Anda di halaman 1dari 14

Ketaksamaan Sosial : Bukti bahawa Ketaksamaan Sosial dan

Perlapisan tidak dapat dielakkan dan berlaku di setiap Masyarakat

PENDAHULUAN
Ketaksamaan sosial adalah merujuk kepada cara atau proses penstrukturan sosial yang berlainan
dalam masyarakat kerana terdapatnya stratifikasi sosial didalamnya. Walau bagaimanapun,
ketaksamaan sosial memberi definisi yang membawa kepada makna dan konsep yang lebih
umum. Dimana didalamnya merangkumi apa jua bentuk penyusunan manusia ke dalam
kedudukan-kedudukan sosial yang tidak sama rata yang terbentuk menerusi proses penilaian dan
penyusunan taraf ke atas manusia dan kedudukan sosial dalam menentukan tugas dan
peranannya. Ketaksamaan sosial juga merujuk kepada peluang yang diwujudkan berbeza kepada
anggota masyarakat atau kumpulan sosial. Fenomena ini juga boleh difahami mengikut sifatnya
yang berbeza dari segi kompleksiti, budaya, masa dan sistem-sistem ekonomi dan politik
masyarakat. [1]

Ketaksamaan Sosial berlaku dimana-mana sahaja kerana manusia itu sendiri adalah unik
kejadiannya dan wujud dalam berbagai bentuk serta melibatkan kesemua anggota masyarakat.
Menurut catatan sejarah, fenomena perbezaan kedudukan sosial antara individu dalam
masyarakat memang sudah wujud sejak zaman dahulu lagi. Bermula dari zaman awal kewujudan
manusia sendiri, dimana manusia mula memberi perhatian kepada keunikan disebabkan
perbezaan yang terdapat didalam masyarakat mereka.
Keunikan yang didapati itu diklasifikasikan kepada dua bahagian yang besar iaitu perbezaan
yang ada pada diri manusia itu secara semula jadi dan perbezaan yang dicapai oleh anggota
masyarakat. Variasi ini akan menimbulkan perbezaan diantara satu sama lain seterusnya
membawa kepada ketaksamaan sosial yang berlaku. Perbezaan individu ialah satu konsep yang
merujuk kepada keunikan dan ketidaksamaan yang wujud diantara individu yang berlainan.

Walau bagaimanapun terdapat dua bentuk ketidaksamaan di kalangan manusia. Pertama,


ketidaksamaan semula jadi atau fizikal seperti ketidaksamaan anggota masyarakat dari segi
umur, jantina, warna kulit, kekuatan fizikal, kecerdasan otak dan sebagainya. Kedua, ialah
ketidaksamaan yang dicapai oleh anggota masyarakat dari aspek kekayaan, pendidikan,
pekerjaan, penghormatan dan kuasa politik. Sesetengah ketidaksamaan ini pula kadangkala
dijadikan asas atau kriteria untuk membeza-bezakan kedudukan dan tugas anggota-anggota

masyarakat dan seterusnya memperlihatkan strata atau lapisan-lapisan tertentu yang dilahirkan
atas faktor ketaksamaan ini.
PERBEZAAN SECARA SEMULA JADI

Perbezaan secara semula jadi adalah perbezaan yang timbul dalam diri manusia itu sendiri.
Dengan merujuk kepada manusia sebagai model dalam mencari perbezaan individu yang wujud
dapat dipecahkan pula kepada beberapa bahagian unik yang saling berbeza diantara satu sama
lain. Perbezaan individu ini dapat dilihat dalam konteks aspek perkembangan secara fizikal,
mental dan emosi dikalangan individu. Perbezaan yang ada pada manusia itu dihuraikan sebagai
variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulan sama ada yang bersifat kognitif,
emosi, fizikal, moral, sosial dan lain-lain aspek yang mungkin terdapat dikalangan individu
dalam sesuatu kumpulan.
Aspek perbezaan fizikal misalnya dapat dilihat dari segi perbezaan jantina lelaki dan
perempuan, perbezaan dari segi rupa samada cantik, kacak, manis dan saiz badan yang mengukur
besar mahupun kecil, tinggi mahupun rendah rangkanya serta kemahiran jasmani. Bukti
perbezaan ini juga seperti yang terdapat didalam Al-quran surah Al-Qiyamah ayat 39 yang
bermaksud :
Lalu Allah menjadikan daripadanya sepasang: laki-laki dan perempuan.[2]
Antara faktor-faktor yang dapat dilihat tentang ketidaksamaan jantina ini ialah :
i)

