Anda di halaman 1dari 10

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

73

BAB 7
SEJARAH LISAN DAN KAEDAHNYA

OBJEKTIF
-

membicarakan tentang pengertian sejarah lisan


dan permasalahan yang dilaluinya untuk menjadi
sumber sejarah yang sahih.

Menghuraikan teknik-teknik yang dilakukan untuk


menyempurnakan sejarah lisan seperti teknik
rakaman, penyediaan rangka tugas dan persediaan
peralatannya.

Juga membincangkan mengenai jenis-jenis sumber


lisan sejarah.

Membincangkan tahap-tahap dalam proses sejarah


lisan, di samping menghuraikan kepentingannya
dalam usaha menghasilkan karya sejarah yang
mengandungi fakta-fakta sejarah yang sahih dan
tidak boleh dipertikaikan kebenarannya.

Sejarah lisan bukanlah satu bidang yang baru. Ia sebenarnya merupakan


satu kaedah inquiry untuk mendapatkan maklumat lanjut kepada sejarah
bertulisan. Pada abad ke-5 sebelum masihi, sejarawan Herodotus (Bapa
Sejarah) telah mengetahui tentang kegunaan sumber-sumber lisan sebagai
tambahan kepada sumber-sumber tertulis. Thucydides, seorang sejarawan
Yunani selepas Herodotus, telah menggunakan sumber lisan bagi
melengkapkan kajiannya ke atas kekalahan orang Yunani kepada orang
Sparta dalam peperangan Peloponnesia. Beliau telah menjalankan kaedah
temubual untuk mendapatkan keterangan lisan serta dibandingkan dengan
sumber-sumber yang ada. Ini adalah kerana seseorang yang hendak
mengkaji sejarah sesuatu masyarakat yang belum kenal tulisan hendaklah
mendapatkan sumber lisan ataupun tradisi lisan tersebut. Sebaliknya,
sekiranya seseorang penyelidik sejarah ingin mengkaji sejarah masyarakat
yang telah tahu menulis, penyelidik akan menggunakan sumber bertulis
sebagai bahan utama bagi kajilidikannya. Dalam pada itu, ia akan
menggunakan sumber lisan sebagai alternatif bagi sumber-sumber bertulis
yang kurang lengkap.

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

74

Sumber sejarah lisan dapat dikategori kepada tiga, iaitu keterangan


proto, keterangan saksi mata dan keterangan kata dengar. Keterangan proto
ialah keterangan lisan yang dituturkan oleh pelaku yang telah terlibat dalam
sesuatu peristiwa yang dikaji. Keterangan yang dituturkan adalah merujuk
kepada peranan dan pengalaman peribadi atau penglibatan secara langsung
dalam peristiwa berkenaan. Contohnya keterangan hidup seseorang pada
masa pendudukan Jepun antara tahun 1941-1945.
Manakala keterangan saksi mata pula ialah keterangan yang diberikan
oleh seseorang yang melihat peristiwa yang telah berlaku ataupun orang itu
sekadar menyaksi sesuatu peristiwa itu berlaku di depan matanya dengan
syarat dia tidak terlibat secara langsung. Misalnya menjadi saksi mata
kepada satu kejadian rompakan sebuah bank di bandar Kajang. Di sini
pengkisah atau saksi mata tidak mempunyai peranan secara langsung dalam
rompakan tersebut tetapi sekadar menjadi saksi mata sahaja.
Keterangan kata dengar ialah keterangan yang diceritakan oleh
seseorang dari apa yang diketahui melalui sumber orang lain. Ia mengetahui
perkara berkenaan semata-mata dari apa yang telah didengarnya dari pelaku
atau seseorang saksi mata. Sekiranya pelaku dan saksi mata tidak
menceritakan sesuatu kejadian maka keterangan kata dengar tidak akan
wujud. Biasanya keterangan kata dengar ini mempunyai proses penyebaran
dari mulut ke mulut dan generasi kepada generasi. Pada tahap ini
keterangan lisan itu akan mencapai tahap tradisi lisan.
Dalam era moden, sejarah lisan telah bermula dari kegiatan seorang
penyelidik sejarah dari University Colombia bernama Allan Nevin. Beliau
telah menjalankan usaha menemubual dengan cara yang sistematik orangorang Amerika yang dipercayai mempunyai ingatan dan kenangan yang
bernilai, kemudiannya disalin semula dalam tulisan dan disediakan untuk
tujuan penyelidikan. Atas usaha ini beliau juga dikenali sebagai orang yang
mencipta sejarah lisan. Semenjak itu, teknik sejarah lisan telah digunakan
dengan meluasnya sebagai alat penyelidikan dalam pelbagai bidang sejarah.
APAKAH ITU SEJARAH LISAN?
Mengikut Dictionary of Archival Terminology yang disusun oleh Peter Walne,
terbitan The International Council on Archives pada tahun 1984, Oral History
atau sejarah lisan didefinisikan sebagai The interviews with individuals
usually in form of sound recording or trancripts thereof, intended for
research use. Menurut buku Oral History Manual yang dikarang oleh William
Moss, sejarah lisan ialah, Any interview that is recorded (may become oral
history), whether it be done by a historian, a sosiologist, a folkrist, a
journalist, a military intellegent officer or whoever. Agak sukar untuk
diberikan satu definisi yang tepat kerana jika merujuk kepada perkataan
sejarah lisan, ia membawa pengertian bahawa keterangan itu mestilah
mengenai sejarah dan ia harus dalam bentuk lisan. Persidangan Pertama
sejarah lisan pada tahun 1966 yang diadakan di Lake Arrowhead pula telah
gagal mencapai kata sepakat bagi menangani definisi sejarah lisan ini.

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

75

Namun, ahli-ahil sejarah yang bersidang ketika itu bersetuju bahawa sejarah
lisan adalah satu cara bagi mendapatkan keterangan sejarah yang berbentuk
lisan untuk menambah dan bukannya menggantikan sumber-sumber bertulis
yang berkaitan, yang telah dihasilkan dalam jangka waktu berkenaan.
Sejarah lisan adalah kaedah merakamkan kenang-kenangan tokohtokoh tertentu dengan cara temuramah. Tokoh-tokoh ini terdiri daripada
mereka yang dapat menyumbang maklumat bersejarah kerana penglibatan
dan pengalaman yang mereka sendiri miliki, ataupun juga kerana
perhubungan mereka secara langsung dengan watak, masa atau peristiwa
tertentu. Maklumat-maklumat yang diperolehi dari temuramah tersebut
kemudiannya disalin (ditranskripkan), disemak dan disimpan serta menjadi
bahan pengajaran dan penyelidikan di masa akan datang. Dengan cari ini,
sejarah lisan dapat memberi sumbangan penting kepada perbendaharaan
sumber sejarah.
Dalam hubungan ini juga, perlu bagi penyelidik sejarah untuk beringat
bahawa rakaman ucapan, peristiwa kemasyarakatan dan kebangsaan atau
temuramah oleh wartawan sebenarnya bukanlah kaedah sejarah lisan. Ini
adalah kerana sejarah lisan tidak dihadkan kepada satu tajuk atau aspek
sahaja, tetapi meliputi bidang yang luas dengan tujuan bahawa bahan-bahan
itu dapat digunakan oleh pelbagai penyelidik.
Kebanyakan orang tidak mempunyai kesempatan atau masa untuk
mencatatkan riwayat hidup mereka. Namun, hakikatnya ialah setiap orang
mempunyai pengalaman yang berlainan dan riwayat mereka dipengaruhi
oleh peristiwa-peristiwa sejarah yang penting. Ini secara langsung atau tidak,
seseorang itu menjadi pemerhati kepada peristiwa yang telah berlaku.
Maklumat-maklumat daripada orang seperti ini perlu diperolehi atau dirakam
supaya dapat memperkayakan warisan sumber sejarah manusia, keluarga,
masyarakat, negara dan dunia amnya. Surat-surat persendirian, buku-buku
catatan harian dan dokumen adalah merupakan sumber-sumber sejarah
utama dan bahan-bahan sejarah lisan tidak boleh menggantikan rekod-rekod
bertulis tersebut.
Sejarah lisan merupakan sumber terawal dan tertua dalam sejarah,
terutamanya mengenai peristiwa-peristiwa sejarah yang tidak mempunyai
sebarang catatan atau rekod rasmi mengenainya. Biasanya sumber lisan
diwarisi atau disampaikan dari mulut ke mulut sehingga bersifat tradisi lisaan
dan dibukukan setelah dikaji. Ia kadangkala dikelaskan sebagai sumber
utama atau kedua. Sumber lisan merupakan kumpulan sumber utama iaitu
kebanyakannya didapati melalui pertanyaan, temuduga atau perbualan yang
dilakukan sendiri sepanjang penyelidikan. Sidi Gazalba mengakui bahawa
sumber lisan merupakan sumber yang tertua sekali iaitu waktu fikiran
manusia mula tumbuh, waktu kebudayaan mulai lahir dan serentak dengan
itu bahasa mula digunakan. Walau bagaimanapun sumber lisan tidak
mungkin menunjukkan kenyataan atau fakta yang sesungguhnya tepat
kerana apa yang merupakan fakta selepas ditambah atau dikurang, akhirnya
menjadi bentuk sejarah lisan. Ini menunjukkan bahawa sumber lisan boleh

