Anda di halaman 1dari 5

INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut.

Lelaki tersebut
dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu
Kelantan.
Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan,
malah perkataan jihad yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan
pemberontakan dan penderhakaan.
Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan
kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok
Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang pintar akan terjejas.
Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu
meninggal, mereka sedar aura perjuangan Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi
mengelakkan peristiwa itu berulang.
Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya,
dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka
dan pengkhianat bangsa dan negara.
Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana
masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya
terhadap negara.
Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak
kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa
tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.
Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau
dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya
berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri
Maharaja Jeram.

Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani
dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar
membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula
melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya
menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.
Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan,
Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani,
Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.
Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran
yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.
Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak
terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk
menubuhkan barisan menentang penjajah itu.
Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat
Kilau dan Datuk Bahaman.
Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama
pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian
Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam
peperangan itu.
Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang
Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul
Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan
sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang
Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak
berpuas hati.
Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil
kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu,
Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.
Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan
kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah
perjuangannya.
Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas
di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil
alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.
Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari
Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis,
Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.
Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada
pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat
Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya
bersenjata.
Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan
mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul
persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolaholah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring
atau di hadapannya.
Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan
dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan
Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di
jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan
Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan
Ungku Besar Jeram sebagai Raja.
Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum
ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan
tidak berlaku di Kelantan.
Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV
mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud
Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam
Lebai Kadir.
Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau
dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap
sebagai penindas.
Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri,
Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas
kesalahan menderhaka.
Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya
menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.
Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok
Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik
Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.
Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar
Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut
mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai
kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera
Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.
Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh,
Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk
kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah
tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.
Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin

pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah
Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.
Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan
akibatnya beliau ditikam mati.
Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak
jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan Allahu akbar!, Tok Janggut dan
pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai
pengikutnya.
Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan
digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan
di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan