Anda di halaman 1dari 15

KEPENTINGAN PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN

KREATIF (KBKK) DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

ABSTRAK

FAIZAH BINTI OTHMAN


SAEMAH BINTI RAHMAN
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Pada masa kini, kemahiran berfikir merupakan aspek yang penting untuk diterapkan kepada
pelajar-pelajar. Hal ini kerana kemahiran berfikir dapat memperkembangkan lagi potensi
setiap individu khususnya pelajar untuk menghasilkan idea-idea baru. Peranan guru menjadi
faktor utama dalam merealisasikan pelajar yang mampu mengaplikasikan kemahiran berfikir
dalam pembelajaran mereka. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti bagaimana guruguru mengaplikasikan KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan ini
meliputi tiga aspek penting yang diperlukan oleh seorang guru iaitu ilmu pengetahuan,
kemahiran pedagogi dan sikap guru. Selain itu, kertas konsep ini membincangkan berkenaan
perbezaan corak kemahiran berfikir dalam bidang sains, bahasa dan teknikal. Ketiga-tiga
bidang ini mempunyai perbezaan corak kemahiran berfikir yang diaplikasikan dan ia adalah
bersesuaian bagi setiap bidang. Memandangkan kemahiran berfikir penting dalam sistem
pendidikan, maka kertas kerja ini ingin mengupas dengan lebih lanjut aspek-aspek penting
tentang pengaplikasian kemahiran berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran di
Malaysia. Perbincangan ini juga akan mengemukakan beberapa cadangan bagi meningkatkan
pengaplikasian kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

1.0

PENGENALAN

Kertas konsep ini membincangkan kepentingan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif (KBKK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penyebatian kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif menjadi aspek penting di dalam sistem pendidikan negara Malaysia.
Kepentingannya telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dalam Mok Soon
Sang (2002) iaitu . memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan...

Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ini perlu dilaksanakan mengikut
kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia. Menurut Abdul Rahim (1999) dalam Sarimah
(2008), pemikiran kritis perlu diperkembangkan untuk melahirkan warganegara yang dapat
memainkan peranan mereka dengan lebih bertanggungjawab kepada negara. Pendidikan tanpa
mengutamakan perkembangan fikiran ibarat jasad tanpa roh. Pendidikan perlu melahirkan
golongan yang berkeupayaan berfikir dan mendorong kepada penerusan tradisi intelektual dalam
masyarakat.

Kertas konsep ini akan mengupas kepentingan penyebatian KBKK dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di Malaysia. Berbagai kepentingan dapat dilihat dari aspek politik,
ekonomi dan masyarakat. Perlaksanaan penyebatian KBKK dalam proses pengajaran dan
pembelajaran juga akan dilihat dari sudut kesediaan guru, kemahiran pedagogi dan sikap
individu yang terlibat secara khusus mahupun tidak. Seterusnya bagaimana penyebatian KBKK
ini dijalankan oleh guru-guru. Setiap guru mata pelajaran perlu untuk melaksanakan penyebatian
KBKK ini di dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

2.0
KONSEP PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN
KREATIF

Penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif pada masa kini merupakan suatu perkara
yang penting dalam bidang pendidikan. Di Malaysia, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
telahpun diberikan penekanan sejak penggubalan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) pada tahun 1988 (Sulaiman 2000) dalam Sarimah (2008). Proses pengajaran
dan pembelajaran akan menjadi lebih sempurna dengan menyebatikan unsur-unsur kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif. Menurut Rajendran (1998a) dalam Rajendran (2001),
pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1981 dan Kurikulum Bersepadu

Sekolah Menengah pada tahun 1989 telah menuntut beberapa perubahan dalam pembinaan
kurikulum, pendidikan perguruan, penggunaan strategi pengajaran pembelajaran dan pentadbiran
sekolah. Dalam konteks ini, satu daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian
Pendidikan adalah program menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam
proses pengajaran pembelajaran. Program ini telah diperkenalkan secara rasmi dalam kurikulum
sekolah pada tahun 1992 dan dalam kurikulum pendidikan guru pada tahun 1993.

Beyer (1985) dalam Selva Ranee (2007), menyatakan bahawa ramai pendidik
beranggapan bahawa pelajar akan belajar bagaimana berfikir. Menurut Ennis dan Norris (1989),
pemikir yang baik tidak semestinya pemikir yang kritis tetapi pemikir yang kritis adalah pemikir
yang baik. Kemahiran berfikir ialah proses menerima maklumat atau rangsangan. Edward de
Bono (1990) dalam buku beliau yang berjudul I Am Right You Are Wrong menurut Rafiei
(1998) mendefinisikan berfikir sebagai satu proses yang kompleks yang berlaku dalam minda
seseorang apabila seseorang itu menerokai pengalamannya secara terperinci untuk mencapai
sesuatu tujuan. Tujuan yang dimaksudkan itu mungkin untuk pemahaman, memberi makna
sesuatu, menilai sesuatu, membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. George (1990) dalam
Adnan, Mimi & Kamalularifin (2006) melihat pemikiran sebagai satu proses penyelesaian
masalah dan perlakuan semulajadi yang kompleks.

Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif adalah proses


menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Setiap guru perlulah menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif bagi
melaksanakan proses penyebatian KBKK ke dalam mata pelajaran yang diajar masing-masing.
Kajian-kajian yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik seperti Bloom et al. (Beyer,1988)
menunjukkan orang tidak menguasai secara sendiri proses-proses pemikiran yang kompleks
seperti pemikiran kritis dan membuat keputusan. Oleh kerana kemahiran berfikir tidak tumbuh
secara automatik atau semula jadi, kita perlu mengembangkannya dalam pendidikan formal.

Teori Roger Sperry (1970) dalam Mok Soon Sang (2009) menghuraikan fungsi otak kiri
manusia yang secara kritis dan otak kanan berfikir secara kreatif. Otak kiri mempunyai
kemahiran berfikir dalam bidang berupa logik, analitik, urutan atau susunan, bahasa, fakta,
matematik dan ingatan. Manakala otak kanan mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang
berupa kreatif, sintesis, warna, reka bentuk seperti corak, pola, ruang, lukisan, gambar, di
samping perasaan, irama, muzik dan imaginasi. Untuk melahirkan pelajar yang sanggup berfikir
secara kritis dan kreatif, kedua-dua bahagian otak hendaklah dikembangkan secara seimbang
dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang bercorak kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

2.1 Pemikiran Kritis

Beyer (1988) mendefinisikan pemikiran kritis sebagai proses menilai ketulenan,


ketepatan dan nilai (worth) sesuatu pengetahuan, dakwaan (claim), kepercayaan atau perbahasan
(argument). Model pemikiran kritis yang dikemukanak oleh Forgarty dan Bellanca (1990) ialah
mencirikan, membanding beza, mengklasifikasi, membuat urutan, menyusun mengikut
keutamaan, membuat kesimpulan, menentukan sebab dan akibat, menganalisa untuk menentukan
bias, menganalisis untuk menentukan andaian, membuat analogi dan menilai. Manakala model
pemikiran kritis yang digunakan oleh Kementerian Pelajaran (1994) adalah seperti
mencirikan,membanding dan membeza, mengumpul dan mengelas, membuat urutan, menyusun
mengikut keutamaan, menganalisis, menilai dan membuat kesimpulan.

Jelaslah bahawa pemikiran kritis melibatkan proses menilai satu-satu pengetahuan,


dakwaan, kepercayaan atau perbahasan berdasarkan maklumat atau pemerhatian dan
menimbangkannya secara menyeluruh bagi menyokong kesimpulan yang hendak dibuat. Berfikir
secara kritis dapat meningkatkan kefahaman, kejelasan dan keupayaan menggunakan maklumat
secara berkesan dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan
seharian.

2.2

Kemahiran berfikir kreatif

Mengikut Perkins (Beyer, 1988) pemikiran kreatif didorong oleh keinginan untuk
mencari keaslian (original). Ia menghargai mobiliti, penjelajahan, fleksibiliti dan diversiti.
Pemikiran kreatif memberi perhatian bukan sahaja kepada tujuan tetapi juga kepada hasil,
berfungsi di tahap tinggi kecekapan dan didorong oleh motivasi intrinsik untuk bertindak secara
asli (original). Model pemikiran kreatif yang dikemukakan oleh Forganty dan Bellanca (1990)
adalah seperti sumbang saran, memvisualisasi, personafikasi, mencipta, membuat hubungan,
membuat inferens, mengeneralisasi, meramal, membuat hipotesis, membuat analogi dan
menangani ketaksamaan dan paradok. Manakala model pemikiran kreatif yang digunakan oleh
Kementerian Pendidikan (1994) pula adalah seperti menjana idea, membuat inferens dan
menghubungkait.

Pemikiran kreatif sering dikaitkan dengan usaha-usaha memperkembangkan daya


imaginasi, inovasi dan kreativiti untuk mendapatkan idea-idea yang banyak, pelbagai dan baru.
Orang-orang yang berfikiran kreatif dikatakan berupaya menggunakan mindanya untuk
meneroka pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai.

3.0

KEPENTINGAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF.

Terdapat beberapa kepentingan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Kepentingannya meliputi 3 aspek penting bagi menjamin
peningkatan taraf hidup Malaysia iaitu :

3.1 Kepentingan dari aspek ekonomi

Menurut Selva Ranee (2007), perkembangan sains dan teknologi yang pesat adalah penting
untuk sebuah negara membangun seperti Malaysia untuk menaikkan taraf ekonomi dan
menjadikannya sebagai sebuah negara industri baru. Kini, aktiviti ekonomi tradisional telah
diambil alih oleh sektor perkilangan serta perkhidmatan yang kompetitif dalam pasaran eksport
dan mempunyai nilai tambah yang tinggi. Perancangan masa depan mengandaikan perantaian
yang meningkat terhadap pekerja-pekerja mahir Sains untuk menemui permintaan pasaran buruh
yang meningkat. Untuk mencapai matlamat ini, pekerja yang mahir perlu mempunyai kemahiran
berfikir kritis dan kreatif di samping menguasai kemahiran saintifik dan kemahiran teknologi.

Dalam proses mencapai hasrat ini, sistem pendidikan di Malaysia kini lebih menekankan
aspek kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah. Ini jelas tertera dalam Kurikulum Sekolah
Bestari yang dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada perkembangan keupayaan kognitif
dan kreatif pelajar selain daripada pemupukan nilai-nilai murni. Pemikiran dijadikan asas kepada
semua aktiviti putting thinking at the centre of all that happens (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 1996) dalam Selva Ranee (2007). Aktiviti peningkatan ekonomi negara akan menjadi
lebih efektif dengan dilingkungi oleh pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran berfikir kritis
dan kreatif.

Menurut Sarimah (2008), dalam menuju sebuah negara maju, rakyat Malaysia juga perlu
memiliki ilmu dan kemahiran untuk bersaing dengan negara maju yang lain. Sistem pendidikan
bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada rakyatnya. Oleh itu,
penyebatian kemahiran berfikir kritis dan kreatif dapat menerapkan unsur-unsur berfikir secara
kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran agar pelajar-pelajar kita mampu
menyelesaikan sesuatu masalah dengan berkesan dan bijak terutamanya tuntutan di alam
pekerjaan dalam era teknologi kini.

3.2 Kepentingan dari aspek politik

Pembangunan sesebuah negara amatlah bergantung kepada minda dan potensi rakyatnya.
Kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada tahap ilmu dan kemahiran yang dikuasai oleh
rakyat negara tersebut. Rakyat Malaysia pada masa kini memerlukan bukan sahaja pencapaian
akademik yang cemerlang malah kebolehan berfikir agar dapat memenuhi keperluan negara
maju iaitu sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia mempunyai keyakinan
ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah negara
demokrasi, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan
makmur dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing. (Mahathir 1991) dalam
Sarimah (2008). Kestabilan politik negara akan menjamin untuk menjadikan sesebuah negara itu
mencapai matlamat pembangunannya. Menyedari kepentingan pelajar menguasai kemahiran
berfikir kritis dan kreatif ini bagi kestabilan negara menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran mengalami satu perubahan dengan menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis
dan kreatif di dalamnya. Menurut kenyataan Alimuddin Mohd Dom, soalan-soalan peperiksaan
sekarang memerlukan pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif (News Straits Time , 9
Januari 2006) dalam Sarimah (2008).

3.3 Kepentingan dari aspek sosial

Kestabilan ekonomi dan politik negara tidak akan terlaksana seandainya masyarakat yang
meliputi sesebuah negara itu berada dalam keadaan yang tidak seperti dikehendaki oleh pihak
kerajaan. Kini kita hidup di dalam masyarakat yang sangat kompleks dan berkembang maju.
Maklumat dan ilmu pengetahuan sering kali berubah. Tambahan pula dengan kemajuan sains
dan teknologi yang semakin canggih menyebabkan penyebaran ilmu dan maklumat berlaku
dengan cepat. Jadi kita seharusnya bersedia dan sentiasa terbuka untuk terus menimba ilmu
pengetahuan bagi menempuh cabaran yang bakal ditempuhi. Ilmu pengetahuan yang dituntut
juga perlulah sejajar dengan keperluan negara. Di sinilah peranan penyebatian kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ilmu pengetahuan yang
diperolehi tanpa kemahiran berfikir kritis dan kreatif akan menjadikan rakyat tidak mampu
bersaing dengan negara maju yang lain. Menurut Chaffee (1977) dalam Siti Rahayah et. al. ( ).

Dalam kehidupan seharian kita sering diajukan dengan soalan-soalan yang mencabar
minda dan kritis. Manakala dalam bidang pendidikan juga kita sering berhadapan dengan situasi
yang memerlukan kita menyoal soalan yang relevan kemudian disokong dengan fakta yang
kukuh tentang sesuatu isu yang telah dinyatakan serta memperolehi suatu rumusan berdasarkan

kajian yang telah dijalankan. Jelaslah di sini terdapat keperluan untuk kita mempersiapkan
masyarakat secara amnya dan juga para pelajar khususnya untuk memiliki kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif. Menurut pakar-pakar pendidikan (Goldman, Hasselbring et. al. 1997;
Montague, Wagner & Morgan 2000) dalam Siti Rahayah et. al. ( ) menegaskan keperluan untuk
mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran penyelesaian masalah,
kemahiran komunikasi berkesan, kemahiran membuat keputusan dan sebagainya. Manakala
dalam Cornell Critical Thinking Skills (1989) dalam Siti Rahayah et. al. ( ) menekankan
keperluan untuk mengintegrasikan kemahiran berfikir di dalam kurikulum di peringkat pengajian
tinggi. Jadi adalah penting bagi seseorang graduan untuk memperolehi kemahiran berfikir untuk
menjadi pemimpin yang efektif. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu
kepentingan untuk disebatikan dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Menurut Poh Swee Hiang (1999) dalam Adnan et. al (2006), menyatakan pemikiran kritis
amat penting untuk membentuk warganegara yang tahu dan mampun menggunakan pemikiran
mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran, tekanan dan perubahan manakala pemikiran kreatif
dapat membentuk individu lebih inovatif mempunyai daya kreativiti yang baik, ideal, imaginatif
dan mempunyai unsur-unsur humanistik dan artistik yang tinggi. Apabila kedua-dua kemahiran
ini dikuasai oleh pelajar melalui rangsangan dan latihan yang diberi seterusnya pelajar
mengaplikasikan dalam corak pembelajaran harian maka pembelajaran yang optimum akan
berlaku.

4.0

ISU-ISU

Hasil tinjauan literatur, kajian-kajian lepas yang telah dijalankan kebanyakannya secara terus
mahupun tidak pasti membincangkan mengenai kepepentingan penyebatian kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di dalam kertas konsep
ini, terdapat dua isu utama yang akan diperbincangkan. Isu pertama, adakah penyebatian
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif mempunyai kepentingan untuk melayan gaya
pembelajaran? Isu kedua, bagaimanakah pendekatan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis
dan kreatif dijalankan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran?

4.1
Isu pertama: Adakah penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
mempunyai kepentingan untuk melayan gaya pembelajaran?

Peranan yang dimainkan oleh guru dalam menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah begitu penting. Proses pengajaran dan

pembelajaran yang berlaku tanpa unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif akan
menjadi tidak efektif. Namun begitu pelajar-pelajar mempunyai gaya pembelajaran dan pelbagai
kecerdasan yang berbeza. Oleh itu penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
merupakan strategi yang berkesan untuk melayan gaya pembelajaran dan pelbagai kecerdasan
pelajar.

Setiap manusia mungkin mempunyai lebih daripada satu atau dua jenis gaya
pembelajaran. Fungsi gaya pembelajaran ini juga mungkin berbeza mengikut masa, alam sekitar,
isu pembelajaran serta juga beberapa ciri mental, fisikal dan psikologi orang yang berkenaan.
Dan mungkin juga, seseorang itu lebih cenderung kepada satu atau eberapa gaya pembelajaran
tertentu sahaja. Gaya pembelajaran seseorang itu mungkin juga bersifat dinamis. Ia boleh
dikembangkan dan boleh berubah ( Guild, 1994) dalam K.Narayanasamy (2000).

Menurut Felder (1996) dalam Mohd Noor Badlishah (2009), gaya pembelajaran merujuk
kepada kecenderungan dan kekuatan pada sesuatu gaya bagi mendapat dan memproses
maklumat. Setiap individu mempunyai kekuatan serta kecenderungan yang unik untuk
memahami dan memproses memproses maklulmat. Dengan lain perkataan, setiap individu
mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Gaya pembelajaran ditakrifkan sebagai cara unik
yang digunakan oleh individu untuk mengambil, memproses, memahami dan mempersepsi
maklumat. Gaya pembelajaran juga sering dikaitkan dengan gaya kognitif. Ada individu yang
cenderung untuk belajar maklumat yang konkrit (seperti fakta dan konsep, simbolik dan model
matematik). Sebilangan besar pelajar lebih suka sekiranya maklumat dipaparkan secara visual
(seperti carta alir,gambar rajah, skema) dan ada pula yang lebih gemar sekiranya maklumat
diberikan dalam bentuk verbal (seperti kuliah). Sebilangan individu lebih suka belajar secara
aktif seperti berbincang dengan rakan serta belajar dengan berbuat, manakala ada sebilangan
individu yang belajar secara reflektif iaitu dengan berfikir dan lebih gemar belajar secara
sendirian. Ada juga individu yang belajar secara urutan dan memahami perincian dahulu
kemudian mendapat gambaran keseluruhan sesuatu konsep, manakala ada pula yang belajar
dengan memahami gambaran keseluruhan kemudian barulah memahami perincian sesuatu
konsep.

Sekiranya gaya pembelajaran pelajar adalah sama atau selari dengan gaya pengajaran
guru, maka proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif. Sebaliknya, jika gaya
pembelajaran pelajar tidak selari dengan gaya pengajaran guru, kemungkinan besar pelajar akan
mudah berasa bosan, tidak selesa, kurang memberi tumpuan, mempunyai tanggapan yang negatif
terhadap subjek atau kemungkinan menyebabkan prestasi yang kurang memuaskan dalam
sesuatu subjek. Oleh itu proses pengajaran dan pembelajaran perlulah seiring dengan keadaan
realiti ini. Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran
dan pembelajaran merupakan strategi yang dapat mengisi hasrat ini.

Menurut K.Narayanasamy (2000), seseorang guru yang mengajar kemahiran berfikir


akan memberi tumpuan kepada beberapa elemen penting di dalamnya. Di antara elemen-elemen
tersebut adalah, salah satu kemahiran berfikir yang spesifik, proses kemahiran berkenaan,
metakognisi, pengurusan lisan dalam bentuk soalan dan pengurusan grafik dalam bentuk visual.
Misalnya, seorang guru cuba menyebatikan kemahiran berfikir membuat banding-beza di
dalam mata pelajarannya. Beliau akan memberi penekanan terhadap proses-proses utama
kemahiran berfikir berkenaan dalam pengajaran dan pembelajarannya. Proses-proses utama
kemahiran berfikir membuat banding dan beza yang ditekankan oleh guru tersebut seperti :

Mengenal pasti perkara/objek yang dibanding bezakan


Mencari aspek-aspek persamaan di antara perkara/objek tersebut
Mencari perbezaan
Sebelum mencari perbezaan, menentukan komponen-komponen perbezaan
Mencari perbezaan berdasarkan komponen-komponen tersebut
Memberi pendapat/membuat keputusan berdasarkan perbandingan dan perbezaan.

Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dengan konteks dan isi kandungan
pembelajaran memberi peluang untuk pelajar memproses informasi secara aktif dan reflektif.
Teks atau bahan isi kandungan yang digunakan oleh guru membolehkan pelajar beranjak dalam
satu kontinum gaya pembelajaran.

Apabila guru menggunakan pengurusan lisan (soalan-soalan berpandukan proses


tersebut) pelajar analitik dapat terlibat secara aktif. Mereka dapat mengamati proses berfikir
secara abstrak dan memikir secara reflektif. Mereka dapat menganalisis, menaakul dengan lebih
berkesan.

Malahan, dengan menggunakan pengurusan grafik, pelajar bukan sahaja melihat proses
kemahiran berfikir tersebut secara eksplisit dan konkrit tetapi juga berfikir dan memproses secara
aktif. Secara lazimnya, pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir menjadi lebih berkesan
dengan menggunakan pengurusan grafik. Pengurusan grafik adalah bentuk visual proses berfikir
berkenaan. Pengurusan grafik membolehkan pelajar melihat secara konkrit dan visual, proses
berfikir yang terbentang secara abstrak. Kombinasi menggunakan pengurusan lisan dan grafik
dalam jangka masa panjang akan membolehkan concrete perceivers menjadi abstract perceivers
((McCarthy 1987) dalam K.Narayanasamy (2000).

4.2 Isu kedua: Bagaimanakah pendekatan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis
dan kreatif dijalankan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran?

Setiap guru mata pelajaran selain memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap
yang sesuai, harus bijak untuk mengatur perancangan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru
mesti berusaha menukar amalan pengajaran pembelajaran di kelas mereka supaya amalan
tersebut benar-benar berbeza dari amalan di kelas konvensional. Menurut Bereiter &
Scardamalia, 1987 dalam N.S.Rajendran (2001), pengajaran pembelajaran kemahiran berfikir
memerlukan suasana di bilik darjah yang memberangsangkan pelajar-pelajar supaya mereka
turut serta dalam keseluruhan proses tersebut. Ini bermakna pelajar seharusnya terlibat secara
langsung dari masa bahan ataupun kandungan sukatan pelajaran dipilih untuk sesi pelajaran dan
dalam pemilihan dan pengendalian aktiviti pengajaran pembelajaran.

Pendekatan penyebatian menstruktur semula isi kandungan mata pelajaran untuk


mengajar pemikiran secara langsung. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendekatan
penyebatian, guru mengajar kemahiran berfikir secara eksplisit, menyebatikan pengajaran
pemikiran dalam kandungan pelajaran, membincangkan kemahiran yang digunakan oleh pelajar
semasa berfikir dan berusaha untuk meningkatkan cara pemikiran pelajarnya.

Masa pelajaran diperkongsikan untuk mengajar kedua-dua komponen pelajaran,


kandungan pelajaran dan kemahiran atau proses berfikir secara saling berkait. Pendekatan
penyebatian mengutamakan empat amalan pengajaran yang mencirikan cara berfikir secara
eksplisit iaitu :

Guru memperkenalkan kemahiran atau proses berfikir dengan menunjukkan pentingnya


melakukan kemahiran atau proses berkenaan dengan bijak.
Guru menggunakan rangsangan yang eksplisit untuk membimbing pelajar mengamalkan
pemikiran yang bijak sambil pelajar mempelajari fakta, konsep dan kemahiran yang
berkaitan dengan kandungan mata pelajaran.
Guru bertanya soalan-soalan, refleksi yang dapat menjauhkan pelajar daripada kandungan
pelajaran supaya pelajar sedar akan bagaimana dirinya berfikir dan mempelajari cara
berfikir yang bijak.
Guru mengukuhkan lagi stategi berfikir dengan cara menyediakan peluang-peluang
tambahan untuk melatih pelajar menggunakan kemahiran atau proses yang sama secara
berdikari.

5.0

CADANGAN

Pada masa kini, sistem pendidikan di Malaysia lebih menekankan aspek penyebatian kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif. Gaya pengajaran guru dalam proses pengajaran dan
pembelajaran akan mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar. Menurut (Lortie, 1975) dalam
N.S.Rajendran (2001), guru-guru telah menerima orientasi yang sungguh berbeza daripada apa
yang mereka sendiri dikehendaki lakukan di kelas-kelas sebagai pendidik. Mereka memilih
untuk mencontohi gaya guru mereka sendiri. Faktor ini menjadi penghalang utama kepada usaha
guru dalam membuat inovasi ke atas proses pengajaran pembelajaran mereka. Perlu diakui
bahawa perubahan yang dihasratkan bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan oleh guruguru. Namun demikian, guru-guru haruslah dibimbing supaya mereka melihat kepentingan
inovasi ini dan membuat perubahan yang diperlukan. Dalam hubungan ini, (Duckworth 1987)
dalam N.S.Rajendran (2001), mencadangkan bahawa, one of the two aspects of teaching is to
have the students try to explain the sense they are making and instead of explaining things to
students do try to understand their sense.

