Anda di halaman 1dari 3

KEPIMPINAN DALAM ORGANISASI

11:21 PTG Categorized: Tazkirah

Bercakap mengenai kepimpinan atau pemimpin, saya rasakan sahabat-sahabat faham akan maksud
istilah tersebut. Kepimpinan dalam sesebuah organisasi atau jamaah adalah suatu yang mesti
berlaku dan perlu berlaku. Banyak arahan-arahan syara yang memerintahkan supaya kepimpinan
diwujudkan.

Nabi Muhammad saw sendiri berpesan sekiranya umat Islam keluar bermusafir lebih daripada tiga
orang mestilah melantik seorang ketua atau seorang amir. Sementara amir itu hendaklah ditaati
walaupun dia seorang yang berketurunan Habsyi selagi dia tidak menderhakai Allah SWT.
Memandangkan kepada perjuangan seperti yang telah dijelaskan tentulah kewujudan kepimpinan
itu merupakan perkara yang penting dan tidak boleh sama sekali dipandang ringan oleh setiap
anggota organisasi. Saf kepimpinan mestilah wujud setiap masa sama ada dalam suasana aman atau
perang.

Dengan ketiadaan sebuan Daulah Islamiah pimpinan organisasi adalah menduduki tempat sebagai
Ulil Amri bagi umat ini (anggota organisasi). Semua manusia dilahirkan menjadi pemimpin, walaupun
dia tidak memimpin sebuah organisasi atau jamaah yang besar, tetapi dia tidak terlepas dari
tanggugjawab memimpin dirinya sendiri. Menjadi persoalan ataupun perbincangan yang panjang
iaitu mengenai pemilihan saf kepimpinan dalam sesebuah jamaah. Sepertimana yang kita tahu,
semua anggota dalam jamaah adalah mempunyai hak untuk memilih dan tiada siapa pun yang dapat
dihalang daripada menunaikan tututan tersebut. Walaupun begitu, kepimpinan dalam organisasi
tidak seharusnya menjadi rebutan.

Keberkesanan perjalanan dan aktiviti organisasi bergantung sebahagian besarnya kepada saf
kepimpinan. Oleh itu, setiap anggota yang diberi amanah untuk MEMILIH saf kepimpinan hendaklah
berhati-hati dalam melaksanakan tugas tersebut. Pemimpin tidak seharusnya dipilih berdasarkan
luaran semata-mata. Memilih pemimpin dalam sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang remeh
yang berlegar di sekitar perasaan tak sampai hati, tak tergamak dan sebagainya. Kesungguhan
untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan itu hendaklah diutamakan dan
seharusnya mengatasi perasaan hati para pemilih.

Kerja-kerja untuk memilih pemimpin bolehlah disandarkan kepada beberapa dasar dan ketentuan
supaya organisasi dapat bergerak dengan lebih berkesan. Diantara dasar dalam pemilihan atau
kaedah dasar yang utama dalam urusan memilih anggota-anggota kepimpinan ialah dipilih dari
kalangan yang berkeahlian dan berkelayakan sahaja. Serta kita perlu menitik beratkan jumlah
anggota dalam kepimpinan, iaitu ditentukan angkanya mengikut keperluan organisasi.

Anggota itu hendaklah seboleh-bolehnya memenuhi ciri-ciri khusus atau kriteria-kriteria yang telah
tertentu untuk sesuatu kedudukan tugas agar keaslian perjuangan dapat dikekalkan dan perjalanan
organisasi dapat berjalan dengan lancar. Di antara kriteria yang saya rasa perlu ada atau menjadikan
kayu ukur dalam pemilihan ialah kemahiran merancang dan merangka strategi perjuangan. Saya rasa
ini adalah kriteria yang penting, perlu kita ambil perhatian yang khusus dalam menilai aspek ini.
Pemimpin seharusnya memiliki daya pemikiran yang luas dan sentiasa mempunyai idea-idea baru
dalam membaiki dan meletakkan jamaah tersebut dalam kondisi yang lebih baik.

Pemimpin juga bukan sekadar menjadi golongan pemikir malah mempunyai kemahiran
melaksanakan perancangan dan kemampuan untuk menterjemahkan arahan-arahan tersebut.
Ramai orang yang salah mentafsirkan hal ini, mereka merasakan golongan pemimpin sekadar
memberi idea dan memikirkan stategi, serta pelaksanaannya dilakukan golongan bawahan.
Pemikiran seperti ini menyebabkan ramai yang mempersoalkan, tugas pemimpin. Pemimpin tidak
buat kerja, Pemimpin tidak adil dan sebagainya. Kita melihat kembali bagaimna sifat seorang
pemimpin yang ditunjukkan oleh Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz yang di sifatkan kenyangkan
perut rakyat.

Seorang pemimpin juga perlu mempunyai kemahiran mengurus tadbir supaya organisasi menjadi
tegap dan teguh. Sememangnya manusia tidak mungkin akan pandai jika tidak ada proses
pembelajaran. Ramai yang menyatakan mereka tidak layak menjadi pemimpin disebabkan tidak tahu
bagaimana hendak mengurus dan membuat kerja dan juga belum bersedia. Ini alasan-alasan yang
biasa kita dengar. Tetapi jika ditanya bila boleh sedia?, agak-agak bila diri akan sempurna? Pastinya
jawapannya diam membisu. Saya suka tegaskan, sifat semulajadi manusia, jika dia ingin mahir dalam
sesuatu bidang, ianya perlu belajar dan perlu melalui proses belajar. InsyaAllah proses pembelajaran
tersebut akan mematangkan diri, dan kemahiran itu pasti datang.

Peribadi seorang pemimpin juga penting supaya boleh menjadi lambang kepada organisasi. Penting
dalam menilai, akhlak, cara pemakaian, percakapan, hubungannya dengan manusia dan hubungan
dengan Pencipta. Jika peribadinya baik, insyaAllah bukan sahaja mudah melakukan kerja bersama,
tetapi dalam masa yang sama juga, ia menjadi pakaian sesebuah jemaah. Pemimpin juga perlu
berfikiran kritis (bukan tukang catat), aktif dan kreatif. Kemahiran berhubung sebagai diplomat
dengan pihak lain juga perlu ada dalam diri setiap pemimpin.

Dalam pemilihan pemimpin perlu elakkan daripada terjadinya longgokan kriteria yang sama dalam
saf kepimpinan organisasi seperti hanya memilih dari kalangan yang boleh berpidato sahaja.
Pemilihan sedemikian boleh menjadikan keupayaan organisasi terhad dan menjadikan organisasi itu
lemah dan kaku. Untuk menjamin kerja organisasi yang berterusan bolehlah ditentukan awal-awal
mereka yang seharusnya dikekalkan atau dipilih semula supaya jentera kepimpinan tidak perlu

diperbaharu seluruhnya. Pemilihan hendaklah dibuat secara terancang tetapi mestilah bersih
daripada unsur-unsur dan anasir-anasir yang tidak sihat. WaAllahualam-Mohd Yusof Hadhari

http://seutastasbih.blogspot.com/2010/05/kepimpinan-dalam-organisasi.html