Anda di halaman 1dari 3

Sastera Epik

Genre sastera dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu drama, epik
dan lirik. Epik adalah puisi naratif yang panjang dan berbentuk ucapan yang
tulen. Epik lebih panjang daripada drama. Bagaimanapun epik kurang kemas
strukturnya kerana panjang serta ceritanya pula lebih bersifat peristiwa. Epik
kepahlawanan (disebut EK) ialah sebuah epik yang mana unsur-unsur di
dalamnya merupakan kisah-kisah keberanian dan kepahlawanan tokoh-tokoh
wira manusia yang termahsyur. Menurut Koster, EK ialah suatu naratif tentang
perbuatan agung dan gemilang yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan pada
suatu masa dahulu kala. Tambah beliau, EK disampaikan secara lisan oleh
pencerita ataupun disampaikan secara bertulis tetapi seolah-olah disampaikan
oleh pencerita lisan. (Koster, 1995:25). Malah peranan dewa-dewa juga diselitkan
dalam cerita ini. Kisah-kisah ini diberi kepentingan yang luas ertinya sehingga
melibatkan seluruh tamadun manusia. EK sering mengambil bahannya dari
sejarah dan mitos. Mitos lebih bersifat rohaniah dan berhubung dengan
pandangan masyarakat pada satu-satu ketika. Penciptaannya bukanlah sejenis
dongengan tetapi di dalamnya terdapat suara untuk memohon restu daripada
dewa. (Danziger, 1993:109)
EK sebagai puisi naratif mempunyai tema dan gaya yang agak berlainan. Epik
berkaitan dengan peristiwa-peristiwa legenda dan sejarah untuk membentuk
satu signifikan (=makna baru) kepada sesebuah bangsa, negara mahupun
kepada universal. Secara amnya epik merangkumi beberapa elemen seperti
mengemukakan kuasa-kuasa luar biasa yang membentuk setiap aksi atau
perlakuan seseorang protogonis dan antogonis dalam cerita. Selain itu, terdapat
juga konflik-konflik tertentu yang menyebabkan peperangan berlaku. Selain itu,
penyataan temanya cukup jelas dan ujaran-ujaran yang digunakan oleh watak
adalah lebih memberangsangkan atau melebih-lebihkan sesuatu suasana. EK ini
menekankan sifat-sifat keunggulan sesebuah negara pada sesuatu signifikan
masa dalam sejarah.
Perwatakan wira dalam EK lebih bersifat kenegaraan berbanding keindividuan
seperti dalam cerita romans. Setiap perlakuan watak itu menunjukkan
kebanggaan negara atau sesuatu bangsa. Pada masa yang lain, epik ini
mensintesiskan keunggulan agama-agama terbesar atau pergerakan budaya
sesuatu bangsa. Epik ini dibentuk daripada tradisi lisan. Hal ini termasuklah
Anglo-Saxon Beowulf (kurun ke-8), Epik India iaitu Mahabarata (300 sebelum
masihi dan 300 selepas masihi serta Ramayana (300 sebelum masihi).
Kesusasteraan EK ini adalah ciptaan penyair-penyair yang terkenal yang pernah
bekerja atau berkhidmat kepada mana-mana bentuk pengiktirafan seperti istana
dan sebagainya. Kesusasteraan epik ini berhubung kait dengan tradisi, mitos,
dan sejarah sesebuah negara atau tamadun.
Dalam EK perbuatan hebat dipanjang-panjangkan. Epik mempunyai kata-kata
yang gemilang dan diceritakan dengan menggunakan acuan yang sama. Hal ini
kerana pencerita sudahpun menghafal acuan (=pola-pola penceritaan). Beliau
tidak menghafal keseluruhan cerita tetapi cuma ingat pola-pola ceritanya sahaja.
Epik sebenarnya dimonopoli oleh dunia lelaki contohnya dalam epik Hikayat
Hang Tuah, dan epik Syair Perang Mengkasar. Bagi Mahabarata dan Ramayana
walaupun dunia lelaki lebih dominan tetapi terdapat juga watak wanita yang
tidak kurang penting. Contohnya dalam Mahabarata, ada episod peperangan

antara Pandawa dengan Korawa kerana isteri kelima adik beradik Pandawa iaitu
Draupadi ingin diberkas oleh Korawa. Dalam Ramayana pula, episod
pengembaraan Sita Dewi berlaku kerana ketidakpercayaan Rama terhadap
kesucian isterinya. Dalam kebanyakan epik kuasa luar biasa termasuk kuasa
Dewata adalah sangat penting. Kuasa ini bukan sekadar menasihati wira malah
membantu wira dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Dalam EK, wira digambarkan sebagai seorang yang bercakap besar dan
percakapan besar itu mesti dituruti olehnya. Jika tidak dia akan dikatakan
sombong dan angkuh. Setiap permulaan epik, wira dikaitkan dengan kelahiran
yang amat istimewa atau unggul. Biasanya kesemua cerita epik berkisar pada
bangsawan atau orang-orang istana. Percakapan besar ini dikaitkan dengan
keberanian watak. Ada kalanya seseorang watak itu mati kerana keterlaluan
dalam menunjukkan keberaniannya. Lagi pun dia berasa malu jika dia minta
sebarang bantuan daripada orang lain. Seboleh-bolehnya dia mengatasi sendiri
sesuatu masalah walaupun dia tahu bahawa dia tidak mampu melakukannya.
Struktur penceritaan EK lebih menekankan kata dan makna. Setiap perkataan
yang diujarkan oleh wira bukanlah sesuatu yang sia-sia, sebaliknya berisi dan
bermakna. Dalam epic, wira tidak akan menggunakan kata-kata ujarannya
dengan membazirkan begitu sahaja. Setiap perkataan yang dilafazkan ada
makna dan kata-katanya itu biasanya dikotakan, bukan sekadar cakap angin
sahaja. Akan tetapi dalam penggunaan kata-kata itu, terdapat juga puji-pujian.
Sebenarnya puji-pujian ini adalah untuk mengingatkan atau memberi
pengajaran kepada pembaca. Daripada pengingatan tersebut pencerita inginkan
kita mengambil teladan. Kebanyakan EK bertujuan menyampaikan ingatan atau
teladan kepada kita. Dalam epik, penerusan ingatan adalah satu sumber
kebanggaan. Sumber kebanggaan itu berdasarkan keturunan yang gilang
gemilang.
Begitu juga apabila kita membicarakan epik, kita tidak dapat melarikan diri
daripada konfllik. Konflik yang berlaku antara pihak yang berhak dengan pihak
yang merampas hak itulah akan menjadi tonggak penceritaan dalam EK.
Contohnya epik Mahabarata itu sendiri ditulis berdasarkan konflik tersebut: iaitu
pihak Korawa ingin merampas kuasa atau hak yang sepatutnya dimiliki oleh
pihak Pandawa. Unsur pengingatan yang terdapat di sini ialah sesuatu konflik
dalam epik yang diasaskan oleh dua perkara pokok iaitu Hukum(=Law) dan
keinginan (desire). Boleh dikatakan dalam semua epik, semua konflik yang
digambarkan adalah berpunca daripada dua perkara pokok ini. Pihak yang
merampas hak seseorang itu lalai atau alpa akan hukum (=undang-undang)
yang telah ditetapkan sama ada oleh agamawi ataupun duniawai. Biasanya si
pelupa hukum ini melakukan sesuatu mengikut hawa nafsunya sahaja tanpa
memikirkan risikonya. Bagaimanapun dalam bahagian peleraian EK ini, sentiasa
digambarkan poetic justice iaitu mereka yang gagal ingat akan hukum-hukum
ini, akan mendapat ganjaran yang setimpal. Menurut Koster, orang-orang yang
mematuhi hukum akan menerima ganjaran yang baik, dan yang melanggarnya
dihukum. (Koster,1994:1). Begitu juga dalam epik. Jika seseorang watak itu
bercakap besar, bersombong atau berpura-pura, maka kepura-puraan,
kesombongan dan percakapan besarnya itu dihukum.
Satu lagi ciri yang menonjol dalam EK ialah peperangan yang digambarkan
dalam EK selalunya tidaklah fair play. Hal ini bermaksud tentu ada permainan

kotor atau peperangan kotor. Ini dilakukan dengan penipuan, pembohongan dan
pengkhianatan sama ada oleh protoganis atau antoganis. Hal ini disebabkan oleh
dua faktor. Yang pertama pencerita ingin mengingatkan kepada pembaca
bahawa untuk menegakkan keadilan, kita boleh melakukan pengkhianatan ini.
Unsur ini dilakukan oleh pasukan wira. Manakala pengkhianatan dengan tujuan
jahat untuk merampas hak seseorang itu pula dilakukan oleh pasukan jahat dan
sekutunya.

Anda mungkin juga menyukai