Anda di halaman 1dari 26

Kod Kursus

GC 6033

Nama Kursus :
ISU-ISU DALAM PENDIDIKAN

Tajuk:
PENDIDIKAN SAINS
TUGAS YANG BELUM SELESAI

Nama Pensyarah:
DR. HJ. MOHAMMED SANI BIN HJ. IBRAHIM
PROF. MADYA DR. ABDULLAH BIN MOHD NOOR

Nama Pelajar :
MUHAMMAD NOR BIN AHMAD
P20023
2

ABSTRAK

Malaysia ingin mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020. Perindustrian
berteraskan sains dan teknologi ditekankan selaras dengan cabaran ke-6 dalam Wawasan
2020. Guna tenaga mahir dalam bidang sains dan teknologi perlu dipenuhi. Hasrat ini
ingin dicapai melalui enrolmen pelajar sains kepada bukan sains dengan nisbah
60%:40%, tetapi masih belum tercapai. Ini menimbulkan masalah enrolmen yang terus
berkurang, keperluan tenaga mahir tidak dipenuhi, aspirasi negara tidak tercapai dan
masyarakat tidak membudayakan sains. Pelajar kurang berminat kepada sains disebabkan
sains itu susah, kaedah pengajaran tidak berkualiti, kerjaya tidak menarik dan masyarakat
tidak membudayakan sains. Untuk meningkatkan enrolmen pelajar guru-guru perlu
memainkan peranan yang penting terutama sekali dalam prose pengajaran dan
pembelajaran disamping mendapat sokongan dari pihak-pihak lain.
3

KANDUNGAN

Halaman

ABSTRAK ii

KANDUNGAN iii

PENGENALAN 1

ISU YANG DIBANGKITKAN 1

MASALAH YANG TIMBUL 2

TINJAUAN LITERATUR 5

PERBINCANGAN 16

CADANGAN MENGATASINYA 18

RUJUKAN 22
4

1. Pengenalan

Sedar atau tidak kita sekarang sudahpun memasuki abad ke-21. Menjelang tahun 2020,
negara Malaysia berhasrat untuk menjadi negara maju. Ini telah dinyatakan di dalam
Wawasan 2020 yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr.
Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991. Sehingga sekarang pernyataan wawasan ini
telahpun berlalu bagi tempoh hampir satu dekad. Negara maju yang diinginkan adalah
mengikut acuan kita sendiri dengan mempunyai nilai-nilai moral dan agama yang tinggi
seperti mana yang terdapat di antara sembilan cabaran yang perlu dihadapi. Dari segi
kemajuan dan pembangunan ekonomi, perindustrian yang berteraskan sains dan teknologi
ditekankan. Ini adalah selaras dengan cabaran yang ke-6 yang menyatakan bahawa
“untuk mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif, yakni masyarakat yang
mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang jauh ke hadapan serta menjadi
penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.”

Bagi mencapai aspirasi ini, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tenaga mahir
dalam bidang sains dan teknologi. Oleh yang demikian Kerajaan melalui Kementerian
Pendidikan Malaysia, telah menetapkan sasaran kuota pelajar sains kepada pelajar bukan
sains mengikut nisbah 60%:40% menjelang tahun 2010 (Star, 2001).

2. Isu yang dibangkitkan

Hasrat untuk memenuhi kuota 60% pelajar sains dan 40 % pelajar bukan sains masih
belum tercapai. Ini telah dinyatakan oleh Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman, Presiden
Akademi Sains Malaysia, semasa beliau berucap di Majlis penyerahan tiket penerbangan
kepada pemenang Kuiz Sains Nasional 2000 (Utusan Malaysia, 2000). Beliau
menyatakan:
matlamat kerajaan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus mahasiswa
dalam jurusan sains dan 40 peratus lagi dalam fakulti lain masih belum tercapai.
Tambah beliau lagi pelajar-pelajar masih berminat dalam bidang undang-undang,
5

perakaunan dan ekonomi. Walaupun bidang itu penting tetapi kita memerlukan
ramai tenaga mahir dalam bidang teknologi pada masa akan datang.

Ini merupakan satu fenomena yang amat mendukacitakan kerana pelbagai usaha
telah dilakukan untuk mencapai hasrat itu. Usaha-usaha ini telah dijalankan apabila
didapati bilangan pelajar yang mengambil mata-mata pelajaran sains tulen adalah rendah
dan trend enrolmen ke bidang sains terus menurun di peringkat sekolah menengah
semenjak tahun 1986 (Kementerian Pendidikan, 1993). Kemerosotan ini seterusnya akan
mengurangkan lagi enrolemen pelajar ke bidang sains dan teknologi di peringkat institusi
pengajian tinggi, malahan tidak dapat mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan di
dalam bidang pekerjaan.

3. Masalah yang timbul

Isu daripada kuota pelajar sains seramai 60% berbanding pelajar bukan sains seramai
40% yang tidak dapat dipenuhi akan menimbulkan beberapa masalah. Masalah-masalah
yang timbul adalah saling berkaitan bermula dari peringkat rendah hingga ke peringkat
tinggi.
3.1. Pada peringkat rendah ialah enrolmen ke bidang sains akan terus merosot atau
bertahan sahaja. Di peringkat sekolah menengah, pelajar-pelajar lepasan PMR
akan cenderung untuk mengambil aliran kemanusiaan walaupun ada di antara
mereka layak untuk mengambil aliran sains. Disebabkan untuk memenuhi kuota
60% pelajar mengambil aliran sains, pihak sekolah akan cuba memaksa atau
memujuk pelajar-pelajar yang layak mengambil aliran sains untuk masuk ke
kelas sains walaupun mereka tidak berminat. Ini seterusnya akan menjejaskan
prestasi mereka dalam peperiksaan SPM. Prestasi yang kurang cemerlang dalam
peperiksaan SPM akan terus mengurangkan lagi bilangan pelajar yang akan
menceburi bidang sains dan teknologi di peringkat institusi pengajian tinggi.

3.2. Pada peringkat kedua ialah keperluan tenaga mahir dalam bidang sains dan
teknologi tidak akan dapat dipenuhi akibat daripada enrolmen pelajar yang
6

rendah ke dalam bidang sains dan teknologi di peringkat lepasan sekolah.


Perkembangan yang pesat dalam bidang perindustrian akan mewujudkan
keperluan yang tinggi terhadap guna tenaga manusia yang mempunyai kemahiran
dalam bidang sains dan teknologi. Menjelang tahun 2000, diunjurkan bahawa
sebanyak 180,000 pekerjaan baru yang berasaskan sains dan teknologi akan
diwujudkan. Daripada jumlah ini sebanyak 153,000, iaitu 83%, adalah dalam
bidang kejuruteraan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1993). Radzuan dan
Mohd Yusof (1993) dalam kertas kerja yang dibentangkan di seminar kebangsaan
pendidikan tinggi sains telah memperkatakan tentang keperluan guna tenaga
menjelang tahun 2000 dan kemampuan institusi tempatan dalam memenuhi
permintaan tersebut dalam sektor pekerjaan ikhtisas dan teknik terpilih. Mereka
telah menunjukkan bahawa pihak institusi pengajian tinggi tidak mampu untuk
memenuhi keperluan tersebut dengan kemudahan dan keadaan yang sedia ada.
Keadaan ini akan menjadi lebih serius lagi apabila enrolmen pelajar terus
berkurangan.

3.3. Pada peringkat yang paling tinggi ialah hasrat dan aspirasi kerajaan seperti mana
yang dinyatakan dalam cabaran ke-6 dalam Wawasan 2020 tidak akan tercapai.
Rakyat Malaysia akan tetap pada takuk lama iaitu sebagai pengguna sains dan
teknologi, dan bukannya sebagai masyarakat yang mempunyai daya perubahan
yang tinggi dan memandang jauh ke hadapan serta menjadi penyumbang kepada
tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Jika ini yang berlaku kita akan
kalah dalam pesaingan menjadi negara maju. Kita tidak akan dapat duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang ada.

3.4. Masalah seterusnya, yang melibatkan ketiga-tiga masalah di atas, ialah Malaysia
tidak akan dapat melahirkan masyarakat yang dapat membudayakan sains dan
teknologi dalam kehidupan seharian mereka. Masyarakat yang membudayakan
sains dalam kehidupan seharian akan lebih menghargai dan menghayati sains.
Mereka dapat melihat dan menjelaskan sesuatu fenomena yang berlaku adalah
berkait dengan sains. Professor Madya Dr. Khalijah Mohd Salleh, dari Universiti
7

Kebangsaan Malaysia percaya bahawa rakyat Malaysia tidak menyesuaikan diri


dengan sains kerana sains bukannya sebahagian daripada budaya kita (Hanizah,
2001) Dr. Khalijah menambah lagi bahawa
Jika sains itu sebahagian daripada budaya kita, maka rakyat Malaysia akan
membentuk pendekatan yang lebih bersistematik dan logikal terhadap
pembelajaran. Untuk menikmati dan memanfaatkan kebaikan-kebaikan
terhadap kemajuan dalam sains dan teknologi, rakyat perlulah celik sains
dan membudayakan sains.

Memandangkan bermula di peringkat sekolah, enrolmen pelajar ke aliran sains


berkurangan dan seterusnya mengeluarkan guna tenaga yang kurang dalam bidang
sains dan teknologi., maka akhirnya kita melahirkan sebahagian besar bakal ibu bapa
yang kurang berminat dalam sains. Ini akan menyebabkan kegagalan untuk
membudayakan sains dalam kehidupan seharian di kalangan masyarakat kita.
Kegagalan ini akan mempengaruhi generasi seterusnya untuk meminati bidang sains
dan teknologi. Akhirnya kitaran kejam ini akan berulang yang dimulakan dengan
enrolmen pelajar ke aliran sains di sekolah berkurang atau tidak meningkat seperti
mana yang dikehendaki. Ini menjejaskan pencapaian aspirasi negara untuk menjadi
negara maju yang bersaing. Rajah 1 di bawah menunjukkan apa yang dimaksudkan
dengan kitaran itu.

Rajah 1

Enrolmen pelajar sains kurang

Masyarakat tidak membudyakan keperluan tenga mahir dalam


sains dan teknologi sains dan teknologi tidak dipenuhi

Aspirasi negara untuk


menjadi negara maju tidak dicapai
8

4. Tinjauan literatur

Wawasan 2020 yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr.
Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991 mengandungi sembilan cabaran yang perlu
diatasi untuk mencapai status negara maju mengikut acuan Malaysia. Sembilan cabaran
itu ialah:
i. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat
dikongsi bersama,
ii. Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan
keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan yang
dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah,
iii. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang,
mengamalkan satu bentuk persefahaman matang, demokrasi Malaysia
berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara
membangun,
iv. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika,
v. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum
bebas mengamalkan idea, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-
masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada
satu negara,
vi. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya
perubahan yang tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja
menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun
saintifik dan teknologi masa depan,
vii. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem
sosial yang mengutamakan kepentingan masyarakat, kebajikan insan
tidak akan berkisar kepada negara atau orang perseorangan, tetapi
sekeliling sistem keluarga yang kukuh,
viii. Memastikan masyarakat yang adil dalam membina ekonomi, dan
9

ix. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing,


dinamik, giat dan kental.

Berdasarkan sembilan cabaran itu, Mohd Khairuddin (1996) menyatakan dua


cabaran, iaitu cabaran yang keenam dan cabaran yang kesembilan adalah berkait
langsung dengan bidang sains dan teknologi. Beliau berkata demikian kerana
berpendapat ianya selaras dengan apa yang dinyatakan dalam dokumen Industrial
Technology Development: A National Plan of Action (1990) terbitan Kementerian Sains,
Teknologi dan Alam Sekitar, iaitu bahawa salah satu faktor utama yang menyumbangkan
kepada pencapaian status negara maju ialah melalui pembangunan yang besar dalam
pengindustrian negara. Beliau menambah lagi dokumen itu menyenaraikan salah satu
daripada strategi untuk mencapai hasrat tersebut ialah mewujudkan budaya sains dan
teknologi di kalangan warga Malaysia, yakni meningkatkan kesedaran dan penghargaan
seluruh masyarakat terhadap sains dan teknologi sebagai wahana untuk mencapai
kesejahteraan dan mewujudkan suasana yang kondusif kepada kreativiti dan inovasi.

Tajul Ariffin Nordin dan Nor’Aini Dan (1997) juga menyatakan cabaran yang
keenam dalam rangka Wawasan 2020 merupakan penekanan yang istimewa kepada
pembangunan dan kemajuan sains, matematik dan teknologi. Cabaran keenam menurut
mereka memberi tumpuan kepada beberapa perkara penting. Tiga yang disentuh oleh
mereka ialah
i. Berusaha untuk membudayakan sains, matematik dan teknologi di dalam
kehidupan harian,
ii. Untuk melahirkan rakyat yang berfikiran saintifik serta mampu menangani
gelombang futuristik, dan
iii. Untuk melaksanakan pendidikan sains dan matematik yang berkualiti
sehingga mampu melahirkan saintis negara yang bestari serta bertaraf
dunia.
Untuk merealisasikan ketiga-tiga perkara ini, kita perlu berani melakukan penilaian
semula dan rombakan menyeluruh terhadap pengajaran dan pembelajaran sains dan
matematik.
10

Dari cabaran Wawasan 2020, didapati bahawa untuk menjadi negara maju, penekanan
diberikan kepada bidang perindustrian yang berteraskan sains dan teknologi. Oleh itu di
sini adalah wajar untuk membincangkan pengertian mengenai sains dan teknologi.
Menurut Abruscato, J. (1988), sains ialah satu set proses di mana seseorang boleh secara
sistematik memperolehi pengetahuan tentang dunia ini, satu set pengetahuan yang di
perolehi melalui proses-proses tersebut dan sebagai satu set nilai yang dimiliki oleh
mereka yang menggunakan proses saintifik untuk memperolehi pengetahuan. Manakala
teknologi pula menurut beliau ialah penggunaan sains untuk menyelesaikan masalah-
masalah manusia.

Carin, A. A. (1989), memberi pengertian sains sebagai perkaitan di antara produk-


produks sains, yakni pengetahuan, proses-proses saintifik dan nilai-nilai saintifik,
manakala teknologi pulak ialah cadangan-cadangan penyelesaian masalah yang
berhubungkait dengan adaptasi manusia terhadap persekitarannya.

Daripada dua definisi yang diberikan di atas dapatlah dikatakan bahawa sains dan
teknologi tidak dapat dipisahkan. Ungkapan sains dan teknologi seolah-olah sudah sebati
dengan setiap ahli masyarakat yang saintifik. Apabila seseorang memperkatakan tentang
sains, beliau biasa mengaitkannya dengan teknologi dan begitu juga sebaliknya apabila
seseorang memperkatakan tentang teknologi, beliau tidak ketinggalan mengaitkannya
dengan sains. Adakalanya seseorang menjadi musykil, apabila bertanyakan yang mana
dahulu, sains atau teknologi. Memang didapati bahawa pada masa dahulu, adakalanya
teknologi muncul dahulu sebelum seseorang mencari penjelasan saintifiknya, dan
adakalanya dengan pengetahuan saintifik yang sedia ada, seseorang mula mencipta
teknologinya. Kedua-duanya adalah sama penting untuk memberi kesejahteraan hidup
manusia di dunia ini. Pada masa sekarang, dengan ledakan teknologi maklumat,
seseorang mendapati bahawa pengetahuan saintifik banyak membantu dalam mereka
cipta teknologi yang canggih dan sofistikated. Kesimpulan daripada konsepsi tentang
sains dan teknologi di atas, bolehlah dikatakan bahawa sains dan teknologi sentiasa
seiringan di mana kajian tentang sains mencadangkan apa di dalam dunia dan kajian
11

tentang teknologi memberi penyelesaian kepada masalah manusia dalam adaptasi di


dunia ini. Dengan itu penemuan baru dalam sains sentiasa merangsangkan
perkembangan teknologi terkini untuk manfaat dan keselesaan manusia.

Sejajar dengan keperluan sains dan teknologi dalam bidang industri dan definisinya,
serta perkembangan ketamadunan masyarakat dunia yang begitu pesat dalam abad dua
puluhan, sistem pendidikan turut berubah. Ini adalah kerana bidang pendidikan berkait
rapat dengan mutu kehidupan manusia (Sulaiman, 1998). Tambah beliau lagi di Malaysia,
laporan jawatan kuasa kabinet telah mengkaji semula seluruh sistem pendidikan dari
peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi yang meliputi kurikulum, disiplin,
pengurusan dan kemudahan pembelajaran. Perubahan kepada sistem pendidikan di
Malaysia bukan sahaja membawa kepada kemajuan ekonomi serta pembangunan negara
berteraskan sains dan teknologi tetapi juga melahirkan masyarakat yang baik, bersatu
padu, berdisiplin dan terlatih.

Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) mula dilaksanakan di seluruh negara


pada tahun 1983 selepas tempoh percubaan di beberapa buah sekolah terpilih pada tahun
sebelumnya. Unsur sains mula diperkenalkan dua tahun selepas KBSR dilaksanakan.
Unsur-unsur sains di serapkan di dalam mata pelajaran baru iaitu Alam dan Manusia yang
diajar pada murid-murid tahun 4, 5 dan 6. Walau bagaimanapun selepas tujuh tahun
pelaksanaannya, Kementerian Pendidikan berpendapat bahawa pengajaran mata pelajaran
Alam dan Manusia menimbulkan pelbagai kesulitan kerana kesukaran untuk
menyepadukan kelima-lima komponen, iaitu Sains, Kesihatan, Sejarah, Geografi dan Tata
Rakyat. Dengan yang demikian dua mata pelajaran baru diwujudkan iaitu Sains dan
Kajian Tempatan. Komponen sains diajar menerusi mata pelajaran Sains. Penggubalan
kurikulum baru Sains ini dimulakan pada tahun 1993. Kurikulum mata pelajaran Sains
yang digubal bertujuan untuk memenuhi naluri ingin tahu murid mengenai diri dan alam
sekitar, serta memberi mereka peluang memahami dan mengagumi kejadian alam. Selain
itu, mata pelajaran Sains juga memberi peluang kepada murid memahami serta
menghargai sains dan teknologi selaras dengan hasrat Wawasan 2020 untuk melahirkan
masyarakat saintifik dan progresif (Sulaiman, 1998).
12

Berdasarkan kepada huraian sukatan pelajaran sains sekolah rendah, matlamat


pendidikan sains sekolah rendah ialah untuk melahirkan insan yang berpengetahuan dan
berkemahiran untuk membentuk masyarakat berbudaya sains dan teknologi, ikram,
dinamik dan progresif supaya lebih bertanggung jawab terhadap alam sekeliling dan
mengagumi ciptaan alam (PPK, 1993). Untuk mencapai matlamat ini, PPK telah
menyarankan supaya murid-murid diberi peluang belajar melalui pengalaman untuk
i. memperkembangkan kemahiran berfikir bagi meningkatkan daya intelek,
ii. memperkembangkan kemahiran saintifik secara inkuiri,
iii. meningkatkan minat semula jadi terhadap alam sekeliling,
iv. memperoleh pengetahuan dan kefahaman tentang fakta dan konsep sains
bagi membantu mereka memahami diri sendiri dan alam sekeliling,
v. menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan bertanggung
jawab,
vi. menangani sumbangan dan inovasi terkini dalam sains dan teknologi,
vii. mengamalkan nilai murni dan sikap saintifik dalam kehidupan harian,
viii. menghargai sumbangan sains dan teknologi bagi kesejahteraan hidup, dan
ix. menghargai susunan dan ketertiban dalam alam.
Lima bidang kajian yang ditekankan untuk mencapai matlamat di atas ialah alam
kehidupan, alam fizikal, alam bahan, bumi dan alam semesta, serta dunia teknologi.

Pendedahan unsur-unsur sains dalam mata pelajaran Sains di peringkat sekolah rendah
tahap 2 adalah diharapkan dapat mendorong murid-murid untuk meminati dan memilih
aliran sains apabila memasuki sekolah menengah. Walau bagaimanapun usaha ini
nampaknya masih tidak berjaya sehinggakan Kementerian Pendidikan ingin
memperkenalkan mata pelajaran Sains kepada tahun 1 (Star, 2001). Pengumuman ini
telah dibuat sendiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berbahagia Tan Sri Musa Mohamad
pada sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan tahun baru 2001. Beliau
memberitahu bahawa ini bertujuan untuk menarik lebih ramai pelajar meminati sains dan
teknikal di peringkat universiti. Kata beliau lagi pengenalan mata pelajaran Sains harus
dilakukan di peringkat awal persekolahan bagi merealisasikan matlamat Kementerian
13

Pendidikan untuk mencapai nisbah pelajar sains berbanding sastera pada kadar 60:40.
Kurikulum telah siap digubal dan projek rintis akan dilaksanakan pada tahun 2001 di
beberapa buah sekolah terpilih sebelum pelaksanaan ke seluruh negara dilakukan.

Lanjutan daripada KBSR, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)


dilaksanakan. Sains KBSM adalah sambungan daripada sains KBSR yang mula diajar
pada tahun 1994. Sulaiman (1998) mengatakan matlamat sains KBSM adalah selaras
dengan matlamat pendidikan negara iaitu ke arah menghasilkan insan yang seimbang dari
aspek ilmu, kemahiran dan nilai. Hampir semua sukatan pelajaran dalam bidang sains
KBSM, sama ada sains teras atau sains tulen, menyenaraikan matlamat pendidikannya
yang agak sama iaitu untuk
i. Membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran sains,
ii. Mengembangkan daya pemikiran saintifik serta memupuk nilai-nilai
murni,
iii. Menghargai sains dan menggunakannya dalam kehidupan harian dan
pembangunan negara, dan
iv. Menyelesaikan masalah harian bagi membentuk warga negara yang
bertanggung jawab demi kesejahteraan manusia.

Walaupun kerajaan telah berusaha untuk menarik minat pelajar untuk belajar sains
melalui pengenalan mata pelajaran pada peringkat sekolah rendah dan penggubalan
kurikulum baru, yang menekankan kepada proses pembelajaran berpusatkan pelajar
melalui pengalaman yang relevan, namun enrolmen pelajar ke aliran sains di peringkat
sekolah menengah atas masih menurun. Ini telahpun bermula sejak tahun 1986 lagi
(Kementerian Pendidikan, 1993) dan Norasmah dan Siti Rahayah (1997) telah
mendapatkan data daripada Bahagian Perancangan Penyelidikan Pendidikan,
Kementerian Pendidikan, seperti mana yang ditunjukkan dalam jadual 1 di bawah:

Jadual 1: Peratus penyertaan pelajar tingkatan 4 dalam bidang sains

Tahun Peratus

1990 24.9
14

1991 18.1
1992 18.4
1993 19.0
1994 19.1
1995 18.7
1996 18.5

Sumber: Perangkaan Pendidikan BPPP, Kementerian Pendidikan 1996


Dlm. Norasmah & Siti Rahayah (1997)

Kemerosotan enrolmen pelajar ke aliran sains di peringkat sekolah menengah akan


menjejaskan enrolmen ke bidang sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi. Ini
seterusnya akan menjejaskan keperluan negara terhadap guna tenaga mahir dalam bidang
sains dan teknologi bagi memantap dan meningkatkan persaingan dalam perindustrian
untuk memenuhi hasrat menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Keadaan ini
dijejaskan lagi dengan kemampuan dan kemudahan yang ada di institusi pengajian tinggi
dalam mengeluarkan guna tenaga mahir dalam bidang sains dan teknologi seperti mana
yang ditunjukkan di dalam jadual 2 di muka surat berikut:

Jadual 2: Kemampuan institusi tempatan memenuhi permintaan dalam


sektor pekerjaan ikhtisas dan teknik terpilih 1991-2000.

