Anda di halaman 1dari 23

PENGENALAN

Setiap hari, kita didedahkan dengan pelbagai isu berkaitan dengan kerakusan
manusia memusnahkan khazanah alam sekitar. Tahukah anda, akibat daripada
sikap yang tidak bertanggungjawab ini, pelbagai masalah mungkin berlaku?
Antaranya kehilangan harta benda dan yang lebih dahsyat ialah kehilangan
nyawa. Setiap kali terjadi malapetaka besar alam sekitar seperti keruntuhan
bangunan, banjir lumpur, banjir kilat dan lain-lain, berbagai-bagai cadangan
dikemukakan. Namun, cadangan tinggal cadangan. Kita terpaksa menerima
hakikat perkara paling penting dalam kesemua isu alam sekitar ialah
menyedarkan masyarakat; kesedaran lahir daripada pendidikan yang sempurna.



Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menyatakan objektif konsep dan objektif pendidikan konservasi;
2. Menghuraikan impak daripada kesan pelaksanaan aktiviti
pendidikan konservasi;
3. Melaksanakan cara pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar; dan
4. Menghuraikan prinsip konservasi dalam pendidikan luar.
HASIL PEMBELAJARAN

T
T
o
o
p
p
i
i
k
k
5
5

Pendidikan
Konservasi
dalam
Pendidikan
Luar
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


86
Kita selalu tersalah anggap dengan mengatakan bahawa pendidikan konservasi
menghalang penggunaan alam sekitar dan kemajuan. Sebagai manusia, kita tidak
boleh lari daripada menggunakan sumber alam sekitar untuk kemajuan.

Konsep konservasi bukan menghalang penggunaan sumber alam sekitar
sehingga menghalang proses kemajuan. Pendidikan konservasi adalah berkaitan
dengan cara memelihara dan menguruskan alam sekitar dengan bijak.


Rajah 5.1: Tanah runtuh

Kita harus sedar hakikat bahawa alam semula jadi ini bukan hak milik kita
sahaja, kita hanya meminjamnya daripada generasi yang lalu dan perlu
mengembalikannya kepada generasi yang akan datang. Dalam ucapan pada
persidangan Parlimen Asia mengenai Kemusnahan Alam Sekitar dan
Pengurusan Bencana anjuran Forum Anggota Parlimen Asia mengenai
Pembangunan Penduduk (AFPPD) pada 10 Ogos 2006, Timbalan Perdana
Menteri Malaysia, YAB Dato Sri Najib Tun Abdul Razak menyatakan:



Jika kita sendiri tidak prihatin terhadap penjagaan alam sekitar, siapa lagi yang
harus dipertanggungjawabkan? Pelbagai cara diusahakan oleh pemimpin dan
pendidik di negara kita untuk membentuk dan menyemai sikap dan
tanggungjawab dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya usaha
pemeliharaan alam sekitar dan menyelamatkan bumi daripada pencemaran.
Usaha yang dilihat paling berkesan dalam membentuk dan menyemai sikap
positif terhadap alam sekitar ialah melalui pendidikan konservasi.
Sebagai pemegang amanah, kita perlu memberi penekanan untuk melindungi
alam sekitar kerana jika gagal, kita sebagai pemegang amanah menjaga bumi
ini mengecewakan anak-anak dan generasi akan datang.
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

87
KONSEP PENDIDIKAN KONSERVASI
Menurut Kamus Dewan (2007):





Kita perlu memahami apa yang dikenali sebagai alam semula jadi dan apa
pendidikan alam semula jadi? Alam semula jadi boleh diertikan sebagai alam
ciptaan tuhan yang meliputi aspek yang terdapat di sekeliling manusia yang
wujud secara semula jadi. Alam semula jadi boleh dilihat sebagai semua
komponen semula jadi, di mana semua hidupan tinggal dan berinteraksi antara
satu sama lain dalam keseimbangan.

Oleh itu, pendidikan konservasi dilihat sebagai usaha bagi memberikan
kesedaran kepada pelajar untuk menjaga dan memelihara hak daripada rosak
atau dimusnahkan. Pendidikan konservasi yang disebatikan dalam pendidikan
luar lebih menekan kepada nilai murni yang berperanan menjaga dan
memelihara alam semula jadi. Dengan kata lain, pendidikan konservatif dalam
pendidikan luar lebih banyak tertumpu kepada nilai-nilai murni yang perlu
dalam menjaga alam semula jadi. Pendidikan konservasi merupakan salah satu
strategi yang berkesan bagi meningkatkan kesedaran individu dan masyarakat
terhadap pentingnya pendidikan alam sekitar.

