Anda di halaman 1dari 15

SEMINAR KEBANGSAAN DAKWAH DAN PENGURUSAN ISLAM

PENGURUSAN DAKWAH DI ZAMAN RASULULLAH DAN


APLIKASINYA KEPADA PENGURUSAN DAKWAH MASAKINI

MUKADDIMAH DAN PENGENALAN

Sebut sahaja perkataan pengurusan dakwah di zaman Rasulullah (s.a.w) akan terlintas di
fikiran kita bahwa pengurusan dakwah Rasulullah (s.a.w) telah melalui dua era yang
berlainan sepertimana yang sering dibincangkan oleh buku-buku SIRAH NABAWIYAH-
iaitu era Mekah dan era Madinah. Di dalam kedua-dua era tersebut dakwah Islam telah
melalui lima tahap:-

Tahap dakwah dan berorganisai secara sulit. Tahap ini bermula dari peristiwa Gua Hira’
apabila baginda dibangkitkan sebagai Rasul dan berakhir setelah tiga tahun Baginda
menjadi Rasul.
Tahap berdakwah secara terbuka tetapi berorganisasi secara sulit.
Tahap menubuhkan kerajaan Islam.
Tahap memantapkan pemangkin kerajaan Islam.
“Dakwah berkembang di muka bumi ini” (Munir 1985, 16)

Dalam kertas kerja ini penulis tidak bermaksud memperkatakan ke semua aspek yang
berkaitan dengan pengurusan dakwah di zaman Rasulullah (s.a.w) kerana ini memerlukan
sebuah buku yang besar.

Penulis hanya akan menyentuh asas-asas terpenting pengurusan dakwah di zaman


Rasulullah (s.a.w).

Asas-asas ini boleh diringkaskan seperti berikut:-

Membina sebuah pusat yang bertindak sebagai tempat ibadah, parlimen, mahkamah dan
lain-lain demi untuk menjana satu generasi mapan dan menyelesaikan masalah ummah.
Mengadakan program saudara angkat.
Madinah sebagai sebuah negara Islam.
Melaksankan sistem syura.
Menyebarkan dakwah menerusi surat menyurat rasmi.
Mengukuhkan ekonomi Islam.
Mempertahankan negara baru ini menerusi jihad.

Ada kalangan yang beranggapan bahawa dakwah Islam di era Mekah adalah dakwah
yang tidak terancang. Pada hemat penulis pendapat ini tidak tepat. Sebenarnya
pengurusan dakwah di era Mekah telah di rancang oleh Rasulullah (s.a.w) dengan teliti
dan rapi, ia adalah satu perancangan politik yang kemas. Rasulullah (s.a.w) tidak memilih
Darularqam bin Abilarqam kerana semata-mata orang-orang Islam berhimpun di sana
untuk mendengar nasihat-nasihat agama sahaja, bahkan ia adalah sebuah tempat untuk
perjumpaan dan mesyuarat mengenai segala hal.

Tiada seorang pun sejarawan yang boleh berkata apa yang berlaku dalam perjumpaan-
perjumpaan Darularqam ini adalah sesuatu yang tertentu yang boleh ia tentukan. Tetapi
kita yakin bahawa Rasulullah (s.a.w) telah menentukan bagi setiap individu sesuatu tugas
dengan teliti dan sistematik, tidakkah baginda sendiri ynag mengesyorkan kepada
beberapa pengikutnya supaya behijrah ke Habsyah dengan bersabda:-

“Apa kata kamu keluar sahaja ke bumi Habsyah kerana di sana ada seorang raja yang
tidak akan menzalimi sesiapa pun. Ia adalah sebuah bumi kejujuran sehingga Allah
mengadakan jalan keluar dari masalah yang sedang kamu alami”.
(Abd. Ghafar Aziz 1983, 110)

Jikalaulah Rasulullah (s.a.w) itu hanya semata-mata seorang pendakwah kepada risalah
Allah sahaja, tentulah baginda akan menyampaikan risalah tersebut dan membiarkan para
pengikutnya bertindak sesuka hati mereka dan tentulah baginda tidak akan
menghimpunkan mereka dengan cara yang sebegini rupa.

DEFINISI PENGURUSAN

Sebelum penulis menyinggung asas-asas penting pengurusan dakwah di zaman


Rasulullah (s.a.w), rasanya eloklah penulis menggariskan terlebih dahulu definisi
pengurusan supaya pembaca dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan
pengurusan.
Dalam bukunya “AL USULUL ILMIYAH LIL IRADATI WATTANZIMI” Dr. Abd. Majid Abduh
berkata “pengurusan itu berupa kegiatan mengenai usaha memimpin, membimbing dan
memupuk individu, serta merancang, menyusun dan memantau segala proses dan
tindakan mengenai elemen-elemen utama dalam sesebuah projek, seperti orang
perseorangan, bahan, mesin, kuantiti, kelengkapan, harta dan pasaran. Tujuannya ialah
untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu projek itu dengan cara yang paling baik dan
kos yang paling rendah.

Manakala Dr. Mahmudassaf pula mendifinsikan pengurusan sebagai berkata berpandukan


ayt 32 surah Az-Zukhruf:-

“kami membahagi-bahagikan rezeki mereka di antara mereka di dunia ini dan kami
pertingkatkan sebahagian mereka ke atas sebahagian lain beberapa tingkatan (dari segi
pendapatan) supaya mereka dapat bertukar-tukar khidmat antara satu sama dengan lain).

Berpandukan ayat tersebut, bolehlah kita berkata bahawa pengurusan itu ialah menyelia
atur orang-orang lain untuk membuatkan mereka bekerja dengan cekap bagi
merialisasikan sesuatu matlamat mengikut jadual.

Berpandukan firman Allah (s.w.t) dalam surah As-Syu`ara’ ayat 62 yang berbunyi:-

“sesungguhnya bersamaku Tuhanku yang bakal membimbingku”. Berpandukan ayat


tersebut Dr. Dhohayan berkata: “definisi pengurusan itu ialah segala proses seperti
perancangan, penyusunan, pengarahan, dan pemantauan di mana orang bawahan
diarahkan oleh pengurusnya supaya merialisasikannya sebagai suatu matlamat bagi
pengurusannya dengan penuh efisien dan dengan tenaga yang paling jimat serta
pulangan yang paling besar.

Dari definisi lepas, kita mendapati perkara-perkara berikut terangkum dalam pengurusan:-

Pengurusan mempunyai beberapa tindakan yang dikenali sebagai empat proses


(perancangan, penyusunan, pengarahan, dan pengawalan).
Pengurusan mempunyai seorang pengarah yang akan mengarah semua kerja dan para
petugas.
Pengurusan mempunayi matlamya yang mesti dicapai.
Pengurusan mempunyai seorang pegawai atau beberapa orang pegawai yang berusaha
mencapai kesemua matmalat yang dikehendaki.

Perkara-perkara yang tersebut semuanya terdapat dalam semua jenis pengurusan


sama ada ia pengurusan awam (kerajaan) atau pengurusan swasta yang berorentasikan
keuntungan atau pengurusan antarabangsa, pengurusan yayasan awam atau yayasan
kebajikan. Kita juga membuat kesimpulan dari definsi di atas, bahawa semua tugas dalam
pengurusan akan dijalankan oleh para pengarah dan para kakitangannya. Mereka
memperbrtulkan antara satu sama lain, bagi mencapai matlamat yang dikehendaki kedua
belah pihak, tanpa perasaan yang tersebut, kesemua matlamat itu tidak akan menjadi
kenyataan (Dr. Dhohayan, 18-19).

PENGURUSAN DAKWAH DI ERA MADINAH

Langkah pertama yang diambil oleh Rasulullah (s.a.w) sebaik sahaja baginda
sampai ke kota Madinah ialah membina masjid utuk dijadikan tempat beribadat kepada
Allah s.w.t.

Baginda telah membeli sebidang tanah untuk tapak masjid dengan harga sepuluh
dinar yang di pungut dari derma ikhlas para sahabat. Masjid ini dibina supaya ia menjadi
sebuah parlimen untuk menyatupadukan ummah, sebuah universiti bagi mengajar soal-
soal keagamaan dan keduiaan, sebuah mahkamah untuk kehakiman, sebuah rumah
tumpangan bagi pengembara, dan tempat di mana solat didirikan secara berjemaah.

