Anda di halaman 1dari 20

BAHAGIAN A

a) Apakah tujuan kajian ini?


Kajian ini merupakan satu kajian yang bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang
mempengaruhi punca remaja terlibat dalam masalah sosial di Sekolah Tunas Bakti, Sungai
Lereh yang terletak di negeri Melaka. Hasil daripada kajian ini mendapati terdapat empat
faktor utama yang menyebabkan remaja terjebak dalam gejala sosial seperti faktor diri
sendiri, latar belakang keluarga, pengaruh rakan sebaya dan permasalahan persekitaran
sekolah. Secara tidak langsung hasil daripada kajian ini juga dapat dijadikan sebagai panduan
khususnya kepada semua pihak supaya bekerjasama dalam membantu remaja mengatasi
masalah sosial. Kajian mendapati bahawa faktor diri sendiri merupakan faktor terbesar yang
mempengaruhi mereka terjebak dalam masalah sosial. Oleh itu, pengkaji berharap agar
remaja mempunyai jati diri yang mantap seterusnya mengawal diri daripada terjebak dalam
gejala-gejala sosial.

b) Nyatakan kaedah yang digunakan untuk mengumpul data.


Dalam menjalankan kajian ini, terdapat beberapa kaedah yang digunakan oleh pengkaji untuk
mengumpul data yang dikehendaki. Berdasarkan kajian yang dikaji secara deskriptif, maka
kaedah soal selidik merupakan kaedah utama yang digunakan pengkaji untuk mendapatkan
maklumat. Soal selidik telah diberikan kepada 86 responden dengan menggunakan
instrument kajian yang dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu bahagian A dan bahagian B.
Bahagian A merupakan soalan yang berkaitan dengan demografi responden yang
merangkumi jantina, umur, tahap pendidikan, bilangan adik beradik, pendapatan bersih
bulanan ibu bapa/ penjaga, pekerjaan ibu bapa/ penjaga, tahap pendidikan bapa dan tahap
pendidikan ibu. Maklumat demografi murid dikumpul untuk menyokong hasil soal selidik
bagi bahagian B.
Manakala dalam bahagian B, pengkaji telah merangka 40 soalan yang berkaitan
dengan objektif kajian. Responden diminta untuk menandakan setiap soalan berikut
menggunakan skala empat mata iaitu bermula dengan 1 sangat tidak setuju (STS), 2 tidak
setuju (TS), 3 setuju (S) dan 4 sangat setuju (SS). Dalam bahagia B ini juga dipecahkan
kepada 4 bahagian utama iaitu bahagian pertama berkaitan dengan faktor latar belakang diri

pelajar, kedua faktor latar belakang keluarga pelajar, ketiga bentuk pengaruh rakan sebaya
dan bahagian keempat adalah permasalahan persekitaran sekolah.
Selain kaedah soal selidik yang digunakan sebagai instrument kajian, pengkaji juga
telah menjalankan kajian rintis sebagai satu langkah untuk memastikan kebolehpercayaan
item-item soal selidik. Kajian rintis ini adalah penting untuk mengenal pasti kelemahankelemahan yang terdapat pada soalan soal selidik yang akan diberikan kepada responden
kajian.
Bagi pelaksanaan kajian rintis ini pula, hanya 20 responden sahaja terlibat, yang juga
merupakan responden daripada kalangan 86 responden yang dipilih yang pengkaji dalam
kajian. Analisis bagi data dalam kajian rintis ini adalah menggunakan kaedah ketekalan
dalaman untuk meningkatkan koefisien kebolehpercayaan.
Secara keseluruhannya, pengkaji telah membahagikan kaedah pengumpulan data
kepada 2 iaitu kajian rintis dan kajian penyelidikan. Kajian rintis dijalankan terhadap 20
responden daripada 86 resonden yang dipilih dalam kajian, manakala hasil dapatan pula
dianalisis

menggunakan

kaedah

ketekalan

dalaman.

Setelah

mendapat

koefisien

kebolehpercayaan yang tinggi iaitu 0.6, pengkaji telah menjalankan kajian penyelidikan
terhadap 86 responden. Instrumen soal selidik yang meliputi 2 bahagian telah digunakan oleh
pengkaji untuk mendapatkan analisis data berdasarkan objektif kajian.

c) Bagaimanakah teori biososial menerangkan masalah sosial?


Teori biososial merupakan salah satu teori yang dapat menerangkan faktor yang berpunca
daripada diri pelajar adalah penyumbang utama kepada masalah sosial yang dihadapi kini.
Hal ini demikian disebabkan teori biososial adalah teori yang menerangkan perkembangan
remaja. Teori ini menerangkan bahawa remaja akan mengalami perubahan yang ketara
khususnya dalam perkembangan fizikal dan kematangan serta perubahan-perubahan biokimia
mereka. Justeru, melalui perubahan-perubahan biologi ini akan menyebabkan pergerakan
perubahan dalam tingkah laku sosial mereka.
Tidak hairanlah sekiranya semasa seseorang berada pada peringkat remaja, pelbagai masalah
sosial yang akan timbul akibat perubahan biologi yang dihadapi mereka. Hall (1904) percaya
bahawa remaja pada masa peralihan ini merupakan pada peringkat yang penuh huru-hara,

penuh cabaran, pemberontakan terhadap autoriti orang dewasa dan perubahan fizikal,
intelektual dan sosial. Remaja yang tidak dapat mengawal perubahan dalam diri mereka akan
cenderung pada beberapa tingkah laku buruk seperti suka bertengkar, mencuri dan
sebagainya sehingga menyebabkan masalah sosial seperti yang telah dinyatakan dalam teori
Biososial.

d) Bincangkan dapatan umum kajian ini.


