Anda di halaman 1dari 3

MENINGKATKAN PEMAHAMAN KONSEP SAINS

MELALUI PEMBELAJARAN ANALOGI


JARIAH BINTI KHALIB
SMK SUNGAI KRUIT, 35600 SUNGKAI
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
` Saya adalah seorang guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kruit, Sungkai
sejak tahun 2002. Pada tahun ini saya telah ditugaskan untuk mengajar Sains tingkatan 3.
Mengajar Sains dalam Bahasa Inggeris merupakan cabaran yang amat besar bagi saya
terutama untuk menyampaikan konsep-konsep Sains kepada pelajar-pelajar. Saya dapati
mereka lebih cenderung untuk menghafal isi pelajaran dan meluahkan kembali semasa
menjawab soalan. Ini menyebabkan mereka hanya berupaya menguasai soalan-soalan
pada aras pengetahuan dan pemahaman sahaja tetapi tidak soalan-soalan yang
melibatkan aplikasi, menilai dan menganalisis. Di samping itu, pelajar-pelajar juga
kurang berminat terhadap pembelajaran. Saya berusaha memikirkan satu kaedah
pengajaran yang dapat memudahkan pelajar-pelajar memahami konsep Sains sekaligus
membetulkan persepsi mereka iaitu ‘Belajar Sains Dalam Bahasa Inggeris Adalah
Sukar’.
2.0 OBJEKTIF
i. Objektif Umum:
Meningkatkan pencapaian cemerlang (Gred A) pelajar-pelajar dalam peperiksaan
peringkat sekolah mahu pun Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun 2005
ii Objektif Khusus:
Meningkatkan bilangan pelajar-pelajar yang dapat menjawab soalan yang berkaitan
dengan sub topic:-
i The Transport of Oxygen in the Human Body
ii The Role of the Blood Circulatory System in the Transport of Substances
iii The Role of Transpiration
3.0 METODOLOGI KAJIAN
3.1 Reka Bentuk Kajian
Kajian telah dilaksanakan secara individu seiring dengan proses pengajaran dan
pembelajaran berdasarkan model dan proses kajian tindakan merangkumi aktiviti
mengenalpasti masalah, mengumpul data, menganalisis data, merancang plan tindakan,
melaksanakan plan tindakan dan mengesan serta menilai perubahan. Setelah
menyempurnakan gelung pertama saya telah memulakan gelung kedua dan seterusnya
gelung ketiga tetapi dengan sub topik yang berbeza. Sampel kajian adalah pelajar-pelajar
Tingkatan 3 KA, SMK Sg. Kruit seramai 21 orang.
4.0 PELAKSANAAN KAJIAN
4.1 Tinjauan Awal
Tinjauan awal telah dilakukan dengan mengadakan dialog tidak formal dengan pelajarpelajar
sampel dan temubual dengan guru-guru Sains dan Bahasa Inggeris yang mengajar
mereka semasa di tingkatan 2.
4.2 Merancang
• Pelajar-pelajar telah diberi ujian diagnostik bagi mencungkil pengetahuan Sains
mereka berdasarkan Sukatan Pelajaran tingkatan 1 dan tingkatan 2.
• Keputusan mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris pelajar-pelajar dalam
Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 2 telah dianalisis untuk dibuat perbandingan.
4.3 Pelaksanaan Tindakan
4.3.1 Pelaksanaan kajian tindakan melalui “Pengajaran Konsep Sains Melalui
Kaedah Analogi”.
4.4 Tindakan yang dijalankan
4.4.1 Beberapa sub topik telah dikenal pasti dan analogi yang sesuai telah dicipta
4.4.2 Lembaran kerja yang berkaitan disediakan untuk menilai kefahaman pelajar
terhadap konsep Sains yang diajar.