Pekerjaan Stok Guna Tambahan keluaran (1991-2000)


1990 tenaga bersih
2000 1991-2000 Awam Swasta
tempatan tempatan

Jurutera 26 500 56 600 30 100 21 000 -


awam 11 100 19 500 8 400 3 700 -
elektrik & elektronik 6 200 14 600 8 400 4 200 -
jentera 5 200 10 800 5 600 4 000 -
kimia 800 2 000 1 200 900 -
lain-lain 3 200 9 700 6 500 8 200 -

Pembantu jurutera 72 400 195 300 122 900 84 070 20 900


Awam 27 100 58 500 31 400 20 400 600
15

elektrik & elektronik 32 300 75 900 43 600 21 200 8 800


jentera 640 32 400 26 000 11 600 9 600
kimia 600 6 000 5 400 570 -
lain-lain 6 000 22 500 16 500 30 300 1 900

Perubatan & kesihatan 11 600 17 600 6 000 6 200 -


doktor & pakar bedah 7 900 12 300 4 400 4 600 -
pakar pembedahan pergigian 1 700 2 200 500 700 -
farmasi 2 000 3 100 1 100 900 -

Pembantu Perubatan &


kesihatan 47 000 57 400 10 100 5 660 1 050
pembantu perubatan &
pembantu makmal 9 500 13 000 3 500 1 000 -
pegawai pergigian &
jururawat pergigian 2 000 2 700 700 200 -
pembantu farmasi 1 500 2 400 900 360 -
jururawat 34 300 39 300 5 000 4 100 1 050

Guru sekolah 177 600 252 500 74 900 74 900 -

Sumber: Mohd Yusof Hj. Othman & Khalijah Mohd Salleh. (pnyt). 1993.
Pendidikan tinggi sains: ke arah reformasi pendidikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Kemerosotan enrolmen pelajar sejak pertengahan tahun lapan puluhan dan berterusan
ke tahun sembilan puluhan telah disebabkan oleh beberapa faktor. Kementerian
Pendidikan (1993) telah mengenal pasti tiga faktor untuk menjelaskan penurunan pelajar
dalam aliran sains walaupun mereka layak untuk memasuki aliran sains. Faktor-faktor itu
ialah
i. pelajar tidak menyedari tentang kepentingan sains,
ii. pelajar mempunyai sikap dan minat yang negatif terhadap sains, dan
iii. faktor luar yang mempengaruhi pelajar supaya tidak mengikuti kelas sains
seperti pengaruh ibu bapa dan pengurusan sekolah.

Sikap dan minat pelajar yang negatif terhadap sains juga di pengaruhi oleh beberapa
faktor lain, sama ada yang berpunca dari dalam sekolah itu sendiri atau pun dari luar
16

sekolah. Faktor-faktor yang berpunca dari dalam sekolah banyak berkisar kepada proses
pengajaran dan pembelajaran. Subahan (1997) mengatakan bahawa pelajar-pelajar
kurang berminat dengan sains kerana mereka mendapati pelajaran sains adalah sukar dan
susah. Tambahnya ini ada kaitannya dengan penguasaan konsep sains yang telah diajar
sebelum ini. Idea-idea pelajar didapati tidak tepat dan berbeza dengan jelas dari idea-idea
saintifik yang sebenar untuk menjelaskan sesuatu fenomena yang dialami oleh pelajar-
pelajar. Ini apa yang dikatakan, di antaranya, miskonsepsi, salah konsep, konsep awal,
sains kanak-kanak dan kerangka kerja alternatif oleh ramai penyelidik dalam bidang ini.
Keadaan ini sering kali terlepas pandang oleh guru-guru. Ruhizan (1999) juga
berpendapat bahawa pelajar tidak berminat kepada aliran sains mungkin kerana
kesukaran mata pelajaran sains yang terlampau abstrak.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah juga
memainkan peranan penting dalam mempengaruhi minat dan motivasi pelajar untuk
belajar sains. Wan Yaacob dan Mat B. Zakaria (1997) mengatakan bahawa persoalan
pengajaran kimia yang betul dan bermutu sering menghambat pendidik kimia serta
penggubal kurikulum mata pelajaran kimia. Aspek ini berkait rapat dengan penghasilan
dan pengekalan minat serta motivasi yang tinggi di kalangan pelajar untuk mempelajari
kimia.

Maaris (1996) mengatakan bahawa terdapat pertelagahan di dalam sistem pendidikan,


tertutama dalam pendidikan sains. Pelajar-pelajar sering menyalahkan guru kerana tidak
mengajar sains dengan baik atau tidak ada cukup guru untuk mengajar sains bila
pelajaran sains tidak mendapat sambutan.

Musheno dan Lawson (1999) pula berpendapat bahawa buku teks sains yang ada dan
kaedah-kaedah pengajaran sekarang tidak banyak membantu malahan sebenarnya
menghalang kemajuan terhadap literasi saintifik. Ianya banyak menekankan
pembelajaran untuk menjawab berbanding dengan meneroka soalan-soalan, hafalan
berbanding dengan pemikiran kritikal, cebisan-cebisan maklumat berbanding dengan
17

memahami mengikut konteks, menyatakan berbanding dengan perbahasan, dan membaca


berbanding dengan membuat.

Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Kurikulum juga secara tidak


langsung menegaskan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan
yang penting dalam mengekalkan minat dan motivasi pelajar untuk belajar sains. Ini
dapat dilihat dalam huraian-huraian sukatan pelajaran sains, sama ada peringkat rendah
atau menengah, mahupun sains teras atau tulen. Huraian-huraian sukatan ini (Biologi,
1993; Sains, 1993) menekankan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang memberi
penekanan kepada kesepaduan antara pemerolehan ilmu, penguasaan kemahiran saintifik
dan pemupukan nilai-nilai murni melalui pendekatan inkuiri dan penemuan terbimbing.
Kaedah-kaedah ini banyak melibatkan pelajar secara aktif. Walau bagaimanapun,
Samsudin (1996) mendapati bahawa pelaksanaan kurikulum mata-mata pelajaran sains
KBSM jelas menunjukkan jurang yang luas di antara hasrat dan semangat kurikulum
berkenaan dengan amalan yang berlaku di dalam bilik darjah.

Faktor luar sekolah yang menyebabkan pelajar kurang berminat dalam aliran sains
ialah pengaruh kerjaya. Hanizah (2001) melaporkan kerjaya dalam bidang sains tidak
menarik, menguntungkan atau diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Ini disokong oleh
Datuk Dr. Samsudin Tugiman, pengarah eksekutif, Akademik Sains Malaysia di dalam
laporan yang sama. Beliau mengatakan
persepsi bahawa kerjaya dalam sains tidak menguntungkan atau menarik. Sains
memerlukan lebih disiplin untuk berjaya. Jika kerjaya sains tidak menarik,
seseorang akan memilih jalan yang paling kurang halangannya. Mereka perlu
melihat bahawa kerjaya sains itu menarik dan mereka akan melihat kepada saintis.

Seorang pelajar yang berjaya dalam kuiz sains kebangsaan 2000 yang berpeluang
menghadiri majlis anugerah hadiah Nobel di Stockholm, Sweden, telah membuat komen
bahawa “jika saya menjadi seorang saintis, saya lebih rela berkerja di negara luar. Di sini
tidak pengiktirafan untuk mereka”
18

Faktor luar yang kedua mempengaruhi kurangnya enrolmen pelajar ke aliran sains
ialah budaya. Ahli masyarakat perlu membudayakan sains dan teknologi dalam
kehidupan harian mereka. Ibu bapa, guru-guru dan pembuat dasar perlu meningkatkan
tahap literasi saintifik mereka supaya generasi muda dapat memupuk sikap yang yang
betul dan positif terhadap sains pada peringkat yang lebih awal. Sehingga perkara ini
berlaku, sains masih tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada budaya seseorang
(Hanizah, 2001). Dr. Ibrahim Bajunid dalam satu wawancara mengatakan bahawa
“sekolah kita memang kuat dengan literasi budaya, bahasa, sastera. Bagaimanapun kita
masih belum dapat kuatkan rakyat kita dengan literasi sains dan teknologi” (Mingguan
Malaysia, 2000). Beliau seterusnya menambah bahawa budaya literasi sains dan
teknologi tidak cemerlang di Malaysia kerana budaya umum seperti filem, drama dan
cerita, tidak menyokong budaya ilmiah yang dipupukan di sekolah.

Setelah dikenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan kenapa pelajar kurang


meminati bidang sains, pelbagai pihak telah mengambil inisiatif untuk cuba memperbaiki
keadaan ini. Di dalam kertas kerja ini saya lebih berminat kepada usaha-usaha yang
dilakukan oleh pihak-pihak yang terlibat dengan pendidikan khususnya Kementerian
Pendidikan dan perkara-perkara yang dijalankan disekolah. Kementerian Pendidikan
(1993) telah merangka dua strategi utama untuk menangani sikap dan minat pelajar
terhadap sains, dan ketrampilan pelajar mengikuti sains. Strategi-strategi itu ialah
i. promosi sains dan teknologi secara menyeluruh di sekolah melalui
a. sebaran maklumat tentang kepentingan sains dan teknologi, peluang
pekerjaan dalam bidang sains dan teknologi
b. penonjolan imej yang positif dan cemerlang terhadap sains
c. pemberian ganjaran dan bimbingan.
ii. peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam mata-mata
pelajaran sains dari segi
a. membina ketrampilan guru,
b. meningkatkan kualiti dan kuantiti prasarana pendidikan sains,
c. mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
19

5. Perbincangan

Cabaran ke-6 merupakan tunggak kepada pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara
maju menjelang tahun 2020 yang memberi penekanan kepada bidang perindustrian yang
berteraskan sains dan teknologi. Keperluan tenaga mahir dalam bidang sains dan
teknologi perlu dipenuhi dengan memulakannya di peringkat sekolah. Sekolah perlu
berusaha dan mempastikan penyertaan pelajar ke dalam bidang sains sebanyak 60%
dicapai.

Penggubalan kurikulum sains perlu dan berlaku seiringan dengan perubahan dan
perkembangan maklumat sains dan teknologi. Sains diperkenalkan di peringkat awal
persekolahan lagi dengan tujuan untuk memberi pendedahan secepat mungkin kepada
pelajar-pelajar tentang sains dan teknologi. Ini dapat menjelaskan kepentingan sains dan
teknologi kepada pelajar-pelajar, buat masa sekarang dan masa akan datang, dalam
kehidupan harian mereka. Kemudiannya diharapkan minat pelajar-pelajar ini untuk
belajar sains akan berputik. Seterusnya putik ini perlu dijaga, diawasi dan dibelai supaya
ianya terus kekal atau dapat dikembangkan sehingga ke peringkat institusi pengajian
tinggi. Ini dapat dilakukan dengan menghayati dan merealisasikan matlamat dan objektif
kurikulum melalui pelaksanaan kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
dicadangkan dan dihasratkan. Pengajaran bukan setakat untuk menghabiskan sukatan
dan kemudian bersiap sedia untuk peperiksaan, seperti ungkapan bahasa Inggeris to
cover the syllabus but does not discover the syllabus, tetapi pengajaran dan pembelajaran
ialah pengalaman-pengalaman yang dialami dalam memperolehi ilmu, kemahiran dan
nilai, dan seterusnya kekal sepanjang hayat, selaras dengan ungkapan bahasa Inggeris to
uncover and discover the syllabus.

