Anda di halaman 1dari 9

Penilaian dalam Subjek Sejarah

1.0 Pengenalan Penilaian membawa maksud satu kaedah yang digunakan dalam usaha
menjawab persoalan sejauh mana ketersampaian maklumat yang telah diberikan oleh
seseorang guru berkesan dan dapat diterapkan dalam diri pelajar (Harzi Jamil, 2003). Dalam
konteks Pengajaran dan Pembelajaran bilik darjah (P&P), proses penilaian sememangnya
sangat perlu kerana kejayaan atau kegagalan proses pengajaran dan pembelajaran boleh
dilihat daripada pelbagai sudut dengan hanya melihat kepada keputusan penilaian yang
dilaksanakan dalam suatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Proses penilaian yang
dilaksanakan akan dapat membantu guru-guru khususnya dalam menjawab persoalanpersoalan yang menyentuh tentang keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran,
kesesuaian isi, kaedah penyampaian, respon pelajar, pemahaman pelajar terhadap sesuatu
topik yang dibincangkan dan pelbagai lagi ( Hazri Jamil, 2003 ). Maka, dalam hal ini dapat
dilihat bahawa proses penilaian bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah, lebih-lebih lagi
apabila berdepan dengan mata pelajaran sejarah yang umumnya berdepan dengan
masalah seperti kekurangan tindak balas positif pelajar yang bosan dengan pembelajaran
yang bersifat fakta dan kekurangan bahan bantu mengajar yang sesuai. Oleh yang
demikian, proses ini perlu dilihat dari sudut yang lebih sistematik agar proses ini berjaya
mengurangkan dan menghindari masalah yang dihadapi oleh golongan guru semasa proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
2.0 Tujuan PenilaianPenilaian merupakan elemen pengajaran yang amat penting. Penilaian
adalah proses pengumpulan maklumat dan membuat keputusan berkenaan memajukan
perkembangan, penguasaan dan pencapaian pelajar dalam pelajaran. Ujian adalah alat
pengukuran dalam proses penilaian. Menurut Ashworth (1982) dalam Abd.Rahim Abd
Rashid (1989), merumuskan beberapa sebab guru menggunakan ujian iaitu untuk
dorongan, diagnosis, menilai, memilih, melapor, membanding dan meramalkan. Manakala,
Dorothy C. Adkins (1974) dalam Abd.Rahim Abd Rashid (1989), menyatakan tujuan umun
ujian pencapaian pendidikan ialah untuk menguji perbezaaan individu, ujian sebagai
peramal dan ujian sebagai alat pembantu pengajaran.
2.1 Ujian Dalam Proses Pengajaran Dan PembelajaranTujuan utama ujian adalah untuk
membaiki pelajaran seterusnya membantu dalam membuat keputusan-keputusan
pengajaran. Terdapat beberapa asas keputusan yang perlu dibuat oleh guru dalam proses
pengajaran. Ini merangkumi kesediaan pelajar melalui pengalaman pembelajaran sebelum
sesuatu ujian diberikan di samping memastikan kecekapan guru dalam menjangka
kemajuan pelajar berdasarkan pengalaman pembelajaran bagi mata pelajaran Sejarah.
Selain itu, ujian juga membantu guru merancang pengajaran dengan lebih berkesan
terutama daripada segi isi pelajaran dan aktiviti pembelajaran (Abd. Rahim Abd. Rashid,
1989). Seterusnya ialah, guru sejarah dapat mengenal pasti pelajar-pelajar yang
mempunyai masalah-masalah pembelajaran yang serius dan memerlukan pembelajaran
secara individu atau kerja-kerja pemulihan. Guru dapat membantu para pelajar yang
mempunyai prestasi yang tinggi, dipertingkatkan lagi dengan program pengayaan khas.
Ujian juga boleh membaiki keberkesanan cara-cara pembelajaran dengan memberikan
maklumat yang lebih objektif. Misalnya ujian penggal (periodic test) boleh memberikan bukti
bagi menentukan cara yang sesuai untuk mengelompokkan pelajar bagi pengajaran secara
berkumpulan, individu, diagnosis atau pembelajaran pemulihan (Mohd Salleh Lebar , 1996).

2.2 Maklum Balas kepada GuruMaklumat yang diperolehi daripada keputusan-keputusan


ujian boleh digunakan bagi menilai pelbagai aspek dalam proses pengajaran. Ia boleh
menentukan sejauh mana objektif pengajaran tercapai ataupun tidak dan sama ada kaedah
pengajaran sesuai ataupun tidak. Keputusan-keputusan ujian bukan sahaja mendedahkan
kelemahan pembelajaran individu pelajar, tetapi jika keputusan ujian kumpulan di ambil, ia
boleh mendedahkan kelemahan pengajaran guru. Jika keputusan ujian yang sama
diperolehi oleh pelajar adalah rendah, maka terdapat kesulitan pelajar untuk memahami
pengajaran guru tersebut. Selain itu, penilaian juga boleh memberi maklum balas kepada
guru sama ada semasa proses pengajaran berkesan ataupun tidak. Berdasarkan kekuatan
dan kelemahan pembelajaran pelajar, guru dapat membaiki setiap kelemahannya dari aspek
kaedah pengajaran dan penyampaian maklumat kepada pelajar (Ron Babbage, Richard
Byers & Helen Redding , 1991).
2.3 DiagnosisSesuatu ujian diagnosis memberi kesan secara langsung kepada
pembelajaran pelajar. Hal ini disebabkan, ujian tersebut bukan sahaja meningkatkan lagi
dorongan kepada pelajar, malahan meningkatkan daya ingatan dan transformasi
pembelajaran. Di samping itu, guru juga mampu memahami diri sendiri. Dua elemen utama
diagnosis adalah diagnosis keperluan dan kemajuan individu serta diagnosis kurikulum dan
pengajaran. Diagnosis bagi keperluan dan kemajuan pelajar ialah bermaksud mengenal
pasti atau menentukan kelemahan dan kekuatan pelajar dalam sesuatu topik atau sesuatu
isi pelajaran. Diagnosis kurikulum dan pengajaran adalah bertujuan mengenal pasti atau
menilai cara dan pendekatan pengajaran guru yang berkaitan dengan kelemahan pelajar
(Sumber: Hazri Jamil, 2003)
2.3.1 Dorongan Kepada PelajarSesuatu ujian diagnosis memberi petunjuk dan dorongan
kepada pelajar untuk mencapai matlamat jangka pendek yang berkaitan dengan perkara
yang perlu dilakukan (persediaan), hasil pembelajaran yang perlu dikuasai dan dicapai untuk
ujian berkenaan dan juga memberi maklum balas kepada para pelajar berkenaan prestasi
mereka dalam mata pelajaran Sejarah (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989). Diagnosis adalah
untuk menilai kebolehan pelajar sama ada berdasarkan mengingat kembali fakta-fakta
Sejarah, mengaplikasikan prinsip-prinsip, membuat penilaian. Selain itu, diagnosis juga
adalah mengkehendaki para pelajar untuk menunjukkan kebolehan yang berbeza-beza
mengikut aras ujian dan aras kesukaran ujian tersebut. Oleh yang demikian, ujian yang
dibentuk itu boleh mendorong pelajar kepada usaha mencapai hasil pembelajaran melalui
peningkatan dalam aktiviti pembelajaran sekaligus membantu pelajar menunjukkan
kebolehan dan keupayaan mereka dan membawa kepada daya saing yang positif dalam
kalangan pelajar (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989). Contohnya ialah, pelajar yang mendapat
keputusan yang rendah akan menggunakan diagnosis ini untuk mengatasi kelemahan
mereka. Guru Sejarah boleh membimbing pelajar-pelajar tersebut dalam meningkatkan
pencapaian mereka. Maka, diagnosis boleh dijadikan asas kepada pembelajaran pelajar.
2.3.2 Menguatkan Daya IngatanUjian diagnosis dapat membantu menguatkan daya ingatan
pelajar. Misalnya, sebelum menghadapi sesuatu ujian, mereka perlu membuat bacaan,
latihan dan ulang kaji secara intensif. Pembelajaran intensif akan menguatkan daya ingatan
dan proses pemindahan ingatan yang lebih kekal. Ujian diagnosis adalah satu kaedah
menggalakkan para pelajar memberi tumpuan dan perhatian terhadap mata pelajaran
Sejarah (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989). Umumnya, hasil pembelajaran seperti kefahaman,
aplikasi dan pentafsiran dapat dikekalkan dengan lebih lama berbanding dengan hasil-hasil
pembelajaran pada tahap mengingati pengetahuan. Berdasarkan kepentingan diagnosis

dalam penilaian pembelajaran, secara langsung seorang guru Sejarah boleh memberi para
pelajar pengukuhan latihan dalam kefahaman kemahiran, aplikasi dan mentafsir yang
merupakan aras pembelajaran yang amat penting diuji untuk mata pelajaran Sejarah.
2.3.3 Memahami Diri Sendiri Tujuan utama pendidikan ialah untuk membantu seseorang
pelajar untuk memahami dirinya dengan lebih baik supaya dapat membuat keputusankeputusan yang lebih efektif untuk menilai pencapaian sendiri. Ujian diagnosis tersebut
dapat memberi maklumat mengenai kekuatan dan kelemahan pelajar. Melalui hasil
keputusan ujian yang diperolehi maka mereka dapat menilai kelemahan dan kekuatan
terhadap mata pelajaran Sejarah. Seterusnya, ujian diagnosis juga membantu pelajar
mengambil pendekatan untuk merancang kaedah belajar yang sesuai dan berkesan dalam
meningkatkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran Sejarah. Ujian perlu digunakan
untuk meningkatkan pembelajaran bukannya untuk menghukum atau melabel para pelajar
(Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989).
2.4 Mengekalkan Mutu (Standard)Penilaian mata pelajaran Sejarah penting bagi tujuan
mengekalkan mutu mata pelajaran tersebut. Tujuan ini juga berkaitan dengan mengekalkan
mutu akademik dan mutu pendidikan (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989). Peningkatan mutu
akademik bergantung kepada kualiti pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai. Justeru guru
Sejarah perlu mengambil langkah positif untuk mengurangkan jumlah kegagalan pelajar
dalam ujian-ujian yang telah diadakan. Ini tidak bermakna ujian-ujian yang diberikan tidak
memenuhi kriteria atau prinsip penilaian. Oleh itu keputusan ujian atau penilaian haruslah
digunakan bagi tujuan meningkatkan lagi prestasi akademik pelajar. Guru Sejarah juga perlu
berusaha meningkatkan lagi kecermelangan akademik mata pelajaran Sejarah dengan
meramaikan lagi jumlah pelajar yang memperolehi keputusan yang cermerlang dalam ujian
yang telah diadakan.
2.5 Laporan Penilaian bertujuaan memberikan laporan kepada pihak sekolah. Guru sejarah
bertanggungjawb menyimpan rekod ujian dan prestasi pelajar. Rekod-rekod ini
menggambarkan pencapaian kemajuaan pelajar dalam mata pelajaran sejarah. Tujuan
melaporkan biasanya dikehendaki pada setiap pada setiap bulan, penggal atau tahun. Hal
ini penting untuk menjadi asas tindakan bersama panitia Guru Sejarah di sekolah,
penyeliaan, pemantauan dan pentadbiran pendidikan (Hazri Jamil, 2003).
3.0 Perkembangan Taksonomi Penilaian Penilaian Sintesis Analisis Aplikasi Kefahaman
Pengetahuan Membina, mengembangkan dan menguji kemahiran intelektual Memberi dan
mendapatkan maklumat asas Tinggi Rendah Rajah 1: Perkembangan Taksonomi Penilaian (
Taksonomi Bloom 1956) (Sumber: Hazri Jamil, 2003) Berdasarkan Taksonomi Bloom (1956),
penilaian merupakan aras tertinggi dalam siri taksonomi tersebut. Penilaian bukan sahaja
untuk membina pengetahuan malahan penilaian juga berupaya mengembangkan dan
menguji kemahiran intelektual yang telah dikuasai oleh pelajar semasa proses pengajaran
dan pembelajaran (Hazri Jamil, 2003). Soalan aras pengetahuan adalah soalan untuk
menguji tahap pengetahuan pelajar. Ini adalah soalan pada aras yang paling rendah dan
mudah. Contoh soalan yang sering digunakan ialah nyatakan, namakan, terangkan dan
labelkan. Soalan aras kefahaman pula ialah untuk menguji kefahaman pelajar terhadap
sesuatu topik yang diajar. Contoh soalan ialah pilih, terangkan dan tulis semula. Soalan aras
aplikasi pula ialah menguji keupayaan dan kebolehan pelajar menggunakan infomasi dan
pengetahuan yang diperoleh dalam situasi yang berbeza. Pelajar dikehendaki
mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam bentuk penyelesaian masalah dan

sebagainya. Contoh soalan adalah selesaikan, ramalkan dan bina ayat. Seterusnya ialah
soalan aras analisis. Menurut Hazri Jamil (2003), soalan pada aras ini adalah untuk menguji
kemahiran pelajar menjana idea daripada idea yang kecil kepada idea yang lebih besar dan
bertambah baik sekiranya idea tersebut diterjemahkan dalam luar kotak pemikiran mereka.
Contoh soalan ialah bezakan, pastikan dan pilih. Kemudian soalan aras sintesis. Soalan
ujian pada aras ini adalah untuk menguji kemahiran pelajar merumuskan idea atau
menggabungkan keseluruhan bahagian atau elemen secara menyeluruh. Penggunaan
soalan adalah seperti membina, menyusun dan mengembangkan. Soalan pada aras paling
tinggi ialah aras penilaian. Soalan jenis ini adalah untuk menguji pelajar dalam membuat
penilaian mengenai nilai, idea, rumusan kaedah dan sebagainya. Contoh soalan yang
digunakan ialah berikan ulasan dan buktikan.
4.1 Bentuk Penilaian Dalam Sejarah
4.1.1 Penilaian Secara FormatifPenilaian secara formatif ini bertujuan menimbangkan mutu
yang telah dicapai dan memutuskan siapa yang terbaik untuk menimbangkan potensi atau
pencapaian pelajar dalam mata pelajaran sejarah. Penilaian formatif ini melibatkan kaedah
pengredan, dan pemilihan (Harzi Jamil, Hashim Othman & Rohizami Yaakub, 2004). Kaedah
pengredan ini ialah satu proses pemberian gred terhadap sesuatu tahap pencapaian pelajar
berdasarkan satu peraturan yang telah ditetapkan. Menurut Loyd (1997) dalam Abd.Rahim
Abd.Rashid (1989), kegunaan penggredan ialah sebagai satu kaedah memberikan satu
prosedur yang formal dan bersistematik dalam penyampaian maklumat penaksiran guru
tengtang pencapaian pelajar kepada ibu bapa, penjaga, dan lain-lain. Selain itu, kaedah
penggredan ini digunakan secara langsung atau tidak langsung dalam sejarah, ini bertujuan
untuk memotivasikan pelajar dan memberikan ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan
kecemerlangan dalam sikap dan pembelajaran. Selain itu, kaedah ini difahami oleh setiap
pelajar kerana kaedah ini dalam sejarah menentukan gred yang diberikan kepada pelajar.
Ciri-ciri kaedah penggredan ini ialah adil untuk semua pelajar, tepat dalam menggambarkan
apa yang pelajar telah pelajari, tekal dari segi penggunaan dan boleh dipertahankan kepada
pelajar dan lain-lain individu yang berminat dengan sistem penggredan ini. Seterusnya,
penggredan ini dalam mata pelajaran sejarah melibatkan penggredan rujukan norma dan
kriteria (Harzi Jamil, Hashim Othman & Rohizami Yaakub, 2004). Penggredan norma
dibentuk sebagai sekumpulan pelajar. Guru akan menggunakan skor daripada kumpulan
pelajar berkenaan sebagai kriteria untuk menentukan bagaimana prestasi pelajar lain
apabila mengambil ujian yang sama. Melalui kaedah ini guru dapat menilai sejauhmana
kemampuan pelajar dalam mata pelajaran ini. Penggredan rujukan kriteria pula ialah
menentukan setakat mana pelajar dapat menguasai objektif kursus yang telah ditetapkan
oleh guru atau kurikulum. Melalui skor yang diperolehi menggambarkan kecekapan pelajar
dengan satu-satu tugasan. Selain itu, gred yang sama akan menggambarkan pencapaian
yang sama pelajar dalam ujian yang telah dijalankan melalui kaedah ini. Kaedah pemilihan
ialah kaedah pemilihan bahan dalam pembelajaran dan pengajaran. Kaedah pemilihan ini
dalam pengajaran mata pelajaran sejarah melibatkan beberapa kriteria pemilihan dan
penggunaan alat. Kriteria yang penting dalam pemilihan ini ialah kriteria isi, kriteria aktiviti
pembelajaran dan kriteria kaedah pengajaran. Kriteria isi ini merupakan suatu alat yang
digunakan mempunyai hubungan dengan isi pelajaran yang hendak diajar. Melalui ini, guru
akan melakukan kriteria pemilihan atau penggunaan alat yang perlu ditentukan oleh guru. Ini
berkaitan dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan kepada pelajar. Isi pelajaran
sejarah yang diajar oleh guru berkaitan dengan fakta-fakta, konsep-konsep, ataupun

pengalaman sejarah. Kriteria aktiviti pembelajaran ialah pemilihan dan penggunaan alat
untuk pengajaran dan pembelajaran sejarah perlu mengambil kira apakah aktiviti
pembelajaran yang akan melibatkan pelajara. Menurut Joreme A. Bruner (1966) dalam Abd.
Rahim Abd. Rashid (1989), membahagikan pengalaman pembelajaran ini kepada tiga
kategori. Tiga kategori ialah pengalaman langsung, pengalaman bergambar dan
pengalaman abstrak. Seterusnya, kriteria kaedah pengajaran ialah pemilihan dan
penggunaan alat pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah perlu membantu
mempermudahkan dan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan. Dari segi kaedah
pengajaran, guru-guru harus tahu bagaimana alatan tersebut digunakan. Keadaan ini
umpamanya, sesuatu alat yang digunakan untuk membantu guru dalam menerangkan fakta
atau makulumat sejarah. Pemilihan dan penggunaan alatan yang sesuai memudahkan
objektif guru dicapai dengan lebih berkesan. Melalui pemilihan ini, guru sejarah akan lebih
yakin dalam pengajaran dan pembelajaran.
3.1.2 Penilaian Secara SumatifPenilaian secara sumatif ini ialah mendapatkan maklumat
dan memahami masalah, memutuskan apakah tindakan yang perlu dilakukan dan
memeriksa keberkesanan pengajaran dan pembelajaran membantu pelajar cara pelajar
sejarah. Penilaian secara sumatif ini melibatkan diagnosis, penilaian dan bimbingan (Bhasah
Abu Bakar, 2009). Diagnosis meliputi dua perkara iaitu diagnosis keperluan dan kemajuan
individu serta diagnosis kurikulum dan pengajaran. Ia merupakan keperluan dan kemajuan
pelajar ialah bermaksud mengenal pasti atau menentukan kelemahan dan kekuatan pelajar
dalam sesuatu topik atau kandungan mata pelajaran. Guru mampu menggunakan malumat
yang diperolehi untuk merancang dan melaksanakan strategi dalam pengajaran mata
pelajaran sejarah. Penilaian ialah adalah proses pengumpulan maklumat dan membuat
keputusan berkenaan memajukan perkembangan, pengguasaan dan pencapaian pelajar
dalam pelajaran. Proses penilaian dalam sejarah menggunakan ujian bagi mengukur
pencapaian pelajar di dalam mata pelajaran sejarah (Harzi Jamil, 2003). Dalam mata
pelajaran sejarah penilaian ini melibatkan penilaian prestasi. Penilaian ini menyediakan cara
yang sistematik untuk menilai kemahiran berfikir dan menaakul serta hasilnya yang tidak
dapat diukur oleh ujian objektif dan esei yang biasa. Walaupun dalam ujian ini dapat
menyediakan data yang menunjukkan pelajar tahu melakukan sesuatu dalam keadaankeadaan tertentu. Penilaian ini penting dalam mata pelajaran sejarah kerana ia perlu dalam
menilai kemahiran-kemahiran sebenar yang sedang dilakukan dalam pengajaran dan
pembelajaran setiap hari. Ini akan mengambarkan keberkesanan pengajaran yang
dijalankan oleh guru, cara ini amat baik dalam menilai tahap penguasaan pelajar. Selain itu,
tujuan penilaian dalam ujian dalam proses pengajaran-pengajaran ialah menentukan setakat
manakah pelajar bersedia dengan pengalaman-pengalaman pembelajaran sebelum ujian
diberikan. Melalui keadaan ini penilaian terhadap pelajar mudah dijalankan. Selain itu, guru
dapat mengjangka pelajar-pelajar boleh terus maju dengan pengalaman-pengalaman
pembelajaran bagi mata pelajaran ini. Penilaian ini juga dapat membantu guru
mengenalpasti pelajar-pelajar yang mempunyai masalah-masalah pembelajaran yang serius
dan memerlukan pengajaran individu atau kerja-kerja pemulihan khusus. Bimbingan
digunakan untuk membimbing pelajar bagi membaiki kelemahan yang ada. Melalui
maklumat yang diperolehi hasil dari penilaian dilakukan oleh guru, pelajar dapat dibimbing
dan diberikan dorongan bagi membaiki serta mengatasi kelemahan pelajar. Bimbingan ini
amat penting dalam pengajaran mata pelajaran ini kerana tidak mahu pelajar sukar
memahami mata pelajaran ini (Harzi Jamil, 2003). Guru sejarah dalam bimbingan ini, ia
memberi tumpuan yang lebih, kerana ia melibatkan penglibatan guru secara sepenuhnya.

Pelajar yang lemah akan dapat diubah melalui bimbingan yang wajar oleh guru. Pencapaian
pelajar akan meningkat dan secara tidak langsung tahap minat pelajar terus meningkat.
Penguasaan pelajar dalam pembelajaran amat penting kerana ia akan melibatkan tahap
pencapaian pelajar.
4.2 Penilaian Secara Berterusan Menurut Kamarudin Hj Husin dan Siti Hajar Hj Abdul Aziz
(2004), tujuan utama mengadakan ujian adalah untuk memperbaiki pembelajaran Ujian
membantu dalam membuat keputusan-keputusan pengajaran. Dalam proses pengajaran
terdapat banyak mementingkan keputusan yang dibuat oleh guru. Ujian boleh membaiki
keberkesanan cara-cara pengajaran dengan memberikan maklumat-maklumat yang lebih
ojektif untuk dipertimbangkan. Sebagai contoh, Pra-ujian ( pre-test ) pada awalan sesuatu
mata pelajaran boleh membantu menentukan setakat manakah pelajar-pelajar mempunyai
latar belakang pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan faedah
daripada nota pelajaran. Ujian-ujian penggal ( periodic test ) dan ujian-ujian khusus bila
diperlukan boleh memberikan bukti bagi menentukan cara yang paling baik
mengelompokkan pelajar untuk pengajaran kumpulan, pengajaran individu, diagnosis dan
pembelajaran pemulihan. Ujian-ujian mata pelajaran Sejarah perlu dibuat dari masa ke
masa bagi tujuan melaporkan kemajuan atau prestasi pelajar. Keputusan-keputusan ujian
dicatatkan di dalam buku rekod mengajar guru dan juga di dalam buku kemajuan pelajar.
Keputusan-keputusan ujian menjadi maklumat penting yang boleh digunakan untuk
melaporkan atau mengesahkan kebolehan seseorang pelajar dalam mata pelajaran ini.
Menjadi satu kesalahan jika ada guru-guru yang memberi markah kepada pelajar mengikut
sesuka hati tanpa mengadakan ujian berasaskan kriteria-kriteria atau prinsip-prinsip
penilaian yang sewajarnya ( Rosie Turner-Bisset, 2001). Oleh sebab penilaian ( termasuk
ujian, peperiksaan, tugasan dan lain-lain ) merupakan faktor yang penting terhadap
kejayaan dan kegagalan pelajar serta beberapa amalan-amalan yang dibuat oleh pihak guru
atau pihak sekolah seperti pemilihan, pengelasan pelajar ( streaming ), menentukan
kedudukan pelajar dalam bilik darjah dan sebagainya. Oleh itu, amat penting bagi guru-guru
berhati-hati melaksanakan penilaian, melaporkan dan menggunakan keputusan-keputusan
penilaian tersebut supaya ia tidak menimbulkan masalah yang tidak diingini. Terdapat
berbagai-bagai jenis ujian yang boleh dilakukan oleh para guru. Penilaian atau ujian boleh
dibahagikan kepada soalan berbentuk objektif jenis pilihan dan soalan berbentuk esei.
Soalan objektif jenis pilihan boleh dibahagikan kepada tiga jenis item penilaian atau ujian
iaitu item benar palsu item padanan dan item objektif aneka pilihan (Bhasah Abu Bakar,
2009). Bagi Item benar palsu soalan ini merupakan soalan jenis dua pilihan. Pelajar
dikehendaki menentukan betul atau salah fakta atau kenyataan yang diberikan.
Kebiasaannya pilihan yang diberikan adalah seperti benar, ya, betul, palsu. tidak dan salah.
Namun dalam soalan ini guru hendaklah memastikan pernyataan atau butiran sebenarnya
benar atau palsu. Elakkan pernyataan yang terlalu umum sehingga pelajar yang pandai pun
merasa kabur. Terdapat beberapa cara mengelakkan kekaburan iaitu gunakan ayat-ayat
yang pendek apabila perlu. Ayat-ayat yang panjang dan kompleks menyebabkan sukar
untuk mengenal pasti dalam soalan. Kemudian gunakan bahasa yang lebih tepat semasa
menulis pernyataan dan cuba gunakan idea untuk satu item soalan. Penggunaan lebih
daripada satu idea mungkin menyebabkan pernyataaan separuh benar atau palsu. Selain
itu, jika soalan menyediakan butiran dalam bentuk pendapat, adalah lebih baik jika
dinyatakan sumbernya seperti berdasarkan kepada teks berikut: Pada pendapat penulis...
kerana adalah tidak adil mengarahkan pelajar menentukan sesuatu pendapat itu betul atau
salah dan akhir sekali cuba gunakan pernyataan yang positif dan elakkan pernyataan yang

negatif kerana ini akan mengelirukan calon. Soalan jenis item padanan pula sebenarnya
mampu menyediakan rangsangan dan beberapa tindak balas. Contohnya, pelajar diminta
memadankan atau menyesuaikan rangsangan dengan tindak balas. Tugasan
mengehendaki pelajar memadankan masalah dengan penyelesaian atau stimulus dan
respon yang betul. Dalam membina soalan jenis item padanan, guru perlu pastikan perkaraperkara seperti pastikan kandungan premis dan kandungan respons atau gerak balas
adalah sama jenis dan jangan menggunakan bilangan premis yang sama dengan respons
dan berikan arahan sama ada respons boleh digunakan sekali atau lebih atau tidak boleh
digunakan langsung. Selain itu, jika menulis ayat premis dan respons hendaklah dengan
ringkas tetapi jelas dan tepat malah arahan yang diberikan juga perlulah jelas. Ini kerana
asas perhubungan antara premis dengan respons perlu diberitahu dengan jelas. Kemudian
letakkan semua komponen bagi premis dan respons dalam muka surat yang sama. Ini
memudahkan calon untuk membaca gerak balas dan premis serta merujuk arahan tanpa
membalikkan muka surat. Item objektif aneka pilihan ini berbentuk memilih respons dan
paling luas penggunaanya. Item ini dapat mentaksirkan dengan berkesan pelbagai objektif
mata pelajaran iaitu daripada pengetahuan, kefahaman hinggalah kepada kebolehan
membuat pertimbangan, kemahiran dan menyelesaikan masalah, kemahiran