4.4.3 Pemerhatian telah dilakukan bagi mengesan respon pelajar terhadap sesi
pengajaran
4.5 Pelaksanaan dan Pemerhatian
4.5.1 Pelaksanaan kajian diteruskan melalui proses pengajaran dan pembelajaran
dengan mengaplikasi kaedah analogi bagi menerangkan konsep Sains kepada
pelajar-pelajar. Latihan bertulis diberi kepada pelajar-pelajar selepas sesi
pengajaran bagi menilai kefahaman pelajar terhadap topik yang diajar.
4.5.1 Berdasarkan pemerhatian, perubahan tingkah laku pembelajaran dapat dikesan
terhadap pelajar-pelajar. Mereka menjadi lebih aktif dan berkeyakinan. Sesi
pembelajaran lebih bermakna dengan respon positif daripada pelajar-pelajar.
Mereka lebih yakin dan berlumba-lumba untuk menjawab soalan-soalan lisan
yang diberi. Latihan pengukuhan secara bertulis juga dapat dijawab dengan baik.
4.5.2 Terdapat juga pelajar yang mengakui mudah memahami konsep apabila
disampaikan melalui kaedah analogi ini.
5.0 Dapatan kajian
5.1 Analisis dapatan
• Sebelum kaedah analogi ini digunakan, kebanyakan pelajar belajar dengan
menghafal fakta-fakta menerusi buku teks dan buku rujukan tanpa
memahami konsep. Setelah meneliti beberapa latihan yang diberi, didapati
pelajar-pelajar menguasai soalan-soalan pada aras rendah sahaja.
• Keadaan ini menyebabkan pelajar-pelajar pasif dan sukar memberi respon
terhadap aktiviti yang dilakukan di dalam kelas
5.2 Rumusan Kajian
• Setelah mengaplikasi kaedah analogi , didapati sikap pelajar-pelajar berubah
menjadi aktif dan berlumba-lumba untuk mengambil bahagian dalam aktiviti
pembelajaran
• Daripada semakan latihan bertulis didapati pelajar-pelajar boleh menjawab
soalan-soalan yang memerlukan mereka mengaplikasi pengetahuan sains yang
dipelajari, menilai dan menganalisis.
6.0 Refleksi Kajian
6.1 Penilaian Pencapaian Pelajar
Apabila sesi pengajaran dan pembelajaran dilakukan melalui kaedah analogi
didapati sikap pasif pelajar semakin berkurangan. Mereka memberi respon yang
baik terhadap soalan-soalan yang diberi. Mereka juga berani bertanya perkaraperkara
yang kurang mereka fahami. Fenomena menundukkan muka pada sesi
soal-jawab lisan semakin berkurangan.
6.2 Perubahan Pengajaran Guru.
Proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam 2 hala. Saya rasa lebih
bersemangat untuk mengajar kerana pelajar-pelajar saya semakin aktif dan
memberikan respon yang baik. Saya juga lebih yakin untuk menyediakan
latihan-latihan yang lebih mencabar sebagai aktiviti pengukuhan.
6.3 Rumusan Pemerhatian
Berdasarkan lembaran kerja yang dijawab oleh pelajar setelah pengajaran melalui
kaedah analogi dijalankan, didapati pelajar-pelajar dapat menjawab soalan-soalan
melibatkan aras aplikasi, menilai dan menganalisis. Minat mereka terhadap
pembelajaran sains juga semakin bertambah. Latihan bertulis di dalam kelas dan
di rumah dapat disiapkan dengan baik dan menepati tarikh yang ditetapkan.
Buku Nota Sains juga sentiasa dikemas kini selaras dengan topik yang dipelajari.