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

76

berubah-ubah lantaran dari sifatnya yang sentiasa berubah mengikut setiap


jenis penuturnya atau pengkisahnya.
TEKNIK SEJARAH LISAN
Di Malaysia, sejarah lisan masih merupakan satu perkara atau bidang yang
baru. Seorang pakar sejarah lisan, Nadzan Haron berpandangan bahawa
walaupun di negara kita telah dipraktikkan kaedah temuramah dalam
sesuatu kajian untuk menghasilkan tesis, kertas projek atau penulisan
makalah sejarah, tetapi masih belum benar-benar diterima bidang ini
sebagai suatu yang praktikal dalam penyelidikan sejarah di negara kita.
Sejarah lisan yang sebenar perlu dilaksanakan mengikut kaedah atau
teknik-teknik khusus tertentu bagi memastikan hasilnya benar-benar bernilai.
Dalam menjalankan penyelidikan sejarah lisan, beberapa perancangan atau
peraturan perlu dibuat seperti berikut;
i. Menetapkan maklumat yang diperlukan.
ii. Merakamkan maklumat tersebut.
iii. Menyebarkan maklumat tersebut, dan
iv. Memelihara maklumaat atau rakaman tersebut.
Sesuatu penyelidikan sejarah lisan haruslah mempunyai objektifnya dan
perlu dirancang dengan teliti berdasarkan kepada beberapa faktor penting
beriktu;
a. bentuk penyelidik sama ada biografikal atau topikal.
b. peruntukkan kewangan untuk membeli peralatan dan
membayar gaji pembantu.
c. kakitangan diberi latihan sewajarnya..
d. jangkamasa yang diperlukan.
Terdapat tiga tahap utama dalam teknik sejarah lisan iaitu;
i.
Tahap persediaan.
ii.
Tahap temuramah (merakam temuabual)
iii.
Tahap memproses rakaman.
Tahap Persediaan
Seorang penyelidik harus faham apakah skop yang hendak dikaji untuk
mendapatkan pemahaman yang mendalam tentang aspek-aspek tajuk
kajiannya. Pada tahap ini, persediaan untuk temuramah yang perlu ialah
mendapatkan penasihat untuk penentuan skop, menentukan siapa yang
akan ditemuramah dan pemilihan pendekatan sejarah yang sesuai. Untuk
melaksanakan program sejarah lisan yang besar, ia memerlukan satu badan
penasihat yang terdiri daripada beberapa anggota sukarela yang
berpengalaman dalam perundangan dan bidang yang lain seperti psikologi,
sosiologi dan sebagainya untuk memberi nasihat undang-undang tentang
rundingan dengan pihak yang akan ditemuramah berhubung dengan
penyimpanan, penggunaan rakaman, dan transkrip. Selain itu, badan
penasihat akan bertindak dengan memberi nasihat tentang masalah yang

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

77

akan hadapi. Mereka boleh memberikan senarai nama orang-orang yang


berkaitan.
Untuk menentukan siapa yang patut ditemuramah, faktor seperti
umur, tempat dilahirkan, asal-usul keluarga., keturunan, pendidikan dan
keadaan kesihatan seseorang responden perlu dipertimbangkan. Keutamaan
harus diberikan kepada orang yang lebih tua atau seseorang yang dianggap
lebih berpengalaman dan dapat memberi banyak maklumat-maklumat serta
pengalaman yang bernilai. Selain itu, nama interviewee atau responden juga
boleh diperolehi dengan berbagai cara seperti mengumumkan program atau
projek penyelidikan ini melalui akhbar-akhbar dan majalah tempatan ataupun
membuat soal-selidik untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut
mengenai tokoh-tokoh yang ingin ditemuramahkan. Dengan pengaruh badan
penasihat itu maka akan menyenangkan interviewer atau penemuramah
untuk mendapat kerjasama dari pihak responden. Sekiranya terdapat
masalah kewangan, mungkin badan penasihat boleh berusaha mendapatkan
bantuan dari badan-badan tertentu.
Pada peningkat ini juga penyelidik harus menentukan skop kajian
dengan membuat garis panduan tentang perkara-perkara yang akan
ditumpukan dalam kajiannya. Senarai nama responden perlu dibuat
berdasarkan latar belakang, peranan dan pengetahuannya tentang perkara
yang ingin dikaji dan diamatinya. Penyelidikan latar hidup seorang tokoh
serta latar belakang masa dan sejarah sesuatu penistiwa atau kejadian
adalah penting untuk menentukan dan mengenali masalah (definition of
problem) sebelum temuramah dijalankan.
Seterusnya membuat penilaian awal bagi menentukan tentang
perkara apa, maklumat apa atau keterangan apa yang harus terbitkan pada
sesi temuramah. Kemudiannya menghubungi responden dengan surat
memohon kerjasama untuk ditemuramah dan penetapan tarikh pertemuan.
Cadangan program tentang tujuan, tatacara, tajuk kandungan temuramah,
penyimpanan dan penggunaan bahan disertakan bersama surat memohon
pertemuan itu supaya tidak timbul salah faham tentang maksud
perlaksanaan program tersebut. Tempat dan masa temuramah diserahkan
kepada pihak responden untuk menetapkannya, walaupun beberapa
cadangan yang dianggap bersesuaian dikemukakan.
Tahap temuramah
Kejayaan sesuatu sejarah lisan amat bergantung kepada persediaan yang
lengkap oleh penyelidik selain kerjasama responden dan penggunaan
pendekatan yang telah disebut tadi. Penyelidik harus mengetahui sebanyak
mungkin tentang perkara yang hendak dipersoalkan. Penyelidikan latar,
membuat rujukan, membaca dan mengkaji segala keterangan bertulis dan
dokumen, akhbar, fail-fail, buku dan sebagainya dapat memudahkan seorang
penyelidik untuk menetapkan soalan-soalan yang ingin dikemukan kepada
seorang tokoh. Rangka kasar soalan-soalan hendaklah disediakan untuk
dijadikan garis panduan ketika menjalankan temuramah supaya ia dapat

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

78

berjalan dengan lancar. Selain itu, penyelidik dapat mengetahui sama ada
responden bersikap bias atau tidak dan memastikan kebenaran keterangan
sejarah yang dirakam.
Untuk mencapai suatu dialog yang lancar, penyelidik tidak digalakkan
membaca soalan yang disediakan pada kertas tetapi digunakan sebagai
panduan sahaja. Penyelidik
juga tidak digalakkan menghantar atau
mengemukakan soalan-soalan bertulis kepada responden terlebih dahulu,
sebaliknya teknik temuramah yang baik ialah soalan-soalan dikemukan
secara spontan dalam beberapa bentuk mengikut keterangan sejarah yang
dikehendaki. Soalan-soalan yang berbentuk provokatif dan penyiasatan akan
memaksa responden mendedahkan sesuatu maklumat yang sulit, iaitu
sesuatu yang pada mulanya responden mungkin hendak menyembunyinya.
Selain itu, soalan-soalan yang dikemukakan hendaklah berbentuk
tepat dan pendek serta dikemukakan dalam bentuk yang menarik kerana
matlamat sejarah lisan ialah untuk mendapatkan jawapan-jawapan yang
menarik. Penyelidik atau penemuramah harus menyoal dengan cara prinsip
5W + H serta memastikan perkaitan antara satu soalan dengan soalan yang
berikutnya. Persiapan yang dibuat dengan bentuk soalan-soalan yang tepat
dan ringkas serta kerjasama responden akan dapat menimbulkan jawapanjawapan yang tepat dan jelas, yakni menghasilkan keterangan-keterangan
sejarah yang bemilai serta bermutu. Seorang pakar sejarah lisan, Charles T.
Morrisey menjelaskan adakalanya sesorang penyelidik sejarah lisan itu
menghadapi masalah kehabisan soalan untuk ditanya sedangkan masa
temubual masih lagi panjang. Menurut beliau situasi demikian boleh diatasi
dengan 3 cara atau teknik;
i. mengunakan teknik kewartawanan, iaitu memulakan dari
soalan bila, di mana, bagaimana dan mengapa.
ii. cuba meletakkan diri dalam kedudukan sebagai seorang
yang ditemuramah dan bayangkan peranannya dalam
jaringan temubual ketika soalan dikemukakan.
iii. Cuba meletakkan diri dalam kedudukan sebagai seorang dari
disiplin lain, misalnya sebagai seorang ahli sosiologi ataupun
ahli ekonomi.
Teknik-teknik ini penting kerana masa temuramah harus digunakan dengan
sepenuhnya kerana untuk mengadakan temuramah dengan seorang yang
penting bukanlah mudah. Sebelum menjalankan temuramah, terdapat
beberapa persediaan yang perlu dilakukan seperti;
i. Memastikan semua peralatan yang akan digunakan adalah
lengkap seperti pita rakaman, bateri, kaset, buku nota, pen
dan lain-lain.
ii. Memastikan pita rakaman dalam kedudukan yang baik.
Terdapat peraturan penting yang harus dipatuhi semasa menjalankan
temuramah iaitu mengelakkan diri daripada mengemukakan soalan yang
berbentuk mengkritk responden dan juga memutuskan jawapan semasa
responden sedang bercakap. Pendek kata, penyelidik tidak dibenarkan
mencabar keterangan yang diberikan oleh responden sungguhpun mungkin

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

79

jawapan yang diberikannya dirasakan tidak tepat. Sebaliknya harus


membiarkan responden meneruskan percakapannya, sementara penyelidik
harus mendengar dengan teliti sambil membuat catatan tentang perkara
yang disebut. Ini adalah kerana, mengikut pendapat seorang pakar
penyelidik sejarah lisan, Ramon Harris bahawa seorang penemuramah yang
baik adalah juga pendengar yang baik. Penemuramah juga dilarang
menggunakan peluang temuramah untuk menunjukkan kebolehan diri
sendiri.
Dalam menjalankan temuramah, penemuramah boleh mulakan
dengan solan-soalan yang senang difahami dan soalan-soalan yang lebih
sukar (mendalam) boleh dikemukakan selepas temuramah itu sudah berjalan
beberapa ketika ataupun ketika perasaan mesra telah terjalin di antara
kedua-dua pihak. Satu sesi temuramah dan rakaman tidak digalakkan
melebihi 2 jam kerana jangkamasa sebegini adalah sesuai bagi seorang
responden sebelum beliau merasa penat.
Tahap memproses rakaman
Tahap ketiga dalam kaedah sejarah lisan ialah memproses rakaman. Tahap
ini mempunyai beberapa langkah penting untuk menghasilkan sejarah lisan
yang bernilai, iaitu langkah pendaftaran, menyalin semula, mengedit,
membuat salinan kekal atau transkrip, membuat peratusan penggunaan dan
teknik penyimpanan.
Langkah pertama ialah pendaftaran. Tiap-tiap rakaman lisan
memerlukan suatu sistem pendaftaran, iaitu suatu pengenalan seperti tajuk
rakaman, tarikh, tempat dan masa temuramah, nama pengkisah atau
responden dan penemurah, kelajuan rakaman dan nombor bilangan kaset
rakaman hendaklah dicatatkan.
Langkah kedua ialah menyalin semula kandungan rakaman perkataan
demi perkataan hingga menjadi draf transkrip. Selepas menjalankan
temuramah, pita-pita rakaman temuramah akan disalinkan dan disediakan
dalam bentuk draf transkrip rakaman. Ini merupakan satu proses yang
penting dalam sesuatu tugas sejarah lisan kerana transkrip akan
memudahkan fahaman serta untuk menambahkan keterangan-keterangan
yang terkandung di dalam sesuatu temuramah sebagai satu sumber sejarah.
Penyelidik hendaklah mendengar rakaman itu beberapa kali dan memahami
isi kandungannya untuk mengelakkan kesalahan. Cara menyediakan
transkrip merupakan satu seni seumpama menterjemahkan dari satu bahasa
ke satu bahasa yang lain dan memerlukan seorang pekerja yang mempunyai
beberapa sifat kemahiran seperti berikut;
i. kebolehan menaip dengan teliti.
ii. kebolehan mendengar bunyi-bunyian eletronik.
iii. pengetahuan am yang luas.
iv. penggunaan tanda bacaan, ejaan yang baik menunjukkan
makna transkrip.

