Anda di halaman 1dari 5

II.

Pengertian Penulisan Akademik


Penulisan akademik adalah penulisan yang dijalankan secara ilmiah atau
saintifik.Ia mengkaji secara teratur dan teliti sesuatu persoalan. Ia berbeza dari
kaedah-kaedah lain seperti penulisan novel yang berasaskan khayalan atau
rekaan dan generalisasi daripada pengalaman. Kaedah saintifik adalah
berasaskan kepercayaan bahawa mana-mana fenomena mempunyai
keterangan-keterangan tertentu; iaitu tiap-tiap kesan mempunyai sebab. Kaedah
ini berasaskan idea bahawa kesimpulan hanya boleh diterima bila disokong oleh
bukti. Seorang penulis akademik harus mengumpulkan data secara objektif,
tidak berat sebelah dalam mengumpulkan data yang menyokong kebenaran
hipotesis dan mengabaikan yang tidak mengikut kehendak peribadi penyelidik.
Untuk membolehkan pengetahuan biasa menjadi pengetahuan ilmiah(sains), ia
harus melalui jalan yang panjang. Proses yang disebut sebagai kaedah ilmiah
dapat disusun seperti di bawah;
(a) Pengumpulan data dan fakta
(b) Pengamatan data dan fakta
(c) Pemilihan data dan fakta
(d) Penggolongan data dan fakta
(e) Penafsiran data dan fakta
(f) Kesimpulan umum
(g) Perumusan hipotesis
(h) Pengujian terhadap hipotesis melalui kajian dan percubaan empiris
(i) Penilaian; menerima atau menolak atau menambah, ataupun merubah
hipotesis
(j) Perumusan teori ilmu pengetahuan
(k) Perumusan dalil atau hukum ilmu pengetahuan
Rujuk Lampiran I untuk gambaran lebih jelas pengaplikasian kaedah saintifik
oleh ahli sains sosial.
III. Ciri-ciri Penulisan Akademik
Secara ringkas ciri-ciri penulisan akademik adalah seperti di bawah;
(a) Menyampaikan fakta secara sistematik atau mengemukakan hukum alam
kepada situasi yang spesifik.
(b) Penulisannya cermat, tepat, benar dan tidak membuat andaian.
(c) Tidak menulis untuk memenuhi kehendak golongan-golongan tertentu.
(d) Penulis hanya menulis untuk memaklumkan tentang sesuatu dan tidak
bersifat prejudis.
(e) Penulisan ilmiah bersifat sistematik. Setiap langkah direncanakan secara
sistematik, konseptual dan mengikut prosedur yang jelas.

(f) Penulisan ilmiah tidak bersifat emosional. Ia mengemukakan sebab-musabab


dan pengertian sesuatu masalah/persoalan. Kata-katanya mudah diidentifikasi.
(g) Setiap pandangan yang dikemukakan disokong dengan bukti.
(h) Menulis dengan jujur dan hanya mengemukakan kebenaran. Tidak ada
kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan keraguan.
(i) Penulisan ilmiah tidak bersifat argumentatif. Rumusan yang dibuat dalam
penulisan ilmiah akan membiarkan fakta berbicara sendiri.
(j) Penulisan ilmiah tidak bersifat persuasif. Jika penulisan berkenaan berjaya
mengubah pandangan pembaca, ia bukan melalui kaedah persuasif,
argumentasi, percanggahan pendapat dan protes, tetapi melalui fakta yang
berdiri/berbicara sendiri.
(k) Penulisan ilmiah tidak akan memutar-belitkan fakta kerana ia akan
merosakkan tujuan penulisan ilmiah. Ia juga tidak akan melebih-lebihkan sesuatu
kerana ia akan menunjukkan motif penulis yang mementingkan diri sendiri
(Keraf, 1981, hlm. 15-19).
IV. Esei Akademik Yang Baik
Esei akademik kebiasaannya akan mempunyai tiga bahagian yang jelas, iaitu
pengenalan esei, isi esei dan penutup.
(a) Pengenalan
Pengenalan akan bermula secara umum dan kemudian memokus kepada suatu
idea utama.Pengenalan penting untuk menarik minat pembaca supaya terus
membaca. Pengenalan harus mempunyai ciri-ciri menyeronokkan, menyampai
dan memberi maklumat yang baru serta merangsang naluri ingin tahu pembaca.
Sebaik-baiknya ayat yang digunakan biarlah mudah, tepat dan menarik.
Perenggan pengenalan juga perlulah ringkas dan jitu.
(b) Isi Esei
Isi esei harus mempunyai banyak fakta dan maklumat. Bahagian ini biasanya
lebih panjang daripada bahagian-bahagian lain. Maklumat-maklumat tersebut
boleh disertakan dengan penjelasan lanjut dalam bentuk statistik, kutipan,
anekdot, fakta, carta dan rajah. Ia bertujuan untuk menyokong idea dan
pendapat penulis. Di samping itu penjelasan ini juga menjadikan sesebuah esei
lebih menarik dan senang difahami dan ditulis dalam bentuk perenggan. Setiap
perenggan perlu ada tiga perkara penting iaitu kesatuan idea, urutan idea dan
penonjolan idea utama. Ketiga-tiga perkara ini perlu diberikan perhatian untuk
memastikan peralihan idea berjalan lancar dan memudahkan pembaca
mengikuti perkembangan idea tersebut.
Apabila mengemukakan sesuatu idea dalam sesuatu perenggan, adalah perlu
untuk menghubungkannya dengan penyambung ayat yang betul. Caranya
adalah dengan menggunakan kata-kata penghubung seperti sementara itu,
selepas itu, walau bagaimanapun, tetapi, sejajar dengan, dalam perkembangan
ini dan sebelum ini. Kata penghubung penting bagi memastikan kelancaran idea

dalam sesuatu esei dan memberikan maklumat yang sejelas-jelasnya kepada


pembaca.
Bilangan perenggan yang ingin digunakan oleh penulis bergantung kepada
jumlah isi yang ingin diketengahkan. Bahagian tubuh sebenarnya adalah
bahagian atau argumentasi hujah. Penulis perlu mengemukakan hujah yang
akan meyakinkan pembaca. Untuk menarik perhatian pembaca, penulis perlu
memperkayakan perbendaharaan kata dan menguasai gaya bahasa supaya
penulisan menjadi lebih kemas dan efektif. Antara semua ini, yang paling penting
ialah hujah-hujah disusun secara logik. Isi yang disusun juga mestilah mengikut
keutamaan.
(c) Penutup
Bahagian ini harus kembali kepada pengenalan dan membuat kenyataan umum.
Bahagian penutup juga sama penting dengan pengenalan. Penutup harus
menarik seperti pengenalan dan jumlah perkataan lebih kurang sama dengan
pengenalan.
Untuk gambaran jelas mengenai struktur esei yang jelas, rujuk Sulaiman Masri.
(1988). Penulisan dalam Bahasa Malaysia Baku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 56-63.
V. Perkara-perkara Asas Dalam
Membuat Penyelidikan Ilmiah
Membuat Penyelidikan Ilmiah
Penyelidikan ilmiah melibatkan dua kegiatan, pertama, proses penyelidikan dan
kedua, cadangan penyelidikan ( research proposal). Kedua-dua proses ini harus
dijalankan mengikut peraturan-peratauran tertentu untuk memastikan penulisan
terakhir adalah lengkap dan tidak mengalami kecacatan.
(a) Proses Penyelidikan
(i) Mendapatkan masalah atau tajuk
Penyelidikan bermula dengan masalah; iaitu penyelidik melihat wujudnya
masalah di bidang yang hendak dikaji.
(ii) Membentuk Hipotesis
Ia merupakan kesimpulan sementara bagi masalah yang hendak dikaji. Hipotesis
juga mestilah bersifat khusus dan bukan umum. Sebagai contoh, (a) wanita yang
bekerja lambat berkahwin; (b) pelajar rajin lulus dengan cemerlang dalam
peperiksaan dan (c) petani yang mempunyai bendang yang luas akan
menggunakan jentera lebih awal dari petani yang mempunyai bendang yang
sempit (Ahmad Mahdzan Ayob,1983, hlm.17). Hipotesis juga tidak harus
dipengaruhi oleh nilai, pertimbangan moral atau etika; yang merupakan
cadangan-cadangan yang mengatakan sesuatu itu baik atau buruk. Sebagai
contoh, (a) melewatkan perkahwinan di kalangan wanita yang bekerja adalah
tidak baik (nilaian) (b) petani yang tidak mengunakan jentera adalah ketinggalan
zaman (nilaian), (c) petani yang tidak menggunakan benih padi baru perlu
mengubah sikap (norma). Ketiga-tiga hipotesis ini akan menyukarkan untuk

mengukur kenyataan seperti tidak baik dalam contoh (a) ketinggalan zaman
dalam (b) dan (c) perlu mengubah sikap yang lebih merupakan pandangan
peribadi yang bersifat pertimbangan nilai. Menurut Ahmad Mahdzan Ayob
(1983), tidak ada ukuran yang objektif untuk menyukat buruk baik, ketinggalan
zaman dan keperluan mengubah sikap. Sesungguhnya suatu hipotiesis mestilah
boleh diuji dan untuk itu memerlukan data yang konkrit.
(iii) Memungut Data
Data atau sumber boleh dibahagikan kepada sumber pertama dan kedua.
Sumber pertama merujuk kepada data asli yang dihasilkan oleh penyelidik
sendiri sama ada melalui ujikaji, ujian kes atau kajiselidik dan juga penerbitan
rasmi. Sumber kedua berupa bahan-bahan bercetak yang dihasilkan oleh
individu atau institusi. Proses pengumpulan data berbeza-beza mengikut disiplin.
Kaedah pemungutan data yang biasa digunakan ialah kajian perpustakaan,
siasatan( survey), temuramah ( interview), soal-selidik ( questionares) dan
pemerhatian ikutserta ( participation observation).
(iv) Analisis Data
Analisis data adalah proses yang berbeza mengikut bidang kajian. Dalam bidang
ekonomi, data akan dianalisa dengan menggunakan ilmu statistik dan kaedah
saintifik. Manakala dalam bidang Sejarah/Pengajian Melayu, analisa lebih berupa
huraian idea secara sistem dengan menggunakan bukti, memapar atau
menerang supaya fakta-fakta dapat difahami. Analisa boleh diringkaskan seperti
dibawah;
- Pengenalan
- Idea pokok
- Sokongan fakta utama kepada idea pokok
- Huraian daripada idea pokok dengan sokongan fakta pecahan atau fakta kecil
termasuk misalan dan/atau rajah
- Rangkaian idea pokok
- Fakta-fakta besar menyokong kepada rangkaian idea pokok
Analisis yang baik tidak harus mempunyai idea yang meloncat. Setiap idea mesti
dikembangkan dengan baik dari satu perenggan ke perenggan yang lain. Pendek
kata analisis yang baik mesti mempunyai flow of ideas, thoughts and
descriptions yang baik. ( Metodologi dan Penyelidikan dalam Pengajian Melayu,
1990, hlm.55). Harus juga diketahui bila harus diletakkan petikan dan nota kaki
supaya maklumat yang disampaikan adalah jelas dan tidak mengganggu aliran
idea dalam para berkenaan. Petikan pula seeloknya digunakan untuk menyokong
fakta, tidak banyak dan terlalu panjang. Petikan juga biarlah yang sangat-sangat
perlu dan tepat.
Catatan kaki pula harus berperanan untuk menyokong huraian dan analisis.
Disamping itu untuk membantu pembaca membuat pembacaan lebih lanjut dan
untuk memberi perspektif lain tentang isu yang dibincangkan. Ini kerana jika
perspektif yang berbeza dibincang dalam teks ia akan menganggu aliran
pemikiran ( Metodologi dan Penyelidikan dalam Pengajian Melayu, 1990, hlm.56).

(b) Menyediakan Cadangan Penyelidikan


(i) Masalah Kajian
Dalam masalah kajian, penulis harus menyatakan pernyataan kajian. Pengkaji
harus menyatakan persoalan yang ingin dikaji dan persoalan ini pula boleh
dibahagikan kepada persoalan pokok dan sampingan.
(ii) Skop Kajian
Skop kajian harus menyatakan batas kajian hingga setakat mana dan kenapa.
Dalam bahagian ini juga boleh dinyatakan bab-bab yang dijangkakan. Bab-bab
ini seboleh mungkin mestilah berkait antara satu dengan yang lain. Bahagian ini
penting untuk pembaca atau penyelia mendapat gambaran menyeluruh
kerangka tesis pelajar.
(iii) Kepentingan Kajian
Dalam bahagian ini pengkaji harus menjelaskan keistimewaan kajian.
Kepentingan kajian ini boleh dilihat dari sudut akademik dan kepentingan kepada
negara. Dari segi akademik, pembuktian adalah dengan membuat literature
review bidang yang dikaji dan menilaikan sejauh manakah tajuk yang dipilih
belum diusahakan dan ia dapat mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan.
Kepentingan kepada negara adalah dengan merujuk kepada kajian-kajian
bersifat kontemporari. Sebagai contoh masalah keruntuhan moral di kalangan
pelajar, kemasukan pekerja tanpa izin dari Indonesia dan lain-lain. Kajian-kajian
seperti ini dapat membantu kerajaan mengenalpasti masalah golongan-golongan
ini dan merancang dasar-dasar yang bersesuaian untuk menangani isu tersebut
secara efektif.
(iv) Kaedah Kajian
Kaedah kajian kebiasaannya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama kajian
perpustakaan, kajian lapangan dan kajian menemudaga dan persamplen.
Kaedah-kaedah kajian ini berbeza mengikut bidang-bidang yang diusahakan.
Bagi pengkaji di bidang Sejarah, kajian mereka adalah bersifat library
research dengan merujuk sumber-sumber pertama dan kedua. Bagi pengkaji
dalam bidang Antropologi dan Sosiologi, pengkajiannya akan memerlukan
penyelidik ke lapangan dan bersama responden yang diselidiki. Bagi pengkaji
dari bidang ekonomi, perlu menguasai ilmu statistik, persamplen dan kaedah
menggunakan komputer untuk menganalisis data.
Rujuk Lampiran II untuk gambaran jelas suatu contoh cadangan penyelidikan

Anda mungkin juga menyukai