Anda di halaman 1dari 5

Impak kenaikan harga barangan dan kos hidup Rakyat Menderita

Isu berkaitan kenaikan harga barang-barang keperluan adalah isu sejagat yang
berkaitan langsung dengan kepentingan rakyat kebanyakkan dan menyentuh tentang
survival kehidupan seharian mereka. Sebagai pengguna yang berhadapan dengan
arus kenaikan harga barangan yang tak dapat dibendung, rakyat umum tanpa
mengira siapa mereka umpama mentimun dengan durian, digilis luka, menggilis pun
luka.
Lebih tragis apabila bebannya bukan setakat kerana harga barangan
keperluan melambung tinggi, malah lebih memburukkan keadaan apabila
bekalannya juga sukar didapati di pasaran. Tanpa bermaksud untuk mengagungkan
negara jiran itu tetapi sekadar menjawab hujah pemimpin Umno/BN yang gemar
menjadikan perbandingan kos hidup negara di seberang Tambak Johor itu sebagai
antara jawapan untuk menutup mulut rakyat setiap kali kenaikan harga barang
berlaku di samping alasan lapuk, rasionalisasi subsidi.
Memanglah secara bandingannya, harga barangan di Malaysia masih murah
dibandingkan dengan Singapura, tetapi perlu dibandingkan juga jurang perbezaan
pendapatan bulanan rakyat negara kita berbanding dengan rakyat negara jiran di
selatan kita dengan contoh, gaji seorang guru secara puratanya mencecah 6,000
SGD (RM24,000) sebulan! Gaji pokok seorang kerani biasa di Singapura mencecah
1,000 SGD (RM2,400) sebulan belum lagi dicampur elaunnya, berbanding gaji pokok
seorang kerani biasa di Malaysia sekitar RM900 sebulan. Dicampur pelbagai elaun,
dapatlah sekitar RM1,400 sebulan.
Apatah lagi kalau dikemukakan hujah bahawa negara kita adalah negara
pengeluar yang kaya dengan pelbagai hasil bumi dan sumber asli. Ironinya,
keperluan yang sering tiada di pasaran atau harganya sentiasa dalam trend
meningkat adalah produk keluaran bumi ibu pertiwi. Bagaikan ibarat Datuk, nenek
kita pohon durian dan rambutan keliling rumah, tetapi anak cucu nak makan pun
susah, kalau nak, terpaksalah kena bayar dengan harga mahal. Pelik bukan?
Keterlaluankah perumpamaan ini? Tentu sekali tidak! Perhatikan pohonpohon kelapa sawit yang menghijau subur bukan hanya setakat di ladang-ladang
besar, malah sekarang ini telah memenuhi segenap ceruk kampung tetapi minyak
masak sawit sukar didapati dipasaran, yang ada hanyalah minyak jagung dan
minyak bunga matahari dengan harga yang berlipat ganda. Aneh sekali.
Impak kenaikan harga barangan dan kos hidup
Purata kenaikan gaji rakyat Malaysia 2.5% setahun tetapi kenaikan harga barangbarang keperluan adalah sebanyak 8.5% setahun. Kenaikan harga barangan
keperluan yang sangat tidak seimbang dengan peningkatan pendapatan rakyat
tentunya membawa kesan negatif yang berpanjangan kepada sosio-ekonomi rakyat.
Natijahnya, bila barang naik harga, jatuhlah air mata rakyat
Perhatikan senario seorang ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau
sederhana, mereka perlu mengambil kira paling minima setiap bulan keperluan wajib
antaranya, bayaran sewa atau ansuran bulanan rumah kediaman, peruntukan