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

80

Dengan lain perkataan, orang yang paling sesuai untuk menyediakan


transkrip ialah penemuramah sendiri. Ini adalah kerana beliau telah biasa
dengan suara, loghat dan keterangan yang diberikan oleh responden.
Dengan itu, transkrip yang dihasilkan adalah lebih bermutu.
Menurut seorang pakar sejarah lisan, Cullom Davis, terdapat beberapa
peraturan penting yang harus dipatuh oleh seseorang penyelidik sebelum
menyediakan kerja transkrip, iaitu;
i. seseorang dinasihatkan mendengar pita rakaman sesutu
temuramah itu lebih kurang 10 minit untuk membiasakan
diri kepada loghat, perkataan dan cara sebutan responden.
ii. perkataan-perkataan
ditranskripkan
sebagaimana
disebutkan dan elakkan menggantikan dengan perkataan
lain.
iii. gunakan bahasa rasmi kecuali dalam projek-projek tradisi
lisan yang sememangnya perlu mengekalkan loghat dan
bahasa asal seseorang itu sendiri.
iv. transkrip mesti ditaip dengan kemas dan cermat.
v. gunakan tanda bacaan di mana perlu tetapi jangan sengaja
memendekkan ayat-ayat yang panjang.
vi. gunakan perenggan yang baru untuk perkara atau tajuk
yang berlainan.
vii. sekiranya terdapat sebahagian pita yang tidak dapat
didengar dengan jelas, tinggalkan ruang untuk diisi oleh
responden apabila transkrip disemak kemudian.
Setelah menentukan draf transkrip yang selesai disemak dan baiki,
salinannya hendaklah diberikan kepada pengkisah atau responden.
Tujuannya adalah untuk memberi peluang meneliti testimoni yang dibuat
dan responden oleh membuat pembetulan atau penambahan tetapi tidak
boleh memadamkan apa-apa keterangan sejarah yang dibuatnya. Responden
boleh mengubah atau membetulkan serta menjelaskan dengan lebih lanjut
keterangannya dalam temuramah yang dirakam, seperti menentukan
perenggan yang sesuai, meletakkan tanda nota, koma dan sebagainya. Ini
secara langsung memberi peluang kepada penyelidik untuk mengemukan
apa-apa pertanyaan atau soalan yang terlupa semasa temuramah. Soalansoalan ini hendaklah dilampirkan bersama draf transkrip.
Pada masa yang sama satu perjanjian dilakukan tentang peraturan
penyimpanan dan penggunaan rakaman dan transkrip. Perjanjian tersebut
harus dirundingkan dengan pihak responden mengikut tatacara
perundangan. Terdapat banyak kenyataan sensitif, rahsia atau sulit yang
terkandung dalam testimoni responden yang dikhuatiri mungkin akan
disalahgunakan. Seseorang penyelidik yang beretika harus memastikan
bahawa responden diberikan perlindungan undang-undang ke atas testimoni
yang dibuat supaya tidak menjejaskan nama baik dan kedudukannya.
Perjanjian ini penting supaya kedua-sua pihak memahami tanggungjawab
masing-masing terhadap hasil temuramah tersebut. Adakalanya responden
menyentuh perkara yang sensitif, bercanggah, rahsia ataupun menyentuh

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

81

perkara peribadi orang lain. Dalam kes ini, responden berhak menentukan
hak-hak tertentu mengenai penggunaan pita-pita rakaman atau transkrip
temuramah berkenaan. Antara syarat-syarat yang boleh dicatatkan dalam
perjanjian tersebut termasuk kegunaan rakaman temuramah dihadkan
ataupun ditutup kepada penyelidik atau boleh digunakan dengan keizinan
responden dan keluarganya terlebih dahulu. Walau apapun syarat yang
dikehendaki oleh responden, butir-butir lain yang perlu direkodkan di dalam
sesuatu perjanjian ialah;
i. nama responden.
ii. nama penyelidik dan insitusi yang menjalankan kajian.
iii. tarikh rakaman temuramah dijalankan.
iv. tempat temuramah diadakan.
v. tandatangan kedua-dua pihak.
vi. Setelah pihak responden memulangkan draf transkrip yang
telah disemak dan dibaiki (edited), transkrip tersebut akan
disalin semula sebagai transkrip kekal.
Langkah terakhir ialah teknik penyimpanan transkrip. Teknik katalog
rujukan digunakan dengan setiap transkrip diberi nama, tarikh, tempat,
masa, tajuk dan skop yang terkandung, syarat penggunaan, nama penyelidik
dan nombor panggilan serta bilanganya akan disimpam. Keterangan ini
adalah untuk tujuan bibliografi, pengenalan dan untuk catatan rekod.
Dengan demikian membolehkan penyelidik menghubungi responden
berkenaan sekiranya penyelidik memerlukan keterangan yang lebih lanjut
selain daripada yang terdapat dalam transkrip.
Pita-pita rakaman harus disimpan ditempat yang bersih supaya tidak
rosak. Untuk tujuan pemeliharaan yang lebih baik, pita rakaman harus
disimpan dalam kotak-kotak asal dan dimasukkan ke dalam bekas plastik
atau kertas tebal. Pita-pita rakaman mestilah dimainkan semula sekurangkurangnya tiap-tiap 6 bulan sekali untuk mengesan sebarang kerosakan.
Rumusan: kepentingan sejarah lisan dapat dimengerti kerana sejarah
adalah segala yang telah berlaku tetapi cuma sebahagian kecil sahaja yang
meninggalkan rekod-rekod yang kekal. Dengan lain perkataan, bidang
sejarah lisan amat berguna untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam
sumber bertulis. Dengan keterangan-keterangan sejarah yang belum
dicatatkan, sejarah lisan dapat menyelamatkan keterangan sejarah yang
hilang dan ia juga sebagai pendorong kepada penyelidik untuk membuat
penyelidikan ke atas perkara yang telah disediakan dengan sumber-sumber
lisan, walaupun untuk melaksanakan sesuatu program sejarah lisan
memerlukan masa, tenaga dan belanja yang besar.
Tambahan pula, terdapat pendapat lain yang mengatakan bidang
sejarah lisan tidak diperlukan tetapi matlamat sejarah lisan adalah untuk
mendapatkan keterangan-keterangan sejarah mengenai sesuatu peristiwa
setepat dan sebanyak mungkin di samping untuk menyelamatkan
keterangan yang bernilai itu daripada terus hilang. Walau bagaimanapun
warisan lisan atau sejarah lisan sukar memiliki atau mempertahankan nilai
objektivitinya kerana dalam sejarah lisan memang sukar sekali memisahkan

