Anda di halaman 1dari 2

Dalam usaha mewujudkan masyarakat yang berjimat cermat, amalan menabung perlu

dipraktikkan dalam kehidupan.


Huraikan kepentingan amalan ini kepada sesebuah keluarga.
Dapat digunakan untuk masa depan
Masa kecemasan bekalan wang
Tidak boros dan menyebabkan pembaziran
Dapat menjadi suri teladan anak
Dijadikan bank kecil, membeli barang tanpa minta duit daripada ibubapa
Menjalinkan hubungan baik kerana semua menabung
Tidak akan berhutang-hutang- mengelakkan pergaduhan

Pada era yang modenisasi ini, amalan menabung masih kurang mendapat sambutan
hangat daripada masyarakat walaupun cara menabung kini lebih efisien dan selamat
berbanding dengan cara menabung masa dahulu. Cara menabung kini yang disebutkan
ialah simpanan duit dalam akaun bank. Sehubungan dengan itu, pelbagai pihak termasuk
kerajaan dan juga pihak bank telah mempromosikan kelebihan mengamalkan amalan
menabung. Antara manfaat yang diberikan jikalau menabung dalam bank ialah bunga
sebanyak 3 peratus setiap tahun. Persoalannya, mengapakah kerajaan sedaya upaya
menyeru masyarakat yang terutamanya mempunyai keluarga menabung?
Antara kepentingan amalan menabung kepada sesebuah keluarga ialah mempunyai
sumber kewangan bagi masa hadapan. Hal ini dikatakan demikian kerana wang merupakan
segala-segalanya dalam era globalisasi ini. Tanpa sumber kewangan yang mencukupi,
masa hadapan yang cerah bagi seseorang juga tidak terjamin. Contohnya, sepasang suami
isteri yang lewat melahirkan anak dan tidak mengamalkan amalan menabung akan
menghadapi masalah kewangan setelah bersara kerana perlu membiayai kos pembelajaran
anak mereka yang masih kecil lagi. Oleh itu, amalan menabung perlu dipraktikkan supaya
wang tersebut dapat digunakan bagi kegunaan masa hadapan.
Selain itu, keperluan duit semasa waktu kecemasan juga merupakan sebab amalan
menabung penting kepada sesebuah keluarga. Hal ini disebabkan manusia tidak dapat
mengesan bila mereka akan memerlukan duit yang banyak bagi menanggung sesuatu yang
tidak disangka-sangkakan seperti peribahasa malang tidak berbau. Misalnya, kebakaran,
bencana alam melanda dan kematian ahli keluarga secara tiba-tiba. Modal yang banyak
diperlukan untuk mengatasi situasi tersebut dalam masa yang singkat. Memang tidak
dinafikan bahawa amalan menabung dapat membantu semasa waktu kecemasan.
Kepentingan amalan menabung kepada sesebuah yang berikutnya ialah dapat
mengelakkan pembaziran. Hal ini berkait rapat dengan sikap manusia yang berboros dan
tidak rasional semasa membuat pilihan. Sebagai sebuah syarikat yang bijak, mereka selalu
mengeluarkan produk yang cantik-cantik belaka supaya manusia tertarik dengan
pembungkusan tersebut. Pembeli akan segera membelikan produk tersebut tanpa berfikir
panjang walaupun item tersebut tidak begitu bagus atau diperlukan. Tamsilnya, seorang
pekerja yang tidak menabung dan berboros akan menghadapi masalah kewangan setelah
berlepak dengan kawan-kawannya di kompleks beli-belah. Tegasnya, menabung dapat
mengubah sikap berboros seseorang di samping meningkatkan jumlah simpanan seseorang.
Seterusnya, amalan menabung yang disemai dalam ibubapa akan dijadikan suri teladan
anak mereka. Hal ini bermaksud, jika sesebuah keluarga telah mengamalkan amalan
menabung, malah generasi yang akan datang juga mengikuti perbuatan nenek moyang
mereka. Bak kata peribahasa, bapak burik, anaknya rintik. Contohnya, anak-anak yang
setahun jagung akan diajar untuk menabung. Apabila dewasa, ideologi ini akan terus
diwariskan. Konlusinya, amalan menabung dalam keluarga dapat dikekalkan jika ibu bapa
tidak mengabaikan kepentingan menabung.
Tambahan pula, menabung juga dapat menghalang pelbagai masalah yang mungkin
melanda. Hal ini dapat dibuktikan apabila sesebuah keluarga perlu sejumlah wang untuk
membiayai sesuatu. Membuat pinjaman daripada bank bukan masalahnya, tetapi faedah
yang dikenakan lebih membebankan. Contohnya, seseorang meminjam lima puluh ribu
ringgit untuk membeli kereta, tetapi dikenakan faedah sebanyak 10 peratus dan perlu
memulangkan enam puluh ribu ringgit. Jika kita membuat bandingan, bukankah menyimpan
wang dan diberi faedah jauh lebih baik daripada meminjam wang dan dikenakan faedah?
Oleh itu, menabung perlu diamalkan dalam keluarga supaya tidak akan menghadapi situasi
yang merugikan seperti yang disebut.
Akhir sekali, hubungan antara ahli keluarga dapat dieratkan melalui menabung.
Justifikasinya ialah keluarga tersebut akan berkongsi sesama mereka tentang jumlah wang
yang telah disimpan dan kegunaan wang pada masa akan datang. Misalnya, seorang ahli
keluarga memerlukan sejumlah duit, tetapi wang simpanannya tidak mencukupi. Jika ahli
keluarga yang lain menabung, maka seseorang boleh berbincang dengan ahli keluarganya
untuk meminjam duit buat sementara waktu. Oleh hal demikian, Menabung dapat
mengeratkan hubungan persaudaraan dalam keluarga.
Kesimpulannya, amalan menabung amat penting dalam sebuah keluarga kerana
menabung mendatangkan banyak manfaat dan tiada keburukannya. Penggemblengan
tenaga dan usaha untuk memupuk amalan menabung amat diperlukan supaya lebih banyak
orang memupuk amalan baik ini. Marilah semua mulai menabung sekarang kerana
perjalanan yang beribu langkah, mestilah bermula dengan langkah yang pertama!