Anda di halaman 1dari 20

1

SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

ISU DAN CABARAN INSTITUSI MASJID DALAM PEMBENTUKKAN SAHSIAH REMAJA DI


ERA GLOBALISASI DAN CADANGAN PENYELESAIANNYA
Oleh:
Abdul Razak Abd Muthalib
(Kolej Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur)
Mohd Khairil Anwar Abd Latif
(Kolej Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur)
Ezry Fahmy Bin Eddy Yusof
(Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF)

Abstrak
Institusi masjid merupakan institusi yang memainkan peranan sangat penting di dalam
kehidupan masyarakat Islam. Tetapi pada masa kini fungsi masjid dilihat tidak lebih hanya
sebagai tempat mendirikan solat lima waktu sahaja. Ini sangat berbeza dengan fungsi masjid di
zaman Rasulullah s.a.w. di mana ianya pusat segala aktiviti kehidupan. Tindakan Nabi s.a.w.
membina masjid sebagai langkah pertama yang dilakukannya sebaik sahaja tiba di Madinah
membuktikan dan menjelaskan perkara ini. Antara cabaran yang dihadapi oleh Insitutusi Masjid
di Era Globalisasi ini ialah peranannya dalam pembentukan syakhsiah remaja. Remaja
merupakan aset Negara pada masa akan datang, jika golongan ini bermasalah akan
menyebabkan kesan yang negatif kepada Negara. Umumnya pengajaran dan pembelajaran di
institusi masjid pada masa kini kurang atau tidak mengambil berat terhadap peranannya dalam
menarik golongan muda ini khususnya remaja. Kelemahan dari sudut pengajaran, antaranya isi
kandungan penyampaian yang tidak mencapai piawaian yang sepatutnya serta tidak
bersesuaian dengan kehidupan masyarakat, khususnya golongan remaja di era globalisasi ini.
Akhirnya merebak kepada kelemahan di dalam sistem pembelajaran yang hanya terhad kepada
cara-cara yang tertentu sahaja. Kertas kerja ini akan mengkaji pelbagai sudut peranan yang
mesti dimainkan oleh sebuah institusi masjid dalam konteks pengajaran dan pembelajaran ini.
Kedua-dua elemen ini sangat penting untuk dikaji dan diperbaiki sekiranya didapati padanya
sebarang kelompangan yang akan membantutkan peranan institusi ini secara keseluruhannya.
2
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Tujuan Kertas Kerja


Kertas kerja ini secara keseluruhannya bertujuan untuk melihat apakah isu-isu dan cabaran
yang dihadapi oleh institusi masjid dalam usaha pembentukan syakhsiah remaja dan beberapa
cadangan penyelesaiannya.

Objektif Kertas Kerja


Bagi mencapai tujuan di atas, secara khususnya kertas kerja ini bertujuan untuk mencapai
objektif berikut:
 Mengenal pasti peranan utama institusi masjid di sisi Islam
 Mengenal pasti realiti peranan yang dimainkan oleh institusi masjid pada masa sekarang
 Mengenal pasti isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh institusi masjid dalam
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat golongan
remaja
 Mengenal pasti langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh institusi masjid dalam usaha
menarik minat golongan remaja

Fungsi dan Peanan Masjid Dalam Islam

Tujuan utama penciptaan manusia ini ialah supaya manusia mengabdikan diri kepada Allah. Di
dalam Islam, masjid merupakan suatu institusi mulia yang digunakan oleh umat Islam untuk
beribadah bagi membuktikan ketaatan dan pengabdian yang ikhlas kepada Allah. Allah s.w.t
berfirman yang bermaksud. “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat
kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-
sama Allah”.1

Jadi, masjid adalah tempat untuk beribadah. Ibadah di sini bukan beerti solat semata-mata,
tetapi mencakupi ruang lingkup ibadah yang lebih luas. Inilah fungsi utama masjid seperti yang
dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud, "Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan
nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya
dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat
memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya,
yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati

1
Surah al-Jin, ayat 18.
3
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya
berbalik-balik hati dan pandangan."2

Menurut Abd al-Rahman bin Nasr al-Sa’di (2005), ketika menghuraikan ayat ini beliau
menyatakan ”termasuk di dalam maksud ”supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama
Allah padanya” ialah dengan ditunaikan solat sama ada fardhu atau sunat, membaca al-Quran,
bertasbih, bertahlil dan zikir-zikir yang lain,proses pengajaran dan pembelajaran,
bermuzakarah, iktikaf dan ibadat-ibadat lain yang boleh dilakukan di masjid...”.

Jelas bahawa fungsi masjid seperti yang dijelaskan oleh ayat ini bukan hanya untuk ditunaikan
solat semata-mata, tetapi mencakupi seluruh aspek ibadah yang lain. Dalam erti kata lain, ia
merangkumi segala aktiviti umat Islam yang boleh membentuk nilai ketakwaan. Di atas dasar
inilah Rasulullah menjadikan agenda membina masjid sebagai perkara pertama yang dilakukan
selepas baginda sampai di Madinah. Justeru, fungsi utama masjid ialah sebagai sebuah
institusi umat Islam yang berusaha membentuk dan memupuk nilai taqwa di dalam diri umat
Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud,"Janganlah engkau sembahyang di masjid itu (yang
dibina oleh orang munafik) selama-lamanya kerana sesungguhnya Masjid (Quba) yang didirikan
atas dasar takwa dari mula (wujudnya), (maka) sudah sepatutnya engkau sembahyang
padanya...".3

Oleh sebab itu, peranan yang dimainkan oleh masjid nabawi yang dibina oleh Rasulullah s.a.w
bukan sekadar sebagai tempat untuk ditunaikan solat semata-mata. Masjid di zaman Rasulullah
telah berfungsi sebagai nadi penggerak ummah ketika itu. Menyentuh tentang hal ini, menurut
Halimaton Saadiah (1997), ”Daripada perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w, umat Islam perlu
mengambil iktibar bahawa masjid boleh berfungsi lebih daripada apa yang biasa dianggap kini,
iaitu masjid sebagai rumah ibadat bagi umat Islam”.