Dapatan kajian ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu dapatan kajian dalam soal selidik
bahagian A dan dapatan kajian dalam soal selidik bahagian B.
Soal selidik daripada bahagian A merupakan analisis data yang berkaitan dengan
demografi responden iaitu dapatan tentang taburan responden berdasarkan umur, tahap
pendidikan dan pekerjaan ibu bapa penjaga pelajar. Berdasarkan analisis data yang telah
diperoleh pengkaji bagi analisis taburan responden berdasarkan umur, remaja yang berada
pada umur 17 tahun merupakan responden yang terbanyak iaitu sebanyak 31 orang, 36.0 %.
Manakala remaja yang terlibat dalam gejala sosial paling sedikit adalah dalam lingkungan
umur 20 tahun iaitu hanya seramai 5 orang meliputi 5.8%.
Justeru dapat disimpulkan bahawa remaja pada peringkat umur 15 hingga 19 tahun
merupakan lingkungan umur yang menjadi penyumbang terbesar pada gejala sosial yang
berlaku. Perkara ini turut dinyatakan dalam Mohd Sharani dan Zainal (2005) yang
mengatakan bahawa pada peringkat remaja mereka akan mula menunjukkan perubahan
tingkah laki, pergaulan, minat, pemilihan kawan dan cara berpakaian. Mereka juga
mengatakan bahawa kehidupan mempunyai banyak karenah terutamanya apabila remaja
mempunyai banyak kemahuan. Disebabkan kemahuan yang pelbagai ini, remaja terpaksa
mencari dan mengisi kehidupan dengan aktiviti mengikut kemahuan mereka. Apabila tidak
dapat memenuhi kemahuan itu, mereka mula menimbulkan masalah. Mereka juga sering
menghadapi dilemma dalam membuat keputusan dan pilihan. Maka tidak hairanlah sekiranya
semasa berada pada peringkat usia remaja, ramai remaja yang terlibat dengan gejala sosial
disebabkan dilema dan perubahan-perubahan yang dihadapi mereka.
Manakala, apabila dilihat dari sudut taburan responden berdasarkan tahap pendidikan,
sebahagian besar responden iaitu seramai 48 orang mempunyai tahap pendidikan sehingga
tahap SPM, yang menyumbang sebanyak 55.8 %. Secara keseluruhannya, semua responden

merupakan remaja yang mempunyai asas pendidikan tidak mengira dari peringkat UPSR,
PMR dan SPM. Malahan, analisis data turut menunjukkan bahawa sebahagian besar remaja
ini mempunyai tahap pendidikan sehingga peringkat SPM. Oleh itu, sudah tentu remaja
didedahkan dengan ilmu pengetahuan secara formal, dalam masa yang sama dapat bergaul
dengan rakan-rakan yang sebaya dengan usia mereka.
Analisis data yang seterusnya bagi demografi responden adalah dari segi taburan
responden berdasarkan pekerjaan ibu bapa penjaga. Hasil kajian menunjukkan sebilangan
besar ibu bapa/ penjaga responden yang bekerja sendiri iaitu 29 orang, diikuti oleh ibu bapa
penjaga yang bekerja dalam sektor kerajaan, 28 orang seterusnya sektor swasta seramai 17
orang dan lain-lain pekerjaan adalah 12 orang. Berdasarkan hasil analisis ini, semua
responden mempunyai ibu bapa penjaga yang mempunyai pekerjaan seharian. Perkerjaan
tersebut termasuklah daripada pelbagai sektor yang mempengaruhi masa yang diluangkan
bersama anak-anak, aspirasi yang dipegang ibu bapa penjaga dan sebagainya.
Beralih pula pada dapatan kajian yang diperoleh pengkaji dalam soal selidik yang
telah dijalankan dalam bahagian B. Bahagian B ini lebih menyelidiki tentang faktor-faktor
yang menyebabkan responden terlibat secara langsung dalam gejala sosial. Responden
diminta untuk memberi skala sangat setuju 4, setuju 3, tidak setuju 2 dan sangat tidak setuju
1. Daripada 10 item soalan yang telah diberi pengkaji, item soalan saya sentiasa ingin
mencuba sesuatu yang baru yang tidak pernah saya lakukan dan saya sentiasa inginkan
kebebasan dalam setiap perkara yang saya lakukan merupakan item soalan yang sangat
dipersetujui responden iaitu sebanyak 31.4 % dan 30.2 %. Hampir keseluruhan responden
iaitu 80.2 % bersetuju bahawa mereka lebih menginginkan kebebasan dalam perkara yang
mereka lakukan berbanding hanya 19.8% sahaja yang tidak bersetuju dengan item soal
selidik tersebut. Manakala bagi item soalan saya sering marah dan tidak puas hati apabila
sesuatu kehendak saya dihalang dan saya inginkan perhatian dalam apa yang saya
lakukan merupakan item soalan yang mendapat persetujuan ssebanyak 26. 8% dan 25. 6 %
daripada responden.
Sikap ingin tahu pada peringkat remaja sememangnya satu sifat utama remaja. Lydia
H. & Satya J. (2008) mengatakan bahawa rasa ingin tahu menyebabkan remaja melakukan
pelbagai percubaan atau eksperimen. Remaja akan cenderung untuk mencuba sesuatu yang
baharu apabila berada di luar lingkungan pengawasan ibu bapa. Hal ini juga menyumbang
pada pembentukan identiti remaja sama ada positif atau negatif bergantung pada keberhasilan

eksperimen yang dilakukannya. Pada peringkat ini, pengendalian diri adalah amat penting.
Remaja yang tidak dapat mengendalikan diri dengan baik akan menjadi salah seorang
daripada penyumbang gejala sosial. Sebaliknya remaja yang dapat mengendalikan diri
dengan baik akan dapat menyesuaikan diri dengan norma atau peraturan dalam kehidupan
keluarga, sekolah dan masyarakat. Hasil dapatan pengkaji juga adalah selari dengan dapatan
yang telah diperoleh dalam kajian Asmak (2006) yang menunjukkan faktor ingin mencuba
merupakan punca berlakunya salah laku sosial remaja iaitu sebanyak 48%.
Selain itu, responden yang berada pada tahap remaja seperti yang telah dinyatakan
dalam Mohd Sharani dan Zainal (2005) mengatakan bahawa anak remaja inginkan kebebasan
daripada ikatan ibu bapa. Mereka juga merupakan individu yang belum mempunyai
kepercayaan pada diri sendiri dalam membuat keputusan. Oleh yang demikian, remaja ini
sentiasa terumbang-ambing dengan perasaan yang tidak menentu antara inginkan kebebasan
dan memerlukan perlindungan serta bimbingan daripada orang dewasa. Justeru, benarlah
bahawa perubahan yang dialami remaja pada peringkat ini mendorong mereka untuk bebas
daripada kawalan ibu bapa penjaga. Kawalan diri yang rapuh ini juga menyebabkan mereka
mudah terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial yang merosakkan diri mereka sendiri.
Item soalan yang menunjukkan remaja merupakan individu yang menginginkan
perhatian turut disokong dalam tulisan Hairunnaja (2007) yang mengatakan bahawa remaja
merupakan individu yang menginginkan perhatian dan tumpuan orang dewasa kepadanya.
Beliau turut menambah bahawa remaja yang tidak mendapat sokongan dan merasa tidak
difahami oleh individu-individu yang hampir dengan mereka akan mudah terlibat dengan
perbuatan-perbuatan nakal. Justeru, sikap yang dibentuk remaja ini bukan hanya disebabkan
oleh sikap semula jadi remaja yang mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi, tetapi juga turut
dipengaruhi oleh individu di persekitaran mereka.
Hal ini menjadi jelas apabila melihat kepada faktor keluarga yang telah dianalisis oleh
pengkaji. Mengikut analisis data yang dilakukan pengkaji, ibu bapa yang terlalu tegas dan
selalu memberi hukuman keras sekiranya mereka melakukan kesalahan mendapat persetujuan
paling tinggi iaitu sebanyak 43 %. Manakala seramai 41.9 % remaja setuju dengan item soal
selidik ibu bapa saya jarang berada di rumah dan sering sibuk dengan kerja dan ibu
bapa saya kurang berkomunikasi dengan saya tentang keperluan dan masalah yang saya
hadapi. Hasil dapatan ini berkait langsung dengan sikap yang ditunjukkan oleh responden.
Apabila remaja tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa yang sering sibuk menguruskan

urusan kerja, mereka akan melakukan pelbagai gejala sosial semata-mata untuk mendapatkan
perhatian daripada ibu bapa mereka. Keadaan ini menjadi lebih parah lagi apabila ibu bapa
bertindak untuk terus menerus menghukum anak-anak tanpa menjalin komunikasi yang
berkesan tentang masalah yang dihadapi anak mereka.
Sikap sesetengah ibu bapa yang jarang memberi motivasi dan sokongan serta pujian
terhadap perkara yang dilakukan mereka juga menyumbang kepada permasalahan yang
dilakukan remaja. Selain itu ibu bapa yang bersikap pilih kasih terhadap adik beradik dalam
sesebuah keluarga turut menjadi item soalan yang dipersetujui paling ramai oleh responden
iaitu sebanyak 40.7 % dan 39.5 %. Perkara ini turut diulas oleh Hairunnaja (2007) yang
mengatakan bahawa kekecewaan remaja terhadap sikap ibu bapa, adik beradik, guru-guru
dan rakan sebaya menyebabkan mereka bertindak nekad untuk melakukan perbuatan yang
menyalahi undang-undang. Tindak tanduk remaja sebenarnya mempunyai kaitan dengan apa
yang dilakukan oleh orang dewasa terhadapnya seperti ibu bapa, guru, pemimpin masyarkat
dan lain lain, yang dilakukan secara sengaja ataupun tidak sengaja. Beliau menambah bahawa
kenakalan remaja adalah sesuatu yang jarang dilakukan secara tiba-tiba atau spontan.
Secara keseluruhannya, gejala sosial ini merupakan masalah negara yang harus
dipandang dengan serius. Remaja merupakan tunggak utama negara yang bakal memimpin
negara dalam pelbagai bidang pada masa akan datang. Justeru pendekatan yang lebih kreatif
yang memerlukan penglibatan remaja sendiri harus dipergiat agar dapat menyedarkan mereka
tentang risiko-risiko yang bakal dihadapi sekiranya terus meneruskan melibatkan diri dengan
gejala-gejala negatif.
Kesimpulannya,

matlamat

dan

wawasan

pendidikan

yang

mengharapkan

keseimbangan insan dari aspek kerohanian, jasmani, emosi, intelek dan sosial akan tercapai
sekiranya masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja dijadikan sebagai agenda utama
bersama ibu bapa dan pihak sekolah untuk mencari jalan penyelesaian bersama.
Sesungguhnya setinggi mana pun ilmu yang digapai seseorang, tetapi dalam masa yang sama
terjerumus dalam kancah disiplin yang serius menjadi satu kerugian besar pada negara kita
Malaysia. Perkara ini bukan sahaja menyebabkan keselamatan negara terjejas tetapi juga
tidak mustahil negara kita turut mengalami kacau bilau pada masa akan datang sekiranya
tidak dibendung dari awal lagi. Oleh itu, melihat faktor-faktor utama gejala sosial ini berlaku,
semua pihak perlulah lebih pantas bertindak untuk membendung masalah sosial ini daripada
terus berleluasa dan berada di peringkat yang kritikal.

e) Kaitkan implikasi kajian ini kepada pengajaran pendidikan moral


Kegagalan melahirkan individu yang berketrampilan dari aspek akademik, jasmani, emosi,
rohani dan sosial sering dikaitkan dengan kegagalan institusi pendidikan dalam menerapkan
nilai-nilai murni dalam diri pelajar semasa berada di bangku sekolah.
Selari dengan kajian yang telah dijalankan ini, terdapat beberapa faktor utama yang
telah disenaraikan oleh pengkaji yang dapat membantu para guru agar dapat diselitkan dalam
pengajaran dan pembelajaran pendidikan Moral. Sesungguhnya subjek pendidikan Moral
telah diajar di sekolah-sekolah untuk membentuk generasi muda agar sentiasa mengamalkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.
Kini, bilangan pelajar di negara kita sejumlah 5 juta orang. Jumlah yang bukan sedikit
ini sekiranya tidak diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak di bangku sekolah maka mereka
akan menjadi generasi yang akan merugikan negara pada masa kelak. Didikan moral yang
positif dan nilai murni yang diterapkan oleh guru, akan dapat mengelakkan diri pelajar
daripada terjebak dalam pelbagai pengaruh negatif luar yang tidak memberikan apa-apa
faedah dan manfaat.
Kepentingan proses sosialisasi pelajar di sekolah terutama dalam mempengaruhi
pemikiran, emosi dan tingkah laku remaja memang tidak dinafikan lagi. Oleh sebab itu,
mengikut sukatan pelajaran Pendidikan Moral (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988),
penaakulan moral merupakan hasil yang penting dalam pengajaran Pendidikan Moral.
Pengetua atau Guru Besar yang tegas melaksanakan disiplin perlu menegaskan kepada
remaja, keadaan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan perlaksanaan sesuatu
tugasan sebaliknya pengetua atau Guru Besar yang tidak tegas menghasilkan kesan yang
negatif (Rosiadi et.al, 2008).
Implikasinya, kajian ini merupakan satu kajian yang dapat memberi gambaran kepada
guru-guru terutamanya dalam pengajaran pendidikan moral agar lebih giat lagi dalam
menerapkan nilai murni yang baik kepada pelajar. Kewujudan nilai-nilai murni ini dapat
melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang
kokurikulum. Sebagai contohnya, guru-guru yang menunjukkan sikap positif boleh menjadi
role model kepada para pelajar, seterusnya memupuk sikap posif dalam diri mereka.
Tuntasnya, para guru seharusnya lebih giat dalam memperbanyakkan kajian yang seumpama
ini agar dapat mengenal pasti punca keruntuhan moral golongan remaja, jenis gejala sosial

