Anda di halaman 1dari 12

GGGD6273: SEKOLAH DAN MASYARAKAT

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA:


KEKUATAN DAN KELEMAHAN
Pensyarah:
EN. ANUAR BIN AHMAD
Ahli Kumpulan:
NORHALIZA BINTI MANSOR @ YUSUP (GP03711)
DAYANG NORFADZILA BINTI AWANG JOHARI (GP03690)
NORALAM BINTI IDERIS (GP04050)
JENNYFER ANAK KAYA (GP03699 )
SULASTRI BINTI AHMAD SAIBI (GP03721)

Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan


Universiti Kebangsaan Malaysia

1.0

PENGENALAN
Pendidikan adalah merupakan acuan yang penting bagi melahirkan masyarakat yang

berjaya serta mampu untuk memajukan dan meletakkan negara ke tahap yang paling baik di
dunia. Kemajuan serta perkembangan sesuatu peradaban, budaya dan perkembangan ilmu
adalah bergantung kepada sistem pendidikan sesebuah negara. Oleh itu, dasar pendidikan
sesebuah negara telah digubal dengan teliti dan terancang bagi memastikan sistem pendidikan
di negara tersebut adalah yang terbaik dan bersesuaian. Pendidikan dan falsafah adalah
merupakan disiplin ilmu yang berbeza tetapi kedua-duanya mempunyai kaitan yang amat erat.
Dasar pendidikan digubal dengan merujuk pada kepada falsafah pendidikan. Falsafah telah
dijadikan teras dan inspirasi kepada sistem pendidikan kerana falsafah pendidikan
mengandungi sistem pendidikan yang digunakan, ciri-ciri pendidikan yang hendak dicapai,
cara serta kaedah perlaksanaan pendidikan yang akan digunakan dan juga ciri-ciri yang
hendak dibentuk dalam diri individu yang menerima pendidikan tersebut.
Falsafah Pendidikan Negara yang kini dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) telah digubal pada tahun 1987 sebagai satu usaha untuk memajukan bidang pendidikan
di negara ini. Falsafah pendidikan telah digubal bertujuan untuk melahirkan insan yang
memberikan sumbangan kepada kemakmuran negara (Emeliana,2010). Ungkapan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang telah diluluskan oleh kabinet adalah seperti berikut:
Pendidikan di Malaysia adalah salah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk menwujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi rohani, intelek, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dengan jelas ia menyatakan
bahawa proses pendidikan merupakan satu usaha untuk membangunkan keseluruhan potensi
individu yang merangkumi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelektual berasaskan
kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan (Rohana, 2010).
1

2.0 HURAIAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA


Berdasarkan pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut, berikut adalah huraian
ringkas prinsip-prinsip FPK:
2.1 Pendidikan satu usaha yang berterusan
Pendidikan merupakan proses pemerolehan serta permindahan pengetahuan, adab, akhlak dan
kemahiran-kemahiran dari satu generasi kepada generasi yang lain.
2.2 Perkembangan potensi individu
Potensi bermaksud bakat serta keupayaan yang telah dianugerahkan oleh Tuhan kepada
seseorang individu sejak dilahirkan. Potensi ini adalah meliputi aspek-aspek intelek, rohani,
emosi dan jasmani yang perlu dicungkil, diperkembang dan dipertingkatkan secara berterusan
melalui proses pendidikan.
2.3 Perkembangan menyeluruh dan bersepadu
Proses perkembangan potensi individu dilakukan ke peringkat paling optimum dengan cara
mengintegrasikan bakat dan kebolehannya yang saling berkait antara satu sama yang lain.
2.4 Insan harmonis yang seimbang
Manusia yang baik dan sempurna adalah insan yang memiliki personaliti yang tidak
bercanggah di antara akal, rohani dan jasmani serta boleh menyeimbangkan unsur-unsur akal,
rohani dan emosi serta jasmani secara serentak dan sentiasa terikat kepada kepercayaan serta
kepatuhan kepada Tuhan.
2.5 Unsur intelek
Unsur intelek ini adalah meliputi aspek-aspek seperti ilmu yang bermanfaat dan membawa
kepada kemakmuran, daya pemikiran yang kreatif, inovatif, logik, analitis dan hikmah.
2.6 Unsur rohani dan emosi
Aspek ini meliputi keyakinan terhadap Tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa,

penghayatan nilai-nilai murni serta norma masyarakat, berbudi perkerti mulia, berbakti dan
berkorban untuk negara.
2.7 Unsur Jasmani
Unsur jasmani ini merujuk kepada kecergasan fizikal, kesihatan diri, pemanfaatan anggota
serta tenaga fizikal untuk berdikari dan hidup bermasyarakat.
2.8 Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
Seseorang individu yakin bahawa manusia dan alam tidak terjadi secara tersendiri tetapi ada
Penciptanya dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan. Oleh yang demikian,
manusia merupakan makhluk yang memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan
dalam mentadbir alam.
2.9 Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
Ini membawa maksud bahawa rakyat Malaysia mempunyai sikap cintakan ilmu pengetahuan,
memiliki ilmu yang benar dan menggunakannya untuk manfaat diri serta orang lain. Di
samping itu, mereka harus menghayati prinsip Pembelajaran Sepanjang Hayat.
2.10 Rakyat Malaysia yang berketrampilan
Rakyat mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi dan sentiasa rela memberikan
sumbangannya demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
2.11 Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
FPN menginginkan rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada amanah yang diberi dan
bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan Negara. Di samping itu, rakyat Malaysia ini
perlulah bersikap produktif, bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dengan cekap,
bersih serta amanah.
2.12 Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
Proses pembentukan akhlak ini perlulah berteraskan ilmu, keyakinan dan amalan yang baik
supaya rakyat Malaysia memiliki budi pekerti dan tingkah laku yang sopan, berdisiplin dan

bersepadu.
2.13 Rakyat Malaysia yang berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri
Dalam mencapai kesejahteraan diri, rakyat Malaysia perlulah memiliki jiwa yang damai dan
tenteram. Ini penting supaya setiap individu dapat memperkembangkan dan memanfaatkan
potensi diri dalam memenuhi keperluan diri, keluarga, masyarakat, agama dan Negara.
2.14 Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan
Sudah menjadi impian Negara dalam melahirkan generasi yang mahir dalam pelbagai bidang,
di samping membentuk masyarakat yang produktif, berinisiatif dan berinovatif dalam
mentadbir alam. Generasi ini perlulah mempunyai sikap berdaya saing dan mampu
menggunakan teknologi dengan cekap bagi mempertingkatkan daya pengeluaran ke arah
pembangunan Negara.
2.15 Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan sebagainya.
Dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian Negara, adalah penting bagi
rakyat Malaysia mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain, bekerjasama dan hormatmenghormati. Dengan adanya suasana yang aman dan tenteram ini, perkembangan ekonomi
dan kemajuan Negara dapat dicapai.
Fungsi utama falsafah pendidikan ini adalah untuk memberikan haluan serta inspirasi
kepada pakar-pakar pendidikan untuk merancang sistem pendidikan negara berlandaskan idea,
matlamat serta konsep pendidikan negara kita. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini lahir
daripada proses yang agak panjang iaitu proses pembinaan negara dan bangsa Malaysia
semenjak merdeka lagi. Falsafah Pendidikan Kebangsaaan telah digubal berlandaskan ideologi
negara kita sendiri sebagaimana yang telah dimanifestasikan di dalam Laporan dan Dasar
Pendidikan Kebangsaan termasuk Rukun Negara. Isi kandungan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan memberikan tumpuan terhadap perkembangan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepada keyakinan,
kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada agama. Antara konsep asas yang terdapat

dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah berkaitan dengan ilmu, nilai ilmu serta peranan
ilmu. Kurikulum sekolah adalah satu sistem yang menterjemahkan falsafah pendidikan ini
dalam bentuk yang sistematik dan teratur. Kurikulum di sekolah telah digubal berdasarkan
kepada matlamat serta isi kandungan Falsafah pendidikan Kebangsaan.
3.0 KEKUATAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah dijadikan sebagai panduan utama pendidikan di
negara kita. Falsafah Pendidikan Negara mempunyai peranan yang sangat penting dalam
sistem pendidikan kita iaitu ia berperanan sebagai hala tuju, panduan dan dasar kepada segala
usaha yang dilakukan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita.
4.0 KELEMAHAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
4.1 Sistem persekolahan Pelbagai Aliran
Memasuki tahun 2010 telah menjadikan sistem pendidikan di Malaysia bergerak
seiring dengan keperluan semasa kerana masyarakat juga turut berubah disebabkan oleh arus
permodenan dan globalisasi. Sehingga kini, Malaysia masih meneruskan kesinambungan
sistem persekolahan lama dengan mengekalkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan
Cina, dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Seringkali isu-isu berkenaan dengan sistem
persekolahan dibincangkan dan diperdebatkan yang akhirnya tiada jalan penyelesaian yang
dilakukan bagi mengubah kepada sistem persekolahan yang baru. Isu-isu sistem persekolahan
merupakan isu yang sensitif bagi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, kerana bukan
sesuatu yang mudah untuk mendapat persetujuan daripada masyarakat yang mempunyai
pandangan dan kepentingan yang berbeza.
Seringkali setiap keputusan, sama ada yang hendak mahupun yang telah dibuat,
dipengaruhi oleh politik tanah air yang bermula sejak zaman penjajah lagi. Umum mengetahui
bahawa pihak kerajaan sentiasa memainkan peranan bagi menaikkan mutu pendidikan
kebangsaan, tetapi sejauh mana setiap tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah
yang timbul. Sistem persekolahan Malaysia kini masih tidak banyak berubah dari aspek
perpaduan kaum. Murid-murid dan pelajar-pelajar dapat menjadikan sekolah sebagai asas
permulaan membina hubungan baik sesama mereka di mana di sekolah, mereka dapat
beramah mesra, bergaul, bersukan, makan bersama, saling kenalmengenal, dan merapatkan

hubungan silaturahim.
Namun begitu, kewujudan sekolah yang pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan
dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah menjejaskan perpaduan kaum di
Malaysia. Kini, ianya sudah tidak relevan untuk diguna pakai kerana sekiranya ia masih
diteruskan, maka hubungan antara masyarakat Malaysia akan semakin pudar. Hal demikian
kerana sekolah merupakan tempat mula-mula masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa
bertemu untuk saling mengenal.
Di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, bilangan murid-murid Melayu
terlalu sedikit jika dibandingkan dengan sekolah kebangsaan. Keadaan ini menunjukkan
jurang yang begitu luas antara murid-murid Melayu, Cina, dan India. Masalah ini disebabkan
oleh penggunaan bahasa, iaitu bahasa Melayu, Cina, dan Tamil yang menjadi faktor utama
wujud jurang pendidikan antara masyarakat. Contohnya, di sekolah kebangsaan, bahasa Cina
dan Tamil tidak diterapkan; manakala di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, bahasa
Melayu bukan bahasa utama. Jadi, wujud dua keadaan yang berbeza dan masalah ini sering
berlanjutan sehingga kini.
Namun begitu, dengan situasi masyarakat dan negara sekarang timbul persoalan
tentang persediaan untuk menghadapinya. Contohnya, hubungan masyarakat Malaysia kini
masih lagi perlu diperkukuhkan kerana masih wujud tanda-tanda kelemahan dalam hubungan
masyarakat. Sistem persekolahan sepatutnya menjadi medium penggerak kepada masyarakat
supaya mereka dapat disatupadukan melalui peluang pendidikan. Tetapi, masih wujud
permasalahan dalam menentukan sistem persekolahan kerana ada sesetengah pihak mahu
mengekalkan sistem persekolahan yang sedia ada, manakala sesetengah pihak lain mahu
perubahan. Masalah-masalah dalam sistem pendidikan yang bermatlamatkan perpaduan
negara diringkaskan melalui: (1) Masalah isu berbangkit hak bumiputra dan bukan bumiputra;
(2) Jurang pencapaian pendidikan orang Melayu dan bukan Melayu melalui peluang pekerjaan
dan pendapatan; (3) Masalah keciciran pelajar-pelajar Melayu dan bukan Melayu; (4)
Hubungan yang renggang antara pelajar Melayu dan bukan Melayu; (5) Kurangnya pergaulan
antara pelajar Melayu dan pelajar bukan Melayu, terutama selepas waktu sekolah; dan (6)
Kurangnya pengetahuan dan tidak memahami dengan mendalam mengenai budaya, amalan,
dan adat resam sesuatu kaum.

4.2 Berorientasikan Peperiksaan dan Pencapaian Akademik


Falsafah Pendidikan Negara dengan jelas menyatakan matlamat pendidikan di negara ini
adalah untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis. Namun kefahaman pelajar
tentang falsafah ini masih di tahap rendah. Fenomena pengangguran di kalangan siswazah
sekarang merupakan bukti kelemahan sistem pendidikan yang lebih mengutamakan
pencapaian akademik semata-mata sehingga pembentukan insan yang seimbang adalah sukar
dilaksanakan. Bagi mereka semua ilmu yang mereka pelajari dan perolehi adalah semata-mata
untuk lulus dalam peperiksaan sahaja. Mereka tidak berupaya untuk memanfaatkan ilmu yang
mereka perolehi dalam bidang pekerjaan. Oleh itu, sistem pendidikan sedia ada yang
berteraskan FPN ini dilihat terlalu mementingkan peperiksaan serta dianggap tidak praktikal
untuk menguji kemampuan sebenar pelajar di mana sistem pendidikan ini hanya akan
melahirkan pelajar yang tahu menjawab soalan peperiksaan tetapi tidak boleh melahirkan
modal insan yang berfikir.
4.3 Hasrat dan maksud FPN tidak difahami dan dihayati sepenuhnya
Terdapat juga beberapa kelemahan dari segi pedagogikal dan metodologikal di peringkat
proses pengajaran dan pembelajaran dalam proses mengartikulasi maksud falsafah, agama dan
juga nilai. Keadaan ini wujud disebabkan oleh kepakaran dan profesionalisme guru yang tidak
dikemaskini dan releven ke arah pembangunan modal insan yang menyeluruh dan seimbang
seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendekatan pedagogikal
yang digunakan adalah masih bercorak preskriptif bukan artikulatif. Masih terlalu sedikit
pendekatan yang berbentuk model dan contoh yang mampu menjadi teladan serta sumber
ikutan. Prinsip-prinsif dalam falsafah ini tidak diterjemahkan dengan baik dari segi konteks
kualiti kurikulum, sahsiah pendidik, buku teks dan kaedah pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Azrin (2004), hal disebabkan kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu adalah
bersifat konsep, proses serta pengetahuan dan sekiranya guru tidak dapat mengenalpasti sifat
kandungan falsafah tersebut, maka sudah tentu mereka tidak dapat menghayati Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang merupakan tafsiran dan huraian kepada Falsafah
Pendidikan Kebangsaaan itu sendiri. Faktor seperti faktor agama yang banyak dititikberatkan
dalam FPN masih lagi diungkapkan secara terbatas dan kurang mampu membentuk personaliti
dan sahsiah yang baik. Selain itu, hasrat FPN, strategi pengajaran, kurikulum dan kaedah
penilaian yang mengarah kepada merealisasikan hasrat FPN masih tidak dapat dihayati oleh

semua pihak. Pelajar dilihat tidak mampu mengikuti sukatan yang disediakan malah
keseronokan belajar itu sendiri semakin berkurangan.
4.4 Penekanan terhadap FPN tidak diberi perhatian yang secukupnya
Kegagalan guru-guru dalam menyampaikan ilmu secara bersepadu akan menghasilkan
pelbagai kemelut yang melibatkan pelajar seperti masalah disiplin dan gejala tidak baik.
Gejalan-gejala negatif ini akan mempengaruhi perkembangan potensi pelajar tersebut. Isi
kandungan FPN tidak berjaya diadaptasikan ke dalam sistem pendidikan di sekolah.
5.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Terdapat beberapa cadangan dikemukakan untuk penambahbaikan Falsafah Pendidikan
Negara. Aspek penambahbaikan yang pertama kita boleh lihat dari segi kurikulum.Kurikulum
sedia ada seperti KSSR dan KBSM masih lagi boleh diteruskan dan diperbaiki lagi kerana
perlaksanaannya sedikit sebanyak dapat memupuk perpaduan kaum terutama dalam aktiviti ko
kurikulum. Contoh aktiviti ko kurikulum yang dijalankan adalah aktiviti persatuan dan kelab
serta aktiviti sukan dan permainan. Pelajar seharusnya diberikan peluang untuk melibatkan diri
dalam aktiviti di luar kelas terutamanya dalam aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum seperti
program anak angkat, Persatuan Belia atau badan beruniform. Pelajar di sekolah perlu
diingatkan kokurikulum adalah pelengkap kepada kurikulum. Selain itu, Pengisian pelajaran di
SK, SJKC dan SJKT diselaraskan semula dengan menggunakan isi kandungan kurikulum
yang sama tetapi menambah bahasa Mandarin dan Tamil sebagai matapelajaran wajib.
Manakala, Gagasan 1 Malaysia perlu dijadikan sebagai mata pelajaran tambahan di semua
jenis sekolah di negara ini untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan murid.
Cadangan yang kedua adalah dari segi penambahbaikan terhadap institusi pendidikan di
negara ini. Kelengkapan untuk proses pengajaran dan pembelajaran perlulah disediakan
dengan lengkap. Hal ini akan memberikan peluang kepada murid untuk mengembangkan
potensi diri mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani. Persekitaran sekolah
yang kondusif akan menambahkan minat pelajar untuk belajar.
Seterusnya, jumlah sekolah di bawah program Sekolah Wawasan perlu ditambah dan
diperbanyakkan lagi. Perlaksanaan program Sekolah Wawasan ini adalah bertujuan untuk
mengelakkan prejudis antara kaum di kalangan generasi muda negara ini. Sistem sekolah ini
bukanlah bertujuan untuk menghapuskan ciri-ciri sekolah vernakular yang ada di negara kita.
Semua warga sekolah di Sekolah Wawasan adalah digalakkan untuk berinteraksi secara
8

maksimum dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan perkongsian kamudahan yang ada di


sekolah. Untuk mencapai matlamat ini, pelaksanaan sekolah integrasi adalah berpegang
kepada konsep belajar bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama di bawah satu bumbung
yang sama.
Selain daripada itu, warga pendidik perlulah menyedari tugas dan tanggungjawab mereka
adalah bukan hanya terbatas kepada penyampaian ilmu dan kemahiran sahaja. Pembentukan
modal insan juga perlu diberikan perhatian yang serius. Mereka perlu memainkan peranan
penting dalam merealisasikan FPN. Pendidik-pendidik perlu sentiasa berfikiran positif
terhadap pandangan dan visi dalam menjalankan tugas mereka berlandaskan matlamat FPN.
Strategi dan teknik pengajaran perlulah dikemaskini untuk melahirkan insan yang berilmu
pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia. Pendidik adalah bertindak sebagai
pembentuk nilai dalam diri pelajar dan bertindak sebagai agen perubahan yang mendidik
generasi akan datang. Guru perlu terlebih dahulu diberikan pemahaman serta penghayatan
yang secukupnya terhadap pernyataan yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Hal ini kerana kejayaan FPN banyak bergantung kepada sejauh mana guru memahami konsepkonsep FPN serta cara bagaimana mereka akan menerapkanya dalam proses PdP di kelas.
Guru perlu melengkapkan diri mereka dengan akhlak serta peribadi mulia yang akan menjadi
contoh kepada anak didiknya. Selain daripada itu, tumpuan seimbang dalam bidang kognitif,
afektif dan psikomotor harus diberi penekanan supaya proses pengajaran dan pembelajaran
serta pendidikan dapat memberikan manfaat dan kesan yang positif kepada diri pelajar.
Sebarang perubahan, transformasi mahupun rombakan dalam sistem pendidikan hendaklah
dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan guru, sekolah dan juga pelajar. Amalan cubajaya
tanpa membuat sebarang kajian mendalam dan teliti perlu dielakkan supaya ia tidak bersifat
situasi.
Cadangan yang terakhir adalah penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
penghantar. Penggunaan satu bahasa sebagai bahasa perhubungan dapat mewujudkan
persefahaman antara satu kaum dengan yang lain tanpa menimbulkan rasa curiga. Penggunaan
Bahasa Melayu yang meluas merupakan salah satu cara yang sesuai untuk menyatupadukan
hubungan dan meningkatkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini. Pendidikan
Bahasa Melayu di sekolah menekankan tentang pentingnya semangat cinta akan tanah air dan
semangat perpaduan antara kaum. Masalah perpaduan di kalangan rakyat negara kita akan

berkurangan dengan adanya kesefahaman dan toleransi antara kaum.


6.0 RUMUSAN
Falsafah Pendidkan Negara adalah merupakan tunjang utama kepada semua usaha serta
aktiviti pendidikan di negara kita. Falsafah ini menekankan perkembangan individu yang
menyeluruh iaitu dari segi intelek, rohani, emosi dan juga jasmani. Dalam sistem pendidikan
negara kita, falsafah ini berperanan sebagai sumber rujukan untuk membantu pendidik
memahami sistem pendidikan, menjadi dasar asas dalam pertimbangan bagi menentukan
Matlamat Pendidikan Negara, sebagai dasar untuk menentukan kurikulum, bahan-bahan
pelajaran serta strategi PdP dan falsafah ini juga berperanan untuk menghilangkan salah faham
atau sebarang keraguan dalam usaha untuk melaksanakan tugas dalam bidang pendidikan.
Falsafah Pendidikan Negara telah menjadi agenda paling utama dalam reformasi pendidikan di
negara kita.
FPN mempunyai kekuatan serta kelemahan tersendiri. Salah satu kekuatan Falsafah
Pendidikan Negara ini adalah ia memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia
yang berbilang kaum. Selain itu, dengan adanya FPN, integrasi nasional mampu dibentuk
sejak di bangku sekolah lagi. Kewujudan FPN juga memberikan peluang kepada kita untuk
melahirkan modal insan yang seimbang sebagaimana yang terkandung dalam matlamat FPN.
Potensi pelajar akan dapat dikembangkan sepenuhnya berdasarkan jasmani, emosi, rohani dan
juga intelek. FPN juga menekankan kepada pembelajaran seumur hidup yang akan melahirkan
rakyat yang cintakan ilmu pengetahuan sekaligus membentuk rakyat yang berilmu yang
mampu bersaing di peringkat global. Walau bagaimanapun, FPN juga mempunyai
kelemahannya. Perpaduan yang ingin dibentuk di bangku sekolah agak sukar dicapai kerana
wujudnya jurang antara pelajar pelbagai bangsa di sekolah. Wujudnya sekolah pelbagai aliran
menyukarkan lagi proses pertemuan dan integrasi di kalangan pelajar pelbagai etnik. Falsafah
Pendidikan Negara juga sering berhadapan dengan isu tentang keperluan untuk menilai
keberkesanannya. Hal ini kerana, kesan menyeluruh perlaksanaan FPN ini masih belum dilihat
dan natijah holistik dalam pembentukan watak masih belum terlihat dengan jelas. Prinsip
falsafah ini masih tidak dapat diterjemahkan dengan baik.
Falsafah Pendidikan Negara adalah teras kepada sistem pendidikan di negara ini. Melalui
FPN, kita akan dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek. Peningkatan keupayaan intelek, penguasaan sesuatu kemahiran dan pemupukan nilai10

nilai murni adalah penting dalam melahirkan masyarakat yang seimbang sebagaimana yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara ini. Dengan adanya Falsafah Pendidikan
Negara, sistem pendidikan sesebuah negara berupaya untuk menganjakkan diri ke kedudukan
paling hadapan dengan mengungkapkan secara jelas dan terperinci prinsip dan nilai asas yang
mendasari serta membentuk sistem pendidikan negara kita daripada peringkat yang paling
rendah sehingga kepada peringkat tertinggi.
7.0 RUJUKAN
Azrin B. Ab. Majid. 2004. Tinjauan Awal Terhadap Kefahaman Falsafah Pendidikan
Kebangsaan di kalangan Guru Sekolah Menengah di Melaka. Tesis Sarjana: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Anon. 2009. Falsafah Pendidikan Negara.
http://web.jiaozong.org.my/doc/2009/rnr/edu_law/falsafah_pendidikan_negara.pdf
[1 Disember 2015].
Emeliana Binti Elias. 2010. Implikasi Falsafah Barat ke atas Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Universiti Teknologi Malsysia.
Mior Khairul Azrin Mior Jamaluddin (2011). Sistem Pendidikan di Malaysia: Dasar, Cabaran,
Dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional. Sosiohumanika. 4 (1): 33-48.
Rohana Hamzah (2010). Mengenali Manusia Asas Pembangunan Pendidikan Berkualiti.
UTM Skudai: Penerbit UTM Press.

11

Anda mungkin juga menyukai