Anda di halaman 1dari 6

PERANAN GURU SEBAGAI PEMBINA MODAL INSAN

Guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya
saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat . Pelajar-pelajar
akan menjadi warganegara yang berfikiran global dengan tidak mengesampingkan ciri-ciri
tempatan justeru mampu bersaing dengan kepesatan dan kesesakan dunia luar. Kecekapan dan
keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang
berjaya.Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat
kurang menghargai watak yang berbudi luhur." Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi
pemangkin kepada usaha membina generasi modal insan bertaraf dunia.
Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam
RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa
seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang
mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020.
Peranan dan cabaran golongan pendidik pada masa mutakhir ini semakin diasak dengan
pelbagai isu yang diberikan penekanan dan perhatian wajar. Antaranya ialah gejala kes
pelanggaran disiplin seperti ponteng sekolah, kejadian buli khususnya di asrama, biadab terhadap
guru, perbuatan vandalisme yang menjijikkan mata memandang, memeras ugut pelajar junior,
bergaduh dalam kawasan sekolah dan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Semua isu
ini perlu ditangani secara berkesan oleh sekolah kerana jika dibiarkan berterusan akan menjadi
wabak yang membarah dalam kalangan anak muda kita.

Dengan demikian, peranan dan tanggungjawab semua guru mesti menjurus kepada
pembinaan sahsiah pelajar yang murni dan bukan setakat menjadi penyampai ilmu pengetahuan
saja. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengatakan, guru bukan saja
bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab
juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang dan budaya yang
diterima olehnya. (Petikan ucapan beliau pada Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di
Ipoh pada 16 Mei 2000 ). Jadi, di sini jelas menunjukkan kepada kita memang menjadi
tanggungjawab teras seseorang guru itu membentuk jati diri anak muridnya dengan keluhuran
budi pekerti yang tinggi dan terpuji.
Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang
bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih
keberkatan Tuhan. Tugas guru adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab serta beban
berat kerana tidak dinafikan mendidik pelajar daripada usia lima tahun (prasekolah) bukan
mudah serta memerlukan kesabaran tinggi. Harapan menggunung diletak pada bahu guru sering
kali menimbulkan dilema kerana hakikat mendidik pelajar bukan hanya tanggungjawab guru,
sebaliknya perlu mendapat sokongan ibu bapa yang menjadi guru di rumah.
Sebenarnya, teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan
memberi pendidikan akhlak murni. Jadi, dalam apa jua mata pelajaran yang diajar oleh seseorang
guru, penerapan nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan nilai merentas
kurikulum. Malah, seseorang guru sepatutnya memahami dan menghayati sedalam-dalamnya
tafsiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan
di negara kita selama ini. FPK antara lain menyatakan, Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha

berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Jika diteliti secara mendalam inti pati FPK itu, memang sudah lengkap dan tepat dalam usaha
membina generasi warganegara yang seimbang dan mampu menjana keperkasaan tamadun
bangsa serta negara.
Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman yang juga Presiden Himpunan Lepasan Institusi
Pengajian

Tinggi

Malaysia

(Haluan)

menggariskan

beberapa

peranan

yang

dipertanggungjawabkan kepada seseorang guru dalam merealisasikan FPK itu. Antaranya ialah
guru bertindak sebagai pendakwah. Ini bermaksud guru bukan saja memainkan peranan sebagai
pengajar, tetapi seharusnya mendidik anak didiknya dengan nilai akhlak mulia. Guru juga
pendidik yang mendidik anak murid secara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan
emosi. Menurut beliau lagi, seseorang guru adalah pemimpin. Ertinya memimpin dan memandu
pelajar menjalankan sesuatu tugasan dengan betul dan berkesan. Seterusnya guru adalah pekerja
yang mematuhi segala etika profesion ke arah membina anak muridnya menepati acuan
sebagaimana yang termaktub dalam FPK.
Guru juga boleh dianggap sebagai seorang pengusaha. Dengan itu untuk memenuhi ciri
pengusaha yang dinamik, guru perlu mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir
secara inovatif dan kreatif. Contohnya, bagaimana seseorang guru itu berupaya menarik

perhatian pelajar agar sentiasa menerapkan disiplin diri yang unggul dan mematuhi ajaran
agama. Selain itu, seseorang guru juga mesti bersikap profesional dalam bekerja dengan
menunjuk contoh yang baik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji. Ini penting kerana guru akan
menjadi perhatian pelajar dan akan diikuti. Jangan pula seperti ketam mengajar anaknya
berjalan betul.
Selain itu, menurut Dr Abdullah Sudin, seseorang guru mesti menjadi seorang pengikut
yang baik. Ini bermaksud guru itu seharusnya taat dan mematuhi arahan ketua dalam
melaksanakan sebarang tugasan dengan bersedia berkorban masa dan tenaga semaksimum boleh.
Seterusnya guru juga berperanan sebagai seorang pejuang. Apakah maksud pejuang di sini?
Tentulah perjuangan dalam menyempurnakan amanah negara dalam memberi pendidikan kepada
anak bangsa dengan semangat waja dan tanpa putus asa. Seseorang pejuang sudah tentu tidak
boleh berputus asa apabila berhadapan dengan kesulitan. Begitulah dengan guru. Apapun
cabaran dan kekangannya, tugas dan amanah mesti diteruskan dengan efektif. Pejuang juga mesti
ikhlas dalam perjuangannya. Demikianlah juga dengan guru, mereka seharusnya ikhlas dalam
melaksanakan tugas mendidik anak bangsa.
Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan biarpun kadangkala mereka
dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Kecekapan dan
keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang
berjaya. Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan
integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Guru perlu menanamkan niat mereka mengajar demi menyelamatkan anak muridnya
daripada kesengsaraan di akhirat kelak. Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar dan

insaf bahawa di bahu mereka terletaknya amanah Tuhan dan harapan negara dalam membina
generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia serta bersahsiah towering
personality. Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan oleh Beecher, kanak-kanak
adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan
kepadanya. Demikian juga guru seharusnya menghayati kata-kata daripada Mann Horace ini,
seseorang guru yang mengajar tanpa cuba menimbulkan dan menghidupkan keinginan serta
semangat belajar dalam kalangan muridnya seperti orang yang menempa besi yang dingin.
Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap
kali sambutan Hari Guru kerana harapan mereka biar anak didik menjadi insan berilmu dan
berguna, seterusnya menyumbang khidmat bakti kepada negara. Guru mengerti usaha mendidik
dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur
malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Tuhan.
Demikianlah antara peranan guru ketika ini. Mereka bukan saja menjadi contoh terbaik kepada
masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara kita berjaya melahirkan
sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.

Rumusan

Sekiranya dilihat dari segi sistem yang telah disediakan dan dilaksanakan selama ini,
terdapat usaha yang gigih untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa. Sekiranya ditinjau
secara halus dari segi hasil dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, seharusnya ia mampu
mengeluarkan pelajar yang berilmu, bermoral (akhlak), beradab dan bersopan, seorang individu
yang boleh menjadi warganegara yang cukup baik. Namun terdapat pelbagai masalah moral,
disiplin dan kelemahan akademik dalam kalangan sebilangan besar pelajar Melayu, terutamanya
dari luar bandar. Kesimpulannya, jelas terbukti bahawa sekiranya setiap pendidik berpegang
kepada FPK dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab profesional mereka, sudah pasti
matlamat dasar pendidikan negara akan menjadi satu kenyataan, dan bukan hanya satu impian
sahaja.

Anda mungkin juga menyukai