Anda di halaman 1dari 14

Masalah Sosial Di Kalangan Pelajar 1.

0 PENGENALAN Banyak yang telah kita dengar


tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan
aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang dilakukan oleh remaja
mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan
bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan
mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali
menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih
bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada
masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar
membimbangkan kita. Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu
mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi
mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di
luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka.
Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi
kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-
tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan
seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan
dewasa (Bettelheim, 1950). Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok,
bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti
membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari rumah , seks bebas serta serta lagi
melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini sudah berani melakukan perbuatan
jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan
gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api mahupun dengan senjata api,
merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan dadah , minum minuman keras,
terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku
disekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah disekolah luar bandar. 2.0 REMAJA
DARI SUDUT PSIKOLOGI Perubahan daripada alam remaja kepada alam dewasa merupakan
satu masa yang amat penting, di mana perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru
lebih-lebih lagi dengan gejala sosial akan bermula. Memahami siapa remaja adalah
penting bagi mengetahui mengapa mereka terlibat dengan gejala sosial ini. Ini
kerana faktor personaliti individu itu sendiri serta faktor perkembangannya
mempengaruhi tingkahlaku yang dilakukan olehnya. Perkataan remaja ataupun
adolescene berasal dari perkataan Latin iaitu “adolscere” yang bermaksud
“membesar” atau “membesar menjadi matang” (Rogers, 1981). Menurut Kamus Dewan
(Edisi Ketiga), remaja merupakan seorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh,
sudah cukup umur untuk berkahwin dan sedang melalui proses inginkan cinta. Dari
segi perspektif Islam pula, remaja dianggap sebagai mereka yang sudah cukup umur
atau diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat ini, golongan remaja mengalami
peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa. Definisi remaja ini banyak
diperkatakan oleh ahli psikologi dan ada di antaranya mendefinisikan remaja
sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak, satu fenomena
sosiobudaya atau berdasarkan sikap remaja terhadap kehidupannya. Persoalan yang
sering dikaitkan dengan pencarian identiti adalah merupakan persoalan utama bagi
remaja. Persoalan seperti "Siapakah saya?", "Apakah bidang kerjaya yang sesuai
dengan saya?", dan sebagainya yang membawa maksud identiti apa yang membuatkan
seseorang itu berbeza dengan orang lain. Mengikut seorang ahli psikologi Stanley
Hall (1904), zaman remaja ialah jangka masa seseorang itu mengalami berbagai
cabaran dan tekanan ( storm and stress). Ini kerana pada peringkat ini remaja
mengalami perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan
berbagai konflik di dalam dirinya dan juga masyarakat. Perkembangan fizikal remaja
perlu diketahui bagi membantu memahami tentang
sesetengah remaja yang lambat atau cepat dalam pekembangan mereka dan apakah
kesan-kesan disebaliknya. De Brun (1990) pula, mendefinisikan remaja sebagai
tempoh pertumbuhan antara masa kanak-kanak dengan masa dewasa yang pada umumnya
bermula pada usia 12 tahun atau 13 tahun dan berakhir pada usia awal dua puluhan.
Manakala menurut Adams & Gullota (1997), masa remaja meliputi usia antara 11 tahun
hingga 20 tahun. Havighurst dalam Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004) pula,
membahagikan masa remaja kepada dua iaitu awal remaja (12 hingga 18 tahun) dan
akhir remaja (18 hingga 22 tahun). Anna Freud (1990) pula berpendapat, pada masa
remaja berlaku proses perkembangan yang meliputi perubahan-perubahan yang
berhubung dengan perkembangan psikoseksual dan merupakan proses pembentukan
orientasi masa depan. Daripada definisi remaja yang telah diberikan, secara
keseluruhannya menyatakan bahawa remaja merupakan satu tempoh peralihan dari zaman
kanak-kanak ke alam dewasa yang berlangsung dalam usia sekitar 13 tahun hingga 20
tahun. Pada peringkat ini berlakunya perubahan yang pesat sama ada perubahan
biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tenggungjawab dan peranan.
Jadi, untuk mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan
dengan masalah dan konflik dalam mencari identiti diri. Oleh itu, berlakulah
ketegangan dan tekanan emosi dalam diri remaja. Jika diteliti secara mendalam
zaman remaja sebenarnya merupakan suatu proses dan bukannya satu jangkamasa.
Kerana pada tahap ini berlakunya proses mencapai atau memperolehi sikap dan
kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat. 3.0
PERKEMBANGAN FIZIKAL REMAJA