Sembahyang jumaat difardhukan untuk menghimpun umat Islam setiap minggu dan
khutbah dijadikan salah satu rukun penting jumaat untuk membimbing para anggota
masyarakat kepada apa yang berguna kepada mereka di dunia dan di akhirat.

Rasulullah SAW berpidato pada setiap jumaat, pada dua ahri raya, malah pada
setiap peristiwa yang bersejarah.

Jika timbul sesuatu isu Rasul SAW akan menyuruh Bilal menyeru ( solah jemaah ),
apabila orang ramai berhimpun, baginda terus menaiki mimbar untuk menyampaikan
pidatonya. Rasul SAW biasanya menyambut rombongan yang mengunjungi Baginda di
masjidnya serta menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepadanya yang berkaitan
dengan soal agama dan dunia. Rasul SAW juga memberi khidmat kaunseling kepada
mereka. (Al-Aluri 1979,154).

Seikh Mohd. Najib Almutaie berpendapat bahawa kesemua aktiviti yang


mendekatkan diri kepada Allah boleh dipraktikkan dalam masjid. Pengagihan zakat adalah
di antara aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan di dalam masjid asalkan ia tidak dilakukan
dengan tujuan RIAK. Katanya lagi, “Pada masa yang lalu orang-orang Islam mempelajari
soal-soal feqah dan hadith di masjid. Terdapat beberapa buah masjid Khurtubah di
Andalus di mana ilmu perubatan, kejuruteraan dan lain-lain diajar.

Masjid-masjid ini biasanya mengandungi beberapa serambi anjung, halaman,


asrama pelajar, restoran, taman dan lain-lain. Mereka biasanya memanggil masjid sebagai
madrasah karana sebuah sekolah biasanya dihubungkan dengan masjid. Pada zaman
MAMALIK sebuah hospital biasanya dihubungkan dengan masjid. Al-Azhar pula pada
masa silam mengandungi beberapa buah serambi sebagai asrama pelajar asing dan ia
masih lagi wujud hingga ke hari ini.

MIMBAR JUMAAT SEBAGAI SUMBER PEMULIHAN SOSIAL

Assheikh Mutaie selanjutnya berkata mimbar jumaat merupakan sumber pemulihan sosial.
Jika mimbar itu baik, kehidupan manusia akan menjadi baik, begitu jugalah sebaliknya.

Khutbah jumaat pada asalnya disyariatkan untuk menyentuh isu-isu semasa dan
masalah-masalah terkini dari perspektif Islam.Isi kandungan khutbah hendaklah
disediakan mengikut peredaran zaman. Mimbar mendukung masjid memperbaiki
masyarakat, menentang kemungkaran dan menggesa supaya berlaku baik dan
menyatukan barisan umat. Yang mendukacitakan pada hari ini kebanyakan masjid
didapati terkunci pintunya selepas solat. Assheikh Abdul Rashid Saqar berkata “ Masjid
sepatutnya sentiasa terbuka pintunya kepada kita di mana golongan bermasalah akan
bergegas kepadanya untuk mendapat khidmat nasihat dari para imamnya dan golongan
memerlukan datang untuk mendapat bantuan material dan moral.” (Majalah Dakwah,
Oktober 1980, bil.54:22-23)
Begitulah tujuan masjid didirikan ialah untuk mendirikan solat dari sudut agama dan
untuk menyatukan jamaah Islam dari sudut politik. Tetapi keadaan masjid pada hari ini
berbeza dengan hal-hal yang tersebut di mana peranannya terhad kepada upacara-
upacara ibadat sahaja.

Para pendakwah pada hari ini harus berusaha mengembalikan semula peranan
asal masjid supaya ia kembali berfungsi seperti di zaman awal Islam.

PROGRAM KELUARGA ANGKAT

Program keluarga angkat yang baru dikenali dan sedang diamalkan pada masa kini
sebenarnya telah diperkenalkan oleh Islam semenjak 14 abad yang lampau. Ia
mencerminkan sattu pengurusan yang bervisi yang mempunyai kesan jangka panjang
dalam menjayakan sesuatu kempen kemasyarakatan.

