Anda di halaman 1dari 9

Vietnam

1.0 Pengenalan
Kolonialisme merujuk kepada penguasaan politik secara rasmi oleh sesebuah kuasa besar
ke atas sesuatu wilayah lain yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial.
[1] Kolonialisme berkait rapat dengan dasar imperialisme yang dijalankan oleh kuasa penjajah
dengan tujuan meluaskan kuasa, pengaruh serta mendapatkan kekayaan hasil bumi kawasan yang
dijajah. Di Vietnam, pelbagai dasar telah dilaksanakan oleh Perancis sehingga mengubah hampir
keseluruhan sistem politik dan struktur sosioekonomi. Antaranya ialah penghapusan sistem
feudal, pengenalan ekonomi komersial dan perubahan pendidikan ala barat yang mementingkan
bahasa Perancis dan agama Kristian. Perubahan tersebut telah membangkitkan semangat
nasionalisme dalam kalangan masyarakat Vietnam demi mengembalikan kedaulatan negara
tersebut. Dasar kolonialisme yang dilaksanakan oleh Perancis sebenarnya memberi impak positif
dan negatif kepada negara Vietnam. Walau bagaimanapun, kesan positif dan negatif kolonialisme
ini telah bergerak seiring dalam mencetuskan semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme
telah memuncak selepas berlakunya perang pertama iaitu 1914 sehingga 1918.
2.0 Politik
Koloniaslisme Perancis ke atas Vietnam bermula pada 1885 telah mengubah sistem
beraja kerajaan tersebut setelah dua abad ia diamalkan.[2]Sebelum kehadiran Perancis,
kekuasaan maharaja Vietnam meliputi hampir keseluruhan aspek politik, sosial dan ekonomi.
Agama Buddha turut meletakkan maharaja Vietnam sebagai suci. Unsur agama ini telah
memperkuatkan lagi kuasa pemerintahannya. Namun begitu, selepas penjajahan Perancis ke atas
Vietnam, sistem feudal yang diamalkan sebelum itu dihapuskan secara berperingkat-peringkat.
Di Asia Tenggara sekitar abad ke-19, raja dianggap sebagai penaung kehidupan rakyat.
[3] Segala urusan kehidupan golongan bawahan bergantung kepada pemerintah. Demi menjaga
sensitiviti dan kesetiaan rakyat kepada raja, pihak kolonial cuba mengekalkan sistem ini dalam
memastikan hubungan pemerintah feudal dan pihak penjajah berada dalam keadaan baik.
Pengekalan hubungan baik tersebut dilakukan bertujuan mengelakkan penentangan dan ancaman
dalam kalangan masyarakat tempatan. Justeru, kolonial Perancis turut menggunakan pendekatan
ini dalam memastikan masyarakat Vietnam tidak bangkit menentang kolonial.
Dalam jangka masa pendek, sistem beraja di Vietnam mengalami perubahan yang agak
ketara. Kesan peringkat awal, raja sebagai boneka dalam hierarki pemerintahan. Kolonialisme
Perancis menyebabkan maharaja Vietnam hanya berkuasa pada agama dan adat istiadat tempatan
sahaja. Manakala kekuasaan ekonomi dan sosial terletak pada bahu pegawai-pegawai Perancis
dan tempatan yang dilantik kolonial. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kesan kolonialisme
Barat telah mengubah sistem kemaharajaan Vietnam.
Kejatuhan Dinasti Nguyen dan kekalahan rejim Thuyet dalam mengusir kekuasaan
Perancis di Vietnam telah mengubah sistem monarki Vietnam. Hal ini terbukti apabila Raja
Dhong Khan dilantik sebagai maharaja yang baru oleh Perancis.[4] Dhong Khan merupakan
ketua negara tetapi yang menjalankan segala urusan pentadbiran wilayah-wilayah penting

Vietnam adalah wakil-wakil Perancis. Sejak 1887, Indochina diuruskan oleh seorang Gabenor
General yang berpusat di Hanoi.[5] Di bawah Gabenor General, lima orang pegawai tertinggi
dilantik sebagai pentadbir wilayah-wilayah Indochina. Hal ini menunjukkan bahawa kedatangan
kolonial Perancis menghakis kekuasaan maharaja yang dahulunya berkuasa mutlak.
Kelemahkan kekuasaan maharaja disebabkan oleh kolonialisme Perancis, wujud gerakan
awal nasionalisme untuk mengembalikan sistem monarki. Gerakan ini diketuai Phan Boi Chau
dalam mewujudkan sentimen anti-Perancis dalam kalangan masyarakat Vietnam.[6] Bagi
memastikan kekuasaan maharaja Vietnam dipulihkan, beliau menubuhkan Persatuan Pemulihan
(Duy Tan Hoi) di bawah kepimpinan Putera Cuong De ketika itu.[7] Beliau juga menggalakkan
golongan muda Vietnam melarikan diri ke luar negara iaitu Jepun dengan menganggotai
persatuan tersebut. Pergerakan secara sulit ini tidak dapat dikesan dengan mudah oleh pihak
Perancis kerana ibu pejabatnya berada di Jepun. Tujuan sebenar persatuan ini ditubuhkan ialah
untuk melahirkan golongan yang mentaati raja, mencintai negara Vietnam dan bersemangat
untuk berubah dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial.
Kolonialisme Perancis turut memberi kesan terhadap pentadbiran tradisional Vietnam
yang dahulunya dikuasai oleh golongan mandarin. Hal ini dilihat apabila sistem tradisional ini
digantikan dengan sistem residen. Perubahan sistem tersebut menyebabkan pihak Perancis
membahagikan Vietnam kepada tiga bahagian iaitu Cochin China, Annam dan Tonkin.
[8] Pembahagian tersebut memberi kelebihan kepada Perancis dalam mengawal hal pentadbiran
dan ekonomi setiap bahagian. Setiap bahagian akan diwakili oleh seorang residen. Sekaligus, ia
dapat mengurangkan kos perbelanjaan pengurusan. Berdasarkan kepada pembahagian tersebut,
Annam dan Tonkin diletakkan di bawah sistem residen dengan menjadikan Gabenor Jeneral yang
berpusat di Hanoi sebagai kuasa tertinggi di Vietnam.
Walau bagaimanapun, Perancis masih mengekalkan raja dan golonganmandarin di
Tonkin dan Annam berasaskan sistem dualisme. Melalui sistem ini, raja dan
golongan mandarin akan melaksanakan segala urusan pentadbiran berdasarkan nasihat residen.
Impaknya, kuasa raja dan golongan mandarindihapuskan secara berperingkat-peringkat. Hal ini
terbukti apabila kuasa pentadbiran wakil raja di Tonkin iaitu Kuai Luoc (Wizurai) dan Majlis Comat Vien di Annam telah diambil alih oleh kuasa residen.[9] Hal ini menyebabkan, segala
keputusan yang dibuat oleh raja dan golongan mandarin perlu mendapat keizinan daripada
residen.
Pengenalan sistem residen ini berjaya mengurangkan kuasa sistem tradisional. Buktinya,
wujud perpecahan dalam kalangan golongan mandarinkepada dua. Dua golongan ini adalah
mereka yang menyokong kepada Perancis dan anti-Perancis. Golongan mandarin yang
menentang kolonial Perancis telah mewujudkan gerakan anti-Perancis sekaligus membina
semangat nasionalisme di Vietnam. Namun begitu, semangat nasionalisme pada ketika itu lebih
bersifat kedaerahan yang memberi manfaat kepada golongan pemerintah dan bukannya
membabitkan soal kemerdekaan. Sebagai contoh, Parti Perlembagaan yang ditubuhkan oleh Bui
Quang Chieu pada tahun 1917.[10] Ia lebih bertujuan mengembalikan kekuasaan politik dan
ekonomi golongan elit dan pertengahan di Cochin China. Begitu juga dengan parti Viet Nam
Quoc Dang Dang (VNQDD) yang ditubuhkan pada 1927 oleh Nguyen Thai Hoc yang berpusat

di Hanoi.[11]Hal ini menyebabkan, parti-parti ini mengalami kegagalan dalam mewujudkan


