Anda di halaman 1dari 14

1

Kepimpinan: Antara Kuasa dan Pengaruh – Update

Ceramah Berkenaan Tajuk Ini Yang Disampaikan di Jab. Perubatan Kecemasan


UKMMC [muat turun mp3]

CHIN PENG , TUN MAHATHIR, SITI NURHALIZA, ASHAARI MUHAMMAD, HIDEO


NOMO, MAWI, HASAN AL-BANNA, TIGER WOODS, BILL GATES, SAID HAWWA,
SIMON COWELL, ABU HAMID AL-GHAZZALI, IBN TAIMIYAH, STEPHEN COVEY,
TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ, CALVIN COOLIDGE

Jika saya tanya, apakah yang menjadi asas saya mengumpulkan nama-nama di atas di
dalam satu himpunan, tentu ada yang berubah wajah. Mungkin ada yang merah padam
wajahnya apabila nama seorang alim, saya kumpulkan sekali dengan nama seorang
artis.
2

Mungkin ada di antara mereka ini yang anda tidak pernah mendengar namanya. Ada
juga yang diketahui semua. Tetapi kembali kepada soalan saya tadi, apakah yang anda
nampak di sebalik semua nama ini?

Mereka adalah manusia yang BERPENGARUH.

Setiap manusia ada pengaruh. Pengaruh itu bermaksud, dirinya berhubung dengan
seseorang dan hubungan itu memberi bekas. Ada yang memberi pengaruh positif,
ada yang memberi pengaruh negatif. Tetapi jika kita mahu perlakuan dan perkataan kita
memberi impak kepada orang lain, ia mesti datang dengan pengaruh.

Soal PENGARUH inilah yang sukar untuk dilihat kepentingannya oleh kita, dalam
konteks kehidupan yang luas ini.

KEPIMPINAN DAN PENGARUH

Saya pinjam huraian yang dibuat oleh John C. Maxwell di dalam bukunya Becoming A
Person of Influence. Apa yang dipaparkan ini adalah berkaitan dengan soal
kepimpinan. Kepimpinan adalah salah satu cara mengaplikasikan pengaruh.
3

Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada kuasa dan
jawatan.

Ada kedudukan, ada jawatan baru boleh memimpin. Ini adalah pemimpin yang paling
lemah. Seorang pemimpin yang seperti ini sentiasa berada di dalam keadaan tidak
tenteram dan tidak selamat. Beliau akan menggunakan sepenuh keupayaan yang ada
untuk mempertahankan kedudukannya, lebih daripada usaha membangunkan dirinya
sebagai seorang pemimpin.

Kepimpinan yang bergantung kepada jawatan dan kedudukan ini, boleh melanda
kepimpinan semuda kepimpinan di sekolah, sampailah kepada kepimpinan di sebuah
kerajaan dan negara.

KEPIMPINAN DI SEKOLAH

Kalau di sekolah, andaikata pelajar dilatih memimpin hanya dengan jawatan, mereka
akan hanya mampu mempimpin andaikata diberikan kuasa, jawatan dan kedudukan.
Apabila mereka ini dilepaskan ke tempat yang memerlukan mereka untuk bangun
sendiri, memimpin persekitaran dan membentuk pergerakan, mereka gagal.

Ini adalah di antara punca mengapa ada pelajar yang cemerlang dalam kepimpinan di
sekolahnya, apabila masuk ke universiti, gagal berperanan. Pelajar sekolah agama
yang disegani (sebenarnya mungkin digeruni kerana kuasanya), mungkin gagal berbuat
apa-apa, jika dia menyambung pengajian ke sebuah universiti yang tiada persatuan
Islam, tiada platform, dan tiada siapa yang membekalkan kuasa.
4

Jika ke Mesir yang ada persatuan seperti PMRAM, mungkin kelangsungan kepimpinan
boleh diteruskan. Bagaimana pula jika pelajar ini dihantar ke bandar-bandar terpencil di
Kiev Ukraine, Moscow, Wellington, atau Durham dan Swansea?

Ini antara analisa saya terhadap kegagalan sesetengah pelajar sekolah agama
berperanan di kampus-kampus negara Barat. Apabila latar belakang mereka diselidik,
mereka datang dari sekolah-sekolah agama yang bagus, malah mereka adalah di
antara pemimpin pelajar yang terkenal semasa di sekolah.

Tetapi kenapa gagal berperanan semasa di kampus? Bukan sahaja gagal memimpin,
malah ramai juga yang ‘pencen awal’ dari identiti agama.

Antara faktor yang saya kenal pasti, adalah pendekatan Tarbiyah mereka semasa di
sekolah. Badan-badan agama yang diberikan otoriti oleh pihak sekolah, atau diwarisi
turun temurun, berperanan sebagai ‘cemeti’ melaksanakan dakwah di sekolah. Tetapi
jika kepimpinan terlalu bergantung kepada kuasa dan kedudukan, mereka gagal
memimpin di dalam dunia sebenar, yang melihat aspek yang lebih penting iaitu
PENGARUH!

Malah, di kampus juga, kekalahan kumpulan dakwah akan melenyapkan figura-


figuranya daripada terus berfungsi di dalam masyarakat, kerana kebergantungan
mereka kepada kuasa untuk melaksanakan dakwah. Mereka terlupa kaedah
5

membangunkan Islam, berbekalkan pengaruh dan kualiti diri, yang wujud pada diri
Muhammad SAW tatkala baginda belum menjadi Rasul di Mekah.

Hal yang sama teraplikasi di dalam sebuah organisasi perniagaan. Amat rumit jika
ketua sebuah jabatan, adalah seorang yang hanya ada jawatan dan kedudukan tetapi
tiada pengaruh. Beliau akan memaksa jawatan dan kedudukannya di’sedari’ oleh
pekerja, dari semasa ke semasa, demi memastikan arahannya berjaya dipatuhi. Tetapi
di dalam mesyuarat, kata-katanya bukanlah yang membentuk keputusan. Mungkin
dengan kuasanya keputusan boleh dipaksakan ke atas mesyuarat, namun ia tidak
menyerap ke hati dan persetujuan ahli. Tiada kesungguhan anak buah untuk
melaksanakan arahan, kerana arahan itu datang dengan paksaan, tanpa penerimaan.

Itulah impak kuasa tanpa pengaruh!

PERINGKAT KEPIMPINAN

Kepimpinan lazim bermula dengan kedudukan dan jawatan (POSITION). Jawatan dan
kuasa, adalah lesen yang memudahkan laluan seseorang berperanan. Akan tetapi,
lesen itu hanya pengiktirafan kepada kualiti asasnya sebagai ketua dan pemimpin.
Justeru ia mestilah ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Apabila seorang ketua
berjaya memperlihatkan bibit-bibit kewibawaan pada dirinya, maka pengikut akan mula
membenarkan diri mereka dipimpin dan diterajui oleh ketua tersebut. Inilah yang
dimaksudkan dengan tahap PERMISSION.

Di sini, mungkin pengikut akan membenarkan seorang ketua melaksanakan lebih dari
skop kerjanya semata-mata. Pengikutnya akan bertanya lebih dari soal kerja, meminta
6

pandangan tentang satu dua masalah peribadi, dan membolehkan kumpulan atau
organisasi tersebut maju setahap lagi ke peringkat PRODUCTION.

Kerjasama yang meningkat di antara seorang pemimpin dengan mereka yang dipimpin,
akan membolehkan mereka bersinergi. Dengan cara ini, hasil kerja mereka akan jadi
lebih PRODUKTIF.

Dalam suasana yang seperti ini, seorang pemimpin itu mungkin selesa bekerja dengan
pengikutnya. Tetapi kehilangannya mungkin tidaklah begitu dirasakan. Mengeluh
sehari, dan cepat mencari pengganti. Mungkin ramai ADUN yang menerima nasib
begini. Kubur masih merah, orang dah berpesta mencari pengganti.

Tetapi jika seorang pemimpin yang sudah elok bergaul dengan pengikutnya, berjaya
memberikan impak dan mengubah kehidupan pengikutnya kepada yang lebih baik,
maka kepimpinannya sudah naik ke tahap yang keempat iaitu PEOPLE
DEVELOPMENT. Pemimpin di tahap ini akan membantu pengikutnya membangunkan
potensi diri.

Akan tetapi, seorang pemimpin yang benar-benar cemerlang adalah pemimpin yang
berjaya sampai ke peringkat kelima. Kepimpinannya bukan hanya memberikan kesan
kepada soal taraf kehidupan pengikut, atau kejayaan karier mereka, malah berjaya
membentuk pengikutnya menjadi insan yang cemerlang, hasil pengaruh dirinya sendiri
ke atas mereka yang dipimpin (PERSONHOOD). Ia sukar untuk dicapai, kecuali
selepas seseorang itu menghabiskan seluruh umurnya untuk membangunkan manusia
mencapai potensi terbaik mereka.
7

Inilah ukuran yang mendorong Michael H. Hart meletakkan Nabi Muhammad S.A.W di
tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia,
mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri. Bukunya The 100: A Ranking Of
The Most Influential Persons In History, memperkatakan soal PENGARUH, dan
faktor inilah yang menjadikan kehidupan seseorang itu sangat signifikan kepada
manusia yang lain.