Untuk membina asas yang padu proses pembinaan masyarakat Islam awal telah
mengambil tiga garisan :-

Garisan pertama : Perjanjian antara penyatuan golongan muhajirin dan


penyatuan golongan ansar.
Garisan kedua : Mengadakan program keluarga angkat antara anggota-
anggota kedua golongan tersebut.
Garisan ketiga : Mengadakan Program keluarga angkat antara para
muhajirin sahaja. ( Munir 1985,212)

Keprihatinan Nabi SAW terhadap kepentingan umatnya lebih besar dan lebih hebat dari
keperihatinan mana-mana pemimpin di dunia ini. Perkara pertama yang dilakukan oleh
Nabi SAW ialah menjalinkan kemesraan antara golongan Muhajirin dan Ansar di mana
setiap orang dari Muhajirin akan mengambil seorang saudara angkat dari Ansar. Abu
Bakar Siddiq umpamanya diberi sekeping tanah oleh saudara angkatnya untuk
diusahakan. Abdul Rahman bin Auf pula telah di bawa oleh saudara angkatnya ke pasar
untuk menjalankan perniagaan sehingga beliau menjadi koperat yang berjaya.

Begitulah yang dilakukan Nabi SAW kepada para penghijrah yang awal. Manakala para
penghijrah yang tiba selepas mereka, mereka tidak sempat meraih keistimewaan yang
dinikmati oleh para penghijrah awal, lalu Baginda membina untuk mereka sebuah
bangunan di bahagian belakang masjid yang dinamakan ASSUFAH. Setiap orang yang
tak berkeluarga dan tak berharta dibenarkan mendiami tempat ini. Sebahagian dari zakat
dan hebah telah diperuntukkan begi mereka sehingga mereka berpeluang untuk berdikari
atau memiliki rumah sendiri. Ahli suffah yang seramai 400 orang itu kerja mereka ialah
mempelajari al-Quran, berpuasa dan keluar berjihad bersama Nabi SAW. Nabi SAW
biasanya menjemput mereka untuk bersarapan bersamanya atau Baginda mengagih-
agihkan mereka kepada para sahabatnya supaya mereka bersarapan bersama mereka di
rumah masing-masing. (al-Aluri 1979, 156) Dari Fakta yang lepas ternyatalah bahawa
pendakwah harus turun ke medan kerana menyampaikan dakwah Islam.

RASULULLAH (SAW) DAN PERLAKSANAAN PRINSIP SYURA

Perilaku junjungan besar Muhammad SAW adlah sebaik-baik contoh yang boleh
ditawarkan kepada manusia dalam hal ini. Rasul SAW diperintahkan oleh Allah terang-
terangan supaya berunding dengan orang-orang Islam, iaitu dalam firmannya dari surah
Al-Imran ayat 159 ; mafhumnya “ Berundinglah dengan mereka dalam semua hal maka
jika kamu sudah bertikad berserahlah kepada Allah. Perintah Ilahi ini bukan semata-mata
perkara teori.Prinsip ini telah diamalkan oleh Rasul SAW dan para Khulafa’ Rashidin
selepas baginda.

Berikutnya adalah beberapa contoh dari perlaksanaan Syura oleh Rasul SAW :

Ketika Nabi SAW mengetahui bahawa kaum Quraisyh telah menyediakan satu
Kafilah besar keluar dalam pengembaraan musim panas ke negeri Syam yang di kepalai
oleh Abu Sufian yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syam, Baginda mengumpul
kaum Muhajirin dan menggesa mereka keluar untuk merampas harta benda kafilah ini.
Rasul SAW pun keluar bersama kira-kira 300 orang Muhajirin dan Ansar, manakala puak
Yahudi pula menghantar utusan mereka kepada Kafilah Abi Sufian mengingatkan mereka
tentang rancangan Baginda semasa Abi Sufian dalam perjalanan, lantas Abu Sufian pula
menghantar utusannya ke Mekah meminta bantuan dari penduduk Mekah. Abu Jahal
mencadangkan supaya mereka bergerak ke Badr untuk tinggal di situ selama tiga hari.