Perbezaan jantina dari segi biologi

ii)
Perbezaan bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh budaya tentang konsep
kelelakian dan kewanitaan. Ini dinamakan keunggulan kejantinaan. Misalnya anak lelaki
sepatutnya menunjukkan sifat agresif jika dibandingkan dengan anak perempuan yang
sepatutnya menunjukkan sifat lemah lembut dan tidak bersifat agresif.
iii)
Perbezaan peranan jantina dimana lelaki sebagai ketua keluarga dan wanita pula menjaga
anak. [3]

Perbezaan kognitif pula lebih terarah kepada perbezaan dari segi mental yang memfokuskan dari
segi keupayaan berfikir, belajar, mengingat, menaakul serta menganalisis. Dengan perbezaan
kognitif inilah munculnya tamadun manusia yang maju dan bervariasi bentuknya. Lahirnya
tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam bidang masing-masing seperti Ibn Sina dalam bidang
perubatan, Ibn Batutta dalam ilmu pelayaran, Adik beradik Wright dengan penciptaan kapal
terbang, Alexander Graham Bell dengan penciptaan alat komunikasi dan beberapa orang tokoh
lagi yang menjadi pelopor kepada penciptaan alatan atau sumber ilmu yang ada di didunia ini.

Perbezaan kognitif yang ada itulah yang dapat melahirkan tokoh yang berlainan dengan
penciptaan yang berbeza diikuti pencambahan ilmu yang lebih meluas lagi.

Manakala perbezaan dari segi aspek emosi pula merujuk kepada emosi yang berbeza yang
diinterpretasikan oleh setiap orang walaupun berada dalam situasi yang sama yang mana
seterusnya akan memberikan respon yang berlainan kepada aspek tingkah laku termasuklah dari
segi pergaulan, interaksi dan aktiviti sosial. Emosi marah, sedih, gembira akan dirasai oleh
individu dan emosi ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh suasana sekeliling atau hormon yang
terdapat didalam tubuh manusia itu sendiri. Faktor semulajadi inilah seterusnya menjadi
penyebab kepada lahirnya emosi yang pelbagai dan berubah-berubah mengikut pembolehubah
bergerak balas hasil manipulasi yang dilakukan.

PERBEZAAN YANG DICAPAI OLEH ANGGOTA MASYARAKAT

Perbezaan individu juga boleh dipengaruhi oleh persekitarannya disebabkan tingkah laku yang
ditunjukkan oleh masyarakat. Banyak faktor-faktor yang memainkan peranan dalam
menterjemahkan perbezaan kepada kelainan dalam diri individu itu sendiri. Faktor-faktor yang
menyumbangkan kepada perbezaan individu dapat dikelaskan kepada tiga bahagian utama iaitu
dari aspek sosial, ekonomi dan politik.

Aspek Sosial
Aristotle contohnya telah menyatakan bahawa kira-kira 2000 tahun yang lampau manusia
terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu kumpulan yang paling kaya, kumpulan yang paling
miskin dan kumpulan yang sederhana kedudukannya. Jadi penyelidikan tentang kehidupan sosial
suku-suku bangsa dalam peradaban dunia dengan jelasnya menunjukkan bahawa suatu bentuk
susunan pangkat pasti wujud. Oleh itu fenomena susun lapis dalam masyarakat adalah sesuatu
yang bersifat universal iaitu boleh dilihat dalam mana-mana masyarakat.

Dengan perbezaan individu atau kelompok dalam masyarakat telah menyebabkan


munculnya satu hierarki yang terdiri daripada lapisan ataupun strata yang berlainan
kedudukannya yang disebut sebagai stratifikasi sosial. Terdapat satu konsep lagi yang sering
digunakan dalam perspektif sosiologi tentang fenomena ini iaitu ketidaksamaan mendapat
ganjaran sosial yang sama.

Stratifikasi sosial adalah fenomena yang berasal dari perkataan stratified atau strata
yang bermaksud susun lapis. Struktur pola tersebut juga merupakan susunan sesuatu masyarakat
kepada satu hierarki kedudukan yang tidak sama rata berhubung dengan kuasa, harta, penilaian
sosial dan kepuasan psikologi. Oleh itu stratifikasi sosial merupakan proses pembezaan individuindividu dalam masyarakat yang menyebabkan kemunculan sesuatu hierarki yang terdiri
daripada lapisan atau strata yang berlainan kedudukannya. Pada asasnya stratifikasi melibatkan
keistimewaan yang berbeza-beza serta peluang hidup (life chances) yang berlainan dan
mempunyai keistimewaan yang berlainan. Peluang hidup meliputi peluang untuk mencapai
matlamat tertentu, peluang untuk menikmati kemudahan sosial dan sebagainya.

Susun lapis dalam stratifikasi sosial itu juga meliputi satu bentuk penyusunan struktur
dalam masyarakat yang diterima umum untuk menentukan kedudukan sosial seseorang dalam
struktur sosial masyarakat tadi. Kadangkala bentuk tersebut diperkuatkan oleh tradisi yang
diwarisi. Keadaan ini pada pandangan ahli sosiologi melibatkan satu sistem pembahagian
keistimewaan yang berbeza kerana dalam sesuatu masyarakat akan terdapat sesuatu kelompok
atau golongan yang akan menerima barangan, khidmat, kuasa dan kepuasan emosi lebih daripada
orang lain sebagai satu bentuk taat setia atau pertukaran kepada sesuatu.

Jadi stratifikasi sosial wujud kerana terdapat ketidaksamaan sosial dikalangan anggotaanggota masyarakat dan ketidaksamaan ini pula diiktiraf oleh masyarakat disebabkan wujudnya
variasi diantara mereka. Walaupun dalam semua masyarakat boleh dikatakan wujud fenomena
susun lapis masyarakat, namun bentuk susun lapisnya berbeza-beza daripada masyarakat kepada
masyarakat dari semasa ke semasa disebabkan perbezaan budaya dan agamanya. Namun
demikian perspektif sosiologi telah dapat membezakan empat jenis sistem susun lapis yang
utama iaitu sistem perhambaan, sistem kasta, sistem estet serta sistem kelas dan status sosial.

i)

Sistem Perhambaan (Slavery)

Perhambaan merupakan bentuk ketidaksamaan sosial yang terdapat dalam masyarakat


tradisional. Ia lebih bersifat melampau kerana golongan ini adalah golongan terendah didalam
sistem sosial manusia. Ciri penting dalam sistem ini ialah manusia menjadi alat atau hamba yang
dimiliki oleh pihak lain. Mereka merupakan aset kepada seseorang dan ia sah dari segi undangundang kerana diterima pakai oleh masyarakat. Status hamba adalah sangat rendah sehingga
mereka dianggap sama seperti binatang yang boleh digunakan untuk bekerja atau perkakas yang
dimiliki tuan punya sahaja. Seorang hamba itu dibezakan daripada yang lain berdasarkan faktor
perbezaan ras dan etnik, jantina atau tawanan perang. Sistem ini pada satu masa dulu dianggap
sebagai satu keperluan dalam susun lapis sosial masyarakat kini telah dihapuskan oleh undangundang diseluruh dunia seiring dengan perkembangan dunia yang semakin berbeza keadaanya.

ii)

Sistem kasta

Sistem kasta ini berasal dari agama Hindu di India. Sistem kasta ini merupakan pembahagian
anggota masyarakatnya mengikut keturunan atau kelas-kelas yang tertentu. Perbezaan prestij
yang sungguh nyata ini telah mewujudkan satu sistem status yang tertutup bagi ahli-ahli
masyarakat tersebut. Seorang kanak-kanak yang lahir dalam satu kasta tidak boleh berpindah
kepada satu kasta yang lain. Tiada siapa yang boleh bergaul atau berkahwin dengan kasta yang
lain. Ahli-ahli dalam kasta adalah bersaudara dan saling tolong-menolong.

Jadi sistem kasta ini merupakan satu hierarki lapisan sosial yang keanggotaannya
ditentukan oleh faktor kelahiran dan bersifat kekal. Antara lapisan-lapisan itu terdapat
ketidaksamaan dari segi status dan kebolehan menikmati benda-benda dan perkhidmatanperkhidmatan yang ada dalam masyarakat tersebut. Sistem kasta ini pun masih kuat
mempengaruhi kehidupan masyarakat India.

Dalam sistem kasta India, masyarakat terbahagi kepada 4 strata :


a) Kasta Brahmin yang terdiri daripada golongan pendeta dan agama
b) Kasta Ksatriya yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan perang
c) Kasta Vaishyas yang terdiri daripada pedagang dan pekedai
d) Kasta Sudras yang terdiri daripada pembantu rumah dan hamba abdi

Satu aspek penting tentang sistem ini ialah seseorang itu haruslah mengamalkan larangan atau
taboo tentang perkahwinan, makan dan pergaulan. Misalnya perkahwinan dengan orang yang
lebih rendah kastanya adalah dilarang dan dianggap sebagai satu pencemaran. Walaupun ramai
yang menentang sistem kasta ini tetapi ia masih kuat diamalkan lagi khususnya di India.

iii)

Sistem Estet

Sistem estet biasanya dikaitkan dengan masyarakat feudal yang menentukan kedudukan
seseorang melalui hubungannya dengan tanah. Sistem ini berkembang di Eropah pada zaman
pertengahan. Dalam sistem feudal, tanah merupakan sumber penghidupan yang utama bagi
semua lapisan penduduk. Oleh itu martabat dan kuasa seseorang bergabung kepada hubungannya

dengan tanah dimana orang yang mempunyai tanah adalah bebas dan berkuasa sementara orang
yang tidak bertanah, terpaksa mengerjakan tanah orang lain berada dibawah kuasa tuan tanahnya.

Dalam sistem ini terdapat lapisan sosial yang disusun dalam satu hierarki. Dikemuncak hierarki
ialah raja. Kemudian golongan bangsawan atau pemerintah (nobility), diikuti oleh golongan
paderi (clergy) yang berpengetahuan tentang agama dan di bawah sekali ialah golongan rakyat
atau kaum tani (peasantry) yang tidak bertanah, tertindas dan tidak mempunyai kuasa politik.
Tiap-tiap estet ini ditentukan oleh faktor kelahiran, tetapi boleh mengubah kedudukannya
contohnya melalui pengurniaan raja atau keizinan daripada pihak atas dalam hierarki status tadi.

iv)

Sistem Kelas dan Status Sosial

Pembahagian anggota masyarakat ke dalam kelas-kelas tertentu merupakan salah satu


manifestasi ketidaksamaan sosial yang paling menonjol di dunia moden ini. Berbagai-bagai kelas
sosial wujud apabila kuasa-kuasa pengeluaran melampaui peringkat-peringkat sara diri dan ini
melibatkan perluasan pembahagian tugas di luar unit keluarga, pengumpulan harta yang
berlebihan dan kewujudan hak pemilikan persendirian terhadap sumber-sumber ekonomi.

Ketidaksamaan sosial ini lantas membawa kepada pergerakan sosial dan organisasi lalu
melahirkan beberapa gerakan yang lain seperti gerakan buruh, penyewa tanah, pelajar, wanita
dan tentera sendiri. Atas beberapa faktor, gerakan ini bergerak diatas tindak balas sistem yang
dimalarkan dan akhirnya membentuk satu manipulasi dari segi perubahan ketidakseimbangan
masyarakat. Seterusnya faktor seperti inilah yang membawa kepada timbulnya kelas dan
kekuasaan dalam perubahan sosial yang berlaku akibat dari kesan sejarah lalu.[4]

Aspek Ekonomi
Banyak pendapat dari aspek ekonomi menjerumus ke arah pembentukan kelas, kuasa dan status
di dalam masyarakat dimana pembentukan ini akan membawa kepada ketaksamaan sosial yang
berlaku. Jika diperhatikan pembahagiannya, kelas lebih merujuk kepada pengukuran kedudukan
sosial manusia dari segi kebendaan dan pembentukan ini tidak dapat dipisahkan daripada
institusi ekonomi.

Ini kerana kelas-kelas sosial yang terhasil itu kemudian menjadi kumpulan-kumpulan ekonomi
yang terbuka yang tidak dibentuk atau disokong oleh apa-apa peraturan agama atau undangundang. Kelas sosial itu akan mengalami mobiliti menegak dalam hierarki sosial mengikut taraf
ekonomi yang dimilikinya. Pembahagian kepada kelas-kelas tertentu adalah didasarkan kepada

faktor ekonomi khususnya. Kawalan ke atas harta faktor asas yang menentukan peluang hidup
seseorang individu atau satu-satu kelas. Orang-orang yang mempunyai kawalan yang banyak ke
atas sumber-sumber pengeluaran seperti tanah dan modal akan dianggap sebagai menganggotai
kelas-kelas yang tinggi kedudukannya berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai apaapa kawalan ke atas sumber-sumber pengeluaran dan dianggap sebagai menganggotai kelas
bawahan. Istilah yang lebih teknikal lagi menyatakan kelas sosial ialah status sosioekonomi
(SES).

Kriteria-kriteria bagi mengukur status sosioekonomi seseorang ialah pendapatan, tahap


pendidikan yang dicapai, kekayaan dan keturunan. Berdasarkan kriteria ini ahli sosiologi pada
hari ini telah mengenalpasti 5 kelas sosial iaitu kelas atasan, kelas pertengahan atas, pertengahan
bawahan, kelas pekerja dan kelas bawahan.[5]

Faktor yang mewujudkan lagi ketaksamaan sosial dari aspek ekonomi ini dapat dilihat melalui
perkerjaan yang dikerjakan oleh ahli masyarakat. Dari perspektif sosiologi, pekerjaan
didefinisikan sebagai aktiviti yang dilakukan secara berterusan untuk mencapai matlamat yang
berkaitan dengan keperluan ekonomi. Jadi dengan melakukan pekerjaan itu dapat menentukan
kedudukan sosial individu kerana aktiviti seperti itu mempunyai nilai pasaran. Dan secara tidak
langsung turut mempengaruhi gaya hidup individu itu berdasarkan kedudukan sosial yang
dihuni.

Menyelusuri sejarah dapat dianalisa perbezaan punca pencarian ekonomi dahulu dan kini sudah
banyak bezanya. Jika zaman dahulu, masyarakat lebih selesa menjalankan ekonomi sara diri
tetapi keadaan itu sudah berubah dalam menuju ke Negara Industri dimana anggota-anggota
masyarakat mula bersaing sesama sendiri bagi menjana ekonomi dan prinsip sekadar cukup
makan tidak lagi diguna pakai kerana masyarakat sudah mula mengumpul kekayaan bagi
menentukan kedudukan status mereka dalam sesebuah masyarakat. Pekerjaan yang dahulunya
mudah kini menjadi kompleks disebabkan beberapa faktor globalisasi. Oleh itu pekerjaan kini
adalah untuk mencapai satu darjat jaminan ekonomi bagi memperolehi kehidupan yang lebih
selesa dan terjamin pada masa akan datang. Pendeknya pekerjaan telah menjadi alat atau saluran
kepada manusia untuk memajukan diri disamping untuk terus hidup dan secara tidak langsung
telah mengakibatkan faktor kepada perbezaan status anggota-anggota masyarakat.

Jenis sistem yang diamalkan oleh Negara juga memainkan peranan yang penting dalam
melahirkan ketaksamaan sosial. Jika di dalam sistem kapitalisme, anggota masyarakatnya saling
berlumba mengumpul harta, sistem ekonomi sosialis pula lebih memfokuskan kepada ekonomi
yang dikuasai oleh kerajaan sebagai pembuat keputusan. Manakala sistem ekonomi islam lebih

menekankan kepada sistem yang bercorak keislaman dalam erti kata lain meletakkan agama
sebagai dasar membuat keputusan berdasarkan konsep amar makruf nahi mungkar.

Jadi secara umumnya dapat dilihat akan kepelbagaian sistem ekonomi yang wujud dalam
masyarakat memberikan perbezaan dari sudut sosial dan sistem politiknya. Sebagai contoh yang
dapat dilihat dalam struktur ekonomi Sudan yang semakin membangun dengan pembinaan
kondominium di kawasan lembah sebagai satu usaha dalam mewujudkan variasi perubahan
ekonomi. Kondominium yang dibina di lembah Sungai Nil, utara Khartoum yang terletak
berdekatan pusat Kordofan dan diselatannya adalah kawasan Kassala itu adalah satu kawasan
yang turut mengandungi skim pertanian dan memberi faedah dalam penyebaran pendidikan dan
perkhidmatan kesihatan. Dengan mewujudkan pembangunan urban, banyak pengilangan dan
pembuatan dilahirkan dan ini mewujudkan ketidakseimbangan dalam pembangunan kerana
menumpukan kepada sesebuah kawasan untuk dimajukan dan bukan secara keseluruhan. Tanda
ketidakseimbangan kawasan dapat dijumpai dalam perbandingan pengaliran pelaburan didalam
sesebuah wilayah.[6] Ini memberi kesan kepada ekonomi Negara secara tidak langsung
membawa kepada perubahan sosial masyarakat yang berlainan kawasan seterusnya mewujudkan
ketidaksamaan dalam sistem masyarakat itu sendiri.

Aspek Politik
Terbentuknya sebuah Negara dengan adanya pemimpin dan rakyat. Jadi perlunya sebuah
organisasi dalam sesebuah pentadbiran bagi menjadikan sistem pemerintahan menjadi lebih
sistematik. Maka lahirlah pelbagai jenis sistem pemerintahan antaranya ialah sistem monarki,
demokrasi, feudal, republik dan lain-lain lagi.

Perbezaan dalam sistem pemerintahan ini kemudiannya membawa kepada ketaksamaan sosial
yang berlaku. Sistem monarki misalnya merupakan sistem beraja dimana kekuasaannya diwarisi
daripada keturunan diraja. Berlainan dengan sistem demokrasi yang mana pemerintahnya dipilih
berdasarkan suara undi dari rakyat melalui pilihanraya. Jadi dengan perbezaan ini melahirkan
rakyat yang berlainan corak hidupnya, organisasi yang berbeza dan menimbulkan begitu banyak
ketidaksamaan diantara satu sama lain.

Kesan pemerintahan yang diamalkan oleh Negara membawa perubahan kepada rakyat yang
menghuni. Lihat sahaja pada Negara Amerika dimana rakyatnya saling berlumba dalam
mengejar kekayaan kerana faktor sistem ekonomi berbentuk kapitalisme dan sistem
pemerintahan demokrasi yang diamalkan telah memberi sepenuh kebebasan kepada rakyatnya
dalam membuat keputusan. Berbanding dengan Negara Malaysia sendiri yang mengamalkan

sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dimana walaupun rakyat mempunyai kebebasan


dalam bersuara, mereka masih terikat dengan perlembagaan yang tersedia. Dalam erti kata lain,
mereka tidak bebas sepenuhnya kerana ada kerajaan yang mengawal diatasnya. Jadi melihat
kepada contoh kedua-dua Negara dapat membuktikan bahawa perbezaan dalam sistem
pemerintahan politik juga melahirkan masyarakat yang berbeza diantara satu sama lain.

Kuasa juga dilihat menjadi faktor dalam menimbulkan ketaksamaan sosial ini. Apabila hubungan
sosial dilihat sebagai berhubungan dengan kekuasaan maka akan wujudlah golongan individu
yang mempunyai kuasa dengan tidak mempunyai kuasa. Agihan kuasa ini akan menjadi
ketidaksamaan kerana hakikat bahawa tidak semua orang berkuasa atau memiliki kekuasaan
yang sama banyak menunjukkan kuasa itu adalah suatu sumber bernilai yang terhad. Justeru,
kewujudan ketaksamaan sosial berasaskan kuasa ini tidak mungkin dapat dielakkan dalam
kehidupan masyarakat.

KETAKSAMAAN SOSIAL DALAM MASYARAKAT

Melihat kepada kedua-dua pembahagian aspek yang telah dibincangkan diatas dapatlah
dibuktikan bahawa perlapisan dan ketaksamaan sosial tidak dapat dielakkan dan berlaku di setiap
individu masyarakat itu sendiri.

Menganalisa dari sudut masyarakat secara umumnya memberi perbezaan yang berlainan diantara
satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Perbezaan yang terhasil daripada ciri-ciri
semulajadi ini membawa kepada perbezaan yang lebih meluas dimana ciri ini kemudiannya
dijadikan oleh masyarakat suatu keunikan yang mahu dicapai oleh anggota masyarakat itu
sendiri.

Perbezaan semulajadi ini melahirkan pembahagian dari segi ras dan etnik bangsa yang juga
merupakan satu punca ketaksamaan dalam struktur susun lapis masyarakat. Keadaan
perhubungan antara etnik dan ras ini muncul akibat daripada pertemuan kelompok-kelompok
manusia dan interaksi diantara mereka. Konflik dan ketegangan diantara kelompok akan berlaku
kerana terdapat perbezaan warna kulit, bertutur dalam bahasa yang berlainan, menganut agama
yang berlainan, dan mempunyai budaya dan nilai hidup yang berbeza. Ada kalanya satu
kelompok etnik atau ras akan dapat menguasai satu kelompok etnik atau satu ras yang lain dan
akan berlaku beberapa fenomena yang akhirnya muncul susun lapis dalam struktur stratifikasi
sesuatu masyarakat. Contohnya sistem apartheid di Afrika Selatan. Keadaan-keadaan seperti
diskriminasi, prasangka, stereotype, racism, kekerasan fizikal dan penindasan akan wujud antara

kelompok yang berkuasa dan yang tertindas yang menyebabkan kemunculan ketaksamaan antara
etnik atau ras yang berbeza dan digolongkan ras yang lebih superior dan ada ras yang inferior.
Jadi ini menimbulkan ketidakseimbangan dalam Negara tersebut kerana faktor yang terpaksa
dihadapi oleh masyarakat.

Perlapisan dan ketaksamaan sosial ini juga berasal daripada nilai-nilai bersama dimana dengan
kewujudan nilai-nilai ini maka setiap individu akan diberi penilaian dan diletakkan mengikut
susunannya. Dalam Negara Malaysia misalnya, penilaian yang dimaksudkan disini adalah seperti
penganugerahan gelaran Ahli Mangku Negara (AMN), Panglima Jasa Negara (PJN), dan
beberapa gelaran lagi diberi setelah penilaian dibuat berdasarkan jasa sumbangan dari individu
kepada Negara dan pengiktirafan ini diterima dan dipersetujui oleh ahli masyarakat sendiri.
Gelaran seperti Dato, Datuk Paduka, Tan Sri, dan beberapa gelaran lagi diletakkan didalam
kelas tersendiri seperti juga dengan individu yang memegang jawatan penting didalam Negara
seperti mufti, panglima tentera, para akademik dan intelektual serta yang dapat menyumbangkan
sesuatu kepada Negara akan mencipta kelas mereka yang tersendiri membezakan kedudukan
mereka dengan golongan pertengahan mahupun bawahan. Maka sesiapa yang memilikinya serta
berperanan penting akan diberi tempat yang paling atas dalam sistem stratifikasi dan berada
dalam kelas sosialnya yang tersendiri.

