Anda di halaman 1dari 4

PANTANG LARANG MASYARAKAT MELAYU

PENGENALAN

Pantang larang orang Melayu merupakan kepercayaan masyarakat Melayu


zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang.
Menurut Sheikh Othman bin Sheikh Salim dalam Kamus Dewan Edisi Yang Ketiga,
pantang larang secara ringkasnya bermaksud suatu kepercayaan yang meliputi
dari sejak manusia itu dilahirkan sehinggalah manusia itu dewasa dan akhirnya
meninggal dunia. Menurut Arni binti Johan dalam Aktivis Jurnal Akademik Jilid V1
2006 Budaya dan Ilmu, pantang larang lebih merupakan khazanah budaya
dunia terbina daripada pengalaman hidup yang lalu. Pengalaman ini mendukung
nilai yang tinggi kerana paling tidaknya pengalaman ini dapat dijadikan panduan,
pedoman, atau contoh teladan dalam kehidupan masa kini. Pantang larang ini
merupakan salah satu bentuk disiplin lisan yang dipraktikkan oleh sebahagian
besar masyarakat Melayu khususnya ketika zaman perkampungan dan pertanian
merupakan bentuk kehidupan mereka.

Masyarakat Melayu lama cerdik dalam menyampaikan peraturan dengan


darjah keseriusan berbeza dan ia dapat dilihat melalui kesan dan akibat yang
dikatakan berhubung perbuatan melanggar peraturan yang larangan yang
ditetapkan. Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nafii
Mat, berkata pemikiran saintifik sudah hadir dalam minda Melayu lama
berdasarkan asas penciptaan pantang larang dan peribahasa Melayu yang
memaparkan unsur jisim, alam, fizik, dan ekonomi sebagai asasnya.

TUJUAN PANTANG LARANG

Pada zaman dahulu, pantang larang digunakan sebagai kaedah untuk


menyampaikan pengajaran kepada masyarakat. Sesuatu peraturan yang hendak
dikuatkuasakan akan disertakan dengan pantang larang supaya masyarakat
takut untuk melanggar peraturan tersebut. Kebanyakan adalah bertujuan untuk
mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Apa
yang disebut bukan untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej di sebalik
pantang larang yang telah diperuntukkan secara lisan sejak zaman berzaman.

Pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dahulu juga


bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni
tersebut. Ia juga diamalkan kerana pantang larang adalah seperti harta pusaka
nenek moyang mereka dan bagi mereka, mereka bertanggungjawab untuk
mengamalkannya dan menurunkan tradisi itu kepada anak-anak atau cucu-cucu

mereka. Di dalam sebuah pantang larang mempunyai erti sendiri yang akan
memberi manfaat dalam hidup masing-masing.
CONTOH-CONTOH PANTANG LARANG MASYARAKAT MELAYU

Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang masih berpegang pada


adat dan pantang larang. Ini mungkin kerana orang melayu ialah suatu
masyarakat yang tidak mudah melupakan unsur tradisi yang menjadi amalan
zaman berzaman.

Pantang larang pertama


tidak boleh terkena hujan panas, nanti keteguran atau tersampuk
keteguran atau tersampuk merupakan kepercayaan masyarakat Melayu
berkaitan roh-roh yang telah mati dan juga makhluk-makhluk halus seperti
hantu, jin dan syaitan yang sedang berkeliaran yang akan merasuk ke dalam
tubuh manusia hingga menyebabkan orang yang disampuk itu jatuh sakit.
Seringkali dikaitkan dengan penyakit misteri seperti penyakit yang tidak mahu
sembuh walaupun setelah berulang kali mendapatkan rawatan di hospital.
Hujan panas seringkali turun dalam keadaan yang tidak disangkasangka. Seringkali hujan akan turun tiba-tiba di saat cuaca panas terik yang
menggigit. Menurut kepercayaan orang tua-tua, hujan panas yang turun
membawa alamat bahawa suatu perkara yang tidak diingini akan berlaku.
Mengikut kajian saintifik, hujan memang boleh menyebabkan sakit
kepala. Apatah lagi sekiranya ubun-ubun dan kepala kita dibasahi hujan yang
pertama, atau hujan yang mula-mula turun. Secara logik, hujan awal itu
membawa turun sekali bahan-bahan toksik yang terkumpul. Itulah yang
menyebabkan kepala menjadi pening. Justeru memang tidak salah pesan orang
tua-tua agar kita cepat-cepat mencuci kepala atau membasahi atas kepala
dengan air, sekiranya terkena hujan.
Rasionalnya, terkena air hujan sewaktu cuaca yang panas memang
kurang elok untuk kesihatan kita. Ini kerana dalam keadaan cuaca panas, sudah
tentulah badan kita juga akan berada di tahap suhu yang panas. Maka apabila
terkena hujan, suhu badan kita akan menjadi tidak stabil. Ini akan menyebabkan
peredaran darah kita menjadi tidak normal dan menyebabkan badan menjadi
panas atau kepala menjadi sakit. Sebab itulah kita disarankan mandi sekiranya
terkena hujan. Ini adalah bertujuan untuk menstabilkan suhu badan kita ke tahap
yang normal bagi mengelakkan demam ataupun sakit kepala.

Pantang larang kedua


Jangan duduk di atas bantal, nanti akan berbisul di punggung.
Sejak kecil, ibu ayah dan orang tua-tua amat menegah kita daripada
duduk di atas bantal kononnya dikhuatiri akan timbul bisul di punggung.
Sememangnya anak-anak kecil suka bermain dengan bantal dan seringkali juga

menjadi bantal sebagai tempat melabuhkan punggung masing-masing.


Keempukan bantal menjadikan sebab mengapa anak-anak kecil gemar duduk di
atasnya.
Sebenarnya kita dilarang sama sekali duduk di atas bantal kerana
bantal ialah tempat kita meletakkan kepala sewaktu tidur. Adalah kurang sopan
sekiranya kita meletakkan punggung kita di atas bantal yang menjadi alas
kepala semasa kita berbaring atau tidur. Pantang larang ini sebenarnya mengajar
anak-anak agar berlaku sopan kerana duduk di atas bantal merupakan
perbuatan kurang enak dipandang serta agak kurang sopan. Tambahan pula
sekiranya ada tetamu di rumah, adalah kurang sopan sekiranya bantal yang
diduduki oleh kita kemudiannya dihulurkan pula kepada tetamu untuk tidur.
Selain daripada itu, kebanyakan bantal adalah diperbuat daripada kekabu.
Sekiranya asyik dijadikan tempat duduk, dikhuatiri akan menyebabkan bantal
koyak seterusnya kekabu akan terkeluar dan berterabur. Ini akan mengundang
masalah yang lain pula.
Sewajarnya pantang larang ini patut dikekalkan dan diikuti kerana jika
dilihat dari sudut nilai sememangnya pantang larang duduk di atas bantal ini
mempunyai rasionalnya yang tersirat. Penerapan nilai-nilai kebersihan,
penghormatan dan sopan santun dapat dilihat dengan jelas dalam pantang
larang ini. Di zaman sekarang memang terdapat bantal-bantal khas untuk
dijadikan tempat alas duduk, jadi tidak perlulah bantal yang digukana sebagai
alas kepala pula turut sama dijadikan alas duduk.

Pantang larang ketiga


Jangan memotong kuku di waktu malam, nanti akan didatangi malang
Masyarakat Melayu lama sentiasa bijak dalam menyelitkan tegahan dan
larangan kepada anak-anak kecil melalui pantang larang yang dinyatakan.
Pantang larang memotong kuku di waktu malam seringkali juga ditekankan di
mana dikatakan bakal didatangi malang sekiranya dilakukan. Jika dilihat dari
sudut logikalnya, kita tidak dapat melihat di mana perkaitan antara memotong
kuku dengan malang yang bakal menimpa. Tetapi seperti yang kita sedia
maklum, kebanyakkan pantang larang masyarakat Melayu sebenarnya sentiasa
ada maksud yang tersirat. Pantang larang yang dinyatakan hanya semata-mata
untuk menimbulkan rasa takut dan gerun di kalangan kanak-kanak untuk
melakukan sesuatu yang ditegah.
Jika di lihat dari sudut rasionalnya, larangan memotong kuku di waktu
malam ada kebenaran dalam tegahannya. Kita sedia maklum, pada zaman
dahulu tiada bekalan letrik dan waktu malam hanya diterangi cahaya lampu
pelita sahaja. Maka sudah pastilah pandangan pada waktu malam adalah tidak
jelas dan samar-samar. Maka tegahan ini sebenarnya adalah untuk mengelakkan
daripada terpotong kuku secara berlebihan ataupun melukakan jari sendiri
kerana kemampuan pandangan mata yang tidak berapa jelas.
Seiring dengan perkembangan masa, walaupun telah ada bekalan
eletrik, pantang larang ini masih mempunyai rasional untuk diikuti. Sekalipun,
terdapat cahaya dari lampu elektrik, keadaan pada waktu malam masih tidak

secerah waktu siang. Ditambah pula dalam keadaan diri yang mulai mengantuk,
juga dikhuatiri akan melukakan jari semasa memotong kuku.

Pantang larang keempat


Jangan minum air sambil makan, nanti perut buncit
Amalan pemakanan dan cara minum juga tidak terlepas daripada
menjadi antara aspek yang terkandung dalam pantang larang masyarakat
Melayu. Malahan amalan makan dan minum merupakan antara aspek yang
mempunyai banyak pantang larangnya. Ini kerana makan dan minum adalah
perkara yang kita lakukan setiap hari dan cara kita makan dan minum
sebenarnya sentiasa menjadi perhatian orang di sekeliling kita. Exco Kanan
Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa), Sheikh Ahmad Afiq Sheikh Yahya, berkata
kebanyakan pantang larang Melayu berkaitan dengan amalan pemakanan
kerana kesihatan setiap individu berkait rapat dengan tabiat pemakanannya.
Masyarakat dulu tidak menggalakkan sesiapa juga meminum air ketika
makan atau dengan kata lain makan sambil berselang seli dengan meminum air.
Amalan ini dikatakan boleh menyebabkan kegemukan dan perut menjadi buncit.
Ini kerana makanan yang diambil tidak dapat hadam dengan sempurna. Menurut
Dato Dr. Fadzillah Kamsah dalam artikel Tips Menjadi Orang Yang Cemerlang,
beliau meyarankan agar kita minum air selepas 15-30 minit selesai makan.
Beliau juga melarang meminum air semasa makan.
Jadi, jika dilihat dari sudut kesihatan, pantang larang ini memang wajar
untuk diikuti. Larangan ini jelas selari dengan fakta saintifik yang menunjukkan
tabiat makan sambil disulami dengan minum air akan menyusahkan proses
penghadaman berlangsung dalam diri seseorang. Ia juga akan memberi kesan
kepada tenaga kita. Di samping itu makan sambil minum air juga dipercayai
boleh melemahkan tenaga batin seseorang.