ME1223-Penyelidikan dan Penulisan Sejarah

82

fakta dan penjelasan yang bersahaja seperti unsur mitos atau dogeng atau
lagenda. Dalam perwarisan dari seorang ke seorang (mulut ke mulut), nilai
kesubjektifan dalam tafsiran dan penjelasan memang tidak dapat dielakkan
sehingga menimbulkan penyelidikan yang tidak berasaskan ilmiah,
sebaliknya menyimpang menjadi dongeng atau cerita dalam kesusasteraan
lama. Oleh itu, untuk menyusun semula sejarah berpandukan sumber lisan,
penyelidik sejarah haruslah bersikap adil, rasional dan waras serta mengakui
kejahilan diri.
Soalan-soalan Penilaian
1.
Apakah makna sejarah lisan?
2.
Apakah jenis-jenis sumber lisan?
3.
Berikan perancangan yang perlu dibuat untuk menjalankan
penyelidikan sejarah lisan?
4.
Apak tiga tahap dalam penyelidikan sejarah lisan?
5.
Apakah matlamat penting dalam tahap persediaan?
6.
Apakah peralatan asas yang diperlukan dalam penyelidikan
sejarah lisan?
7.
Apakah tiga cara yang untuk mengatasi masalah kehabisan
soalan termuramah menurut Charles T. Morrisey?
8.
Dalam tahap memproses rakaman, apakah langkah-langkah
yang perlu dilakukan oleh penyelidik?
9.
Berikan sifat-sifat yang harus dimiliki oleh penyelidik dalam
usaha menyediakan transkrip sejarah lisannya?
10.
Apakah tujuan penyelidik untuk mengadakan perjanjian dengan
responden?
Bahan Bacaan Asas
Davis, Cullom. 1935. Oral History From Tape to Type, USA: America Libarary
Association
Dixon, Elizebath. 1966. Oral History At Arrowhead. California: University of
California Confrenca Center.
Garraghan, Gilbert J. 1973. A Guide to Historical Method. Westport:
Greenwood Press.
Harris, Roman. 1975. The Practice Of Oral History. USA: Mircofilming
Corporation Of America
Martson, Dois. 1976. A Guide To History Writing. Ohio: Writer Digest.
Moss,W. M. 1975. Oral History Program Manual. New York: Preager Publishers.
Nadzan Haron. 1979. Suatu Pandangan Awal Terhadap Sejarah Lisan Di
Malaysia. Jebat. Bangi: Jabatan Sejarah, UKM.
Shumway, Gary L. & Hattley, William. 1980. An Oral History Primer. Utah:
Primer Publication.
Sidi Gazalba. 1981. Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu, Jakarta: Penerbit
Bhratara Karya Aksara.
Vansina, Jan. 1973. Oral Tradition. England: Penguin University Books.

Anda mungkin juga menyukai