Perbezaan dalam sistem pendidikan turut memberi kesan ke atas perlapisan dan ketaksamaan
sosial yang berlaku. Pendidikan digunakan oleh individu yang mahu mengubah kehidupannya
kepada kehidupan yang lebih baik dengan menggunakan kebijaksanaan dan kemampuan secara
menyeluruh didalam sistem ini. Dengan mengambil peluang terhad yang tersedia bagi
memperolehi kelulusan yang diiktiraf oleh masyarakat.[7] Tahap pendidikan ini kemudiannya
akan menimbulkan perbezaan dari segi kelas yang mana akan terdapat pembahagian bagi
menentukan status seseorang berdasarkan kejayaannya mencipta momentum yang tersendiri.
Maka apabila timbulnya perlapisan kelas, akan muncullah sistem birokrasi yang menyukarkan
masyarakat yang lahir dari kerenah manusia yang berbagai ragam dan berlainan status. Semakin
tinggi statusnya didalam masyarakat, maka semakin kuranglah sistem birokrasi yang terpaksa
dihadapinya berbanding individu yang tidak punya status maka akan berjelalah kerenah birokrasi
yang terpaksa dihadapinya demi meneruskan kelangsungan hidup. Ini secara tidak langsung
menyukarkan kehidupan mereka yang sememangnya sukar diatas faktor ketiadaan pangkal nama
yang bermula dengan status yang tinggi atau disebabkan tidak mempunyai pendidikan yang
dapat mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik. Maka dengan itu akan wujudlah keadaan
yang tidak seimbang dalam masyarakat itu sendiri berdasarkan taraf sosial yang dimiliki oleh
mereka.

Menurut Max Weber, setiap kelompok manusia mempunyai peluang-peluang sosial yang

bergantung kepada harta kepunyaan dan segala kemudahan-kemudahan untuk mendapat


pendapatan yang perlu untuk mereka. Perbezaan peluang sosial yang dimiliki oleh anggota
masyarakat itu mewujudkan ketaksamaan dalam masyarakat. Weber kemudiannya melihat
ketaksamaan ini dari sudut tiga dimensi atau faktor seperti kekayaan, kuasa dan prestij. Tiga
faktor ini kemudiannya dijadikan faktor yang asas yang berasingan tetapi sebagai asas yang
berinteraksi dan mewujudkan hierarki dalam masyarakat. Perbezaan harta kekayaan
menyebabkan lahirnya kelas, perbezaan kuasa mewujudkan parti politik dan perbezaan prestij
melahirkan kelompok yang berlainan status atau berstrata. Oleh itu tiga faktor itu tadi merupakan
sumber ketaksamaan dan konflik dalam masyarakat yang tidak dapat dielakkan.

Secara keseluruhannya susun lapis masyarakat boleh dilihat sebagai suatu pola yang kompleks
tentang kekayaan, status dan kuasa. Setiap bahagian boleh dilihat sebagai sumber
ketidakserataan dan juga konflik antara manusia. Dengan demikian, susun lapis boleh dilihat
sebagai beberapa kelompok dalam masyarakat yang setiap satunya mempunyai atau menerima
ganjaran sosial yang berbeza. Disamping masyarakat bersetuju dan mengakui akan wujudnya
ketaksamaan didalamnya. Jadi keadaan ini merupakan fenomena yang berterusan dan ianya
sebagai sesuatu yang berfungsi. Justeru itu ketaksamaan pasti akan wujud dan berfungsi dalam
menstabilkan masyarakat secara abstraknya dan ketidakadilan secara tersirat.

KESIMPULAN

Proses sosial telah dipengaruhi dan berubah akibat daripada dorongan sistem dan
transformasi ekonomi iaitu daripada bentuk pertanian kepada bentuk perindustrian dan daripada
bentuk perindustrian kepada bentuk post industri. Perubahan ini dikenali sebagai permodenan.
Perubahan dalam ekonomi telah mempengaruhi perubahan dalam sosial dan kebudayaan
masyarakat serta personaliti individu. Perubahan dalam personaliti individu, bentuk sosial yang
asas, kepercayaan, kebudayaan, nilai dan norma masyarakat merupakan maklum balas terhadap
sesuatu sistem ekonomi dan politik.