Kajian-kajian telah banyak dijalankan dan dilapor tentang kaedah-kaedah pengajaran


dan pembelajaran yang berkesan. Kaedah-kaedah ini dapat menimbulkan rasa seronok
pelajar untuk belajar sains, menarik minat pelajar terhadap sains, meningkatkan
penglibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran, memotivasikan pelajar untuk belajar
dan juga meningkatkan literasi dan pencapaian dalam sains (Chin dan Brown 2000; Keys
20

et al.1999; Musheno dan Lawson 1999; Gobert dan Clement 1999; Hanrahan 1999).
Sebagai seorang guru, pembacaan laporan-laporan ini dapat meningkat ilmu
pengetahuan. Guru-guru yang cuba menyesuaikan dan melaksana kaedah-kaedah ini
dapat membina ketrampilan guru pada tahap yang lebih tinggi di dalam dan di luar kelas.
Kepelbagaian kaedah pengajaran boleh menghindarkan rasa bosan dan jemu pelajar
untuk belajar. Minat dan motivasi yang berterusan di dalam kelas sains ini seterusnya
boleh dijadikan titik permulaan untuk melahirkan masyarakat yang membudayakan sains
dan teknologi dalam kehidupan seharian dan akhirnya dapat menyahut cabaran ke-6
dalam Wawasan 2020. Guru-guru perlu proaktif dan tidak hanya menunggu arahan atau
kursus dalam perkhidmatan untuk membuat pembaharuan dalam pengajaran dan
pembelajaran sains.

Di samping meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, guru-guru juga harus


memainkan peranan yang sama penting dengan pihak-pihak lain untuk mempromosikan
sains dan teknologi terutamanya di sekolah-sekolah. Ini dapat dilakukan dengan
mengadakan sesi kaunseling kerjaya atau ceramah kerjaya oleh individu-individu yang
berjaya dalam bidang sains dan teknologi, penyertaan dalam pertandingan-pertandingan
dan pameran-pameran yang berunsurkan sains dan teknologi yang ditaja dan dianjurkan
oleh pihak-pihak swasta seperti Intel, British petroleum dan Sony, dan menyebarkan
maklumat tentang peluang-peluang dan tawaran-tawaran biasiswa yang ada bagi
melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan teknologi .

Kesimpulannya, guru-guru merupakan individu yang banyak berdampingan dengan


pelajar secara langsung dan melaksanakan kurikulum, seharusnya memikul tanggung
jawab yang lebih untuk menarik minat dan mendorong pelajar-pelajar untuk mengambil
aliran sains tanpa mengabaikan nilai-nilai agama dan murni yang sejagat. Guru-guru
tidak seharusnya mengambil sikap untuk menyalahkan pihak lain di atas penurunan
enrolmen pelajar ke bidang sains walaupun pelbagai strategi telah dirancangkan.
Paradigma guru perlu berganjak dan tahap profesionalisme dan martabat guru perlu
dipertingkatkan.
21

6. Cadangan untuk mengatasinya

Seperti mana yang telah dinyatakan di atas, saya sebagai seorang guru perlu memikul
tanggung jawab yang lebih berbanding dengan pihak-pihak lain dalam menarik minat dan
meningkatkan enrolmen pelajar ke aliran sains di peringkat sekolah. Apabila seorang
guru menunding satu jari kepada pihak-pihak yang gagal meningkatkan enrolmen pelajar
ke bidang sains, sedar ataupun tidak, tiga jari lagi akan menunding ke arah guru itu
sendiri. Guru-guru tidak seharusnya lepas tangan dan lari dari masalah yang ada. Guru-
guru perlu bersikap positif dan menganggap situasi yang wujud sekarang sebagai satu
peluang dan ruang untuk memajukan diri sendiri. Bukan satu perubahan yang besar dan
mendadak harus berlaku tetapi perubahan yang kecil, sedikit demi sedikit, yang diingini.
Perubahan-perubahan kecil yang berterusan dan konsisten akan menghasilkan satu
perubahan yang besar. Perjalanan sejauh seribu batu bermula dengan langkah yang
pertama.

Cadangan pertama saya untuk mengatasi masalah ini, ialah guru-guru perlu berubah
dan memberi fokus kepada aspek-aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah. Di antara perkara-perkara yang boleh dilakukan dalam meningkatkan kualiti
pengajaran dan pembelajaran ialah
i. Menghayati dan melaksanakan falsafah pendidikan kebangsaan, iaitu
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab, dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat
dan negara.
ii. Menghayati dan melaksanakan falsafah pendidikan sains negara, iaitu
22

Pendidikan sains di Malaysia memupuk budaya sains dan eknologi


dengan memberi tumpuan kepada perkembangan individu yang
kompetitif, dinamik, tangkas dan berdaya tahan serta dapat
menguasai ilmu sains dan ketrampilan teknologi.
iii. Menghayati dan memahami matlamat dan objektif kurikulum iaitu
menghasilkan individu yang seimbang dari aspek ilmu, kemahiran dan
nilai.
iv. Melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran berkesan yang
dicadangkan. Pengajaran bukan setakat untuk menyampaikan
pengetahuan dan menghabiskan sukatan. Peperiksaan bukan segala-
galanya.
v. Meningkatkan pembacaan bahan dan laporan berkaitan dengan kaedah
pengajaran dan pembelajaran berkesan agar ilmu seorang guru terus
bertambah dan kemudiannya cuba disesuaikan dan dilaksanakan di dalam
kelas. Ini dapat membaiki ketrampilan guru di dalam bilik darjah.
vi. Bersedia dan dengan sukarela untuk menghadiri kursus-kursus dalam
perkhidmatan yang ditawarkan, khususnya dalam pengajaran dan
pembelajaran sains.
vii. Meningkatkan lagi tahap profesionalisme dengan menjalankan kajian
tindakan di dalam kelas guru itu sendiri untuk membaiki dan
mengemaskiknikan amalan-amalan guru.
viii. Mengambil initiatif untuk berbincang dengan panitia mata pelajaran sains
tentang masalah-masalah pengajaran dan pembelajaran. Mesyuarat panitia
bukan sekadar untuk membincang hal-hal pengurusan dan pentadbiran
sahaja.

Cadangan kedua saya untuk mengatasi masalah ini ialah pihak pentadbiran sekolah,
rakan sejawat guru, staf-staf sokongan, persatuan ibu bapa dan guru, dan pelajar-pelajar
lain perlu memberi sokongan dan galakan agar guru-guru ini akan terus berusaha tanpa
jemu sehingga berjaya.
23

Cadangan ketiga pula ialah pihak-pihak ketiga, sama ada yang berkaitan secara
langsung ataupun tidak dengan sekolah, seperti pejabat pendidikan daerah, jabatan
pendidikan negeri mahupun kementerian pendidikan dan badan-badan swasta harus juga
membantu dan memberi sokongan yang padu kepada apa jua usaha yang dilakukan demi
untuk meningkatkan enrolmen pelajar ke aliran sains.

Akhir sekali cadangan keempat saya ialah kita harus berdoa dan bertawakkal kepada
Allah SWT agar apa yang kita rancang dan harapkan akan dapat dilaksana dan
menghasilkan kejayaan. Kita hanya mampu merancang dan Allah SWT jua yang
menentukannya.
24

RUJUKAN

Abruscato, J. 1988. Teaching children science. Ed. ke-2. New Jersey: Prentice Hall.

Carin, A.A. 1989. Teaching science through discovery. Ed. ke-7 New York: Macmillan
Publishing Company.

Chin, C. & Brown, D.E. 2000. Learning in science: a comparison of deep and surface
approaches. Journal of research in science teaching, 37(2):109-138.

Gobert, J.D.dan Clement, J. 1999. Effects of student-generated diagrams versus student-


generated summaries on conceptual understanding of causal and dynamic
knowledge in plate tectonics. Journal of research in science teaching, 36(1): 39-
53.

Hanizah Hashim. 2001. Change in attitude needed. New Straits Times:Life&Times,


1 Februari:7

Hanrahan, M. 1999. Rethinking science literacy: enhancing communication and


participation in school science throungh affirmational dialogue journal writing.
Journal of research in science teaching 36(6): 699-717.

Kemenenterian Pendidikan Malaysia. 1993. Strategi peningkatan penyertaan pelajar


dalam mata-mata pelajaran sains KBSM. PPK, Kuala Lumpur.

Kemenenterian Pendidikan Malaysia. 1993. Huraian sukatan pelajaran biologi.

Kemenenterian Pendidikan Malaysia. 1993. Huraian sukatan pelajaran sains.

Keys, C.W., Hand, B., Hall. V., & Collins, S. 1999. Using the science writing heuristics
as a tool for learning from laboratory investigations in secondary science. Journal
of research in science teaching 36(10): 1065-1084.
25

Maaris Mohd Shah. 1996. Pertelagahan pendidikan sains di Malaysia: Isu, penyelesaian
dan dasar. Prosiding seminar kebangsaan pendidikan negara abad ke-21.
hlm.291-300.

Mahasiswa kurang ambil aliran sains. 2000. Utusan Malaysia. 6 Disember:4

Mohd Khairuddin Mohd Ashaari. 1996. Pendidikan sains bertaraf dunia. Ucap utama
Seminar Kurikulum Sains Kebangsaan 1996. Sri Legenda Garden Resort,
Langkawi, 16-21 Disember.

Musheno, B.V. & Lawson, A.E. 1999. Effects of learning cycle and traditional text on
comprehension of science concepts by students at differing reasoning levels.
Journal of research in science teaching 36(1):23-37.

Norasmah Othman & Siti Rahayah Ariffin. 1997. Korelasi pencapaian cemerlang dalam
mata pelajaran Prinsip Akaun dengan pencapaian mata pelajaran Sains dan
Matematik. Prosiding seminar kebangsaan pendidikan sains dan matematik,
hlm.203-212.

Pusat Perkembangan Kurikulum. 1993. Huraian sukatan pelajaran Sains sekolah


rendah.

Radzuan Abdul Rahman & Mohd Yusof Hj. Othman (1993), Perspektif industri terhadap
pendidikan tinggi sains. Dlm. Mohd Yusof Hj. Othman & Khalijah Mohd Salleh.
(pnyt). Pendidikan tinggi sains: ke arah reformasi pendidikan, hlm. 179. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ruhizan Mohd Yasin. 1999. Integrasi pendidikan akademik dan vokasional – satu
pendekatan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21. Prosiding seminar
kebangsaan isu-isu pendidikan negara, Jil.2, hlm: 112-122

Samsudin Jalil. 1996. Pelaksanaan kurikulum sains KBSM, jurang antara hasrat dan
amalan: perspektif jemaah nazir sekolah. Kertas kerja yang dibentangkan di
Seminar kurikulum sains kebangsaan 1996. Sri Legenda Garden Resort,
Langkawi, 16-21 Disember.

Science for year one students. 2001. The Star,12 Januari:6

Sulaiaman Ngah Razali. 1998. Pengajaran sains KBSM. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Tajul Ariffin Noordin & Nor’Aini Dan. 1997. Pendidikan sains dan matematik menuju
abad ke-21: Realiti, cabaran dan harapan. Prosiding seminar kebangsaan
pendidikan sains dan matematik, hlm.105-112.

Tekankan literasi sains. 2000. Mingguan Malaysia, 31 Disember:7.


26

Wan Yaacob Ahmad & Mat B. Zakaria. 1997. Suatu pendekatan sistematik dalam
pendidikan kimia untuk abad kedua puluh satu. Prosiding seminar kebangsaan
pendidikan sains dan matematik, hlm. 23-45.

Anda mungkin juga menyukai