semangat nasionalisme Vietnam dalam kalangan masyarakat.
Semangat antiPerancis secara menyeluruh telah dipelopori oleh Ho Chi Minh yang
merupakan golongan mandarin kelas rendah.[12] Ketika perang dunia pertama pada tahun 19141918, Ho Chi Minh telah telah terdedah dengan political education[13] ketika berada di
Perancis. Kesan pendedahan tersebut, pemikiran beliau telah dipengaruhi oleh aliran
Lenin[14] dan bergiat aktif dalam arena politik di sana. Ho Chi Minh cuba mewujudkan
semangat nasionalisme dengan menubuhkan Parti Thanh Nien di Canton pada tahun 1925.
[15] Namun, parti ini gagal kerana mendapat tekanan daripada negara China. Kegagalan parti ini
sebenarnya telah mempercepatkan penubuhan Parti Komunis Indochina pada 1930.[16] Parti
Komunis Indochina cuba menarik seberapa ramai golongan buruh dan petani bagi menyokong
penentangan mereka melawan Perancis. Walau bagaimanapun, parti ini terhenti sementara pada
tahun 1936 disebabkan oleh penyusunan semula gerakan tersebut oleh Tran Van Giau.
Kegagalan parti-parti bersifat kedaerahan dan mengikut kelas masyarakat menyebabkan
ideologi antarabangsa dikenali sebagai komunisme berkembang. Fahaman ini bukanlah dibawa
oleh Perancis tetapi ia menular dalam kalangan penduduk berikutan kesedaran masyarakat yang
ingin bersatu dari semua kelas penduduk. Pengaruh komunis yang berkembang di Eropah
mempengaruhi pemikiran penduduk Vietnam yang dibawa ke sana semasa Perang Dunia
Pertama oleh Perancis.[17] Kesedaran penduduk terutamanya yang berpendidikan
mengembangkan ideologi ini lalu meresap dengan pantas ke dalam golongan massa. Persamaan
kelas dan pembebasan dari kuasa asing menjadi agenda perjuangan komunis menjadikan
ideologi ini mudah diterima.
Nguyen Au Quoc atau Ho Chi Minh berperanan menyebarkan pengaruh komunis melalui
penulisan di dalam akhbar seperti LHumaniti, La Vie Ouvrieredan Le Paria dan penubuhan Parti
Pemuda Revolusioner atau Thanh Nien.[18]Beliau berperanan besar dalam mengembangkan
pengaruh ini sehingga berjaya menyatukan penduduk Vietnam menentang Perancis berbanding
gerakan penyatuan oleh nasionalis bukan komunis yang terdiri daripada golongan atasan dan
pertengahan seperti Parti Constitionaliste (Parti Perlembagaan) dan VNQDD atau (Parti
Nasionalis Vietnam).[19] Usaha menubuhkan Parti Komunis Indochina pada 1930 merupakan
usaha ke arah menamatkan rejim kolonial Perancis dan menggantikannya dengan pemerintahan
komunis.
Berdasarkan kekuatan prinsip kesamarataan yang diperjuangkan, pendukung aliran
komunis tetap dengan prinsip mereka walaupun terpaksa mengharungi kesengsaraan menentang
kuasa Barat. Beberapa siri penentangan dan peperangan demi memperjuangkan prinsip komunis
dan pembebasan dari kuasa kolonial. Antaranya ialah Perang Indochina I (1949-1953) dan
Perang Vietnam II (1960-1975).[20] Pengaruh komunis yang masuk ini merupakan kesan besar
kepada Vietnam setelah Perancis menguasai negara tersebut. Fahaman ini diambil sebagai
ideologi negara Vietnam dan kekal hingga ke hari ini. Kuasa penjajah menyuntik kesedaran
orang Vietnam untuk bersatu dan ideologi komunis ini menjadi medium penyatuan berikutan
prinsipnya yang mementingkan kebajikan rakyat.

Berdasarkan rentetan peristiwa dan pengamatan, dapat dinyatakan bahawa ideologi


komunis dibawa ke Vietnam sebagai agen penyatuan semua golongan. Ia secara terus menerus
membina kekuatan orang Vietnam dalam membebaskan negara mereka dari penjajah. Dalam
tempoh jangka panjang, melalui ketegaran fahaman ini, ia berjaya menyaingi pengaruh lain di
Vietnam Selatan hingga terbentuk Rebublik Vietnam Sosialis (SRV) pada Julai 1976 di samping
mengusir kuasa kolonial Perancis dan kuasa Barat lain dari bumi Vietnam.[21] Ia lahir kesan
kolonialisme dan bertindak sebagai agen pengusir kuasa kolonial melalui kebijaksanaan
pemimpin dan semangat menentang dari rakyat.
3.0 Ekonomi
Penguasaan Perancis ke atas Vietnam pada tahun 1885 telah mengubah ekonomi bercorak
tradisional kepada ekonomi komersial. Perkembangan ekonomi komersial di Vietnam telah
menggalakkan aktiviti pertanian dilaksanakan secara besar-besaran. Permintaan tinggi pasaran
dunia terhadap beras dan getah merancakkan lagi pembukaan beratus-ratus ladang getah dan
aktiviti penanaman padi di Sungai Mekong.[22] Kesannya, Vietnam menjadi salah sebuah negara
pengeksport utama beras. Perlombongan arang batu turut menjadi komoditi penting dalam
ekonomi Vietnam. Tonkin merupakan kawasan utama pengeluaran arang batu di Vietnam.
[23] Kegiatan perlombongan arang batu semakin berkembang apabila Perancis membawa masuk
pemodal asing dari Perancis. Oleh itu, hampir 92 peratus aktiviti perlombongan arang batu di
Vietnam telah dikuasai oleh syarikat Perancis.[24]
Perkembangan ekonomi komersial di Vietnam tidak banyak memberi manfaat kepada
masyarakat bumiputera Vietnam. Hal ini demikian kerana, warga Perancis dan orang Cina telah
menguasai ekonomi tersebut terutamanya dalam perniagaan beras.[25] Pada mulanya, dasar yang
diperkenalkan oleh Perancis adalah bertujuan membantu ekonomi penduduk pribumi. Namun
dasar-dasar ini sebenarnya tidak menggalakkan petani setempat mempertingkat produktiviti
pertanian.[26] Sebaliknya, pihak Perancis mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan
yang besar melalui pemilikan tanah oleh pemodal-pemodal asing Perancis dan Cina. Malahan,
pemilik-pemilik tanah juga menerima keuntungan yang sama. Mereka membolot hasil tanaman
padi tanpa memberi keperluan yang secukupnya kepada petani-petani yang miskin (ta-dien).
[27] Golongan petani juga dikenakan cukai yang tinggi[28] menyebabkan golongan kelas ini
semakin terbeban lantas wujudnya perasaan tidak puas hati dalam kalangan petani terhadap
kolonial Perancis.
Malahan perkembangan ekonomi komersil ini secara tidak langsung membawa masuk
buruh asing seramai 221,000 orang iaitu 86,000 orang untuk sektor industri dan komersial,
81,000 untuk perladangan getah dan 53,000 orang dalam sektor perlombongan.[29] Demi
menjaga kepentingan buruh-buruh asing, undang-undang dan jabatan penyiasatan buruh telah
ditubuhkan bagi untuk mengelakkan buruh dianiaya oleh majikan. Walau bagaimanapun,
pelaksanaan peruntukan perburuhan ini tidak dijalankan secara berkesan. Hal ini membawa
kepada kesengsaraan dan penindasan terhadap buruh terutamanya yang bekerja di ladang-ladang
milik kapitalis Perancis.[30] Misalnya, mereka diberikan tugas yang berat tanpa diberi rehat dan
makan. Akibat daripada penindasan tersebut, timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan
pekerja terhadap pentadbiran kolonial Perancis.

Kesan ekonomi komesial turut mewujudkan infrastruktur yang lengkap di Vietnam


seperti jalan kereta api, pelabuhan dan sistem perhubungan yang lebih baik. Namun, kemudahankemudahan yang disediakan oleh kolonial lebih berfungsi sebagai medium untuk mengaut
keuntungan hasil bumi negara tersebut. Akibatnya, penduduk pribumi semakin terpinggir dan
tertindas disebabkan dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Perancis di Vietnam. Hal ini telah
melahirkan bibit-bibit penentangan dalam kalangan masyarakat bawahan. Situasi dapat
dibuktikan apabila golongan buruh dan petani mula menerima ideologi komunis kerana
kesamarataan yang diperjuangkan kerana penindasan oleh kolonial Perancis. Ideologi komunis
menjadi pencetus kepada penyatuan golongan bawahan yang terdiri daripada para petani dan
buruh bersama-sama dengan penduduk Vietnam dari kelas atasan dan pertengahan menentang
penjajah.
4.0 Sosial
Agama Kristian telah bertapak di Vietnam sejak abad ke-17 lagi. Perkembangan
penyebaran agama Kristian oleh mubaligh-mubaligh Kristian dalam kalangan masyarakat
Vietnam menyebabkan golongan pemerintah Vietnam terutamanya Maharaja Tu Duc cuba
menghapuskannya. Langkah-langkah kekerasan seperti pembunuhan paderi Jen Louis Bronnard
dan Bishop Diaz[31]adalah salah satu alasan kolonial Perancis menjajah Vietnam secara
langsung pada tahun 1885.
Semasa penjajahan Perancis di Vietnam, agama Kristian dijadikan medium untuk
mempengaruhi penduduk yang tidak berpuas hati terhadap pemerintahan kolonial. Dengan itu,
Perancis menubuhkan sekolah-sekolah Khatolik dalam melahirkan masyarakat Vietnam yang taat
kepada pemerintah. Malah, pelajar-pelajar lepasan sekolah ini berpeluang menjawat jawatan
dalam pentadbiran kerajaan di peringkat rendah.[32] Kebanyakan pelajar di sekolah tersebut
berkebolehan dalam berbahasa Perancis dan beragama Kristian. Tindakan Perancis
mengutamakan pelajar-pelajar dari sekolah aliran Khatolik dalam pentadbiran kolonial,
menyebabkan timbul semangat penentangan terhadap Perancis dalam kalangan penduduk
Vietnam. Antara pemimpin awal yang menentang kolonial Perancis di Vietnam ialah Phan Chu
Trinh dan Phan Boi Chau sekitar tahun 1890-an dan 1900-an.[33] Pemimpin ini cuba untuk
mendapatkan hak sama rata golongan elit dan pertengahan masyarakat Vietnam dalam
pentadbiran Perancis.
Kesan jangka masa panjang pula dilihat apabila pelajar Vietnam yang beragama Khatolik
mula mentadbir negara Vietnam selepas kemerdekaan. Hal ini dibuktikan dengan pemilihan
Presiden Vietnam Selatan iaitu Diem (berpendidikan Perancis dan beragama Khatolik). Ketika
pemerintahan Presiden Diem, beliau telah mengamalkan sistem kroni seagama. Buktinya, dua
juta penganut ajaran Khatolik di Saigon ditempatkan di bahagian-bahagian penting dalam
kerajaannya.[34]Perkara ini melahirkan perasaan tidak puas hati dan mencetus bibit-bibit
penentangan dalam kalangan masyarakat Vietnam yang majoritinya beragama Buddha. Impak
daripada ketidakpuasan hati rakyat yang beragama Buddha, Amerika Syarikat telah mengambil
kesempatan untuk menjatuhkan kepimpinan Diem selanjutnya cuba untuk mendapat Vietnam
demi kepentingan negara tersebut.

Selain itu, kedatangan Perancis turut mengubah sistem pendidikan masyarakat Vietnam.
Sebelum kedatangan penjajah, pendidikan Vietnam dipengaruhi sistem pendidikan negara China.
Kebanyakan rakyat Vietnam yang layak mendapat pendidikan ala China ini ialah mereka yang
berkedudukan dan mempunyai masa terluang seperti Phan Tian Gian.[35] Semasa penjajahan
Perancis, sistem pendidikan yang diperkenalkan dianggap lebih moden dan dapat memberi
peluang kepada semua rakyat Vietnam. Sistem pendidikan kolonial bertujuan untuk melahirkan
penuntut yang berkebolehan membangunkan ekonomi dan pentadbiran kolonial. Mereka
didedahkan kepada quo-ngu[36], bahasa Perancis, ilmu kira-kira, geografi, sejarah dan geometri.
[37] Kesannya lahirlah rakyat Vietnam yang berpendidikan Barat dan boleh berbahasa Perancis.
Pendidikan Perancis membawa perubahan terhadap sistem tulisan dan bahasa di Vietnam.
Bahasa Han dan tulisan Cina yang digunakan sebelum penjajahan Perancis dihapuskan dan
digantikan dengan bahasa Perancis dan tulisan Latin. Sungguhpun penggunaanya meluas dalam
penulisan buku-buku, jurnal dan surat khabar tetapi penerimaannya adalah kurang kerana
kesukaran bahasa Perancis tersebut. Malah untuk bekerja dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan
mahupun dalam pentadbiran perlu mempunyai kemahiran berbahasa Perancis. Jadi, disebabkan
kepentingan bahasa Perancis, pemerintah kolonial menggalakkan rakyat Vietnam bertutur
menggunakan Bahasa Perancis dalam kehidupan seharian.[38]
Chasseloup-Laubamen merupakan antara sekolah aliran Perancis yang terkenal di
Vietnam semasa zaman kolonial. Setiap tahun seramai 100 pelajar memasuki sekolah tersebut.
Pelajar yang lulus dari sekolah ini layak memasuki perkhidmatan di kolonial Perancis.
Sungguhpun begitu, pemerintah kolonial mengutamakan rakyat Perancis dan golongan yang
menyokongnya sahaja. Buktinya, jawatan-jawatan pentadbiran kolonial dimonopoli oleh hampir
250 orang pegawai Perancis.[39] Keadaan ini menyebabkan golongan cendekiawan bangkit
menentang kolonial Perancis kerana masyarakat Vietnam berpendidikan Perancis sukar
mendapatkan peluang pekerjaan walaupun boleh bertutur di dalam bahasa Perancis. Sedangkan
penduduk Vietnam yang mempunyai diploma sekolah tinggi ialah seramai 305 orang yang dan
4,146 orang mempunyai sijil diketepikan peluang mereka. Keadaan ini secara tidak langsung
membangkitkan semangat nasionalisme rakyat Vietnam yang tidak puas hati dengan pendidikan
Perancis kerana hak mereka dinafikan oleh pentadbir.
Di samping itu, dianggarkan 45,000 rakyat Vietnam telah menerima pendidikan Perancis
sahaja dari peringkat rendah sehingga peringkat diploma.[40]Sungguhpun begitu, pendidikan
Perancis ini secara tidak langsung mewujudkan golongan cendekiawan yang boleh menulis dan
berbahasa Perancis serta dapat mengetahui perkembangan negara-negara luar contohnya, Phan
Boi Chau dan Phan Chau Trinh.[41] Selain itu, Nguyen An Ninh yang terdedah dengan revolusirevolusi yang berlaku di Perancis telah menulis akhbar berbahasa Vietnam atau Perancis
seperti La Cloche Felee bagi membangkitkan semangat nasionalisme rakyat Vietnam.
[42] Golongan cendekiawan ini mendapati pendidikan Perancis sebenarnya diwujudkan
bukanlah untuk melahirkan masyarakat Vietnam yang berpendidikan tetapi sebaliknya untuk
memenuhi kepentingan Perancis terutama sekali dalam mengendalikan pentadbiran mereka.
Keadaan ini telah membangkitkan semangat nasionalisme untuk menentang Perancis di Vietnam.
5.0 Kesimpulan

Kolonialisme Perancis ke atas Vietnam telah berlangsung hampir satu abad lamanya.
Kesan kolonialisme Perancis telah mengubah aspek politik, ekonomi dan sosial penduduk
masyarakat Vietnam. Antara perubahan dan pembaharuan yang dilakukan oleh Perancis seperti
penghapusan kuasa maharaja dan golonganmandarin secara berperingkat. Ekonomi komersial
dan pendidikan ala Perancis turut diperkenalkan. Kesan daripada kolonialisme telah timbul
semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat bumiputera Vietnam. Semangat nasionalisme
ini dapat dibuktikan dengan penubuhan persatuan-persatuan mahupun parti-parti politik yang
cuba mempertahankan negara Vietnam. Namun pada akhirnya, Parti Komunis Vietnam telah
berjaya mewujudkan semangat cinta akan negara bersandarkan kepada satu ideologi yang sama
dikenali sebagai komunis. Parti inilah yang sebenarnya berjuang untuk membentuk negara
Vietnam (Vietnam Utara dan Vietnam Selatan) merdeka.

