Anda di halaman 1dari 6

TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF

Teori kognitif dari segi psikologi boleh didefinisikan sebagai gaya manusia yang menjadi
pendorong untuk bertindak mengikut pemikiran mereka. Menurut Stanley dan Hopkins (1990),
pengetahuan kognitif termasuklah kegiatan-kegiatan yang berhubungan dengan proses mengingat dan
mengenalpasti maklumat. Menurutnya lagi, pengetahuan kognitif wajar dianggap sebagai asas kepada
kurikulum dan perkembangan pendidikan.
Kognitif merupakan proses penanggapan, pembinaan konsep, penaakulan, penilaian dan
penyelesaian masalah. Manakala psikologi kognitif ialah satu pendekatan kajian bertujuan memahami
bagaimana manusia menyusun dan melaksanakan aktiviti mental yang melibatkan proses perolehan,
penyusunan, perwakilan, penyimpanan, pengulangan dan penggunaan pengetahuan yang membantu
manusia memahami dan menyelesaikan masalah demi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang
sentiasa berubah-ubah dan merancang bagi menghadapi masa depan.
Menurut Robert L Solso (1998), psikologi kognitif adalah satu kajian sains mengenai
penumpuan dan proses pemikiran bagaimana penerimaan maklumat dijalankan dan bagaimana ia
digunakan untuk menyelesaikan masalah dan bagaimana cara kita menuturkannya. Manakala menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), kognitif bermaksud segala perkara yang berkaitan dengan
proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu seperti proses pembelajaran,
pemahaman dan perolehan pengetahuan.
Secara umumnya, teori kognitif merupakan satu teori yang terpenting dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dimana proses penekanan prinsip pembelajaran kognitif akan
menghasilkan perubahan tingkah laku dalam proses pembelajaran. Teori kognitif amat menekankan
pengalaman lalu sebagai agen pembelajaran yang berkesan dalam merangsang ingatan lalu setiap
individu.
Teori kognitif lebih menumpukan kepada aspek pemikiran individu.Setiap individu
mempunyai kebolehan mental untuk mengelola, menyimpan dan mengeluarkan semula segala
pembelajaran lanjutan atau untuk menyelesaikan masalah. Menurut Bloom (1950), tahap pengetahuan
terbahagi kepada enam iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Pada
tahap pengetahuan, proses yang berlaku ialah mengingat kembali, mengenal idea, mengumpul fakta
asas, mendefinisi, belajar teori dan hukum baru, mengingat tarikh dan peristiwa daripada
pembelajaran lepas.
Bagi tahap kefahaman, setiap individu mengubah sesuatu kefahaman dari satu bentuk kepada
bentuk yang lain, menyatakan idea menggunakan pemahaman sendiri, menterjemah, memberi contoh
kepada konsep dan menterjemah draf. Manakala pada tahap aplikasi, proses menggunakan maklumat
dalam dimensi yang berlainan termasuk menyelesaikan masalah dengan menggunakan prinsip,
hukum, teori, kaedah dan formula serta membina graf daripada data yang didapati. Tahap analisis pula
merupakan tahap di mana setiap individu telah dapat membezakan perkara yang kompleks dan
memecahkan kepada sesuatu yang kecil, membezakan antara fakta dan pendapat, mengenalpasti
kaitan antara bahagian dan mengenali struktur organisasi. Pada tahap sintesis, keupayaan untuk
menyatukan dan mencantumkan idea menjadi satu, berusaha menyelesaikan masalah, berkeupayaan
membuat ramalan dan membuat klasifikasi. Pada tahap penilaian, setiap individu

berkebolehan menilai sesuatu idea, konsep, prinsip, kaedah, prosedur atau tindakan. Kesemua tahap
pembelajaran memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan
adanya pengetahuan berkaitan, dapat membantu guru mengembangkan tahap kognitif pelajar kepada
tahap maksima.
Selain itu, dengan mengetahui tahap dan kebolehan yang boleh dicapai oleh individu secara
maksima akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran yang akan berlaku. Proses
pemahaman dan berfikir secara kritis dapat diterapkan kepada setiap individu dengan lebih berkesan.
Teori kognitif dapat diaplikasikan dengan lebih menyeluruh dengan tahap kebolehan dan keupayaan
individu itu. Proses pembelajaran dijalankan mengikut peningkatan tahap umur, kebolehan dan
perkembangan individu. Dengan ini, pembelajaran secara teori dan amali dapat dilaksanakan dengan
lebih baik dan berkesan. Ini kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan mencakupi kesemua
kebolehan dan keupayaan mental dan fizikal setiap individu mengikut tahap perkembangan
mereka. Implikasi yang didapati dengan pembelajaran berasaskan teori kognitif antaranya dapat
membantu setiap individu mengingat semula apa yang telah tersimpan dalam ingatan mereka dan
mengaplikasikannya untuk menyelesaikan masalah.
TEORI EVOLUSI PEMBELAJARAN KOGNITIF
Perkembangan kognitif adalah proses peningkatan keupayaan fikiran, pengetahuan dan
intelektual setiap individu. Kemampuan untuk menjana minda dalam pelbagai aktiviti yang
melibatkan penyelesaian masalah, memahami dan menganalisa, membentuk pengetahuan serta
pemahaman baru terhadap pengalaman yang dilaluinya merupakan proses tumbesan yang dilalui oleh
setiap individu dan akan mempengaruhi perkembangan intelektualnya. Proses ini turut melibatkan
perubahan dalam proses berfikir, kemahiran berbahasa dan cara individu mendapat pengetahuan hasil
pemerhatiannya. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak akan memerhati, mengklasifikasi, menghafal,
menyelesaikan masalah dan menceritakan semula pengalaman hariannya. Keadaan ini adalah proses
kognitif awal yang positif bagi seorang kanak-kanak peringkat umur 2 hingga 7 tahun. Keupayaan
kognitif akan mempengaruhi semua aktiviti pembelajaran setiap individu. Penguasaan asas adalah
penting bagi memahami sesuatu konsep. Perkembangan kognitif membolehkan setiap individu
meningkatkan kemahiran berfikir, memanipulasi objek, bersikap ingin tahu dan menjadi penyelesai
masalah.
Teori Piaget merupakan satu-satunya teori perkembangan Kognitif yang paling menyeluruh
walaupun masih dipersoal dan tidak dipersetujui oleh beberapa pihak. Teori ini pada dasarnya telah
menjadi asas dan pengaruh kepada penyelidikan yang muncul selepasnya. Piaget telah
mengemukakan idea tentang pembentukan konsep awal kanak-kanak dan kecerdasan dengan
mencadangkan bahawa penyelidik dapat belajar mengikut kemampuan perkembangan intelek yang
dialami oleh kanak-kanak dengan berterusan. Beliau telah melakukan pemerhatian secara berterusan
dengan kanak-kanak termasuklah pemeriksaan terhadap kesilapan anak-anak sendiri, dengan ini
beliau telah merumuskan bahawa wujud sistem logikal yang mudah dan teratur yang mendasari
pemikiran kanak-kanak. Menurut Piaget lagi, sistem ini berbeza daripada sistem-sistem logikal yang
telah digunakan oleh orang dewasa.
Menerusi Piaget, pekembangan kognitif kanak-kanak amat berbeza berbanding orang dewasa dan
berubah-ubah melalui empat tahap iaitu peringkat deria motor, pra operasi, operasi konkkrit dan
operasi formal. Walau bagaimanapun klasifikasi setiap tahap adalah bergantung mengikut kepada

kemampuan individu itu sendiri. Piaget percaya perkembangan berlaku kepada setiap individu dan
dalam keadaan yang teratur. Kesemua tahap perkembangan ini amat bergantungan antara satu sama
lain. Keseimbangan perkembangan kognitif peringkat awal akan memastikan perkembangan yang
sempurna bagi tahap yang seterusnya.
Teori ini juga menjelaskan bagaimana seorang kanak-kanak berimaginasi dan bertindak untuk
mengimplementasikan objek dan peristiwa yang berlaku disekitar mereka. Bagaimana seorang kanakkanak mempelajari ciri dan fungsi objek yang ditunjukkan oleh guru dan memahami persamaan dan
perbezaan objek tersebut. Piaget juga percaya perkembangan setiap individu adalah bersifat tetap dan
setiap daripada mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik.
Tahap Pertama : Deria Motor ( 0 2 Tahun)
Tahap ini merupakan tahap asas, pembelajaran dan perkembangan kognitif yang berlaku
adalah hanya melalui gerakan anggota badan dan kordinasi pancaindera dengan persekitarannya.
Setiap individu akan mengenalpasti sesuatu objek dari segi ciri-cirinya, mengelaskan ciri-ciri objek
tersebut dari segi bentuk, warna, ciri dan fungsi serta menyusun mengikut dimensi atau urutan.
Kebolehan deria motor akan berkembang dari semasa ke semasa. Mereka akan belajar tentang dirinya
dengan melihat, menyentuh, mendengar dan kemudian menirunya. Kebolehan meniru tingkah laku ini
dinamakan pembelajaran melalui pemerhatian. Terdapat enam sub tahap bagi melihat perkembangan
tertentu pada umur yang tertentu.
a) Dari lahir hingga satu bulan (refleks)
Bayi hanya mampu melakukan gerakan pantulan. Gerakan pantulan diwujudkan
melalui tingkah laku pendengaran, penyusunan, gerakan tangan iaitu genggaman,
penyesuaian, pandangan, pergerakan mata dan sebagainya.
b) Sebulan hingga empat bulan (reaksi asas sekular)
Merupakan peringkat pertama pencapaian untuk penyesuaian dan berlakunya reaksi
asas sekular. Bayi mula mengetahui tentang bahagian badan yang tertentu seperti
tangan, kaki dan sebagainya. Pergerakan sensori motor mula diselaraskan dengan
sistem pandangan dan gerakan tangan. Contohnya bila mendengar sesuatu bunyi, bayi
akan menggerakkan kepala dan matanya ke arah punca bunyi tersebut.
c) Empat hingga lapan bulan (reaksi sekular kedua)
Di tahap ini bayi bersedia untuk membuat pandangan dan pemerhatian yang lebih.
Kebanyakan tingkahlaku bayi dihasilkan daripada sesuatu proses pembelajaran. Bayi
dapat belajar tingkah laku baru seperti mengambil sesuatu barang lalu
menggerakkannya. Bayi juga sudah mampu membuat tanggapan tentang objek yang
dipegangnya. Contohnya, bayi sengaja memasukkan barang mainan ke dalam mulut
bertujuan mengetahui atau mengenali barang tersebut.

d) Lapan hingga dua belas bulan (reaksi kordinasi)


Merupakan masa pengukuhan, di mana keadaan yang wujud sebelumnya akan
disesuaikan antara satu sama lain. Pada tahap ini, perkembangan mental bayi berada
di tahap perkembangan daya kognitif dan kebolehan mental asas pada bayi. Bayi

mengetahui sebab akibat sesuatu keadaan berlaku. Contohnya, apabila


menggoncangkan sesuatu alat mainan ia akan mengeluarkan bunyi.

e) Dua belas bulan hingga lapan belas bulan (reaksi sekular ketiga)
Pada peringkat ini, penemuan baru melalui pengalaman yang dilalui oleh bayi berlaku
secara aktif. Pada tahap ini, bayi menunjukkan kemajuan yang pesat berhubung
pemahaman sesuatu konsep dan mempunyai konsep yang kukuh berkaitan sesuatu
objek. Bayi juga mengalami proses cuba jaya tetapi dalam konteks mudah.
Contohnya, kanak-kanak akan mencuba pelbagai bunyi dan tingkah laku bagi
menarik perhatian orang lain seperti merengek atau ketawa.
f) Lapan belas bulan hingga dua tahun (penggambaran pemikiran awal)
Berlakunya kombinasi mental di mana kanak-kanak mula mempunyai keupayaan
untuk memahami aktiviti permainan dan fungsi simbolik. Pada ketika ini, kanakkanak dapat mengatasi masalah kaedah cuba jaya dan dapat membezakan tingkah
laku peniruan yang diperhatikan. Kanak-kanak juga mengetahui peranan jantina dan
fungsi setiap individu dalam keluarga seperti jika inginkan air perlu minta daripada
ibu kerana menyediakan minuman merupakan tugas ibu.
Tahap Kedua : Pra Operasi (2 7 Tahun)
Tahap pra operasi merupakan perkembangan yang paling penting dan memperlihatkan
pembelajaran bahasa setiap individu berlaku dengan pesat dimana dapat menamakan benda-benda
yang berada disekelilingnya serta mengenalpasti bentuk-bentuk perwakilan simbolik yang lain dan
menyelesaikan masalah-masalah yang mudah. Contohnya menggunakan pisang sebagai telefon dan
berlakon seolah-olah sedang bercakap dengan orang lain. Setiap individu lebih bersifat egosentrik
iaitu melihat dunia sekeliling mereka dari perspektif mereka sahaja.
Piaget juga berpendapat bahawa proses perkembangan yang berlaku berasaskan pada tiga fenomena
mental yang penting iaitu pengamatan, ingatan dan bayangan.
Pengamatan merupakan proses di mana kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian terhadap
sesuatu yang dilihat. Ingatan pula merupakan satu proses pembinaan, pengumpulan dan pengambilan
kembali memori mengenai peristiwa lalu. Manakala, bayangan merupakan proses yang menyebabkan
sensasi yang statik, selalunya pandangan dan pendengaran yang dikumpulkan di bahagian mental.
Bagi tahap ini, Piaget telah membahagikan kepada dua sub tahap iaitu tahap Pra-konseptual bermula 2
hingga 4 tahun dan tahap Pra-operasi dari 4 hingga 7 tahun.
a) Tahap Pra-Konseptual
Kanak-kanak masih tidak dapat membezakan dan memahami dua atau lebih dimensi pada
masa yang sama. Hal ini kerana, mereka belum dapat menyusun penerangan yang ada
dalam pemikiran. Kecerdasan di tahap ini selalunya dihuraikan sebagai kaku, tegang,
ketidaksanggupan membuat kesimpulan dan tidak menumpukan perhatian terhadap
hubungan di antara peristiwa yang berbeza. Kanak-kanak tidak tahu bahawa jumlah,

isipadu atau panjang sesuatu objek tidak akan berubah apabila bentuk dan susunannya
berubah.
Tahap Ketiga : Operasi Konkrit
Keupayaan membentuk pemikiran logik tetapi masih lagi terhad merupakan perkembangan
positif bagi setiap individu pada tahap ini. Selain itu, mereka juga berupaya memahami konsep dan
hipotesis dalam konteks yang mudah. Pembelajaran yang berlaku perlu dalam konsep realiti yang
boleh dilihat dan disentuh. Contohnya seorang pelajar yang ingin menguasai kemahiran membuat
barangan kraftangan perlu mengetahui konsep kegunaan setiap alatan tangan yang telah disediakan.
Seterusnya, pelajar perlu memastikan konsep pengunaan dan penukangan yang betul bagi setiap
alatan. Untuk memulakan pelajaran ini, guru boleh menyediakan bahan video atau membuat
penerangan dan menunjukkan cara bagi memastikan setiap pelajar tahu secara keseluruhan mengenai
alatan tangan. Semasa pelajar membuat amali, guru perlu memantau agar amali berjalan dengan baik
dan lancar.
Tahap Keempat : Operasi Formal
Pada tahap ini, setiap individu mula berfikiran abstrak dan berupaya menyelesaikan masalah
yang konkrit dan abstrak. Mereka akan berinteraksi dengan bahan dan alam semulajadi serta
memupuk sikap ingin tahu dan ingin meneroka tentang sesuatu. Mereka akan mula memerhati,
membanding dan membeza, mengukur, meramal dan membuat kesimpulan. Mereka akan membuat
pemerhatian dan melihat sendiri hasil pengujian yang dibuat dan membuat kesimpulan hasil
pemerhatian tersebut. Selain itu, kemahiran menyelesaikan masalah merupakan aspek terakhir dalam
pembelajaran kognitif. Kualiti penyelesaian bergantung kepada kebolehan dalam membuat keputusan
samada berasaskan naluri atau hasil yang didapati. Melalui ini, pelajar akan dilatih membuat
keputusan dan menilai keputusan tersebut. Penyelesaian masalah terdiri daripada enam elemen iaitu
mengenalpasti punca, menjana alternatif idea, menyusun idea-idea, memilih alternatif yang ada,
melaksanakan idea dan menilai pelaksanaan tersebut. Manakala bagi perancangan juga melibatkan
enam elemen iaitu mengenalpasti keperluan, menjana alternatif idea, menyusun keutamaan alternatif
idea tersebut, memilih alternatif idea yang terbaik, melaksanakan alternatif idea dan menilai
keberkesanan perlaksanaan.
Kesimpulannya proses kognitif secara keseluruhan boleh mempengaruhi pembelajaran individu
terbabit. Pelajar merupakan teraju utama dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dalam
keadaan aktif dan dibantu oleh guru sebagai pembimbing acara. Pembelajaran secara umumnya
melibatkan proses hubungan mental yang tidak dapat diukur dan dilihat. Pengetahuan yang di perolehi
semasa pembelajaran di susun secara sistematik dalam otak manusia. Proses pembelajaran juga
melibatkan integrasi maklumat yang sedia ada bersama dengan maklumat yang baru dipelajari.
Dengan maklumat yang ada ini pelajar akan dapat melakukan amali dengan berteraskan teori yang
diajar sebelumnya. Contohnya kebolehan untuk mengukur kefahaman fungsional operasi matematik,
konsep asas geometri dan kebolehan menggunakan prinsip matematik dalam menyelesaikan masalah.
Kebolehan kognitif ini juga berkaitan dengan kemahiran menganggar nisbah, kira-kira, pencapaian
matematik, penaakulan matematik, penyelesaian masalah, penambahan, penolakan, pengiraan,
penyusunan nombor, algebra dan algoritma. Sekaligus meningkatkan kebolehan pelajar dalam
menganggarkan hubungan antara nombor dan kecekapan mengendalikan konsep nombor. Selain itu
kebolehan kognitif juga meliputi pelbagai aktiviti seperti membaca peta, melakukan susunsuai

gambar, mengesan rajah mudah dalam rajah kompleks dan memutar objek tiga dimensi secara mental.
Kebolehan kognitif ini juga merujuk kebolehan seseorang mengesan sesuatu objek dalam ruangan,
menyusun semula objek secara mental, mengenal pasti bentuk dan sebagainya.

RUJUKAN

Bab 7 Introduction to Cognitive Views of Learning, ms 223-305.


Mohamad, B., Esa, A. & Junoh, H. (2008). Psikologi Pendidikan Dalam PTV. Edisi Pertama.
UTHM: Penerbit UTHM.
Prezzylea (2009). Teori Pembelajaran Kognitif dan Maslow. Dicapai pada 31 Januari 2010
dari http://www.scribd.com/doc/12899885/Teori-Pembelajaran-Kognitif-dan-Maslow
Siri Pendidikan Guru. Bab 4 Perkembangan Kognitif dan Pemprosesan Informasi. Ms 75-88.
Teori Pembelajaran Kognitif. Dicapai pada 31 Januari 2010
darihttp://rujuknota.blogspot.com/2009/09/teori-pembelajaran-kognitif.html
Teori Perkembangan Jean Piaget. Dicapai pada 31 Januari 2010
darihttp://rujuknota.blogspot.com/2009/09/teori-perkembangan-jean-piaget.html