ansuran kenderaan, duit minyak dan servis kenderaan, belanja keperluan dapur
serta makan minum, duit perbelanjaan sekolah anak-anak, bil lektrik dan air juga gas
memasak, pakaian, kos perubatan dan kesihatan, bayaran tol untuk mereka yang
berkenaan, saman trafik dan pelbagai lagi yang tentunya memberikan tekanan emosi
yang mampu menggugat keharmonian kehidupan. Apatah lagi kalau hidup di bandar
dengan setiap keperluan perlu dibeli.
Situasi yang sangat biasa berlaku sekarang lantaran disebabkan desakan
hidup, bagaimana seorang bapa terpaksa keluar meninggalkan rumah diawal pagi
untuk mencari rezeki ketika anak-anak belum lagi terjaga dari tidur dan pulangnya
pula menjelang lewat malam apabila anak-anak telah lena dibuai mimpi.
Ketiadaan masa berkualiti bersama keluarga akan melahirkan anak-anak
yang terabai, ketandusan kasih sayang, rapuhnya institusi keluarga sehingga
akhirnya mewujudkan generasi anak-anak yang sarat dengan gejala sosial. Apatah
lagi untuk meluangkan masa dengan masyarakat dan persekitaran.
Tekanan hidup yang dibantu oleh faktor nipisnya iman di dada juga boleh
mengundang pecah amanah, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi perlakuan
yang menyalahi syariat dan undang-undang.
Bermakna, peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga
barangan, jangan sesekali hanya dipandang dari sudut berapa sen kenaikan harga
gula, petrol, gas memasak, minyak masak, tarif lektrik dan sebagainya, tetapi
impaknya perlu diteliti secara menyeluruh dan saksama kepada kehidupan seorang
insan sebagai individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Di negara maju yang lain, bila ekonomi negara bermasalah, kerajaan akan
potong perbelanjaan yang tak diperlukan, bukannya menjadikan rakyat sebagai
mangsa. Kita yang belum maju tetapi bercita-cita untuk maju pula sebaliknya, bila
negara tak ada duit, rakyat yang ditekan dengan pelbagai alasan lapuk sedangkan
pemimpin bermewahan. Rakyat pula dikelirukan dengan tiada lagi istilah kenaikan
harga barangan itu dan ini, yang ada hanyalah pelarasan subsidi!
Bagaimana kenaikan harga barangan boleh berlaku?
Pengeluaran yang banyak tetapi tidak dapat menampung permintaan
pengguna. Negara kita kaya dengan kesuburan tanah dan sumber asli, tetapi
kerajaan gagal memanfaatkannya secara optimun, baik dalam sektor pertanian
mahu pun pengeluaran sehingga keperluan rakyat gagal dipenuhi.
Antaranya, krisis ketiadaan bekalan minyak masak telah menjadi fenomena
rutin yang telahberulang entah untuk kali yang ke berapa walaupun Malaysia
memegang status sebagai negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, tentunya
ketiadaan bekalan minyak masak ini menimbulkan pelbagai persoalan. Apakah pihak
pengeluar, pengilang, pemborong atau pengedar yang menjadi puncanya atau
siapakah yang menjadi dalang dengan bertindak sewenangnya demi keuntungan
mereka tanpa sebarang tindakan berkesan dari agensi penguatkuasaan berkenaan
sehingga rakyat terpaksa menanggung kesukaran?

Bekalan gula juga pernah mengalami nasib sama sehingga Idris Jusoh
pernah menjual gula dihadapan Wisma Darul Iman ketika menduduki kerusi MB
Terengganu dulu. Dalam tempoh kurang setahun, kerajaan telah menikkan harga
gula sebanyak 3 kali. Tanggal 16 Julai 2010, Kerajaan UMNO-BN mengumumkan
kenaikan harga gula sebanyak 25 sen/kilo. Pada 4 Disember 2010, Kerajaan
mengumumkan lagi kenaikan harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Kira- kira 6 bulan
kemudian pada 9 Mei 2011, diumumkan sekali lagi kenaikan harga gula sebanyak 20
sen/kilo. Semuanya atas alasan rasionalisasi subsidi.
Umum mengetahui bahawa Malaysia antara pengeluar gula utama dunia.
Pengeluaran gula di Malaysia dikuasai 4 kilang iaitu; Malayan Sugar Manufacturing
Co. Bhd atau dikenali sebagai Gula Prai, Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula
Padang Terap Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd.
Kalau bukan pengeluar utama gula, manakan mungkin Raja Gula Malaysia,
Robert Kuok Hock Nien boleh menyandang gelaran manusia terkaya di atas muka
bumi Malaysia dan di Asia Tenggara untuk beberapa tahun berturut-turut. Pemimpin
negara jangan berlagak seperti Pak Pandir dengan mengeluarkan kenyataan, bila
gula naik harga, ianya bagus untuk gaya hidup sihat rakyat Malaysia dan
menurunkan kadar diabetes.
Kenaikan harga minyak dan kesannya terhadap kenaikan harga barangan
Kenaikan harga minyak memberi impak kepada keseluruhan rantaian
pengeluaran bermula dari ladang atau kilang hinggalah sampai ke tangan pengguna.
Tindakan peniaga untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sehingga
membebankan pengguna akan berlaku, sekalipun berulang kali kerajaan
memberikan jaminan bahawa, walaupun harga minyak dinaikkan, tidak akan berlaku
kenaikan harga barangan keperluan.
Minyak dan gas asli adalah sandaran pergantungan kos semasa dunia. Apa
sahaja yang berlaku kepada pasaran dan pengeluaran sumber asli ini akan memberi
kesan kepada seluruh negara dan masyarakat dunia. Inilah yang disebut magnet
tarikan ekonomi berasaskan petroleum. Kenaikannya akan menyumbang kepada
kenaikan kos pengeluaran, pengangkutan serta pemasaran baik di pihak pengilang,
pertanian, pemborong, peniaga-peniaga dan begitulah seterusnya apabila barangan
sampai ke tangan pengguna.
Lantaran itulah, penafian pihak kerajaan terhadap kenaikan harga barangan
pada setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak adalah suatu penafian yang tidak
bersandarkan kepada teori dan kaedah ekonomi.
Pergantungan kepada sumber import
Pergantungan keterlaluan negara kita kepada sumber bahan-bahan makanan
yang diimport. Lantas, sebarang bencana alam yang berlaku kepada negara lain
akan turut memberi kesan kepada negara kita. Banjir di Thailand tetapi orang kita
juga tumpang susah. Bukan setakat menyebabkan harga beras meningkat, malah
berlaku juga kenaikan harga sayur-sayuran, ayam dan ikan. Semua ini disebabkan
kita masih bergantung kepada sumber makanan dari luar khususya negara jiran.

Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import


makanan selama ini menghadapi bencana serentak- banjir, ribut, kemarau panjang,
gempa bumi atau terlibat dalam kancah peperangan. Krisis makanan tentulah akan
memuncak dan mampukah bekalan yang dihasilkan di dalam negara untuk menyuap
mulut rakyat kita seramai 28.6 juta dan pendatang asing seramai 2.3 juta?
Ahli hikmat ada berkata, ketika saat ketiadaan bekalan makanan, mereka
yang mempunyai stok makanan adalah orang yang paling kaya. Lebih kaya dari
mereka yang mempunyai emas berbongkah-bongkah. Lihatlah dalam sejarah,
bagaimana pengeluaran sumber makanan Negara Mesir yang dirancang dan
dilaksanakan dengan begitu bijak oleh Nabi Yusof a.s sehingga kemarau panjang
selama 7 tahun tidak menyebabkan rakyatnya kebuluran malah mampu untuk
membantu menyuap mulut rakyat negara-negara berdekatan. Beginilah Islam
mengambil berat dengan keperluan asasi rakyat.
Di manakah silapnya sistem pertanian kita. Dengan keluasan dan kesuburan
muka bumi anugerah Allah, berbilion ringgit peruntukan tahunan, sungai-sungai yang
membelah daratan membentuk dataran yang subur, rakyat yang sedia membanting
tulang, tetapi pertanian kita belum lagi mencapai tahap sara diri apatah lagi untuk
diimport. Dengan kata lain, kerajaan telah gagal! Hujahnya, Malaysia telah
membelanjakan sejumlah RM13 bilion setiap tahun untuk mengimport keperluan
makanan seperti sayur, ikan, daging, kentang, bawang serta buah-buahan. Jumlah
import beras dari Thailand sahaja mencecah 307,000 tan metrik setahun.
Ada isu besar yang perlu diteliti. Di Terengganu contohnya, masih banyak
tanah sawah terbiar tanpa dapat diusahakan lantaran masalah infrastruktur seperti
pengairan. Ada projek-projek yang dikira boleh menghasilkan sumber makanan
negeri seperti projek ternakan kambing kaprima Telaga Papan Setiu, projek ternakan
ikan dalam sangkar Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Projek tanaman kelapa
pandan di Rhu Tapai semuanya gagal walaupun ratusan juta telah dibelanjakan.
Wang peruntukan lesap tapi di mana kambing, ikan dan kelapa pandan? Gahnya
bunyi genderang projek dengan sasaran hasilnya akan dieksport, akhirnya
melopong! Belum disebut lagi projek tanaman strawberry yang namanya pun dah
dilupakan orang. Terkini projek udang Setiu. Sasarannya juga untuk dieksport
sebagaimana Mat Said pernah bercita-cita untuk mengeksport kelapa pandan dari
Rhu Tapai ke Jepun!
Kelemahan penguatkuasaan dan urus tadbir
Kelemahan penguatkuasaan masih belum berjaya diperbaiki sepenuhnya sehingga
berlakunya monopoli dan memberi ruang kepada peniaga menaikkan harga
sewenangnya. Tindakan menyorokkan barangan keperluan bagi tujuan menaikkan
harga oleh para peniaga memburukkan lagi keadaan.
Persoalan kuota bekalan juga sering dibangkitkan. Sering terdengar rungutan
yang menyatakan punca kekurangan bekalan barangan di pasaran seperti minyak
masak adalah disebabkan pembekal menggunakan alasan pengurangan bekalan,
disebabkan kuota baru yang ditetapkan kerajaan. Kuota yang digunakan dalam kes
minyak masak pula telah berusia hampir empat tahun. Sekiranya itulah antara
sebabnya, maka tentu sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa kuota tersebut

adalah tidak relevan lagi, ia perlu ditambah. Mana mungkin kuota yang diberikan
sejak empat tahun lepas boleh sama seperti sekarang dengan pertambahan
bilangan pasar raya besar dan kedai runcit serta bilangan pengguna.
Kerajaan juga perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian
bahan kawalan itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya
rakyat tempatan membeli dan menikmati subsidi yang diberi kerajaan.
Kita juga sukar untuk mempercayai bahawa alasan penggunaan dan
pembelian oleh rakyat negara jiran menjadi punca kekurangan malah ketiadaan
bekalan untuk rakyat tempatan. Kalau sungguh bagai dikata, di mana keberkesanan
agensi penguatkuasaan kita?
Antaranya, alasan pembelian minyak masak keluaran Malaysia oleh rakyat
Selatan Thai didakwa menjadi punca kekurangan bekalan di negara ini. Sebenarnya
masyarakat muslim Selatan Thai kebanyakkan mereka telah menggunakan minyak
masak keluaran Malaysia sejak zaman berzaman lagi lantaran mereka sebenarnya
meragui status kesucian minyak masak keluaran negara mereka sendiri. Apatah lagi
bila kekurangan bekalan dilaporkan turut berlaku di seluruh negara dan bukan hanya
melibatkan negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran.