Anda di halaman 1dari 1

KEMAHIRAN BERFIKIR DALAM KURIKULUM DAN KOKURIKULUM

Di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), terdapat 6 aspirasi murid


untuk bersaing di peringkat global. Salah satunya adalah Kemahiran Berfikir. Menurut
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis telah
bermula pada tahun 1994. Kemahiran berfikir ini memberi fokus kepada kemahiran berfikir kritis
dan kreatif ke arah penyelesaian masalah dan membuat keputusan, metakognisi dan
penekanan dalam kurikulum dan pedagogi. Manakala, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
yang bermula pada tahun 2013 pula adalah kesinambungan kepada Kemahiran Berfikir Kreatif
dan Kritis. KBAT ini memberi fokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi iaitu mengaplikasi,
menganalisis, menilai dan mencipta. Penekanan KBAT adalah dalam kurikulum, pedagogi,
pentaksiran, kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, bina upaya serta sumber.
Secara umum terdapat dua jenis kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir aras rendah
yang tidak memerlukan pemikiran yang luas dan mendalam.Sebagai contoh kemahiran ini
hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau maklumat yang
disampaikan oleh guru kepada mereka. Kemudian meluahkannya semula sekiranya terdapat
soalan yang memerlukan jawapan mereka.
Sementara itu, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan kemahiran intelek yang tinggi.
Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan dengan
menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan
membuat perancangan.
Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses
dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam berbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini
juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif. Dengan memiliki kemahiran ini, murid
bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan
akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan
maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada
beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan mereka
cipta di kalangan murid.