Anda di halaman 1dari 5

Hadiah Untuk Cikgu

Aku memulakan sesi kelas pada pagi itu dengan bertaaruf. “Bapa kerja apa?”
“Bapa menoreh getah, cikgu.” “Mak?” “Mak jaga adik.” “Berapa orang semua?”
Syakir mengangkat jari dan menunjukkan lima. “Kerja apa?” “Kak kerja kantin
sekolah. Abang minggu lepas jatuh motor kat Jabor. Orang kampung cakap abang
Mat Rempit.” Penerangan dari Syakir membuatkan Tingkatan Dua Imam Hanafi itu
huru-hara dengan gelak ketawa. “Kamu pulak siapa nama?” tanyaku semata-mata
mahu menarik perhatian agar keadaan kelas kembali reda. “Nama saya Tsaqif. Mak
memotong getah. Ayah kerja jual ikan. Kekadang mak menolong ayah.” “Siapa
masak nasi?” “Nenek.” Sekali lagi kelas kembali riuh dengan gelak ketawa. Tsaqif
tertunduk lalu terduduk. Sebagai siswazah yang baru menamatkan pengajian di
Universiti Islam Antarabangsa, inilah pertama kali aku ditugaskan jauh di
pedalaman Terengganu. Sekolah ini menjadi saksi kesinambungan untukku
meneruskan profesion yang dianggap mencabar.
Sesi perkenalan hari tersebut telah pun berakhir. Aku mahu memulakan tugas
seperti biasa. “Assalamualaikum!” Terdengar satu suara memberi salam diikuti
ketukan pintu. Pantas aku dan penghuni kelas menoleh. Kelihatan seorang budak
lelaki dalam keadaan comot sambil di bahunya tergalas beg yang using. Dia
mengangguk lantas segera berlari ke meja. Dia cuba menyembunyikan beg plastik
yang berada di tangan. “Kamu siapa nama?Kenapa lewat?” pertanyaanku
membuatkan kelas sunyi sepi. “Saya, Anas.” Jawabnya ketakutan. “Kamu tahu tak
peraturan sekolah ini masuk pukul berapa?” “Tahu, cikgu…” jawab Anas sambil
tertunduk. “Habis kenapa kamu lewat. Apa yang sedang kamu sorokkan?” tanyaku
sambil mendekati meja Anas. “Tak…tak ada apa-apa,cikgu…” “Kalau tak ada apa-
apa, masakan kamu takut. Cepat keluarkan apa yang ada dalam meja kamu..” aku
memberi arahan pertama.
“Nasi lemak nenek dia bekalkan kot?” jawab Azrul selaku pelajar paling nakal di
kelas tersebut. Keadaan kelas kembali riuh. “Kamu dah la datang lewat. Bila cikgu
bertanya, kamu tak nak jawab. Bila cikgu beri arahan kamu membatu. Cikgu takkan
mulakan kelas selagi kamu tak tunjukkan apa yang kamu bawa.” “Woi, bukak le.
Aku nak tengok gak. Aku lapar ni.” sindir Ammar sambil tergelak. “Dia memang
macam tu, cikgu. Selalu datang lewat ke sekolah. Entah apalah dalam plastik tu.
Rampas je cikgu.” Laju saja mulut Zikri Izzat memberi arahan. “Sekali lagi cikgu
bertanya, apa yang ada dalam meja kamu?” aku cuba berlembut. “Cikgu, maafkan
saya. Saya lewat tadi kerana singgah di tepi paya belakang sekolah kita ni.” “Kamu
buat apa kat sana?” “Saya kutip pucuk paku, cikgu.” “Hahaha…” kelas sekali lagi
bising. “Kamu kutip pucuk paku? Jadi dalam plastik ni adalah…” “Ya, cikgu. Ada
pucuk paku” Anas berterus-terang sambil mengeluarkan plastik yang dimaksudkan.
“Hahaha! Kelakarla kamu ni.” Aku tergelak besar dan juga terkejut. Tidak
menyangka di saat pelajar membawa buku dan alat tulis ke sekolah tetapi pelajar
ini membawa pucuk paku. Sesuatu yang melucukan. Kisah Anas membawa pucuk
paku ke sekolah diceritakan olehku kepada guru-guru. “Tu perkara biasalah. Anas
mengutip pucuk paku sebaik sahaja datang ke sekolah. Maklumlah..dia orang
susah. Ayah dah meninggal, adik-beradik pula ramai. Ibunya hanya menoreh getah
untuk menampung kehidupan mereka anak-beranak. Pucuk paku tu boleh dibuat
lauk makan tengahari dan malam.” Cikgu Ain menerangkan. Aku terdiam…
Esoknya..”Anas!Mari sini sekejap!” panggilku sebaik sahaja masuk ke kelas. Anas
mendekati serba salah. “Hari ni awak tak kutip pucuk paku ke?” Aku bertanya
ramah. “Err..saya…” Anas serba salah untuk menjawabnya. “Ibu awak masak apa
pucuk paku semalam?Mesti sedap kan. Lain kali jemputla cikgu makan di rumah
awak.” Aku tersenyum.
“Cikgu suka pucuk paku ke? Semalam mak masak lemak pucuk paku.” Bulat
mata Anas menerangkan. “Suka juga. Tapi cikgu suka kerabu pucuk paku.” Spontan
Anas menyambung. “Oh!Begitu. Hujung minggu ni apa kata cikgu datang ke rumah
saya. Tapi rumah saya buruk..tak ada kerusi. Cikgu kena duduk atas lantai nanti.
Cikgu tak kisah ke?” Aku menggelengkan kepala. “Cikgu tak kisah. Asalkan Anas
janji kutip pucuk paku banyak-banyak dan tolong ibu Anas masak untuk cikgu
nanti,boleh?” Anas menunjukkan kegembiraan yang amat. Dia melompat-lompat.
Dan sepanjang minggu itu, Anas menunjukkan perlakuan yang luar biasa. Dia
seolah-olah tidak sabar menunggu hari minggu. Mungkin hari minggu nanti,
tercapai hajatnya membawa guru dari bandar Kemaman ini menjejakkan kaki ke
teratak keluarganya yang serba kekurangan. Aku tidak kisah semua itu. Tapi aku
kagum dengan semangatnya untuk membantu ibunya dalam mencari sumber
makanan untuk keluarganya.
Pagi minggu yang dijanjikan, aku keluar dari rumah. Anas sudah ada dalam
ingatanku. Aku terus melangkahkan kaki. Menurut Anas, sebaik saja berjalan di tepi
paya, belok ke kanan dan akan berjumpa ladang getah. Terdapat pokok sena
rendang dan ikut batas tanah. Akan berjumpa satu jalan raya yang tidak berturap.
Tidak jauh dari jalan raya tersebut ada sebuah rumah buruk. Itulah rumah Anas.
Tiba di jalan raya itu aku dapati hampir lima belas orang yang sedang
mengerumuni sesuatu. Aku merasa tidak sedap hati. “Ini Cikgu Wan ke?” Tanya
seorang lelaki tua. “Ya, saya. Kenapa pakcik?” “Anas, anak mak!” jerit seorang
perempuan tua seolah-olah di sampuk hantu. Mataku terus saja tertancap pada
suara tersebut. Berderau darahku tatkala melihat perempuan tua tersebut sedang
memangku seorang budak lelaki yang berlumuran darah. Di tangan budak tersebut
terdapat plastik yang berisi pucuk paku. Dan budak lelaki itu adalah… “Ya
Allah..Anas!!” Aku menerpa ke arah Anas dan meraung sekuat hati.
Aku sedar, tubuh itu kini telah pun menjadi arwah. Murid kesayanganku telah
meninggal dunia. “Sabarlah Makcik Kiah…” beberapa penduduk kampung cuba
menenangkan Makcik Kiah. Kini aku tahu bahawa Makcik Kiah adalah emak Anas.
“Makcik, saya Cikgu Wan…” “Cikgu, Anas…Anas sangat sayangkan cikgu. Anas
cakap, cikgu suka makan pucuk paku. Dia nak masak sendiri pucuk paku ni untuk
cikgu..Tapi, dia dah tak ada. Dia dilanggar lori yang membawa getah sewaktu
berlari melintas jalan tadi..” kata Makcik Kiah dengan suara yang tidak dapat
ditahan lagi. “Makcik, kami jumpa ini..” seorang pemuda menunjukkan sesuatu. Aku
menoleh. Melihat sepucuk surat milik Anas. Dengan tangan yang terketar-ketar
Makcik Kiah memberikan surat tersebut kepadaku. Di sampul surat tersebut tertulis
namaku dengan jelas. Sebak hatiku melihat sekeping kad dan sebutir kerongsang
berwarna putih yang cantik. Pada kad tersebut tertulis..
“ Kepada cikgu yang disayangi
Anas di sini menyusun sepuluh jari
Untuk meminta maaf pada cikgu
Adakalanya semasa cikgu mengajar
Anas bermain
Maafkanlah
Kerongsang ini adalah hadiah
Istimewa untuk cikgu sempena Hari Guru esok
Semoga cikgu diberkati
TERIMA KASIH CIKGU…”
Serentak dengan itu aku menangis terisak-isak. “Ya Allah..anak muridku telah
terkorban keranaku. Mulianya insan yang bernama Anas. Maafkan cikgu,
Anas..Kehilanganmu ibarat sebiji permata yang sukar dicari ganti..” Petang itu…
“Cikgu tak nak balik lagi?” Tanya Syakir mengejutkan lamunan. “Kamu baliklah
dulu. Biarkan cikgu di sini.” “Kami balik dulu, cikgu.” Pinta Tsaqif. Kawan-kawan
sekelas arwah mengucapkan selamat tinggal lalu melangkah meninggalkan
perkarangan kubur. Aku terus menyapu air mata yang jatuh ke pipi. Aku kini betul-
betul di depan kubur Anas. Segala perasaan menjadi satu. “Anas, seolah baru
semalam kita berkenalan. Kini kamu telah pergi buat selama-lamanya. Kisah pucuk
paku masih lagi bermain di fikiran. Kerongsang yang kamu beri akan cikgu jaga
dengan sebaiknya. Cikgu terharu mengenang ini semua. Apapun cikgu bangga
memilih profesion ini. Apatah lagi memiliki murid sepertimu. Alangkah mulianya
hatimu Anas…” rintihku sayu. “Semoga rohmu dicucuri rahmat. Ya Allah,
tempatkan anak muridku ini dalam golongan orang yang soleh.” Doaku sebelum
meninggalkan tanah kubur yang masih merah dan sunyi sepi itu. Selamat tinggal
Anas…
NUKILAN RASA
WAN KHADIJAH BINTI WAN IBRAHIM
G 0919128
SECTION 1 (DPLI JULAI 2009)

IDEA UTAMA
 Kesabaran dalam mendidik anak bangsa terutamanya di kawasan
pedalaman.
 Sensitif dan mengambil berat situasi pelajar dalam bidang akademik dan
bukan akademik.
 Menunaikan tanggungjawab dengan gigih dan sepenuh hati.

KERANGKA PERBINCANGAN
 Kesediaan seorang guru untuk mengajar di pedalaman dan luar bandar.
 Keperluan untuk menyelidik sebelum menghukum.
 Pengorbanan seorang guru dan seorang pelajar.