Anda di halaman 1dari 5

DISKUSI 6 :

QUBA : SIMBOLIK KEPENTINGAN IBADAH


OBJEKTIF
Memahami peranan dan kepentingan masjid dalam membentuk peribadi individu,
masyarakat dan Negara Islam yang kukuh dan tersusun.
Mengenali individu yang terlibat semasa hijrah Rasulullah S.A.W.

1.0

MUQADDIMAH

Masjid merupakan tempat ibadah umat Islam yang mempunyai peranan yang sangat
penting dalam pembentukan masyarakat Islam. Hal ini dapat dilihat ketika peristiwa hijrah
Rasulullah ke Madinah dimana baginda membina Masjid Quba` semasa didalam perjalanan
tersebut dan juga Masjid Nabawi setibanya baginda di Madinah.
Sekiranya masjid itu dibina hanya semata-mata untuk dijadikan tempat solat maka sudah
tentu ia tidak memerlukan pembinaan yang segera. Tetapi oleh kerana Rasulullah S.A.W
melihat masjid memberikan pengertian yang lebih besar maka Rasulullah S.A.W memberi
keutamaan kepadanya.

2.0

PERISTIWA

2.1

PERINTAH HIJRAH

Apabila kaum Muslimin mencecah sehingga 70 orang di Makkah, tekanan dan penyeksaan
ke atas kaum Muslimin semakin menjadi-jadi. Mereka mengadu kepada Rasulullah S.A.W
dan meminta izin untuk berhijrah. Rasulullah memberi keizinan dan memerintahkan mereka
berpindah ke Yathrib (Madinah).
Seluruh kaum Muslimin ketika itu berhijrah ke Yathrib dan yang masih tinggal di Makkah
hanyalah Rasulullah, Saidina Abu Bakar, Saidina Ali atau mereka yang masih diseksa di dalam
kurungan dan orang sakit yang tidak berdaya untuk keluar berhijrah.
Setelah Rasulullah S.A.W mendapat keizinan daripada Allah S.W.T untuk berhijrah, baginda
meminta Abu Bakar menemani perjalanan hijrah baginda. Dr.Said Ramadhan al-Buthi
didalam Fiqh Sirah menyatakan Rasulullah S.A.W keluar berhijrah pada 2 Rabi`ul-Awwal
bersamaan 20 September 622 Masihi iaitu tahun ke-13 kenabian.

Kemudian, Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari. Diantara
mereka yang membantu perjalanan hijrah Rasulullah S.A.W ini ialah:
1. Abdullah bin Abu Bakar : Melaporkan perkara-perkara yang berlaku di
Makkah kepada Rasulullah dan Abu Bakar.
2. Amir bin Fuhairah (orang suruhan Abu Bakar) : Menghalau kambingnya di
atas kesan-kesan tapak kaki Abdullah bin Abu Bakar supaya tidak dapat
dikesan oleh pihak Quraisy. Beliau juga menyediakan air susu buat
Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar.
3. Asma dan Aishah binti Abu Bakar : Menyediakan bekalan makanan buat
Rasulullah dan Abu Bakar.
4. Abdullah bin Uraiqit ad-Daili : Penunjuk jalan ke Yathrib.
Selepas tiga malam berlalu dan yakin bahawa tiada sesiapa lagi yang mencari mereka,
Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar meneruskan perjalanan yang dipandu oleh Abdullah bin
Uraiqit. Beberapa peristiwa ajaib yang telah berlaku semasa perjalanan mereka disebutkan
secara ringkas di sini:
1. Suraqah bin Malik bin Ja`syam telah berjaya menjejaki mereka. Apabila
Suraqah mendekati mereka berdua, kaki kuda yang ditungganginya
terbenam ke dalam pasir dan tidak berupaya untuk berjalan. Dia
mencuba sebanyak tiga kali supaya kudanya menuju ke arah Rasulullah,
namun kudanya tetap enggan. Pada ketika itu, dia yakin bahawa di
hadapannya ialah seorang Rasul yang mulia. Lantas dia meminta supaya
Rasulullah S.A.W berjanji memberikannya sesuatu jika dia menolong
baginda. Baginda S.A.W menjanjikan untuknya dua gelang tangan yang
dipakai oleh Kisra. Suraqah kemudiannya pulang ke Makkah dan berlakon
seolah-olah dia tidak menemui sesiapa.
2. Rasulullah S.A.W melewati perkhemahan Ummu Ma'bad al-Khuza' iyyah.
Di tepi khemah tersebut terdapat seekor kambing betina yang kurus,
keletihan dan tidak mempunyai susu. Rasulullah mengusap-usap uncang
susu kambing tersebut dengan tangan baginda sambil membaca Bismillah
dan berdoa. Kemudian mengalirlah susu daripada kambing tersebut
hingga dapat diminum mereka sehingga kenyang.
3. Bertemu dengan Aba Buraidah yang merupakan ketua kepada kabilahnya.
Aba Buraidah pada ketika itu sedang mencari Rasulullah S.A.W demi
menyahut seruan Quraisy supaya membunuh Rasulullah. Tetapi hal
sebaliknya telah berlaku. Setelah dia bertemu dan berbicara dengan