Baginda S.A.W. adalah insan yang berpengaruh, sebelum baginda diberi Kenabian,
sebelum beroleh kuasa dan kerajaan. Pengaruh baginda S.A.W. adalah pada kualiti
dirinya. Kualiti Al-Amin, kualiti integriti dan kualiti kompetensi.

SIRAH PENGARUH DAN KUASA

Lihat sahaja sirah Baginda SAW semasa di Mekah. Ketika kabilah-kabilah Arab
berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah,
mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA,
tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan
dan kedudukan, pengaruh Baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada
dirinya.

Malah Muhammad SAW yang tidak berjawatan itu, menggelisahkan seluruh pembesar
Mekah yang ada jawatan dan kuasa. Kepimpinan dengan pengaruh hasil kualiti,
mengancam seluruh jawatan dan kuasa yang cuba dipertahankan tanpa kualiti
kepimpinan.
8

Kerana itu, Madinah terus memacu kejayaan, apabila kepimpinan Rasulullah SAW yang
berteraskan pengaruh itu, dilengkapkan dengan kuasa dan kedudukan!

Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada
membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan
terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya
kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi
orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri
dibangunkan, pengaruh datang sendiri.
“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI. APABILA KUALITI DIRI
DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”

Ciri-ciri inilah yang mesti dibangunkan oleh setiap kita sebagai seorang individu Muslim
yang cemerlang.

PENGARUH IBU BAPA

Tentu sahaja malang bagi seorang ibu atau bapa, jika beliau memimpin keluarga tanpa
pengaruh. Saingan terbesar bagi pengaruh seorang ibu dan bapa terhadap anak-anak
adalah kawan-kawan mereka. Kawan-kawan anak yang memberikan lebih banyak
masa berbanding ibu bapa kepada si anak. Kawan-kawan lebih banyak berhubung
dengan anak-anak berbanding ibu bapa.
9

Ketam mengajar anak berjalan lurus!

Ibu bapa mesti berfikir bagaimanakah caranya untuk diri mereka terus berpengaruh
dalam kehidupan anak-anak, khususnya remaja? Dalam suasana kehidupan hari ini,
herdik dan takut menakutkan, bukan lagi senjata yang berkesan untuk ibu bapa
mengawal anak-anak. Apatah lagi jika sikit-sikit mengugut “anak durhaka”!

“Aku ni ayah kamu. Kamu kena dengar cakap aku!”, kata-kata ini adalah biasa. Namun
jika sering diulang, ia petanda bagi kepimpinan yang lemah oleh seorang ayah. Beliau
memerlukan ‘jawatan’ dan ‘kuasa’nya sebagai seorang bapa, disebut-sebut agar si
anak boleh mematuhi arahan. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika kuasa itu
didesak-desak dalam keadaan si ayah tiada kualiti yang boleh menyerlahkan pengaruh
kepada anak, justeru tiada rasa hormat yang dapat diterbitkan.

Anda boleh memilih… mahu menjadi ayah yang berkuasa, atau ayah yang
berpengaruh.

Jika mahu menjadi ayah yang berkuasa, teruskanlah mempromosikan kuasa anda itu.
Tetapi jika anda mahu menjadi ayah yang berpengaruh, teruskanlah berusaha
membangunkan potensi diri, kerana pengaruh itu terbit dari kualiti dan kelayakan!

PENGARUH DAN PENDAKWAH


10

Tetapi soal pengaruh di sini, paling penting untuk difikirkan oleh para pendakwah.
Apakah anda bergantung kepada status, gelaran dan jawatan, institusi dan aliran untuk
mengawal masyarakat? Jika anda malas membina pengaruh, meningkatkan kualiti diri,
dan berhubung dengan manusia pada akal dan hati mereka, maka adalah pemimpin
yang paling lemah.

.
Calvin Coolidge (1872 -1933)

Saya tertarik dengan kisah bagaimana seorang tetamu telah bermalam di White House
di zaman Presiden Calvin Coolidge (1872 – 1933). Semasa bersarapan pagi, tetamu
tersebut tidak menjamah makanan sehinggalah ia dimulakan oleh Presiden. Beliau
memerhatikan terlebih dahulu bagaimanakah Coolidge bersarapan supaya dapat
menonjolkan imej yang baik sesuai dengan gaya Presiden.

Mula-mula cawan Presiden diisi dengan kopi. Beliau kemudiannya menuangkan sedikit
daripada kopi itu ke dalam piring. Kopi di dalam piring itu dicampur dengan sedikit gula
dan krim.