Peralihan pembangunan yang berlaku dari luar Bandar kepada Bandar akibat dari faktor
sejarah memberi kesan kepada sosial, politik dan ekonomi sesebuah Negara. Evolusi yang
tercetus ini membawa perbezaan bukan sahaja antara Negara maju, membangun dan mundur
tetapi turut memberi impak ketidakseimbangan dalam masyarakat sendiri apabila taraf hidup
mereka dibezakan akibat perlapisan yang terjadi dan ketaksamaan sosial yang terlahir atas faktor

variasi yang wujud samada secara semulajadi mahupun secara perolehan diatas impak yang
terjadi.

Pada hakikatnya manusia yang memiliki ciri-ciri yang berbeza juga pada kebiasaannya
diberikan tugas atau peranan sosial yang berbeza dan sekaligus memiliki atau diberikan
kedudukan sosial yang dinilai secara berbeza dari segi kepentingan dan status. Perbezaan ini
bukan sahaja menghasilkan perbezaan sosial yang tidak sama rata bahkan perbezaan ini turut
dijadikan rasional untuk mengligitimasikan kewujudan ketaksamaan dalam masyarakat. Proses
penilaian sosial, penyusunan taraf dan pemberian ganjaran yang berbeza ini kemudiannya
mewujudkan ketidaksamaan dalam berbagai bentuk yang lebih luas dengan perkembangan
ekonomi dalam masyarakat-masyarakat seterusnya.[8]

BIBLIOGRAFI

1. Bendix R. and Lipset S.M. (1966), Class, Status and Power, New York ; Free Press
2. Blowers A. and Thompson G. (1976), Inequalities, Conflict and Change, Walton Hall ; Open
University Press

3. Browne K. (2008), 3rd Sociology for AS AQA, UK ; Polity Press Cambridge


4. Heller C. (1969), Structured Social Inequality, New York ; Macmillan
5. L.Weiss M. and Hassan S. (2204), Social Movement in Malaysia, London & New York ;
RoutledgeCurzon, Taylor and Francis Group
6. Manning P. (1997), A Global Reader to Accompany Sociology : A Brief Introduction,
USA ; Logman Publishers
7. Mariappan K. (2000), Ketidaksamaan Sosial, Kuala Lumpur ; Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
8. Marx K. (1974), On Class Structured Social Inequality, London ; The Macmillan Company
9. Mayer K. and Buckley W. (1955), Class and Society, New York ; Random House
10. MSC7 Proceedings : Abstracts Critical Transitions Repositioning the State, Market and
Society (2010), Universiti Sains Malaysia ; Malaysian Social Science Association
11. Niblock T. (1987), Class and Power in Sudan The Dynamics of Sudanese Politics, 1898
1985, London ; The Macmillan Press Ltd
12. Runciman W.G. (1969), The Three Dimension of Social Inequality, Dalam A.Betteille,
Social Inequality, Harmondsworth ; Penguin
13. Svalastoga K. (1969), Social Differentiation, New York ; David McKay
14. Weber M. (1969), Class, Status and Party, Dalam Celia S. Heller, Structured Social
Inequality, New York ; Macmillan
15. Yusof R. (2001), Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi, Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa
dan Pustaka

Mariappan K. (2000), Ketidaksamaan Sosial, Kuala Lumpur ; Utusan Publications &


Distributors Sdn. Bhd.
[1]

Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran


(30) juz (Mushaf Malaysia Rasm Uthmani), Kuala Lumpur ; Darulfikir
[2]

Yusof R. (2001), Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi, Kuala Lumpur ; Dewan
Bahasa dan Pustaka
[3]

Niblock T. (1987), Class and Power in Sudan The Dynamics of Sudanese Politics,
1898 1985, London ; The Macmillan Press Ltd
[4]

Yusof R. (2001), Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi, Kuala Lumpur ; Dewan
Bahasa dan Pustaka
[5]

Niblock T. (1987), Class and Power in Sudan The Dynamics of Sudanese Politics,
1898 1985, London ; The Macmillan Press Ltd
[6]

[7]

Browne K. (2008), 3rd edition Sociology for AS AQA, UK ; Polity Press Cambridge

Mariappan K. (2000), Ketidaksamaan Sosial, Kuala Lumpur ; Utusan Publications &


Distributors Sdn. Bhd.
[8]

http://widy-apa2aja.blogspot.com/2011/09/ketaksamaan-sosial-buktibahawa.html?zx=9720a8fc26590bad

Anda mungkin juga menyukai