajar yang dihasilkan tidak seimbang kerana guru akan bersikap lepas tangan akan tugas
seperti menguruskan aktiviti sukan pelajar.
8

3.0 Cara Mengatasi Stres
Stres dalam kalangan guru perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana
tugas guru sebagai pendidik merupakan aset utama dalam pembangunan negara. Kyriacau
(2000), menyatakan stres merupakan penagalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini.
Oleh itu, perasaan tidak diingini di dalam diri guru seharusnya diubat dan dirawat dengan
menggunakan kaedah-kaedah yang dirasakan sesuai mengikut keadaan.
3.1 Masalah Disiplin Pelajar
Masalah disiplin pelajar merupakan antara penyebab utama kepada stres dalam
kalangan guru. Hal ini kerana guru mengambil tindakan drastik dengan memberi hukuman
yang tidak waras. Guru seharusnya merujuk pelajar yang melakukan masalah disiplin
kepada guru besar dan guru disiplin. Kuasa melakukan hukuman ke atas pelajar adalah
kuasa guru besar. Guru besar selalunya memberi kuasa menghukum pelajar kepada guru
disiplin. Oleh itu, seorang guru disiplin tidak seharusnya diberikan waktu mengajar yang
padat. Hal ini dapat mengelakkan guru tersebut berasa tertekan dengan beban tugas
mengajar dan mengawal disiplin sekolah. Selain guru disiplin, guru yang memegang jawatan
penting seharusnya diberi lebih masa luang dan tidak diberikan jadual waktu yang padat
seperti guru-guru lain.
3.2 Bebanan Kerja
Bagi faktor bebanan kerja pula, antara cara yang boleh dilakukan bagi mengatasi
masalah ini ialah menambah kakitangan sokongan bagi kerja-kerja perkeranian dan kerja-
kerja pentadbiran. Hal ini dapat mengelakkan guru daripada melakukan tugas-tugas yang
bukan dalam bidang tugasnya selain dasar-dasar kerajaan dapat diaplikasi dengan baik dan
sempurna. Tugas yang sesuai dengan guru mampu menjadikan guru tidak tertekan dan
melakukan tugas pengajaran dengan lebih berkesan. Tokoh akademik, Tan Sri Dr Abdul
Rahman Arshad telah mencadangkan konsep memasyarakatkan pendidikan. Cadangan ini
berunsur gabungan pelbagai pihak dalam meingkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.
9

Antaranya ialah memanfaatkan sepenuhnya peranan ibu bapa dan mengoptimumkan
pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan.
3.3 Reformasi Pendidikan
Pihak pengurusan dan pentadbiran memainkan peranan yang penting dalam
memastikan guru tidak berasa tertekan. Young (1978) mencadangkan sokongan pihak
pengurusan untuk melegakan kekecewaan guru-guru yang meningkatkan tahap kegelisahan
dan kerisauan. Antara kaedah sokongan yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan
adalah dengan khidmat kaunseling kepada guru melibatkan krisis dan sistem sokongan
sosial. Khidmat kaunseling yang disediakan mampu membantu guru memahami serta
mengetahui tugasan mereka dengan lebih baik. Dasar-dasar kerajaan juga boleh diaplikasi
dalam bentuk perisian dan diberikan kepada semua guru. Melalui kaedah ini, guru dapat
mengenali dasar-dasar pendidikan kerajaan mengikut kesesuaian masa mereka. Hal ini
memberi kesenangan dan kemudahan kepada guru untuk mengakses perisian tanpa
memberi bebanan yang berlebihan kepada mereka.
4.0 Penutup
Seluruh guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi
mudarat kepada seluruh generasi (Chek Mat, 2008). Pembelajaran optimum bagi pelajar
bukan sahaja melingkupi aspek akademik semata-mata malah meliputi aspek-aspek lain di
dalam pembelajaran. Perkara sebegini tidak dapat diperoleh jika guru sering berasa tertekan
dan stres dalam diri mereka. Tekanan di dalam kerjaya mencabar ini perlu dipandang serius
oleh semua pihak agar tiada kesan yang negatif kepada generasi masa hadapan. Guru juga
perlu prihatin dengan tahap tekanan di dalam diri mereka. Stres jika dapat diambil dalam
bentuk positif dalam diatasi dengan berkesan manakala stres jika diambil dalam bentuk
negatif pula akan memberi kesan buruk kepada banyak pihak.

10

Rujukan
Azizi Yahaya & Norliza Othman, Faktot-Faktor yang Menyebabkan Stres dalam Kalangan
Guru Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Daedah Johor Bahru.
Chek Mat (2008), Ujian Psikologi & Pengurusan. Unipress Printer Sdn Bhd. 2008
Fontana, D. (1989), Managing Stress. British Psychological Society & Routledge Ltd
Guru Ponteng Sebulan Boleh Diberhenti Kerja. (21 April 2009). Berita Harian
Hatta Sidi & Mohamed Hatta Shaharom. (2002). Mengurus Stres Pendekatan Yang
Praktikal. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Kamus Dewan Bahasa dan Pusaka Edisi Ke-Empat
Mohamad Abdillah Royo & Woo Sew Fun (2010), Faktor-Faktor yang Mendorong tekanan
Kerja (Stress) di Kalangan Guru-Guru SJK(C): Satu Kajian di Tiga Buah Sekolah di
Wilayah Persekutuan. Universiti Teknologi Malaysia
Noornazifah Md Suandi (2008), Kajian Terhadap Stres di Kalangan Guru Sekolah Rendah di
Zon Permas Jaya, Johor Bahru dari Aspek Personaliti. Fakulti Pendidikan Universiti
Teknologi Malaysia
Tuala Wanita: 200 Pelajar Direndam dalam Kolam Kotor. (28 Julai 2007). Utusan Malaysia
Mohd. Saudi Abdul Rahman. (1998). Beban tugas di kalangan guru sekolah menengah.
Tesis Sarjana Universiti Utara Malaysia. Sintok
Nasional. (2014, Jun 17). 1BestariNet: Servis YTL dipertikai. Sinar Harian. Diakses daripada
http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/1bestarinet-servis-ytl-dipertikai-
1.290953 pada 2 Ogos 2014
Pendidikan. (2012). SPPBS: Satu lagi aplikasi teruk KPM. Diakses daripada
http://www.aduanrakyat.com.my/sppbs-satu-lagi-aplikasi-teruk-kpm-2/