mengaplikasikan, kemahiran menganalisis dan kemahiran-kemahiran lain. Menurut Bhasah
Abu Bakar (2009), bagi soalan objektif berbentuk satu pilihan pula hanya terdapat satu
jawapan sahaja yang betul daripada beberapa cadangan jawapan bagi soalan itu. Item
objektif berbentuk satu pilihan ini terdiri daripada jawapan yang betul, jawapan terbaik,
analogi, negatif dan melengkapkan. Item jawapan yang betul soalan ini berbentuk
penyataan yang tidak lengkap dan diikuti oleh beberapa pilihan jawapan. Terdapat hanya
satu pilihan jawapan yang betul. Bagi jawapan terbaik pula semua jawapan yang diberikan
dalam soalan jenis ini adalah munasabah namun terdapat satu jawapan yang paling tepat
atau terbaik. Analogi pula soalan jenis ini dikemukakan dalam bentuk pasangan perkataan
dan diikuti oleh jawapan yang terdiri dari empat pasangan perkataan. Pelajar diminta
memilih pasangan yang sama cirinya. Manakala item negatif pula soalan jenis ini meminta
pelajar memilih kenyataan yang bertentangan dengan kenyataan yang diberikan. Soalan
yang bercorak seperti ini selalunya mengandungi perkataan bukan, kecuali, tidak benar dan
paling kurang. Kesemua pilihan jawapan adalah betul kecuali pilihan yang salah. Item
melengkapkan pula soalan jenis ini memerlukan pelajar mencari jawapan yang paling tepat
bagi melengkapkan pernyataan yang diberikan. Selain itu, terdapat juga soalan berbentuk
aneka gabungan. Soalan ini memerlukan pelajar memilih jawapan yang betul. Jawapan
yang diberikan terdiri daripada gabungan pernyataan. Pernyataan yang diberikan bagi setiap
soalan itu adalah saling berkait antara satu sama lain. Ujian berbentuk soalan esei- subjektif
adalah merupakan soalan yang bertujuan melihat kebolehan pelajar mengeluarkan
pendapat dan menganalisis secara mendalam tentang persoalan yang diberikan (Bhasah
Abu Bakar, 2009). Soalan ini mempamerkan kedalaman pengetahuan dan kemahiran yang
dimiliki pelajar. Item subjektif mampu disesuaikan bagi menguji tahap kognitif yang lebih
tinggi seperti mentaksirkan kemahiran menganalisis,mensintesiskan atau membuat
pertimbangan mengenai sesuatu perkara yang memerlukan pelajar berfikir secara kreatif
dan kritis. Selain itu juga, item subjektif juga memberikan kebebasan yang luas kepada
pelajar bukan sahaja daripada segi menjawabnya tetapi juga panjang atau pendek
jawapannya. Jenis item esei bolehlah dikategorikan seperti Item respons terbuka, Item
berpandu, Item respons terhad dan Item berstruktur. Item respons terbuka ini mengandungi
pelbagai kemungkinan jawapan daripada pelajar secara bertulis. Pelajar diberi peluang
menjawab secara bebas dengan menghuraikan idea atau pendapat mereka. Soalan

biasanya menggunakan istilah-istilah seperti huraikan, bagaimanakah, mengapakah,


bincangkan, bandingkan dan sebagainya. Bagi item berpandu pula memerlukan pelajar
mengemukakan respons berdasarkan rangsangan. Lazimnya menggunakan stimulus
seperti gambar rajah, gambar foto, peta, carta, jadual dan sebagainya untuk memandu
pelajar memberikan respons. Pelajar dikehendaki menjawab soalan berdasarkan stimulus
yang disediakan. Cara mengemukakan soalan-soalan jenis ini selalunya berdasarkan
proses mental dari yang mudah hinggalah ke peringkat yang tinggi mengikut taksonomi
Bloom. Kata tugas yang digunakan seperti Apakah, Siapakah, Bilakah, selalu
digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pengetahuan. Manakala istilah-istilah
seperti Bandingkan, Bezakan, Terangkan, Huraikan, Bincangkan, Rumuskan dan
Simpulkan digunakan untuk mendapatkan maklumat bagi konstruksi yang kompleks
(Bhasah Abu Bakar, 2009),Item respon terhad pula berkecenderungan mengehadkan
bentuk dan respon pelajar. Bentuk respon biasanya dihadkan melalui skop yang disoal.
Manakala panjangnya respon daripada segi ruangan jawapan yang disediakan. Biasanya
item memerlukan pelajar memberikan jawapan dalam satu frasa atau beberapa atau satu
perenggan. Manakala item berstruktur pula ialah suatu siri soalan yang berkaitan dengan
sesuatu proses yang dikemukakan satu persatu. Jawapan yang diberikan adalah
keseluruhan proses yang berkenaan. Soalan berstruktur ialah dalam jenis item respons
terhad. Siri soalan yang mengandungi maklumat pokok item. Pelajar dikehendaki mengkaji
maklumat tersebut dan seterusnya memberi respons kepada maklumat tersebut dengan
menjawab persoalan daripada pokok item tersebut. Perkara-perkara yang perlu dijadikan
panduan untuk pembinaan item subjektif atau soalan berbentuk esei adalah pertama
keperluan menulis item, soalan hendaklah jelas dari segi tugasan dan perkataan, soalan
yang dikemukan hendaklah jelas dan tepat. Maka jauhkan daripada soalan-soalan yang
memerlukan jawapan ya atau tidak dan soalan-soalan yang dibina hendaklah
berkemampuan untuk membezakan pelajar lemah, sederhana atau cemerlang dari segi
perbendaharaan kata serta konsep dalam tajuk hendaklah sesuai dengan sebilangan besar
pelajar (Bhasah Abu Bakar, 2009). Keperluan menulis item soalan yang hendak dibina
mestilah berdasarkan Jadual Penentu Ujian (JPU) yang telah ditetapkan (Bhasah Abu
Bakar, (2009). Soalan digunakan untuk mentaksirkan perkara yang hendak
diperkembangkan dalam diri pelajar melalui mata pelajaran sejarah. Guru yang menulis item
mestilah mengetahui spesifikasi item yang akan dibina seperti jenis item subjektif, konstruksi
dan tajuk, aras kesukaran ( berasaskan pertimbangan profesional guru ), peruntukan
markah dan jenis pemarkahan. Selain itu, pelajar sepatutnya tidak dikelirukan dengan apa
yang dikehendaki oleh soalan. Tajuk atau topik yang digunakan untuk menguji konstruksi
tertentu biarlah yang sebenarnya menguji kebolehan pelajar untuk menjawabnya dan
bukannya meneka kehendak soalan. Pelajar mesti faham apa yang diperlukan bagi
menjawab soalan . Seterusnya, guru tidak seharusnya menggunakan perkataan yang tidak
berfungsi sebagai hiasan. Soalan biarlah terus tetapi jangan terlalu ringkas sehingga boleh
mengelirukan pelajar dan menjadikan tugasannya tidak menepati kehendak soalan. Topik
atau soalan yang dikemukakan oleh bersesuaian dengan kebolehan pelajar. Pelajar yang
sederhana sepatutnya dapat menjawab soalan pada aras mudah dan sederhana sukar.
Manakala pelajar-pelajar dari kelas yang pandai dapat menunjukkan kecerdasannya dengan
menjawab soalan yang mudah, sederhana dan sukar. Soalan yang dibina sepatutnya
memberi peluang kepada pelajar yang pintar untuk menjawab dengan lebih mendalam. Di
samping itu, sesuatu topik yang sukar hanya dapat mengasingkan pelajar yang cemerlang
daripada pelajar yang lain. Guru sejarah hendaklah berhati-hati dan teliti dalam membina
soalan yang berkaitan dengan topik atau tajuk-tajuk yang melibatkan isu politik, ras, agama,

kebudayaan atau sebagainya yang sensitif (Harzi Jamil, 2003). Penggunaan perkataan yang
sesuai dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak atau kumpulan tertentu perlulah
diberikan perhatian sewajarnya oleh guru agar soalan yang dibina tidak menunjukkan bias
tertentu seperti bias budaya, agama, kaum dan sebagainya. Ini akan menunjukkan guru
bersifat objektif dalam proses pembinaan item penilaiannya dan dapat mengelakkan
sebarang kontroversi yang mungkin timbul. Soalan yang akhir sekali paling sesuai adalah
melalui kaedah lisan. Guru sejarah juga boleh menggunakan kaedah penilaian lisan bagi
menguji pengetahuan dan kemahiran pelajar. Ujian lisan dapat digunakan bagi membuktikan
pencapaian pelajar dari segi mengemukakan pendapat dan mempertahankan hujah dan
menguji kebolehan daripada segi sebutan dan kelancaran bertutur (Mohd Salleh
Lebar,1996). Perkara yang dikemukakan perlu didengar dengan teliti, memproses apa yang
didengar dan menyampaikan maklumat, idea dan perasaan dengan secara verbal. Guru
boleh menggunakan gambar, petikan, rakaman perbualan, tayangan video sebagai agen
stimulus. Dalam melaksanakan ujian atau penilaian berbentuk lisan, perkara-perkara berikut
perlu diberikan pertimbangan iaitu tujuan ujian, perkara atau konstruksi yang hendak diukur,
menepati tajuk, penggunaan laras bahasa yang sesuai, soalan yang jelas dan fokus,
elakkan soalan yang memerlukan pelajar mengemukakan soalan semula dan sediakan
skema permarkahan.4.0 KesimpulanDaripada apa yang telah dibincangkan diatas, dapat
disimpulkan bahawa, proses penilaian yang dilakukan dalam bilik darjah harus melalui satu
tahap ke tahap yang lain. Dalam erti kata yang lainnya, proses secara tersusun dan
sistematik dititikberatkan agar penilaian yang dilakukan dapat mencapai objektifnya.
Kegagalan memahami proses ini akan mengakibatkan terganggunya kelancaran proses
pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh seseorang guru. Hal ini kerana
proses penilaian merupakan salah satu daripada kompenen penting semasa melaksanakan
proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Walau bagaimanapun,
keberkesanan proses ini juga berganung kepada kebijaksanaan guru menyesuaikan proses
yang berlaku dengan keadaan semasa pelajar dan bilik darjah. Guru mata pelajaran Sejarah
khususnya harus mempunyai kemahiran yang baik untuk melihat perhubungan antara
proses pengajaran, maklumat yang disampaikan, kaedah pengajaran, bahan yang
digunakan dengan tindak balas dan reaksi pelajar terhadap perkara-perkara tersebut.