Di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perkara penting yang perlu diteliti oleh
guru-guru ialah merancang pengajaran pembelajaran dengan baik dan teratur. Namun perkara
yang menjadi cabaran utama kepada guru-guru ialah ketidaktentuan dalam mengendalikan proses
pengajaran pembelajaran.Menurut Atan Long dalam bukunya Pedagogi, Kaedah Am Mengajar
(Rafiei, 1998), pengajaran dan pembelajaran merupakan proses interaksi yang berlaku antara tiga
komponen penting iaitu guru, murid dan isi pelajaran dalam bilik darjah. Di dalam mengatur
perancangan pengajaran pembelajaran guru perlulah mengambil kira dari setiap sudut. Cazden
(1979) dalam N.S.Rajendran (2001) telah menunjukkan bahawa penggunaan kemahiran
mendengar dan bertutur oleh guru dan pelajar mewujudkan suasana bilik darjah yang boleh
menyokong atau menghalang perkembangan beberapa jenis kemahiran berfikir. Memberi klu
(clue) dan menyoal juga adalah dua strategi utama yang boleh digunakan oleh guru untuk
menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

Inovasi pendidikan pada tahun 1981 dan 1989 telah berusaha mengubah pemikiran guru
dalam mengendalikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Inovasi tersebut telah
mengharapkan bahawa guru akan menjalankan sebahagian besar daripada pengajaran yang
berpusatkan pelajar dan akan menggunakan pelbagai strategi dan teknik untuk melibatkan pelajar
dengan aktif ( Pusat Perkembangan Kurikulum, 1981) dalam N.S Rajendran ( 2001). Guru-guru
perlu diberi sistem sokongan untuk melaksanakan inovasi di dalam bilik darjah di sekolah
masing-masing. Sistem sokongan ini meliputi aspek-aspek seperti bahan rujukan, sumber untuk
mengendalikan pengajaran pembelajaran, dan wacana untuk guru-guru membincangkan isu-isu
berkaitan pengajaran pembelajaran kemahiran berfikir. Guru-guru juga diberi kebebasan untuk
membuat keputusan masing-masing berhubung dengan pendekatan dan strategi yang bakal

digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing. Tidak dapat dinafikan
bahawa guru-guru mempunyai kreativiti tersendiri dalam mengendalikan proses pengajaran dan
pembelajaran yang dipengaruhi oleh faktor-faktor termasuk keperluan kurikulum yang begitu
padat dan isu peperiksaan pusat.

Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kelas penting untuk
mewujudkan suasana yang memberangsangkan kepada pelajar. Guru mestilah berusaha menukar
amalan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mereka supaya amalan tersebut benar-benar
berbeza daripada amalan di kelas konvensional. Oleh itu, guru perlu memiliki ilmu pengetahuan,
kemahiran pedagogi dan sikap yang sesuai untuk melakukan perubahan tersebut. N.S Rajendran
( 2001) menyatakan terdapat perkara-perkara yang asas yang perlu dimiliki oleh guru iaitu ilmu
pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran.
Dalam konteks mengajar kemahiran berfikir dalam mata pelajaran di sekolah, guru-guru perlu
memiliki perkara tersebut untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih
berkesan.

Guru juga boleh menggunakan pengajaran kemahiran membaca untuk menggalakkan


pelajar supaya mereka menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Satu daripada cara
ialah teknik reciprocal teaching yang diperkenalkan oleh Pallnscar dan Brown (1994) dalam
N.S.Rajendran (2001).Teknik ini menggunakan satu proses koperatif di antara guru dan pelajar
dalam mengemukakan soalan dan mendapatkan respons dengan tujuan menunjukkan ciri-ciri
metakognitif dalam proses membaca. Ini bermakna proses metakognitif boleh digunakan
sebelum, semasa dan selepas membaca.

Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)


telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pendidikan yang meliputi
aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. Guru-guru setiap matapelajaran boleh
mengaplikasikan penggunaan alat-alat berteknologi untuk memantapkan kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif pelajar dalam proses pengajaran pembelajaran. Menurut Molnar (1997)
dalam N.S.Rajendran (2001), teknologi-teknologi pendidikan sekiranya digunakan dan
diaplikasikan dengan betul, akan membawa kesan yang bermakna dalam pembelajaran pelajar.

6.0 KESIMPULAN

Salah satu faktor dominan yang menentukan kejayaan sesebuah negara adalah dalam bidang
pendidikan. Pelbagai perancangan dan piawaian dilakukan bagi meningkatkan sistem pendidikan

negara sejak dahulu lagi sehingga kini. Menyedari kepentingan kemahiran berfikir ini
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan penyebatian kemahiran berfikir khususnya
kemahiran berfikir kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi setiap
mata pelajaran. Oleh itu guru-guru juga perlulah bersama-sama mengembleng tenaga
merealisasikan hasrat kerajaan untuk terus meningkatkan sistem pendidikan negara. Menurut
K.Narayanasamy (2000) guru yang berinovatif dan kreatif perlulah memikirkan pelbagai cara
dan aktiviti lain untuk mengatur aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut bidang mereka.
Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa pentingnya penyebatian kemahiran berfikir secara
kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Kerjasama antara guru dan pelajar amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi
memantapkan lagi adaptasi kemahiran berfikir dalam setiap mata pelajaran. Penyebatian
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif juga dapat mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar.
Kepentingan penyebatian kemahiran kritis dan kritis juga memberikan kesedaran agar
melakukan keseragaman gaya pengajaran mereka dengan gaya pembelajaran pelajar. Pelajarpelajar juga telah dapat mengimbas kembali dan membuat refleksi tentang proses kognitif dalam
konteks pengajaran dan pembelajaran. Pelajar telah membuat refleksi dalam menghubungkaitkan
apa yang dipelajari dengan proses berfikir untuk memperolehi pengetahuan serta kemahiran
sesuatu bidang yang dipelajari. Kesediaan guru juga diambilkira dalam melaksanakan segala apa
yang telah dirancangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Rakyat yang berfikiran kritis dan
kreatif akan menjamin negara agar mampu bersaing dan setanding dengan negara maju yang lain
selaras dengan Wasasan 2020.
RUJUKAN

Abdul Halim Abdullah & Mohini Mohamed. 2007. Penggunaan Kemahiran berfikir di kalangan
pelajar dalam persekitaran perisian geometri interaktif. 1st International Malaysia Educational
Technology Convention.

Adnan bin Ahmad, Mimi Mohaffyza Mohamad& Kamalularifin Suhari. 2006. Aplikasi corak
pembelajaran kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan pelajar dalam subjek
pengajian kejuruteraan awam sekolah menengah teknik negeri Johor. Latihan Ilmiah. Universiti
Teknologi Malaysia.

Beyer, B.K. 1988. Developing a thinking skills program. Boston: Allyn & Bacon

Forgarty, R & Bellanca, J. 1990. Teach Them Thinking. Australia: Hawker Brownlow Education

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1994. Pukal Latihan Sains Rendah: Modul 3 Kemahiran
Berfikir. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum

K.Narayaanasamy. 2000. Melayan pelbagai gaya pembelajaran: pengajaran kemahiran berfikir


sebagai satu alternatif berkesan. Jurnal Pendidikan TIGAENF. 2(3): 64-70

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 1.
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 2
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3.
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

Mohd Noor Badlilshah Abdul Kadir. ( ). Gaya pembelajaran: satu kajian deskriptif terhadap
pelajar kolej matrikulasi Perak.

Mok Soon Sang. 2009. Psikologi Pendidikan dan Pedagogi Murid dan alam Belajar. Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.Selangor.

Mok Soon Sang. 2010. Psikologi Pendidikan Untuk Pengnajaran dan Pembelajaranan.
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.Selangor.

N.S.Rajendran. 2001. Amalan berdaya fikir pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu dalam
bilik darjah. Kertas Kerja. Konvensyen Pendidikan ke-10.

N.S.Rajendran. 2001. Pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi: kesediaan guru


mengendalikan proses pengajaran pembelajaran. Kertas kerja. Seminar/ pameran projek KBKK.

Poh Swee Hiang. 2002. Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif. Kuala Lumpur.
Percetakan Sentosa

Rafiei Mustapha. 1998. Kajian tentang kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK)
dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah.

Sarimah Kamrin. (2008). Tahap penguasaan kemahiran berfikir kritis pelajar sains tingkatan
empat di daerah Kulai merentas etnik.

Selva Ranee Subramaniam. 2007. Penyebatian kemahiran berfikir dalam pengajaran kimia secara
kontekstual. Jurnal pendidikan.27(1) : 85-98.

Siti Rahayah Ariffin, Rosadah Abd Majid, Zolkepeli Haron, Rodiah Idris, Anisa Alias, Shahir
Samsuri, Basri Hassan, Nor Azaheen Abdul Hamid. ( ). Kemahiran pemikiran kritikal dan
penyelesaian masalah pelajar-pelajar sains di Malaysia.

Zainudin Hassan, Hamdan Said, Jamilah Omar & Haslita Hassan.2006. Pengaplikasian
kemahiran berfikir dalam pengajaran kemahiran hidup bersepadu di sekolah menengah daerah
Kota Bahru, Kelantan.Universiti Teknologi Malaysia.

Mohd izham& Norazah. http://www.iab.edu.my/Jurnal/Jurnal%202007/IntICT.pdf. 19 Oktober


2010

Anda mungkin juga menyukai