yang dilakukan seterusnya berganding bahu dalam memerangi gejala sosial yang kian
meruncing dalam kalangan remaja.

BAHAGIAN B
Isu Moral (Buli) Semasa di Sekolah Rendah
Saban hari isu moral yang melibatkan pelbagai kes salah laku murid kian membimbangkan.
Gejala sosial bukan hanya berlaku di sekolah menengah sahaja, malahan turut menular di
sekolah-sekolah rendah dan dibawa pula sehinggalah di alam sekolah menengah. Gejala
sosial dapat diklasifikasikan sebagai satu jenayah yang melibatkan etika dan moral individu.
Jenayah ini bukan sahaja dilakukan oleh golongan remaja dan dewasa malahan kanak-kanak
juga turut telibat dalam masalah. Secara umumnya masalah sosial merangkumi berbagai
perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan
kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat
ataupun negara.
Salah satu gejala sosial yang sering diperkatakan di mana-mana sekolah pun adalah
kes salah laku buli. Buli pada asasnya adalah penyalahgunaan kuasa. Ia adalah operasi
psikologikal atau fizikal yang berulang-ulang terhadap individu yang lemah oleh individu
atau kumpulan yang lebih berkuasa. Ia adalah kehendak atau keinginan untuk mencederakan
seseorang dan meletakkan mangsa tersebut dalam situasi yang tertekan (Tattum, 1988). Ianya
diarahkan kepada individu yang tidak berupaya untuk mempertahankan dirinya dalam situasi
yang sebenar.
Menurut Smith dan Thompson (1991), buli didefinisikan sebagai satu set tingkah laku
yang mana dilakukan secara sengaja dan menyebabkan kemudaratan secara fizikal serta
psikologi penerimanya. Tingkah laku buli termasuklah tindakan- tindakan yang bersifat
mengejek, penyisihan sosial dan memukul.
Perlakuan buli telah dikenal pasti sebagai salah satu saluran dalam rantaian perlakuan
ganas daripada zaman kanak-kanak kepada alam kedewasaan. Menurut Farrington (1993),
pemangsaan remaja di sekolah mungkin merupakan salah satu tingkah laku awal yang
menyumbang kepada perkembangan jangka panjang pola tingkah laku anti sosial, dan ianya
boleh juga menjadi perintis kepada tingkah laku anti sosial dan jenayah. Perlakuan buli dan

pemangsaan di sekolah telah dikenal pasti secara universal sebagai perosak psikologi, sosial
dan perkembangan kanak-kanak.
Buli boleh didefinisikan sebagai keinginan untuk mencederakan atau meletakkan
seseorang kepada situasi dalam tekanan. Banks (2000), menghuraikan perlakuan buli sebagai
mempersendakan, menghina, mengancam, memukul, mencuri dan serangan-serangan
langsung yang dimulakan oleh seorang atau lebih terhadap mangsa. Perlakuan buli adalah
tingkah laku agresif yang dikategorikan sebagai ketidakimbangan kuasa antara pembuli
dengan mangsa. Perlakuan buli juga menggabungkan julat tingkah laku yang luas seperti
panggilan nama yang bersifat menghina, peras ugut, perlakuan ganas, fitnah, penyisihan
daripada kumpulan, merosakkan harta benda orang lain dan ancaman verbal.
Selain itu, Smith dan Sharp (1994) turut menyokong pernyataan tersebut dan
mengatakan bahawa tingkah laku buli merupakan satu bentuk tingkah laku aggresif. Menurut
Olweus (1993) tingkah laku buli adalah tingkah laku agresif yang dilakukan secara berulang
kali terhadap orang lain secara individu atau berkumpulan. Tingkah laku agresif boleh jadi
dalam bentuk fizikal atau lisan yang boleh menyebabkan kecederaan atau ketidak selesaan
atau kesakitan

ke atas individu lain iaitu mangsa buli. Tingkah laku buli termasuklah

tindakkan tindakan seperti mengejek, pemulauan dan memukul (Olweus, 1991; Rigby,
1997; Thompson dan Sharp, 1998).
Daripada ulasan-ulasan tadi, dapat dirumuskan bahawa buli ialah sejenis tingkah laku
keganasan dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan oleh seorang atau
sekumpulan individu ke atas individu lain yang tidak berupaya untuk mempertahankan
dirinya dengan niat untuk menyakiti, mengancam, menakutkan atau meletakkannya dalam
keadaan yang tertekan secara sengaja.
Mengikut Deklarasi Kandersteg yang ditandatangani di Switzerland pada 2007,
dianggarkan terdapat kira-kira 200 juta murid sekolah di seluruh dunia menjadi mangsa buli
atau dera oleh rakan sebaya (Junhairi, 2008). Bagaimana pun, kes buli yang dilaporkan di
negara Malaysia masih berada pada tahap yang rendah iaitu di bawah 0.3% berbanding
negara-negara yang lain. Namun begitu, peratusan yang sedikit ini bukanlah suatu angka
yang hanya dipandang enteng masyarakat kerana saban hari, kes buli di sekolah semakin
bertambah.

