Anda di halaman 1dari 2

KEBAIKAN & KEBURUKAN MEDIA SOSIAL

Pendahuluan
Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
Laman sosial seperti Facebook, My Space, Frienster, Twitter dan sebagainya
mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Laman sesawang
rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini.
Remaja kini telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk
mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman
sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung,
penggunaan laman sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup
para remaja.
Kebaikan
Isi Pertama :
Sebagaimana yang kita ketahui,penggunaan laman sosial dapat menambah kenalan
yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus dapat dieratkan semula. Apabila
seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah
terputus hubungan antara satu sama lain. Laman sosial ini digunakan sebagai suatu medium
utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya
yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang telah
diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga
dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat
dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat
menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi
jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang sosial boleh menambahkan kenalan yang baru.
Isi Kedua :
Selain itu,ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan laman sosial. Dengan
adanya laman sesawang sosial, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan
melayari facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara
mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman sesawang sosial seperti
Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan laman sesawang sosial tersebut sebagai
alternatif untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Orang ramai boleh membeli
dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju.
Siapa sahaja yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan
memasukan wang ke dalam bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini
dapat menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk
membeli sesuatu barangan.
Keburukan
Isi Pertama :

Penggunaan laman sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah
mendatangkan kesan negatif iaitu penggunaan laman sosial melalui internet
menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana,
terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan.
Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka
biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial
tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial
menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan
tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah
dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan
oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi
mangsa rogol.
Isi Kedua :
Selain itu,penggunaan laman sosial menyebabkan golongan remaja menjadi lalai dalam
melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang
terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini
menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan
urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada
prestasi pelajaran dalam kalangan remaja. Hal ini akan menyebabkan mereka mengabaikan
pelajaran kerana tiada masa yang diperuntuk untuk mengulang kaji pelajaran.Apabila
berlangsungnya sesuatu peperiksaan markah yang diperolehi merosot dari peperiksaan
sebelum ini menyebabkan mereka tercari-cari kesilapan yang telah dilakukan untuk
diperbetulkan. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat
dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman
menyebabkan seseorang itu membazir masa.
Penutup
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan dan
keburukan kepada golongan remaja. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian
yang serius oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laman
sesawang sosial yang tidak bertanggungjawab. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita
perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Pepatah ada mengatakan bahawa mencegah itu
lebih baik daripada mengubati".