Anda di halaman 1dari 12

Penggunaan Model Bukit Bundar Dalam Membantu Murid Tahun 2 Memahami

Kemahiran Bundar Kepada Puluh Terdekat

Nurr Fatehana binti Aduka1 dan Fazidah binti Jonid2


1fatehana_aduka@yahoo.com
2fazidah@iptho.edu.my

ABSTRAK
Kajian tindakan ini bertujuan untuk mengatasi masalah dua orang murid tahun 2 di
sebuah sekolah di daerah Ledang dalam kemahiran membundar nombor bulat kepada
puluh terdekat menggunakan model Bukit Bundar. Beberapa kesalahan murid
dikenalpasti dan rata-rata daripada mereka masih tidak mahir kemahiran bundar. Data
diperoleh melalui pemerhatian, temu bual, analisis markah ujian pra dan ujian pasca,
dan rekod kemajuan murid. Selepas sesi rawatan ini dijalankan, ternyata penggunaan
model Bukit Bundar ini berjaya meningkatkan kefahaman dan kemahiran murid dalam
pembundaran nombor bulat kepada puluh terdekat. Mereka sangat berminat dengan
Bukit Bundar sehingga berjaya untuk berimaginasi dan melukis Bukit Bundar pada
kertas sebagai model gantian. Kedua-dua orang subjek kajian menunjukkan peningkatan
dalam skor markah untuk ujian pasca iaitu masing-masing mendapat markah 90% dan
100%. Kaedah pemerhatian dan temu bual digunakan untuk mengumpul data bagi tujuan
melihat sama ada penggunaan model Bukit Bundar membantu mereka menguasai
kemahiran membundar ataupun tidak. Secara ringkasnya, model Bukit Bundar ini
terbukti berkesan dan berjaya membantu murid dalam menjawab soalan bundar dengan
yakin dan betul. Penggunaan model Bukit Bundar ini dapat menambah baik amalan
kendiri pengkaji dalam mengajar konsep bundar.
Kata kunci : kemahiran membundar, puluh terdekat, model Bukit Bundar

1.0 PENGENALAN

1.1

Refleksi pengalaman mengajar

Semasa menjalani praktikum fasa 3 di sebuah sekolah rendah di daerah Ledang, saya
telah mengajar mata pelajaran Matematik Tahun Dua. Melalui pemerhatian yang dibuat
sepanjang mengajar konsep membundar dalam topik nombor bulat terdapat beberapa
orang murid yang lemah dan tidak dapat menyatakan konsep membundar dengan betul.
Ada beberapa orang dalam kalangan mereka yang masih tidak mengenal nilai tempat
sesuatu nombor. Pengetahuan sedia ada murid-murid mengenai nilai tempat sangat
penting kerana mempunyai perkaitan dengan kemahiran bundar.
Bagi mengatasi masalah ini, saya menggunakan model Bukit Bundar untuk membantu
subjek kajian memahami kemahiran bundar. Saya dapati penggunaan model sebagai
bahan bantu mengajar yang maujud amat penting bagi memudahkan mereka memahami

kemahiran bundar serta menjadikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik


kepada murid-murid. Model tersebut sangat membantu murid-murid yang lemah
terutamanya untuk lebih bermotivasi belajar kemahiran ini di samping dapat membina
imaginasi mereka dengan melukis Bukit Bundar ataupun mengingat syarat-syarat
pembundaran dengan membayangkan model Bukit Bundar supaya tidak terus-terusan
bergantung dengan model Bukit Bundar yang maujud untuk menjawab soalan
pembundaran.
1.2
Fokus kajian
Kajian tindakan ini memfokuskan kepada pencarian kaedah yang bersesuaian untuk
diperkenalkan dan diamalkan oleh murid tahun 2 supaya mereka dapat menguasai
kemahiran membundar seterusnya dapat meningkatkan pencapaian mereka yang
melibatkan kemahiran bundar.
Semasa mengajar konsep bundar, beberapa kesalahan yang dilakukan oleh subjek kajian
yang dapat dikenalpasti seperti gambar jadual 1 di bawah.
Jadual 1: Contoh-contoh kesilapan yang dilakukan oleh murid
Kesalahan 1

Subjek kajian tidak menukarkan nombor yang terakhir


kepada 0

b
Kesalahan 2

Subjek kajian faham jika nombor di rumah sa lebih daripada


4, perlu tambah 1 tetapi mereka keliru mahu tambah 1 di
rumah sa atau puluh

Melihat kepada beberapa kesalahan yang dilakukan oleh subjek kajian, saya mendapat
idea untuk membina satu model yang dapat bantu subjek kajian faham kemahiran bundar.
Saya merasakan penggunaan model lebih bermakna kerana subjek kajian dapat lihat
dengan jelas kerana saiznya lebih besar dan mereka dapat memegang dan menggunakan
alat tersebut kerana ia dalam bentuk konkrit.

Rajah 1 : Model Bukit Bundar

1.3

Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan untuk melihat keberkesanan penggunaan model Bukit Bundar
dalam membantu murid tahun 2 memahami konsep bundar kepada puluh terdekat.
1.4

Persoalan Kajian
a. Adakah penggunaan model Bukit Bundar dapat membantu murid menguasai
kemahiran membundar nombor bulat kepada puluh terdekat?
b. Bagaimanakah penggunaan model Bukit Bundar dapat membantu murid
menguasai kemahiran membundar nombor bulat kepada puluh terdekat?

2.0

METODOLOGI

2.1
Kumpulan Sasaran Kajian
Subjek kajian terdiri daripada seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan tahun
2. Keutamaan subjek kajian adalah daripada golongan murid yang lemah dalam
melakukan pembundaran nombor bulat kepada puluh yang terdekat. Ciri utama subjek
kajian yang dipilih adalah daripada golongan murid yang yang mendapat markah kurang
daripada 5 untuk ujian diagnostik yang dijalankan.
2.2

Perancangan dan Pelaksanaan Tindakan

2.2.1

Perancangan Tindakan

Jadual 2 : Aktiviti yang Dirancang dan Dilaksanakan


Bil
1
2
3
4
5

Aktiviti
Membina ujian diagnostik
Mentadbir ujian diagnostik
Menganalisis ujian diagnostik
Mengenalpasti murid yang bermasalah
Membina ujian pra dan pasca

Tarikh
7 April 2014
16 april 2014
17 April 2014
20 April 2014
10 Julai 2014

6
7
8
9

Menyediakan peralatan untuk bina bahan bantu


mengajar
Melaksanakan ujian pra
Menganalisis keputusan ujian pra
Menjalankan sesi rawatan (2 sesi)

10
11

Melaksanakan ujian pasca


Menganalisis keputusan ujian pasca

2.2.2

11 Julai 17 Julai 2014


(1 minggu)
16 Julai 2014
17 Julai 2014
22 Julai 28 Julai 2014
(1 minggu)
5 Ogos 2014
6 Ogos 2014

Pelaksanaan Tindakan

Saya telah menjalankan ujian pra ke atas subjek kajian untuk mengetahui tahap
penguasaan mereka dalam kemahiran membundar. Kedua-dua subjek kajian memperoleh
markah yang sangat rendah. Salah seorang daripada mereka tidak dapat menjawab semua
soalan. Saya kenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan subjek kajian untuk
memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Saya membuat sesi rawatan sebanyak dua kali. Setiap sesi rawatan selama 1 jam iaitu
pada dua waktu terakhir sebelum waktu tamat sesi persekolahan setelah meminta izin
daripada guru untuk menggunakan waktu tasmik. Sesi rawatan dibuat berbantukan model
Bukit Bundar. Model Bukit Bundar dibuat menggunakan kepingan zink yang
dibengkokkan menyerupai bukit dan dipaku di atas permukaan kayu rata supaya model
tersebut dapat didirikan. Di atas zink yang sudah dibengkokkan itu disusun nombor 1
hingga 9. Terdapat 2 gol yang berwarna merah. Tujuannya apabila bola ping pong
dilepaskan pada kedudukan nombor seperti yang digariskan, murid dapat lihat ke mana
bola ping pong jatuh dan lihat sama ada nombor yang dibulatkan perlu tambah 1 atau
dikekalkan nilainya. Saya mendemonstrasi terlebih dahulu cara menggunakan Bukit
Bundar kemudian memberi peluang kepada subjek kajian mencubanya sendiri.
Jadual 3 : Sesi rawatan 1
Langkah 1 Pengenalan kemahiran
Langkah 2 Latih tubi
membundar dan pengajaran
menggunakan model Bukit Bundar
i. Saya memperkenalkan nilai tempat
i.
Subjek kajian diberikan latih tubi
sesuatu nombor
soalan pembundaran
ii. Subjek kajian diajar untuk
ii.
Saya bantu subjek kajian dalam
membulatkan
nombor
untuk
beberapa aspek kecil seperti
dibundar dan garis di nombor
kekeliruan
membulat
dan
sebelah kanannya. Sebagai contoh
menggariskan nombor yang perlu
:
dibundar