Salah satu kejadian buli yang pernah disiarkan dalam Berita Harian pada 07 Mac
2012 berkaitan seorang murid tahun 1 yang telah dipukul sehingga lebam seluruh badan.
Perkara yang lebih membimbangkan apabila kejadian tersebut hanya diketahui oleh ibunya
apabila beliau sendiri menyedari kesan lebam pada tubuh badan kanak-kanak tersebut.
Sesungguhnya sikap mangsa buli sering dikaitkan dengan sikap yang berdiam diri sangat
dominan dalam diri mereka. Perkara ini membawa kepada akibat yang lebih para lagi
sekiranya tidak dikesan dari awal tentang tanda-tanda seseorang itu menjadi mangsa buli.
Berikut merupakan berita yang telah memaparkan murid tahun 1 yang telah disiarkan dalam
Berita Harian:
Jabatan Pelajaran jumpa guru besar, dapatkan penjelasan lanjut JKM
SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNNS) memulakan siasatan berhubung
kejadian seorang murid Tahun Satu yang dibuli dan dipukul hingga lebam seluruh badan di
Sikamat di sini, Jumaat lalu.
Pengarahnya, Datuk Abdul Halim Abdul Razak, berkata pihaknya berjumpa guru besar
sekolah itu di Sikamat, semalam bagi mendapatkan penjelasan.
Saya dimaklumkan kecederaan itu bukan berlaku dalam kawasan sekolah.
Bagaimanapun, JPN masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mendapatkan
kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melakukan siasatan di
asrama anak yatim yang dihuni mangsa, katanya di sini, semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan, murid Tahun Satu trauma selepas dipercayai dipukul
hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lebam.
Kejadian itu hanya disedari ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, Jumaat lalu kira-kira jam
7.30 petang selepas mengambil anaknya berusia 7 tahun dari rumah anak yatim di Sikamat.

JENIS TINGKAH LAKU BULI


Menurut Olweus (1993) terdapat tiga jenis tingkah laku buli iaitu fizikal ,verbal dan tingkah
laku anti sosial. Smith dan Sharp (1994) pula mengelaskan tingkah laku buli kepada tiga
jenis iaitu fizikal, verbal dan tidak langsung.
Para pengkaji telah mengenal pasti tiga elemen buli terdapat di kalangan pembuli iaitu
fizikal, verbal dan antisosial (Olweus, 1993a). Tingkah laku buli fizikal dan lisan merujuk
kepada tingkah laku buli secara langsung. Tingkah laku buli anti sosial pula merujuk kepada
tingkah laku buli secara tidak langsung. Perlakuan buli sama ada dalam bentuk fizikal atau
lisan boleh menyebabkan kecederaan atau ketidakselesaan atau kesakitan ke atas individu
lain iaitu mangsa buli. Tingkah laku buli termasuklah tindakkan tindakan seperti mengejek,
pemulauan dan memukul (Olweus, 1991; Rigby, 1997; Thompson dan Sharp, 1998).
Tingkah laku buli termasuklah serangan fizikal seperti tumbuk, tendang dan tolak;
serangan verbal seperti cemuhan, hinaan, panggilan nama, ejekan dan ugutan dan serangan
psikologi seperti pemulauan, menyebarkan gosip dan memanipulasikan hubungan sosial
(Connel dan Farrington, 1996; Espelage et al., 2000).
Jenis Perlakuan Buli

Verbal

Langsung

Ejekan, deraan secara verbal

Tidak Langsung

Fizikal
Serangan fizikal

Menyebarkan fitnah, gosip, Merosakkan


memperkecil-kecilkan

harta

benda,

memulaukan, penyisihan

Sumber: Elliott M., Bullying 3rd ed.,Pearson Education , 2002


Jadual 1: Jenis-jenis perlakuan buli
Berdasarkan Jadual 1, dapat dilihat bahawa terdapat dua jenis kelakuan buli iaitu
secara langsung dan tidak langsung. Bagi jenis buli yang secara langsung, juga dapat
dibahagikan lagi kepada dua iaitu verbal dan fizikal. Bagi perlakuan buli verbal secara
langsung melibatkan ejekan dan deraan secara verbal. Manakala bagi perlakuan buli fizikal
secara langsung pula adalah melalui serangan fizikal. Seterusnya perlakuan buli tidak
langsung verbal pula adalah seperti menyebarkan fitnah, gosip, dan memperkecil-kecilkan
seseorang. Buli tidak langsung fizikal pula adalah apabila seseorang itu melakukan
pemulauan, penyisihan dan merosakkan harta benda.

Kajian telah dilakukan di sebuah sekolah X yang melibatkan dua orang murid iaitu
murid X yang sering menjadi mangsa buli, dan murid Y yang membuli rakannya yang lain.
Melalui pemerhatian pengkaji, pengkaji mendapati terdapat beberapa kejadian buli yang
dialami oleh Murid X. Buli tersebut termasuklah buli secara langsung verbal iaitu melalui
ejekan rakan-rakannya dan secara langsung fizikal iaitu termasuk dipukul, ditendang dan
lain-lain. Manakala bagi buli secara tidak langsung fizikal pula murid X juga dipulaukan oleh
rakan-rakan sekelas yang lain. Berikut merupakan antara temu bual dengan Murid X.
Saya malas pigi sekolah sebab si Murid Y selalu pukul saya. Dia ejek saya juga. Dia cakap
nama bapa saya.
si Murid Y ada juga tumbuk saya hari tu, sebab saya tidak bagi pinjam dia pemadam.
Berdasarkan temu bual tersebut, ini terbukti bahawa murid X dibuli secara langsung
dengan verbal dan fizikal. Bagi buli secara verbal, murid tersebut telah diejek oleh Murid Y
menggunakan ejekan, dengan mengejek menggunakan nama bapa murid X, selain itu, murid
X juga dibuli secara fizikal dengan ditumbuk oleh murid Y.
Kejadian buli ini tidak seharusnya berlaku apatah lagi bagi murid-murid yang masih
berada di peringkat permulaan persekolahan. Ini akan menjejaskan emosi murid seterusnya
memberi pengaruh yang buruk pada murid khususnya untuk tumbesaran murid.

PUNCA KEJADIAN BULI


Perlakuan buli merupakan tingkah laku yang kompleks.

Kanak-kanak tidak dilahirkan

sebagai pembuli. Tingkah laku buli juga tidak diajar secara langsung kepada kanak- kanak.
Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi seseorang kanak-kanak membuli.

Faktor-

faktor ini termasuklah faktor biologi dan perangai, pengaruh keluarga, rakan dan
persekitaran. Kajian-kajian semasa mendapati bahawa faktor-faktor percampuran individu,
sosial, risiko persekitaran dan perlindungan berinteraksi untuk menentukan etiologi perlakuan
buli (Espelage et al., 2000; Verlinden, Herson dan Thomas, 2000).
Latar Belakang Murid X
Murid yang pendiam
Mempunyai tubuh badan yang bersaiz kecil

Latar Belakang Murid Y

Murid yang hiperaktif


Merupakan murid yang paling besar dalam
kalangan murid yang lain.
Sosio ekonomi keluarga adalah sederhana Sosio ekonomi keluarga yang sederhana iaitu

dengan bekerja sebagai peniaga kecil-kecilan. ibu bapa bekerja sebagai kakitangan swasta
Tidak mempunyai ramai kawan
Rakan-rakan di dalam kelas sentiasa
mengutamakan pendapatnya
Pasif semasa proses pengajaran dan Kurang menumpukan perhatian, dan kerap
pembelajaran
bermain semasa proses pengajaran dan
pembelajaran.
Jadual 2: Latar belakang Murid X dan Murid Y
Berdasarkan Jadual 2, dapat dilihat bahawa murid X dan murid Y mempunyai latar
belakang yang sangat berbeza, mahupun dari segi sikap begitu juga dengan keluarga, sosio
ekonomi mereka masing-masing. Ini disokong dengan pendapat Nansel et al (2001) yang
mengatakan bahawa kanak-kanak yang sering menjadi mangsa buli lazimnya akan
menonjolkan ciri- ciri tingkah laku dalaman seperti bersikap pasif, sensitif, pendiam, lemah
dan tidak akan bertindak balas sekiranya diserang atau diganggu. Ciri-ciri yang ditunjukkan
mangsa buli ini adalah sama dengan ciri-ciri yang ditunjukkan oleh murid X. Murid X
seorang yang pendiam dan sering memencilkan diri semasa berada di dalam kelas. Dia juga
seorang yang pasif dalam pelajaran dan kurang memberi respon dan bertanya kepada guru
semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Secara umumnya kanak-kanak ini kurang
berkeyakinan. Mereka mempunyai esteem kendiri yang rendah dan sering menganggap diri
mereka sebagai individu yang tidak kompeten, tertekan dan sentiasa dalam kebimbangan.
Manakala, pembuli-pembuli lazimnya adalah terdiri daripada mereka yang secara fizikalnya
kuat dengan esteem kendiri yang baik dan berkembang. Mereka tidak mempunyai rasa
tanggungjawab terhadap tindakan yang telah mereka lakukan, sering berasa ingin mengawal
dan mendominasi serta tidak mampu memahami dan menghargai orang lain (Twemlow,
2000).
Latar belakang keluarga memainkan peranan yang penting dalam membentuk tret
perlakuan buli. Ibu bapa yang sering bertelagah cenderung untuk mempunyai anak-anak
yang mempunyai risiko untuk menjadi lebih agresif. Murid X merupakan murid yang berasal
daripada keluarga yang sederhana. Latar belakang sosio ekonomi murid adalah daripada ibu
bapa yang mempunyai perniagaan kecil. Ibu dan bapa kanak-kanak ini sering keluar awal dan
balik lewat untuk menguruskan perniagaan makanan mereka. Oleh itu, mereka tidak dapat
meluangkan masa bersama anak-anak dan memberi perhatian yang sepenuhnya. Selain itu,
hasil daripada temu bual guru dengan murid yang sering membuli rakannya mendapati
bahawa bapanya merupakan seorang yang sangat tegas dan suka menggunakan rotan
sekiranya kanak-kanak tersebut melakukan kesalahan. Penggunaan kekerasan dan tindakan-

tindakan yang keterlaluan dalam usaha untuk mendisiplinkan kanak-kanak oleh ibu bapa,
penjaga dan guru secara tidak langsung boleh menggalakkan perlakuan buli di kalangan
kanak-kanak (Stevens et al., 2002). Kanak-kanak yang kurang mendapat kasih sayang,
didikan yang sempurna dan pengukuhan positif lazimnya akan menjadi pembuli. Mereka
akan menjadi kanak-kanak yang bersikap pemarah dan lebih agresif berbanding kanak-kanak
lain yang sebaya. Tindakan ahli keluarga yang secara keterlaluan mendera sama ada secara
verbal atau fizikal akan mengajar kanak-kanak tersebut bahawa tingkah laku ganas dan
aggresif merupakan tingkah laku yang paling sesuai dan efektif bagai mencapai sesuatu
matlamat.

Kanak-kanak tersebut belajar bahawa tindakan menentang adalah cara bagi

mereka untuk menyelesaikan masalah.


Rakan sebaya memainkan peranan yang tak kurang penting terhadap perkembangan
dan pengekalan tingkah laku buli, sikap anti sosial dan salah laku-salah laku lain di kalangan
kanak-kanak (OConnell, Pepler dan Craig, 1999; Salmivalli et al, 1996; Verlinden, Herson
dan Thomas, 2000).

Kehadiran rakan sebaya sebagai pemerhati secara tidak langsung

membantu pembuli memperolehi kuasa, populariti dan status. Pembuli secara tidak langsung
mencapai kesedaran tentang kuasa dan menerima pengukuhan sosial melalui rakan sebaya
terhadap tingkah laku buli yang mereka lakukan terhadap mangsa. Pembuli menjadi lebih
popular dan terkenal di kalangan rakan sebaya. Dalam kebanyakan situasi buli, saksi ataupun
rakan sebaya yang melihat perlakuan buli dilakukan lazimnya akan mengambil sikap berdiam
diri dan enggan untuk campur tangan. Ini ialah kerana mereka beranggapan bahawa jika
mereka campur tangan atau memberitahu orang lain tentang perlakuan buli yang disaksikan
oleh mereka akan mengundang tindak balas atau bencana yang lebih buruk terhadap diri
mereka sendiri dan juga mangsa buli. Kegagalan untuk bertindak atau melaporkan kes buli
ini akhirnya akan mengukuhkan tingkah laku pembuli serta terus membiarkan perlakuan buli
dilakukan sewenang-wenangnya (OConnell, Pepler dan Craig, 1999). Apabila mangsa buli
ini ditemu ramah, Murid X mengatakan bahawa tidak ada rakannya yang menolongnya
semasa Murid Y membulinya akibat keadaan fizikal si pembuli yang agak besar daripada
rakan-rakan yang lain. Malahan sikap agresif Murid Y juga menyebabkan murid lain takut
untuk campur tangan kerana takut menjadi mangsa buli pula kepada Murid Y.
Paparan aksi dan tingkah laku ganas yang sering diudarakan di kaca televisyen dan
media-media elektronik mempengaruhi tingkah laku ganas kanak-kanak dan para remaja
(Johnson et al,. 2002).

Ianya mungkin secara khusus berlaku kepada mereka yang

mempunyai masalah kawalan tingkah laku, emosi dan pembelajaran. Kanak-kanak yang

terdedah kepada tingkah laku dan aksi ganas akan belajar menerima keganasan dalam
kehidupan seharian mereka. Ini sejajar dengan dapatan pengkaji berkaitan rancangan harian
yang ditonton oleh Murid Y. Pengkaji mendapati Murid Y sering didedahkan dengan
rancangan seperti WWE, serta rancangan-rancangan telelevisyen yang ganas seperti
gangesterism dan sebagainya. Murid Y nampaknya telah membentuk sikap yang positif
terhadap penggunaan kekerasan dan akhirnya gagal untuk menyedari kesan-kesan negatif
akibat daripada tingkah laku ganas tersebut. Imej dan maklumat media yang memaparkan
keganasan dan tingkah laku buruk akan menyumbang kepada tanggapan yang menyifatkan
bahawa perlakuan buli adalah tingkah laku yang diterima, popular dan humor (Willes dan
Strasburger, 1998).

CARA MENANGANI GEJALA BULI


Peningkatan gejala buli tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak apatah lagi jika
membabitkan kes kecederaan dan yang lebih teruk lagi boleh menyebabkan kematian akibat
buli.Semua pihak harus berganding bahu menggembleng tenaga dalam usaha memastikan
gejala buli tidak berleluasa dalam kalangan masyarakat.Peranan ibu bapa penting dalam
menangani masalah buli. Hal ini demikian ibu bapa merupakan pembentuk sahsiah pelajar
sejak mereka kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.Ibu bapa
boleh menerapkan pendidikan agama kerana ajaran agama boleh melahirkan manusia yang
bermaruah dan mengamalkan budi pekerti yang mulia. Di samping itu,ibu bapa perlu
memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan yang
tidak bermoral.Sebagai contoh ibu bapa perlu berbincang dengan anak-anak tentang aktiviti
yang dilakukan anak-anak di luar waktu sekolah bagi memastikan mereka tidak melakukan
sebarang aktiviti yang tidak bermoral.
Dalam menangani gejala buli ini, pihak sekolah juga memainkan peranan yang besar
dalam membantu mangsa buli daripada terus dibuli. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab
pihak sekolah untuk sentiasa menguatkuasakan peraturan-peraturan sekolah khususnya untuk
mengawal disiplin murid-murid. Penguatkuasaan undang-undang yang berat terhadap
pembuli juga dapat dijadikan sebagai langkah untuk mengatasi gejala buli. Dalam
perlaksanaan hukuman ini, pihak kerajaan memainkan peranan penting bagi memastikan
hukuman berat dikenakan ke atas pembuli. Dengan itu, pembuli akan berasa serik untuk
membuli dan mereka tidak akan mengulangi lagi lagi jenayah ini. Ini kerana perlaksanaan

hukuman berat seperti hukuman penjara atau denda yang mahal terhadap pembuli yang
kebanyakkannya adalah pelajar sekolah akan berasa terbeban dengan hukuman tersebut. Oleh
sebab itu, dengan mengatasi gejala buli, Negara kita akan menjadi kawasan bebas dari
masalah buli.
Para pelajar juga haruslah peka dan bijak dalam memilih rakan sebaya supaya mereka
tidak tersilap memilih rakan.Hal ini kerana seseorang individu tersebut sedikit sebanyak akan
terikut-ikut perangai rakan sebaya mereka.Jika baik perangai rakan-rakan mereka,maka baik
juga sikap mereka nanti.Penglibatan aktif kumpulan pelajar dalam persatuan seperti
Persatuan Pencegahan Jenayah akan menjadikan pelajar tersebut terhindar daripada gejala
sosial yang tidak berfaedah.
Selain itu, filem dan rancangan televisyan yang memaparkan aksi yang ganas juga
harus ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem terlebih dahulu.Hal ini kerana pelajar mudah
terikut-ikut akan adegan yang ditunjukkan seperti di dalam filem tersebut juga.Pemilihan
bahan tontonan yang bersesuaian juga digalakkan bagi membina sahsiah seterusnya
memupuk kecerdasan minda pelajar.Misalnya,ibu bapa boleh memilih rancangan televisyen
yang bersesuaian dengan pelajar semasa membuat pemilihan rancangan dari rangkaian
televisyen terbesar seperti Astro.
Langkah seterusnya untuk mengatasi gejala buli adalah dengan mempelajari seni
mempertahankan diri. Contoh seni mempertahankan diri yang boleh dipelajari oleh para
pelajar di sekolah ialah taekwando, seni silat gayung dan sebagainya. Apabila seseorang
pelajar mempelajari seni mempertahankan diri, mereka akan dapat mempertahankan diri
mereka apabila diserang oleh pembuli. Dengan berbekalkan ilmu mempertahankan diri ini,
mangsa buli akan lebih berkeyakinan untuk menjalani kehidupan seharian dan berhadapan
dengan pembuli. Pembuli akan berhenti untuk melakukan kegiatan buli apabila mangsa buli
juga berani untuk mempertahankan diri, apatah lagi apabila dia mempunyai rakan untuk
melindungi dirinya.
Konklusinya,gejala buli ini haruslah ditangani dengan segera sebelum menjadi nanah
dalam masyarakat.Jika masalah ini semakin berleluasa maka sukar bagi negara kita untuk
maju kerana remaja merupakan aset terpenting negara dan akan menerajui negara pada masa
depan bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang nagara..Oleh itu
semua pihak harus berganding bahu bagi mengekang masalah sosial ini.Semoga berkat usaha

gigih semua pihak kita dapat melahirkan generasi pelapis yang mampu memacu negara ke
puncak kecemerlangan.

