Anda di halaman 1dari 9

PENGURUSAN KREATIF

Pengenalan

Tamadun dunia tidak wujud, berkekalan, meningkat dan berkembang tanpa pemikiran daya usaha
baru, penghasilan baru dan pendekatan baru. Hasil daripada usaha ini pada umumnya boleh diinterpretasi
sebagai daya kreatif. Daya kreatif membawa manusia meneroka bidang baru, mengadakan pendekatan
baru dan menghasilkan alat dan perkakas baru yang boleh meneruskan peningkatan dan hasil mutu
pengeluaran dan perkhidmatan dari masa ke semasa.

Sebenarnya semenjak dilahirkan, manusia biasa, berasaskan naluri kemanusiaan, sentiasa


berusaha untuk membuat sesuatu yang baru. Anak-anak yang kecil sentiasa menunjukkan minat atau
kecenderungan kepada sesuatu yang baru ataupun kepada sesuatu yang belum mereka buat dengan baik.
Sebagai contoh, anak-anak yang masih kecil senang bosan dengan alat-alat permainan yang mereka
biasa dan mereka akan berminat kepada sesuatu yang belum biasa atau miliki. Ini menunjukkan bahawa
naluri biasa manusia sentiasa ingin mencuba dan memperolehi sesuatu yang baru, sesuatu yang belum
ada pada mereka dan adakalanya sesuatu yang lebih mencabar.

Setelah anak-anak membesar, mereka tidak boleh lagi membuat sesuatu yang baru sesuka hati
mereka. Ini disebabkan terdapatnya sekatan-sekatan, larangan-larangan, peraturan-peraturan,
kengkangan-kengkangan (constraints) dan persekitaran yang menghadkan mereka daripada membuat
sesuatu di luar daripada kebiasaan atau juga disebut sebagai kebudayaan ataupun peraturan yang
diterima. Sedikit demi sedikit ia mengongkong mereka daripada memikir, mencuba dan membuat sesuatu
yang baru. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam masyarakat yang dipenuhi oleh tradisi, adab-adab
dan peraturan-peraturan yang ketat. Justeru itu, usaha-usaha yang kreatif dalam persekitaran sebegini
adalah kurang dibandingkan dengan setengah masyarakat yang kurang kongkongan atau penuh cabaran.
Sebaik-baiknya, mereka hanya mampu mengekalkan seni dan kraftangan yang ditinggalkan oleh nenek
moyang mereka.

Sejarah

1
Mengikut Jones (1972), beliau mengatakan bahawa manusia sememangnya mempunyai potensi
untuk bersifat kreatif. Dengan persekitaran dan teknik yang sesuai maka potensi kreatif ini boleh
dikenalpasti, dipupuk dan diukur. Gilchrist(1972) dalam buku kreativitinya yang bertajuk Ke Arah
Pembentukan Masyarakat Kreatif. Beliau mengulas pelbagai definisi tentang kreativiti dan membuat
keputusan bahawa kesemua definisi ini mempunyai satu ciri penting yang sama iaitu keupayaan untuk
menghasilkan sesuatu yang baru dan bernilai samada ia bersifat maujud atau tidak. Dalam buku yang
sama, Torrence (1974) memberikan satu definisi yang menyeluruh. Beliau mengatakan bahawa kreativiti
adalah suatu proses yang menjadikan seseorang itu peka terhadap masalah, kekurangan, jurang
pengetahuan, unsur-unsur yang hilang, ketidak harmonian dan sebagainya. Selain itu mengenalpasti
perkara-perkara sukar, mencari penyelesaian, membuat tekaan atau membentuk hipotesis tentang
kekurangan serta menguji semula hipotesis-hipotesis tersebut dan mungkin mengubahsuai dan
mengujinya semula. Akhir sekali menyalurkan keputusannya kepada orang lain. Sementara Mumford &
Gustafson (1988) mendefinisikan kreativiti sebagai penjanaan produk-produk yang bersifat novel dan
berguna bagi masyarakat.