386

Letak bola ping pong pada


kedudukan nombor seperti yang
digariskan dan lihat arah rumah

mana bola masuk apabila bola ping


pong dilepaskan
Subjek kajian dapat lihat :
Jika nombor digaris 0, 1, 2, 3, 4
nombor yang dibulat dikekalkan
Jika nombor digaris 5, 6, 7, 8, 9
nombor yang dibulat ditambah 1

Jadual 4 : Sesi rawatan 2


Langkah 1 Pengajaran kemahiran Langkah 2 Kuiz bundar
pembundaran menggunakan model Bukit
Bundar
i. Pengajaran seperti dalam sesi
i.
Saya menyediakan 2 jenis kad
rawatan
1
semula
untuk
imbasan warna kuning dan oren
mengukuhkan ingatan murid dan
yang setiap satunya mempunyai 10
untuk melihat tahap penguasaan
keping
mereka

Langkah 3 Melukis model Bukit Bundar Langkah 4 Jawab soalan bundar tanpa
menggunakan sebarang bahan bantu
mengajar
i. Saya beri subjek kajian latih tubi
i.
Guru beri latih tubi kepada murid
dan kertas kosong untuk mereka
dan minta mereka siapkan dalam
lukis semula Bukit Bundar
tempoh masa ditetapkan tanpa
ii. Tujuan Bukit Bundar dilukis
menggunakan sebarang bahan
semula untuk memastikan subjek
bantu mengajar
kajian ingat kedudukan nombor
dan syarat-syarat bundar

Rajah 2 : lukisan Bukit Bundar

2.3

Kaedah pengumpulan data

Dalam kajian ini, saya memperoleh data melalui pemerhatian, temu bual, ujian, dan rekod
kemajuan murid.
2.3.1 Ujian
Untuk kajian ini, saya menggunakan dua jenis ujian iaitu ujian pra dan ujian pasca. Setiap
ujian menggunakan soalan yang sama yang mengandungi bilangan item sebanyak 10
soalan. Ujian pra dijalankan sebelum sesi rawatan manakala ujian pasca dijalankan
setelah rawatan diberikan. Markah kedua-dua ujian tersebut diambil untuk dibuat
perbandingan sama ada terdapat peningkatan prestasi subjek kajian terhadap kemahiran
membundar. Cara pengiraan markah subjek kajian adalah menggunakan formula seperti
di bawah.

100% = ________
10
2.3.2 Rekod Kemajuan Murid
Rekod kemajuan murid dilihat berdasarkan latih tubi yang diberikan kepada murid
semasa setiap sesi rawatan. Walaupun jenis soalan latih tubi yang digunakan berlainan
antara sesi rawatan 1 dan sesi rawatan kedua, kemahiran yang diuji masih berkaitan
dengan kemahiran membundar. Kedua-dua latih tubi mengandungi 10 item. Markah
murid untuk latih tubi semasa sesi rawatan 1 dibandingkan dengan sesi rawatan 2. Saya
menganalisis dapatan menggunakan jadual dan juga graf.
2.3.3 Pemerhatian
Pemerhatian dibuat ke atas subjek kajian semasa sesi rawatan 1 dan 2 untuk melihat sama
ada mereka sudah menguasai kemahiran membundar ataupun tidak. Saya membuat
borang senarai semak untuk memudahkan kutipan data. Segala perbuatan, perbualan dan
ekspresi muka subjek kajian diperhatikan dengan teliti. Jika terdapat ciri-ciri yang
ditunjukkan oleh subjek kajian seperti yang telah saya senaraikan, saya akan menanda
pada borang. Seterusnya, perbandingan dibuat antara rawatan 1 dan 2 untuk melihat
perbezaan tingkah laku mereka sama ada menunjukkan peningkatan ataupun sebaliknya.
2.3.4 Temu bual
Temu bual dijalankan untuk mendapatkan respon subjek kajian terhadap beberapa soalan
yang disediakan dalam borang catatan temu bual bagi menyokong dapatan pemerhatian.
Respon murid dari segi percakapan dan perbuatan dicatatkan dalam borang tersebut.
Hasil temu bual ditranskrip untuk memudahkan saya membuat analisis dan dapat
gambaran yang lebih jelas tentang pandangan subjek kajian mengenai model Bukit
Bundar seterusnya dapat mengetahui tahap penguasaan mereka dalam kemahiran
membundar.

2.4

Analisis dan interpretasi data

2.4.1

Ujian

Ujian pra dan ujian pasca telah dilaksanakan kepada 2 orang subjek kajian sebelum dan
selepas sesi rawatan dengan menggunakan model Bukit Bundar. Jadual 5 dan rajah 3 di
bawah menunjukkan perbandingan keputusan ujian pra dan ujian pasca.
Jadual 5 : Perbandingan markah Ujian Pra dan Ujian Pasca
Subjek kajian
1
2

Skor
5
10
0
10

Ujian Pra
Peratus
50%
0%

Ujian Pasca
Skor
Peratus
9
90%
10
10
100%
10

Berdasarkan jadual 5 di atas, subjek kajian 1 mendapat markah 50% dalam ujian pra dan
90% dalam ujian pasca. Subjek kajian 2 pula tidak mendapat sebarang markah semasa
ujian pra tetapi mendapat markah 100% semasa ujian pasca.

Markah

PERBANDINGAN KEPUTUSAN UJIAN PRA DAN


UJIAN PASCA
120%
100%
80%
60%
40%
20%
0%
Ujian Pra
Ujian Pasca

100%

90%
50%
0%
Subjek kajian 1
50%
90%
Ujian Pra

Subjek kajian 2
0%
100%
Ujian Pasca

Rajah 3 Graf Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pasca


Rajah 3 menunjukkan subjek kajian 1 mengalami peningkatan pencapaian markah.
Keputusan ujian pra menunjukkan dia hanya mendapat markah sebanyak 50% namun
meningkat kepada 90% untuk ujian pasca. Subjek kajian 2 pula tidak berjaya mendapat
sebarang markah semasa ujian pra tetapi menunjukkan kecemerlangannya apabila berjaya
mendapat markah 100% untuk ujian pasca. Semua subjek kajian menunjukkan
peningkatan prestasi dalam ujian pasca setelah menerima rawatan. Hal ini membuktikan
bahawa penggunaan model Bukit Bundar berjaya membantu murid menguasai kemahiran
bundar kepada puluh terdekat.

2.4.2 Rekod Kemajuan Murid


Jadual 6 : Markah subjek kajian sepanjang sesi rawatan
Subjek kajian
1
2

Rawatan 1
Skor
Peratus
5
50%
10
10
100%
10

Rawatan 2
Skor
Peratus
7
70%
10
10
100%
10

Berdasarkan jadual 6 di atas, subjek kajian 1 mendapat markah 50% pada rawatan 1 dan
70% pada rawatan kedua untuk latih tubi yang diberikan. Subjek kajian 2 pula mendapat
markah 100% untuk kedua-dua latih tubi dalam kedua-dua sesi rawatan itu.

Markah

PENCAPAIAN REKOD KEMAJUAN MURID


120%
100%
80%
60%
40%
20%
0%
Rawatan 1
Rawatan 2

100%

100%

70%
50%

Subjek Kajian 1
50%
70%

Subjek Kajian 2
100%
100%
Axis Title

Rawatan 1

Rawatan 2

Rajah 4 Pencapaian rekod kemajuan murid


Berdasarkan rajah 4, subjek kajian 1 menunjukkan peningkatan pencapaian daripada 50%
kepada 70%. Subjek kajian 2 pula membuktikan bahawa dia sudah menguasai kemahiran
bundar dengan baik apabila mendapat markah penuh 100% untuk kedua-dua sesi rawatan.
Berdasarkan rekod kemajuan murid yang ditunjukkan menunjukkan bahawa
sememangnya penggunaan model Bukit Bundar ini berkesan dalam meningkatkan
pencapaian murid melibatkan pembundaran nombor bulat kepada puluh terdekat.
2.4.3 Pemerhatian
Saya telah membuat pemerhatian sepanjang kedua-dua sesi rawatan berlangsung terhadap
kedua-dua subjek kajian. Berikut merupakan hasil analisis yang telah dibuat untuk
melihat perubahan tingkah laku subjek kajian.

Jadual 7 : Pemerhatian tingkah laku sepanjang pemerhatian


Perkara
Angkat tangan untuk jawab soalan
Bertanya soalan kepada guru
Ekspresi wajah murid menunjukkan keyakinan
Menjawab soalan pada latih tubi dengan yakin
Menjawab soalan pembundaran tanpa lihat model Bukit
Bundar
* SK subjek kajian R1 rawatan 1 R2 rawatan 2

SK1
R1 R2

SK2
R1 R2

Berdasarkan Jadual 7, kedua-dua subjek kajian menunjukkan perubahan tingkah laku


positif selepas didedahkan dengan penggunaan model Bukit Bundar semasa sesi rawatan.
Hal ini dapat dilihat pada rawatan sesi 2 apabila hampir semua ciri-ciri yang saya
senaraikan untuk melihat subjek kajian sudah menguasai kemahiran bundar atau belum
ada ditunjukkan oleh mereka. Semasa sesi rawatan 1, kedua-dua subjek kajian dilihat
pasif cuma subjek kajian 1 sahaja yang dilihat ada bertanya soalan kepada saya. Ekspresi
wajah kedua-dua subjek kajian juga menunjukkan keresahan dan tidak ceria semasa sesi
rawatan 1. Subjek kajian 1 masih tidak dapat menjawab soalan dengan yakin semasa sesi
rawatan 1 apabila saya lihat dia kerap termenung dan cuba mendapatkan jawapan
daripada rakan. Subjek kajian 2 pula sudah mula menunjukkan keyakinan menjawab
soalan pembundaran semasa di sesi rawsatan 1 lagi apabila dia sudah faham kemahiran
bundar.
2.4.4 Temu bual
Temu bual dijalankan untuk memastikan sama ada subjek kajian benar-benar sudah
menguasai kemahiran membundar nombor bulat kepada puluh terdekat.
Soalan 1: Adakah kamu rasa kemahiran membundar ni sesuatu yang sukar?
SK 1 : (menggeleng)
SK 2 : Tak sangat
Kedua-dua orang subjek kajian ini menafikan bahawa kemahiran bundar bukanlah
sesuatu yang sukar. Hal ini bermakna mereka sudah kuasai kemahiran membundar.
Soalan 2: Adakah model Bukit Bundar dapat bantu kamu faham kemahiran bundar?
SK 1 : (angguk) senang tengok nombor-nombor tu
SK 2 : (angguk) tengok bola ping pong tu masuk rumah mana
Kedua-dua subjek kajian mengangguk setuju bahawa model Bukit Bundar yang
digunakan sememangnya dapat bantu mereka faham kemahiran membundar. Mereka
faham syarat-syarat pembundaran apabila berupaya untuk menerangkan kepada saya apa

yang mereka dapat lihat pada model Bukit Bundar dan bagaimana model tersebut
membantu mereka memahami konsep bundar.
Soalan 3: Adakah kamu akan guna Bukit Bundar untuk jawab soalan pembundaran?
SK 1 :
SK 2 :

Gunalah. Lukis gambar bukit


Lukis gambar bukit juga tapi dah ingat sikit-sikit tak payah lukis pun tak apa

Transkrip temu bual di atas menunjukkan kedua-dua subjek kajian mengaplikasikan


penggunaan model Bukit Bundar ini walaupun bukan menggunakan model yang maujud.
Mereka mengambil inisiatif lain dengan melukis dan berusaha untuk mengingat
kedudukan nombor dan syarat pembundaran yang perlu dipatuhi.
Soalan 4: Adakah model Bukit Bundar sangat berkesan dalam meningkatkan
kemahiran membundar nombor bulat kepada puluh terdekat?
S1 : Dah pandai dah macam mana nak bundar. Dulu tak pandai
S2 : (angguk) nak bundar ni tak adalah susah sangat
Subjek kajian 1 dilihat mampu membuat penilaian terhadap diri sendiri apabila sebelum
sesi rawatan dia merasakan dia tidak tahu langsung kemahiran bundar namun dengan
adanya penggunaan model Bukit Bundar, dia sudah boleh menguasai kemahiran
membundar. Subjek kajian 2 juga mengatakan bahawa kemahiran bundar bukan sesuatu
yang sukar jadi mereka tidak mempunyai masalah untuk menjawab soalan pembundaran.
Berdasarkan analisis daripada keempat-empat soalan di atas, jelas menunjukkan bahawa
sememangnya penggunaan model Bukit Bundar dapat membantu murid menguasai
kemahiran bundar nombor bulat kepada puluh terdekat. Hal ini diambil kira melalui
semua respon mereka yang positif.
Refleksi
Berdasarkan kajian ini, model Bukit Bundar yang dibina dapat membantu murid
memahami konsep bundar kepada puluh terdekat. Sebelum mengambil keputusan untuk
menghasilkan model pengajaran, saya ada melakukan pembacaan terhadap kajian-kajian
yang telah dibuat untuk konsep bundar ini. Saya lihat rata-rata pengkaji menggunakan
model atau kit untuk menyampaikan pengajaran yang lebih bermakna kepada muridmurid yang masih berada di peringkat umur kanak-kanak. Pada tahap umur seperti
mereka, penerangan yang panjang lebar tanpa penggunaan bahan yang menarik tidak
dapat meraih perhatian mereka untuk terus fokus dalam kelas. Mereka akan kelihatan
pasif, mengantuk dan tidak menunjukkan minat untuk mengetahui isi kandungan
pelajaran apabila memerlukan mereka untuk mengingati banyak langkah dan konsep.
Kekuatan model Bukit Bundar ini dibuktikan apabila subjek kajian kelihatan begitu teruja
dan seronok melihat saya mengajar menggunakan model ini. Model ini berjaya menarik
minat subjek kajian dalam mengikuti setiap sesi pengajaran dan pembelajaran yang
diadakan oleh saya sehingga ke akhirnya. Saya lihat apabila mereka membuat latihan

pada lembaran kerja mereka seronok mengaplikasikan model Bukit Bundar ini yang
boleh dibuat sendiri pada kertas kosong. Selaras dengan hasrat Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan elemen kreativiti dan inovasi, model ini
diharapkan dapat membuka minda murid untuk sesekali berfikir luar dari kotak.
Tambahan pula, ia merupakan suatu pendekatan yang logik dan sistematik dan boleh
diterima pakai untuk mengukuhkan lagi kefahaman murid terhadap konsep bundar ini.
Model ini boleh ditambah baik dari segi penghasilannya dalam bentuk grafik ataupun
dibuat dalam bentuk permainan atas talian untuk membolehkan murid bermain permainan
yang dapat menjana minda mereka dan dapat pengetahuan yang berguna. Diharapkan
usaha mencipta dan menghasilkan suatu alat yang lebih baik mampu dilakukan supaya
dapat menyumbang sesuatu terhadap dunia pendidikan pada masa kini yang selaras
dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.
Sebagai seorang guru saya juga sedar mengenai keperluan murid yang pelbagai di dalam
kelas. Saya bimbang jika ada murid yang tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan
pembelajaran dan saya tidak ketahui hal tersebut hingga ke akhirnya. Oleh itu, strategi
pengajaran perlu dimantapkan dari semasa ke semasa dan kenal pasti secepat mungkin
murid yang lemah supaya dapat diberi rawatan. Saya juga perlu banyak membuat refleksi
diri setiap kali tamatnya sesi pengajaran dan pembelajaran supaya kekuatan dapat
diteruskan dan kekurangan dapat diperbaiki.
Tindakan susulan
Saya akan cuba mengekalkan penggunaan model ini pada masa hadapan namun
ditambahbaik dari segi penggunaan materialnya agar lebih kekal lama dan mudah untuk
dibawa ke mana-mana sahaja. Saya juga cuba menjadikan model ini sebagai satu
permainan yang menarik di mana murid dapat mengaksesnya apabila terdapat waktu
senggang di dalam kelas. Model ini juga boleh diubahsuai untuk menjadikannya
mempunyai pelbagai fungsi supaya ia kelihatan lebih menarik dan tidak terhad kepada
satu-satu fungsi sahaja.

Rujukan
Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin. (2013). Pengantar Penyelidikan Tindakan dalam
Penyelidikan Pendidikan. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Chow Fook Meng, J. M. (2013). Kajian Tindakan : Konsep dan Amalan dalam
Pengajaran. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Kurikulum, B. P. (2011). Dokumen Standard Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) Matematik Tahun 2. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Mohd Ariffin Bin Abdul Latif, Sahibul Bahrin Bin Ahmad, Rogayah binti Abdullah.
(2010). Jurnal Kajian Tindakan : Sekolah Rendah Negeri Johor Jilid 3/2010
Edisi Khas Hari Guru. Johor: Jabatan Pelajaran Johor.
Mok Soon Sang, Siew Fook Cheong. (1986). Pengajaran dan Pembelajaran
Matematik. Kuala Lumpur: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai