Anda di halaman 1dari 15

Pendidikan merupakan satu aspek yang penting di dalam kehidupan setiap individu.

Pendidikan
bermula sejak seorang itu dilahirkan sehinggalah ia menemui ajalnya. Pendidikan bagi manusia
meliputi aspek jasmani,rohani, akal dan sosial. “Manusia mendidik anaknya supaya badannya
sihat dan kuat, akalnya waras dan cerdas, rohaninya luhur dan berbudi pekerti tinggi, tahu
bermasyarakat dan menyesuaikan diri dalam kelompoknya” (Musa bin Daia,1986).

Di antara pendidikan yang paling penting bagi setiap manusia ialah pendidikan
Islam.”Pendidikan Islam adalah pendidikan yang melatih kepekaan (sensibility) para peserta
didik sedemikian rupa sehingga sikap hidup dan peri-laku, juga keputusan dan pendekatannya
kepada semua jenis pengetahuan dikuasai oleh perasaan mendalam nilai-nilai etik dan spiritual
Islam. Mereka dilatih dan mentalnya didisiplinkan, sehingga mereka mencari pengetahuan tidak
sekadar untuk memuaskan keingin-tahuan intelektual atau hanya untuk keuntungan dunia
material belaka, tetapi juga untuk mengembangkan diri sebagai makhluk rasional dan saleh yang
kelak dapat memberikan kesejahteraan fisik, moral dan spiritual bagi keluarga, masyarakat dan
umat manusia”(Syed Sajjad Husain & Syed Ali Ashraf , 2000)

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, pihak kerajaan amat mementingkan pendidikan
Islam. Pendidikan Islam mula diberikan kepada kanak-kanak sejak mereka berada di peringkat
prasekolah hinggalah ke universiti. Untuk menanamkan ajaran-ajaran Islam di kalangan pelajar-
pelajar dengan lebih berkesan, maka satu kurikulum yang lengkap,kemas dan tersusun rapi serta
berkesinambungan amatlah diperlukan.

Oleh itu di dalam rencana ini penulis akan menerangkan mengenai kurikulum yang berkaitan
dengan pendidikan Islam. Kurikulum pendidikan Islam yang dimaksudkan di sini tidak terbatas
setakat mempelajari mata pelajaran pengetahuan Ugama Islam sahaja sebagaimana kefahaman
kebanyakkan masyarakat hari ini. Tetapi pendidikan Islam itu sebenarnya mempunyai skop
jangkauan yang lebih luas meliputi semua cabang ilmu pengetahuan yang dibenarkan oleh agama
Islam.

BAB I : KURIKULUM

<!–[i1.1 Definisi Kurikulum

Pengetahuan terus berkembang dan pendidikan semakin kompleks untuk memenuhi


keperluan masyarakat dan negara. Kemajuan yang sentiasa dicapai dalam bidang
pendidikan telah menyebabkan berubahnya konsep pendidikan dalam sebuah negara
dari semasa ke semasa. Bagi mengimbangi perubahan konsep pendidikan, maka apa
yang berlaku di dalam proses pendidikan juga perlu diubah agar pelajar dapat
mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan.

Dalam ertikata lain berubahlah kurikulum bagi setiap sekolah, maktab, universiti
dan pusat pengajian tinggi lainnya. Selaras dengan perkembangan ini, maka definisi
kurikulum juga turut berubah.

Berbagai-bagai definisi kurikulum telah dikemukakan oleh para pendidik, tokoh-


tokoh ilmuan dan para sarjana dari berbagai bangsa. Ada pengertian yang sangat luas
dan sebaliknya terdapat pengertian yang sempit. Perkataan kurikulum berasal dari
bahasa Latin yang luas digunakan oleh bangsa Yunani. ’Curriculum’ dalam bahasa Latin
bermaksud ‘Luang tempat pembelajaran berlaku’ (Sharifah Alwiah Alsagoff,1986).

Walaupun terdapat berbagai-bagai definisi untuk kurikulum, namun hampir


semua makna, atau pengertian kurikulum dari definisi-definisi itu akan kembali ke
pengertian asal, iaitu satu rancangan pengajian (Sharifah Alwiah Alsagoff,1986).

Di dalam kamus bahasa Arab kurikulum (Manhaj) sering didefinisikan sebagai


jalan yang terang, atau jalan terang yang dilalui oleh manusia pada berbagai bidang
kehidupannya. Seterusnya,Prof. Dr. Omar Al-Syaibani (1991) menjelaskan kurikulum
(manhaj) dimaksudkan sebagai jalan terang yang dilalui oleh pendidik atau guru
dengan orang-orang yang dididik atau dilatihnya untuk mengembangkan pengetahuan,
keterampilan, dan sikap mereka.

Sementara itu Wiles dan Bondi (1993) memberikan definisi kurikulum sebagai:

“It is the range of experiences,both indirect and directed,concerned in unfolding the abilities of the

individual,or it is a series of consciously directed training experiences that the school use for

completing and perfecting the individual”

Menurut Zuharani (1983), ”Kurikulum adalah semua pengetahuan, kegiatan-


kegiatan atau pengalaman belajar yang diatur dengan kaedah yang sistematik, yang
diterima anak untuk mencapai suatu tujuan”.

Sementara itu Kementerian Pelajaran Malaysia (1984) menjelaskan ”Kurikulum


bermaksud segala rancangan pendidikan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah
ataupun institusi pelajaran untuk mencapai matlamat pendidikan”.

Seterusnya, Pg. Dr. Hj. Abu Bakar(2008) menjelaskan:


”Kurikulum adalah maklumat dan ilmu pengetahuan yang diajar oleh guru atau
yang dipelajari oleh pelajar di sekolah atau lain-lain institusi pendidikan, dalam
bentuk mata pelajaran yang terdapat dalam buku teks dalam setiap tahap
pendidikannya”.

Ini bermakna kurikulum itu ialah segala pengalaman yang diperolehi oleh pelajar di
sekolah yang mempunyai pengaruh yang baik terhadap kelakuan anak di bawah
bimbingan guru bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan.

Akhirnya dapatlah diambil kesimpulan bahawa kurikulum bukan hanya meliputi mata
pelajaran dan pengalaman yang berlaku dalam kelas, malah ia meliputi semua
pengalaman, aktiviti, suasana dan pengaruh yang diberikan kepada pelajar atau yang
mereka kerjakan atau yang mereka jumpai di sekolah atau yang dikelolakan oleh sekolah.
Ini termasuklah , semua kegiatan, pengalaman budaya, seni, sukan dan sosial yang
dikerjakan oleh pelajar di luar jadual waktu dan di luar bilik darjah yang dikelolakan oleh
pihak sekolah.

BAB II: PENDIDIKAN ISLAM

2.1 Pendahuluan

Pendidikan Islam mempunyai sejarah yang panjang seiring dengan kedatangan Islam itu sendiri
(Dr.Gamal Zakaria,2002). Pendidikan Islam berterusan seumur hidup, secara formal dan tidak
formal. Ini bererti pendidikan yang berasaskan nilai-nilai Islamiah tidak hanya menghadkan
pengajaran akademik dalam bilik darjah. Bimbingan dan asuhan yang dilakukan oleh para
pendidik diusahakan setiap masa secara ikhlas bertujuan menjadikan individu beriman dan
bertakwa (Kamarudin Hj.Kachar,1989).

2.2 Definisi Pendidikan Islam

Istilah “Pendidikan Islam” merupakan rangkai kata yang membawa makna yang sangat luas.
Dalam ungkapan ini sendiri telah tersirat konsep, falsafah dan matlamatnya. Ini agak berbeza
dengan kefahaman umum masyarakat hari ini yang menganggap pendidikan Islam itu ialah Mata
Pelajaran Agama Islam atau Pengetahuan Agama Islam di sekolah(Mohd Yusuf Ahmad, 2004).

Untuk memberikan pengertian pendidikan Islam yang sempurna, terlebih dahulu kita
menjelaskan makna kata ‘pendidikan’ dan ‘Islam’. Menurut Al-Attas,Hassan Langgulung dan
Burlian Somad maksud pendidikan itu ialah perubahan dalaman dan perubahan tingkah laku
(Mohd Yusuf Ahmad, 2004). Apabila disebut pendidikan Islam ia menjadi lebih khusus dan
bermaksud pendidikan yang berteraskan syariat Islam yang berpandukan Al-Quran dan Al-
Hadis, dan perubahan yang dikehendaki pula ialah perubahan rohani, akhlak dan tingkah laku
menurut Islam.

Dalam bahasa Inggeris istilah pendidikan disebut education. Manakala dalam bahasa
Arab pengertian kata pendidikan, sering digunakan pada beberapa istilah, antaranya “ta’lim” (
‫ ) التعليم‬, tarbiyah ( ‫ ( التربية‬dan ta’dib ) (‫ التاديب‬. Namun demikian, ketiga kata tersebut memiliki
makna tersendiri dalam menunjuk atau menerangkan pengertian pendidikan (Dr. Samsul
Nizar,M.A: 2001).

Kata at-ta’lim merujuk kepada pengajaran yang bersifat pemberian atau penyampaian
pengertian, pengetahuan, dan keterampilan. Kata at-tarbiyah membawa erti mengasuh, mendidik,
dan memelihara. Sementara Kata at-ta’dib dapat diertikan sebagai proses mendidik yang
memfokuskan kepada pembinaan dan penyempurnaan akhlak atau budi pekerti pelajar.
Pendidikan adalah ‘latihan atau ajaran’ (Dr.Teuku Iskandar,1986). Sementara itu menurut al-
Quran, Islam ialah penyerahan diri dan kepatuhan sesuai dengan firman Allah swt dalam Surah
Ali ‘Imran ayat 83:

‫افغير دين ال يبغون وله اسلم من فى السموت والرض طوعا وكرها واليه يرجعون‬

“Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-
Nyalah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi,baik dengan suka maupun
terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan”

Ini menunjukkan kepada kita bahawa, pendidikan Islam merupakan usaha-usaha pembentukan
anak-anak sesuai dengan ajaran Islam, maka dengan itu melalui pendidikan Islam akan dapat
menyerapi dan menyedari hal-hal yang sebenar atau hakikat-hakikat baik dalam ajaran dan
amalan Islam, atau apa yang terkandung dalam akidahnya, ibadatnya, sistem akhlaknya dan juga
ajaran syariatnya yang dilihat dari segi hukum-hukumnya yang zahir. Ahli-ahli fikir Islam
berpendapat bahawa dengan menyedari hal-hal ini semua manusia akan mencapai kebahagiaan
dalam dunia dan akhirat (Dr. Haron Din & Dr. Sobri Salamon, 1988)

Lebih jauh lagi, pendidikan Islam ialah satu ‘kesatuan’ yang terdiri daripada dua aspek yang
bersepadu. Yang pertama ialah bahawa sebahagian daripada ajaran Islam dan undang-undang
serta moral hendaklah diajar dengan begitu rupa untuk membolehkan pelajar memahami, setakat
yang memadai, asas-asas Islam. Aspek yang kedua ialah untuk melatih pemikiran pelajar dengan
cara yang saintifik dan rasional supaya dia dapat menyelaraskan perilakunya dengan moral,
undang-undang dan keimanannya terhadap Islam (Muhammad Hamid Al-Afendi & Nabi Ahmed
Baloch, 1992) .

Menurut Mohd Kamal Hasan, pendidikan Islam menyatukan semua ilmu pengetahuan di bawah
authority dan pengendalian Al-Quran dan Sunnah yang merupakan teras dalam sistem
pendidikan dan kebudayaan Islam seluruhnya. Akidah Islam menjadi pusat bagi semua ilmu
serta sifatnya integrated. Menurut beliau pendidikan Islam itu bolah dibahagi dua, iaitu formal
dan informal (Mohd Yusuf Ahmad,2004).

Akhirnya, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa tiada makna yang tepat bagi pendidikan Islam
namun dapat difahami oleh semua orang bahawa pendidikan Islam adalah satu usaha untuk
mengembangkan fitrah manusia sesuai dengan ajaran agama Islam berlandaskan al-Quran dan
al-Sunnah yang akhirnya akan mewujudkan satu masyarakat yang bertamadun tinggi, penuh
rahmat dan kebahagiaan serta mendapat keredaan Allah.

2.3 Dasar Pendidikan Islam

Dasar adalah tempat bermula sesuatu aktiviti manusia. Maka ketika menetapkan dasar sesuatu
perkara, khasnya dasar pendidikan Islam, setiap individu akan menjadikan pandangan hidup dan
hukum-hukum dasar agamanya sebagai panduan. Pendidikan Islam adalah satu aktiviti manusia
yang mempunyai dasar-dasar tertentu. Adapun dasar pendidikan Islam ialah al-Quran,Hadith
(As-Sunnah) dan Ijtihad para ulama.

2.4 Tujuan Pendidikan Islam

Tujuan adalah dasar yang hendak dicapai dalam semua kegiatan manusia.Tujuan berfungsi untuk
mengarahkan, mengendalikan dan mengembangkan sesuatu kegiatan. Oleh sebab itu setiap
tujuan hendaklah dirumuskan dengan tegas dan jelas. Dengan adanya tujuan semua aktiviti dan
pergerakan manusia akan menjadi terarah dan bermakna.

Kefahaman kita mengenai tujuan hidup di dunia adalah penting untuk menetapkan tujuan
pendidikan Islam kerana setiap didikan yang diterima oleh manusia adalah untuk mencapai
tujuan hidup tersebut.

Menurut Islam, manusia diturunkan ke bumi oleh Allah swt adalah sebagai seorang khalifah
yang mempunyai tugas untuk:

i.Memakmurkan bumi demi kebahagiaan hidup seperti firmannya dalam Surah Faathir ayat 39:
‫هو ا لذ ي جعلكم خل لف في الرض‬

Ertinya: “Dia-lah (Allah) yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi”

ii.Berbakti kepada Allah swt seperti firmannya dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56:

‫و ما خلقت الجن والنس الليعبدون‬

Ertinya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-
Ku”

Daripada keterangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa, “tujuan sejati pendidikan Islam adalah
menghasilkan orang-orang yang beriman dan juga berpengetahuan, yang satu sama lain saling
menompang. Islam tidak memandang bahawa pencarian pengetahuan adalah demi pengetahuan
sendiri tanpa merujuk pada cita-cita spiritual yang harus dicapai manusia, tetapi untuk
mewujudkan sebanyak mungkin kemaslahatan bagi umat manusia. Pengetahuan yang diceraikan
dari agama bukan hanya membuat pengetahuan menjadi bias, bahkan akan menjadikannya
sebagai kejahilan jenis modern. Islam menganggap orang yang tidak beriman kepada Allah swt
sebagai orang yang tidak berpengetahuan. Orang semacam ini, betapapun luas pengetahuannya,
hanya akan mempunyai pandangan yang tidak lengkap mengenai jagat raya” (Syed Sajjad
Husain & Syed Ali Ashraf,2000).

Sementara itu menurut Sayid Sabiq (1981) ,tujuan pendidikan Islam ialah agar jiwa
seseorang dapat terdidik secara sempurna. Agar seseorang dapat menunaikan kewajipan-
kewajipannya kerana Allah. Dapat berusaha untuk kepentingan keluargannya, kepentingan
masyarakatnya, serta dapat berkata jujur, dan berpihak kepada yang benar serta mahu
menyebarkan benih-benih kebaikan pada manusia. Apabila seseorang mempunyai sifat-sifat
seperti itu, bererti ia telah mencapai tingkat orang-orang salih sebagaimana yang dikehendaki
oleh Allah, iaitu orang-orang yang berpegang teguh pada agamanya.

Pendidikan Islam juga bertujuan untuk mencapai keseimbangan pertumbuhan dari


peribadi manusia secara menyeluruh melalui latihan-latihan kejiwaan, akal fikiran, kecerdasan,
perasaan dan pancaindera. Oleh kerana itu pendidikan Islam harus mengembangkan seluruh
aspek kehidupan manusia, baik spiritual, intelektual, imaginasi (fantasi), jasmani, keilmiahannya,
bahasanya, baik secara individual maupun kelompok, dan mendorong aspek-aspek tersebut
kearah kebaikan dan pencapaian kesempurnaan hidup ( Abdul Raof Dalip, 1990).
Sementara itu, menurut hasil Kongres Pendidikan Islam Sedunia Tahun 1980 di
Islamabad, menyebutkan bahawa pendidikan Islam haruslah bertujuan mencapai pertumbuhan
keperibadian manusia yang menyeluruh, secara seimbang melalui latihan jiwa, intelek, diri
manusia yang rasional, perasaan dan indera. Kerana itu, pendidikan harus mencapai
pertumbuhan manusia dalam segala aspeknya; spiritual, intelektual, imajinatif, fisik, ilmiah dan
bahasa secara individual maupun kolektif. Mendorong semua aspek kearah kebaikan dan
mencapai kesempurnaan. Tujuan akhirnya adalah dengan perwujudan ketundukan yang
sempurna kepada Allah, baik secara peribadi, komunitas, maupun seluruh umat manusia (Dr.
Samsul Nizar,M.A, 2001)

Akhirnya dapatlah diambil kesimpulan bahawa tujuan pendidikan Islam itu tidak statik.
Ia sering mengalami perubahan mengikut kepentingan dan perkembangan masyarakat di mana
pendidikan itu dilaksanakan. Walaupun begitu sebagai umat Islam kita mestilah berpegang teguh
dan terus merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam melaksanakan tujuan pendidikan
Islam.

2.5 Matlamat Pendidikan Islam

Pendidikan Islam mempunyai beberapa matlamat tertentu. Di antara matlamat-


matlamatnya adalah jelas untuk melahirkan insan yang budiman, beriman, bertakwa dan salih.
Pendidikan Islam nyata sekali menuju ke arah perkembangan tingkahlaku yang sihat. Ekoran
daripada matlamat murni ini berkembanglah manusia yang menyedari hakikat lahirnya sebagai
hamba Allah swt yang menurut perintahnya, yang beramanah dan bertanggungjawab
(Kamarudin Hj. Kacar,1989).

Menurut Dr. Abdur Rosyad Syuhudi(1990) di antara matlamat pendidikan Islam itu ialah
untuk mengenal diri manusia itu sendiri, untuk mengenal tugas dan tanggungjawab manusia,
untuk menyusun struktur masyarakat, untuk membentuk akhlak yang mulia di kalangan manusia,
untuk menjaga kepentingan agama dan kehidupan serta untuk memberikan kepentingan jasmani
dan rohani.

Ustaz Abdul Raof Dalip (1990) ada menyatakan beberapa matlamat pendidikan Islam.
Antaranya ialah untuk mentauhidkan diri kepada Allah,untuk pembentukan akhlak yang mulia,
menyedarkan manusia mengenai keperluan ilmu pengetahuan, menyedarkan manusia mengenai
peranannya sebagai Khalifah, untuk pembentukan insan soleh, untuk pembentukan akhlak atau
syahsiah Islamiah di dalam diri manusia, untuk mempersiapkan manusia bagi kehidupan di dunia
dan di akhirat, untuk memberi perhatian serta menjaga kemanfaatan individu dan masyarakat,
dan akhir sekali untuk penyediaan tenaga mahir dan profesion dalam berbagai bidang kehidupan.

Ghazali Darussalam (2004) di dalam buku ‘Pedagogi Pendidikan Islam’ ada


menyebutkan beberapa pendapat sarjana dan ilmuan mengenai matlamat pendidikan Islam.
Antaranya, Prof. Dr. Mohd. Athiyah Al-Abrasyi menjelaskan matlamat pendidikan Islam adalah;

“Pendidikan hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan


sempurna, bahagia, cintakan negara, kuat jasmaninya, sempurna akhlaknya, teratur
pendidikannya, halus dan murni perasaannya, cekap dalam kerjanya, berkerjasama
dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya dan lisannya serta tangannya dapat
membuat sesuatu pekerjaan itu dengan baik.”

Daripada keterangan di atas maka jelaslah bahawa tujuan dan matlamat pendidikan Islam itu
tidak jauh berbeza malah hampir sama. Sebagai rumusan kita lihat petikan berikut;

“Al-Qabisi, berpendapat bahawa tujuan pendidikan adalah untuk mengetahui ajaran


agama baik secara ilmiah maupun secara amaliah. Ini kerana dia termasuk ulama ahli
fiqih dan tokoh dari ulama ahli sunnah wal jama’ah. Sedangkan Ibnu Maskawih
berpendapat bahawa tujuan pendidikan ialah tercapainya kebajikan,kebenaran dan
keindahan. Ikhwan As-Safa, cenderung berpendapat bahawa tujuan pendidikan itu
adalah mengembangkan faham filsafat dan akidah politik yang mereka anut. Al-Ghazali,
berpendapat bahawa tujuan pendidikan itu adalah melatih para pelajar untuk mencapai
makrifat kepada Allah melalui jalan tasawuf iaitu dengan mujahadah dan riyadhah.

BAB III: KURIKULUM PENDIDIKAN ISLAM

3.1 Definisi Kurikulum Pendidikan Islam

Kurikulum pendidikan Islam adalah bahan-bahan pendidikan Islam berupa kegiatan,


pengetahuan dan pengalaman yang dengan sengaja dan sistematis diberikan kepada anak didik
dalam rangka mencapai tujuan pendidikan Islam. Atau dengan kata lain kurikulum pendidikan
Islam adalah semua aktiviti, pengetahuan dan pengalaman yang dengan sengaja dan secara
sistematis diberikan oleh pendidik kepada anak didik dalam rangka tujuan pendidikan Islam
(H.syamsul Bahri Tanrere, 1993).

Berdasarkan keterangan di atas, maka kurikulum pendidikan Islam itu merupakan satu
komponen pendidikan agama berupa alat untuk mencapai tujuan. Ini bermakna untuk mencapai
tujuan pendidikan agama (pendidikan Islam) diperlukan adanya kurikulum yang sesuai dengan
tujuan pendidikan Islam dan bersesuaian pula dengan tingkat usia, tingkat perkembangan
kejiwaan anak dan kemampuan pelajar.

3.2 Materi Pokok Dalam Kurikulum Pendidikan Islam

Kurikulum pendidikan Islam meliputi tiga perkara iaitu masalah keimanan (aqidah), masalah
keislaman (syariah) dan masalah ihsan (akhlak). Bahagian aqidah menyentuh hal-hal yang
bersifat iktikad (kepercayaan). Termasuklah mengenai iman setiap manusia dengan
Allah,Malaikat,Kitab-kitab, Rasul-rasul, Hari Qiamat dan Qada dan Qadar Allah swt.

Bahagian syariah meliputi segala hal yang berkaitan dengan amal perbuatan manusia dalam
kehidupan sehari-hari yang berpandukan kepada peraturan hukum Allah dalam mengatur
hubungan manusia dengan Allah dan antara sesama manusia.

Bahagian akhlak merupakan suatu amalan yang bersifat melengkapkan kedua perkara di atas dan
mengajar serta mendidik manusia mengenai cara pergaulan dalam kehidupan bermasyarakat.

Ketiga-tiga ajaran pokok tersebut di atas akhirnya dibentuk menjadi Rukun Iman,Rukun Islam
dan Akhlak. Dari ketiga bentuk ini pula lahirlah beberapa hukum agama, berupa ilmu tauhid,
ilmu fiqeh dan ilmu akhlak. Selanjutnya ketiga kelompok ilmu agama ini kemudian dilengkapi
dengan pembahasan dasar hukum Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis serta ditambah lagi dengan
sejarah Islam.

Sementara itu menurut Dr. Hj. Maimun Aqsa, perkara yang perlu didahulukan dalam
kurikulum pendidikan Islam ialah al-Quran, Hadis dan juga Bahasa Arab. Kedua ialah bidang
ilmu yang meliputi kajian tentang manusia sebagai individu dan juga sebagai anggota
masyarakat. Menurut istilah moden hari ini, bidang ini dikenali sebagai kemanusiaan (al-ulum al-
insaniyyah). Bidang-bidangnya termasuklah psikologi, sosiologi, sejarah, ekonomi dan lain-lain.
Ketiga bidang ilmu mengenai alam tabie atau sains natural ( al-ulum al-Kauniyyah), yang
meliputi bidang-bidang seperti astronomi, biologi dan lain-lain.

Ruang lingkup materi pendidikan Islam sebenarnya ada terkandung di dalam al-Quran
seperti yang pernah dicontohkan oleh Luqman ketika mendidik anaknya. Bagi Negara Brunei
Darussalam Keluasan ruang lingkup pendidikan Islam tertakluk kepada pihak Kementerian
Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, tingkat kelas,
tujuan dan tingkat kemampuan pelajar. Bagi sekolah Arab dan agama khas tentunya mempunyai
pembahasan yang lebih luas dan lebih terperinci berbanding sekolah umum. Begitu juga terdapat
perbezaan yang jelas di antara peringkat rendah, menengah dan peringkat tinggi dan universiti.

Sedangkan mengenai sistem pengajaran dan teknik penyampaian adalah terserah kepada
kebijakan guru melalui pengalamannya dengan cara memperhatikan bahan yang tersedia,waktu
serta jadual yang sudah ditetapkan oleh pihak tertentu.

“Bagi pengajian tinggi, Pengajaran Agama Islam hendaklah dijadikan suatu mata
pelajaran khas yang juga merupakan suatu pengajian yang mendalam mengenai sesuatu
hukum dan difahamkan maksud-maksud pengajaran Agama Islam itu supaya mereka
dapat mengamalkan pengajaran itu menjadi sebagai suatu cara hidup dan menjadi
panduan semasa mempelajari ilmu-ilmu yang lain terutama sekali ilmu Sains”
(Hj.Mohd. Jamil Al-SufrI, 1982)

Bagi merumuskan maksud prinsip-prinsip kurikulum pendidikan Islam kita lihat


pandangan Prof. Mohd. Athiyah (Tajul Ariffin Noordin, 1990). Beliau menjelaskan;

“Pendidikan moden sekarang ini memerlukan pendidikan Islam. Iaitu pendidikan idealis
yang bersifat kerohanian, moral dan keagamaan. Ini membuatkan kita belajar untuk
ilmu dan kelazatan ilmiah. Dengan demikian kita terlepas daripada keruntuhan,
kejahatan dan kemiskinan, penjajahan dan keangkaramurkaan, serta peperangan-
peperangan dengan segala bencana yang ditimbulkannya. Demi untuk mendapat
bersama menikmati suatu kehidupan yang abadi hidup bersama saling bantu-membantu
dan dalam suasana demokrasi dan bahagia”

3.3 Penyusunan Kurikulum Pendidikan Islam

Di antara perkara yang paling penting di dalam pembentukan setiap kurikulum, tidak terkecuali
kurikulum pendidikan Islam, ialah penyusunannya. Untuk penyusunan yang rapi dan berkesan,
kerjasama antara pihak sekolah dan pihak penggubal kurikulum amatlah diperlukan. Penyusunan
tersebut hendaklah menitikberatkan kesesuaiannya menurut kemampuan pelajar.

Penyusunan kurikulum yang tepat akan membawa manusia semakin hampir kepada Allah.
Seterusnya akan melahirkan genarasi manusia “para sahabat” yang intelek, berilmu, beriman dan
baramal. Kurikulum yang disusun hendaklah berkesinambungan dari peringkat rendah hinggalah
ke peringkat menengah berterusan ke peringkat universiti bersesuai dengan kehendak dan
keperluanNegara.
Selanjutnya, oleh kerana matlamat kurikulum dan pendidikan Islam untuk melahirkan individu
yang sempurna, samaada dari segi rohani mahupun jasmani, mata pelajaran dalam kurikulum itu
hendaklah bersifat sepadu. Dengan kata lain mata pelajaran dalam kurikulum pendidikan Islam
tidaklah terbatas kepada ilmu-ilmu yang berbentuk teoritis sahaja, baik bersifat naqli mahupun
aqli tetapi juga berbentuk praktis, seperti pendidikan jasmani,latihan ketenteraan, teknik,
pertukangan, pertanian dan perniagaan. Kurikulum yang semata-mata membekalkan pelajaran
yang berbentuk spiritual boleh menyulitkan sesuatu institusi pengajian khususnya dari segi
pembangunan material ( Hj. Abdullah Ishak, 1989)

BAB V: PENUTUP

4.1 Kesimpulan

Berdasarkan kepada rencana yang ditulis ini maka dapatlah penulis membuat beberapa
kesimpulan seperti berikut:

i. Pendidikan Islam mencelup keperibadian Muslim dengan celupan yang khas yang
membezakan dari bentuk-bentuk pendidikan yang lain. (Hassan
Langgulung,1979). Pernyataan di atas memberi gambaran kepada kita
bahawa pendidikan Islam merupakan faktor utama yang paling penting untuk
membentuk ketinggian peribadi setiap Muslim. Pendidikan Islam mempunyai
tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat tertentu yang semata-mata untuk
mewujudkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat dan seterusnya untuk
memperolehi keredaan Allah s.w.t.

ii. Skop pendidikan Islam terlalu luas. Ia merangkumi syariah, adabiah, riadhah,
akliah dan seluruh penghidupan manusia,perbuatan, tingkahlaku dan
amalan. Untuk menghayati skop pendidikan Islam ini, maka setiap individu
Muslim haruslah memahami terlebih dahulu asas-asas dan konsep yang
bertunjangkan akidah Islamiah. Kemudian diikuti dengan akliah ilmu
pengetahuan, akhlak dan kesihatan. Pendidikan Islam itu memerlukan
amalan dan penghayatan sebab seseorang itu tidak boleh mengamalkan
sesuatu perkara tanpa memahaminya terlebih dahulu, khasnya asas-asas
pendidikan Islam, seperti mengenal Allah, memahami rukun-rukun iman dan
rukun-rukun Islam dan sebagainya (Ustaz Abdul Raof Dalip, 1990).
Jelasnya,di dalam pendidikan Islam terkumpul empat bidang utama iaitu
pendidikan jiwa, pembersihan rohani, pembentukan akal fikiran yang sihat
serta kecergasan tubuh badan.

iii. Kurikulum Pendidikan Islam “bertujuan menanamkan kepercayaan dalam


pemikiran dan hati genarasi muda, pemulihan akhlak dan membangunkan
jiwa rohani. Ia juga bertujuan untuk memperoleh pengetahuan secara
berterusan, gabungan pengetahuan dan kerja, kepercayaan dan akhlak dan
penerapan amalan teori dalam hidup” (Muhammad Hamid Al-Afendi & Nabi
Ahmed Baloch, 1992)

iv. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam pihak kerajaan pernah menegaskan
tentang kepentingan penyusunan kurikulum secara teliti. Penekanan ini
dibuat dengan tujuan untuk melahirkan penuntut-penuntut yang berguna
kepada bangsa, agama dan negaranya:

“Di bidang pelajaran, kerajaan beta sedang berusaha untuk meningkatkan lagi taraf pencapaian

pelajaran di Negara ini. Sehubungan dengan ini, beta ingin menyatakan bahawa perancangan

pelajaran yang tersusun rapid an teliti lagi consistent adalah mustahak dalam usaha untuk

melahirkan tenaga manusia yang berkemahiran dan bersesuaian dengan keperluan Negara” (Pelita

Brunei, 1989)

Manakala dibidang pendidikan khususnya pendidikan agama (Islam)


pihak kerajaan tetap mengutamakan pendidikan Islam agar rakyat dan
penduduk Negara Brunei Darussalam yang berugama Islam dapat
menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Dengan itu negara
Islam akan tetap wujud dan bangsa Melayu yang mendaulatkan raja akan
terus gemilang yang berpegang kepada konsep Melayu Islam Beraja yang
sewajibnya dikekalkan sepanjang zaman:

“Pendidikan pada khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan mengatasi

keperluan agama. Dalam makna, pendidikan agama juga hendaklah sama-sama diutamakan. Di

peringkat asas, pendidikan agama hendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula

hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendekiawan berwibawa. Jangan sama sekali ia kurang

atau dikurangkan. Kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika pendidikan agama

lemah, maka akan lemah pulalah bangsa” (Himpunan Titah,2006)


Akhir kata penulis ingin menyeru setiap individu agar mengutamakan pendidikan Islam
dalam segala aspek kehidupan. Seterusnya di dalam menentukan kejayaan dan keberkesanan
pendidikan Islam di setiap peringkat persekolahan maka penyusunan kurikulum pendidikan
Islam secara teliti, sistematik sentiasa dikemaskinikan mengikut keperluan semasa hendaklah
diutamakan. Manakala bagi menghasilkan kejayaan yang sempurna maka pembentukannya
hendaklah melalui kerjasama yang erat semua pihak yang terlibat dalam dunia pendidikan
dengan disokong oleh pihak kerajaan.

BIBLOIGRAFI

Al-Quran Al-Karim.

Abdul Halim El-Muhammady Dr., Pendidikan Islam;Falsafah,Disiplin dan Peranan Pendidik,


Dewan Pustaka Islam, Selangor Darul Ehsan, 1991.

Abd. Rahman Saleh, Didaktik Pendidikan Agama, Bulan Bintang, Jakarta, 1973.

Abdul Raof Dalip,Ustaz, Asas-Asas Pendidikan Islam, Progressive Products Supply, Selangor
Darul Ehsan,1990.

Abdur Rosyad Syuhudi,Dr., Pendidikan Islam, Universiti Brunei Darussalam, Bandar Seri
Begawan, 1990.

Ali Al-Jumbulati & Abdul Futuh At-Tuwaanisi, Perbandingan Pendidikan Islam, terjemahan
Prof. H.M. Arifin,M.Ed. Penerbit Rineka Cipta, Jakarta,1994.

Gamal Zakaria,Dr., Ibnu Sahnun, Mutiara Pendidik Muslim,Pusat Penyelidikan dan


Pembangunan Akademik,Kolej Islam Darul Ehsan, Selangor Darul Ehsan, 2002.

Ghazali Darusalam, Pedagogi Pendidikan Islam, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd,
kuala Lumpur, 2004.

H. Syamsul Bahri Tanrere, Kaedah Pengajaran Pendidikan Agama,Universiti Brunei


Darussalam, Bandar Seri Begawan, 1993.

Hj. Abdullah Ishak, Dr., Sejarah Perkembangan Pelajaran Dan Pendidikan Islam, Al-
Rahmaniah, Selangor Darul Ehsan, 1989.

Hj. Maimun Aqsa bin Hj. Abidin Lubis , Dr., Falsafah Pendidikan Islam, Universiti Brunei
Darussalam, Bandar Seri Begawan, t.t.
Haron Din,Dr. & Sobri Salamon, Dr., Masalah Pendidikan Islam Di Malaysia, Al-Rahmaniah,
Kuala Lumpur, 1988.

Hassan Langgulung, Pendidikan Islam, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1979.

________________,Beberapa Tinjauan Dalam Pendidikan Islam, Pustaka Antara, Kuala


Lumpur,1981.

Himpunan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-
Pertuan Negara Brunei Darussalam Di Majlis-Majlis Keagamaan Dan Titah-Titah Yang
Berunsurkan Keagamaan (1997-2005), Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama,
Negara Brunei Darussalam, 2006.

Ibrahim Saad, Isu Pendidikan Di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka,Kementerian Pelajaran
Malaysia, Kuala Lumpur, 1986.

Kamarudin Hj. Kachar, Prof. Dr., Strategi Penerapan Nilai-Nilai Islam Di Institusi Pendidikan,
Teks Publishing Sdn. Bhd. Malaysia, 1989.

Kementerian Pelajaran Malaysia, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar


Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1984.

Mohd Yusuf Ahmad, Falsafah dan Sejarah Pendidikan Islam, Penerbit Universiti Malaya, Kuala
Lumpur, 2002.

Musa bin Daia, Prinsip Am Pendidikan,Pustaka Aman Press, Kota Baharu Kelantan, 1986.

Muhammad Hamid Al-Afendi & Nabi Ahmed Baloch, Kurikulum Dan Pendidikan Guru,
terjemahan Ahmad Jaffni Hassan, Mohamad Nordin Zainuddin, Asiah Idris, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur,1992.

Muhammad Salih Samak, Ilmu Pendidikan Islam, terjemahan Wan Amnah Yaacob,Saedah
Suhaimi,Ahmad Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980.

Nicholls, H. dan Audrey, Perkembangan Kurukulum: Satu Panduan Praktis, terjemahan Dr.
Mohamad Daud Hamzah & Dr. Koh Tsu Koon, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian
Pelajaran Malaysia, 1987.

P.O.K. Amar Diraja Dato Seri Utama (Dr.) Awang Hj. Mohd. Jamil Al-Sufri, Corak Pendidikan
Di Brunei Pada Masa Hadapan, Majlis Pelajaran Brunei, 1982.
Pg. Hj. Abu Bakar bin Pg Hj. Syariffuddin, Dr., Perkembangan Kurikulum Pendidikan Islam
(Nota Kuliah), Universiti Brunei Darussalam, Bandar Seri Begawan, 2008.

Omar Al-Syaibani, Prof. Dr., Falsafah Pendidikan Islam, terjemahan Prof. Dr.Hasan
Langgulung,Hizbi Sdn. Bhd., Selangor Darul Ehsan, 1991.

Samsul Nizar, M.A., Dr., Penghantar Dasar-Dasar Pemikiran Pendidikan Islam, Gaya Media
Pratama, Jakarta,2001.

Sharifah Alwiah Alsagoff, Ilmu Pendidikan:Pedagogi, Heinemann, Kuala Lumpur, 1986.

__________________, Falsafah Pendidikan, Heinemann, Kuala Lumpur,1987.

__________________, Sosialogi Pendidikan, Heinemann, Kuala Lumpur,1987.

Sayid Sabiq, Unsur-Unsur Dinamika Dalam Islam, terjemahan Drs.Haryono S. Yusuf, PT


Intermass, Jakarta, 1981.

Syed Sajjad Husain & Syed Ali Ashraf, Krisis Dalam Pendidikan Islam, terjemahan Drs.Fadhlan
Mudhafir, Al-Mawardi Prima, Jakarta, 2000.

Tajul Ariffin Noordin, Prof. Dr., Pendidikan Suatu Pemikiran Semula,Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1990.

Teuku Iskandar,Dr., Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala


Lumpur, Malaysia, 1986.