Suasana Kreatif

Kreativiti wujud atas beberapa factor. Yang pertamanya ia wujud dalam satu masyarakat ataupun
kumpulan atau individu yang merasa tidak puas hati kepada sesuatu keadaan yang sedia ada. Bagi
masyarakat tradisional, usaha kreatif amat kurang kerana mereka berpuas hati dengan keadaan dan
kemudahan-kemudahan yang sedia ada. Rasa tidak puas hati wujud akibat daripada banyak faktor
termasuk persekitaran, persaingan, tekanan dan juga peluang-peluang yang ada.

Faktor kedua yang boleh mencetuskan kreativiti ialah apabila berlaku sesuatu tekanan yang
melibatkan ‘survival’. Justeru itu, kita mendengar cerita-cerita di mana orang-orang di Malaysia berupaya
membuat tayar dan pelbagai-bagai alat dari getah asli pada zaman Jepun. Pada masa itu, keadaan begitu
mendesak dan melihat bagaimana barang-barang makanan biasanya sebelum ini tidak terlintas untuk
dimakan dapat diadun dan diproses supaya ianya dapat dimakan dengan baik.

2
Faktor ketiga ialah persaingan (competition) yang memerlukan seseorang individu atau satu-satu
organisasi dapat mengekalkan kedudukan untuk berada ditahap yang lebih baik atau sekurang-
sekurangnya tidak ketinggalan. Justeru itu di negara-negara di mana rakyatnya terkongkong dan tertutup,
maka daya kreatif adalah kurang daripada negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan
ekonomi terbuka. Penswastaan yang menggalakkan saingan boleh mencetuskan daya kreatif yang jelas
dan dapat kita lihat seperti penswastaan televisyen milik kerajaan berikutan adanya saingan daripada
stesyen televisyen swasta. Birokrasi awam yang dikaitkan dengan aktiviti monopoli sering berkeadaan
dalam statik dan sukar membawa pembaharuan.

Rasa tidak puas hati mendorong manusia mencari alternatif. Rasa tidak puas hati wujud kerana
mereka mengetahui ada sesuatu yang lebih baik atau ada kesedaran tentang kekurangan yang ada pada
mereka. Imam Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumiddin ada membahagikan manusia kepada dua golongan.
Golongan terendah iaitu mereka yang tidak mengetahui apa yang tidak mereka mengetahui. Golongan
kedua ialah mereka yang tahu apa yang mereka tidak tahu dan akhirnya mereka tahu apa yang mereka
mengetahui. Pertama harus wujud kesedaran bahawa seseorang itu berada dalam kekurangan, tidak
cukup atau terkebelakang dan juga kesedaran bahawa terdapat satu keadaan yang lebih baik.

Takrif Kreativiti

Terdapat banyak usaha untuk mendefinasikan kreativiti. Percambahan definisi-definisi itu sendiri
mencerminkan satu daya kreativiti antara definisi yang sering digunakan adalah seperti berikut:

• Kreativiti ialah membuatnya sekali lagi


• Kreativiti ialah melihatnya semula
• Kreativiti ialah keluar daripada kebiasaan
• Kreativiti ialah berani untuk berbeza
• Kreativiti ialah bersedia mengambil risiko
• Kreativiti ialah tidak mengatakan tidak mungkin
• Kreativiti ialah menyelesaikan sesuatu yang tidak mungkin diselesaikan
• Kreativiti ialah menggunakan bahagian kiri dan kanan otak

3
• Kreativiti ialah menarik rangsangan kepada orang yang sangsi
• Kreativiti ialah mempercayai mimpi disiang hari dan seterusnya.

Yang jelasnya kreativiti boleh membawa perubahan, pembaharuan dan peningkatan secara kecil
atau besar.

Cara Peningkatan Kreativiti

Banyak cara bagaimana daya kreativiti dapat ditingkat dan ditambah. Salah satunya, ialah
menghubungkaitkan sesuatu dengan sesuatu yang lain seperti melalui percambahan fikiran (brain
storming). Walaubagaimanapun De Bono berpendapat ‘brain storming’ boleh mengganggu usaha kreativiti
yang serius dan mencadangkan supaya ada garis-garis panduan dan pemikiran yang lebih tersusun.

Sebagai contah, apabila kita melihat kepada sebuah sungai, mereka yang tidak kreatif akan
melihatnya sebagai sungai yang besar atau pun sungai yang kecil ataupun yang dalam ataupun yang cetek
dan seterusnya berasaskan kepada pandangan fizikal dan pengalaman masing-masing. Seorang
pengayuh sampan akan memberi perhatian kepada kedalaman airnya dan kederasan air yang mengalir.
Seorang nelayan akan melihatnya dalam konteks jumlah dan jenis ikan dan tempat-tempat ikan berhimpun
dan seterusnya mengikut pengalaman dan keperluan masing-masing. Inilah yang dianggap oleh J.P.
Guildford sebagai ‘convergent thinking’ iaitu melihat sesuatu mengikut order dan ada hubungan secara
teratur.

Pandangan seperti itu tidak mungkin dapat mewujudkan satu daya kreativiti yang besar, kerana
pemikiran seseorang itu sudah tentu dikongkong oleh kehendak keperluan dan kebiasaan masing-masing.
Sebagai contoh mudah, kreativiti memerlukan seseorang itu memandang sebuah sungai dan
menghubungkan (linking) sungai berkenaaan dengan sesuatu yang lain sama ada secara kehadapan
(forward linkages), kebelakang atau sekeliling. Lebih luar biasa hubungan tersebut maka lebih kreatif dan
kemungkinan hasil yang akan diperolehi. Sebagai contoh, pada satu tahap sungai mungkin dihubungkan
dengan hotel, restoran, rekreasi, pasir, ternakan ikan, tempat perkelahan, bas air, ataupun mungkin
dihubungkan dengan sesuatu yang lebih jauh daripada itu.

4
Sekiranya perhubungan ini sentiasa diolah dan dikenal pasti dan exercise-exercise sentiasa
diadakan, satu idea yang kreatif akan timbul. Seperti yang dijelaskan tadi, ‘the more isolated result between
two phenomenal that can be put together, the bigger creativity output will be’.

Satu lagi pendekatan untuk mewujudkan daya kreatif ialah melihat sesuatu bagaimana seorang
artis moden melihat awan yang bergerak sebagai punca hujan tetapi seorang artis akan melihatnya dalam
berbagai bentuk yang boleh diolah-olah dan menimbulkan seni dan keindahan yang lebih jauh.

Seseorang yang kreatif akan melihat semua yang ada disekitarnya sebagai positif ataupun boleh
dijadikan positif atau merupakan peluang. Sebagai contoh seorang artis moden akan melihat dan
menjadikan benda-benda buruk yang terbuang sebagai bahan karya yang menarik. Seorang arkitek
landskap yang kreatif akan melihat semua bentuk rupa bumi sama ada tanah rata, tanah berbukit, lembah,
cerun, kolam sebagai aset untuk dijadikan kepada pembentukan satu landskap yang menawan. Apa yang
perlu ia buat ialah menambah ke atas kekuatan yang sedia ada untuk mewujudkan satu landskap yang
menarik dan mungkin kos yang minimum.

Kreativiti Di Pejabat/Institusi

Kreativiti di pejabat ialah satu daya usaha yang penting bagi membolehkan peningkatan
produktiviti, pembaikan kecekapan, memperelokkan persekitaran kerja dan seterusnya meningkatkan imej
organisasi yang berterusan.

Kreativiti di dalam pejabat boleh ditingkatkan dengan berbagai cara. Pertama ialah dengan melihat
sesuatu isu. Ini memerlukan keupayaan mengemuka dan mengenengahkan soalan-soalan yang boleh
menimbulkan jawapan-jawapan dari berbagai sudut. Sebagai contoh, isu yang timbul ialah masalah
perbarisan menunggu yang panjang. Beberapa soalan kreatif perlu dikemukakan terlebih dahulu sebelum
hasil yang kreatif dapat diwujudkan. Antara soalan-soalan yang mungkin dapat dikemukakan ialah seperti
berikut:

(i) Bagaimana hendak memendekkan barisan menunggu?

5
(ii) Bagaimana hendak mengurangkan orang yang berbaris?

iii) Bagaimana hendak mempercepatkan pergerakan barisan?

(iv) Bagaimana hendak menjadikan orang berbaris rasa tidak bosan dan seterusnya sebanyak
mungkin persoalan yang boleh dicambahkan melibatkan bagaimana , begini dan begitu?

Dengan persoalan-persoalan seperti di atas, ia dapat menggalakkan daya kreatif untuk mencari
penyelesaian yang kreatif.

Di dalam sesebuah pejabat, kreativiti hanya boleh timbul sekiranya wujud rasa tidak puas hati
dengan keadaan sekarang. Rasa tidak puas hati mengenai persekitaran, susun atur, kebersihan pejabat,
peraturan-peraturan pejabat, cara bekerja dan masa untuk menghabiskan sesuatu kerja. Oleh itu sering
kali kita dapati bahawa pegawai-pegawai yang baru memasuki sesuatu pejabat atau ditukar kepada tugas
baru akan lebih kreatif kerana mereka tidak mempunyai satu budaya yang mengawal pemikiran mereka.
Walaubagaimanapun, pegawai-pegawai baru ini mungkin tidak mempunyai peluang atau saluran di mana
daya kreativiti mereka dapat disalurkan, diolah, diperkemas dan dilaksanakan. Sebaliknya mereka yang
berada lama dalam satu organisasi sering menjadi kurang kreatif dan mengambil sesuatu keadaan ‘for
granted’.

Pengaruh Kriteria Terhadap Pemikiran Kreatif

Dari satu sudut pandangan, pewujudan kriteria-kriteria yang komprehensif bagi membuat
keputusan boleh mengongkong daya kreatif seseorang. Dari sudut yang lain pula kriteria yang ditetapkan
membuatkan satu ruang dan peluang bagi kakitangan sesebuah pejabat atau agensi untuk berfikir secara
kreatif dan bukan memikirkan sesuatu yang tidak munasabah.

Kriteria-kriteria komprehensif yang juga diberi nama-nama lain dengan sedikit modifikasi seperti
standard Q merupakan garis panduan supaya sesuatu keputusan dibuat dan cara-caranya dapat diolah
sebagai satu usaha kreatif.

6
Sebagai satu contoh mudah Wawasan 2020 telah menetapkan kriteria-kriteria umum iaitu
mewujudkan sebuah negara perindustrian maju dengan sembilan cabaran-cabaran yang lebih spesifik. Ini
memudah strategi yang kreatif untuk mencapai matlamat tersebut. Kriteria-kriteria jika digunakan dengan
lebih spesifik lagi boleh menumpukan pemikiran yang lebih bernas dan kreatif. Kriteria-kriteria seperti
negara maju tidak ada penduduk setinggan, sungai-sungai yang kotor, buta huruf dan sebagainya
membantu perancangan dan perlaksanaan berfikir dengan lebih praktikal dan kreatif.

Mewujudkan Persekitaran Kreatif

Sekiranya tidak ada usaha-usaha untuk mewujudkan suasana yang sesuai maka sukar untuk
memupuk usaha-usaha kreatif. Daya kreatif jika ada, akan senang ditenggelami oleh suasana yang telah
lama wujud dan berakar umbi. Justeru itu, terdapatlah usaha-usaha seperti ‘job rotation’,’job enrichment’
aktiviti-aktiviti latihan, lawatan dan lain-lain usaha pentadbiran untuk mengelak daripada kebosanan kerja
dan mewujudkan satu suasana baru yang membolehkan seseorang itu berfikir secara baru dan lebih
kritikal kepada keadaan semasa.

Seorang individu di dalam satu keadaan mungkin lebih sukar untuk melihat kekurangan atau
kelemahan di dalam persekitarnya. Kreativiti selalunya lebih mudah dikenal pasti apabila pandangan dari
berbagai pengalaman dan sudut daripada ramai orang dapat dikumpul dan disatukan dan diolah untuk
mewujudkan sesuatu yang baru dan lebih baik. Oleh itu, terdapat usaha-usaha mewujudkan kumpulan-
kumpulan yang diberi peluang memikirkan bersama masalah dan cuba mencari penyelesaiannya. Justeru
itu, kita dapat lihat usaha-usaha pengurusan seperti Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) dan TQM dan
lain-lain usaha untuk mewujudkan kumpulan-kumpulan kecil antara lain supaya ia boleh melihat sesuatu
dengan lebih kreatif tanpa kongkongan pihak pengurusan serta keadaan dan persekitaran yang sedia ada.
Kumpulan-kumpulan sedemikian bertujuan untuk mengemukakan cadangan-cadangan baru yang boleh
dianggap kreatif bagi sesuatu organisasi. Peti-peti cadangan yang teratur dan berkesan juga merupakan
satu cara untuk mendapat idea-idea kreatif yang tidak dikongkong oleh kengkangan-kengkangan biasa
seperti perhubungan antara pengurusan dan pekerja.

Mekanisme Khas

7
Sebenarnya di dalam sesuatu organisasi terdapat banyak idea-idea kreatif yang berlegar di merata
tempat seperti di warung kopi, cakapan-cakapan dalam dan luar pejabat dan tempat-tempat yang tidak
formal. Tetapi tidak ada mekanisme yang tersusun yang boleh mengenal pasti, mengemas kini dan
mengolah idea untuk kepentingan organisasi. Walaupun mesyuarat-mesyuarat berjadual biasa mungkin
diadakan ia tidak dapat dijadikan forum yang berkesan untuk kreativiti kerana banyak kepentingan seperti
menjaga hati yang diambil kira. Oleh itu, kreativiti dalam satu organisasi memerlukan satu mekanisme khas
yang membolehkan idea diketengahkan oleh anggotanya ditapis, diolah, dibentuk dan dilaksanakan.
Mengikut John Anorld, “Few ideas are in themselves practical. It is for want of imagination in applying them,
rather than inacquiring them that they vail. The creative process does not end with an idea-it only starts
with an idea”. Tanpa usaha-usaha sedemikian serta komitmen yang tinggi daripada pucuk pimpinan
masyarakat kreatif tidak akan dapat diketengahkan.

Penutup

Di dalam dunia yang terbuka dan berubah begitu cepat setiap organisasi dan masyarakat tidak
mungkin dapat ke depan tanpa usaha-usaha kreatif di dalam berbagai bidang. Walaubagaimanapun tidak
semua usaha kreatif boleh membawa kepada kebaikan kerana perkara yang boleh membawa keburukan
juga merupakan usaha kreatif. Oleh itu setiap usaha kreatif perlulah bertapak kepada nilai dan etika yang
murni supaya hasilnya dapat dimanfaatkan oleh organisasi, masyarakat dan umat manusia
keseluruhannya.

BIBLIOGRAFI

1. Carnil, Collin. Managing Change London: Routledge, 1986.

2. Flectcher, Wiston, Creative People London: Hutchinson Business Books, 1988.

3. Bannet, C.C., The Creative Manager Washington D.C., ICMA, 1986.

8
4. Grossman, Stephen R., Rogers Burce E., and Moore, Beverley R. Innovation Inc., Pleno Texas:
Wordware Publishing Inc. 1988.

5. De Bono, Edward, Serious Creativity London: Fotona, 1992.