Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki
permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan
tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian,
permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan tingting memainkan
peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek
moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita
mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.
Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan
permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan
ini tidak hilang ditelan zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas
permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti
kempen Jom Main Permainan Tradisional dan pertandingan bermain permainan
tradisonal merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah
tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari
permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak
kenal, maka tak cinta. Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat
memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk
generasi yang akan datang.
Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai lambang
keagungan bangsa dan negara tercinta ini. Oleh sebab rakyat negara ini
berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa
mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama,
permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat
menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni. Kini, kerajaan sudah pun
menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan
pelancong asing ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa
teruja dan takjub dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di
sini hanya untuk mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan
peribahasa sambil menyelam, minum air. Hal ini sekali gus menjana
pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.
Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan
sejenis pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini demikian
kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk
berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tardisional.
Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran
pemain memasukkan biji guli ke dalam rumah dan kampung pada papan
congkak. Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni
dalan kalangan rakyat sesebuah negara supaya lebih cinta akan
negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar. Natijahnya, kita harus sedar
bahawa permainan tradisional dapat mengukuhkan semangat perpaduan
nasional dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawabersatu kita
teguh, bercerai kita roboh.
Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya
menjadi tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.Saya berharap, satu hari
nanti, permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh
segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah
kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan
tradisional dapat mengharumkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di
persada dunia. Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia
akan terus popular dalam carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai
hobi yang berfaedah.
sumber: spm.im
Tajuk 2 : Permainan Tradisional patut diperkenalkan kepada generasi muda hari ini.
Bincangkan.
Masyarakat kita memang kaya dengan pelbagai warisan nenek moyang. Salah satu
daripadanya ialah permainan tradisional seperti wau, congkak dan gasing. Permainan
tradisional ini tidak lagi mendapat tempat dalam jiwa generasi muda zaman ini.
Mereka lebih gemar permainan-permainan moden seperti badminton, bola sepak,
tenis dan sebagainya.
Oleh yang demikian sepatutnyalah permainan tradisional ini diperkenalkan kepada
golongan muda hari ini. Permaiann tradisional seperti ini hendaklah diperkenalkan di
majlis-malis tertentu seperti majlis keramaian atau majlis rasmi di kampung dan juga
bandar. Dengan cara ini, golongan belia akan dapat melihat sendiri cara permainan ini
dimainkan. Sudah tentu ada di antara mereka yang tertarik hati dengan permainan ini.
Selain itu, persatuan belia patut memainkan peranan mereka. Permainan tradisional
boleh dijadikan sebahagian daripada kegiatan belia seperti dengan menganjurkan
pertandingan permainan tradisional atau pameran-pameran khas bagi menarik
pehatian generasi muda kini. Pendedahan yang luas kepada permainan ini akan
menambahkan lagi minat belia terhadap permainan ini.
Ibu bapa juga harus memupuk minat anak-anak dalam permainan tradisional ini.
Sejak kecil anak-anak boleh didedahkan dengan permainan seperti congkak dan
sebagainya bagi mengisi masa lapang bersama keluarga sewaktu di rumah. Ajarlah
anak-anak cara permainan tersebut dimainkan dan terapkan kepada mereka betapa
pentingnya ia dikekalkan.
Di samping itu pihak media massa harus selalu menonjolkan berita tentang
permainan-permainan tradisional ini. Rencana-rencana khas perlu disiarkan
melalui surat khabar, majalah dan lain-lain bagi menimbulkan minat para pembaca
terhadap sesuatu sukan itu. Tidak ketinggalan juga ia boleh diperkenalkan dengan
lebih meluas melalui internet yang mana boleh dibaca oleh masyarakat seluruh dunia.
Dengan ini secara tidak langsung ia dapat membawa imej negara Malaysia di mata
dunia umumnya.
Oleh yang demikian adalah wajar bagi kita meneruskan usaha meningkatkan lagi
mutu permainan tradisional agar tidak luput ditelan dek zaman. Kekalkanlah ia di
persada seni dan budaya negara agar generasi akan datang dapat menikmati akan
keindahan warisan seni budaya kita di sepanjang zaman.
http://pendidikansarawak.blogspot.com/2010/04/kepentingan-permainan-tradisional.html
Karangan Rangsangan: Permainan Tradisional
Posted: August 6, 2010 by twoohiok in Uncategorized
14
1. Berdasarkan bahan rangsang berikut, huraikan pendapat anda
tentang kepentingan permainan tradisional . Panjang huraian anda
hendak antara 200 hingga 250 patah kata.
2. Berdasarkan bahan rangsang berikut, huraikan pendapat anda
tentang cara-cara mengembangkan permainan tradisional . Panjang
huraian anda hendak antara 200 hingga 250 patah kata.
Kepentingan permainan tradisional
Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai
kemajuan dan pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya pelbagai warisan
nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya
golongan muda. Salah satu khazanah kebudayaan kita yang semakin luntur
dalam gaya hidup yang moden ini ialah permainan tradisional kita yang
terdiri daripada congkak, wau, gasing dan sebagainya. Oleh itu, generasi
muda perlu disedarkan tentang kepentingan permainan tradisional kepada
bangsa dan negara.
Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini
merupakan kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian
kerana permainan tradisional adalah ciptaan nenek moyang kita yang
melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa kita. Permainan tradisional tidak
boleh disamakan dengan permainan elektronik atau permainan siber. Alat
permainan tradisional juga merupakan satu seni budaya yang amat unik dan
terunggul. Sebagai contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-
warni yang dilukis dan digunting dengan cantik nian. Jika
permainan tradisional kita telah lenyap di bumi kita, apakah kebudayaan
yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah peribahasa, sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan
yang signifikan dalam industri pelancongan. Selain menyaksikan
pemandangan alam semula jadi yang indah dan menikmati juadah yang lazat
di negara kita, para pelancong pasti ingin menghayati corak budaya kita
yang berwarna-warni. Lantaran itu, permainan tradisional berupaya
memukau hati pelancong yang melawat ke Malaysia. Seperti
peribahasa, Tak kenal maka tak cinta, setelah diperkenalkan kepada
pelancong, lazimnya mereka akan berminat dan turut bermain dengan
seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan daripada itu, hotel-
hotel lima bintang dan pusat peranginan yang terkemuka di negara kita
patut menyediakan tapak dan alat permainan tradisional kepada pelancong
asing kita. Hal ini bukan sahaja dapat memangkinkan industri pelancongan
tetapi juga memperkenalkan kebudayaan kita kepada bangsa lain, seperti
peribahasa, serampang dua mata. Ternyata, permainan tradisional
merupakan salah satu tarikan dalam industri pelancongan.
Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan
masyarakat kita yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk mengejar
kekayaan duniawi. Dengan adanya permainan tradisional itu, pelbagai
kaum dalam masyarakat kita dapat bermain bersama secara beramai-ramai.
Tamsilnya, terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang ramai
untuk bermain layang-layang. Peminat itu tidak mengira bangsa dan budaya
tetapi bersama-sama memperlihatkan lelayang yang beraneka corak .
Mereka juga berkongsi idea dan pendapat tentang lelayang mereka. Tidak
hairanlah akan tercetusnya suasana yang muhibah dan harmoni dalam
masyarakat. Mereka turut melegakan tekanan dan menghabiskan masa
bersama dengan keluarga sendiri. Senario ini jauh lebih baik
daripada individu yang asyik bermain permainan komputer di kamar sendiri
tanpa berinteraksi dengan orang lain.
Natijahnya, permainan tradisional merupakan khazanah warisan yang tidak
ternilai. Oleh itu generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan
khazanah ini daripada generasi kepada generasi, seperti peribahasa, Tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Walaupun zaman beredar, tetapi
segala warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita
tidak digelar sebagai etnik yang tidak berakar umbi dan sentiasa
terhanyut oleh arus globalisasi.
Cara-cara untuk Mengembangkan Permainan Tradisional di Negara
Kita
Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan
modenisasi sehingga mengalami pembangunan yang pesat sekali.
Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan
dikesisikan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait
rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang
popular dalam kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup
membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam pengedaran zaman
dan lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera. Sebelum nasi
menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk
membangkit permainan tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa,
di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh.
Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah
satu alternatif yang ampuh untuk mengembang permainan tradisional di
negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian Negara secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media
massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar
dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari dan
rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita,
seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah
dan cara bermain, pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang
kepentingan permainan tradisional terhadap masyarakat dan
negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut,
seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster dan
sebagainya, bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Lantarannya
golongan muda pasti terpengaruh oleh kempen tersebut dan berminat
terhadap permainan tradisional kita.
Selain itu, pihak sekolah perlu menjadikan permainan tradisional sebagai
kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah
harus digalakkan supaya menubuhkan kelab atau persatuan permainan
tradisional. Berpaksikan kelab permainan tradisional, pelajar boleh diajar
tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain
lagi. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat untuk melibati
permainan tradisional tersebut. Generasi muda merupakan tunjang yang
bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak.
Nescaya pelibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional
dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan
seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa,
di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, atas komitmen pihak sekolah,
putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat
bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan tekanan sebagai
kegiatan riadah.
Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk
membangkit permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian
kerana sebagai fitrah, manusia memang suka bertanding dan berlaga.
Lantarannya, pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan
Pelancongan Malaysia dan agensi kerajaan boleh bergabung dengan
korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis untuk menganjurkan
pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah,
kebangsaan hingga antarabangsa. Salah satu contoh yang terbaik ialah
Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan
layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat permainan tersebut dari
seluruh dunia untuk mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan
pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras
dengan peribahasa, menyelam sambil minum air.
Secara intihanya, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak
lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap
acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya
kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa, Sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
http://twoohiok.wordpress.com/2010/08/06/karangan-rangsangan-permainan-tradisional/