Perkembangan fizikal remaja boleh dirujuk kepada perkembangan remaja dari aspek
biologi. Ketika ini remaja-remaja lelaki dan perempuan secara sedar atau tidak
akan mengalami perubahan dari segi bentuk tubuh dan emosi. Perubahan ini berlaku
akibat tindakan hormon. Kadar pembesaran dan perubahan remaja lelaki dan perempuan
juga adalah berbeza dan begitu juga dengan seorang individu dengan individu yang
lain. Antara perkembangan fizikal yang dilalui oleh remaja seperti kematangan
biologi, tingkahlaku heteroseksual dan akil baligh. Dari segi kematangan biologi,
pada awal alam keremajaan, remaja selalunya sibuk menyesuaikan diri dengan
pertumbuhan yang berlaku pada tubuhnya. Kesedaran ke atas kejantinaan diri semakin
bertambah. Hal ini akan memberi kesan kepada imej tubuh serta konsep kendiri. Pada
usia beginilah remaja akan lebih prihatin dengan keadaan tubuhnya. Mereka akan
sering membezakan dirinya dengan rakan sebaya yang lain. Remaja yang cepat matang
mempunyai beberapa kelebihan apabila dibandingkan dengan yang lambat matang.
Mereka terlebih dahulu mengambil tempat dalam masyarakat remaja sementara mereka
yang lambat matang perlu bersaing daripada sudut fizikal dan sosial bagi mendapat
tempat yang istimewa dalam kelompok remaja. Dari segi tingkahlaku heteroseksual
pula, remaja zaman dahulu mempunyai sikap yang berbeza ke atas pelbagai aspek
seksual berbanding dengan remaja zaman sekarang, terutamanya remaja perempuan.
Sebuah kajian ke atas kelompok pelajar sebuah kolej di Amerika Syarikat di antara
tahun 1900 dengan tahun 1980 menunjukkan peratusan orang muda yang melakukan
hubungan seks meningkat, dan kadar pelajar perempuan yang melakukan hubungan seks
meningkat lebih cepat dibandingkan dengan pelajar lelaki. Beberapa buah kajian di
Barat menunjukkan bahawa cinta adalah faktor utama ramai remaja perempuan
melakukan hubungan seks. Keinginan berkahwin dengan pasangan mereka juga wujud di
kalangan pelajar wanita tetapi kurang bagi pelajar lelaki. Faktor-faktor lain
adalah seperti desakan teman lelaki, perasaan ingin tahu dan keinginan seks yang
tidak berkaitan dengan cinta. Baligh pula merupakan perubahan biologi yang
menandakan permulaan remaja. Ianya bermula apabila tahap hormon yang memasuki
saluran darah meningkat ekoran respon kepada isyarat daripada bahagian otak iaitu
hipotalamus. Apabila tahap pertumbuhan hormon bertambah dalam badan, lonjakan
pertumbuhan kanak-kanak dengan tiba-tiba akan berlaku. Lonjakan ini merupakan
tanda yang nyata tentang permulaan akhil baligh. Perkara yang paling
ketara semasa baligh adalah merupakan perkembangan permatangan seksual iaitu
kebolehan pembiakan. Menurut Jean Jacques Rousseau (1712-1778), akil baligh
bermula pada usia 15 tahun atau mungkin lebih awal dari yang dianggarkan. Pada
masa ini, kanak-kanak melalui peringkat kedua kelahiran, bentuk badan mula berubah
dan keinginan muncul dari dalam, perubahan angin, kemarahan, perubahan fikiran,
membuatkan mereka tidak dapat mengawal, mula berasa segan atau malu apabila
berhadapan dengan kehadiran orang yang berlainan jantina, dan mereka mula merasai
perasaan seksual. Dengan kata lain mereka mula tertarik antara satu sama lain.
Manakala menurut Sigmund Freud dan Anna Freud, awal remaja adalah peringkat yang
paling bermasalah disebabkan perubahan dramatik psikologi yang berlaku pada masa
tersebut. Zon genital, khasnya didorong tenaga seksual yang hebat, dan remaja ini
sekali lagi dilanda fantasi. Remaja ini mungkin rasa susah atau tidak selesa
apabila berada di kalangan ibu bapanya. Stanley Hall (1904) berpendapat
perkembangan seseorang individu ditentukan oleh naluri iaitu tenaga-tenaga biologi
dan faktor genetik dan bukannya persekitaran. Beliau mengatakan zaman remaja
sebagai zaman 'storm and stress' yang bersifat biologikal yang terhasil daripada
perubahan-perubahan yang berlaku semasa baligh yang tidak dapat dielakkan.
Mencapai akil baligh merupakan satu masa apabila emosi menjadi tidak stabil dan
tergugat. Hall percaya bahawa hasil daripada tekanan-tekanan dan perubahan
tersebut, remaja akhirnya akan menjadi individu yang matang dan bermoral. 4.0
TEORI PUNCA SALAH LAKU DAN MASALAH SOSIAL PELAJAR

Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme


menganggap devian sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan
devian merupakan tindakan golongan tertindas terhadap pihak minoriti yang
menindas. Teori subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat devian berpunca
daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi
selalu berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi. Remaja
terutamanya daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam
akademik mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak melakukan devian.
Teori interaksionisme melihat devian sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan
suatu proses sosial. Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut
kemahuan mereka yang sesuai dengan cara mereka menginterpretasi sesuatu . Kajian
Tattum (1986) mendapati bahawa pelajar sengaja melakukan devian sebagai teknik
neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat empat jenis
devian iaitu inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah), ritual
(tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi berminat dengan
matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan ) dan menentang
(menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain). 5.0 5.1
MASALAH SOSIAL PELAJAR Seks Bebas Dan Jenayah Seksual Seks bebas dan jenayah
seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita
terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Apa yang menyedihkan kita ialah
penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika mereka mereka berada
di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah
mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar
wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui
ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut. Peningkatan pembabitan
remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa
keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius. Seorang lagi guru di sebuah
sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan di Kuala
Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana
mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu
di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan
terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil
ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak
sekolah mendapati pelajar itu adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah
seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat
sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti
mencabul kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka
bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah
seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan
pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).Menurutnya,
sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya diselamatkan
daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang
tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya diselamatkan
dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan
berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat orang murid tahun dua di
sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-guru, didapati bahawa
seorang daripada murid itu mengulangi apa yang yang dilihatnya dalam sebuah filem
lucah , bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab
sifat ingin tahu, dia meminta rakanrakannya untuk mencubanya di bawah meja selepas
guru mereka meninggalkan bilik darjah. Namun apa yang sangat menyedihkan ialah
sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup mendedahkan anaknya kearah gejala sosial
dengan menonton video lucah bersama-samanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam
masyarakat kita pada hari ini ? Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya semua
ini? Adakah anak yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang
perlu dipersalahkan? Ibu bapa hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang
baik bagi anak-anak kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan
lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi
tingkah laku anakanak dan para pelajar. Remaja dan pelajar merupakan golongan
pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan
ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan
insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu
daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja. Aktiviti seperti "Lepak Siber",
melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya
merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu,
satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat
dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan
potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif. 5.2 Samseng
Dan Gengsterisme