PERANAN PENDIDIKAN MORAL DALAM MENGAWAL GEJALA BULI


Pendidikan Moral merupakan salah satu subjek yang diajarkan di sekolah, bermula dari
sekolah rendah sehinggalah di peringkat sekolah menengah. Mata pelajaran ini merupakan
subjek yang teras yang diwujudkan demi menerapkan nilai-nilai moral dalam diri pelajar.
Dalam menangani gelaja sosial ini, pihak kerajaan terutamanya Kementerian
Pendidikan Malaysia harus lebih efektif dalam usaha menerapkan subjek Pendidikan Moral
malahan subjek-subjek lain yang dapat mengukuhkan disiplin pelajar seperti Pendidikan
Sivik dan Pendidikan Islam ke dalam kurikulum sekolah. Pengajaran subjek ini dipercayai
akan melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah dan moral yang tinggi dan menggalakkan
suasana yang aman dan harmoni dalam masyarakat.
Selain itu, guru-guru juga berperanan dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk
menyemai nilai-nilai murni dalam diri murid seterusnya dapat mencegah gejala buli daripada
terus berlelusa. Sebagai contoh,

melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Moral,

Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu tentang gejala-gejala negatif
terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya perlu dimasukkan dalam sukatan kurikulum.
Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan
yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka. Pelajar juga didedahkan dengan pelbagai
maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkan
mereka daripada terbabit dalam kes buli ini.
Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013)
supaya pelajar dapat dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, bertataetika tinggi,
bijaksana selain dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan tabah mengatasi segala
rintangan dan cabaran dalam kehidupan.

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, kejadian buli di sekolah rendah masih berada di tahap yang rendah.
Namun begitu, gejala ini tidak seharusnya dibiarkan. Sekolah merupakan sebuah komuniti
yang menjadi sebahagian daripadamasyarakat yang lebih luas. Di samping mengajar, guru
juga memainkan peranan sebagai role model yang utama kepada para murid.
Sesungguhnya isu buli di sekolah tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja.
Ia memerlukan komitmen daripada semua pihak, baik guru, ibu bapa atau murid itu sendiri
bagi memastikan institusi sekolah menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk
melahirkan samseng. Sama ada untuk berseronok atau kerana benci dan ingin membalas
dendam, perbuatan seumpama ini tidak sepatutnya menjadi budaya yang menunjangi institusi
sekolah.
Pengajaran dan pembelajaran di sekolah merupakan medium yang sangat penting
dalam menyuntik kesedaran dalam diri murid-murid supaya menjadi orang yang berguna
kelak. Setiap nilai-nilai moral semasa pengajaran pendidikan moral haruslah ditanam dengan
kukuh dalam diri murid-murid terutamaya yang menyedarkan mereka tentang akibat
sekiranya mereka terjebak dengan gejala-gejala sosial. Malahan subjek lain juga seharusnya
menyemaikan nilai-nilai murni dalam diri murid agar hasrat Kementerian Pendidikan
Malaysia dapat direalisasikan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Masalah buli ini, walau sekecil mana pun, ia mempunyai potensi yang besar untuk
merebak dengan berluasa jika dibiarkan. Maruah dan harga diri negara kita adalah terletak
pada rakyatnya yang sentiasa beretika, bermoral dan berdisiplin. Untuk menangani masalah
buli ini seharusnya dimulakan dari akar umbi iaitu seawal persekolahan di sekolah rendah
agar tidak merebak dan berleluasa di sekolah menengah dan peringkat yang lebih tinggi lagi.

BIBLIOGRAFI
Banks, Ron. (2000). Bullying in schools. Eric Review, 7(1), 12-14.
Connel, A. dan Farrington, D. P. (1996). Bullying Among Incarcerated Young Offenders:
Developing an interview schedule and some preliminary results. Journal of
Adolescence, 19, 75-93.
Espelage DL, Bosworth K dan Simon TR. (2000). Examining the social context of bullying
behaviors in early adolescence. J Counseling Develop;78:326-333.
Espelage DL, Bosworth K dan Simon TR. (2000). Examining the social context of bullying
behaviors in early adolescence. J Counseling Develop;78:326-333.
Hairunnaja Najmuddin. (2007). Memahami dan membimbing remaja nakal. Kuala Lumpur:
PTS Proffessional.
Johnson JG, Cohen P, Smailes EM, Kasen S, dan Brook JS. (2002). Television viewing and
aggressive behavior during adolescence and adulthood. Science,295:2468- 2471.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Kurikulum Standard Sekolah Rendah: Pendidikan
Moral Tahun 4. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Lydia Harlina Martono & Satya Joewana. (2008). Belajar hidup bertanggungjawab,
menangkal narkoba dan kekerasan. Jakarta: PT Penerbitan dan Pencetakan.
Mohd Sharani Ahmad & Zainal Madon. (2005). Panduan Mengurus Remaja Moden. Kuala
Lumpur: PTS Professional.
OConnell P, Pepler D dan Craig W. (1999). Peer involvement in bullying: insights and
challenges for intervention. J Adolescence.;22:437-457.
Olweus, D. (1993a). Bullying in School. London, Willy and Son.: What we know and what
we can do. Oxford, Blackwell.
Olweus, D. (1991). Bully/victim problems among schoolchildren: basic facts and effects of a
school-based Intervention programme. in D. Pepler & K. Rubin, (Eds.) The
Development and Treatment of Childhood Aggression.Hillsdale, NJ: Erlbaum.

Smith, P. dan Sharp, S. (1994). The problem of school bullying. In P.K. Smith & S. Sharp
(Eds.) School Bullying Insights and Perspectives. London:Routledge.
Smith, P.K. dan Thompson, D. (1991). Practical Approaches to Bullying. London: David
Fulton.
Stevens V., Bourdeaudhuij I.D. dan Oost P.V. (2002).

Relationship of the family

environment to childrens involvement in bully/victim problems at school. Journal of


Youth and Adolescence, 31(6), pp. 419-428.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi. (07 March 2012). Siasatan kes buli, pukul murid bermula.
Seremban: Berita Harian.
Twemlow, S. (2000). The Roots of Violence: Converging Psychoanalytic Explanatory
Models for Power Struggles and Violence in Schools, Psychoanalytic Quarterly, 69
(4): 741-785.
Willes, E. dan Strasburger, V.C. (1998). Media violence. In: Hennes H, Calhoun AD, eds.
Violence among children and adolescents. Pediatr Clin North Am.;45:319- 331.