Anda di halaman 1dari 3

Peranan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak-anak agar Menjadi

Pengguna yang Bijak


Sambutan Hari Pengguna membawa erti yang cukup mendalam
bukan sahaja kepada pengguna malahan juga kepada peniaga, pengeluar,
dan kerajaan. Pelbagai tema yang membayangkan hasrat kerajaan untuk
melahirkan pengguna yang serba bijak dan berpengetahuan
diketengahkan pada setiap tahun. Walaupun pelbagai tema yang dipilih,
matlamatnya tetap sama iaitu untuk memastikan pengguna terdidik dan
bijak serta tahu akan hak mereka. Kini, masalah kenaikan harga
barangan sememangnya begitu ketara bagaikan bangkai gajah tidak
dapat ditutupi nyirunya lagi terutama di kawasan urbanisasi.
Sebagai pengguna, kita perlu memiliki sifat-sifat pengguna yang bijak
untuk berupaya mengharungi kehidupan sebegini. Maka, kita mempunyai
kuasa untuk menentukan barangan itu perlu atau sebaliknya dalam
menjalani kehidupan harian itu. Oleh itu, untuk melahirkan pengguna
yang bijak, obligasi ini terletak pada pundak ibu bapa kerana ibu bapa
merupakan guru yang terbaik dan terdekat kepada anak-anak.
Peranan ibu bapa yang paling signifikan dalam mendidik anak-anak
supaya menjadi pengguna yang bijak ialah ibu bapa perlu memupuk
amalan berjimat cermat dalam kalangan anak-anak. Anak-anak perlu
diajar supaya membeli barangan yang benar-benar perlu dan tidak
membazir kerana amalan membazir itu sebahagian daripada
amalan syaitan. Aktiviti membeli-belah memang menyeronokkan apatah
lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang membolehkan kita
membeli apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai.
Malah, ada orang yang menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai
aktiviti wajib pada setiap bulan sehingga sanggup melakukan
pembaziran. Oleh itu, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak agar
berjimat cermat dalam pembelian dan perlu mengamalkan amalan
menabung untuk kepentingan masa depan. Kata orang tua-tua, beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis. Jelaslah bahawa amalan
berjimat cermat juga merupakan satu amalan yang mulia yang harus
dipupuk oleh ibu bapa dalam diri anak-anak.
Selain itu, ibu bapa harus memberikan teladan kepada anak-anak
dengan tidak berbelanja di kawasan-kawasan mewah dan mengamalkan
sikap kesederhanaan. Sikap ini dapat dikaitkan dengan kata slogan yang
berbunyi kepimpinan melalui teladan. Biasanya, barangan yang dijual
di kawasan mewah seperti di KLCC, Pavillion, Mid Valley dan sebagainya
lebih mahal harganya bukan kerana kualiti tetapi kerana faktor kawasan,
suasana dan sewa kedai yang lebih tinggi menyebabkan kos barang
menjadi mahal. Selain itu, kebanyakan pengguna ingin membeli di
tempat yang elit ini kerana mereka mengutamakan jenama. Impaknya,
sikap terlalu mengutamakan jenamalah yang membawa pengguna
berbelanja besar. Sebenarnya, semua barang hampir serupa sahaja
kualitinya tetapi harga yang dijual berbeza-beza mengikut kawasan

tertentu. Oleh itu, mengapakah kita perlu berbelanja lebih untuk


mendapatkan barangan yang hampir sama kualitinya? Tepuk dada
tanyalah selera. Konsep hidup sederhana dan tidak mementingkan aspek
kebendaan membolehkan kehidupan pengguna lebih selesa dan tenang
tanpa sebarang masalah kewangan pula. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak
berbelanja di kawasan yang mewah dan mengamalkan kesederhanaan
akan diteladani oleh anak-anak untuk menjadi pengguna yang bijak
kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Seperkara lagi, ibu bapa seyogianya mengajar anak-anak supaya
bijak mengurus kewangan peribadi. Pengguna yang bijak ialah pengguna
yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu
mengawal perbelanjaan mereka. Untuk itu, diri anak-anak perlu
dilengkapkan dengan ilmu kewangan yang dapat membantu anak-anak
menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan.
Antara yang perlu dilakukan termasuklah mengubah corak perbelanjaan
harian keluarga dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang
baik. Selain itu, ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak membuat
perancangan yang lebih sistematik dengan membuat catatan wang
simpanan dan wang perbelanjaan. Perancangan kewangan yang baik dan
pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu berbelanja
mengikut keperluan dan tidak membebankan. Selain itu, ibu bapa perlu
menasihati anak-anak agar sentiasa menyediakan senarai barangan
keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna
membeli barangan yang tidak diperlukan. Dengan itu, anak-anak dapat
mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah
ditetapkan dan sekali gus usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak
dapat direalisasikan(dilestarikan).
Jika kita lihat dari dimensi yang lain, ibu bapa perlu menerangkan
keburukan membeli barangan atau perkhidmatan yang menawarkan
harga jualan yang lebih murah. Hal ini kerana pengguna akan berbelanja
boros semasa jualan murah diadakan. Misalnya, ketika musim perayaan,
pelbagai potongan harga yang menarik ditawarkan. Pengeluar barangan
dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai
produk dan barangan dengan tawaran yang cukup mengasyikkan
pengguna. Lebih mengujakan pengguna, tentulah lambakan tawaran
daripada pelbagai barangan berjenama di pasaran. Siapakah yang tidak
tergoda apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang
menjunam sehingga 70 peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan
pelbagai bentuk perkhidmatan kad kredit untuk memudahkan pengguna
berbelanja. Namun begitu, yang membimbangkan adalah apabila seronok
membeli-belah menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal
perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus ke dalam beban
hutang yang tidak disangka-sangka. Oleh itu, sikap ibu bapa yang tidak
mudah terpedaya oleh jualan murah dan tidak menggalakkan pembelian
ketika jualan murah merupakan antara peranan yang wajar untuk
melahirkan pengguna yang bijak dalam kalangan anak-anak.

Lebih-lebih lagi, amalan pembelian barangan tempatan perlu


diamalkan oleh ibu bapa dan diterapkan dalam diri anak-anak. Barangan
buatan Malaysia ialah barangan yang dihasilkan di dalam negara kita.
Banyak kilang yang didirikan untuk menghasilkan barangan tempatan.
Barangan tempatan bukan sahaja murah bahkan juga berkualiti. Ibu
bapa sendiri perlu menggunakan barangan buatan Malaysia di rumah,
contohnya perabot, pakaian, makanan dan barangan elektrik. Antara
barang buatan Malaysia yang terkenal ialah kereta Proton Saga Proton
Waja, Proton Perdana. barangan tembikar, batik lukis dan perabot rotan.
Di samping menjimatkan perbelanjaan seseorang, amalan ini juga dapat
menunjukkan sokongan kita terhadap usaha anak watan kita sendiri bak
kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri
sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Usaha kerajaan mendirikan
Kedai Satu Malaysia merupakan usaha yang efektif untuk menggalakkan
rakyat membeli produk tempatan. Ibu bapa perlulah membeli-belah di
kedai tersebut supaya tindakan yang sama akan dilakukan oleh anakanak kelak. Secara implisitnya, usaha untuk melahirkan pengguna yang
bijak akan menjadi kenyataan kelak.
Akhirulkalam, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk
melahirkan pengguna yang bijak dalam dalam kalangan anak-anak. Ibu
bapa
mestilah
menjalankan
obligasi
masing-masing
dengan
menitikberatkan amalan kepenggunaan yang bijak. Jikalau anak-anak
kini berjaya menjadi pengguna yang bijak sudah tentu masa depan
mereka akan lebih bersinar dan lebih cerah. Usaha ini bukan sahaja
berguna kepada diri anak-anak malahan juga memberi tempias kepada
negara kelak kerana mereka yang akan menerajui tampuk kepimpinan
negara. Diharapkan generasi pelapis negara ini akan lebih bijak
merancang perbelanjaan peribadi dan negara supaya negara kita tidak
terheret dalam lembah kemiskinan kerana terlajak perahu boleh
diundur, terlajak laku buruk padahnya.

Anda mungkin juga menyukai