Dengan melaksanakan pendidikan konservasi di sekolah, kita akan dapat
membentuk warganegara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan
mempunyai komitmen terhadap usaha memelihara penghidupan yang
seimbang.
Pendidikan ditakrifkan sebagai kaedah mendidik untuk membentuk
perubahan dalam pemikiran dan cara hidup.
Konservasi didefinisikan sebagai menjaga, memelihara sesuatu secara
tersusun bagi mengatasi kerosakan.
5.1
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


88
5.1.1 Pendidikan Konservasi dalam Pendidikan Luar
Isu alam sekitar merupakan isu yang sentiasa hangat dan mendapat perhatian,
bukan sahaja oleh badan bukan kerajaan tetapi media, malahan oleh kerajaan.
Keperluan dan kepentingan sejagat pendidikan konservasi amat perlu
diserapkan dalam pendidikan bagi membentuk kesedaran yang berterusan di
dalam jiwa masyarakat dunia ini. Berdasarkan faktor ini, pendidikan konservasi
telah menjadi elemen yang amat penting dalam pendidikan luar dewasa ini.

Pendidikan konservasi membolehkan peserta pendidikan luar menghayati
kepentingan alam sekitar. Pendidikan ini juga dilihat akan dapat menyemai
kesedaran untuk memelihara dan memulihkan alam sekitar, bertujuan untuk
mengelakkan malapetaka alam sekitar. Kejadian seperti tanah runtuh, banjir
lumpur, banjir kilat dan lain-lain bencana alam sekitar dapat dielakkan sekiranya
alam sekitar dapat dijaga dengan sempurna.
5.1.2 Objektif Pendidikan Konservasi
Menurut UNESCO (1976), objektif pendidikan konservasi dibahagikan kepada
enam perkara, sepertimana dinyatakan dalam Jadual 5.1.

Jadual 5.1: Enam Objektif Pendidikan Konservasi
Objektif Deskripsi
Kesedaran Pendidikan konservasi akan membentuk kesedaran kepada
individu dan masyarakat terhadap alam semula jadi.
Pengetahuan Pendidikan konservasi akan memberi pengetahuan asas tentang
kepentingan serta masalah dan krisis alam semula jadi. Kesemua
ini diharap akan melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab.
Sikap Pendidikan konservasi akan melahirkan individu yang
mempunyai sikap sayangkan alam semula jadi serta bertindak
dengan proaktif untuk memelihara alam semula jadi.
Kemahiran Pendidikan konservasi akan melahirkan masyarakat yang
mempunyai kemahiran untuk memelihara alam semula jadi.
Kemahiran amat perlu dalam menyelesaikan masalah alam sekitar.
Kebolehan menilai Pendidikan konservasi akan membantu individu dan masyarakat
supaya dapat menilai dan mengambil kira faktor persekitaran
dalam semua aspek tindakan.
Bekerjasama Pendidikan konservasi akan melahirkan masyarakat yang sentiasa
bekerjasama dan bertanggungjawab dalam menghadapi isu dan
krisis yang berkaitan dengan alam sekitar.

TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

89
5.1.3 Impak Pelaksanaan Aktiviti Pendidikan Luar
Kita terpaksa menerima hakikat bahawa keseimbangan ekosistem dewasa ini
telah terganggu akibat degradasi alam. Menyedari hakikat ini, pelbagai isu alam
sekitar seperti pemusnahan hutan, pencemaran kesan rumah kaca dan hakisan
kepupusan spesies telah dibahaskan secara hangat di mana-mana sahaja, sama
ada di warung kopi, media mahupun di Parlimen. Keadaan ini telah mendorong
pihak yang bertanggungjawab untuk bertindak bersungguh-sungguh bagi
memperbaiki kualiti alam sekitar.

Namun, perbahasan dan penguatkuasaan tanpa menekankan kepada pendidikan
kesedaran dalam masyarakat hanya akan meninggalkan kesan sementara sahaja
atau dalam jangka masa pendek. Perancangan dan pelaksanaan yang akan
meninggalkan kesan jangka masa panjang dan kekal ialah mendidik masyarakat
terutamanya pelajar supaya peka dan bertanggungjawab terhadap isu-isu alam
sekitar. Melalui program ini, pelajar dapat mempertingkatkan pengetahuan,
kemahiran serta tanggungjawab terhadap alam semula jadi secara proaktif dan
memainkan peranan dalam pemeliharaan alam sekitar.

Perancangan serta pelaksanaan program pendidikan yang teliti akan memberi
kesan yang positif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap
kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Dalam mereka
bentuk pendidikan untuk memberi kesedaran terhadap kepentingan memelihara
alam sekitar, tiga perkara berikut perlu dipertimbangkan:

(a) Menyedarkan individu dan masyarakat tentang kaitan malapetaka yang
berlaku dan mengancam kehidupan adalah hasil daripada proses
pemusnahan alam sekitar yang berleluasa;

(b) Menyedarkan manusia bahawa alam sekitar adalah harta yang perlu
diwarisi. Kehidupan manusia pada masa hadapan bergantung kepada
keupayaan masyarakat di zaman ini mengekalkan alam sekitar; dan

(c) Menyedarkan manusia betapa pentingnya alam sekitar selain daripada
usaha mengejar kemajuan dan perubahan. Kesedaran perlu
dipertingkatkan supaya manusia mempunyai tanggungjawab dalam
pemeliharaan alam sekitar.

TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


90
Antara aktiviti yang boleh kita lakukan untuk memberi kesedaran kepada pelajar
untuk memelihara dan memulihkan alam sekitar ialah:

(a) Melaksanakan aktiviti pendidikan luar yang menyerap pendidikan alam
sekitar dalam perancangan tahunan untuk unit berpakaian seragam/kelab/
persatuan;

(b) Menganjurkan aktiviti pendidikan luar yang bertemakan alam sekitar
seperti Larian Hijau, Enviro-Hunt, Enviro-Walk dan Enviro-Bike;

(c) Menjadikan aktiviti mengutip sampah di kawasan perkhemahan atau trek
laluan sebagai aktiviti wajib atau dendaan; dan

(d) Program penanaman dan pemeliharaan pokok-pokok daripada spesies
yang sesuai.

Pendekatan serta matlamat penyebatian pendidikan konservasi dalam
pendidikan luar adalah untuk membantu para pelajar supaya lebih peka dan
prihatin terhadap isu-isu alam sekitar. Secara tidak langsung, dengan
menyerapkan pendidikan konservasi dalam pendidikan luar, para pelajar
memperoleh pengetahuan, kemahiran dan boleh memupuk nilai-nilai murni dan
tanggungjawab untuk berusaha serta boleh bertindak secara individu atau
berkumpulan bagi menyelesaikan isu-isu alam sekitar.

Terdapat dua komponen penting tentang alam semula jadi yang dikaji dalam
pendidikan luar sepertimana dipaparkan dalam Rajah 5.2.


Rajah 5.2: Dua komponen alam semula jadi

(a) Hutan
Hutan ditakrifkan sebagai satu komuniti pokok-pokok besar serta haiwan
dan serangga yang saling bersimbiosis dengan meliputi kawasan yang
sangat luas (lihat Rajah 5.3). Hutan memerlukan cahaya matahari, udara, air
dan tanah untuk membentuk pertumbuhan, kematangan dan seterusnya
membiak dengan baik. Hutan amat penting dalam dunia, terutamanya
untuk manusia dan haiwan. Hutan telah memberikan manusia banyak
faedah.
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

91

Rajah 5.3: Hutan terdiri daripada flora dan fauna

Iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun di negara kita
menggalakkan pertumbuhan pelbagai jenis tumbuhan hingga membentuk
kawasan hutan yang luas. Malaysia amat beruntung kerana masih
mempunyai kawasan hutan asli yang agak luas. Namun, kita tidak
seharusnya berpuas hati dan mengabaikan masalah-masalah yang sedang
mengancam kawasan hutan kita. Tiada jaminan yang konkrit bahawa
sumber alam semula jadi dan warisan ini akan terus kekal pada masa
hadapan.

Kita boleh lihat dengan jelas, terdapat tanda-tanda bahawa kawasan hutan
sudah mula berkurangan dengan cepat berdasarkan kadar penebusgunaan
hutan masa kini. Sebenarnya, pemeliharaan dan pengurusan sumber-
sumber alam semula jadi memerlukan tindakan wajar dan segera
terutamanya sikap prihatin dan tanggungjawab masyarakat adalah amat
diperlukan. Kita sebagai masyarakat perlu bertindak dengan segera
sebelum terlambat; sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Terdapat lima kepentingan hutan di mana ia diilustrasikan dalam Rajah 5.4.
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


92

Rajah 5.4: Lima kepentingan hutan

(i) Habitat bagi Haiwan dan Tumbuhan
Hutan menyediakan habitat yang semula jadi bagi beribu-ribu haiwan
dan tumbuhan. Kesemuanya mempunyai peranan tersendiri dan
hidup saling bergantung dalam mengekalkan ekosistem. Mengikut
kajian yang dijalankan, hutan hujan tropika Malaysia mengandungi
1,200 spesies burung, 1,000 spesies rama-rama dan kupu-kupu, 147
spesies amfibia, 250 spesies ikan air tawar dan 675 spesies mamalia.
Lebih daripada 8,000 spesies tumbuhan berbunga di mana antaranya
ada 2,500 spesies adalah spesies pokok.


Rajah 5.5: Spesies haiwan dan tumbuhan

Berdasarkan rantai makanan, kesemua haiwan dan tumbuhan dalam
hutan ini saling memerlukan untuk hidup. Begitu juga keadaan
serangga dan tumbuhan, di mana tumbuhan menyediakan makanan
untuk serangga sementara serangga pula memainkan peranan dalam
proses pendebungaan. Hutan penting sebagai habitat haiwan dan
tumbuhan tetapi dengan masalah pemusnahan yang kini semakin
serius, terdapat haiwan yang semakin pupus atau sudah pupus dari
hutan Malaysia. Dekad ini, sebilangan besar haiwan sedang
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

93
mengalami masalah kepupusan sama ada disebabkan oleh
kemusnahan alam sekitar atau aktiviti memburu secara haram.

(ii) Mengawal Air dan Kualiti Air
Apabila hujan turun, air hujan akan menitis ke bawah menuju ke
lantai tanah hutan dengan pantas. Pergerakan titisan air hujan dapat
diperlahankan dengan adanya kanopi hutan dan lapisan tumbuhan di
bawahnya. Struktur hutan hujan tropika yang berkanopi adalah
penghalang hujan dari sampai ke tanah.

Dengan kata lain, sebahagian sahaja hujan yang turun dapat sampai
ke lantai tanah hutan manakala sebahagiannya lagi dipintasi oleh
kanopi dan lapisan tumbuhan. Kuantiti hujan yang sampai ke lantai
tanah hutan bergantung kepada bentuk, susunan daun dan ranting
pokok dalam hutan. Selain itu, kuantiti air yang dapat sampai ke
lantai tanah hutan juga bergantung kepada jenis hujan (hutan hujan
primer dilindungi oleh beberapa lapisan kanopi) dan tempoh hujan
turun. Sebahagian besar air hujan yang dipintas tidak sampai ke
tanah. Air ini akan tersejat ke atmosfera.

Daripada keterangan ini, boleh kita lihat liputan hutan dapat
mengurangkan kejadian banjir pada musim hujan lebat dengan
memerangkap kebanyakan air hujan dan mengembalikannya kepada
atmosfera. Sistem saliran yang ada sekarang ini tidak dapat
menampung kesemua air hujan yang turun pada musim hujan dan ini
mengakibatkan berlakunya banjir. Banjir berlaku akibat daripada air
yang berlebihan dalam sungai dan rangkaian sungai (Rajah 5.6).


Rajah 5.6: Tanpa hutan, banjir kilat boleh berlaku
Sumber: www.kl-today.com

TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


94
Penebangan hutan bukan sahaja mempengaruhi aliran sungai tetapi
juga boleh menimbulkan perubahan keadaan kimia air sungai.
Apabila pokok ditebang, bekalan nutrien yang tersimpan dalam
tumbuhan akan hilang. Sebahagian daripada nutrien digunakan oleh
tumbuhan yang ditanam oleh petani akan pindah tetapi
kebanyakannya akan terlarut resap dan mengalir ke dalam sungai.
Perubahan nutrien yang banyak menimbulkan kesan yang tidak
diingini seperti pencemaran tasik dan kolam. Maka, kemerosotan
kualiti air berlaku.

(iii) Mengawal Hakisan Tanah
Apabila hujan turun, percikan titisan hujan akan mempercepatkan
proses hakisan. Hujan yang sampai ke muka bumi akan
membebaskan tenaga yang akan mengakibatkan serakan kumin tanih.
Daun dan ranting melindungi permukaan tanah daripada hentaman
titisan air hujan sementara akar tumbuhan akan mencengkam pada
tanah. Proses ini akan menghalang hentaman titisan air dan
seterusnya menghalang hakisan. Pokok-pokok yang menjalar
berfungsi sebagai pengikat tanah dengan akarnya mencengkam tanah.
Maka, pokok ini dapat mengelakkan butir-butir tanah daripada
dipecahkan dan dihakis oleh air. Daripada fakta ini, boleh kita
katakan bahawa tumbuh-tumbuhan bertindak sebagai agen
penghalang hakisan secara semula jadi yang amat penting.

Masalah hakisan tanah sering berlaku kebelakangan ini akibat
daripada aktiviti manusia sendiri. Disebabkan jumlah penduduk
meningkat, permintaan untuk tanah juga meningkat. Penebangan
kawasan hutan untuk dijadikan penempatan, perindustrian dan lebuh
raya berlaku bagi memenuhi keperluan pembangunan. Namun, harus
kita ingat bahawa penebangan hutan yang melampau akan
menguntungkan manusia pada jangka masa yang pendek. Proses
hakisan tanah yang berlaku boleh mengakibatkan kita kehilangan
nyawa dan harta.

(iv) Kestabilan Cuaca
Pengurangan kawasan hutan hujan tropika sejak kebelakangan ini
telah memberi kesan terhadap cuaca di bumi. Semasa proses
fotosintesis terjadi, tumbuh-tumbuhan akan menyerap karbon
dioksida dengan mengeluarkan oksigen. Keadaan ini telah
menjadikan suhu udara di sekitar kawasan hutan lebih rendah dan
selesa daripada kawasan yang terbuka tanpa tumbuhan.


TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

95
Akibat daripada penebangan hutan yang berleluasa, pemekatan
karbon dioksida di udara telah bertambah. Keadaan ini menjadi
semakin serius sejak 10 tahun kebelakangan ini, sehingga suhu dunia
menjadi semakin panas. Kehadiran gas-gas seperti karbon dioksida,
klorofluorokarbon (CFC) dan nitrik oksida di atmosfera akan
menyekat pelepasan tenaga sinaran dari permukaan bumi. Situasi ini
juga menggalakkan penembusan tenaga haba dari matahari ke
atmosfera. Ini telah menyebabkan suhu meningkat dan fenomena ini
dikenali sebagai kesan rumah hijau.

(v) Rekreasi
Hutan merupakan sesuatu tempat yang cantik dan selesa untuk
merehatkan minda dan jiwa kita daripada kekalutan di bandar. Hutan
telah digunakan untuk berehat dan bersukan, penggunaan hutan
untuk rekreasi kian berkembang sejak kebelakangan ini. Hutan
merupakan kawasan terbaik untuk mendapatkan udara yang segar
dan bersih.

Menyedari hakikat betapa pentingnya hutan sebagai tempat rekreasi,
bermula dari awal tahun 70an, Jabatan Perhutanan telah membina
hutan lipur dan kemudiannya dikenali sebagai hutan rekreasi dengan
tujuan untuk menyediakan kawasan-kawasan yang mempunyai ciri-
ciri hutan alam semula jadi bagi aktiviti-aktiviti istirahat kepada
masyarakat. Dengan ini, masyarakat berkesempatan untuk
menghayati suasana persekitaran hutan di samping mengenali
pelbagai fungsi flora dan fauna hutan.


Rajah 5.7: Hutan menjadi tempat rekreasi terbaik untuk mencari ketenangan

TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


96
Aktiviti rekreasi yang baik membolehkan masyarakat menjadi lebih
prihatin dan peka terhadap kepentingan hutan dalam
menyumbangkan peranannya untuk kesejahteraan kehidupan.
Justeru, aktiviti ini diharap dapat merangsang masyarakat untuk lebih
mencintai alam semula jadi sejajar dengan kehendak negara bagi
memelihara dan mengekalkan kualiti dan keindahan alam sekitar.
Kini, pengurusan dalam industri berorientasikan pelancongan alam
semula jadi berpotensi untuk meningkatkan hasil ekonomi negara.
Hutan hujan tropika didapati menepati keperluan berekreasi, di
samping menghirup udara segar di bawah teduhan tumbuhan dan
aliran sungai, kita juga turut disediakan pelbagai kemudahan riadah
seperti kawasan perkhemahan, persiaran denai alam, kolam mandi
dan pelbagai kemudahan rekreasi lain.

(b) Air
Merujuk Kamus Dewan (2007):





Aliran air di bumi kita ini sebenarnya berasal daripada air hujan. Ketika
hujan, turun air hujan akan bertakung dan memenuhi kawasan puncak
tanah tinggi di mana tempat ini berfungsi sebagai kawasan tadahan air.
Dari kawasan tadahan air (lihat Rajah 5.8), air mengalir memenuhi kawasan
muka bumi sehingga wujudnya air terjun, sungai, tasik, laut dan
sebagainya. Tiga perempat daripada muka bumi diliputi air.

Kawasan tadahan air didefinisikan sebagai satu kawasan tanah tinggi
yang merupakan punca aliran sungai kesemua kawasan lembah.
Air boleh didefinisikan sebagai cecair yang terbentuk daripada dua
unsur hidrogen dan satu unsur oksigen.
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

97

Rajah 5.8: Hutan merupakan sumber takungan air

Air adalah anugerah Tuhan yang sangat bernilai kepada seluruh hidupan
di muka bumi ini. Air merupakan satu sumber keperluan asas yang sangat
penting kepada kita.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tanpa air, pincanglah kehidupan
kita dan hidupan lain. Dalam aktiviti seharian, air menjadi sumber
minuman yang utama bagi membekalkan tenaga. Air yang bersih perlu
bagi meningkatkan sistem pertahanan badan. Selain itu, air penting untuk
kehidupan seharian seperti membasuh, mandi, menyiram tumbuhan dan
lain-lain lagi. Oleh itu, kita perlu mendapatkan bekalan air yang bersih dan
secukupnya.

Namun, di dalam usaha kita untuk mendapatkan bekalan air yang bersih,
terdapat banyak faktor yang mengekangnya. Menurut kajian, hanya 25%
sahaja daripada sungai di Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai
sungai yang benar-benar bersih. Ancaman utama bekalan air kita ialah
bahan buangan dari kawasan perumahan dan perindustrian. Bahan
buangan perumahan terdiri daripada sampah sarap, kumbahan manusia
dan bahan pencuci. Manakala dari kawasan perindustrian pula terdiri
daripada bahan kimia berbahaya seperti fosfat, sianida dan asid sulfurik.
Pengaliran air yang bercampur dengan tanah, baja, racun serangga serta
minyak ini menyumbang kepada pencemaran air.

TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


98
Walau bagaimanapun, kita harus sentiasa bersyukur kerana kita masih
dapat minum air yang bersih. Namun, apa akan jadi pada anak-anak dan
cucu-cucu kita? Justeru, kita sebagai penghuni bumi perlu mengambil
inisiatif untuk mengurangkan masalah pencemaran air. Antaranya ialah
mewujudkan kesedaran terhadap masyarakat. Satu sikap yang perlu kita
tanamkan di dalam jiwa kita dan pelajar-pelajar kita ialah dengan tidak
membuang sampah di kawasan sungai, laut dan sebagainya. Sebaliknya,
tanamkan sikap memungut sampah agar pencemaran tidak menjadi serius.
Melalui cara ini, air bukan sahaja tidak tercemar, malahan hidupan di dasar
laut juga tidak terancam.




PRINSIP KONSERVASI DALAM
PENDIDIKAN LUAR
Prinsip konservasi dalam pendidikan luar adalah untuk memberi kesedaran
pendidikan alam sekitar dalam semua aspek serta memupuk nilai-nilai murni.
Jadual 5.2 menunjukkan 18 prinsip konservasi berserta dengan penerangan.

5.2
Hutan berfungsi untuk mengawal aliran air dan kualiti air. Nyatakan
secara ringkas tentang fungsi hutan dalam mengawal aliran air dan
kualiti air.
LATIHAN 5.1
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

99
Jadual 5.2: Lapan Belas Prinsip Konservasi dalam Pendidikan Luar
Prinsip Konservasi Penerangan
1. Rendah diri Kita perlu tanamkan perasaan rendah diri tentang
kebesaran Pencipta di dalam jiwa.
Perasaan rendah diri akan mewujudkan perasaan
bersyukur atas kurnia-Nya.
Menyedari kelemahan diri kita sebagai manusia, kita
tidak mampu mencipta alam semula jadi. Oleh itu
sebagai khalifah kita perlu memelihara alam sekitar.
2. Bekerjasama Sebagai pendidik, kita perlu memupuk semangat
bekerjasama dalam kumpulan dan seterusnya dapat
menyelesaikan masalah alam semula jadi dan alam
sekitar dengan jayanya.
Kita juga perlu merangsang sikap bekerjasama di dalam
diri pelajar agar mereka bersungguh-sungguh
melakukan sesuatu kerja dalam memelihara dan
memulihkan alam sekitar. Contohnya, aktiviti gotong-
royong di kawasan perkhemahan pada akhir program.
3. Menghormati alam
sekitar
Menghormati alam semula jadi sebagai benda hidup
yang terdapat di bumi kita dengan memelihara alam
sekitar.
4. Kehidupan
seimbang
Sentiasa mengimbangi antara keperluan ekonomi
dengan alam sekitar.
Membentuk kehidupan dan cara hidup yang seimbang
terhadap alam sekitar.
5. Mementingkan
kemapanan
ekosistem
Mementingkan kemapanan ekosistem dengan tidak
mengganggu sistem ekosistem semula jadi.
Sensitif terhadap kemusnahan ekosistem serta mencegah
gangguan ekosistem daripada pelbagai pihak.

6. Mengekalkan
kehidupan liar dan
kepelbagaian hidup
Kita seharusnya mengekalkan kehidupan flora dan
fauna di habitatnya tanpa mengalih ia ke tempat lain.
Kita mesti memegang teguh prinsip melihat tanpa
mengganggu dalam aktiviti yang dijalankan dan
kehidupan seharian.
7. Kerosakan
minimum
Sentiasa cuba mengurangkan kerosakan alam sekitar
dengan menggunakannya ketika perlu saja.
Sentiasa memikirkan cara atau corak hidup alternatif lain
sebelum menggunakan atau mengganggu alam sekitar.
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


100

Prinsip Konservasi Penerangan
8. Perubahan
berterusan
Kita seharusnya bersedia dan sentiasa memikirkan
perubahan yang membawa ke arah menjaga alam
sekitar.
Kita seharusnya dapat membentuk perubahan yang
berterusan ke arah memulihkan alam sekitar.
9. Ekonomi bukanlah
segala-galanya
Menanamkan kesedaran dalam diri kita bahawa
sekiranya kita memusnahkan alam sekitar, kita akan
dapati keuntungan hari ini ialah kerugian besar pada
esok hari.
Kita seharusnya sedar bahawa alam semula jadi tidak
boleh dibina atau dibeli dengan wang ringgit.
10. Mengikut hak
mereka yang belum
lahir atau hak
generasi akan
datang
Kita patut menyedari bahawa alam semula jadi adalah
harta pusaka yang amat berharga tinggalan nenek
moyang kita.
Kita diberi amanah untuk memelihara alam sekitar.
Tanamkan kesedaran pada diri kita bahawa generasi
akan datang berhak merasakan nikmat alam semula jadi.
11. Tanggungjawab
setiap individu
Kita perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama di
dalam penjagaan alam semula jadi.
Kita perlu memupuk diri kita agar sentiasa prihatin dan
bertanggungjawab di dalam pengurusan hutan dan
menjaga alam sekitar dengan baik.
Jangan sekali-kali kita merosakkan papan kenyataan di
dalam hutan, taman dan sebagainya.
12. Kesederhanaan Kita perlu bersederhana dalam menggunakan hasil alam
semula jadi tanpa membazir.
Kita perlu bersederhana dalam mengendalikan
pembangunan yang membabitkan alam sekitar.
13. Perlindungan dan
pemulihan
ekosistem
Kita perlu sentiasa bersedia untuk melindungi ekosistem
daripada penjenayah alam sekitar.
Kita perlu sentiasa berusaha untuk memulihkan
ekosistem daripada kemusnahan alam sekitar.
14. Etika melebihi
hukum
Kita perlu menyelesaikan masalah alam sekitar secara
etika dan berdisiplin (etika dan disiplin adalah lebih
bermakna berbanding dengan hukuman).
Pendidikan konservasi perlu bertujuan membina bangsa
yang beretika dan berdisiplin.
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

101

Prinsip Konservasi Penerangan
15. Mengalami dan
menghayati
Kita perlu menghayati alam sekitar dengan cara
menyertai aktiviti-aktiviti berlandaskan alam sekitar.
Kita perlu menyertai dan mengalami sendiri usaha
dalam memulihkan dan menjaga alam sekitar.
16. Mencintai
persekitaran
Kita perlu mencintai hutan dengan tidak
memusnahkannya dengan sewenang-wenangnya.
Kita amat perlu melindungi alam semula jadi.
Menyayangi binatang dan tumbuhan.
Memelihara hutan dan persekitaran untuk kesejahteraan
hidup.
17. Sikap menghargai Memupuk sikap menghargai hasil hutan dengan
menganggapnya sebagai khazanah yang paling berharga.
Menikmati keindahan alam sekitar dan seterusnya
menyedari akan kepentingan alam semula jadi.
Menghargai pemberian Tuhan yang memberikan kita
peluang menikmati keindahan hutan hijau yang tidak
dapat dibeli dengan wang ringgit.
Menghargai hidupan di persekitaran kita.
18. Berani Kita perlu sanggup dan bersedia pada bila-bila masa
untuk melakukan sebarang aktiviti pencegahan.
Kita perlu tabah menghadapi cabaran-cabaran yang akan
datang terhadap pemeliharaan alam sekitar.








Prinsip konservasi dalam pendidikan luar adalah untuk memberi
kesedaran pendidikan alam sekitar dalam semua aspek serta memupuk
nilai. Huraikan empat nilai yang terlibat.
LATIHAN 5.2
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


102
PELAKSANAAN PENDIDIKAN
KONSERVASI
Pelaksanaan pengurusan risiko pendidikan konservasi memerlukan beberapa
aspek penting yang perlu dipatuhi. Antaranya adalah seperti berikut:

(a) Tentukan bidang kajian yang hendak dijalankan;
(b) Pastikan semua peralatan disediakan;
(c) Mendapatkan kebenaran daripada pihak-pihak tertentu sebelum
memulakan aktiviti;
(d) Menjalankan aktiviti secara berkumpulan mengikut ketetapan yang telah
dirancang;
(e) Mengelakkan daripada mengganggu ketenteraman awam dan pemusnahan
kawasan persekitaran; dan
(f) Mencatatkan segala maklumat yang diperoleh dan membuat laporan dan
rumusan aktiviti.
5.3.1 Langkah-langkah Keselamatan
Aspek keselamatan merupakan perkara utama yang ditekankan semasa
melaksanakan aktiviti pendidikan konservasi dalam pendidikan luar. Berikut
adalah enam panduan keselamatan yang boleh dipatuhi bagi mengelakkan
daripada kejadian yang tidak diingini:

(a) Peserta mestilah bergerak secara berkumpulan yang telah ditetapkan di
bawah seorang ketua. Gerakan secara berkumpulan perlu dirancang
dengan teliti dengan aturan dan isyarat yang telah ditetapkan bersama;
(b) Pakaian yang sesuai semasa menjalankan aktiviti;
(c) Senjata seperti pisau, parang dan alatan yang lain boleh dibawa bagi tujuan
keselamatan dan bukannya bagi tujuan pemusnahan;
(d) Elakkan daripada bergerak di luar dari kawasan yang ditetapkan atau
dihadkan;
(e) Pastikan aktiviti dijalankan mengikut masa yang telah ditetapkan; dan
(f) Ingat, aktiviti ini bukan satu bentuk perlumbaan.

5.3
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

103
Guru hendaklah memberikan taklimat yang berkaitan dengan aspek keselamatan
yang perlu pelajar patuhi sebelum, semasa dan selepas aktiviti (Jadual 5.3).

Jadual 5.3: Tiga Jenis Taklimat bagi Aspek Keselamatan Pelajar
Taklimat Aspek Keselamatan
Sebelum
aktiviti
Memohon kebenaran daripada guru bertugas.
Pembahagian tugas dan pelantikan organisasi.
Bacaan doa selamat sebelum bergerak.
Ketua membuat sedikit aktiviti memanaskan badan untuk
mengelakkan sebarang kecederaan yang tidak diingini.
Semua peserta dikehendaki memakai pakaian yang sesuai untuk
masuk ke dalam hutan kasut, baju tebal lengan panjang dan lain-
lain.
Ketua perlu memastikan semua ahli dalam kumpulan sihat fizikal,
mental dan psikologi.
Peserta akan bergerak dalam kumpulan.
Setiap ahli mesti mematuhi arahan juru pandu atau ketua sepanjang
masa.
Peserta diingatkan supaya tidak menyentuh, menghidu dan
mencuba untuk makan daun dan buah-buahan yang belum pasti
beracun atau tidak.
Semasa
aktiviti
Peserta-peserta akan bergerak secara dalam berkumpulan di bawah
tanggungjawab seorang ketua.
Pakai pakaian yang sesuai untuk aktiviti berkaitan.
Senjata seperti parang atau pisau boleh dibawa bersama bagi tujuan
keselamatan tetapi bukan bertujuan untuk pemusnahan.
Mendapatkan maklumat tentang keadaan setempat dan
menyediakan langkah-langkah keselamatan terlebih dahulu.
Pastikan aktiviti diselesaikan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Wujudkan suasana yang harmoni dengan persekitaran.
Elakkan daripada bergerak keluar dari kawasan yang telah
dihadkan.
Setiap kumpulan hendaklah diikuti oleh seorang fasilitator.
TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


104

Selepas
aktiviti
Ketua memastikan ahli kumpulan selamat dan bilangan ahli
mencukupi.
Semua ahli kumpulan mestilah memastikan barang-barang yang
dibawa diserahkan dalam keadaan sempurna.
Sebarang kehilangan atau masalah yang dihadapi hendaklah segera
dimaklumkan kepada fasilitator.
Setelah semuanya telah selesai, ketua akan membuat laporan kepada
ketua perkhemahan bahawa mereka telah sampai dan menjalankan
aktiviti.
Sesi perbincangan atau refleksi dengan ketua aktiviti atau fasilitator.
5.3.2 Prosedur Aktiviti
Prosedur aktiviti bagi pelaksanaan pendidikan konservasi adalah seperti berikut:

(a) Kumpulan besar yang sedia ada dibahagikan kepada dua kumpulan kecil.
Lantik seorang ketua bagi setiap kumpulan kecil;

(b) Setiap kumpulan akan diberi masa selama dua hingga setengah jam bagi
menjalankan aktiviti di persekitaran kawasan yang telah ditetapkan;

(c) Setiap kumpulan dikehendaki menjawab serta melengkapkan borang
kajian, soalan yang diberi dalam tempoh masa yang diberi; dan

(d) Kemudahan alatan bagi menjalankan aktiviti akan dibekalkan. Gunakan
peralatan serta bahan yang dibekalkan dengan sebaik mungkin tanpa
melakukan pembaziran. Kembalikan peralatan yang dibekalkan selepas
tamat menjalani aktiviti.
5.3.3 Cadangan Aktiviti
Pelbagai aktiviti boleh dijalankan untuk melaksanakan pendidikan konservasi.
Rajah 5.9 memaparkan empat cadangan aktiviti tersebut.








TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

105

Rajah 5.9: Empat cadangan aktiviti

Pendidikan konservasi memberikan kesedaran kepada pelajar untuk menjaga
dan memelihara hak daripada rosak atau dimusnahkan.

Pendidikan konservasi dalam pendidikan luar boleh menyemai kesedaran
untuk memelihara dan memulihkan alam sekitar.

Hutan dan air adalah dua komponen utama alam semula jadi yang dikaji
dalam pendidikan luar.

Pendidikan konservasi memupuk pelbagai nilai berdasarkan kepada 18
prinsip konservasi.


Air
Flora dan fauna
Hutan
Kawasan
Konservasi

TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR


106

1. Objektif pendidikan konservasi dibahagikan kepada enam perkara.
Huraikan keenam-enam prinsip tersebut.

2. Nyatakan empat aktiviti yang boleh kita lakukan untuk memberi kesedaran
kepada pelajar untuk memelihara dan memulihkan alam sekitar.

1. Dalam mereka bentuk pendidikan, kesedaran terhadap kepentingan
memelihara alam sekitar adalah perlu. Nyatakan perkara-perkara yang
perlu di pertimbangkan.

2. Terdapat pelbagai kepentingan hutan. Nyatakan empat kepentingan hutan.

Abdul Alim Abdul Rahim, & Balkis Wan Daud. (1993). Panduan ekspedisi
pengakap Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Alim Abdul Rahim. (1992). Panduan perkhemahan, simpulan dan
pioneering. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Ford, P. (1981). Principles and practices of outdoor/environmental education.
New York: Wiley.

Hammerman, D. R., Hammerman, W. M., & Hammerman, E. L. (1985). Teaching
in the outdoors. Danville, IL: Interstate.

Kamus Dewan. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lewis, C. A. (1975). The administration of outdoor education programs.
Dubuque, IA: Kendall-Hunt.

Modul Bina Insan Guru. (2000). Bahagian Pendidikan Guru Kementerian
Pendidikan Malaysia.

TOPIK 5 PENDIDIKAN KONSERVASI DALAM PENDIDIKAN LUAR

107
Modul Pendidikan Luar. (1993). Bahagian Pendidikan Guru Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Priest, S. (1986). Redefining outdoor education. Journal of environmental
education, 17(3), 13.

Rimba Hijau. (2000). Jabatan Perhutanan Malaysia.