Anda di halaman 1dari 4

10.

0 RUMUSAN DAN REFLEKSI

Hasil dapatan kajian ini telah membuktikan bahawa teknik Straw Cross dapat membantu
murid menguasai kemahiran mendarab 2 digit dengan 1 digit tanpa mengumpul semula.
Selepas penyelidikan tindakan ini, murid melahirkan perasaan yakin dan seronok untuk
menjawab soalan yang melibatkan operasi darab melalui penggunaan teknik Straw Cross.

Dalam tempoh pelaksanaan kajian tindakan ini, murid memberi kerjasama yang sepenuhnya
kepada saya. Mereka sentiasa mendengar arahan saya dan memberi perhatian yang tinggi
semasa saya memberi penerangan dalam sesi P&P. Sikap murid yang baik juga membantu
mereka belajar sifir dalam kadar yang cepat dan lancar. Dengan itu, ia juga memudahkan saya
mengawal seluruh aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan sistematik dan baik.

Melalui kajian tindakan ini, hubungan saya dengan lapan orang murid menjadi rapat seperti
kawan. Hal ini disebabkan kami sering berjumpa dalam setiap sesi pengajaran dan
pembelajaran. Murid juga berani menanyakan soalan apabila mereka tidak memahami cara
menjawab soalan. Saya dapat berkomunikasi baik dengan murid dan mewujudkan interaksi
dua hala yang aktif dalam sesi pembelajaran. Ia juga memberi manfaat kepada saya dalam
proses pengumpulan data.

Pada pendapat saya, murid menjadi lebih berani menyuarakan pendapat dan perasaan
terhadap penggunaan teknik Straw Cross ini. Murid didorong untuk berfikir secara kritis
dan logikal tentang cara menyusun konsep pendaraban melalui penggunaan teknik ini.

Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa teknik Straw Cross telah kemajuan yang besar
dalam ujian pasca. Kesemua peserta kajian yang sebelum ini gagal dalam ujian pra telah lulus
dengan cemerlang dan menunjukkan peningkatan yang mendadak dalam ujian pasca.

Faktor kejayaan teknik Straw Cross ini adalah kerana murid mempunyai semangat yang
tinggi untuk menerokai keinginan untuk mencuba perkara baru yang diajar oleh guru. Di
samping itu, saya juga memberi peluang kepada murid menjalankan perbincangan dalam
kumpulan. Saya berpendapat bahawa murid belajar dalam kumpulan dapat menimbulkan
semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan murid. Mereka berpeluang untuk berkongsi
ilmu dan pengalaman tentang cara penggunaan teknik Straw Cross dalam proses
pembelajaran.

Namun begitu, teknik Straw Cross turut mempunyai kelemahan semasa membantu murid
menjawab soalan pendaraban. Kelemahannya iaitu murid mudah cuai dalam membilang
jumlah bilangan straw dan titik persilangan di dalam model yang dibina. Ini menyebabkan
murid memberi jawapan yang salah. Teknik ini tidak sesuai digunakan oleh murid yang sudah
menguasai kemahiran sifir. Hal ini disebabkan apabila melibatkan nilai nombor yang besar,
murid dikehendaki menyusun straw atau melukis konsep perwakilan dalam bilangan yang
besar dan banyak. Ia juga akan melambatkan masa bagi murid mendapatkan jawapan dengan
cepat.

Setelah melaksanakan kajian tindakan ini, ia telah memberi kesedaran kepada saya bahawa
betapa pentingnya guru memberi penekanan kepada penguasaan konsep pemahaman
Matematik pada awal peringkat pengajaran dan pembelajaran. Hal ini disebabkan murid
sering mengalami kesalahfahaman konsep dalam proses pembelajaran matematik dan

menyebabkan mereka tidak dapat melakukan operasi matematik dengan betul. Tambahan
lagi, pembentukan konsep dalam pemikiran murid juga adalah proses yang memakan masa.
Proses pembentukan pemahaman konsep amat bergantung kepada cara guru menyampaikan
konsep kepada murid dan juga bergantung kepada murid itu sendiri mengalami pengalaman
yang berlaku di persekitarannya.

Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, saya mendapati kelemahan murid dalam
penguasaan konsep mendarab sering gagal membuat latihan dengan baik. Justeru, murid
menjadi kurang berminat dan memberi perhatian terhadap pembelajaran Matematik.

Pada pendapat saya, guru perlu memainkan peranan penting dalam menyampaikan
pengajaran yang berkesan untuk membantu murid memahami dan membina kefahaman
konsep Matematik dengan usaha diri sendiri. Apabila murid dapat menguasai konsep yang
dipelajari, mereka dapat menyimpan maklumat tersebut dalam pemikirannya dalam jangka
masa yang panjang. Oleh itu, penekanan terhadap pembelajaran pembentukan pemahaman
konsep dapat membuka minda murid untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian
mereka.

Saya juga berpendapat bahawa guru haruslah mempelbagaikan teknik dan kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang kreatif dengan mengaplikasikan bahan konkrit dalam pengajaran dan
pembelajaran. Apabila murid belajar melalui sentuhan dan penglihatan, ia dapat membantu
mereka mengingati konsep dengan berkesan. Di samping itu guru boleh menerapkan bahan
interaktif yang sesuai dalam pengajaran untuk mengekalkan minat murid belajar konsep
matematik dengan baik. Oleh itu, guru harus memilih teknik dan kaedah pengajaran yang
sesuai dengan tahap kebolehan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Secara keseluruhannya, saya telah memilih teknik pengajaran yang tepat untuk membantu
murid menguasai kefahaman dan kemahiran mendarab dengan baik. Hasil dapatan kajian
juga menunjukkan bahawa teknik Straw Cross mendatangkan manfaat kepada murid untuk
mencapai keputusan yang baik dalam ujian pasca. Saya juga amat berpuas hati dengan
pencapaian yang diperolehi oleh murid dibanding dengan keputusan sebelumnya.

Anda mungkin juga menyukai