Pelajar-pelajar juga meminta saya menerangkan sekali lagi sekiranya mereka
masih kabur dengan isi yang disampaikan. Semakin kerap pelajar-pelajar
bertanya isi pelajaran yang kurang mereka fahami sama ada di dalam kelas,
berkumpulan atau individu. Di dalam kelas pelajar-pelajar sentiasa bersedia
untuk memulakan pembelajaran dan berlumba-lumba untuk menjawab soalan
bagi membuktikan mereka memahami pelajaran. Lebih merangsang saya ialah
apabila mereka meminta saya mencipta analogi bagi mengajar konsep-konsep
yang sukar mereka fahami. Pengajaran melalui kaedah analogi ini dilakukan
untuk menyampaikan konsep Sains secara lebih mudah dan berkesan. Gambar
rajah, carta atau bahan-bahan maujud di dalam makmal digunakan untuk
membuat analogi. Situasi yang sama dan berkaitan direka untuk disampailkan
kepada pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar dipastikan memahami analogi tersebut
serta boleh memikirkan rasionalnya. Seterusnya elemen-elemen dalam analogi
digantikan dengan fakta-fakta dalam pelajaran. Konsep sepenuhnya dibina
secara teratur dan persamaan diantara elemen-elemen dalam analogi dengan
fakta-fakta dalam pelajaran disenaraikan. Pengukuhan dilakukan melalui aktiviti
bertulis.
6.4 Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Kaedah analogi ini saya aplikasi semasa mengajar konsep-konsep Sains yang
penting dan memerlukan pemahaman pelajar-pelajar. Saya memerhatikan respon
pelajar terhadap pengajaran saya. Saya akan mengajar konsep sains melalui
kaedah konvensional. Sekiranya pelajar-pelajar di dalam kelas pasif dan tidak
berminat terhadap aktiviti pembelajaran, saya menguji pemahaman mereka
melalui soalan-soalan lisan. Jika ternyata mereka tidak menguasai konsep yang
disampaikan saya berusaha mencipta analogi yang bersesuaian. Saya
menyampaikan analogi tersebut dengan menggunakan gambar, gambar rajah,
penerangan lisan, teks ringkas malahan melalui teknik bercerita. Saya
membimbing pelajar-pelajar mengaitkan elemen-elemen di dalam analogi dengan
elemen-elemen dalam konsep Sains berkaitan. Saya juga meminta pelajar-pelajar
untuk membuat perbandingan, menyenaraikan persamaan dan perbezaan di
antara analogi dan konsep sains. Pengukuhan dilakukan melalui soalan-soalan
lisan, perbincangan berkumpulan dan sesi pembentangan oleh wakil kumpulan.
Setelah saya berpuas hati dengan pencapaian mereka, saya akan memberi latihan
bertulis di dalam lembaran kerja. Kaedah ini dilakukan secara spontan dalam
sesi pengajaran tanpa penerangan khusus kepada pelajar-pelajar tentang kaedah
yang dijalankan.
7.0 Cadangan-cadangan
Kaedah analogi ini ternyata berkesan di dalam membantu pelajar-pelajar saya
memahami konsep sains yang diajar. Perubahan tingkah laku pembelajaran dapat
diperhatikan. Pelajar-pelajar lebih aktif di dalam kelas. Mereka juga berlumbalumba
untuk melakukan aktiviti, menjawab soalan lisan dan soalan bertulis di
papan tulis. Terdapat juga pelajar yang bertanya sekiranya mereka kurang faham
terhadap sesuatu fakta. Saya akan berkongsi pengalaman ini dengan semua guru
Sains khususnya di sekolah saya melalui tindakan berikut:;
7.1 Menempatkan satu salinan kajian yang telah saya lakukan di dalam pusat
sumber sekolah
7.2 Berkongsi maklumat melalui mesyuarat panitia
7.3 Memilih sub topik yang sesuai untuk diajar melalui kaedah analogi
7.4 Mencipta analogi dan mendokumentasikan analogi tersebut.
Saya berharap agar pengkaji yang lain akan berusaha untuk mencari kaedahkaedah
baru yang menarik dan menjadikan pembelajaran Sains lebih
menyeronokkan pelajar-pelajar.