Anda di halaman 1dari 1

BAHAGIAN A: ESEI BERTAJUK ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA

Mengikut Kamus Dewan (2007), isu merujuk kepada perkara pokok atau persoalan yang dibincangkan. Semasa
pula pada ketika yang sama (Kamus Dewan, 2007). Pernyataan ini bermaksud terdapat perkara atau unsur
yang mencabar kemampuan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amnya dan guru khasnya dalam
melaksanakan tanggungjawab demi mencapai misi KPM.
Dalam merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang bermatlamat
melahirkan modal insan yang cemerlang dengan minda kelas pertama, banyak isu-isu semasa pendidikan yang
dihadapi oleh guru. Isu integrasi nasional, pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan UNESCO,
globalisasi dalam pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan teknologi maklumat (TMK) serta
gejala sosial adalah antara isu-isu yang perlu ditangani.
Era modenisasi dan globalisasi memberikan impak yang besar kepada golongan pelajar di sekolah
sama ada di bandar atau luar bandar. Pengaruh media massa yang mengambil peranan guru dan ibu bapa
dengan memaparkan budaya yang berbeza dengan masyarakat tempatan telah menyebabkan pelajar
membentuk sistem nilai yang tersendiri dan nilai-nilai tradisi berasaskan budaya semakin terhakis kerana
desakan luar kawalan media massa yang turut mempengaruhi sosio budaya pelajar. Oleh itu, pelajar
merupakan golongan yang sering terdedah dengan pelbagai masalah sosial. Antara gejala sosial di sekolah
yang sering kita dengar ialah gengsterisme, buli, vandalisme, merokok, berjudi, melepak dan ponteng sekolah.
Masa lah ini mencabar kewibawaan dan kredibiliti guru dalam menangani sikap dan tingkah laku pelajar yang
negatif ini.

Pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan wahana usaha untuk membangunkan generasi
alaf baru selaras hasrat yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan negara
memerlukan pelbagai usaha yang strategik agar boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya
ke tahap kualiti yang tinggi dan cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-21.
Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan pelbagai
pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa. Dalam konteks menyediakan
pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. Kementerian
Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu
pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting
adalah memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas
sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup.
Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 ( KPM, 2001 ). Kementerian Pelajaran Malaysia
menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar
Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur,
kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai
sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang
ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya perkara berhubung
dengan struktur pendidikan ; akses kepada pendidikan; ekuiti; kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan
penyediaan infrastruktur; Pelaksanaan Program PPSMI ; dan kurikulum yang relevan. Ini selaras dengan
pendapat Sufean ( 2004 ) yang menyatakan terdapat banyak isu pendidikan yang boleh dikatagorikan iaitu
pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.