Nabi SAW terus mara ke Badr mengesan dan menjejaki Kafilah Abu Sufian yang
telah mengambil jalan mereka di atas Pantai Laut Merah dengan harapan menyerang
Kafilah ini secara mengejut, tetapi Baginda mendapat tahu yang kaum Quraisyh telah tiba
dari Mekah lalu Baginda meninjau pandangan sahabat-sahabatnya. Baginda bersabda
sambil melihat kepada orang-orang Ansar yang turut keluarbersama Baginda, “hai ! umat
manusia berilah pendapat kepadaku.” Saad bin Muaz pun berkata, “Kami telah beriman
kepadamu serta membenarkan kamu. Dari itu, jikalau kamu bentangkan samudera di
hadapan kami untuk diharungi. Kami akan turut mengharunginya bersamamu, tiada
seorang pun dari kami yang akan ketinggalan, dan kami bersetuju bahawa musuh akan
bertemu dengan kita besok. (Abd.Mun’im & Omar Tal’at 1969, 81)

Kemudian Nabi SAW memimpin mereka ke Lembah Badr, mereka tahu yang
tentera Quraisyh terdiri dari kira-kira seribu orang yang terlatih dan lengkap bersenjata
sementara bilangan orang-orang Islam adalah kira-kira 300 orang sahaja. Nabi SAW
berpendapat bahawa tenteranya singgah di permulaan Badr, lalu seorang seorang
sahabat bernama Khabab bin Munzir bertanya, “adakah ianya tempat persinggahan yang
ditentukan oleh Allah kepada kamu atau ia merupakan pendapat, peperangan dan tipu
helah?” Bahkan ia hanyalah merupakan peperangan, pendapat dan tipu helah,” Jawab
Baginda. Khabab pun menjawab, “ini bukan tempatnya untuk kita singgah. Ayuh !
bangunlah semua.” Dan Khabab mencadangkan supaya mereka singgah di hujung
lembah Badr dan berkhemah di atas sebuah tanah tinggi di antara lembah yang banyak
air dan tanah rendah tempat Quraisyh berkhemah. Dari itu mereka menghalang Quraisyh
dari air.

Kemudian Nabi SAW memutuskan yang Baginda harus mendahului barisan. Sekali
lagi seorang sahabat iaitu Sa’ad bin Mu’az membangkang kerana Baginda akan menjadi
sasaran pertama anak panah tentera Quraisyh. Saad berpendapat yang Nabi tetap berada
di barisan belakang memimpin perjuangan. Rasul SAW pun mengubah fikirannya dan
menerima pendapat Sa’ad (Dr.Abd.Karim Osman 1985,182).

Maka berlakulah perjuangan Badr yang berakhir dengan kemenangan Islam yang
saling-gemilang. Dari sini jelaslah syura akan tetap menajdi faktor kecemerlangan
Pengurusan dakwah. Pandakwah masa kini harus mencontohi Rasul SAW dalam hal ini
kerana Rasul SAW walaupun baginda bergerak dengan ditemani wahyu dari langit namun
Baginda tetap mengguna prinsip Syura agar perilakunya ini terus dicontohi oleh para
pengikutnya hingga ke hari kiamat.
SYURA DALAM JIHAD

Rasul SAW selalu meminta nasihat dari sahabat-sahabatnya dalam semua situasi
yang mempengaruhi kepentingan umat sama ada dalam bidang ketenteraan atau pun
bidang-bidang bukan ketenteraan.

Baginda biasanya menerima pendapat mereka sekalipun pendapat itu berlawanan


dengan pendapatnya sepertimana yang telah betul-betul berlaku dalam peperangan
UHUD di mana Baginda merasakan yang golongan Islam patut terus tinggal di Madinah
sementara majoriti sahabatnya berpendapat mereka harus keluar. (Abd.Karim Osman
1985,182)

Cumanya Baginda pernah pada suatu kali menyalahi pendapat para sahabatnya
dalam HUDAIBIYAH. Ini adalah kerana Baginda berkeras dengan niatnya yang cenderung
kepada Perdamaian yang menjamin kestabilan yang perlu bagi pengembangan dakwah
Islam. Dengan pandangan Baginda yang jauh itu Baginda mengetahui bahawa kesan-
kesan perdamaian itu akan mendatangkan kebaikan yang menyeluruh kepada dakwah
Islam, sementara para sahabatnya hanya mahukan kemenangan sebelum masanya.
(Omar Tal’at & Abd.Mun’im 1969,85)