Kemudian, beliau menyenaraikan beberapa fungsi yang telah dimainkan oleh masjid di zaman
Rasulullah s.a.w:
1) Fungsi Ibadah: Solat berjemaah lima kali sehari semalam merupakan tonggak
segala aktiviti lain.
2) Pusat pengajaran dan pembelajaran

2
Surah Al-Nur, ayat 36-37.
3
Surah At-Taubah, ayat 108.
4
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

3) Pusat Pentadbiran
4) Pusat Kehakiman: Penduduk Madinah mengajukan masalah-masalah mereka
kepada Rasulullah s.a.w di masjid dan Baginda juga telah menyelesaikan banyak
pertelingkahan di masjid.
5) Pusat Penerangan dan Maklumat: Khutbah memainkan peranan yang penting bagi
menyalurkan ilmu, maklumat dan nasihat.
6) Pusat Perhubungan: Rasulullah bukan sahaja mengadakan perhubungan dengan
sahabat-sahabat baginda bahkan melayani rombongan dan pengunjung-pengunjung
bukan Islam dengan baik.
7) Pusat Kebajikan: Golongan fakir miskin ditempatkan di suatu ruang dalam masjid
Nabawi.
8) Pusat Rawatan dan Kecemasan: Selepas peperangan khususnya, mereka yang luka
turut dirawat di masjid.
9) Pusat Interaksi Masyarakat

Berdasarkan Muhammad (2007) pula, fungsi masjid ketika zaman Rasulullah s.a.w merupakan
tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam. Masjid juga dijadikan tumpuan dan pusat bagi
sebarang penyelesaian masalah individu dan masyarakat. Walaupun bertempatkan masjid yang
serba sederhana, ianya digunakan oleh Rasulullah s.a.w untuk menerima dan berjumpa dengan
duta-duta asing, dan tempat yang mana pemimpin-pemimpin Islam bersidang selain digunakan
sebagai madrasah dan tempat pengajian bagi menuntut ilmu tentang ajaran Islam. Ketika
menggambarkan fungsi utama masjid selain tempat ibadat, Muhammad (2007) berkata:

“Sejarah masjid Quba di Madinah menjadi bukti sebagai institusi pendidikan


apabila ianya didirikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri sebagai medium untuk
baginda s.a.w memberi khutbah dan halaqah sementara para sahabat duduk
mengelilingi baginda dan melakukan soal jawab berkaitan urusan agama sehari-
hari. Begitulah juga fungsi dan peranan masjid-masjid utama yang lain seperti
Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi”
(p.220-221).

Melihat kepada fungsi yang dimainkan oleh institusi masjid pada zaman Rasulullah ini,
kemungkinan ia suatu yang sukar untuk diaplikasikan keseluruhannya kepada masjid-masjid
yang ada sekarang. Tetapi, sejauh manakah institusi masjid sekarang; dengan kapasiti
5
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

kemampuan yang ada, telah memaksimumkan fungsinya supaya ia benar-benar menjadi nadi
pengerak umat? Justeru, apakah realiti fungsi masjid pada masa kini?

Realiti Fungsi Masjid Pada Masa Kini


Institusi masjid merupakan satu aset penting dalam sejarah kebangkitan Islam. Sebagai salah
satu pusat yang berperanan penting kepada simbolik wilayah Islam, institusi masjid terus
berfungsi sebagaimana fungsi-fungsinya yang universal. Dalam era globalisasi ini, fungsi dan
peranan institusi masjid dituntut supaya berperanan lebih luas sesuai dengan peredaran masa.
Tidak wajar institusi masjid yang dahulunya menjadi pusat pengembangan syiar Islam
dikecilkan skopnya sebagai hanya sekadar rumah ibadat semata.

Dalam usaha memakmurkan masjid, Ghafani Awang Teh (2008) mencadangkan beberapa
langkah praktikal antaranya:
“Menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, menyediakan
senibina yang menarik, persekitaran yang bersih dan ceria, kemudahan tandas
yang selesa, menyediakan risalah mengenai Islam dan fungsi –fungsi dalaman
masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa,
menjalankan promosi yang luas kepada masyarakat setempat dan pelancong
asing, menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dan menyediakan
ruangan pameran serta galeri.”

Di Malaysia khususnya, kita tidak dapat menafikan keindahan seni bina masjid-masjid yang
memaparkan budaya dan etnik masyarakat setempat. Masjid-masjid seperti Masjid Negara,
Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapong-Tengku Tengah
Zaharah Kuala Terengganu, Masjid Kristal Jerteh Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar,
Masjid Kg Laut Kelantan, Masjid Ulu Melaka Melaka dan lain-lain semestinya memukau para
pelancong asing yang datang ke Malaysia. Adapun tujuan menjadikan institusi masjid sebagai
destinasi pelancongan yang menjadi matlamat utama kebanyakan pihak dikhuatiri tersasar
daripada fungsi asal kewujudan masjid.

Hal ini adalah kerana kewujudan dan pembinaan masjid dilihat lebih menfokuskan kepada seni
binanya yang bakal mengkagumkan para pelancong daripada pengisian rohani dan kesan yang
boleh dilakukan kepada masyarakat setempat. Perbelanjaan jutaan ringgit untuk membina
masjid dengan tujuan bermegah-megah adalah satu perbuatan yang sia-sia, membazir dan
6
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

menunjukkan sifat yang berlebih-lebihan sekiranya orang yang memakmurkannya pula hanya
sedikit. Imam Ahmad meriwayatkan dari Anas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
" Tidak akan datang kiamat sehingga manusia bermegah-megahan dalam membangun masjid"4

Sikap berlebih-lebihan ini kadang-kala dilihat menyerupai kaum Yahudi ataupun Nasrani dalam
membangunkan tempat ibadat mereka, lebih besar belanja dan keluasannya, lebih tersohor
nama masjid tersebut. Ibnu Abbas berkata: “Sungguh kalian akan memperindah dan
menghiasinya (masjid) sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani memperindah dan
menghiasi tempat ibadah mereka.”5 Maka tidaklah harian apabila ramai pihak sehingga kini
masih meragui masjid-masjid di Malaysia perihal fungsi dan peranannya dalam mencontohi
kegemilangan institusi masjid pada zaman kegemilangan Islam walaupun telah menelan
belanja yang besar.

Selain itu, masjid di sesetengah kawasan di Malaysia juga dilihat dijadikan tempat perkumpulan
(serta tarikan pelancong) kerana terdapat kuburan orang-orang ternama di dalam perkarangan
masjid. Perkara ini kurang diberi perhatian oleh jabatan agama Islam negeri (JAIN) walhal ianya
perkara yang boleh merosak fungsi utama institusi masjid sebagai tempat ibadat, bukannya
makam perkuburan. Hatta ianya hanya kuburan orang biasa yang ditanam di perkarangan
masjid apatah lagi perkuburan yang akhirnya dibangunkan masjid di atasnya adalah satu
kesalahan dari aspek fekah dan dikhuatiri mampu merosakkan akidah umat Islam.

Rasulullah s.a.w telah mengingatkan agar tidak menempatkan kubur di perkarangan masjid
kerana ianya merupakan perbuatan Yahudi dan Nasrani, ianya juga dari sudut hikmah demi
mengelak menjadi sarana mempersekutukan Allah s.w.t dengan para penghuni kuburan-
kuburan tersebut, yang mana diantara akibatnya, orang-orang berkeyakinan bahawa para
penghuni kuburan yang dikuburkan di masjid-masjid itu boleh memberikan syafaat, manfaat dan
sebagainya. Hal ini jelas berbeza dengan Masjid Nabawi yang dibesarkan daripada keluasan
asal demi menampung jemaah yang semakin ramai.

Tidak keterlaluan anggapan bahawa perkara ini dipandang enteng oleh jabatan agama Islam
negeri (JAIN) apabila masih banyak kelihatan masjid-masjid yang terdapat kuburan di
perkarangan masjid dewasa ini tanpa ada sebarang tindakan diambil. Ada juga yang

4
Sahih Al-Jami As-Shagir 6 : 174, hadis no. 7298
5
Sahih Bukhari, Kitab As-Solah, Bab Bunyanil Masajid jld. 1 hal. 539.
7
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

mengambil kesempatan menggunakan kuburan orang-orang ternama yang berada di


perkarangan masjid sebagai salah satu promosi kepada masjid berkenaan.

Antara masjid yang terkenal yang boleh dijadikan contoh dalam isu ini ialah Masjid
Melayu,Bandar Taiping (Masjid Lama Taiping), Masjid Pondok Upeh,Balik Pulau, Masjid
Kampung Kling,Melaka, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Mengabang Telipot, Masjid
Langgar, Masjid Kampung Telaga Nenas, Masjid Tok Selehor, dan banyak lagi. Mengapa ianya
menjadi isu yang penting untuk dibangkitkan ialah kerana fungsi utama masjid sebagai tempat
ibadat tercemar dengan keadaan ini apabila sudah jelas amaran Allah melalui firmanNya yang
bermaksud, “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka jangalah
kamu menyembah seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah”6.

Di samping isu dan peranan masjid masa kini, kita juga tidak dapat menafikan wujud
sesetengah masjid yang bijak dalam menggunakan dana-dana yang diperolehi dalam
melaksanakan program atau aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Sepertimana yang dinyatakan
oleh Jaafar et. (2001) bahawa masjid juga berfungsi sebagai penerima sumbangan harta fizikal
dalam pelbagai bentuk termasuklah peralatan hinggalah tanah dan bangunan yang diwakafkan
oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu apabila semua sumbangan dana dan harta yang diwakafkan
ini digabungkan, maka sebahagian masjid itu mempunyai dana dan harta yang besar nilainya.
Apa yang menjadi kerisauan semua pihak ialah apabila banyak harta wakaf masjid yang terbiar
tanpa diusahakan untuk mendatangkan faedah yang diharapkan.

Perkara ini perlu diambil serius supaya fungsi masjid itu berkembang sesuai dengan peredaran
zaman dan pihak pengurusan masjid dituntut bersifat kreatif dan inovatif dalam merancang
aktiviti dan hala tuju masjid sebagai pusat pengembangan syiar Islam seperti yang pernah
diterajuinya suatu masa dahulu dan sehinggalah hari ini. Masjid tidak seharusnya hanya
bertumpu pada hal ehwal ibadat semata, contohnya wujud beberapa masjid yang hanya
mengisi jadual aktiviti bulanan mereka dengan solat hajat secara berjemaah pada isu-isu yang
dirasakan perlu, atau bacaan yasin dan tahlil yang dibuat secara mingguan dan lain-lain aktiviti
tanpa merancang program-program yang mampu lebih mendekatkan masyarakat terutamanya
remaja dengan masjid.

6
Surah Al-Jin, ayat 18.
8
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Jaafar et. (2001) berpandangan bahawa, “Jawatankuasa yang mempunyai kemahiran


pengurusan yang tinggi dijangka akan dapat merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang
menarik dan mampu melibatkan anggota masyarakat keliling dalam usaha memakmurkan dan
memuliakan masjid”(p.12).

Masjid juga berperanan sebagai pusat penyampaian maklumat dan kesedaran kepada
masyarakat melalui program atau aktiviti yang dijalankan selain adanya fungsi khutbah yang
disampaikan secara mingguan dalam metod yang lebih formal. Melalui program atau aktiviti
mingguan atau bulanan yang dibuat mampu menarik minat golongan tertentu untuk
mendekatkan diri mereka dengan aktiviti yang dianjurkan oleh masjid. Antara program atau
aktiviti dari sudut sosial yang dianjurkan oleh masjid di sekitar ibu kota ialah seperti kelas
pengajian al-Quran, kelas taekwondo, program pengurusan rumahtangga, seminar-
seminar,khidmat sosial dan kaunseling keluarga atau kemusykilan agama dan sebagainya.

Pengajaran dan Pembelajaran di Masjid: Isu dan Cabaran Dalam Pembentukan Syakhsiah
Remaja
Antara fungsi penting yang dimainkan oleh institusi masjid dari dahulu hingga sekarang ialah
sebagai tempat penyebaran ilmu dan pendidikan. Proses ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti
kuliah mingguan, ceramah, forum dan sebagainya. Cuma, berdasarkan pemerhatian rambang
yang dilakukan di kebanyakan masjid, aktiviti-aktiviti ini kurang mendapat sambutan dari
kalangan remaja.

Menurut Mohd Yusof Othman (1997), “Buat masa ini, majlis ilmu yang dijalankan oleh pihak
masjid rata-ratanya hanya dijalankan melalui majlis “baca kitab”, yakni suatu majlis membaca
(kadang-kadang tanpa mengulas) kitab-kitab lama tertentu yang muktabar oleh ulamak tertentu
pada setiap minggu atau bulan. Kegiatan sebegini harus diteruskan. Kita tidak menafikan
kepentingan majlis seperti ini, tetapi keberkesanan dan kemampuan majlis seperti ini untuk
mengajak lebih ramai golongan remaja dan bukan untuk orang-orang pencen sahaja perlulah
dikaji. Majlis ilmu seperti ini yang mana identitinya merupakan “kelab orang-orang pencen atau
majlis taubat” sahaja perlu diubah agar imejnya menjadi lebih dinamik dan progresif”.

Justeru, inilah antara isu dan cabaran penting yang perlu diambil kira oleh pihak pengurusan
masjid supaya golongan remaja lebih dekat dengan masjid dan berminat untuk hadir aktiviti-
aktiviti masjid. Apabila golongan remaja berminat untuk hadir ke masjid, barulah agenda
9
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

tarbiyah dan pembinaan syakhsiyah dapat dilaksanakan. Oleh itu, perkara pertama yang perlu
difikirkan ialah bagaimana untuk menarik minat para remaja untuk hadir ke masjid, kemudian
barulah proses pembinaan syakhsiah itu dapat dilaksanakan.

Dalam merealisasikan perkara ini, sistem pengajaran dan pembelajaran yang diguna pakai oleh
institusi masjid mestilah dikaji dan diperhalusi agar ianya bertepatan dengan kehidupan
masyarakat berdasarkan peredaran zaman dan tempat. Tindakan tidak berperanan atau kurang
mengambil berat peranan institusi masjid terhadap golongan remaja ini akan menyebabkan
kerugian kepada masyarakat Islam dan dunia Islam secara keseluruhannya. Isu-isu yang wajar
diperhatikan dan diperbaiki dari sudut pengajaran supaya selari dengan keperluan zaman kini,
antaranya ialah:
1- Tenaga pengajar
Sistem pembelajaran secara terbuka seperti kuliah-kuliah pengajian, ceramah dan yang
seumpamanya yang dilakukan di dalam masjid merupakan suatu tradisi di dalam sistem
pengajian ilmu Islam yang diwarisi semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah ke hari ini.
Kuliah-kuliah ini merupakan tempat masyarakat menimba ilmu khususnya ilmu yang berkaitan
dengan hukum-hakam Islam sama ada berbentuk fardhu ain atau fardhu kifayah.

Tenaga pengajar atau guru merupakan faktor yang sangat penting dalam memainkan
peranannya menyampaikan dakwah serta menasihati masyarakat. Penyampaian yang efektif
dan berkesan terutamanya kepada golongan remaja adalah satu faktor yang mampu menarik
mereka mendekati masjid. Jika ditinjau kebanyakkan masjid yang ada di negara kita sekarang
ini, tenaga pengajar juga termasuk imam-imam masjidnya terdiri daripada mereka yang telah
berusia lanjut sehinggakan cara dalam penyampaian kuliah, ceramah dan juga khutbah lesu
dan tidak bermaya. Apabila mereka menghuraikan sesuatu masalah atau memberikan sesuatu
contoh, maka huraian atau contoh yang diberikan itu tidak sesuai dengan realiti kehidupan
remaja masa sekarang. Kesannya menyebabkan golongan remaja ini tidak berminat untuk
mendengarnya.

Ini tidak bermaksud untuk mengatakan usia yang lanjut itu tidak diperlukan lagi, bahkan
sebahagian mereka yang lanjut usianya itu kaya dengan pengetahuan dan pengalaman serta
masih bersemangat dalam misi dakwahnya. Cuma, tindakan yang mungkin boleh diambil oleh
tenaga pengajar ialah mempelbagaikan cara penyampaian mereka agar sesuai juga untuk
diterima oleh golongan remaja. Lihatlah kepada ‘uslub’ atau cara yang digunakan oleh
10
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai ucapan dan penyampaianya. Jabir bin Abdillah ketika
menyifatkan cara Nabi sewaktu berkhutbah meriwayatkan: “Nabi s.a.w. apabila baginda
berkhutbah, merah kedua matanya, kuat suaranya, bertambah kemarahannya sehinggakan
baginda seolah-olah sedang memberikan peringatan kepada tentera.”7

Di ketika yang lain pula al-Irbadh bin Sariyah meriwayatkan: “Pada suatu hari setelah selesai
daripada solat subuh Rasulullah s.a.w. memberikan peringatan kepada kami dengan suatu
peringatan yang mengalirkan air-air mata, dan menggentarkan hati-hati. Berkata seseorang:
Peringatan ini seperti peringatan perpisahan…”.8

Kedua-dua hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap penyampaian yang dibuat
haruslah meraikan keadaan dan orang yang mendengarnya. Dalam usaha untuk menarik
golongan remaja untuk mendengar sesuatu penyampaian, hendaklah cara penyampaian
tersebut sesuai dengan jiwa mereka. Sesebuah institusi masjid juga tidak harus mengenepikan
peranan pendakwah-pendakwah muda. Termasuk juga jawatan sebagai imam, khatib dan
muazzin yang seharusnya diberikan sedikit ruang kepada golongan muda supaya golongan
remaja ini lebih senang untuk didekati kerana jarak usia yang tidak terlalu berbeza.

Dari satu faktor yang lain, sikap sesetengah penceramah, tenaga pengajar atau pihak
pengurusan masjid sendiri yang terlalu cepat melabel dan menghukum golongan remaja
dengan persepsi yang negatif juga dilihat sebagai salah satu faktor kenapa remaja tidak
berminat untuk hadir ke kuliah-kuliah di masjid. Sebagai contoh, bayangkan apa perasaan
remaja jika dia pergi mendengar kuliah dan si ustaz mengatakan di dalam kuliahnya ayat-ayat
seperti: “Remaja-remaja sekarang semuanya telah rosak…”, atau “Remaja sekarang sudah
tidak boleh diharapkan lagi… dan sebagainya. Adakah sikap penceramah sebegini akan
mendekatkan lagi remaja dengan masjid atau pun sebaliknya?.

2- Bahan Pengajaran
Perkara yang paling penting dalam sistem pengajaran ialah bahan atau kandungan pengajaran
itu sendiri. Ianya suatu bahan pengisian yang membentuk dan mempengaruhi pemikiran serta
tindakan seseorang. Jika pengisian yang diguna pakai itu suatu pengisian yang baik dan

7
Sahih Muslim, kitab al-Jumuah, bab Takhfif al-Solat wa al-Khutbah, no: 1435.
8
Sunan Al-Tirmizi, Kitab al-Ilm an Rasulillah, bab Ma Ja’a fi al-Akhzi bi al-Sunnah wa ijtinab al-Bida’, no: 2676, beliau
berkata hadis ini Hasan Sahih.
11
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

berkualiti, maka ia akan melahirkan jiwa-jiwa yang berkualiti dan begitulah sebaliknya. Bahan
pengajaran inilah yang dinamakan sebagai ilmu, dan Islam amat mementingkan perkara ini.
Terdapat tenaga pengajar yang mengajar di masjid-masjid menggunakan bahan-bahan yang
tidak mencapai piawaian yang Islam mahukan. Islam mewajibkan setiap perkara yang hendak
disampaikan menepati fakta agama iaitu nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Selain itu
Islam juga turut mengiktiraf kajian sains dan perubatan.

Kehadiran tenaga pengajar yang tidak mementingkan keaslian dan kesahihan fakta terhadap
bahan-bahan yang disampaikannya, disebabkan dua faktor. Pertama ialah mereka tidak ada
suatu metodologi yang kukuh dalam memperolehi ilmu dan maklumat, menyebabkan mereka
tidak dapat menapis dengan baik segala maklumat yang mereka perolehi dari sudut keaslian
dan kesahihannya. Kedua ialah faktor sikap, iaitu seperti merasa diri sudah sangat berilmu,
malas untuk membuat kajian, hanya berpada dengan maklumat yang sedia ada dan
sebagainya. Antara bahan-bahan pengajaran yang dikenal pasti tersebar dan disampaikan oleh
tenaga pengajar atau penceramah-penceramah yang tidak mencapai piawaian ilmu yang
dikehendaki oleh Islam ialah:

a) Penggunaan hadis-hadis dhaif (lemah) dan maudu’ (palsu)


Perkara ini berlaku apabila para pengajar atau penceramah tidak menitik beratkan ilmu hadis
terutamanya ulum al-hadith atau mustolah al-hadith. Ilmu ini bertujuan menyiapkan seseorang
pengajar dengan ilmu untuk menyaring hadis-hadis yang hendak disampaikan kepada
masyarakat sama ada hadis tersebut boleh digunakan atau tidak. Sebahagian mereka mungkin
telah pun mempelajarinya tetapi oleh kerana tidak mengambil berat dalam masalah ini atau
kerana mereka sendiri tidak memahaminya menyebabkan perkara ini tersebar di dalam sistem
pengajaran dan pembelajaran di masjid khususnya.

Menurut Mariam Mohamed (2004), yang telah mengkaji hadis-hadis dari koleksi khutbah
Jumaat Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak, beliau mendapati bahawa daripada 102 hadis
yang dikaji, 32 (31.3%) adalah hadis dhaif, 6 (5.9%) amat dhaif, 8 (7.8 %) adalah palsu.
Menurut Jawiah Dakir (2009) yang memetik kajian yang dibuat oleh Rosmani A. Hamid (2005)
pula, dalam kajian beliau terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam beberapa khutbah Jumaat
negeri Melaka, beliau mendapati bahawa daripada 131 hadis yang dikaji, terdapat 27 hadis
adalah dhaif, 6 (4.5 %) amat dhaif, dan 12 (9.16 %) palsu, manakala 7 (5.34 %) tidak dapat
12
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

dikesan sumbernya. Ini bermakna sebanyak 45 (34.35 %) hadis dalam teks khutbah pilihan
tidak boleh dijadikan hujah.

Kesimpulan yang dibuat oleh Jawiah Dakir (2009) bahawa diantara faktor berlakunya
penyebaran hadis-hadis yang tidak sahih dari kelangan para penceramah ialah keghairahan
mereka untuk mengajak manusia ke arah kebaikan tanpa membuat rujukan terlebih dahulu,
sikap mengambil mudah dengan tidak menyemak semula kesahihan bahan yang ingin
diajarkan, kurang merujuk kepada kitab-kitab hadis, pembelajaran ilmu hadis yang tidak
mendalam dan kurangnya terjemahan kitab hadis.

Hadis-hadis yang lemah dan palsu ini memberikan kesan yang buruk terhadap kefahaman dan
imej Islam serta boleh menjauhkan golongan remaja dari mendekati masjid. Antara contoh-
contoh hadis lemah dan palsu yang sering disampaikan oleh golongan penceramah atau di
tampal di dinding-dinding masjid ialah:

1- Hadis yang melarang kanak-kanak hadir ke masjid “Jauhkanlah masjid-masjid kami dari
kanak-kanak dan orang-orang gila”.9
Hadis ini merupakan hadis yang lemah. Imam al-Baihaqi berkata: hadis ini tidak sahih, Ibn al-
Jauzi juga menghukumkannya tidak sahih. Berkata Imam al-Bazzar selepas meriwayatkannya
daripada Ibn Mas’ud: Tidak ada asal dari hadisnya.10 Kelemahan hadis ini juga dinyatakan oleh
Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.11

Hadis ini telah menyebabkan kanak-kanak disisihkan apabila mereka hadir ke masjid sehingga
saf mereka juga diasingkan jauh dari saf dewasa. Perkara ini boleh meninggalkan kesan
kepada kanak-kanak tersebut apabila mereka merasa disisihkan dan sering dimarahi. Akhirnya
apabila mereka meningkat ke alam remaja mereka tidak berminat untuk ke masjid. Yang
benarnya ialah jika saf dewasa masih terdapat kekosongan, hendaklah dipenuhkan dengan
kanak-kanak. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini al-Syafi’e.12 Begitu juga
hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud yang menyatakan Rasulullah menjadikan
saf kanak-kanak di belakang saf dewasa. Hadis ini lemah dari sudut sanadnya.

9
Sunan Ibn Majah dengan takhrij al-Albani, Kitab al-Masajid wa al-Jamaat, bab Ma Yukrah fi al-Masajid, no. 750.
10
Al-Asqalani, Ibn Hajar, Talkhis al-Habir fi Takhriji Ahadith al-Rafi’I al-Kabir,
11
Al-Albani, Muhammad Nasiruddin, Sunan Ibn Majah, takhrij al-albani dan Al-Irwa’ Al-Ghalil jilid 7, hlm 361.
12
Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm 492.
13
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Kata Syeikh al-Albani: “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhaif (lemah). Terdapat seorang
periwayat hadis yang lemah, namanya Syahr bin Husyab. Menjadikan saf kanak-kanak di
belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya
tidak boleh dijadikan hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali
dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama
seorang anak yatim dibelakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini.”13

2- Hadis yang melarang bercakap urusan dunia di dalam masjid


“Sesiapa yang bercakap di dalam masjid dari urusan dunia, Allah akan menghapuskan semua
amalannya selama 40 tahun”.
Imam al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan hadis maudu’ iaitu palsu.14 Kandungan hadis
ini juga bertentangan dengan apa yang berlaku pada zaman Nabi dan para sahabat seperti
yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam sahihnya dimana Jabir bin Samurah menjelaskan para
sahabat sedang bersembang-sembang lalu mereka menceritakan kehidupan mereka sewaktu
jahiliyyah dan bergelak ketawa, Nabi s.a.w. hanya tersenyum mendengarnya.15

Hadis ini secara tidak langsung difahami seolah-olah Islam adalah suatu agama yang
memisahkan antara urusan agama dan urusan dunia. Inilah yang diperjuangkan oleh fahaman
sekular. Sedangkan telah dinyatakan bahawa masjid pada zaman Rasulullah s.a.w.
menjalankan pelbagai urusan dari pentadbirannya sehinggalah menahan tawanan perang yang
kafir di dalam masjid. Bagaimanakah untuk menarik golongan remaja ke masjid jika dalam
masa yang sama mereka tidak dibenarkan bercakap-cakap sesama mereka berkenaan sesuatu
urusan yang dikatakan keduniaan? Masjid bukanlah tempat pertapaan dan pendetaan. Tetapi
masjid berfungsi membangunkan umat dari sudut kerohanian dan fizikal.

Ini hanyalah dua contoh dari sekian banyak hadis lemah dan palsu yang sering dibacakan oleh
penceramah bahkan menjadi panduan kepada sebahagian masjid-masjid di Malaysia dengan
memasukkannya ke dalam adab-adab apabila berada di dalam masjid yang ditampal di papan-
papan kenyataanya.

b) Unsur-unsur Israiliyyat

13
Al-Albani, Tamam al-Minnah, 284
14
Al-Syaukani, Al-Fawa’id al-Majmu’ah, hlm 40.
15
Sahih Muslim, Kitab al-Masajid, bab Fadli al-Julus fi Musolla ba’da al-Subhi, no:1523.
14
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Antara bahan yang sering membasahi lidah-lidah penceramah-penceramah di masjid juga ialah
cerita-cerita Israiliyyat. Israiliyyat ialah cerita-cerita yang diambil dari Bani Israel atau Yahudi.
Kisah-kisah ini banyak yang mencemarkan imej agama Islam, malangnya ramai penceramah
yang tidak dapat membezakan cerita-cerita yang benar berdasarkan al-Quran dan hadis
dengan riwayat-riwayat yang datangnya dari Israiliyyat.

Di zaman moden ini golongan muda khususnya remaja telah terdedah dengan pelbagai
makumat hasil dari kemodenan sistem teknologi sekaligus sistem pembelajaran. Ini
menyebabkan masyarakat kita sudah mampu menapis maklumat dan hanya menerima
maklumat yang berdasarkan fakta.

Abu Syahbah mengulas cerita karut yang disebarkan kepada masyarakat:


“Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu, batu tersebut berada di atas tanduk seekor
lembu jantan. Apabila lembu itu menggerakkan kepalanya, maka bergeraklah batu tersebut lalu
bergeraklah bumi dan terjadinya gempa bumi”
Katanya: “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul”.16 Generasi moden tidak
boleh menerima perkara ini, tetapi ada golongan-golongan agama yang masih
mempercayainya.

Antara lain kisah Israiliyyat ialah perincian tentang sifat Luqman al-Hakim yang diberian hikmah
kebijaksanaan. Al-Quran menceritakan nasihat-nasihat Luqman yang sangat berguna kepada
anak-anaknya antaranya jangan mensyirikkan Allah dan berbuat baik kepada kedua orang tua.
Namun riwayat Israiliyyat menyibukkan pembaca dengan perkara-perkara yang tidak memberi
sebarang faedah seperti Luqman merupakan seorang hamba Habsyi berkulit hitam, pendek,
hidung penyek, bibirnya tebal dan bermacam-macam lagi. Inilah yang telah mencemarkan
warisan ilmu Islam terutamanya dalam bidang tafsir dan sukar pula untuk dibersihkan.17

c) Unsur-unsur dongeng, tidak logik, khurafat dan syirik


Terdapat penceramah yang memenuhkan bahan pengajarannya dengan cerita-cerita dongeng
dan cerita-cerita yang tidak logik menurut akal yang sihat. Tujuannya berkemungkinan untuk
menarik perhatian masyarakat kepadanya, atau bertujuan pengajaran dan menakut-nakutkan
orang dari melakukan maksiat atau perkara yang bercanggah dengan Islam. Islam tidak

16
Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafsir, hlm 305.
17
Rujuk Al-Qaradhawi, Thaqafah al-Da’iyyah, hlm 41.
15
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

menghalalkan sesuatu cara yang tidak betul semata-mata untuk mencapai matlamat tertentu.
Ada juga yang memperkenalkan dan mempromosikan sesuatu barangan yang didakwanya
mempunyai hikmat atau keistimewaan tertentu yang kesemuanya ini mengundang perkara-
perkara khurafat dan syirik. Antara contoh-contoh perkara yang dinyatakan ialah:

 Buku dialog Nabi s.a.w. dengan Iblis, salah satu dialognya Nabi s.a.w. bertanya kepada
Iblis, Apakah tempat yang paling engkau suka? Jawab Iblis: Panggung wayang.
 Cerita azab kubur yang tersebar di dalam masyarakat. Kononnya mereka mendakwa
telah merakam bunyi suara jeritan dan sebagainya.
 Mayat yang mati berubah menjadi khinzir, atau bertukar kepada kepala anjing serta
perkara-perkara pelik dan aneh yang lain.
 Memperkenalkan sesuatu barang seperti kayu, batu, rajah dan sebagainya yang
didakwa mempunyai kesaktian dimana si pemakainya akan mendapat sesuatu manfaat
dan tiak akan terkena kemudaratan seperti kayu kokka, selipar nabi, batu cincin dan
sebagainya. Ini merupakan perkara khurafat bahkan syirik kepada Allah s.w.t.

Unsur-unsur yang disebutkan ini membodohkan umat Islam dan memburukkan imej Islam. tidak
hairanlah kita jika ada orang Islam sendiri yang mempertikaikan agamanya sendiri kerana
merasakan agama ini berlawanan dengan kewarasan akal yang sihat. Kesemuanya berpunca
dari bahan-bahan pengajaran yang tidak mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam.

d) Menyusahkan amalan agama


Agama Islam sememangnya agama yang mudah. Agama yang tidak menyanggahi fitrah
manusia. Ini jelas seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam surah al-Maidah: 6
bermaksud: “Allah tidak menginginkan untuk menyusahkan kamu”.
Allah berfirman lagi di dalam surah al-Baqarah:185 bermaksud: “Allah menginginkan kepada
kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesusahan kepada kamu.”

Konsep kemudahan di dalam syariat Islam ini menunjukkan bahawasanya segala perkara yang
diperintahkan oleh Allah dan Rasul itu ianya mudah dan mampu dilaksanakan oleh semua
orang. Tetapi di sana terdapat sebahagian daripada kalangan agamawan yang suka mengambil
pendekatan yang menyusahkan masyarakat dalam pengamalan agama sehariannya. Apabila
pendekatan ini dibawa ke dalam masyarakat terutamanya kepada golongan remaja,
menyebabkan mereka merasakan pengamalan agama ini sangat susah dan membebankan.
16
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Akhirnya mereka tidak akan mendekati pengajaran dan pembelajaran di masjid-masjid.


Memudahkan pemahaman agama ini bermula dari aqidahnya seterusnya mudah di dalam
pemahaman feqahnya serta akhlak.

e) Bahasa lama yang sukar difahami


Terdapat juga kuliah-kuliah di masjid yang menggunakan bahan mengajarnya berdasarkan
gaya bahasa Melayu lama yang sukar difahami oleh generasi remaja sekarang. Menggunakan
bahan seperti ini tidaklah menjadi suatu kesalahan, tetapi ianya boleh mengurangkan minat
remaja untuk menghadiri kuliah tersebut. Apatah lagi, jika tenga pengajar tersebut membaca
teks tersebut sahaja tanpa diulas dengan gaya bahasa moden. Jika diulas pun tetap dengan
gaya bahasa lama dan contoh-contoh yang diberikan juga ialah contoh-contoh yang sudah
dianggap oleh remaja ini sebagai ketinggalan zaman.

3- Bentuk dan kaedah pengajaran dan pembelajaran


Sistem pengajaran dan pembelajaran tidak akan sempurna jika tidak menitik beratkan kaedah
atau cara dalam pelaksanaannya. Apa yang berlaku kepada sesetengah masjid sekarang ialah
sistem pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sangat terhad hanya kepada bentuk
kuliah-kuliah khusus berkenaan agama iaitu aqidah, feqah, akhlak yang diadakan secara
mingguan atau bulanan. Kaedahnya masih menggunakan pendekatan lama sama ada dari
sudut gaya penyampaian atau bahan pengajaran.

Di pihak pengurusan masjid pula ada yang mengambil tenaga pengajarnya hanya semata-mata
sekadar ada program yang diisi. Mereka tidak memikirkan jauh dari itu untuk meneruskan
agenda perjuangan sebagai khalifah di muka bumi. Mengapa kita tidak berfikir untuk meluaskan
lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di masjid dengan mengadakan kelas-kelas khas
kepada para remaja berkaitan matapelajaran akademik seperti sains, matematik, geografi dan
sebagainya supaya golongan remaja lebih mendekati kepada masjid, bahkan jika kita
memikirkan keuntungan dakwah Islam mungkin ianya juga boleh dibuka kepada yang bukan
Islam untuk datang dan belajar di masjid, kerana Islam tidak pernah melarang orang kafir dari
memasuki masjid.

Selain itu kaedah moden juga boleh digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran ini
seperti penggunaan aplikasi ‘power point’, tayangan video, carta dan sebagainya. Barulah
17
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

institusi masjid kita hidup dan dapat menjadi tempat tumpuan dalam kehidupan masyarakat
Islam pada era kini.

Inilah antara isu-isu yang perlu diperhatikan yang juga merupakan cabaran kepada institusi
masjid dalam usaha membentuk syakhsiah remaja di era globalisasi ini. Jika tiada inisiatif dari
institusi masjid untuk menangani isu-isu ini, dibimbangi generasi yang baru khususnya
golongan remaja akan hilang keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap sistem pengajaran
dan pembelajaran di institusi-institusi masjid.

Cadangan penyelesaian
Bagi menangani isu-isu dan cabaran yang telah dinyatakan, kertas kerja ini mencadangkan
beberapa perkara seperti berikut:

1. Tenaga pengajar di masjid mesti memiliki kemahiran penyampaian yang efektif dan berkesan
supaya dapat menarik masyarakat terutamanya golongan remaja untuk mendengarnya.
Kemahiran ini boleh dimiliki dan ditingkatkan melalui pembacaan buku-buku pembinaan diri
atau mengikuti kursus-kursus latihan.

2. Pihak pengurusan masjid juga perlu meramaikan pendakwah-pendakwah muda dan


memberi peluang kepada mereka sama ada untuk mengajar, membaca khutbah atau
mengendalikan program-program untuk golongan remaja. Jika para pendakwah muda ini diberi
peluang untuk mereka terlibat aktif dengan aktiviti masjid, ianya akan lebih dapat menarik minat
golongan remaja disebabkan gaya penyampaian dan maklumat terkini yang sesuai dan mudah
diterima oleh remaja. Faktor jarak perbezaan umur yang tidak terlalu jauh juga merupakan
sebab yang akan membuatkan para remaja tidak berasa begitu janggal dan segan untuk
bergaul dengan para pendakwah muda ini.

3. Tenaga pengajar mestilah mereka yang mempunyai kefahaman Islam yang sebenar supaya
pengisian kuliah-kuliah mereka mencapai piawaian ilmu yang dikehendaki oleh Islam. Perkara
ini penting untuk mengelakkan bahan-bahan penyampaiannya mengandungi unsur-unsur hadis
lemah dan palsu, cerita-cerita Israiliyyat, khurafat, syirik dan bohong. Oleh itu, para pensyarah
universiti dalam bidang agama, atau pun graduan lulusan agama seharusnya diberikan peluang
untuk mengajar atau membaca khutbah tanpa perlu lagi kepada syarat-syarat atau prosedur
yang menyusahkan.
18
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

4. Menubuhkan kelab remaja bagi setiap masjid yang digerakkan oleh golongan remaja sendiri.
Oleh itu, pihak masjid boleh melantik beberapa orang remaja yang dilihat mempunyai
kebolehan mempimpin untuk mengetuai kelab remaja ini. Pengerusi kelab remaja ini boleh juga
dilantik menjadi salah seorang AJK rasmi masjid. Apabila perkara ini dilaksanakan, barulah
golongan remaja merasakan kewujudan mereka ini dirasai dan dihargai oleh pengurusan
masjid. Melalui penubuhan kelab ini, para remaja mempunyai sebab dan alasan untuk mereka
hadir ke masjid berkumpul dan melakukan aktiviti sesama mereka dengan dipantau
pergerakannya oleh pihak pengurusan masjid.

5. Menganjurkan kelas-kelas tuisyen di masjid khas untuk golongan remaja. Kelas-kelas ini
khas untuk mengajar subjek-subjek penting yang dipelajari di sekolah. Jika sebelum ini, kuliah-
kuliah di masjid adalah berkaitan agama secara langsung, dan ia kurang mendapat sambutan
dari kalangan golongan remaja di atas beberapa faktor yang telah dijelaskan sebelum ini, maka
dengan penganjuran kelas-kelas tuisyen ini ia diharap dapat mendekatkan para remaja dengan
masjid. Jika remaja ini berjaya suatu hari kelak, mereka akan mengakui bahawa masjid di
kawasannya mempunyai jasa dan sumbangan kepada mereka.

6. Menubuhkan perpustakaan mini atau ruang membaca untuk para remaja dan jemaah lain.
Perpustakaan mini atau ruang membaca ini dilengkapi dengan bukan sahaja buku-buku agama,
tetapi juga buku-buku rujukan berkaitan mata pelajaran di sekolah dan bahan bacaan umum.
Jadi, para remaja boleh menjadikan masjid sebagai tempat untuk membuat kerja sekolah,
mengulangkaji pelajaran dan membaca bahan-bahan ilmiah yang lain.

7. Menyediakan tempat beriadah yang sesuai di dalam kawasan masjid. Bersukan dan main
memang tidak dapat dipisahkan dengan golongan remaja. Jika ini minat kebanyakan para
remaja, maka pihak masjid boleh mengambil inisiatif untuk menyediakan tempat beriadah yang
sesuai untuk para remaja ini. Barulah masjid tidak dilihat oleh para remaja hanya untuk
golongan yang sudah pencen sahaja. Mereka boleh berkumpul dan beriadah bersama-sama
dengan ahli jemaah masjid yang lain. Jika suasana ini boleh diwujudkan, maka hubungan yang
akrab antara golongan remaja dan dewasa dapat dipupuk bermula di masjid.

Kesimpulan
19
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Membentuk sahsiah remaja dengan menggunakan institusi masjid selaku medium perantara
merupakan perkara yang sangat penting yang perlu diambil kira oleh setiap golongan muslim
yang bertanggungjawab. Tatkala zaman era globalisasi ini, golongan remaja semakin terdedah
kepada masalah sosial yang berpanjangan, justeru usaha daripada pihak yang terlibat perlu
berkerjasama dalam hal ini untuk mencari penyelesaian terbaik dan atas dasar itulah kertas
kerja ini dibuat bagi mencadangkan kita kembali kepada contoh zaman awal yang mana
kemuncak Islam dicapai apabila institusi masjid diberikan peranan yang sepatutnya.

Demi mencapai matlamat yang betul, kita memerlukan cara dan gaya penyampaian yang juga
betul disisi agama. Cara yang betul telahpun dicontohkan oleh para salafussoleh dalam
menggunakan institutsi masjid sebagai sarana kepada pengembangan syiar Islam. Maka dalam
hal ini, untuk menarik perhatian golongan remaja hadir ke masjid tidaklah wajar menggunakan
sarana yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam, seperti yang telah banyak dikemukan di
dalam kertas kerja ini apabila fungsi utama institusi masjid ini disalahgunakan oleh sesetengah
pihak akibat salah faham dan kejahilan mereka. Tiada ruginya jika ditelusuri semula tenaga
pengajar, bahan pengajaran, bentuk dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diguna
pakai di institusi masjid, hal ini bagi mengukuhkan dan mengembalikan semula kelahiran tokoh-
tokoh dan golongan agamawan yang pernah suatu ketika dahulu lahir dari pendidikan institusi
masjid.

Justeru perkembangan fungsi masjid masa kini memerlukan pihak pengurusan masjid untuk
cekap dalam pengurusan dan pembiayaian semua aktiviti yang terlibat. Oleh kerana pihak yang
diberikan amanah untuk menjadi pihak pengurusan tersebut ialah jawatankuasa masjid, maka
ahli-ahlinya perlu bersedia menerima perubahan dan meningkatkan kemahiran seperti yang
sewajarnya bagi memastikan fungsi masjid itu dapat dilaksankan dengan efektif.
20
SEMINAR KEBANGSAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN MASJID 2010 (SKPPBM2010)

Rujukan

Abd al-Rahman Nasr al-Sa’di, 2005, Taysir al-Karim al-Rahman, Beirut: Muassasah al-Risalah.

Abu Syahbah, 2006, Kitab Israiliyyat wal Maudhuat fi Kutub al-Tafsir, Maktabah al-Sunnah.

Al-Albani, Nasiruddin, 2001, Tamam al-Minnah, Riyadh: Dar al-Rayyah.

Al-Qaradhawi, Yusuf, Thaqafat al-Da‘iyah, Beirut: Muassasah al-Risalah.

Abu Syahbah, Maktabah al-Sunnah, Kaherah.

Al-Albani, Nasiruddin, al-Irwa’ al-Ghalil, 1985, Maktab al-Islami.

Al-Syaukani, al-Fawaid al-Majmua’h al-Islamiyah, Beirut.

Ghafani Awang The, 2008, Jadikan masjid destinasi pelancongan, Utusan Malaysia.

Halimaton Saadiah Hashim, 1997, Institusi Masjid Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat,
INMIND.

Jaafar Ahmad Sanep Ahmad Mariani A. Majid Hairunnizam Wahid, 2001, Dana dan Harta
Masjid di Malaysia: Ke arah Pengurusan Strategik, National Workshop on Capacity Building
Towards Excellance in Econ. Research & Policy Formulation, 23-24 April 2001, Fakulti Ekonomi
UKM dan UUM, 01, Salinan Keras (Kertas).

Jawiah Dakir, 2009, Hadis-hadis masyur dalam masyarakat Islam di Malaysia: Realiti dan
keperluan takhrij. Kertas kerja Seminar Takhrij Hadis Nusantara, Akademi Pengajian
Islam:Universiti Malaya.

Mariam Mohamed, 2004, Kajian hadis dalam teks khutbah Jumaat JAIN Sarawak, Tesis Master
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Yusof Othman, 1997, Menjana Kelahiran Khaira Ummah Melalui Institusi Masjid, INMIND.

Muhammad Syafii Antonio, 2007, Muhammad SAW: Super Leader Super Manager.
Jakarta:ProLM Centre & Tazkia Multimedia.

Sahih Muslim, 2000, Beirut: Darul Ma’rifah.

Sunan Abi Daud, Riyadh: Maktabah al-Maa’rif.

Sunan Ibn Majah, Riyadh: Maktabah al-Maarif.