Oleh kerana tetamu tadi tidak mahu melanggar apa-apa etika, beliau melakukan
perkara yang sama. Selepas selesai membancuh kopi di dalam piring beliau menanti
apakah tindakan Presiden berikutnya.

Alangkah terkejut dan tergamamnya beliau apabila Presiden Calvin Coolidge telah
meletakkan piring itu di atas lantai untuk dijamah oleh si kucing! Tiada keterangan yang
menjelaskan apakah yang dilakukan seterusnya oleh tetamu tersebut.
11

Presiden yang pendiam. Memerintah dengan aksi!

Itu kisah di Amerika.

ASHAARI MUHAMMAD

Saya teringat kepada perbualan saya bersama-sama dengan bekas pengikut al-Arqam
tentang ciri-ciri kepimpinan Ashaari Muhammad mereka.

Antara kisah yang ingat ialah, apabila Ashaari Muhammad berceramah, ia akan
dirakam dengan video. Selepas ceramah, Ashaari Muhammad dan rakan-rakannya
akan menonton video tersebut yang banyak memfokuskan kepada penonton. Mata-
mata yang terbeliak, mulut yang terlopong, adalah tanda-tanda yang menunjukkan
seseorang itu berpotensi untuk diajak menjadi pengikut. Individu yang sedemikian rupa
akan disiasat latar belakangnya, dan dicari alamatnya.

Lalu Ashaari Muhammad dan pengikutnya akan ke rumah lelaki tersebut. Bayangkan
sahaja betapa berbesar hatinya seorang yang sedang sarat dengan kekaguman
diziarah oleh tokoh yang dikaguminya. Ashaari Muhammad akan bertanya khabar, dan
kemudian meminta izin untuk berehat seketika dengan tidur di atas lantai beralaskan
bantal sofa lelaki tersebut.

Allah, cair hati tuan rumah. Lepas tu, minta apa pun diberi Insya Allah.
12

Saya tidak bermaksud mahu menganalisa Ashaari Muhammad dan gerakannya di sini,
namun sikap beliau sangat mempengaruhi pengikut. Jika nyamuk gigit pun, Ashaari
Muhammad hanya meniup dan tidak menamparnya. Ketika makan bertalam, Ashaari
Muhammad akan mengambil tulang lebihan mereka yang makan setalam dengannya,
dan akan dijamahnya sisa-sisa daging yang masih terlekat sehingga habis licin.

Gaya kepimpinan begini, sangat mempengaruhi. Apa yang beliau lakukan? Beliau
berhubung dengan pengikutnya. Bukan hanya hubungan logik akal, tetapi hubungan
hati, hubungan emosi.

Kepimpinan yang begitu berpengaruhi, akan mengenepikan soal keputusan akal


terhadap benar atau batilnya agenda yang dibawa. Jika perjuangan yang batil boleh
begitu berkesan hasil pengaruh, malang sekali perjuangan yang benar hanya
kalah kerana sentiasa bergantung kepada kuasa, iaitu selemah-lemah
kepimpinan.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Inilah watak yang juga saya kesan pada peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
semasa saya pergi menziarahinya seawal tahun 1992. Ketika tiba di kediaman beliau,
Tuan Guru baru sahaja turun dari bumbung rumah, membetulkan atap yang rosak.
Ketika ditanya, bagaimanakah ayah beliau mendidiknya, Tuan Guru memberitahu
bahawa mancis api sebatang pun, dibelah dua untuk mengajar anak berjimat cermat.

Sungguh mengujakan saya.


13

Tidak hairan, beliau disegani oleh kawan dan lawan. Anda boleh berbalas hujah dengan
pendebat dan pemidato, tetapi tiada siapa yang mampu menewaskan akhlaq dan
pengaruh.

Tanpa perlu temu janji, seorang pelajar lepasan SPM seperti saya dapat bertemu
dengan seorang tokoh sepertinya. Tokoh yang berpengaruh, menjadikan setiap
manusia yang berhubung dengannya, terasa istimewa. Beliau melakukan
MODELLING, MOTIVATING, MENTORING dan mudah-mudahan pengaruh Tuan Guru
Nik Abdul Aziz berjaya menghasilkan MULTIPLYING.

Ramai yang sedang menanti.

Mereka yang berpengaruh, mereka itulah yang menguasai. Mereka yang


berkuasa, belum tentu berjaya mempengaruhi.

Jangan marah, jika artis lebih popular. Manusia dan kepimpinan …. adalah soal
PENGARUH.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com


56000 Kuala Lumpur
Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami
dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'
14

© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk
tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan
menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah
disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan
semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh
diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain,
sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan
sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com


68000 Ampang, Selangor