Gejala samseng atau gengsterime di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin
membimbangkan. Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan tidak
takut melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya. Berita
Harian, 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga
1998 kadar jenayah membabitkan remaja lelaki dan pelajar meningkat sebanyak 35
peratus dan 25 peratus bagi remaja perempuan. Kementerian Pendidikan dengan
kerjasama polis telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah menengah di seluruh
negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan sedikit dan menunjukkan
gejala ini ini berada pada tahap membimbangkan . Kalau kita menyorot kembali
gejala ini, kita akan diperlihatkan kepada pembabitan pelajar dalam kes jenayah
berat seperti membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan kes pukul. Terdapat juga
pelajar yang terlibat dengan dadah, mabuk, memiliki senjata api menceroboh , judi
dan membuli. Peristiwa terbaru ialah kejadian membakar sekolah dan rumah guru yang
dilakukan oleh pelajar sekolah. Seawal belasan tahun pelajar sudah terjebak dengan
jenayah
ekstrem seperti membunuh , merogol dan menyamun. Mereka yang sudah menjinakkan
diri dengan kes seperti mencuri motosikal, pecah rumah dan memukul orang , tidak
mustahil akan terbabit dengan jenayah berat seperti membunuh, sindiket senjata api
, pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api. Mengikut laporan Menteri
Pendidikan semasa persidangan di Parlimen, statistik kesalahan membunuh, merompak,
merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh
mengikut negeri-negeri dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan pertengahan tahun
2001 ialah 12 kes bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan. Terdapat
beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut seperti faktor
rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri pelajar itu sendiri .
Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan media yang memberikan ganjaran
keseronokan dan mula tersesat dengan meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan
media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang
kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Selain itu rumah tangga yang porak
peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang kearah kelakuan tidak
baik di kalangan remaja . Sekiranya ini berlaku pelajar atau remaja akan mengambil
jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai jalan keluar kepada
permasalahan mereka. 5.3 Ponteng Sekolah

Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru di kalangan
pelajar sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pendidikan menunjukkan pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan iaitu
32 092 orang pada tahun 1993, 154305 (1995) dan 80 937 pada 1997. Pelajar sekolah
menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti
sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Daripada
keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira
97 peratus adalah dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar
perempuan. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan , Datuk Mahadzir
Mohd Khir , masalah ponteng lebih ketara berlaku di kalangan pelajar peringkat
menengah iaitu tingkatan dua dan tiga terutama mereka yang bersekolah di kawasan
bandar dan sekolah di pinggir bandar. Di antara faktor-faktor yang menyumbang ke
arah berlakunya gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah ialah tiadanya minat
atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan
, pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah,
melayari internet di kafe siber dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan
sebaya. Sesungguhnya gejala ponteng sekolah adalah masalah serius yang perlu
diberi perhatian.dengan mengambil pendekatan bersepadu dengan mengesan punca
pelajar terbabit dengan gejala itu dan kaedah yang berkesan untuk menanganinya.
5.4 Black Metal

Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang
lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang
menjangkiti remaja melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang
terakhir dan masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink Metal.
Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana
kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang
telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan
atau vacum yang kaku dan bisu. Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang
mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang
sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka. Hasil
daripada siasatan, polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di
Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan Black Metal sejak 1999. Ada diantara
pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara membakar ayat Al Quran dan mengikuti
upacara yang diketuai `tok guru` yang berselubung hitam. Akibat dari ketandusan
aqidah , pelajar Islam mula terpengaruh dengan agenda Yahudi dengan menafikan
tauhid Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat menyedihkan dan mengecewakan
apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara ini yang terpengaruh dengan
budaya yang kurang sihat ini. Ilmu dan pengajaran daripada simpulan bahasa dan
perumpamaan melayu misalnya, tidak langsung mendapat tempat sebagai pegangan hidup
kita. Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak
dari seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu di
kalangan anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan keikhlasan semua
pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya, tanpa kita membebankan
mana-mana pihak. 5.5 Penyalahgunaan Dadah

Dadah bukanlah satu perkara baru dalam konteks kehidupan pada hari ini. Di
Malaysia sahaja bilangan penagih dadah semakin bertambah saban tahun. Apa yang
lebih membimbangkan ialah golongan remaja terutamanya pelajar sekolah terlibat
dengan aktiviti yang tidak sihat ini. Menurut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan
pada tahun 2005 sahaja lebih 5% daripada 32 808 penagih dadah yang dikesan terdiri
daripada mereka yang berusia 13-20 tahun. Manakala berdasarkan laporan Dadah Dunia
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2007, dianggarkan 200 juta atau 5 peratus
daripada penduduk dunia (1 daripada 200 orang) mengambil dadah. Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan bagi setiap penagih yang dikesan ada empat
lagi yang tidak dilaporkan. Jikalah ini benar, ini bermakna jumlah sebenar penagih
dadah di Malaysia boleh menjadi sejuta orang berbanding hanya 250,000 yang
dilaporkan. Kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia pula mendapati,
kebanyakkan penagih dadah di negara ini mula mengenali dadah dalam lingkungan usia
13-15 tahun dan 71 peratus daripada penagih baru terdiri daripada golongan muda
antara 19-39 tahun. Menurut Agensi Dadah Kebangsaan, dadah merupakan satu istilah
khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang
dari segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah-laku pengguna
apabila digunakan. Akibat daripada kesan ini seseorang yang menggunakan dadah akan
terus bergantung hidup kepada dadah tersebut dan menyebabkan ketagihan. Seseorang
penagih sanggup menggadai maruah serta memperhambakan diri kepada sesiapa saja
walau dalam apa jua keadaan asalkan bekalan dadahnya terjamin. Akibatnya ramai
yang sanggup mengemis dan melacurkan diri. Walaupun dadah yang dikenali umum
terdiri daripada heroin, morfin, dan ganja, pada hakikatnya ia merangkumi juga
semua bahan yang boleh memberi kesan seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuk
tembakau dan arak. Malah, sesetengah ubat-ubatan jika tidak digunakan mengikut
peraturan dan sukatan yang betul boleh memberi kesan negatif yang sama seperti
dadah. Contohnya morfin dan sebatian terbitan daripadanya yang banyak digunakan
sebagai ubat penghilang kesakitan semasa merawat kecederaan yang serius. Dengan
perkataan lain dadah membawa risio yang amat tinggi sehingga boleh mengakibatkan
maut. Semua jenis dadah yang telah disebutkan pada dasarnya menunjukkan kesan
ketagihan dalam bentuk pergantungan fizikal, mental dan emosi yang sama. 6.0 6.1
FAKTOR- FAKTOR MASALAH SOSIAL DI KALANGAN PELAJAR Peranan Ibubapa

Terdapat pelbagai perkara yang boleh menyebabkan remaja terlibat dengan masalah
sosial ini. Faktor yang paling utama ialah kurangnya peranan ibubapa, masalah
keluarga, faktor diri sendiri dan pengaruh rakan sebaya. Faktor-faktor lain pula
seperti sekolah dan masyarakat. Sering kali dinyatakan ibu bapa mempengaruhi
kejayaan remaja khasnya pelajar di dalam pelajaran. Ini kerana ibu bapa yang
sentiasa memberi galakan dan perangsang sehingga mereka timbul minat, semangat
ketekunan dan keyakinan diri dalam menghadapi pelajaran (Jamal Darus, 1989). Ibu
bapa juga yang menentukan pola-pola tingkah laku remaja. Faktor-faktor seperti
dorongan dan galakkan, disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa dan anak
serta keluarga yang utuh memberi kesan ke atas pembentukkan personaliti, motivasi
dan pencapaian akademik remaja yang masih bergelar pelajar. Ibu bapa yang sentiasa
memberi dorongan dan bantuan dikaitkan dengan kejayaan yang tinggi (T. Marimuthu,
1990). Disiplin yang berterusan dan hubungan baik antara ibu bapa dengan remaja
meningkatkan motivasi kejayaan di dalam pelajaran. Dalam kajian ke atas 408 orang
kanak-kanak, pengkaji mendapati keadaan di rumah adalah lebih cepat dikaitkan
dengan kemajuan sekolah daripada kecerdasan. Keutuhan institusi kekeluargaan dapat
menjamin kecemerlangan remaja khususnya dalam alam pendidikan dan perkembangan
personaliti. Ibu bapa khususnya, adalah salah satu faktor persekitaran yang banyak
mempengaruhi pembentukan dan perkembangan personaliti atau sahsiah remaja. Ini
kerana, ibu bapa menjadi sumber utama dan pertama proses pembelajaran dan
pembentukan keperibadian remaja. Hakikat ini jelas dinyatakan oleh bapa psikologi
moden, Freud (1983). Oleh itu, ibu bapa yang tidak memainkan peranan dalam
pembentukkan tingkahlaku remaja menyebabkan berlakunya kemunduran pembentukan dan
perkembangan personaliti atau sahsiah remaja tersebut. Cara gaya keibubapaan atau
cara asuhan dipercayai banyak mempengaruhi personaliti remaja khususnya pelajar
sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas. Contohnya, ibu bapa yang
mengamalkan cara gaya asuhan yang bersifat autokratik dipercayai menyebabkan
lahirnya personaliti yang terlalu agresif, memberontak ataupun sebaliknya iaitu
melahirkan individu pesimis. Remaja yang bersifat agresif dan memberontak
kebiasaannya lebih gemar menghabiskan masanya di luar rumah kerana berasa
terkongkong berada di dalam rumah. Maka, dari sini bermulalah pengaruh-pengaruh
luar yang negatif seperti pengaruh kawan-kawan yang devian, rasa ingin kebebasan
seterusnya menyebabkan punca berjinak-jinak dengan najis dadah. 6.2 Masalah
Keluarga

Faktor kedua penglibatan remaja dalam gejala sosial ini adalah kerana mempunyai
masalah keluarga. Remaja daripada keluarga yang berpecah belah atau yang ketiadaan
ibu bapa atau kedua-duanya mengalami kehilangan tempat bergantung, tempat
menumpahkan kasih sayang serta tempat menerima contoh dan teladan untuk menjadi
bekal penghidupan di hari dewasa sebagai ahli masyarakat yang lebih aktif dan
dinamis. Keadaan seperti ini boleh menjejaskan perkembangan remaja terutamanya
dalam pencapaian akademik serta proses pembentukan personaliti. Ini bersesuaian
dengan salah satu keperluan iaitu keperluan termilik dan kasih sayang (Maslow,
1954). Menurut Maslow, kekurangan perhubungan kasih sayang menjadi punca
kecelaruan personaliti yang mungkin melibatkan tingkah laku agresif dan anti
sosial. Sebagai contohnya, remaja daripada keluarga yang ibubapanya bercerai
mempunyai IQ yang lebih rendah di samping melahirkan ciri-ciri tingkah laku yang
negatif seperti permusuhan, zalim dan tiada kasih sayang (Goldfarb: Petikan Wan
Azmi, 1987). Krisis keluarga seperti penceraian dan pertengkaran ibu bapa juga
boleh menyebabkan remaja kehilangan obor panduan hidup. Maka, lahirlah personaliti
remaja yang tidak sihat dan lemah pencapaian akademiknya. Seterusnya menyumbang
kepada pelbagai gejala negatif termasuklah penagihan dadah, ponteng sekolah, buli
dan lain-lain. Kedudukan kewangan sesebuah keluarga menentukan jenis-jenis
kemudahan yang dapat disediakan untuk anak-anak. Keluarga yang berada mampu
menyediakan bahan-bahan pengajaran tambahan seperti komputer, tutor bimbingan,
alat permainan (raket, tenis, skuasy, alat muzik seperti piano, organ elektrik)
dan sebagainya. Dengan kemudahan ini anak-anak mendapat pendedahan yang begitu
luas. Seseorang remaja yang memperoleh pencapaian akademik yang baik serta dapat
bermain pelbagai permainan dan alat muzik, memang mempunyai aras keyakinan diri
yang tinggi. Sebaliknya, remaja daripada keluarga yang miskin mengalami pelbagai
jenis masalah seperti ketiadaan tempat khas hendak belajar ataupun ketiadaan tutor
ataupun buku panduan tambahan. Walaupun remaja itu mungkin hendak menyertai
permainan tenis ataupun skuasy, mereka menghadapi masalah hendak membeli raket
berkenaan. Perkembangan personaliti remaja berkenaan turut terjejas dan
mempengaruhi proses pembelajarannya. Hal ini, jika tidak dibimbing dengan baik
akan membawa kepada hilangnya minat belajar, ponteng kelas atau sekolah seterusnya
membawa kepada masalah yang lebih serius seperti menghidu gam, mencuri, dan
menagih dadah. 6.3 Pengaruh Sekolah

Faktor ketiga pula ialah pengaruh sekolah kerana remaja menghabiskan hampir
seluruh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding
dengan pengaruh keluarga. Organisasi dan struktur belajar di sekolah seperti
pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan
peperiksaan, bentuk, struktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru,
kesemuanya menggalakkan masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar yang lemah
daripada segi akademik (T. Marimuthu, 1980). Jenis kepimpinan dan suasana sekolah
mempengaruhi perkembangan personaliti remaja. Contohnya pengetua yang tegas
melaksanakan disiplin pasti menegaskan kepada remaja, keadaan disiplin adalah
penting bagi menjamin kejayaan pelaksanaan satu-satu tugasan Sebaliknya pengetua
yang tidak tegas boleh mendatangkan kesan yang negatif pula. Ini boleh menyebabkan
remaja menjadi pasif, menarik diri, takut mengambil risiko, kurang inovatif dan
takut mendatangkan perubahan. Sifat-sifat kepimpinan juga terbantut
perkembangannya. Disamping itu terdapat juga guru yang melabelkan pelajar sebagai
cerdik dan bodoh, pelajar yang pada mulanya berminat dan bermotivasi pasti
menunjukkan minat yang bertentangan setelah dilabelkan oleh guru sebagai pemalas
atau bodoh, ini boleh menjejas pencapaian pelajar dalam pelajaran (Lacey, 1970).
Hal ini seterusnya menyebabkan keinginan untuk ponteng dari kelas atau sekolah,
kerana semangat untuk belajar kian luntur dari diri remaja terbabit. Apabila
gejala ponteng telah menyerap masuk ke dalam diri remaja, maka, pelbagai pengaruh
negatif akan melanda remaja tersebut antaranya ialah penyalahgunaan dadah. 6.4
Rakan Sebaya

Faktor seterusnya adalah rakan sebaya. Pada diri remaja, pengaruh lingkungan dalam
menentukan perilaku diakui cukup kuat. Walaupun remaja telah mencapai tahap
perkembangan kognitif yang memadai untuk menentukan tindakannya sendiri, namun
penentuan diri remaja dalam berperilaku banyak dipengaruhi oleh tekanan dari
kelompok teman sebaya (Conger, 1991). Kelompok teman sebaya diakui dapat
mempengaruhi pertimbangan dan keputusan seorang remaja tentang perilakunya. Rakan
sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri dan mempunyai pengaruh yang ketara. Rakan
sebaya di sekolah dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Sekiranya
nilainilai rakan sebaya tidak mementingkan ketekunan, tanggungjawab, kerjasama,
menepati masa, menghormati guru dan mematuhi peraturan, begitulah sikap pelajar
berkenaan. Sebaliknya sifat-sifat sosial positif rakan sebaya akan menghasilkan
seseorang individu yang amat menekankan nilai moral dalam satu-satu masyarakat
seperti sifat-sifat kepimpinan, bertimbang rasa dan bekerjasama. Rakan sebaya juga
memainkan peranan yang penting bagi membentuk konsep diri, sikap dan pandangan
seseorang pada dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai ataupun tidak di mata
kumpulan masyarakat sekelilingnya. Contohnya, cara berpakaian, hobi, aktiviti-
aktiviti sosial, jenis permainan, kumpulan belajar dan sebagainya. Sekiranya
kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat baik, maka remaja ini terpengaruh
hendak menjalankan aktiviti yang sihat. Tetapi sekiranya kumpulan sebaya yang
dipilih cenderung berbuat jahat, maka remaja ini akan cenderung melakukan
aktiviti-aktivit yang negatif.Ini kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-
rakan. Dengan itu, mereka sentiasa sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima
oleh ahli kumpulannya. Remaja yang berasal daripada keluarga bermasalah lebih
mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk
kumpulan sendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir
jahat. Apabila rakan sebaya membentuk kumpulan yang bersifat negatif, remaja turut
melakukan perkara yang sama supaya diterima oleh kumpulannya seperti meniru dalam
peperiksaan, merokok dan lain-lain yang boleh menjejaskan pelajaran. Paling teruk
lagi ialah pengaruh rakan sebaya ini akan mengaruh remaja terlibat dengan najis
dadah, merogol, merompak, dan membunuh. 6.5 Masyarakat

Aspirasi, harapan dan nilai satu-satu masyarakat dapat mempengaruhi pembentukan


personaliti remaja. Apabila nilai-nilai dan norma-norma masyarakat adalah sihat,
remaja yang membesar dalam situasi itu turut menjadi anggota masyarakat yang
bertanggungjawab, berdedikasi, rajin berusaha dalam pelajaran dan sedia berkorban
untuk menolong orang lain. Sebaliknya, masyarakat kebendaan menegaskan betapa
pentingnya kekayaan dan harta benda. Dengan itu, remaja membesar dengan menjadi
individu dan remaja yang sentiasa mengejar kekayaan dan harta benda. Nilai-nilai
murni ini mungkin ditinggalkan menyebabkan remaja sanggup menipu dalam
peperiksaan, bergaduh, mencuri, mencederakan guru, minum arak dan tidak
mustahillah sama sekali untuk terlibat dengan penagihan dadah. Keadaan ini
menunjukkan dengan jelas bagaimana nilai masyarakat dapat mempengaruhi
perkembangan dan personaliti remaja sehingga boleh membawa kepada masalah sosial
ini. 6.6 Diri Sendiri (Rasa Ingin Tahu)

Faktor lain yang membawa kepada berlakunya masalah sosial ini adalah sikap remaja
yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu
memang wujud dalam diri remaja. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru.
Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Sebagai
contohnya fenomena lumba haram, di mana mereka ingin menunjukkan belang mengecap
keseronokan bersama rakan sebaya. Selain itu juga, remaja sekarang lebih suka
kepada cabaran dan mudah terikut dengan gaya, cara hidup lain daripada orang lain.
Jika tidak kena pada caranya, masalah seperti hamil luar nikah mudah terjadi. Ini
dapat dibuktikan daripada kenyataan akhbar Utusan Malaysia (30 September 2002)
menyatakan, sikap terpedaya dan sukar mengawal nafsu dikenal pasti sebagai antara
punca utama berlakunya gejala kehamilan luar nikah di kalangan remaja. Ini
membuktikan, sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu tanpa mengetahui baik dan
buruknya serta akibat yang bakal diterima. Perkara sedemikian hanya mengundang
pada keruntuhan akhlaknya sendiri. Masalah jenayah seperti penyalahgunaan dadah
juga adalah daripada sikap ingin tahu yang tidak kena pada tempatnya. Menurut
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ” Masalah dadah yang merupakan masalah utama,
masih merupakan ancaman besar negara” (Utusan Malaysia, 2004). Ini membuktikan,
betapa seriusnya masalah dadah yang kebanyakan penagihnya terdiri daripada
golongan remaja. Selain itu, remaja sering dilabelkan sebagai moodiness kerana
sekiranya remaja gagal menangani gangguan emosi yang melanda, maka ia membawa pada
masalah remaja seperti penyalahgunaan dadah, delinkuensi dan kecenderungan hendak
membunuh diri. Menurut penterjemah buku berjudul Psikologi Pendidikan iaitu Noran
Fauziah Yaakub (1991), beliau menyatakan sebab utama berlakunya delinkuensi adalah
perasaan kekecewaan. Keadaan ini menunjukkan remaja yang mengalami tekanan dalam
diri cenderung melakukan masalah. Mereka tidak dapat mengawal emosi dan kematangan
fikiran lantas mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam pelbagai perkara
negatif seperti mengambil dadah, merogol, dan membunuh. Menurut Dr Syed Hasan
Ahmad (2004) menyatakan, ”Apabila remaja membuat andaian bahawa ibubapa cuai dalam
tanggungjawab mereka dan berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam keluarga
terbabit, remaja itu akan berasa marah, kecewa dan memendam perasaan.” Keadaan ini
membawa pada perilaku yang tidak baik seperti vandalisme, lepak dan penyalahgunaan
dadah kerana mereka ingin mengelak daripada berada di rumah. Andaian yang dibuat
oleh remaja ini menjejaskan hubungan antara ahli keluarga dan sekiranya tidak
diatasi pasti semakin seriuslah masalah remaja. Begitu juga dengan apa yang
diperkatakan oleh pakar motivasi iaitu Rubiah Hamzah (Utusan Malaysia, 1999) iaitu
sikap marah dan tidak puas hati dapat memberi kesan negatif dan positif. Kesan
negatif adalah apabila seorang itu mengambil sikap berdiam diri serta memendam
rasa tanpa mahu meluahkan atau menceritakan masalah yang membelenggu diri kepada
orang lain. 7.0 7.1 CARA MENGATASI Peranan ibubapa

Telah kita ketahui antara punca utama dalam penglibatan remaja dalam gejala sosial
ini adalah kurangnya perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga.
Bagi mengatasi masalah ini dari terus berpanjangan, para ibu bapa seharusnya
memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan kepada anak-anak mereka lebih-lebih
lagi pada peringkat remaja. Ini bertepatan dengan teori motivasi Maslow (1954)
yang menyatakan teori motivasi melalui hirarki keperluan. Manusia perlu memenuhi
keperluan peringkat asas atau keperluan hayat atau fisiologi terlebih dahulu
sebelum timbul keperluan peringkat berikutnya iaitu keperluan keselamatan.
Seterusnya keperluan kasih sayang dan pada peringkat berikutnya keperluan
peringkat kendiri. Peringkat yang terakhir adalah sempurna kendiri. Berdasarkan
teori ini kasih sayang diletakkan pada peringkat ketiga di mana memberi gambaran
bahawa penghargaan dan kasih sayang sangat penting kepada manusia lebih-lebih lagi
diperingkat remaja. Ini termasuklah keinginan kasih sayang dari ibu bapa atau
rakan sebaya dalam kumpulannya. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi kasih
sayang yang secukupnya maka anak-anak akan mencari kasih sayang tersebut dari
orang lain seperti rakan sebaya. 7.2 Peranan Sekolah

Mewujudkan Sekolah Bebas Gejala Sosial dengan mengadakan pendidikan secara


komprehensif melalui kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah/IPT, intervensi,
latihan guru dan penglibatan ibubapa. Pendidikan ini adalah elemen penting dalam
strategi pencegahan dan sekolah merupakan institusi penting bagi melahirkan
masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala sosial. Kementerian Pelajaran telah
diberi tanggungjawab bagi mengenalpasti, merancang dan melaksanakan segala program
dan aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan pencegahan masalah sosial di
peringkat sekolah, Institusi Latihan Guru dan IPT untuk mewujudkan pemikiran
generasi muda supaya menjauhi gejala sosial, menyediakan alternatif-alternatif
berfaedah yang dapat mencegah daripada terlibat dengan gejala sosial dan
mewujudkan suasana sekitar yang menjadikan masalah sosial itu dibenci dan jijik.
Bagi mencapai hasrat diatas semua pihak perlu memberikan komitmen, kerjasama dan
berusaha melaksanakan pelbagai pendekatan. Antara pendekatannya ialah semua guru
mestilah mempunyai pengetahuan tentang selok belok dan punca penyebab berlakunya
masah sosial dan pendidikan pencegahan melalui KBSR dan KBSM mula dilaksanakan,
melaksanakan program pendidikan pencegahan gejala sosial di Tadika/Pra sekolah,
dan semua guru mempunyai kemahiran untuk mengendalikan pelajar-pelajar yang
bermasalah. Antara program-program yang boleh dilaksanakan adalah seperti; program
intelek asuhan rohani (pintar), kem pintar, latihan tenaga pengajar (TOT), program
untuk PIBG/guru, program sekolah anak didik kami, ujian saringan air kencing,
seminar/ ceramah/ pameran/ tayangan video, program kampus sejahtera dan menubuhkan
skuad anti masalah sosial di IPT. 7.3 Peranan Masyarakat Pencegahan merupakan
strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat dengan
dadah, budaya melepak, ponteng sekolah dan samseng. Sungguhpun masalah ini bermula
dengan masalah individu tetapi jika tidak dibendung ianya akan memberi kesan
kepada keseluruhan masyarakat sekitarnya. Masalah dadah berkaitan rapat dengan
masalah jenayah, keganasan, keselamatan dan HIV/AIDS di
satu-satu kawasan. Oleh itu semua pihak mestilah mewujudkan kesedaran tentang
kesan dan bahaya dadah disamping merangsang penglibatan seluruh masyarakat
setempat dalam usaha memerangi dadah. Setiap individu, keluarga dan masyarakat di
satu-satu kawasan bekerjasama dan mempunyai peranan dalam pencegahan gejala ini
dan memastikan kawasan mereka bersih daripada gejala sosial ini. Pemimpin-pemimpin
masyarakat setempat juga perlu tampil ke hadapan bagi membantu kerajaan
terutamanya Agensi Antidadah Kebangsaan dalam melaksanakan program-program seperti
pencegahan dadah di kawasan mereka. Strategi jangka panjang ini juga untuk
mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat bahawa dadah akan membawa
mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat. 8.0 PENUTUP

Melihat kepada permasalahan dan gejala sosial yang melanda para pelajar dan remaja
kita pada hari ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai ke
tahap yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi
Malaysia. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai
sikap dan tingkahlaku pelajar dan remaja tetapi kajiannya lebih bersifat tujuan
akademik dan tertumpu kepada punca masalah dan biasanya bersifat umum sahaja. Di
sebabkan terlalu banyak punca yang diramalkan , tindakan untuk membendung masalah
tidak lagi berfokus. Meskipun ada cadangan mengenai cara mana mengatasi masalah,
namun ia hanya berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar. Memang ada
program yang dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi ianya hanya memberi manfaat
kepada segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial.. Ibu bapa, guru-
guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul
tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat mikro,
sekolah sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat makro. Oleh itu
adalah wajar supaya pelajar didedahkan akan kesan buruk dalam masyarakat malalui
interaksi mereka di sekolah. Kerajaan juga perlu melancarkan satu kempen yang
menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan diri dalam
apa jua bentuk gejala buruk yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga
mereka. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar
mereka gementar dengan hukuman. Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang
bakal mencorakkan masa depan negara. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang
bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara
ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan remaja adalah salah satu daripada
ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa
panjang. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus
dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap
aset yang tidak ternilai ini. ejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah
disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya kepada
pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah
terutamanya tercatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin
yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah bertambah
dengan kadar yang serius bagai cendawan tumbuh selepas hajan walaupun
berbagaibagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini. Sebenarnya,
punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah disebabkan oleh keruntuhan
institusi keluarga seseorang pelajar itu. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan
bapa menyebabkan anak-anak mereka tidak di hiraukan. Segala tindaktanduk anak-anak
mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang
dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga
bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan
keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah displin di kalangan pelajar
terutamanya masalah ponteng sekolah. Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu
bapa yang bersikap materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat
kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin
mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang
sepenuhnya tidak diberikan. Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk
ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih
rapat dengan mereka. Selain itu, pengaruh rakan turut menjadi satu punca
berlakunya masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar. Ajakan daripada
rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar
yang tidak berfikir secara rasional. Mereka hanya akan menurut segala ajakan dan
pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Fenomena ini berlaku kerana
rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan
yang dianggap munasabah bagi mereka. Pelajaran di sekolah dikatakan membosankan
dan aktifiti ponteng sekolah untuk menenangkan fikiranmenjadi alasan untuk tidak
hadir ke sekolah. Ini jelas menunjukkan pengaruh rakan menjadi satu faktor
berlakunya ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Didikan daripada
ibu bapa dan ajaran agama yang kurang turut menimbulkan masalah ponteng sekolah
yang kian menjadi-jadi itu. Ketika berada di rumah, anak-anak tidak dididik oleh
ibu bapa mereka dengan sempurna dan sikap tanggungjawab tidak diterap ke dalam
jiwa mereka. Ini secara tidak tidak langsung mempengaruhi pembentukan peribadi
mereka dan amalan ponteng sekolah merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab
dipraktikkan oleh mereka. Masalah didikan ibu bapa yang tidak efektif kadang-kala
boleh menyebabkan mereka tidak berupaya melakukan penaakulan yang rasional
mengenai kesalahan yang mereka lakukan serta baik buruknya sesuatu perkara yang
dilakukan oleh mereka. Ini membuktikan didikan daripada iu bapa yang kurang
sempurna secara tidak langsung mempengharuhi timbulnya gejala ponteng sekolah
tersebut. Antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah
ini adalah dengan mengetatkan peraturan sekolah. Hukuman yang lebih berat seperti
digantung sekolah dan dibuang sekolah patut diwujudkan bagi pelajar-pelajaar yang
mempunyi kekerapan tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang munasabah. Sistem
pengesanan amalan ponteng sekolah yang lebih efektif patut dilaksanakan supaya
pelajarpelajar yang kerap ponteng sekolah dapat dikesan dengan lebih cepat dan
lebih berkesan. Khidmat kaunseling perlu diberikan kepada mereka yang sering
ponteng sekolah bagi memastikan masalah yang mereka hadapi lalu langkah membantu
boleh dilaksanakan. Ibu bapa turut perlu meluangkan lebih banyak masa bersanma
anakanak mereka dan memberi perhatian yang secukupnya terhadap tingkah laku anak-
anak mereka di sekolah. Kebebasan bergaul dengan rakan di luar sekolah turut patut
dikawal demi mengelakkan anak-anak dipengaruhi dengan amalan suka ponteng sekolah.
Didikan tidak formal sejak kecil lagi perlu dilakukan kerana melentur buluh biar
dari rebungnya. Anak-anak perlu dididik untuk bersikap lebih bertanggungjawab dam
berupaya berfikir secara rasional. Masyarakat sekeliling turut perlu berkerjasama
dalam usaha menangani masalah ini dengan melaporkan kes-kes ponteng sekolah di
luar sekolah jika dapat dikesan. Sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing perlu dikikis di kalangan masyarakat. Pihak kerajaan juga boleh
menganjurkan ceramah dan kempen yang berkaitan dengan keburukan kegiatan ponteng
sekolah di setiap sekolah. Ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mewujudkan
kesedaran dalam diri pelajarpelajar mengenai keburukan gejala ponteng sekolah
kerana belakang parang diasah, lagikan tajam. Kesimpulan, semua pihak perlu
bekerjasama dalam menangani masalah ini sebelum nasi menjadi bubur. Demi
mewujudkan generasi yang lebih berguna pada masa hadapan juga, langkah drastik
daripada semua pihak patut dilaksanakan. Tindakan daripada satu pihak sahaja tidak
akan membuahkan hasil. Jadi, sama-sama kita berganding bahu untuk menangani
masalah ini.
9.0 RUJUKAN 9.1 Rujukan Utama (Pautan Luar) http://www.scribd.com (Akses 5 Jun
2009) http://asnahhamid.blogspot.com/ (Akses 5 Jun 2009)
http://www.pemudaumno.org.my/modules.php (Akses 5 Jun 2009) Mingguan Malaysia
“Bahaya Dadah Di Kalangan Remaja”, Ahad, 16 Disember 2007 Utusan Malaysia (30
September 2002) http : //www.brandeis.edu/gradjournal (akses 5 Jun 2009). Prof.
Madya Dzulkifli Abdul Razak. Dadah: Senario Sejagat Yang Membimbangkan.
http://www.esmartstart.com/ad.html (akses 5 Jun 2008).
http://www.pemadam.org.my/cda/m_fakta/fkt_sta_penagihan78_files/filelist.xml
(akses 5 Jun 2009). 9.2 Rujukan Sukender

Atan Long. 1976. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Yahya dan Jaafar Sidek Latif. 2005. Membentuk Identiti Remaja: Identiti
Adalah Cermin Diri Remaja. Pahang: PTS Publications & Distributers Sdn. Bhd. Jamal
Darus, 1989. Membimbing Anak Muda Dengan Sempurna. Singapura: Sempurna Jaya
Publishing. Kasmini Kassim. 1998. Penderaan Emosi Kanak-kanak: Trauma
Terselindung. Universiti Kebangsaan Malaysia. Maslow, A. H. 1954. Motivation and
personality. New York: Harper and Row Publishers. McCrae.R Robert and Costa Jr.
Paul. 1990. Personality in Adulthood. USA: Guiford Press. Ramlah Jantan dan Mahani
Razali. 2004. Psikologi Pendidikan Pendekatan Kontemporari. Edisi Revisi.
Malaysia: Mc Graw Hill Sdn. Bhd. T. Marimuthu, 1990. Pengenalan Sosiologi
Pendidikan. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. Terry F. Pettijohn.
1998. Psychology: A connectext. Fourth Edition. Dushkin/Mc Graw-Hill. Wan Azmi
Ramli. 1987. Membina keluarga sejahtera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Yahya, Jamaludin Ramli dan Wei May Lin. 2002. “Hubungan Antara Tingkahlaku
Keibubapaan dan Penghargaan Kendiri di Kalangan Remaja”. Dr Tam Cai Lian. 2007.
Bahaya Dadah Di kalangan Remaja. Mingguan Malaysia. Muka Surat 8. 16 Disember
2007. Norlaila Hamima Jamaluddin 2007. Penagihan bermula pada zaman remaja. Metro
Ahad. Muka Surat 28. 9 Disember 2007. Margot Trotter Davis. 2004. Spirituality in
Adolescent Decision to use drugs: A review of the literature and theory.