Rasulullah S.A.W, dia lalu memeluk Islam bersama para pengikutnya


seramai 70 orang.
4. Rasulullah bertemu al-Zubair dengan rombongan kaum Muslimin di
dalam kabilah perniagaan dari Syam. Beliau memberi persalinan baju
putih kepada Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar.

2.2

PEMBINAAN MASJID

Rasulullah S.A.W tiba di Quba` pada 8 Rabiul Awwal iaitu pada hari Isnin dan menetap di
sana selama empat hari sehingga hari Khamis. Baginda telah membina sebuah masjid dan
solat di situ. Ianya merupakan masjid yang pertama sekali dibina pada zaman awal
perkembangan agama Islam setelah Baginda S.A.W dilantik sebagai Rasul. Masjid ini terletak
sekitar 5 km di sebelah tenggara kota Madinah. Jika diperhatikan, walaupun hanya
beberapa hari Rasulullah S.A.W berada di Quba', baginda telah berusaha membina masjid di
situ.
Di dalam al-Quran, Allah menceritakan perihal Masjid Quba`:



Janganlah kamu bersembahyang dalam mesjid itu selama-lamanya. sesungguhnya masjid
yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu
solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan
sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.
(at-Taubah: 108)
Setelah itu, baginda S.A.W meneruskan perjalanan pada pagi hari Jumaat. Baginda tiba di
perkampungan Bani Salim bin `Auf dimana pada ketika itu waktu solat Jumaat telah masuk.
Lalu Baginda S.A.W membina sebuah masjid di situ dan menunaikan solat Jumaat pertama
dan menyampaikan khutbah Jumaat yang pertama dalam Islam.
Seterusnya, Rasulullah S.A.W meneruskan perjalanan ke Yathrib dan tiba di sana pada hari
Jumaat. Sejak hari itu daerah yang bernama Yathrib itu dikenali dengan Madinah ar-Rasul.
Hari tersebut adalah hari bersejarah dan gilang-gemilang. Jalan-jalan, lorong dan rumahrumah bergema dengan tahmid dan taqdis, seluruh anak-anak gadis Ansar mendendangkan
rangkap-rangkap puisi, tanda kegembiraan dan keceriaan.

Tindakan pertama yang dilakukan baginda S.A.W ialah memilih tempat unta baginda
berhenti duduk untuk dijadikan sebagai masjid. Tempat tersebut ialah tempat pengering
tamar yang dimiliki oleh dua orang anak yatim Ansar yang bernama Sahl dan Suhail bin
`Amr. Mereka berdua ingin menghadiahkan sahaja tanah tersebut, tetapi Rasulullah S.A.W
keberatan untuk menerimanya secara percuma dan akhirnya dibayar dengan harga sepuluh
dinar.
Kemudian Rasulullah S.A.W bersama para sahabat membina masjid yang panjangnya
seratus hasta, serambi kiri dan kanannya lebih kurang itu juga. Bahan binaannya terdiri
daripada batu-bata, tiang-tiangnya daripada batang pohon tamar dan atapnya daripada
pelepah tamar. Kiblat masjid ini menghadap ke arah Baitul Muqaddis.
Di dalam Hadith Anas bin Malik r.a menyebutkan: Ketika Rasulullah S.A.W datang ke
Madinah, baginda singgah di kawasan yang agak tinggi di Kota Madinah iaitu sebuah
tempat yang bernama Bani Amru bin Auf. Baginda tinggal bersama mereka selama empat
belas malam. Kemudian baginda menyuruh supaya memanggil pemimpin Bani Najjar. Lalu
mereka pun datang membawa pedang masing-masing.
Beliau berkata lagi: Aku seolah-olah melihat Rasulullah s.a.w di atas untanya, manakala
Abu Bakar berada di belakang baginda, sementara pemimpin Bani Najjar mengelilingi
baginda. Baginda membiarkan saja unta baginda itu membawanya sehinggalah baginda
tiba di halaman rumah milik Abu Ayyub. Beliau berkata lagi: Rasulullah s.a.w solat walau
di mana saja bila tiba waktu solat, baginda sembahyang di dalam kawasan pemeliharaan
kambing. Kemudian baginda memerintahkan supaya didirikan sebuah masjid.
Beliau berkata lagi: Lalu baginda menyuruh memanggil pemimpin Bani Najjar itu, mereka
pun datang. Lalu baginda bersabda: Wahai Bani Najjar! Nyatakan harga kebunmu ini
kepadaku. Lalu mereka menjawab: Tidak! Demi Allah, kami tidak mahukan harganya
kecuali kepada Allah. Lalu Anas berkata: Mengikut pengetahuanku, dalam kebun itu
terdapat pokok kurma, kubur orang-orang Musyrikin dan runtuhan bangunan. Lantas
Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya memotong pokok kurma, membongkar kubur
orang-orang Musyrikin dan meratakan runtuhan bangunan. Beliau berkata lagi: Lalu
mereka menjadikan pohon kurma tersebut sebagai arah kiblat dan sebuah batu besar
sebagai bahu pintu gerbang. Beliau berkata lagi: Mereka melakukan pekerjaan berat itu
sambil mengalunkan syair dan Rasulullah S.A.W ada bersama mereka.
Bermula di sinilah terpancarnya cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian Ihsan dan
ketinggian akhlak umat Islam sehingga ke seluruh pelosok dunia. Di samping itu, Baginda
S.A.W telah menjadikan masjid sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi
gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan,
markaz tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan
Allah dan manusia sesama manusia.

3.0

NILAI DAN PENGAJARAN


1. Masjid merupakan asas pertama dan utama untuk membentuk masyarakat
Islam kerana dengan masjid itulah umat Islam dapat membina kekuatan
dengan mengikuti segala sistem Islam, aqidah dan peradabannya.
2. Masjid ialah tempat yang paling sesuai untuk meluaskan ruh parsaudaraan
dan ikatan mahabbah sesama Islam. Di sana, segala kedudukan dan pangkat,
keturunan dan kekayaan diketepikan.
3. Melahirkan semangat kebersamaan dan keadilan dalam kalangan umat Islam
melalui solat berjemaah. Seandainya setiap orang melaksanakan solat di
rumah masing-masing bersendirian tanpa perkongsian dan permuafakatan,
nescaya hilanglah semangat kebersamaan dan lahirlah sikap mementingkan
diri.
4. Peranan yang dipikul oleh Abdullah bin Abu Bakar membuktikan pengaruh
pemuda terhadap pergerakan dakwah. Kesan keberanian pemuda untuk
berkorban dan menggadaikan diri menyebabkan dakwah mara dengan laju ke
arah kemenangan.
5. Peranan Aishah dan Asma radhiyallahu `anhuma ketika hijrah Rasul S.A.W
membuktikan peranan kaum wanita diperlukan dalam dakwah. Jiwa wanita
lebih toleransi dan hatinya lebih lembut. Selain menjadi anak, isteri dan ibu,
mereka lebih mampu menyebarkan nilai-nilai yang diperlukan oleh
masyarakat kita hari ini di kalangan wanita berbanding lelaki. Wanita Islam
berjasa besar dalam mendidik generasi sahabat yang masih kanak-kanak,
begitu juga generasi tabi`in.
6. Daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika hijrah Rasulullah ke
Madinah, jelas kepada kita Rasulullah S.A.W tidak singgah di satu-satu
tempat melainkan perkara pertama yang dilakukan ialah membina masjid
sebagai tempat orang-orang mukmin berhimpun. Baginda telah membina
Masjid Quba` ketika bermukim di situ selama empat hari. Baginda juga telah
membina sebuah masjid di pertengahan jalan antara Quba` dan Madinah,
iaitu apabila tiba waktu solat Jumaat di perkampungan Bani Salim bin Auf.

RUJUKAN
1. Dr. Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah, Terjemahan Ustaz Mohd
Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, 1983.
2. Dr. Musthafa al-Sibai,al-Sirah Al-Nabawiyah; Durus wal Ibrah, Terjemahan
(PDF), Konsis Media.
3. Syeikh Safy al-Rahman al-Mubarakfuriyy, al-Raheeq al-Makhtum,
Terjemahan (PDF)

Anda mungkin juga menyukai