BERDAKWAH MENERUSI SURAT MENYURAT RASMI

Rasul SAW telah menghantar para utusannya kepada raja-raja jiran seperti Habsyah,
Mesir, Parsi, dan Bizantah (Rome) juga kepada raja-raja Arab seperti Ghasasinah,
Manazirah, Yamamah dan Bharain, malah kepada ketua-ketua suku kaum Arab di mana
dalam surat-surat tersebut Baginda mengajak mereka semua kepada Islam.

Baginda SAW mempunyai 42 orang kakitangan yang bertanggungjawab


menyediakan surat serta menterjemahnya, termasuk Abu Bakar, Omar, Othman, Ali,
Mu’awiyah, Ibnul a’s, Khalid bin Walid dan lain-lain. Zaid bin Thabit adalah seorang
jurubahasa yang menguasai bahasa Parsi, Rom, Coptic Habsyah dan Yahudi. (Ghafar
Aziz 1983,184).

Ada yang menjawab surat itu dengan baik seperti raja Habsyah, raja Mesir dan raja
Bahrain dan ada yang bersikap angkuh seperti raja Parsi yang mengoyak surat Nabi SAW
(Al-Aluri, 1979, 178).

Baginda telah mencipta teknik surat menyurat yang bercop dan tertutup (sealed)
sementara bangsa German berbangga-bangga kononnya merekalah yang mula-mula
mencipta teknik ini.(Khattab 1960,324)

HAL-HAL PENGURUSAN DALAM JIHAD

Rasulullah SAW amat prihatin terhadap hal pengurusan dalam setiap perjuangannya,
seluruh orang Islam bekerjasama membekalkan para pejuang dengan makanan air,
perubatan pengangkutan dan senjata.

Di dalam Islam, Jihad dengan diri (nyawa) biasanya disebut beserta dengan jihad
dengan harta. Firman Allah :
(At-Taubah :20)
(As-Saf :10)
(Annisa’ :94)

Dari ayat-ayat tersebut harta diperhatikan selalu disebut sebelum diri, menunjukkan Islam
amat prihatin terhadap hal-hal Pengurusan kerana pengurusan yang berkesan
memerlukan belanjawan yang besar.

Mengenai peranan kuda (kenderaan) Allah SWT berfirman:

(Al-Anfal :61)

Mengenai peranan besi dalam industri senjata dan industri berat yang lain Allah
SWT berfirman :

(Al- Hadid :25)

Kedua-dua ayat suci yang di atas menekankan peri pentingnya pengurusan yang
berkesan dalam jihad.
KERJA BERPASUKAN

Rasul SAW meletakkan dirinya setaraf dengan para sahabatnya dalam segala hal, malah
kadang-kadang Baginda seorang diri sahaja menghadapi bahaya dan melipatgandakan
usaha serta memikul tanggungjawab.

Seperti individu muslim lain Baginda telah menanggung batu, pasir dan bata ketika
membina masjid Madinah, tidak seperti pemimpin zaman sekarang yang hanya sekadar
menghadiri upacara pecah tanah dan meletakkan batu asas sahaja. Dalam peperangan
Khandak umpamanya, Baginda menggali parit dengan tangannya sendiri serta
menanggung batu dan pasir.

Al-Barra bin A’zib berkata “Baginda Rasul SAW pernah mengangkut pasir pada
peperangan Khandak sehingga perutnya berdebu. Pasir menutupi kulit perutnya yang
lebat dengan bulu. Baginda berkongsi makanan, minuman, dan pakaian dengan sahabat-
sahabatnya, malah Baginda SAW mengutamakan sahabat-sahabatnya dengan
memberikan mereka barangan bermutu dan Baginda sendiri mengambil yang kurang
bermutu. Baginda menanggung sendiri situasi yang paling berbahaya dan Baginda tidak
membiarkan sahabatnya sahaja terdedah kepada bahaya. (Khattab 1960,323)

MENGGUNAKAN TEKNIK-TEKNIK BARU DALAM PEPERANGAN

Baginda Rasulullah SAW telah menggunakan teknik berperang secara berbaris dalam
perang Badar. Dengan teknik ini, Baginda berjaya menewaskan tentera Quraisyh yang
tiga kali ganda lebih ramai dari tentera Islam kerana tentera Quraisyh berperang dengan
teknik maju mundur.

Baginda juga telah menggali parit dalam peperangan AHZAB pada hal bangsa Arab
belum mengenali teknik ini ketika itu, Baginda telah mengguna teknik memerangi kota dan
semak dalam peperangan BANI NADHIR, BANI QURAIZAH dan KHAIBAR.

Adalah amat mangkagumkan bahawa baginda menggunakan teknik yang sama


yang digunakan dalam peperangan seumpama ini pada zaman moden ini. Dalam
peperangan Badr sebuah ibu pejabat peperangan (‘Arisyh) telah dipilih dengan mengambil
kira syarat-syarat pemilihan ibu pejabat itu. Ibu pejabat peperangan ini dipastikan terkawal
selalu seperti juga yang berlaku dalam peperangan moden.

Baginda membahagikan semua beban tugas dan mempastikan perlaksanaannya


dikawal dan berjalan lancar. Baginda pernah melancarkan serangan pada waktu subuh,
satu-satunya serangan yang memerlukan kecekapan dan latihan cemerlang, seperti yang
berlaku dalam peperangan BANI MUSTALIQ (Khattab 1960,324)

Dari itu jelaslah bahawa teknik berbaris berbeza dengan teknik maju mundur.
Teknik berbaris dari segi susunan akan terjamin di mana sepasukan simpanan akan
sentiasa tetap dikawal oleh panglima yang akan menggunakan pasukan simpanan itu
untuk menangani keadaan-keadaan di luar dugaan, seperti menangkis serangan balas
atau mematahkan serangan hendap yang tak diduga dan melindungi sayap-sayap yang
diancam oleh pasukan berkuda atau pasukan infantri musuh. Kemudian ia boleh meraih
kemenangan dengan menggunakan barisan-barisan simpanan apabila perlu.

Dengan teknik berbaris ini seluruh angkatan tentera dapat dijaminkan terkawal
serta dijamin langkah-langkah berjaga-jaga pada waktu kecemasan. Ia juga sesuai untuk
pertahanan dan serangan dalam satu masa. Manakala dalam teknik maju mundur
panglima tidak dapat mengawal keadaan serta tidak dijaminkan sebarang langkah
berjaga-jaga pada waktu kecemasan.

Rasul SAW telah berjaya mengalahkan golongan Musyrikin dalam perjuangan Badr
kerana baginda mampraktik teknik baru iaitu teknik bersaf-saf, “ Sejarah ketenteraaan
memberitahu kita bahawa panglima-panglima tentera seperti Alexandre dan Hannibal
pada zaman silam , Molke, Rommel dan Runstedt pada zaman moden telah menang
kerana mereka mempraktik satu teknik baru yang luar biasa dalam peperangan atau
kerana merka berjuang dengan menggunakan senjata-senjata baru yang masih belum
dikenali. (Khattab 1960,81)

KESATUAN KEPIMPINAN (UNITY OF COMMAND) DAN DISIPLIN


GOLONGAN BAWAHAN

Rasul SAW merupakan panglima agung orang-orang Islam dalam perjuangan Badr.
Orang-orang Islam sentiasa bekerja sebagai satu tangan di bawah kepimpinan Baginda, di
mana Baginda mengarah mereka pada waktu penentu di tempat penentu untuk
menjalankan satu kerja penentu. Inilah kewajipan seorang panglima yang cekap.

Kesatuan kepimpinan menghendaki supaya orang bawahan berurusan dengan


seorang ketua sahaja dengan cara yang boleh mencapai tanggungjawab pengurusan.
“Menurut sains pengurusan seseorang individu tidak akan mampu berkhidmat kepada dua
ketua dalam satu masa dengan efisien (Dr.Tukla 1980,367)

Orang-orang Islam sungguh berdisiplin dalam melaksanakan perintah panglima


mereka. Andaikata disiplin itu teras ketenteraan dan andaikata tentera yang cemerlang itu
ialah tentera yang berdisiplin maka tentera Islamlah ketika itu merupakan tentera
cemerlang dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Disiplin itu bermakna mematuhi dan melaksanakan segala perintah dengan penuh
hemat,amanah dan dengan penuh kerelaan hati.
“Orang-orang Islam sentiasa melaksanakan perintah panglima mereka dengan penuh
hemat, amanah dan segala kerelaan hati. Memang patut mereka berbuat demikian kerana
panglima mereka unggul orangnya, mengawal urat sarafnya sewaktu kesusahan, amat
berani dalam segala situasi peperangan, meletakkan dirinya setaraf
bagaimana mereka berdua tiak sependapat dan tidak sematlamat, bahkan mereka berdua
kelihatan seakan-akan dua orang yang bermusuhan bukan dua orang yang bersaudara.
(Khattab 1960,79)

Ringkasnya seseorang panglima tentera mestilah mempunyai sebuah ibu pejabat


yang digunakan untuk mengawal dan mamantau perjalanan peperangan.

Untuk itu, sebah khemah khas (Al’arisyh ) telah dibina di atas sebuah tanah tinggi
yang menghala ke medan perjuangan. Ibu pejabat ini mempunyai sepasukan pengawal
yang dikelolakan oleh seorang pegawai yang bertanggungjawab.

Semuanya ini membuatkan orang-orang Islam berjuang seperti satu kekuatan


untuk satu matlamat serta dipimpin oleh kepimpinan bersatu. Ini merupakan salah satu
faktor kemenangan yang penting dalam setiap perjuangan.

RUMUSAN DAN PENUTUP


Semua fakta yang penulis kemukakan dalam kertas ini menunjukkan bahawa Rasul SAW
adalah seorang yang proaktif,innovatif dan bervisi dalam merancang sesuatu projek.
Penyelidikan yang objektif membuktikan bahawa Rasul SAW itu dialah yang telah
melatakkan batu asas bagi sebuah jentera pentadbiran yang terancang.

Rasul SAW telah menyediakan asas-asas umum untuk pembinaan sesebuah


masyarakat manusia yang sihat. Asas-asas ini hanyalah merupakan beberapa panduan.
Ia tidak memperincikan kesemua perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia, kerana
ianya banyak dan sentiasa berubah-ubah. Mana-mana perundangan pun ,sama ada ia
samawi atau ciptaan tidak mungkin memperincikan segala butiran yang ada dalam
kesemua peristiwa yang berlaku. Jikalaulah ini boleh berlaku tentulah segala daya dan
kebolehan berfikir manusia akan mati dan mereka akan menjadi seperti boneka-boneka
yang didalangi oleh skrip-skrip yang kaku di luar kemahuan mereka, faktor yang akan
melenyapkan antiti mereka dan membuatkan mereka kehilangan jati diri mereka dalam
kehidupan ini.

Inilah di antara ciri-ciri institusi Islam. Ia hanya menyediakan batu tanda-batu tanda
yang menunjukkan jalan kepada kebenaran, keadilan dan kebaikan dan membiarkan
mereka menggunakan minda mereka dalam menghadapi kehidupan dengan ditemani oleh
agama.

Penggubal undang-undang tidak mungkin mendahului semua zaman dan peristiwa


satu persatu serta menentukan bentuk-bentuk dan saiz-saiznya.

Syariat bermaksud supaya manusia campur tangan menyusun masyarakat mereka


menyempurnakan sebab-sebab yang boleh mempertingkatkan kehidupan.

HAK CIPTA TERPELIHARA


TIDAK DIBENARKAN MENERBITKAN SEMULA BAHAN INI DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN,
MELAINKAN SETELAH MENDAPAT KEIZINAN MANHAL PMRAM. HARGAILAH PENGORBANAN
ORANG LAIN YANG BERTUNGKUS LUMUS MENYIAPKANNYA. MENCETAK SEMULA DAN
MENERBITKANNYA DALAM APA JUA BENTUK SEKALIPUN DIANGGAP SEBAGAI JENAYAH DAN
DIKIRA BERCANGGAH DENGAN SYARIAH ISLAM.

©MANHAL PMRAM 2000