Anda di halaman 1dari 5

CARA-CARA MENGATASI TEKANAN ATAU STRES

( ANDA / INDIVIDU )
Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam
kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak
ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan
yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan
dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya,
manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan
pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga.
Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa kejayaan dan kebahagiaan
dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai
sumber
kesengsaraan
dan
penderitaan
sehingga
tekanan
yang
dihadapi itu membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga
tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai
faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi
bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan
yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan
tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang
terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan
ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman
rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya,
selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas
mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan
menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan
selepas melakukan riadah, saya akan tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar
segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya
fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu
bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan
perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun
masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu,
saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang
membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara
untuk mengurangkan tekanan.
Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat
mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi
memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya
sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan
sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan berbangga dengan pujian tersebut,
sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian tersebut diberikan secara ikhlas
atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan
pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai
satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan,
saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai
kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang
diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran

berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan
yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala
kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu
yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan tersebut, fikiran akan
menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah
tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan
fikiran yang positif.
Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak
tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi
cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki
bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun
sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan
pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi
yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik
bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran
diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan
menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan
diri dibuai perasaan. Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah
penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang
dialami oleh pelantun lagu tersebut. Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa
disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik.
Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak
mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga
kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan
hati, malah muzik seperti memiliki kuasa magis
yang berupaya
mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa
sambil menyelam minum air.
Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk
mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap hari saya akan mendirikan solat ,
sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana solat merupakan tiang agama. Apabila
saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya.
Sesungguhnya, solat memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan
dengan kata-kata. Solat yang khusyuk akan menjadikan saya melupakan semua
tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri saya
dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi
bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh seorang penceramah gaya
hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan senaman yang
paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika
rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita.
Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta
akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu
berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan
dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan
menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal.
Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari
dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nantinantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke
luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India
selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat
merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan
segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang
mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya
atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu,
saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping
menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut,
bertepatan dengan maksud peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan,
banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa,
Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka
walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka
sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh
mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih
dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi
diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan
dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu
termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan
yang dihadapi.
Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk
menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apapun yang berlaku, mahu atau
tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan
hidup yang lebih bermakna.Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga
merupakan sumber motivasi, tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok
yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang
dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih
memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini,
kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan
sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru
yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya
dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi
semua tekanan dengan tenang.

PUNCA-PUNCA DAN CARA-CARA MENGATASI MASALAH TEKANAN


MENTAL
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak, selaras dengan pembangunan yang semakin
gah di persada dunia, semakin berbagai-bagai punca yang telah mencetuskan tekanan mental.
Tekanan mental dapat ditakrifkan sebagai sejenis desakan atau paksaan yang berkaitan
dengan akal, pemikiran atau proses intelektual. Tekanan yang terlampau akan menyebabkan
penyakit psikologi dan berlakunya jenayah. Cara-cara yang efektif harus digunakan agar
tekanan mental dapat ditangani. Oleh itu, pelbagai faktor dan cara mengatasi masalah tekanan
mental yang mewarnai focus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci.

Faktor pertama yang menyebabkan seseorang berhadapan dengan tekanan mental ialah
masalah personality yang sempurna. Keinginan memajukan diri adalah berfaedah kepada
orang sekiranya tidak keterlaluan. Keinginan yang keterlaluan pula akan mendatangkan
tekanan sehingga menyusahkan dirinya. Seseorang yang terlalu menitikberatkan
kesempurnaan tidak akan berasa puas hati dan sentiasa ingin berjaya dalam semua aspek
yang terlibat. Golongan ini sering mempunyai hasrat atau cita-cita yang menggunung.
Mereka berasa kecewa apabila hasil tidak mengikut standard kesempuraan berdasarkan kaca
matanya. Oleh itu, masalah personalitI yang sempurna akan menyebabkan tekanan mental
yang berat.
Masalah kehidupan dari segi kekeluargaan, pekerjaan atau pelajaran akan mendorong
wujudnya tekanan mental. Masalah keluarga dan kemiskinan menyebabkan jiwa manusia
sentiasa kecewa dan tertekan. Mereka berasa tekanan kerana sukar mencari nafkah untuk
keluarga. Kerja yang berat dan rumit menyebabkan tekanan untuk mengekalkan prestasi di
tempat kerja. Tekanan pelajaran pula berlaku kerana berusaha mencapai kecermelangan.
Tekanan dalam kalangan pelajar biasanya berpunca daripada ibu bapa yang ingin anak
mereka berjaya dalam pelajaran atau pihak guru yang ingin memastikan objektif
pembelajaran dan pengajaran (P&P) mereka tercapai. Jadi, masalah kehidupan
mengakibatkan tekanan mental yang cenderung mendorong penyakit psikologi.
Selain itu, pengalaman lampau yang ngeri juga merupakan salah satu faktor kepada tekanan
mental. Keadaan ini biasanya wujud pada mangsa tragedi ngeri atau menakutkan. Akibat
daripada tragedi tersebut, mangsa sering dihantui perasaan bercampur-campur. Jika mangsa
merupakan seseorang yang diam dan tidak suka meluahkan perasaan, maka dia akan
mengalami depresi dalam jangka panjang. Mereka akan berasa fobia, takut dan boleh
bertindak terburu-buru tanpa keupayaan untuk berfikir dengan nasional. Pengalaman yang
terlampau seperti dirogol atau dibuli mungkin menyebabkan seseorang hilang kewarasan
kerana terlalu tertekan. Dengan itu, pengalaman yang dashyat mungkin menyambung kepada
desakan mental.
Namun begitu, masalah tekanan mental boleh diatasi melalui amalan gaya hidup yang sihat.
Amalan kehidupan yang harmonis boleh mengurangkan kegeraman dan tekanan hidup.
Pengalaman sikap bertoleransi, sabar dan ceria dalam pergaulan seharian mampu
mengelakkan pertelingkahan. Pengurusan masa secara teratur dan pembahagian kerja pula
dapat mengurangkan beban kerja. Individu boleh bersenam dan berekrasi agar melepaskan
tekanan mental. Dari segi penjagaan pemakanan seharian pula, kita perlu mengelakkan
makanan berlemak dan berkanji tetapi menambahkan pengambilan sayur-sayuran dan buahbuahan. Jadi, amalan gaya hidup yang sihat adalah berkesan untul mengelakkan masalah
tekanan mental yang berat.
Langkah mengatasi tekanan mental boleh dilakukan dengan bimbingan kaunseling dan
perkhidmatan psikoterapi. Perkhidmatan psikoterapi merupakan sejenis rawatan gangguan
mental melalui kaedah psikologi. Kaunseling mampu membantu individu yang bermasalah
agar mengurangkan konflik hidup mereka. Perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi
berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka.
Setelah pendengaran masalah, pihak kaunseling memberikan nasihat agar membantu individu
tersebut menyelesaikan masalahnya. Kaunseling juga diberikan kepada keluarga penyakit
mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu,
jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang
penting dalam mengelakkan tekanan mental.

Di samping itu, pendidikan agama atau moral juga mampu mengatasi masalah tekanan
mental. Agama dipandang sebagai unsur penting untuk menanam ciri-ciri kemanusiaan yang
mulia. Ibu bapa harus member pendidikan agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi
kerana anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya. Individu yang mempunyai
asas nilai-nilai murni mampu menguasai nafsu mereka. Pendidikan moral dan agama boleh
mengatasi masalah jiwa kosong dan memberikan kesedaran melawan nafsu yang keterlaluan.
Dengan kesedaran tersebut, seseorang akan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan.
Pendidikan agama atau moral dapat mengurangkan tekanan mental melalui kawalan
keinginan.
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, tekanan mental tidak akan
memudaratkan seseorang sekiranya ditangani dengan hati yang tenang dan relaks. Analogi
mudah bagi tekanan mental ialah pengambilan vitamin. Pada prinsipnya, tekanan mental
sama seperti pengambilan vitamin. Pengambilan vitamin yang seimbang akan meningkatkan
sistem immunisasi individu. Walaupun begitu, pengambilan vitamin yang berlebihan pula
akan mendatangkan kesan sebaliknya! Begitu jugalah dengan tekanan mental kerana tekanan
mental yang optimum akan memajukan seseorang tetapi tekanan mental yang terlampau akan
membebankan dirinya.

Anda mungkin juga menyukai