Anda di halaman 1dari 2

TRIANGULASI

1.1
MAKSUD TRIANGULASI
Triangulasi adalah satu keperluan dalam kajian kualitatif. Triangulasi bermaksud kaedah
integrasi yang berbeza bagi mendapatkan lebih dari satu bentuk data supaya dapatan
kajian kualitatif yang bersifat subjektif akan lebih meyakinkan dan dapat meningkatkan
kesahan data yang dikumpul.
Menurut Chua Yan Piaw (2006), kaedah triangulasi boleh dilihat sebagai melihat sebuah
arca dari pelbagai sudut yang berbeza untuk mendapat gambaran keseluruhan secara jelas
mengenai bentuk arca tersebut. Pengkaji akan lebih berasa yakin jika mendapat jawapan
dari lebih satu cara yang berbeza.
Rajah 1: Fenomena di bawah kajian diselidik dari pelbagai perspektif
Dalam penyelidikan kualitatif, kaedah temubual, pemerhatian dan soal selidik berbentuk
esei kepada subjek/sample yang kecil tidak membolehkan seorang pengkaji
meningkatkan kebolehpercayaan kajian. Dengan sebab itu, kaedah triangulasi
membolehkan pengkaji melihat dari pelbagai sudut dan perspektif yang berbeza dan
setiap perspektif dikesan dengan menggunakan kaedah yang berlainan. Setiap kaedah
akan mengarah kepada satu tujuan yang sama. Dengan cara ini, pengkaji berharap untuk
mengatasi kelemahan atau rasa berat sebelah kerana subjek dilihat hanya dari satu arah.
1.2
TUJUAN TRIANGULASI
Triangulasi bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti dan kesahihan keputusan. Dalam
penyelidikan kualitatif, kaedah kebolehpercayaan ujian pra-pasca adalah tidak sesuai
kerana data kuantitatif yang diperolehi pada kali kedua biasanya tidak serupa dengan data
kali pertama. Ini disebabkan pada jangka masa kedua, subjek mungkin telah berubah
minat, berubah persekitaran dan juga mungkin berubah sikap. Di bawah kaedah ini, Chua
(2006) menyatakan data dikumpulkan melalui tiga aspek yang berbeza, iaitu:
Masa
- Data dikumpul dari masa yang berlainan
Ruang
- Data dikumpul dari tempat /keadaan yang berlainan.
Individu.
- Data dikumpul oleh individu yang berlainan.
1.3
KATEGORI TRIANGULASI
Denzin (1978) mengenal pasti empat kategori triangulasi iaitu:
a)
Triangulasi data - melibatkan pengutipan pelbagai jenis data untuk menyelidik
fenomena yang sama.
b)
Triangulasi penyelidikan - melibatkan pelbagai pemerhati berbanding dengan
pemerhati tunggal untuk menyelidik fenomena yang sama.
c)
Triangulasi teori - melibatkan penggunaan lebih daripada satu teori untuk
menyelidik fenomena yang sama.
d)
Triangulasi kaedah - melibatkan penggunaan pelbagai kaedah untuk menyelidik
fenomena yang sama.
1.4
KAEDAH
Terdapat tiga kaedah triangulasi yang digunakan untuk meningkatkan kesahan dan
kebolehpercayaan data kualitatif iaitu:
a.
Membandingkan pelbagai punca data responden, masa dan tempat
Pelbagai punca data menggunakan alat kajian yang sama pada masa yang berbeza.

Triangulasi tempat adalah data yang dikutip lebih daripada satu tempat mana kala
triangulasi responden adalah data yang diperoleh daripada perbagai responden iaitu
daripada seseorang atau kumpulan.
b.
Membandingkan pelbagai keputusan responden
Pelbagai keputusan responden bermaksud terdapat beberapa orang responden memberi
maklumat atau fakta bagi menjawab soalan kajian yang sama.
c.
Membandingkan pelbagai cara menganalisis data (Gay & Airasian, 2000)
Pelbagai cara menganalisis data bermaksud pelbagai alat kajian digunakan untuk
mendapatkan data yang berbeza tetapi untuk menjawab soalan kajian yang sama.
Contoh:
Ahmad berminat untuk mengetahui sikap pengunjung terhadap kebersihan di pantai
peranginan Port Dickson. Beliau menemubual secara rawak responden yang mengunjungi
PD tentang kesedaran menjaga kebersihan, diikuti dengan pemerhatian terhadap tingkah
laku pengunjung serta membuat rakaman video serta mengambil foto. Kesemua bentuk
data yang berbeza ini di triangulasikan bagi menghasilkan kumpulan data yang
lebih meyakinkan.
Data yang berbagai bentuk ini (transkrip temuduga, video clips, foto, catatan lapangan,
pemerhatian, dokumen) akan mudah diproses dan dianalisis dengan bantuan perisian
seperti NUD.IST dan NVivo. Perisian ini hanya membantu menyusun data
kualitatif secara bersepadu.
Menggunakan perisian mempunyai kelebihan kerana dapat menghubungkan secara
bersepadu kesemua data, malah juga boleh membuat analisis statistik yang asas seperti
frekuensi. Katakan kita memilih satu perkataan dalam transkrip seperti hobi, maka
perisian boleh membantu kita dengan cepat untuk mencari perkataan tersebut dalam
keseluruhan transkrip dan memberikan frekuensinya. Kita juga boleh menghubungkan
transkrip seorang responden dengan bukti video dan audio, dan ini sangat membantu
proses triangulasi data.
1.5
KESIMPULAN
Triangulasi ialah satu kaedah yang dapat memberikan data yang mempunyai kredibiliti
dan kesahihan yang tinggi kerana ia dilihat/dikaji dari pelbagai arah di mana ia
menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif secara serentak. Pengkaji dapat membuat
keputusan yang adil terhadap subjek kerana keputusan tidak dibuat oleh satu pihak
sahaja. Keputusan ujian juga diuji secara silang untuk menentukan kesahihannya.