[1] Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad. (1990). Kolonialisme di Malaysia dan Negara-negara
Lain. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm. 180.
[2] Peter N. Stearns. (2006). Gender in World History. London: Routledge Tylor & Francis
Group. Hlm. 1
[3] David P. Chandler & David Joel Steinberg. (1987). In Search of Southeast Asia: A Modern
History. Amerika Syarikat: University of Hawaii Press. Hlm. 79-80.
[4] Ruhanas Harun. (1980). Nasionalisme Vietnam 1900-1945. Jebat. Bil 10. Hlm. 215.
[5] Neil L. Jamieson. (1995). Understanding Vietnam. London: University of California. Hlm. 64.
[6] Ibid. Hlm. 57-58.
[7] Ibid.
[8] M.C.Ricklefs et al. (2010). A New History of Southeast Asia. New York: Palgrave Macmillan. Hlm. 184.
[9] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. Hlm. 80.
[10] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 144.
[11] Ibid. Hlm. 145.
[12] Ibid. Hlm. 149.
[13] Jonathan Leaf. (2009). The Politically Incorrect Guide to The Sixties. Washington: Regnery
Publishing. Inc. Hlm. 176.

[14] David L. Anderson. (1946). The Columbia History of The Vietnam War. United State: Columbia
University Press. Hlm. 18.
[15] Phillippe Devillers. (1988). Sejarah Indo-China Moden: Perkembangan Sosiopolitik Sehingga Abad
Ke-20. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 245.
[16] Ruhanas Harun. (1980). Nasionalisme Vietnam 1900-1945. Jebat. Bil 10. Hlm. 222.
[17] Ruhanas Harun. (1980). Nasionalisme Vietnam 1900-1945. Jebat. Bil 10. Hlm. 219.
[18] Ibid.
[19] Van Dao Hoang. Terjemahan Khue Huynh. (2008). A Contemporary History of A National Struggle: 19271954. Pennsylvania: Rosdog Book. Hlm. 7-8.
[20] Geoge Donelson Moss. (1998). Vietnam an American Ordeal (3rd ed.). New Jersey: Prentice Hall.
Hlm. 167-263. Lihat juga Mari Oslen. (2006). Soviet-Vietnam Relations and The Role of China, 1949-64:
Changing Alliances, Cass Series: Cold War History. New York: Routledge Taylor & Francis Group. Hlm.
13-26.
[21] Clive J. Christie. (1996). A Modern History of Southeast Asia. London: Tauris Academic Studies I.B.
Tauris Publishers. Hlm. 22-23.
[22] Georgh Donelson Moss. (2005). Vietnam An America Ordeal (3th ed.). New Jersey: Saddle River.
Hlm. 12.
[23] Georgh Donelson Moss. (2005). Vietnam An America Ordeal (5th ed.). New Jersey: Saddle River.
Hlm. 12.
[24] Ibid.
[25] Ibid.
[26] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asis Tenggara. Hlm. 101.
[27] Ibid. Hlm. 236.
[28] Joseph Buttingar. (1967). From Colonialism to The Vietminh. London: Pall Mall Press. Hlm. 123.
[29] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara . Hlm. 143.
[30] Ibid. Hlm. 103.
[31] Oscar Chapuis. (1995). A History of Vietnam: From Hong Bang to Tu Duc. United State: Greenwood
Press. Hlm. 195.
[32] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 78.

[33] Ibid. Hlm. 86.


[34] Rohani Hj. Abdul Ghani. (1994). Pencapaian Malaysia dan Vietnam Selatan dalam Menentang
Ancaman Komunis, 1948-1975: Satu Perbandingan. Jebat. Bil 22. Hlm. 80.
[35] Phan Than Gian berasal daripada keluarga seorang pegawai rendah dari provinsi Vinh Long dan
beliau merupakan orang pertama dianugerahkan tien si (kedoktoran). Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah
Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 40-42.
[36]Bahasa quoc-ngu iaitu bahasa Vietnam yang ditulis dalam huruf Latin. Phillippe Devillers.
(1988). Sejarah Indo-China Moden: Perkembangan Sosiopolitik Sehingga Abad Ke-20. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 215.
[37]Ibid. Hlm. 84.
[38] Mark Atwook Lawrence & Fredrik Logevall. (2007). The First Vietnam War: Colonial Conflict and
Cold War Crisis. London: Harvard University Press. Hlm. 271.
[39] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 144.
[40] Abu Talib Ahmad. (1991). Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Hlm. 143.
[41] Phillippe Devillers. (1988). Sejarah Indo-China Moden: Perkembangan Sosiopolitik Sehingga Abad
Ke-20. Hlm. 240-245.
[42] Ruhanas Harun. (1980). Nasionalisme Vietnam 1900-1945. Hlm. 218.