Anda di halaman 1dari 11

PENERAPAN KEMAHIRAN INSANIAH DALAM KONTEKS MEMBINA INSAN

BERKEPIMPINAN DI KALANGAN PELAJAR MELALUI AKTIVITI


KOKURIKULUM DI UNIVERSITI
Mohd Faizullah Bin Mohamed
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Beg Berkunci 101, 86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
gb140108@siswa.uthm.edu.my
Abstrak: Kemahiran generik merupakan kemahiran yang sangat penting dan ditekankan oleh majikan ke
atas graduan sebelum diberikan jawatan atau diterima bekerja. Kemahiran insaniah seharusnya disemai
ke dalam diri pelajar semasa mereka berada di universiti lagi untuk perkembangan diri mereka pada masa
akan datang. Untuk menggapai matlamat pendidikan, kokurikulum membawa peranan yang penting dalam
hamper semua proses pendidikan. Kokurikulum dan kurikulum merupakan dua elemen dalam menjana
individu yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Kokurikulum memainkan
peranan samada secara langsung atau tidak langsung dalam proses pembangunan seseorang individu.
Melalui peranan kurikulum semata - mata sangatlah sukar untuk melahirkan insan yang mempunyai
keseimbangan yang sempurna, berkepimpinan, berketerampilan dan berdaya saing. Menerusi program
atau kursus kokurikulum, pelajar akan dapat meningkatkan kemahiran mereka seperti kemahiran
komunikasi, kepimpinan, keusahawanan dan seterusnya memiliki kriteria yang diperlukan oleh majikan.
Justeru itu, hasil dari kupasan literatur menunjukkan kemahiran insaniah adalah menjadi keperluan bagi
graduan dan kokurikulum merupakan satu platform serta mempunyai pertalian yang rapat dalam
pembentukkan kemahiran insaniah.
Kata kunci: Kemahiran Insaniah, Kepimpinan, Kurikulum, Kokurikulum, Program.

1.0

Pendahuluan

Pada era globalisasi masa kini, pekerja bukan sahaja perlu mempunyai segulung ijazah atau diploma
mahupun sijil, akan tetapi kemahiran - kemahiran lain seperti kemahiran kepimpinan, berkomunikasi,
proaktif, berfikiran kritis serta pelbagai lagi kemahiran juga diambil kira. Induvidu atau mereka yang
berdaya saing tinggi, berkepimpinan tinggi, kreatif, inovatif, pandai berkomunikasi dan berdisiplin dengan
diiringi kemahiran profesionalisme dan kompetensi sahaja yang akan mampu bersaing dan mendapat
tempat di alam pekerjaan nanti. Menurut Noraini (2006), perbincangan yang hebat dan sering diperkatakan
samada di peringkat kementerian, universiti juga sering mendaat perhatian daripada media dan masyarakat
umum adalah berkenaan dengan masalah pengangguran yang melibatkan graduan universiti.
Menurut Jumaatol (2006), kemahiran didefinisikan sebagai kebolehan seseorang individu
mempersembahkan aktiviti mental dan fizikal dan ianya mampu diperkembangkan melalui latihan dan
pengulangan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan, menyatakan dengan jelas bahawa kemahiran adalah
bertujuan untuk melahirkan Warganegara Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab serta berdaya usaha dalam mencapai kesejahteraan diri serta mampu
memberi sumbangan dari sudut keharmonian dan kemakmuran keluarga, komuniti seterusnya negara.
Perkara tersebut amat penting dalam melatih setiap pelajar supaya bertindak sesegera mungkin berserta
keyakinan yang tinggi terhadap segala proses yang dilalui semasa pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. DIsamping itu, para pelajar juga harus sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran
dan rintangan yang mana selaras dengan falsafah kerja iaitu, Work Smart, Masa Jimat, Act Fast, Hati
Puas.
Antara kelemahan graduan yang dikenalpasti termasuklah mereka tidak berketerampilan serta tidak
memiliki kemahiran khususnya kemahiran insaniah yang mana merupakan tuntutan majikan serta bagi
pasaran kerja yang kompetitif (Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah, 2006). Hal ini juga turut
ditegaskan oleh Mohd (2008), dimana beliau menyatakan bahawa pelajar atau graduan yang hanya

2
memiliki keterampilan dari sudut akademik semata mata sebenarnya masih tidak mampu untuk menjamin
mereka untuk mendapatkan pekerjaaan disebabkan pada masa kini berlakunya persaingan sengit di dalam
dunia pasaran kerjaya. Rata rata majikan pada masa kini telah menjadikan penguasaan kemahiran
insaniah (soft skills) di kalangan graduan sebagai kayu ukur atau kriteria dalam pemilihan untuk mengambil
mereka sebagai pekerja yang mana ianya bertujuan untuk menyokong pencapaian akademik yang telah
mereka perolehi. Ini jelas menunjukkan bahawa graduan bukan sahaja perlu cemerlang dalam aspek
akademik semata tapi juga perlu menguasai dan kaya dengan kemahiran kemahiran insaniah.
Berdasarkan kepada laporan yang telah diterbitkan oleh Malaysia Today (2005) yang bertajuk
Malaysia has 60,000 Graduates Unemployed, satu kajian yang dibuat oleh kerajaan mendapati bahawa
punca utama 60,000 graduan di Malaysia gagal mendapat pekerjaan atau menganggur adalah disebabkan
oleh mereka kurang atau tidak menguasai beberapa kemahiran insaniah seperti kemahiran memimpin, kerja
dalam pasukan, berkomunikasi khususnya dalam Bahasa Inggeris serta kurangnya pendedahan mereka
kepada dunia kerja dalam industri sebenar. Perkara ini sekaligus menyebabkan mereka diketagorikan
sebagai graduan yang tidak layak untuk diterima bekerja. Penegasan berkaitan pentingnya penerapan
kemahiran insaniah dalam diri para pelajar yang selepasnya akan bergelar graduan turut dinyatakan oleh
Aini (2006), daripada kajian beliau mendapati setiap majikan sememangnya mahukan kejayaan perniagaan
masing masing. Oleh itu mereka mengambil dan mengekalkan kakitangan yang memiliki kemahiran yang
pelbagai termasuk mempunyai ciri ciri keperibadian yang unggul. Pernyataan ini turut selari dengan
kajian oleh Fadilah (2011), beliau mendapati majikan pada hari ini terlalu memilih pekerja disebabkan
faktor kepentingan mereka untuk melancarkan produktiviti dan kualiti syarikat mereka, maka seharusnya
mereka perlu menekankan dan memperketatkan proses pemilihan pekerja. Oleh hal yang demikian,
graduan yang hanya cemerlang dan terampil di dalam akademik semata mata seharusnya sedar dan
bimbang serta mencari penyelesaian yang baik untuk meneroka alam pekerjaan kelak. Jika mereka masih
alpa dan terbuai dengan pencapaian cemerlang mereka dalam akademik tanpa memikirkan dan berusaha
memperkayakan kemahiran kemahiran insaniah, maka tidak mustahil sijil akademik mereka hanya
sekadar layak dijadikan bahan pameran semata mata dan tidak membantu mereka untuk bekerjaya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin turut memperkatakan berkenaan masalah
penguasaan kemahiran insaniah dikalangan para graduan pada masa kini ketika beliau berucap pada
mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Beliau menekankan supaya pelajar melengkapkan diri bukan sahaja dengan kemhiran professional semata
mata tetapi turut disertai dengan pelbagai kemahiran insaniah seperti kemahiran menyelesaikan masalah,
kemahiran berfikir secara kritis dan pelbagai lagi yang sememangnya amat diperlukan oleh negara dalam
memacu ekonomi berpendapatan tinggi. Beliau juga menyarankan supaya para pelajar melibatkan diri
dengan pelbagai persatuan atau kelab di institusi pengajian tinggi kerana melalui pembabitan tersebut
kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi mampu dibina atau diperkukuhkan lagi dalam diri para
pelajar.
Jika dilihat dari segi halatuju atau matlamat pembangunan sesebuah negara, kemahiran insaniah
atau generik merupakan suntikan yang paling tepat untuk pembangunan modal insan yang merupakan teras
utama pembangunan sesebuah negara. Tanpa penekanan terhadap pembangunan modal insan, negara tidak
akan mampu untuk bersaing dengan negara negara membangun dan maju yang lain. Oleh itu adalah amat
wajar universiti menjadi tempat untuk mahasiswa mempersiapkan diri dengan ilmu, pengalaman, serta
pelbagai bentuk kemahiran sebelum mereka bergelar graduan. Perkara ini ternyata jelas kerana kemahiran
insaniah merupakan nilai tambah bagi pelajar menentukan pembangunan dan perkembangan sesebuah
organisasi yang mereka sertai disamping turut menjamin kecemerlangan diri mereka pada masa akan
datang.
1.1

Kemahiran Insaniah

Kemahiran insaniah memiliki pelbagai nama seperti soft skills, essential skills, human skills, employability
skills serta non-technical skills. Terdapat pelbagai makna yang menjelaskan tentang kemahiran insaniah.
Mahyudin (2011) menyatakan bahawa definisi sedia ada berkaitan dengan kemahiran insaniah lebih
memberi tumpuan terhadap aspek tingkah laku, kemahiran komunikasi, sikap, keupayaan menyelesaikan
suatu permasalahan, cara memeperolehi keputusan dan pengurusan organisasi. Berdasarkan modul
pembangunan kemahiran insaniah untuk institusi pengajian tinggi, elemen - elemen kemahiran insaniah

3
yang terdiri daripada kerja berpasukan, nilai positif, pembelajaran berterusan, kepemimpinan dan
komunikasi merupakan aspek kognitif yang berhubungan dengan kemahiran bukan akademik.
Setiap pelajar perlu mempunyai kemahiran insaniah, hal ini kerana kemahiran insaniah tidak hanya
memberi tumpuan kepada pelbagai perkara dalam suatu bidang sahaja. Zamri (2012) mengemukakan
bahawa kemahiran insaniah merangkumi kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran menggunakan
teknologi, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran moral dan etika, kemahiran mengurus aktiviti dan
kemahiran berkomunikasi. Oleh demikian, kemahiran insaniah perlu dimiliki oleh setiap graduan supaya
mereka boleh bersaing dalam alam kerjaya sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa
(Shahrom et al., 2007).
Khatijah (2006) pula menyatakan kemahiran insaniah merupakan kemahiran asas yang dapat
membantu pelajar selama pengajian dan kemahiran ini berhubungan dengan kemahiran berfikir, kemahiran
ICT, kemahiran komunikasi dan sebagainya. Pendedahan mengenai kemahiran insaniah kepada pelajar
diharap dapat memberi pengetahuan awal berkaitan dengan kepentingan kemahiran ini. Selain itu, dengan
mengetahui manfaat kemahiran insaniah, para pelajar dapat mengembangkan keyakinan dengan mengenal
pasti keupayaan yang mereka miliki. Hal ini juga berkaitan dengan kemahiran komunikasi, dimana
menuntut pelajar menggunakan pelbagai bahasa khususnya bahasa melayu dan juga bahasa inggeris untuk
berinteraksi dengan orang ramai (Tuan Mohd, 2009).
Kemahiran insaniah merupakan aspek penting dalam memastikan para graduan yang sedia ada
memperolehi kerjaya sesuai dengan bidang pengajiannya. Kecemerlangan akademik masih menjadi
tumpuan utama yang harus diambil berat oleh para pelajar namun cemerlang berdasarkan pengetahuan
secara teori sahaja tidak mencukupi untuk mampu bersaing di pasaran kerja. Sehubungan ini, Noorashidi
(2009) menjelaskan kemahiran komunikasi dan keupayaan pelajar dalam menguasai pelbagai bahasa akan
menjadi tunjang para graduan mendapat tempat di alam pekerjaan.
Kesimpulannya, kemahiran insaniah terdiri daripada pelbagai aspek kehidupan mahupun
pekerjaan. Kemahiran insaniah merangkumi kemahiran berfikir, kemahiran keusahawanan, kemahiran
peribadi, kemahiran berkaitan manusia serta kemahiran yang berhubungan dengan kemasyarakatan. Proses
penerapan kemahiran insaniah merupakan tanggungjawab pelbagai pihak seperti institusi pengajian tinggi
(IPT), sekolah dan masyarakat. Kemahiran insaniah dapat dipelajari sepanjang hayat dan dalam
persekitaran pekerjaan, kehidupan harian dan juga institusi pendidikan. Aini (2005) mengemukakan
bahawa pada masa kini penerapan kemahiran insaniah dalam pengajaran dan pembelajaran semakin
meningkat.
1.1.1

Kemahiran Kepimpinan Menerusi Kokurikulum

Pembangunan kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran memimpin dan kemahiran
menyelesaikan suatu permasalahan dalam kalangan pelajar dapat dijalankan menerusi proses pengajaran
dan pembelajaran kokurikulum di institusi pendidikan tinggi. Pihak industri menghendaki supaya para
graduan memiliki kemahiran kepimpinan (Mohd.Yunus & Mamat,2002; De Leon & Borchars, 1998; Otter,
1989). Oleh demikian, selain pelajar mempelajari kemahiran teknikal, pelajar di institusi pengajian tinggi
perlu didedahkan mengenai kemahiran kepemimpinan.
Berdasarkan kepada Walker (2003), pembangunan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar
dapat dilakukan menerusi kokurikulum. Hal ini kerana melalui pengajaran dan pembelajaran kokurikulum
pelajar boleh mengembangkan potensi. Dalam konteks kemahiran kepimpinan menerusi kokurikulum,
aktiviti kokurikulum dapat memberikan latihan awal kepada pelajar iaitu berkaitan aspek sahsiah,
kemasyarakatan dan kepimpinan. Kepimpinan dapat dilatih melalui aktiviti kelab, pakaian seragam, sukan
dan persatuan (Ab. Manaf & Fauzee, 2002).
Pendapat ini disokong oleh Abdul Hamid (2002), yang menyatakan bahawa ilmu kepimpinan dan
pengurusan dipelajari melalui satu pendidikan yang harus dirasai sendiri oleh pelajar tersebut kerana
memimpin dan mengurus berkait rapat dengan manusia. Beliau juga mengemukakan bahawa ilmu
akademik berhubungan dengan kelas serta kertas - kertas ujian, oleh itu ilmu kepimpinan dan pengurusan
berbeza dengan ilmu akademik. Oleh sebab itu, jika pelajar diberikan kesempatan untuk mengurus
persatuan atau kelab maka secara tidak langsung pelajar akan memiliki kemampuan memimpin dan
mengurus ahli - ahlinya dengan menggunakan kebijaksanaan, komunikasi, psikologi dan strategi yang
tertentu.

4
Ciri - ciri kepimpinan dapat diterapkan apabila pelajar mengikuti aktiviti luar (Deborah Hopen,
2002). Melalui aktiviti luar ini pelajar diajar cara berorganisasi, bekerja secara berpasukan dan memupuk
kemahiran komunikasi dikalangan pelajar. Pelajar juga akan dapat menguasai kemahiran memahami
masalah dan membantu mencari penyelesaian, kemahiran mendengar, memberi perhatian, memberi
penjelasan, refleksi, konfrontasi, mentafsir, memberi maklumat, membuat rumusan dan hubungan manusia,
kemahiran menghurai, mengamalkan dan mengawal tingkah laku (Omardin, 1999). Oleh itu, untuk
memastikan pelajar dapat menjadi pemimpin organisasi dalam bidang kerjaya maka pelajar perlu memiliki
kemahiran kepimpinan. Kemahiran kepimpinan penting kerana pelajar akan berhadapan dengan struktur
organisasi kepimpinan pada masa hadapan mahupun pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti gerak kerja luar
memerlukan seorang pemimpin dalam kalangan pelajar untuk menjadi ketua bagi menjamin aktiviti yang
dijalankan dapat berlangsung dengan jayanya. Oleh demikian, kemahiran kepimpinan dapat diterapkan
dalam diri pelajar melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini selari dengan Helen M. Gunter,
(2001) yang menyatakan bahawa melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, seseorang individu
mampu untuk memimpin kerana telah berorganisasi dan mempunyai matlamat terbentuk untuk dicapai.
Pelajar boleh mendapat kemahiran memimpin daripada aktiviti kokurikulum. Beberapa aspek
kepimpinan seharusnya dimiliki oleh individu yang memegang persatuan (Omardin Ashaari, 1999). Aspek
kepimpinan tersebut merangkumi kemahiran memahami masalah dan membantu mencari penyelesaian,
refleksi, konfrontasi, mentafsir, memberi maklumat, kemahiran menghurai, mengamalkan dan mengawal
tingkah laku, kemahiran mendengar, memberi perhatian, memberi penjelasan, membuat rumusan dan
hubungan manusia. Selain itu, melalui kokurikulum, para pelajar diajar menjadi pemimpin yang mampu
berkomunikasi dengan baik, membuat keputusan, menyelesaikan masalah, bekerja dalam kumpulan,
mematuhi peraturan dan etika serta menyemai nilai - nilai positif seperti berdisiplin (Shamsaadal Sholeh
Saad, 2004; Mohamad Ismail Mohamad Yunus, 2004).
Pembangunan kemahiran kepimpinan menerusi kokurikulum ini turut dipersetujui oleh Ahmad
Esa, Jailani Md. Yunos dan Noraini Kaprawi (2004), melalui kajian mereka berkaitan pembanguan
kemahiran kepimpinan melalui modul kokurikulum di Politeknik Malaysia, mereka mendapati bahawa
aktiviti kokurikulum dapat membina kemahiran kepimpinan yang akan bermanfaat bagi membantu para
pelajar ketika menceburi bidang kerjaya. Mereka juga menegaskan bahawa, kokurikulum yang diikuti oleh
pelajar di politeknik - politeknik Malaysia seperti kemahiran bermain hoki menerusi kokurikulum sukan
dan permainan mendedahkan para pelajar dengan kemahiran - kemahiran tertentu berdasarkan jenis
kokurikulum dan juga dapat membangunkan kemahiran kepimpinan di kalangan para pelajar politeknik.
Kemahiran kepimpinan dapat membantu para pelajar mengembangkan potensi diri mereka sebagai seorang
pelajar dan boleh dipraktikkan apabila mereka memasuki alam pekerjaan.
Kemahiran kepimpinan secara jelas dapat dibangunkan dikalangan pelajar-pelajar institusi
pengajian tinggi melalui penglibatan mereka di dalam kokurikulum berdasarkan kepada kajian-kajian yang
telah dibuat oleh penyelidik terdahulu. Oleh itu, setiap institusi pengajian tinggi seharusnya memainkan
peranan dalam memastikan setiap pelajar mengambil bahagian dalam sebarang bentuk aktiviti
kokurikulum. Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan disetiap universiti mahupun pusat - pusat
pengajian tinggi, maka isu berkaitan dengan modal insan tidak berdaya saing dapat diatasi.
1.2

Kokurikulum

Kokurikulum adalah sebahagian daripada kurikulum asas yang melibatkan sebuah aktiviti (Kamus Dewan,
2000). Selain mata pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah, kokurikulum juga dianggap sebagai
sebahagian daripada kursus pendidikan (misalnya kegiatan dalam persatuan - persatuan dan kegiatan
sukan).
Kokurikulum memiliki peranan penting dalam pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan
kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menghendaki seseorang insan itu dapat
memanfaatkan ilmu ke arah kecemerlangan diri dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat serta
negara, maka pengisian maklumat tersebut tidak tertumpu semata-mata terhadap kurikulum. Aktiviti
kokurikulum menyediakan pelbagai peluang kepada pelajar untuk menambah, mengukur dan mengamalkan
kemahiran, pengetahuan dan nilai-nilai yang telah dipelajari di dalam kelas (Zulkiflee, 2010).
Kokurikulum merupakan aktiviti kumpulan dengan penyertaan yang aktif yang dapat membantu
pelajar meningkatkan kemahiran sosial (soft skills) mereka (Tahir, 2010). Dengan kemahiran sosial yang
baik maka tahap interaksi dan integrasi dalam kalangan pelajar dapat dipertingkatkan. Melalui penglibatan

5
dalam unit beruniform pula, hal ini membolehkan para pelajar meningkatkan ketahanan mental dan fizikal,
tahap disiplin, semangat kerja berpasukan, semangat patriotik. Kokurikulum adalah aktiviti yang dirancang
lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dimana hal ini memberi peluang
untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik
darjah. Nor (2010) mengemukakan bahawa kokurikulum merupakan wadah pembinaan jasmani, emosi dan
rohani yang selari dengan matlamat FPK yang bertujuan membentuk generasi yang seimbang.
Kokurikulum dalam bidang pendidikan memiliki pelbagai kebaikan dan kelebihan Oleh itu,
pelaksanaan kokurikulum sepatutnya dirancang dengan rapi dan dijalankan dengan lebih serius oleh
pelbagai pihak. Segala kekangan sedia ada dalam pelaksanaan penerapan kokurikulum sama ada dari aspek
kemudahan peralatan, sokongan, kewangan latihan guru, infrastruktur dan sebagainya perlu di atasi dengan
segera. Ini adalah penting supaya pelaksanaan kokurikulum dalam pendidikan dapat mencapai objektif dan
berjaya melahirkan generasi masa hadapan yang berpendidikan tinggi dan bersahsiah mulia.
1.3

Kajian - Kajian Berkaitan Penerapan Elemen - Elemen Kemahiran Insaniah Melalui


Kokurikulum

Hasil kajian Ahmad Esa (2004), yang melibatkan 409 orang pelajar politeknik Malaysia mendapati bahawa
pelajar di politeknik politeknik di Malaysia berjaya mengaplikasikan dan menonjolkan kemahiran
kepimpinan setelah mereka mempelajarinya melalui aktiviti kokurikulum yang mereka sertai. Hasil dapatan
kajian ini sekaligus menyokong pandangan pandangan yang dikemukakan oleh penyelidik - penyelidik
yang lebih terdahulu berkaitan keyakinan mereka bahawa kemahiran insaniah termasuk kemahiran
kepimpinan boleh dilatih seterusnya berjaya dikuasai oleh pelajar melalui aktiviti kokurikulum. Oleh hal
yang demikian, jelas menunjukkan bahawa kegiatan kokurikulum yang dianjurkan di seluruh politeknik di
Malaysia mampu membina pelbagai kemahiran insaniah khususnya kemahiran kepimpinan dan amat
penting untuk membantu mereka mereka berjaya di alam pekerjaan kelak. Oleh itu, kokurikulum
merupakan pelengkap kepada kurikulum yang mana ianya mampu memberi keseimbangan pengetahuan
dan kemahiran serta membantu pembangunan diri individu (pelajar).
Selain itu, dapatan kajian Norani (2006), yang dijalankan terhadap 136 orang pelajar tahun akhir di
Jabatan Teknik dan Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia mendapati bahawa
elemen elemen kemahiran insaniah telah diterapkan kepada pelajar tahun akhir Sarjana Muda Teknologi
Serta Pendidikan melalui matapelajaran kokurikulum. Para pelajar tersebut juga berpendapat bahawa
kemahiran komunikasi adalah penting. Penyelidik juga menjelaskan bahawa penglibatan pelajar di dalam
aktiviti kokurikulum berjaya memberi banyak manfaat kerana mereka bukan sahaja diterapkan dengan
kemahiran insaniah semasa sesi pengajaran dan pembelajaran malah menerusi aktiviti kokurikulum
kemahiran insaniah tersebut dapat dipratikkan dan ditingkatkan lagi. Sebagai contoh, kemahiran
komunikasi dan kemahiran kepimpinan yang telah dipelajari oleh pelajar dari aktiviti atau matapelajaran
kokurikulum akan dapat membantu mereka semasa menjadi guru dan ditempatkan di sekolah kelak.
Dalam pada itu juga, melalui kajian yang dilaksanakan oleh Hassan (2010) bagi meneroka
perkaitan pembinaan kecemerlangan diri pimpinan pelajar menerusi penyertaan dalam aktiviti kokurikulum
serta hubungan di antara aspek kecemerlangan diri bagi pembinaan sahsiah diri dengan kepimpinan dan
aktiviti akademik dengan kepimpinan, mendapati bahawa terdapatnya maklumbalas yang positif daripada
responden mengenai pembinaan kepimpinan, sahsiah diri dan aktiviti akademik menerusi aktiviti
kokurikulum. Sementara itu, kajian oleh Azman (2007) pula mendapati bahawa aktiviti kokurikulum telah
menyumbang dan menyediakan peluang kepada pelajar memperkembangkan minat serta menimbulkan
minat baru, menekankan konsep kepimpinan, kerjasama, berdikari dan persahabatan. Ia juga menggalakkan
perkembangan moral dan kerohanian serta menguatkan fikiran dan kesihatan murid - murid dari segi
fizikal.
Mohd Tahir (2010) telah menegaskan bahawa kokurikulum adalah wadah yang paling berkesan
dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) khususnya dalam konteks melahirkan pelajar
yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani, intelek dan social (JERIS) seterusnya memberikan kesan
positif kepada negara dalam mewujudkan sumber manusia atau modal insan berkemahiran tinggi dan kelas
pertama. Penyataan yang dinyatakan ini adalah berdasarkan kepada kajian yang telah dilaksanakan oleh
beliau terhadap pelajar di sekolah menengah kebangsaan di daerah Langkawi bagi mengetahui keperluan
aktiviti kokurikulum (Badan Beruniform). Daripada kajian tersebut, didapati aspek kepimpinan berada

6
pada tahap tinggi dimama ia merupakan aspek penting yang mempengaruhi seseorang individu pelajar
dalam pemilihan untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
Akhir sekali, Ahmad (2004) berpendapat bahawa kemahiran insaniah sememangnya berjaya
diwujudkan dalam aktiviti kokurikulum yang dijalankan di mana mana institusi khususnya institusi
pendidikan. Justeru itu, penerapan kemahiran insaniah samada secara langsung mahupun tidak langsung
kepada para pelajar patut dilaksanakan menerusi penyediaan kurikulum yang sistematik, metod pengajaran
dan pembelajaran yang dipelbagaikan dan penglibatan secara aktif pelajar dalam bidang kokurikulum di
sesebuah institusi pengajian. Ini adalah kerana pembangunan kemahiran insaniah dalam diri pelajar dari
pendekatan tersebut dapat membantu mereka mengaplikasikannya semasa di alam pekerjaan ada masa kan
datang. Melalui kegiatan kokurikulum juga, interaksi antara pelajar dapat dikukuhkan sekaligus memupuk
intergasi antara kaum disamping menanam sifat kesopanan, berdisiplin, berdikari, kerajinan bekerja dan
patuh kepada undang undang seterusnya melahirkan pelajar yang berguna kepada negara (KPT, 2006).
1.4

Kerangka Teoritikal Berhubung Pembangunan Kemahiran Insaniah Melibatkan Kemahiran


Kepimpinan

Kerangka teori seperti Rajah 1.1 merupakan teori pembelajaran yang berdasarkan Teori Kolb (1984).
Menurut Teori Kolb (1984), pembelajaran adalah suatu proses refleksi terhadap pengalaman yang telah
diperolehi kemudian ia diterjemahkan kepada teori dan konsep untuk menjadi panduan bagi pengalaman
yang baru. Dalam kerangka teori ini, kempat empat fasa berada dalam satu kitaran dimana setiap fasa
menjurus kepada aktiviti atau perlakuan yang berbeza untuk menggalakkan dan merangsang pelajar
mempelajari cara kaedah dan teknik untuk belajar (learning to learn), menghargai ilmu yang dipelajari,
meningkatkan kemahiran serta kreativiti.
Dalam konteks kemahiran generik melalui kokurikulum, daripada penglibatan pelajar dalam
kokurikulum, pembangunan potensi diri mereka dari segi kemahiran kepimpinan, komunikasi dan interaksi,
interpersonal, bekerja dalam kumpulan dan kemahiran pengurusan mampu diterapkan sedikit demi sedikit.
Selain daripada itu juga, aspek aspek pembangunan keterampilan diri seperti jati diri, sabar, disiplin,
bermotivasi dan berdaya tahan turut dapat dibangunkan menerusi penglibatan pelajar dalam kokurikulum.
Oleh itu, jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum merupakan praktikal atau latihan awal dari sudut
kepimpinan, sahsiah dan kemasyarakatan di kalangan pelajar yang terlibat. Jika lebih difokuskan kepada
pembangunan kemahiran kepimpinan, aktiviti pakaian seragam, persatuan, kelab dan sukan sememangnya
mampu untuk mencapai hasrat tersebut.

7
Dimensi Hasil
Pengalaman Konkrit
- Pembelajaran secara
berkumpulan.
- Perbincangan.
- Penyertaan.

Dimensi
Proses
Kemahiran Generik

Eksperimentasi
Aktif
Main peranan
Aktiviti
berstruktur
Kerja lapangan
Projek
Lawatan

KI 1 Kemahiran berkomunikasi
KI 2 Kemahiran meyelesaikan
masalah
KI 3 Kemahiran berpasukan
KI 4 Kemahiran keusahawanan
KI 5 Kemahiran etika dan moral
profesional
KI 6 Kemahiran Kepimpinan
KI 7 Pembelajaran berterusan
dan pengurusan maklumat

Pemerhatian
Reflektif
- Dialog
- Kajian Kes
- Pengajaran
berdasarakan
penyelesaian
masalah
- Pengajaran
yang
terancang

Konseptual Absrak
- Kuliah
- Pembacaan
- Nota edaran

Rajah 1.1: Kerangka Teori Kolb (1984)


1.5

Kebaikan Penglibatan Pelajar Dalam Kokurikulum

Johari (2010) berpendapat bahawa pelajar yang cemerlang dari segi akademik belum pasti menjamin
kecemerlangan sahsiah dirinya. Oleh kerana itu, semua pihak seperti ibu - bapa dan institusi pengajian
tinggi perlu mengambil peranan untuk memastikan bahawa para pelajar mengikuti latihan dan aktiviti yang
berfaedah seperti kokurikulum supaya mereka turut cemerlang dari segala aspek kehidupan terutamanya
sahsiah diri. Pendapatnya disokong oleh kajian beliau dimana kajian yang beliau jalankan adalah untuk
mengenal pasti pembinaan kecemerlangan diri pimpinan pelajar menerusi penglibatan dalam aktiviti
kokurikulum dan perkaitan antara aspek kecemerlangan diri bagi pembinaan sahsiah diri dengan
kepimpinan dan kepimpinan dengan aktiviti akademik. Hasil kajian ini mendapati bahawa responden
memberi maklum balas positif terhadap pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan aktiviti akademik
menerusi aktiviti kokurikulum. Oleh itu kajian tersebut menunjukkan bahawa untuk melahirkan graduan
yang berkualiti sebagaimana hasrat universiti memerlukan kepada pembinaan kecemerlangan diri pelajar
secara menyeluruh. Ini kerana, sahsiah dan jati diri yang teguh mampu membawa kepada kecemerlangan
dalam akademik dan seterusnya akan terserlah ciri-ciri kepimpinan pada diri pelajar.
Selain itu, berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Aminuddin (2004) yang bertujuan untuk
melihat sejauhmana kesan penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang kokurikulum terhadap tahap
pencapaian pelajar dalam bidang akademik.hal ini dilihat dari beberapa aspek seperti peringkat penglibatan,
sikap pelajar terhadap aktiviti yang dirancangkan, pengurusan masa, minat dan tanggungjawab mereka

8
terhadap kegiatan kokurikulum dan pencapaian akademik mereka. Kajian ini mendapati bahawa pelajarpelajar yang aktif dalam aktiviti kokurikulum juga mempunyai pencapaian yang baik dalam akademik.
Aktiviti-aktiviti yang disertai oleh pelajar-pelajar tersebut tidak memberi kesan yang negatif terhadap
pencapaian akademik mereka.
Kokurikulum mempunyai peranan penting dalam bidang pendidikan. Antaranya iaitu kepentingan
dalam pemupukan sahsiah dan pembentukan perpaduan. Penyertaan para pelajar sebagai generasi muda
dan rakyat di negara ini dalam aktiviti kokurikulum dapat menyemai perpaduan, perasaan muhibah,
integrasi nasional dan menyemai nilai-nilai murni. Ini adalah selaras dengan teras kedua dalam Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu Membangunkan Modal Insan. Modal insan yang berkualiti
merupakan aset utama Negara bagi menentukan masa depan negara dan bangsa. Hal ini juga penting dalam
pembentukan konsep Satu Malaysia yang mengutamakan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang
berbilang bangsa dan juga kaum. Penyertaan dalam aktiviti kokurikulum juga mampu meningkatkan tahap
disiplin para pelajar.
Berdasarkan beberapa kajian lepas maka jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum berupaya untuk
mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar ke tahap yang minima. Namun, dalam
merealisasikan usaha ini, pelbagai pihak perlu mengambil peranan masing - masing iaitu seperti ibu - bapa,
guru - guru dan masyarakat perlu bekerjasama dan mempereratkan hubungan antara satu sama lain.
Persepsi negatif terhadap pelaksanaan kokurikulum di institusi pendidikan juga perlu dikikis dan
dihapuskan. Pihak sekolah dan para ibu - bapa perlu berfikiran lebih terbuka terhadap pelaksanaan
kokurikulum dalam pendidikan tanpa hanya mengutamakan akademik pelajar sahaja. Kokurikulum
merupakan wadah yang paling tepat bagi menggalakkan perkembangan bakat, sifat kreativiti serta potensi
para pelajar ke tahap yang maksimum (Nor, 2010).
1.6

Kelemahan Penglibatan Pelajar Dalam Kokurikulum

Terdapat beberapa aktiviti luar bilik darjah yang membuang masa pelajar dimana terdapat aktiviti yang
tidak menyokong subjek pembelajaran di dalam kelas. Rubin (2002) menjelaskan pihak sekolah sepatutnya
hanya menganjurkan aktiviti kokurikulum yang memiliki persamaan dengan hasil pembelajaran di dalam
kelas, ini bertujuan supaya pelajar dapat mengamalkan di luar bilik darjah. Selain itu, Blue (2004)
mengemukakan bahawa kebanyakan pelajar lebih menumpukan aktiviti sukan berbanding dengan pelajaran
mereka. Oleh itu beliau mengaitkan keciciran pelajar sekolah menengah dengan penglibatan aktif pelajar
dalam sukan sekolah.
Sejajar dengan isu yang dikemukakan tersebut juga, Daniels (2001) menyatakan walaupun
penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum mempunyai pelbagai kebaikan kepada pelajar iaitu
memberi keyakinan diri, dapat mencungkil bakat pelajar dan pergaulan, namun ada juga peserta yang
melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum mengalami tekanan psikologi dan juga kekangan masa untuk
membahagikan masa antara belajar dan sukan. Sebagai contoh jika seseorang pelajar terpilih dalam sesuatu
pertandingan maka pelajar tersebut akan menghabiskan masa dengan aktivitinya sedangkan rakan - rakan
lain dapat memenuhi masa tersebut dengan mengulangkaji pelajaran.
Selain itu, Kalenkoski (2009) berpendapat bahawa aktiviti kokurikulum lasak merupakan aktiviti
yang tidak memberi manfaat kerana mengurangkan masa pelajar sekolah dengan menghabiskan masa yang
ada kepada aktiviti dan program pembangunan manusia. Beliau melihat matlamat utama pendidikan adalah
untuk melahirkan manusia yang cerdik. Pelajar yang aktif dalam aktiviti kokurikulum berkemungkinan
menghadapi gangguan dan masalah dalam pelajaran disebabkan mereka hanya memperuntukkan sedikit
masa untuk tidur, kerja rumah, mengulangkaji dan juga masa untuk berehat.
1.7

Pengajaran Daripada Kajian Kajian Berkaitan Penerapan Kemahiran Insaniah Di


Kalangan Pelajar Melalui Kokurikulum

Berdasarkan kajian - kajian yang telah dikemukakan, kemahiran insaniah lebih - lebih lagi yang melibatkan
kemahiran kepimpinan adalah kemahiran yang amat diperlukan oleh seseorang individu pelajar untuk
diadaptasi dalam pelbagai situasi pekerjaan dan sekaligus menjamin untuk penghasilan pelajar yang
berkualiti dalam semua bidang bukan sekadar hebat dari sudut akademik sahaja. Kemahiran insaniah juga
merupakan suatu kemahiran umum selain kemahiran teknikal dalam bidang pengkhususan masing
masing dan amat diperlukan oleh seseorang individu untuk menjalani kerja yang efektif di tempat kerja,

9
berkomunikasi secara efektif, berkebolehan dalam menyelesaikan masalah, mampu bekerja berpasukan,
berfikiran kritikal dan kreatif, mampu menghadapi daya saing dan sebagainya (Mohd et al., 2006)
Dalam pada itu juga, kemahiran insaniah adalah kemahiran yang sepatutnya dikuasai oleh para
pelajar bagi mencapai matlamat dan objektif pendidikan. Pengajaran yang efektif merupakan tunjang
kepada pembentukan modal insan dan penguasaan kemahiran insaniah memainkan peranan penting dalam
mencapai matlamat untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah yang menyeluruh. Pendidik
seharusnya menguasai kemahiran yang kompeten untuk menerapkan kemahiran insaniah dalam diri para
pelajar (Che Hassan et al., 2010). Selain itu, kemahiran insaniah atau soft skills merupakan kemahiran
yang patut dipunyai oleh setiap individu yang bergelar graduan untuk membantu mereka bersaing dalam
pasaran kerja yang glokal. Kemahiran insaniah juga merangkumi aspek aspek kemahiran generic yang
melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif,
kerjasama dalam pasukan, kepimpinan, pembelajaran berterusan dan komunikasi. Sifat semulajadi pelajar
yang terbentuk hasil dari pengalaman sekeliling dapat membantu menerapkan sifat sifat insaniah ini
dengan lebih baik serta menjadikan mereka lebih berketerampilan dan berdaya saing. Oleh itu, universiti
haruslah menghasilkan sumber manusia yang berpengetahuan dan kaya dengan ciri ciri insaniah kerana
modal insan seperti itulah yag amat diperlukan oleh negara (Sharom et al., 2007).
Menurut Ahmad (2004), dalam konteks kokurikulum sebagai pelengkap kepada kurikulum, adalah
amat sukar untuk sesebuah institusi pendidikan untuk melahirkan individu pelajar yang seimbang secara
sempurna jika hanya melibatkan kurikulum semata mata. Berbeza dengan Intelligence Quotient (IQ) yang
boleh dikembangkan menerusi kurikulum, Emotional Quotient (EQ) sangat sukar untuk dikembangkan
dengan cara tersebut. Ini terbukti kerana EQ adalah lebih mudah untuk dikembangkan melalui
kokurikulum. Walaupun IQ dilihat amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar di alam
persekolahan dan peringkat pengajian tinggi, namun EQ amat penting dalam menentukan kejayaan
seseorang dalam alam pekerjaan dan realiti kehidupan.
Kurikulum dan kokurikulum adalah dua komponen yang saling berkait rapat dan saling
mengukuhkan antara satu sama lain dalam sistem pendidikan. Kebanyakan orang menganggap
kokurikulum hanya mampu mengisi kepentingan perseorangan semata mata, namun hakikatnya ia
mampu menjana kecemerlangan yang beerti dalam pembinaan masyarakat yang seimbang dan negara yang
makmur jika digembleng dengan baik (Zulkiflee, 2010). Oleh itu jelaslah bahawa kurikulum yang bergerak
secara tunggal tanpa sokongan oleh kokurikulum tidak akan mampu memberi input kemahiran insaniah
yang lengkap kepada para pelajar. Penekanan dan penglibatan diri dalam apa jua bentuk aktiviti
kokurikulum seharusnya dilakukan oleh pelajar kerana kemahiran diri mereka seperti pembangunan potensi
diri, kemahiran kepimpinan, komunikasi, interpersonal, bekerja dalam kumpulan dan pengurusan dapat
ditingkatkan. Justeru itu, melalui peranan kurikulum dan kokurikulum sebagai pelengkap, ia akan dapat
melahirkan individu yang seimbang dan seterusnya melahirkan individu yang berketerampilan, berdaya
saing dan mempunyai kriteria yang diperlukan oleh pasaran kerja dan industri diperingkat lokal mahupun
antarabangsa.
1.8

Rumusan

Berdasarkan definisi definisi istilah dan kajian yang telah dikemukakan dapatlah disimpulkan bahawa
kemahiran insaniah merupakan kemahiran yang amat perlu dimiliki oleh seorang pekerja tanpa mengambil
kira pekerjaan dan sektor pekerjaan yang sedang atau bakal diceburi. Kemahiran insaniah juga adalah
bersifat umum dan merangkumi hampir semua kemahiran serta tidak hanya khusus kepada kemahiran
berkaitan teknikal. Walaubagaimanapun, secara lebih khusus kemahiran insaniah adalah merujuk kepada
kemahiran kemahiran tertentu yang diperlukan oleh golongan pekerja atau bakal pekerja (Ahmad, 2004).
Dalam konteks kemahiran kepimpinan pula, ia amat memberi nilai tambah kepada pelajar semasa mereka
berada di alam pekerjaan kelak. Insan yang berkepimpinan tinggi amat diperlukan oleh negara sebagai
pelapis untuk memacu kejayaan negara dimasa akan datang.
Untuk melahirkan graduan dan pelajar yang mempunyai kemahiran insaniah khususnya yang
melibatkan kemahiran kepimpinan, institusi pendidikan tinggi di Malaysia seharusnya mengatur langkah
untuk melaksanakan revolusi pendidikan dalam usaha memantapkan dan memperkasakan pembangunan
modal insan secara bersepadu dan menyeluruh demi kemakmuran negara dan kehendak pasaran kerja.
Dengan langkah ini, IPT dilihat mampu menjana gradan yang memiliki kemahiran yang seimbang dan

10
menyeluruh dari sudut kualiti intelektual serta keterampilan insaniah yang merangkumi aspek sikap, akhlak
dan sebagainya(KPT, 2006).
Melalui Falsafah Pendidikan Negara (FPN), matlamat utama pendidikan negara adalah untuk
menghasilkan individu yang seimbang serta harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal berasaskan
pegangan teguh dan kepercayaan kepada Tuhan. Oleh itu, aktiviti pengajaran dan pembelajaran seharusnya
difokuskan keada pancapaian dalam empat domain utama iaitu pengetahuan (kognitif), kemahiran fizikal
(psikomotor), afektif dan sosial. Namun, sistem pendidikan yang sedang diamalkan sekarang hanya berjaya
dalam memberikan kemahiran kognitif dan sebahagian besar kemahiran psikomotor yang akhirnya
menyebabkan kemahiran insaniah domain afektif dan sosial yang sangat penting untuk pembentukan insan
kamil yang seimbang amat ketinggalan jauh. Kesannya amat nyata apabila produk sistema pendidikan
ataupun modal insan yang dibentuk tidak seimbang seperti yang dihasratkan.
Oleh kerana kemahiran insaniah merupakan kemahiran yang amat penting dan diperlukan oleh
graduan selain dari pengetahuan akademik walaupun tidak terdapat satu senarai kemahiran yang khusus
tentang kemahiran insaniah, mereka seharusnya tahu menilai kemahiran insaniah yang memenuhi dan
menepati kehendak pasaran kerja dan kehidupan seharian yang kian mencabar. Selain itu, aktiviti
kokurikulum juga perlu diberi penekanan kepada pelajar agar pelajar dapat melibatkan diri dalam pelbagai
jenis aktiviti kokurikulum. Ini kerana, kokurikulum juga memainkan peranan penting selain menjadi
pelengkap kepada kurikulum atau akademik sedia ada pelajar. Dengan gabungan dan peranan yang
dimainkan antara kedua - dua elemen kurikulum dan kokurikulum, ia akan dapat memberi nilai tambah
atau kemahiran - kemahiran yang tidak dapat dipelajari melalui kurikulum atau akademik.
Maka jelaslah bahawa kokurikulum berpotensi untuk menjadi wadah kepada pembinaan kemahiran
insaniah kepada para pelajar terutamanya kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah yang berjaya
dikuasai oleh pelajar merupakan satu aset yang amat bernilai untuk mereka lebih kompetitif sama ada
ketika memohon pekerjaan atau setelah memegang status pekerja. Apa yang dirasakan amat malang adalah
apabila aspek tersebut kurang diberi penekanan atau disedari samada oleh pelajar atau pendidik sendiri
dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia, terutamanya dalam melihat fungsi kokurikulum dalam
menjana kemahiran kemahiran insaniah di kalangan para pelajar (Ahmad, 2004)
Justeru itu peranan yang berkesan dari semua pihak yang bertanggungjawab seharusnya
diperkasakan lagi dalam memastikan pelajar pada hari ini diterapkan secukupnya dengan kemahiran
insaniah lebih - lebih lagi dalam aspek kemahiran kepimpinan. Ini bagi memastikan aset negara yang
berupa modal insan pada masa akan datang dilengkapi dengan kebolehan memimpin yang utuh kerana
merekalah yang bakal meneraju arah tuju negara kelak. Kejayaan sesebuah organisasi pada masa akan
datang hanya dapat dicapai sekiranya pemimpin yang dibentuk pada hari ini benar-benar berkualiti dari
sudut kepimpinan.
Rujukan
Ahmad Esa, Jailani Mohd. Yunus, & Fadilah Mat Assain @ Hashim, (2011). The Implementation Of Generic Skills At
Technical Schools: Comparative Analysis In Different Platform. Journal of Techno-Social | ISSN 2229-8940
| Vol. 3 No. 2 October 2011.
Ahmad Bin Esa, Jailani Bin Mohd. Yunus dan Noraini Binti Kaprawi, (2004). Penerapan Kemahiran Kepimpinan
Menerusi Kokurikulum di Politeknik.
Ahmad Bin Esa, Jailani Bin Md. Yunos dan Noraini Binti Kaprawi, (2004). Peranan Kokurikulum Dalam
Pembangunan Kemahiran Generik.
Aini Hussain, Che Husna Azhari, Dzuraidah Abdul Wahab, Noriah Ishak dan Siti Rahaya Ariffin, (2005). Penerapan
Kemahiran Generik Dalam Pengajaran Menggunakan Model Tersebati. Seminar Pengajaran dan
Pembelajaran Berkesan 2005.
Azman, N. A. (2007). Jurnal. Peranan Pengetua Sebagai Pengurus Kokurikulum Di Sekolahmenengah Daerah
Mersing.
Daniels, P. L. (2001). Interscholastic Sports And The Middle School Student: A Case Study. Dissertation Submitted to
the Faculty of theVirginia Polytechnic Institute and State University.
Deborah Hopen. (2002). Guiding Corporate Behaviour : A Leadership Obligation, Not a Choice.
De Leon, J. E. dan Borchers, R. E. (1998). High School Employment Trends and the Skills Graduates Need to Enter
Texas Manufacturing Industries. Journal of Vocational and Technical Education. Vol. 15. N. 1. M.s. 1 18.
Dora, Kudus, Abu Hassan & Ali, (2008). Kemahiran Insaniah (7 Kompetensi Unggul Mahasiswa). Penerbit Universiti
Teknikal Malaysia Melaka.

11
Fadilah Mat Assain @ Hashim dan Hasmadi Bin Mat Safar, (2011). Penerapan Kemahiran Iisaniah Di Sekolah
Menengah Teknik : Satu Aanalisis Perbandingan.
Hassan, J. & A. Safar, S. (2010). Pembinaan Kecemerlangan Diri Pimpinan Pelajar Menerusi Penglibatan Dalam
Aktiviti Kokurikulum Di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Tesis. Fakulti Pendidikan, Universiti
Teknologi Malaysia.
Johari Hassan & Sutinah A. Safar, (2010). Pembinaan Kecemerlangan Diri Pimpinan Pelajar Menerusi Penglibatan
Dalam Aktiviti Kokurikulum Di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Jumaatol Halisha Binti Bujang (2006), Kajian Penggunaan Kemahiran Generik Dalam Proses Pengajaran dan
Pembelajaran Di Sekolah. Tesis Sarjana.
Kolb, D. A. (1984). Experiential learning: Experience as the source of learning and Development. Englewood Cliffs,
NJ: Prentice Hall.
Mahyuddin Arsat dan Sri Dewi Rahimi (2011). Kemahiran Generik Dalam Latihan Industri Terhadap Pembentukan
Kerjaya Jurutera Di Dyson Manufacturing Sdn Bhd.
Malaysia Has 60 000 Graduates Unemployed, Malaysia Today, November 3, 2005.
http://www.malaysiatoday.net/Blog-e/2005/11/malaysiahas-60000 undergraduates.htm.
Mohd Noor, N. & Borhan, N. (2010). Penerapan Kemahiran Generik dalam Kokurikulum di Kalangan Pelajar Tahun
Akhir Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan, UTM, Fakulti Pendidikan, UTM.
Mohd Tahir, L. & Othman, O. (2010). Keperluan Aktiviti Kokurikulum (Beruniform) Kepada Pelajar Tingkatan
Empat Di Sekolah Menengah Kebangsaan Di Daerah Langkawi. Fakulti Pendidikan, UTM.
Mohd. Salleh Abu, Mohd. Zaki Kamsah (UTM) dan Wahid Razzaly (UTHM), (2008). Laporan Kajian Soal Selidik
Penerapan Kemahiran Insaniah (KI) Di Kalangan Pelajar Dalam Aktiviti Pengajaran & Pembelajaran Di
IPTA.
Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah (Soft Skills) untuk Institusi Pengajian Tinggi. (2006) Kementerian
Pengajian Tinggi Malaysia 2006.
http://eprints.utm.my/11595/1/Keperluan_Aktiviti_Kokurikulum.pdf.
Mohd Fadzli Ali, Normah Binti Salleh dan Juhazren Junaidi, (2006). Mengkaji Hubungan Di Antara Pembelajaran
Kkoperatif (Kemahiran Generik) Dengan Kemahiran Mmenggunakan E-Pembelajaran Di Kalangan Pelajar
Yang Mengambil Subjek Telekomunikasi Dan Rangkaian Di Fakulti Pendidikan, UTM, Skudai, Johor.
Mohamad Ismail bin Mohamad Yunus (2004). Enhancing Student Character Building and Ethics Development
Process Through Co-Curriculum Activities: IIUM Experience. Kertas Kerja International Conference on
Student Development, 16 18 April 2004 di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur.
Norani Binti Mohd Noor & Noratna Binti Mohammad (2006), Persepsi pelajar Tahun 4 Terhadap kemahiran
Generik Di UTM Skudai, Johor.
Noorashidi B. Borhan, (2009). Penerapan Kemahiran Generik Dalam Kokurikulum Di Kalangan Pelajar Tahun
Akhir Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan, UTM.
Norani Bt. Mohd Noor & Noorashidi Bin Borhan, (2010). Penerapan Kemahiran Generik Dalam Kokurikulum Di
Kalangan Pelajar Tahun Akhir Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan, UTM.
Omardin Ashaari (1999). Pengurusan Sekolah. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distibutors Sdn. Bhd..
124-149.
Otter, S. (1989). Student Potential in Britain. Leicester: Unit for the Development of Adult Continuing Education.
Shamsaadal Sholeh Saad (2004). Konflik Remaja Masa Kini dan Cabaran Menanganinya. Kertas kerja Seminar
Pembangunan Keluarga Kebangsaan 2004, 29-30 Mei 2004, di Universiti Malaya.
Walker, V. N. (2002). Office of Co-Curricular Life. Sweet Briar: Sweet Briar College.
http://sbc.edu/cocurricular/about/ . Dicapai pada 10 Nov, 2013.
Zulkiflee Haron dan Aimi Ayuni Idris, (2010). Persepsi Pelajar Terhadap Penerapan Kemahiran Generik Dalam
Aktiviti Kokurikulum Di Kalangan Pelajar Tahun Dua Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia,
Skudai.